ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, August 02, 2014

DI ATAS PADANG SEJARAH

Kusimpan tulisan rakan DJAZLAM ZAINAL DI FB.

DI ATAS PADANG SEJARAH



November 7, 2013 at 9:30pm
Dalam beberapa dekad Malaysia mengisi kemerdekaannya. Ada beberapa kumpulan puisi bara yang menyatakan suara hati pemyair yang duka di dalamnya. Antaranya ialah kumpulan puisi 'Telok Gong ', ' Suara Tujuh ', ' Dari Derita Bangsa ' yang mana penyair/ humanist Usman Awang terlibat secara penuh menerbitkannya. Yang terbaru, A. Samad Said secara solo menerbitkan ' Di Atas Padang Sejarah '. Ternyata ' Di Atas Padang Sejarah ' mempunyai sejarahnya sendiri. Dekad milenium Abad ke 21 menampakkan gejala provokatif sosial dan politik yang agak seru. Demontrasi jalanan bagai maraton menunjukkan kejengkelan massa atas kebejatan penguasa mencapai ratusan ribu penyertaan rakyat ke jalan-jalanraya. Suara Pak Samad dilaung bukan saja dalam puisi malah dalam pentas-pentas demontrasi. Suara Pak Samad yang dibisukan oleh media-media perdana yang berpihak, terus mengaum dalam media alternatif dan media baru, face book dan twitter.

Di Atas Padang Sejarah ' merupakan puisi-puisi yang tersiar di pelbagai media alternatif dan media baru ini. Usaha Rahmat Haron mengumpulkan puisi-puisi Pak Samad yang bertebaran ini adalah usaha yang harus disambut dan disanjung karena ia merupakan sebuah dokumen sejarah yang harus kita renung dan fikir-fikirkan. Dalam ' Di Atas Padang Sejarah ' ( hal. 70 ) Pak Samad menulis;

di dataran sejarah suara kita sesubur rumput
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut
lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri

rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita bangsa dan sejiwa murni

di atas padang sejarah pantang kita memungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi
dari kita amat padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyuburkan kuning berseri

kita tenaga jati gah berjuang demi keadilan
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran

Di Atas Padang Sejarah adalah luahan rakyat yang tertindas oleh kelempangan demokrasi. Di padang yang sama, pelbagai retorik dilaungkan untuk meninabobokan rakyat. Di atas padang sejarah yang inilah. kata Pak Samad, kita tenaga jati gah berjuang demi keadilan// kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.

Pak Samad adalah seniman dan penyair. Di atasnya dinobatkan Pejuang Sastra ( 1977 ) dan Sastrawan Negara ( 1985 ). Pak Samad juga merupakan museum hidup dan kamus waktu yang sentiasa bergerak dan dirujuk. Pak Samad telah mengalami beberapa dekad sejarah sejak Perang Dunia ke 2 lagi. Menulis cerpen dan novel Salina yang gah itu. Deretan novelnya yang lain ialahSungai Mengalir Lesu, Adik Datang, Hujan Pagi, Keladang, Lantai T. Pinkie, Wira Bukit ( drama ) dan ratusan puisi menunjukkan Pak Samad adalah pencatat waktu silam yang keruh dan bergelora. Tanpa karya-karyanya, kita tidak dapat mengetahui keadaan sebenar waktu silam tersebut.

Semua itu dikenang kembali dalam puisi ' Senandung Rumah Pusaka ' ( hal. 53 )

tembuk ini denai sejarah, batunya kukuh bata
jendelanya renda ukiran tempat unggas berpesta
lantai ini batu dari gunung inti alam purba
tembuk, jendela dan lantai dilengkapi genting waja
lalu tegaklah pondok asal, istana duka ria
di sinilah nafas kami ranum, wangi dan dewasa
sejak leluhur kami singgah melalui akarnya
segala tangis dan ketawa, jaya atau kecewa
dalam kawasan inilah ia mula dan bergema!

Lihatlah bagaimana Pak Samad menyusui rumah pusaka. Bagaimana agam dan tegapnya, rumah tercinta ini yang pada hujungnya disigap dan disimpai, dan di lantai, terbuka busana jendela dan genting// kami terus pupuk hingga segemilang bangsa disunting.

Pak Samad banyak bercakap hal ini. Usia Pak Samad menjangkau lebih 80 tahun sekarang. Pak Samad memegang amanah sebagai manusia berfikir dan berzikir. Sebagai penyair dan seniman, Pak Samad berdiri dengan pendirian sentralnya. Pak Samad tidak berpaut kepada kepartaian seperti Shahnon Ahmad atau A. Samad Ismail. Beliau tidak berpihak kepada mana-mana partai politik seperti juga Usman Awang. Yang didokongnya adalah kebenaran dan keadilan sama ada mereka di pihak penguasa atau oposisi. Karena yang dilihat benar adalah tubuh yang berada di pihak oposisi, maka Pak Samad dilihat sebagai puak kiri. Tidak pernahkah Pak Samad melihat tubuh dan memihak kebenaran di pihak pemerintah? Baliau melihat tubuh-tubuh penguasa ini 'Bermandi Janji ' ( Hal. 52 ) Lihat secara realitinya yang ditulis oleh Pak Samad;

berbilliona ataupun berjuta
tidak kiralah angka jumlahnya
asalkan apa yang diamanah
benarkah memang ditunai sudah?
samalah juga dengan royalti
waktu lawatan bermandi janji
sebaik pulang kering perigi
sesama bangsa pun masih berdengki
janji stadium tiada bezanyaagu yang masih pincang nadanya
janjilah janji, janjilah janji
lidahnya licin, hati berduri
yang untung bujang bestari
ringgit selepoh sedang menyanyi
jangan kahwin sementara ini
karena pak brim sedang menanti

kita dalam era mengkarung
syarikat bilis, niaganya jerung

Apa yang menariknya ialah dibagian penutupnya; kita dalam era mengkarung// syarikat bilis, niaganya jerung.

Inilah yang sedang menyelimuti langit demokrasi di negara tercinta ini.

Rahmat Haron dalam pengantarnya menyebut, hampir kesemua puisi yang dikumpulkan dalam kumpulan Di Atas Padang Sejarah ini telah terbit sebagai bahan penciptaan atau pun sajak siap di pelbagai saluran media baru Internet. Pak Samad dalam usia emas awal 80an, telah mengagahkan diri penuh tekad berkeliling seluruh pelusuk negara menyemarak semangat rakyat melawan kezaliman penguasa. Beberapa puisi Pak Samad seperti ' Pemimpin Catakserisin ', ' Unggun Bersih ', atau ' Janji Demokrasi ', menjadi antara sajak-sajak ikonik yang mewakili semangat zaman perubahan. Sehinggakan  bait ' puisi jadi senjata ' yang diucapkan oleh Pak Samad menjadi semacam mentara hikmat slogana perjuangan seni anak-anak muda, para pecinta keadilan dan demokrasi. Tanpa kenal lelah, terkadang berpuisi, terkadang berceramah, kini sudah seringkali Pak Samad berhimpun dan berdemonstrasi.

Banyak puisi menunjukkan dera jiwa. ' Selagi Tidak ' ( hal. 24 ) Pak Samad menulis;

selagi tak kita bahagi
seadil-adilnya royalti
kepada yang memang hakiki
usahlah bangga mengakui
diri kuasawan berbudi
selagi tidak kita serah
bayaran hak ke buruh paksa
walau sudah sedekad sudah
usah kita mendabik dada
mengakui pembela bangsa

Ini merupakan suasana yang sedang berlaku hari ini. Suatu yang menjadi bahan bualan rakyat jelata. Sebuah negeri dinafi hak menerima royalti. Namun sebagai seorang hamba, Pak Samad beristiqomah. Puisi " Sebaik Damai Di Atas Sejadah ' ( hal. 29 ) membuktikan'

sebaik solat sepenuh kasih
setiap tindak wajiblah jernih
tak wajar tumbuh racun rasuah
berbaju ringgit, bercapal roda
juga tak manis berjanji bising
kami dengar di tiap dinding
jika hutang setengah negeri
apa bangganya janji diisi
sebaik damai di atas sejadah
tuluslah sebagai hamba allah
agar tak diulang dosa bangsa
moyang yang poya, cicit yang lara

Lihat dan baca pula puisi Pak Samad sebagai cerminan dan bukannya celaan. Tidak hina kita mengakui kesilapan secara jujur bukan sebagai meraih simpati rakyat untuk memancing undi. Untuk dirinya sendiri, Pak Samad menulis, ' Dedaun Hidup ' ( hal. 38 )

lapan puluh satu dedaun hidupku
melayang merimbun ke usia itu
sempat memperindah taman ibadahku
cermat, tidak kuluka batin bangsaku
maka celikku damai, lelapku syahdu
ku berdoa mercuplah benih amalku

kepada yang meluat akan sikapku
kutuklah semual dan sejengkel perlu
cuma, biar seikhlas depan tuhanmu
lapan puluh satu dedaun hidupku
kusyukur anugerah seihsan itu
ya, derita pun cantik jika dari-Mu

Ya, cantik sekali ungkapannya, derita pun cantik jika dari-Mu.

Menatap puisi Pak Samad dalam Di Atas Padang Sejarah, pembaca seperti menyimpul intimakna selaut maknawi hidup di negara kita yang bergelora ini. Pak Samad adalah seniman yang terdera, terdera jiwa dan inderanya oleh oknum-oknum berupa manusia.

No comments:

Post a Comment