ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Sunday, August 03, 2014

USMAN AWANG:PERANAN SASTERAWAN SEBAGAI PATRIOT



USMAN AWANG:PERANAN SASTERAWAN SEBAGAI PATRIOT

Zurinah Hassan 
kertaskerja disampaikan di Seminar Patriotisma, Universiti Pendidikan Sultan Idris.Disember 2011.


Abstrak:
Sastera Melayu moden lahir dan berkembang pada tahun-tahun akhir empat puluhan dan lima puluhan selaras dengan bersemaraknya semangat nasionalisme dan perjuangan untuk memerdekakan tanah air. Penulis penulis seperti Ibrahim Kajai, Shamsudin Salleh, Harun Aminurrashid, Ishak Haji Muhammad, A.Samad Ismail, Keris Mas,Usman Awang muncul sebagai sasterawan, wartawan, pejuang kemerdekaan dan pejuang bahasa sekaligus. Mereka juga boleh dianggap sebagai intelektual dan patriot yang mengemukakan pemikiran kepada masyarakat terutama tentang kemerdekaan tanah air dan pembinaan bangsa. Pada keseluruhannya para penulis itu terlibat secara langsung di dalam peristiwa peristiwa politik dan budaya yang dilalui oleh bangsa Melayu.Usman Awang yang menyertai lapangan kesusasteraan pada akhir tahun empat puluhan, turut serta menyuarakan gelisah bangsa yang tertindas dari segi ekonomi dan politik. Terdapat puisi, cerpen dan novel beliau yang bertemakan patriotisme dan berisi impian untuk membebaskan negara dari belenggu penjajahan. 


Pada umumnya istilah patriotisma merujuk kepada perasaan cinta dan setia kepada tanah air. Kesedaran patriotisme di dalam sesebuah negara dapat dibangunkan melalui penulisan baik yang disampaikan melalui pidato pemimpin, rencana-rencana akhbar atau karya-karya kreatif. Di dalam khazanah kesusasteraan Melayu baik sastera tradisi maupun sastera moden terdapat sekian banyak karya yang membawakan semangat patriotisme. Untuk pembicaraan ini karya-karya yang bertemakan patriotisme bermaksud karya-karya yang membicarakan tentang tanah air dengan perasaan kasih sayang. Pengarang memberi tumpuan terhadap kehidupan yang dilalui oleh bangsanya dan sentiasa mengharapkan agar bangsa dan negaranya mencapai kedudukan yang lebih baik. Tulisan-tulisan ini berisi perjuangan untuk memajukan fikiran rakyat dan membebaskan tanahair daripada belenggu penjajahan dan kemiskinan. 

Awang Had Salleh (1995) menggariskan beberapa ciri patriotisme seperti berikut: 

• rasa sayang dan cinta terhadap tanah air

• rasa bangga dengan tanahair

• Sedia mempertahankan tanahair daripada ancaman dan serangan musuh

• Kesediaan membela kepentingan negara bila dicemuh dan dihina


Dari semangat patriotisme lahirlah gerakan nasionalisme atau gerakan kebangsaan untuk memerdekakan tanah air. Mengikut Abdul Latif Abu Bakar bidang penulisan memainkan peranan yang penting dalam gerakan kebangsaan Melayu. Rencana rencana dalam akhbar dan majalah seperti Al Imam, Al Ikhwan, Saudara, Majlis, Warta Malaya dan Utusan Melayu beserta novel, cerpen dan puisi turut memberi kesedaran dan memperjuangkan nasib orang orang Melayu di tanahairnya. Puisi moden dijadikan alat bagi menyampaikan sesuatu pandangan , fikiran dan gagasan penyair. Penulis penulis seperti Ibrahim Kajai, Shamsudin Salleh, Harun Aminurrashid, Ishak Haji Muhammad, A.Samad Ismail, Keris Mas, Usman Awang (dan nama-nama yang sentiasa timbul dalam percakapan kita di dalam seminar ini) muncul sebagai sasterawan, wartawan, pejuang kemerdekaan dan pejuang bahasa sekaligus. Abdul Latiff Abu Bakar mengumpul sekitar enam ratus buah puisi bertemakan semangat patriotisme di dalam bukunya Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957, (Dewan Bahasa dan Pustaka 1987)

Hashim Awang (1983) menegaskan bahawa golongan wartawan dan sasterawan telah menjalankan peranan yang penting untuk memupuk, menajam dan memperkukuhkan semangat kebangsaan. Politik nasionalisme adalah suatu tema besar yang dikemukakan di dalam cerpen cerpen sebelum perang. Bidang kesusasteraan dan persuratkabaran telah menjadi media penyampaian seruan kemerdekaan. Semangat patriotisme bersemarak di kalangan penulis-penulis yang berada di pusat-pusat penerbitan akhbar lebih lebih lagi kerana mereka terdedah kepada pergolakan serta perkembangan politik dunia terutama yang menyentuh soal soal penjajahan dan kemerdekaan

Terdapat tulisan dan pandangan yang melihat tindak tanduk pemerintah Inggeris sebagai menambahkan penderitaan rakyat. Nasib petani dan kaum buruh menjadi lebih buruk dengan sikap penjajah yang mengabaikan mereka. Satu rencana pengarang Utusan Melayu berbunyi:

Pak tani menunggu taliair diperbaiki, menunggu cukai cukai tanahnya diringankan, menunggu senjata dari kerajaan untuk melawan musuh tanaman.Kaum buruh menanti gajinya dinaikkan. Bukan sahaja di peringkat buruh dan petani diperingkat pegawai pegawai Utusan Melayu mendapati kerajaan inggeris tetap mengamalkan diskriminasi .kerajaan Inggeris telah mengambil ramai orang-orang inggeris yang tidak tahu langsung mengenai sejarah , latarbelakang dan kebudayaan anak negeri untuk menduduki jawatan pentadbiran dengan gaji yang sangat lumayan.

(Utusan Melayu 4hb Oktober 1948: hal 2).

Salah seorang sasterawan/wartawan yang mengkritik penjajah dengan pedas dan berani ialah Ishak Haji Muhammad. Beliau mengkritik tindak tanduk kerajaan Inggeris mencari keuntungan dari hasil-hasil yang dikeluarkan di Tanah Melayu menyebabkan orang-orang Melayu tetap di dalam kemelaratan.

“kebanyakan dari hasil-hasil keluaran di Tanah Melayu pula teIah diambil oleh Inggeris untuk dijual ke pasaran dunia terutama ke Eropah semata-mata mencari kepentingan dan faedah dan ekonomi mereka sendiri tanpa memberi kebajikan kepada orang Melayu”

Ishak Haji Muhammad “Kecil, Akibat Perang Kedua” Utusan Melayu 29 Disember 1947.

Dalam novelnya Putera Gunung Tahan Ishak mengulangi pendapat ini bahawa kemelaratan orang Melayu adalah disebabkan pemerintahan Inggeris.Ishak bersuara melalui wataknya:“Perasaan saya luka sebab saya percaya kesalahan atau sebab mereka itu jadi papa ialah kerana tadbir bangsa tuan juga yang jadi pemerintah di negeri negeri itu. Negeri-negeri Melayu itu bernaung di bawah kerajaan tuan tetapi pegawai pegawai bangsa tuan yang mengemudikan tadbir pemerintahan itu telah meletakkan mereka itu dibawah naungan payung sutera yang nipis melayang maka apabila datang hujan basah kuyuplah mereka itu dan apabila datang panas kurus kering pula mereka itu”

Ishak Haji Muhammad, 1973: 70.

Sikap anti penjajah dicetuskan oleh keinginan untuk melihat rakyat Melayu menjalani kehidupan yang lebih baik. Rakyat berhak untuk menjalani kehidupan mereka sebagai insan yang dilahirkan bebas di bumi Allah ini.Mereka membantah segala rupa penindasan .Di dalam cerpen dan novelnya, Ishak bukan sahaja mengkritik pemerintah Barat malah turut menegur Raja raja dan pembesar Melayu kerana sikap mereka itu melemahkan dan menambah kemunduran orang Melayu baik dari segi ekonomi, sosial dan politik. Cerpen “Istana Berembun” misalnya memaparkan kisah orang-orang besar yang enggan memberi bantuan kepada rakyat jelata kerana menganggap mereka itu tidak membuat jasa dan tidak mendatangkan faedah.Ishak juga mengkritik wang saraan beribu-ribu untuk raja-raja dan orang besar.Ini adalaah satu bentuk pembaziran yang sepatutnya dimanfaatkan untuk memperbaiki kehidupan rakyat terbanyak. 

Harun Aminurrashid pula meniupkan api patriotisme melalui perlukisan kembali keperwiraan pahlawan pahlawan Melayu di zaman silam. Tokoh drama , Shahrom Husein pernah berkata “tujuan besar saya mengarang novel-novel agar menjadi pelajaran dan ingatan orang-orang kita yang berjuang dalam politik untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu setelah dijajah oleh Barat” Hal ini diucapkan oleh beliau pada Hari Sastera '83, 10-13 Dis. 1983, di Johor Bahru.

Demikianlah suasana tanah air ketika Usman Awang muncul sebagai seorang penulis dalam tahun 1948.Kemunculan ini menempatkan beliau dalam barisan penulis Melayu yang sedang bersuara tentang masaalah bangsa. Usman telah menghasilkan karya-karya yang bertemakan kehidupan rakyat dengan pelbagai perisiwa yang sedang dilalui. Usman menjadi pemerhati dan pencatat dari zaman darurat yang amat menyulitkan dan zaman penjajah yang membelenggu kehidupan hingga ke zaman merdeka dengan pelbagai isu pembangunan. Melalui puisi, cerpen, drama, novel, dan ceramahnya, pembaca menemui Usman sebagai pemikir yang dididik oleh alam dan pengalaman. 

Pandangan dan sikap seseorang pengarang adalah terbentuk oleh latar belakang dan pengalamannya. Demikian juga Usman Awang dengan pemikirannya terhadap penjajahan dan kemerdekaan yang terbentuk daripada pengalaman dan penglibatan peribadinya secara langsung, berhadapan dengan soal tersebut terutama tugasnya dalam pasukan polis dari bulan Disember1946 hingga Januari 1951. 

Sebagai anggota polis, beliau dan kawan-kawannya menggadaikan nyawa untuk menjaga keselamatan dan harta benda daripada ancaman komunis. Akan tetapi jiwanya dapat merasakan bahawa harta benda yang dijaga bermati-matian itu bukanlah kepunyaan anak negeri, bahkan kepunyaan bangsa penjajah. Beliau mula merasakan bahawa mereka hanya bersusah payah untuk menyenangkan bangsa penjajah sedangkan petani-petani miskin negaranya semakin dihimpit kesusahan hidup. Usman menginsafi bahawa rakyat seperti pekebun-pekebun kecil berada di dalam keadaan yang perit. Mereka tersepit di antara pemerintah yakni penjajah yang menuntut kesetiaan dan mereka sentiasa diancam oleh gerila komunis di hutan yang datang meminta makanan. Hal inilah yang diceritakan di dalam novelnya Tulang-tulang Berserakan:

Leman mendengar segala ini dengan dada yang sebak.Ia mengerti bahawa pekebun-pekebun ini terdesak antara dua pemerintahan. Pasukan-pasukan dari hutan mendatangi mereka dan meminta makanan.Dan pasukan-pasukan polis menyerkap dan menuduh memberikan kerjasama lalu menangkap mereka.



Keadaan ini menyebabkan Usman Awang semakin gelisah dengan soal-soal siapakah musuhnya yang sebenar. Beliau juga terharu melihat kawan-kawan sejawatan yang cedera parah atau yang terkorban dalam pertempuran. Apabila seorang sahabat karib terkorban seminggu sebelum tarikh yang ditetapkan untuk perkahwinannya, peristiwa menyayat hati itu mendesaknya menulis sebuah sajak yang diberi tajuk “Korban Tanah Air” . Sajak ini merupakan sajak pertamanya yang tersiar di akhbar.

Biar dia telah pergi
Atau gugur ke persada ibu
Yang...takkan kembali
Meninggalkan bakti dan jasa

Dia hanya seorang mata-mata 
Atau hanya perajurit yang berbakti
Meninggalkan bingkisan jasa
Pada bangsa dan ibu pertiwi

Ia gugur di medan perjuangan
Di tengah-tengah hutan belantara
Atau kurburnya ditabur kembangan
Disiram dengan air mata.

- Utusan Zaman,7 November 1948

Sajak ini amat sederhana dari segi tekniknya dengan pola pantun yang jelas, namun begitu, ia memperlihatkan pembukaan yang penting kepada persoalan tentang tanah air dan rakyat yang bakal timbul dalam karya-karya seterusnya. Tema sajak yang memperkatakan seorang pahlawan yang terkorban ialah sesuatu yang biasa dalam sajak-sajak sebelum merdeka, tetapi apa yang yang menarik pada sajak Usman ini ialah mula ternampaknya bibit-bibit keraguan Usman tentang erti kematian seorang yang berjuang di pihak kerajaan penjajah:

(Adakah) dia hanya seorang mata-mata
Atau perajurit yang berbakti?

Kejadian ini membuat Usman lebih jauh merenung ke dalam erti perkhidmatan mereka.Lanjutan daripada itu lahirlah sajak “Anjing itu”.“Anjing itu” sekali lagi membicarakan mata-mata yang terkorban dalam tugasnya. Kalau dalam sajak “Korban Tanah Air”, Usman menanyakan erti pengorbanan kawannya, tetapi dalam sajak “Anjing itu”, beliau telah mendapat jawapannya. Pada peringkat ini Usman telah memberikan pandangan bahawa kematian mata-mata untuk menjaga keselamatan penjajah hanyalah satu kematian yang sia-sia.(Zurinah Hassan,1990:24)

Anjing itu kurus kelabu
Lidah terjelir nafas termengah-mengah
Menjaga istana tuannya yang gemuk
Patuh setia, menerima dan menyerah

Anjing itu, sering menyalak-nyalak selalunya mendayu-dayu
Bukan kerana ada musuh
Tetapi minta makanan, perutnya lapar
Tuannya hanya mencampakkan cebis-cebis roti kering.

Anjing itu bila perlu, diperah
Bagi menjaga keselamatan tuannya
Menjadi binatang lindungan desakan luar
Dan himpitan dalam

Siapa anjing itu
Hanya binatang setia.


Tugas bahaya yang dihadapi semasa menjaga ladang-ladang orang putih membuat beliau selalu mempersoalkan kembali pekerjaan mereka. Apakah tugas mereka itu boleh disifatkan sebagai satu perjuangan atau hanya untuk menjaga kepentingan tuan punya estet yang akan mengangkut kekayaan pulang ke negaranya. Semuanya ini menambahkan kesedarannya untuk merasakan tekanan penjajah terhadap anak negeri.

Sehubungan itu, apabila Usman mengharapkan kemerdekaan, maka harapan itu adalah untuk seluruh rakyat terutama orang-orang bawahan yang miskin. Penjajahan harus dihapuskan kerana ia merupakan satu rupa penindasan lebih-lebih lagi kepada golongan yang tidak berdaya. Hal ini dapat dikesan dengan jelas daripada cerpennya “Nasib Seorang Ibu Tua”.

Dalam cerpen ini, ditemui watak Osman dan ibunya yang hidup dalam kesempitan.Mereka adalah antara keluarga kampung yang diperas tenaga oleh seorang kaya bernama Encik Omar.Mereka hidup dengan mengerjakan sawah untuk Encik Omar, tetapi tidak pula menerima upah yang sewajarnya untuk tenaga yang dicurahkan.

Osman merupakan watak yang sedar akan sebab-sebab kemiskinan mereka. Osman mengeluarkan pendapatnya, iaitu selagi sistem yang membenarkan penindasan tidak dihapuskan selama itu rakyat akan terus menderita kerana menjadi mangsa golongan atasan. Osman telah cuba menentang kekejaman Encik Omar dengan cara tidak mahu mengerjakan sawahnya. Justeru, tindakannya itu telah menimbulkan kemarahan Encik Omar dan sebagai seorang yang berpengaruh, dia telah membuat aduan palsu kepada pihak berkuasa sehinggakan Osman dipenjarakan.Bencana ini menambahkan penyeksaan kepada ibu Osman yang telah tua itu.

Dalam keperitan itu watak ini melihat kepada kemerdekaan tanah air dengan penuh harapan semoga ia dapat menyelamatkan keadaan yang dihadapi. Kemerdekaan mestilah untuk kebaikan rakyat terbanyak.Pemimpin-pemimpin yang sedang memperjuangkan kemerdekaan mestilah jujur untuk membela nasib rakyat jelata seperti yang sering mereka laung-laungkan. Kemerdekaan yang tidak dapat meninggikan taraf hidup rakyat terbanyak tidak bererti sama sekali. Kata Osman, “Kemerdekaan hanya tercapai setelah terbela nasib rakyat jelata kerana rakyat jelata itu dijadikan simbol dan pelopor perjuangan tapi kalau nama rakyat jelata itu dijadikan topeng saja...maka cita-cita kemerdekaan itu hanya suatu cerita dongeng pula.”Perutusan ini sesuai dengan waktu cerpen ini dihasilkan iaitu dalam tahun 1950, perjuangan mencapai kemerdekaan sedang bersemarak dan kaum penulis turut menjalankan peranan mereka dengan membangunkan semangat rakyat menerusi karya-karya mereka.

Hasrat untuk mencapai kemerdekaan lebih bergelora lagi apabila melihat satu demi satu Negara yang dahulunya sama-sama dijajah mencapai kemerdekaan masing-masing.Sajak “Zaman Merdeka” lahir daripada gelora ini.

Bersama-sama aku dan dia
Diikat hidup dalam penjara
Di bawah belenggu rantai penjajah
Berkumandang suara merintih berjeritan
Dah lama hidup begini
Tak berdaya bangun sendiri
Hak terbang melayang alam
Dibelit rantai dibelenggu derita


Tapi hari ini
Berkumandang sorak gembira
Dia telah bebas
telah boleh terbang kian ke mari
Menghisap udara pagi
Berkecimpung di taman kebebasan
Bersenandung di irama kemerdekaan 

Dia
telah bebas lepas di alam buana
Putus ikatan belenggu jajahan 
Tegap berdiri di bawah sangsaka
Hidup di dalam pekik sorak kemenangan
Lahirlah sinar cahaya benderang
Tumbuhlah pohon tanaman sejati 

Hidup berakar berdahan berbuah
Dan makanlah dia dengan enaknya
Terlukis senyum tanda kemenangan


Namun begitu, terlihat juga perasaan lembut dan romantisnya apabila beliau meragukan sama ada kemerdekaan yang dicapai oleh Negara tersebut sepadan dengan pengorbanan darah pejuang-pejuangnya. 

Tetapi kembali kuingat

Harga pembayaran untuk ini

Ah, darah mengalir penaka lautan

Darah dari putera dan puteri dia

Dengan darahlah harga dibayarnya

Untuk mencapai hidup merdeka




Aku..

Akan pabila pula

Kutempuh zaman merdeka.




Peranan Melaka dalam karya-karya patriotisme Usman Awang.

Usman adalah sasterawan dan pemikir yang terdidik oleh alam dan pengalaman. Alam sekitar yang membesarkannya menyuburkan rasa cintanya kepada keindahan. Keadaan hidup terbiar semakin mendalamkan keriduan kepada kerukunan hidup berkeluarga dan kasih sayang. Semua ini subur bersama minatnya terhadap bahasa dan kesusasteraan. Sejak di bangku sekolah, Usman gemar membaca cerita menjadi kagum pada ungkapan-ungkapan yang indah dalam pantun-pantun dan pepatah petitih yang sungguh dalam dan tepat maknanya. Beliau kagum dengan lenggang lenggok bahasa yang penuh kias ibarat. Beliau kagum dengan penceritaan tentang Panglima Badang yang terlampau gagah dan kisah Singapura dilanggar todak yang menyedihkan. Dari sini mula terbentuk fikiran awalnya terhadap kerajaan dan penghidupan masyarakat Melayu pada zaman lampau. Beliau berasa gembira kerana bangsa Melayu juga pernah mempunyai kerajaan yang besar, tetapi berasa sedih mengenangkan perbuatan tidak adil terhadap rakyat yang dibacanya.

Impresi awal terhadap kebangkitan dan kejatuhan kerajaan Melayu inilah yang dibawanya bersama ke Melaka. Beliau memasuki pasukan polis di Melaka . Di sini beliau menjadi lebih dekat dengan kesan keruntuhan kerajaan Melayu, dan semakin menyatu dengan cerita cerita lagenda terutama kisah keperwiraan Hang Tuah dan Hang Jebat.

Semasa bertugas di dalam pasokan polis itu, berlangsunglah satu himpunan politik iaitu Kongress PKMM dan API yang diadakan selama enam hari, dari 24 Disember 1946 hingga 30 Disember 1946. Usman adalah salah seorang anggota keselamatan yang ditugaskan mengawal perarakan. Kongres itu amat memberi kesan kepada jiwanya. Hal ini diceritakan kembali dalam novel Tulang-tulang Berserakan halaman 35 hingga 40.

Bandar Melaka pada pagi itu diramaikan oleh satu peraarakan yang panjang. Hampir semua mata-mata yang bertugas mengawal perarakan dan menjaga lalu lintas adalah daripada pasukan 40 orang pemuda-pemuda tersebut. Perakan itu tenang mengalir bagaikan arus dari Hill Street membelok ke Riverside, lalu menyeberangi jambatan Sungai Melaka dan terus ke Jonker Street sehingga berhenti di sebuah panggung wayang gambar di Transquerah. Di situlah diadakan kongres PKMM 

(Usman Awang 1966:38)




Beliau khasnya beliau mencatatkan ketokohan seorang wanita yang turut berucap

Leman sendiri dengan diam-diam tidak dengan kesedaran yang membentuk suatu perasaan simpati yang halus di dalam jiwa mudanya yang masih subur untuk setiap benih yang disemai kerana ruang masih banyak lagi yang kosong.

(Usman Awang 1966:38)




Semasa menjaga perhimpunan ini Usman mendengar sebuah madah yang terpahat di jiwanya sampai bila-bila. Madah itu berbunyi:

Di atas robohan Kota Melaka 

Kita dirikan jiwa merdeka

Bersatu padulah seluruh baka

Membela hak keadilan pusaka




Orang itu menutup pidatonya dengan pantun yang bagi pendengaran anak-anak muda polis itu, terutama Leman, amatlah bersemangat. Jiwa muda mereka bergelora, berkobar-kobar dengan semacam perasaan yang anih......dalam diri mereka bertambah kuat gelora . Leman sendiri dengan diam membentuk suatu perasaan simpati yang halus di dalam jiwa mudanya yang masih subur”

(Usman Awang, 1966:37, 38)

Ahmad Boestamam (1972:75) mengesahkan bahawa penutur madah tersebut ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy. Usman menggemari ungkapan ini sehingga menggunakan beberapa kali dalam karyanya seperti di dalam sajak “Jiwa Hamba”. Pada masa bangsa Melayu sedang menempuh arus kesedaran untuk mencapai kemerdekaan politik, Usman melihat kota Melaka sebagai inspirasi untuk membangunkan semangat rakyat. Pendapat ini sangat jelas dalam sajaknya Jiwa Hamba. Di samping itu terdapat sebuah cerpen “Cinta di Negara Hang Tuah’ (Utusan Zaman, 12 Februari, 1950) yang menceritakan hal ‘aku’ yang berdagang ke Melaka lalu jatuh hati kepada Hamidah, anak tuan punya perusahaan tempat Aku bekerja. Aku tidak dapat lagi menahan rasa hati yang sudah lama terpendam lalu menulis surat kepada Hamidah menyatakan isi hatinya. Hamidah membalas surat Aku, tetapi Aku terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Hamidah. Hamidah mengatakan bahawa beliau mahu melupakan soal cinta dan rumah tangga terlebih dahulu kerana ada lagi soal yang lebih penting yang mesti difikirkannya, malah oleh setiap orang termasuk Aku. Soal yang penting ini adalah nasib bangsa yang masih dijajah dan memerlukan pembelaan. Hamidah sendiri ingin menumpukan perhatiannya untuk mendidik anak bangsanya. Dalam suratnya, Hamidah berkata: 

Saya ingin mempelawa membuat janji dan ikrar bahawa di atas robohan kota Melaka ini kita simpulkan janji yang teguh mendirikan jiwa merdeka mendahului berdirinya rumah tangga yang bahagia.




Hamidah mengakhiri suratnya dengan berkata, “di atas dari semuanya memang seorang pemuda mesti mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kemerdekaan bangsa dan tanahairnya.”

Rangkaian madah itu telah melahirkan sajak “Jiwa Hamba” Sajak “Jiwa Hamba” ini boleh dianggap sebagai antara sajak Usman Awang yang terpenting kerana ia menjadi pembuka kepada buku antologi Gelombang (1961). Sebuah antologi sajak Usman Awang beserta versi terjemahan juga telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (2009) dengan jodol Jiwa Hamba atau Enslaved Soul.

“Jiwa Hamba” membawa mesej bahawa setiap insan dilahirkan merdeka dan mereka seharusnya membebaskan jiwa daripada sebarang tekanan dan penindasan Dalam keadaan tertindas, rakyat tidak dapat hidup dengan sempurna dan bererti. Dalam keadaan tertindas akan lebih mendalamlah perasaan rendah diri. Dengan jiwa yang tertekan mereka tidak mempunyai semangat untuk mencari kemajuan. Perasaan sebegini memberikan peluang kepada penjajah untuk terus menindas. Dalam renungannya Usman melihat pentingnya semangat dan kesedaran rakyat dihidupkan kembali. Hanya dengan semangat yang kuat, rakyat dapat diseru untuk memperjuangkan kemerdekaan. Jika mereka berterusan berjiwa hamba akan kekallah mereka di bawah tekanan orang lain. 

Termenung seketika sunyi sejenak

Kosong di jiwa tiada penghuni

Hidup terasa diperbudak-budak

Hanya suara melambung tinggi



Berpusing roda beralihlah masa

Berbagai neka hidup di bumi

Selagi hidup berjiwa hamba

Pasti tetap terjajah abadi


Kalau hidup ingin merdeka

Tiada tercapai hanya berkata

Kemuka maju sekata, maju kita

Melemparkan jauh jiwa hamba




Ingatkan kembali kata sakti

Dari bahang kesedaran berapi

Di atas robohan Kota Melaka 

Kita dirikan jiwa merdeka


Kemerdekaan Demi Keyakinan Diri

Jelasnya Usman mengimpikan sebuah negara merdeka kerana hanya dengan kemerdekaan dapat diharapkan rakyat akan memiliki semangat dan keyakinan diri. Keyakinan diri adalah asas untuk membina bangsa yang maju. Justeru itu Usman sendiri berusaha untuk mengembalikan keyakinan diri di kalangan rakyat yang telah sekian lama ini dilemahkan oleh pelbagai tekanan. Usaha ini dilakukan dengan menghasilkan karya karya yang sering menonjolkan nilai hidupyang murni iaitu budi bahasa dan kasih sayang yan dimiliki oleh orang bawahan dan hampir lenyap di kalangan orang atasan. Langkah menuju kebaikan memerlukan keyakinan pada diri sendiri, memiliki harga diri dan identiti dan merasa adanya makna dalam kehidupan. Usman sering menggambarkan orang-orang miskin atau golongan bawahan dengan sifat-sifat baik. Mereka berbudi dan berhati jujur. Malah, dalam kebanyakan karyanya golongan ini dikatakan menikmati kehidupan yang bermakna berkasih sayang dan bahagia dengan cara mereka sendiri, misalnya cerpen “Manusia dan Hidup” (Utusan Zaman 10 Jun 1951)

Tema patriotisme dalam karya-karya Usman Awang adalah dihasilkan dengan kesedaran. Pemikiran dan perasaan yang dicurahkan di dalam karya karya kreatif disokong pula oleh ceramah atau rencana-rencana yang disiarkan di beberapa tempat. Antara lain menulis tentang semangat patriotisme yang perlu dimiliki oleh setiap orang. Usman Awang (dan teman-teman penulis seangkatan dengannya ) menulis berdasarkan keyakinan bahawa “Tugas sasterawan atau pengarang ialah memperdalam dan memperluas lagi kesedaran dan keinsafan orang orang lain tentang masyarakat yang mereka diami, mendidik dan membimbing orang-orang lain ke arah kemajuan dan kemerdekaan, membela keadilan dan kesucian, membentuk budi pekerti yang luhur dan mempertinggi peradaban bangsa” Usman menegaskan, “Sekarang adalah zaman perjuangan, zaman bangsa kita sedang berjuang untuk kemerdekaan dan kedaulatan tanah airnya, maka dengan demikian saya tidak ragu-ragu lagi mempergunakan sastera untuk tujuan ini, untuk tujuan kemerdekaaan tanah air kita yang tercinta. Usman Awang. “Pegertian Bakat, Ilham dan Tugas Satera” Utusan Zaman, 21 Mac 1954)

Usman telah menulis rencana yang bertajuk “Kesusasteraan Alat Penting Mengisi Kemerdekaan” (Mingguan Melayu, 9 Mac 1952). untuk mengemukakan pandangan bahawa “kekuatan jiwa dan semangat perlu benar dalam aliran kesusaseraan kita hari ini sebab kesusasteraan adalah sumber yang mengalirkan kesedaran dan pengertian dalam membentuk jiwa rakyat seluruhnya. Kita menghendaki pendudukng pendukung seni sastera mempunyai kesedaran yang cukup dan luas bahawa kesusasteraan adalah senjata bagi rakyat menggulingkan penjajah dan mendorong rakyat maju dan tegak dalam negara yang aman dan makmur “. 

Usman meneruskan perjuangannya dan sentiasa mengutamakan tema kemasyarakatan dalam karya-karyanya. Beliau berpendapat bahawa sasterawan mempunyai tanggungjawab untuk terus menulis tentang rakyat.Justeru, Usman merasa kurang puas hati apabila mendapati tema kemasyarakatan semakin menghilang dalam sajak-sajak yang dihasilkan dalam tahun 1970-an. Perkara ini disentuh oleh Usman dalam rencana khas sempena Hari Pekerja pada 1 Mei 1976. Dalam rencana yang berjudul “Mencari Tema yang Hilang”, Usman menyatakan kembimbangan “bahawa dunia puisi kita mulai mengalirkan kehidupan individu yang sempit membina suatu orbit di ruang yang jauh dari bumi nyata”.Usman memberikan statistic untuk menyokong pendapatnya. Pada tahun 1973, 1974, 1975, terdapat sejumlah 5366 buah saja disiarkan, ditulis oleh lebih 600 penyair, dari jumlah itu tidak lebih dari satu persen yang menggarap tema kehidupan masyarakat. Hal ini demikian kerana para penulis mesti meneruskan perjuangan. Rakyat mesti terus dibela.Walaupun kemerdekaan telah dicapai banyak lagi masalah yang belum selesai. Tegasnya, tugas atau peranan sastera tidaklah akan tamat dengan tercapainya kemerdekaan. Sastera perlu terus memaikan peranannya sebagai alat untuk mengisi kemerdekaan, alat pembangunan dan kemajuan rakyat.Oleh itu, Usman berpendapat, “Kita sebagai pendukung-pendukung seni sastera Melayu dalam saat bangsa Melayu menghadapi perjuangan kemerdekaannya adalah menjadi kewajipan besar pula menghebatkan gerakan kesusasteraan Melayu yang turut juga kelak menjadi satu isi dari kemerdekaan kita.”

Antara rumusan yang dapat dibuat daripada tulisan Usman Awang, baik penulisan kreatif mahupun rencananya, ialah pendapatnya bahawa kesusasteraan mestilah selaras dengan hasrat masyarakat pada masa ia dihasilkan. Kesusasteraan dengan sendirinya mempunyai hubungan rapat dengan sejarah perjuangan sesuatu bangsa.




LAMPIRAN:

Zurinah Hassan

Sebuah Balai Polis di Melaka 

(Usman Awang dalam kenangan)


Angin Selat Melaka menyapa di jendela 

Ketika aku mendengar ceritamu

Tentang sebuah balai polis

Dan sekawan mata-mata

Memikul senjata di tengah gelora

Dan darurat yang sengsara




Di situlah kau dan kawan-kawan

Untuk sedikit gaji bulanan

Demi beras untuk keluarga

Telah menyediakan nyawa

Untuk maut yang merayap di udara

Maut yang mengalir di gigi air

Maut yang mengintai di celah banir




Di balai polis di Melaka itu

Kau menyertai perbarisan

Pada jalan tanpa kepastian

Siang yang membawa entah ke mana

Malam yang memaksa untuk ketawa

Sementara esok akan tiba

Dengan segala pertanyaan

Apakah punca pertarungan




Malam atau siang hampir tak ada beza

Bila bila saja akan berbunyi siren arahan

Diseret lagi ke hutan

Untuk membunuh atau dibunh

Oleh lawan yang tak pernah ditemui

Musuh yang tak pernah dimusuhi




Mungkinkah akan dikerah lagi

Mengoyak tirai pagi

Memecah nyanyian alam

Dengan sepatu tajam

Menghenyak kehijauan 

Si kera dan anak yang melekap diperutnya

Lari bertempiaran

Lanagkah aneh dan sedih

Bila suara dan bahasa

Yang telah disantunkan oleh bayu gunung 

Bila wajah dan jiwa

Yang telah dilembutkan oleh lunak keroncong

Seri Mersing dan Bunga Tanjung

Diarah untuk menggertak dan menghentak

Para ibu yang menggigil

Di antara tangis anak-anak kecil 

Menghalakan muncung senapang

Pada pekebun-pekebun sayur

Yang tua dan uzur

Menergah sambil menggeledah seluruh rumah

Warga miskin yang ditudung memberi bantuan

Kepada orang-orang hutan

Yang ditudung bersubahat

Dengan orang-orang jahat




Balai polis itu terlalu banyak mengajar

Tentang tanah air dalam gelora dan debar

Dalam usapan angin selat

Angin yang dingin atau kering

Angin yang bermain di jendela

Mengusik potret ratu Inggeris

Yang tersangkut di dinding

Sebelum berbunyi lagi siren yang nyaring

Untuk bersedia ke hutan

Melindungi tanah air

Atau sekadar lading-ladang orang asing




Balai itu masih disapa angin Selat Melaka

Ketika kau menyeka air mata

Seorang demi seorang kawan 

Telah gugur di perjalanan

Dan kau diramas seribu persoalan 

Untuk apakah merelakan

Segala penderitaan




Angin Selat Melaka berdesir lagi

Ketika kau melangka pergi

Meninggalkan musuhmu yang utama

Musuh yang bernama peraturan

Yang menghalalkan kekerasan

Ketika kau melangkah pergi

Memilih jalan kebenaran

ZURINAH HASSAN ,( 2005:137, Salasilah, Dewan Bahasa dan Pustaka)




Rujukan Utama: 

1. Gapena dan Kerajaan Negeri Melaka, “ Kumpulan kertas kerja Hari Sastera 1995 “Globalisme dan Patriotisme Dalam Sastera Melayu” 

2. Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957 , 1987

Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka 

3. Ishak Haji Muhammad, Putera Gunung Tahan, 1973, Petaling Jaya, Pustaka Budaya Agency. 

4. Usman Awang dan A.Samad Said, 1963, Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden, Kuala Lumpur, Penerbit Federal Bhd.

5. Usman Awang Tulang-tulang Berserakan,1966,Pustaka Melayu Baru.

6. Usman Awang , 1961, Gelombang, Kuala Lumpur ,Oxford Universiti Press 

7. Zurinah Hassan, Sasterawan Negara Usman Awang, 1990 edisi kedua 2006, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

4 comments:

  1. saya Sukiman seorang TKI DI MALAYSIA
    pengen pulang ke indonesia tapi gak ada ongkos
    sempat saya putus asa apalagi dengan keadaan susah
    gaji istri saya itupun buat makan sehari2. sedangkan hutang banyak
    kebetulan istri saya buka-buka internet Dan mendapatkan
    nomor MBAH KASSENG (0853-4288-2547) katanya bisa bantu orang melunasi hutang
    melalui jalan TOGEL dan dengan keadaan susah, terpaksa saya
    hubungi dan minta angka bocoran Toto/malaysia
    angka yang di berikan waktu itu 4D 
    ternyata betul-betul tembus 100% alhamdulillah dapat 269.jt Oleh Karna itu saya posting no HP MBAH KASSENG ini supaya saudarah-saudara ku di indonesia maupun di luar negri yang sangat kesulitan masalah ekonomi (kesusahan) jangan anda putus asa. Karna jalan masih panjang yang penting anda tdk malu atau takut menghubungi MBAH KASSENG. Semua akan berubah Karna kesuksesan ada pada diri kita sendiri. Yakin dan percaya bahwa itu semua akan tercapai berkat bantuan dari mbah AMIN.
    MBAH KASSENG
    NO: 0853-4288-2547 / +6285-342-882-547

    ReplyDelete
    Replies
    1. kami sekeluarga tak lupa mengucapkan puji syukur kepada ALLAH S,W,T
      dan terima kasih banyak kepada AKI atas nomor togel.nya yang AKI
      berikan 4 angka ((( 2371 ))) alhamdulillah ternyata itu benar2 tembus AKI.
      dan alhamdulillah sekarang saya bisa melunasi semua utan2 saya yang
      ada sama tetangga.dan juga BANK BRI dan bukan hanya itu AKI. insya
      allah saya akan coba untuk membuka usaha sendiri demi mencukupi
      kebutuhan keluarga saya sehari-hari itu semua berkat bantuan AKI..
      sekali lagi makasih banyak ya AKI bagi saudara yang suka main togel
      yang ingin merubah nasib seperti saya silahkan hubungi AKI SOLEH,,DI NO Cll (((082-313-336-747)))
      insya allah anda bisa seperti Saya menang togel 579
      juta, wassalam.


      dijamin 100% jebol saya sudah buktikan...sendiri....


      Apakah anda termasuk dalam kategori di bawah ini !!!!

      1"Dikejar-kejar hutang

      2"Selaluh kalah dalam bermain togel

      3"Barang berharga anda udah habis terjual Buat judi togel

      4"Anda udah kemana-mana tapi tidak menghasilkan solusi yg tepat

      5"Udah banyak Dukun togel yang kamu tempati minta angka jitunya
      tapi tidak ada satupun yang berhasil..


      Solusi yang tepat jangan anda putus asah....AKI SOLEH akan membantu
      anda semua dengan Angka ritwal/GHOIB:
      butuh angka togel 2D 3D 4D SGP / HKG / MALAYSIA / TOTO MAGNUM / dijamin
      100% jebol
      Apabila ada waktu
      silahkan Hub: AKI SOLEH DI NO: Cll (((082-313-336-747)))



      KLIK DISINI >*>*>* BOCORAN TOGEL SINGAPURA HARI INI *<*<*<


      angka GHOIB: singapur 2D/3D/4D/

      angka GHOIB: hongkong 2D/3D/4D/

      angka GHOIB; malaysia

      angka GHOIB; toto magnum 4D/5D/6D/


      angka GHOIB; laos






      Delete
  2. Salam, saya mintak izin utk guna sebahagian artikel ini sebagai rujukan dan isi utk esei saya. terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh digunakan dengan disebut sumber rujukan, iaitu zurinah hassan, rencana Usman Awang.....dsbnya.

      Delete