ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Sunday, July 23, 2006

Rencana ini disiarkan di Dewan Budaya, Mei,2005
Zurinah Hassan
LIRIK LAGU DAN JATIDIRI BANGSA
Semasa kecil saya jarang keluar bermain seperti kanak-kanak lain tetapi lebih banyak duduk di rumah dan mendengar radio. Dari radio saya mendengar lagu-lagu yang diputarkan. Dari sini timbul minat menyanyi dan menyalin senikata lagu. Kerana bangkangan keluarga saya tidak jadi penyanyi . Tetapi senikatanya telah mendidik saya untuk berseni-seni dengan kata-kata.
Lagu-lagu pada masa itu kebanyakannya mempunyai senikata yang indah. Banyak pula yang berupa pantun terutama lagu-lagu Melayu Asli. Lagu-lagu inilah yang banyak mengajar saya menghayati dan mencintai pantun Melayu yang tinggi pemikiran dan falsafahnya. Dari lagu-lagu yang menggambarkan alam saya mula mengenal apa yang dipanggil metafora dan perlambangan. Dari sini tumbuh kecintaan terhadap kata-kata puitis sehingga saya sendiri mula menulis puisi. Antara pantun yang saya rasa amat indah dan mendalam maknanya ialah senikata lagu Mas Merah
Sayang mas merah emas tempawan
Emas sekati timbangan badan
Tuan umpama embun di awan
Memberi sejuk rumput di laman.

Mas Merah yang disanjung digambarkan berada setinggi awan dan sesejuk embun yang menyegarkan rumput di laman.Dari sini saya memahami erti keakraban dengan alam. Alam dilukiskan untuk membangkitkan suasana romantis , ceria atau sedih. Alam digunakan untuk memperkatakan perasaan terhadap seseorang atau untuk mengisahkan pengalaman diri.
Sebagai seniman Melayu, pemikiran penulis lirik juga dibentuk dan dipengaruhi oleh alam dan kehidupan di sekeliling. Antara penulis senikata yang produktif pada masa itu ialah Jamil Sulong, S.Sudarmaji dan H.M.Rohaizat. Perasaan tidak dinyatakan dengan secara terus terang tetapi melalui bahasa yang mengandungi kiasan atau sindiran. Misalnya lagu Jangan Adik Angan-angan .
Jangan janganlah adik angan angan
Merayau ke alam impian
Duduk termenung kesepian
Tiada teman
Tujuh gunung lautan, lautan
Sembilan lautan alah intan
Umpan kutabur dah makan
Ikan dah makan.
(lirik: S.Sudarmaji. Nyanyian:P.Ramlee dan Rahmah Rahmat)
Lagu ini menggambarkan seseorang yang telah merantau jauh dan kini bertemu sesuatu yang diidamkan. Kegembiraan ini tidak dinyatakan secara terus terang tetapi diselitkan di sebalik perlambangan dan diumpamakan sebagai umpannya telah dimakan oleh ikan.
Lebih dari itu, alam juga dianggap mempunyai perasaan seperti manusia dan boleh menjadi sahabat yang membantu. Manusia berkata-kata dengan alam Hal ini terlihat dalam lagu Bulan dan Juga Angin. Bulan dan angin dikatakan boleh menyampaikan pesan kepada orang yang dikasihi.
Bulan dan juga angin
Engkau jadi saksi
Bawalah pesanku ini
Kepada dia yang kucintai
Bulan dan juga angin
Engkau bisikkanlah
Yang aku akan kembali
Menyempurnakan segala janji.
(lirik oleh S.Sudarmaji.Penyanyi:P.Ramlee dan Normadiah)
Lirik lagu dan masyarakat
Lagu dan lirik lagu memainkan peranan yang besar di dalam kehidupan manusia. Sebagai hasil seni, lagu dan dendangannya adalah cerminan jatidiri sesuatu bangsa. Oleh itu, lirik lagu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh. Lagu yang disiarkan di radio akan berkumandang ke seluruh ceruk rantau, didengar oleh berjuta-juta orang. Lagu yang popular akan disiarkan berulang kali Secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak langsung, secara mendadak atau perlahan, akan meresap dan berkesan di jiwa dan penghidupan pendengarnya. Lirik lagu menyumbang ke arah pembentukan minda sesuatu bangsa. Oleh itu lirik lagu harus diperhatikan agar tidak membawa kesan negatif.
Di samping itu lirik lagu juga menjadi dokumentasi kepada perjalanan bangsa yang melahirkannya. Di sebalik lirik lagu Melayu akan terkesan pelbagai peristiwa, pergolakan dan fenomena sosial budaya yang telah kita tempuhi. Misalnya ada lirik yang memperkatakan tentang kemeriahan joget moden di Singapura pada tahun limapuluhan dan kegilaan pemuda-pemuda Melayu menghabiskan wang di sana iaitu lagu, Kalau Datang ke Singapura dan Pemuda Singapura nyanyian R.Azmi. Secara tak langsung ia telah membayangkan kemalapan nasib Melayu di pulau itu akibat terlonta dalam arus hiburan yang melalaikan. Masalah pengangguran telah diperkatakan melalui lagu Aku Penganggur nyanyian Sudirman sementara Lagu Ekspress Rakyat oleh M.Nasir boleh dijadikan catatan tentang peranan keretapi dalam mewarnai pengangkutan negara.
Salah satu masalah negara ialah penghijrahan anak-anak muda ke bandar yang meninggalkan sawah ladang untuk dikerjakan oleh orang-orang tua. Permasalahan ini dinyanyikan oleh DJ Dave dan liriknya ditulis oleh Habsah Hassan.
Saujana mata memandang
Kehijauan sawah terbentang
Tenangnya sungai mengalir
Perahu nelayan ke hilir

Pepohon melambai-lambai
Beburung terbang berkicau riang
Di sini kasih tertumpah
Indahnya bumi bertuah

Alangnya di sana sini
Hanya ayah tua yang bekerja
Ibunda di rumah menanti
Anak muda ke kota
Hibanya rasa d hati
Ke mana rakanku menghilang diri
Kekasih ku turut tergoda
Tinggalkan ku di desa.
Lirik Lagu dan Nilai Estetika
Baru-baru ini seseorang berkata , bahawa menulis lirik adalah umpama bermain scrabble atau sahibba, ada ruang dan petak yang perlu diisikan.Maksud beliau, mengapa terlalu prihatin dengan penyusunan kata kata dan tatabahasa. Beliau berkata demikian sebagai menjawab kritikan terhadap lirik lagu Gemilang (nyanyian Jaclyn Victor) yang telah diangkat sebagai lagu terbaik Juara Lagu Memang benar, seorang penulis lirik harus mematuhi had-had dan sukukata yang telah ditetapkan oleh irama lagu tetapi ini tidak bererti penyusunan kata-kata tidak penting. Lirik yang celaru akan mengelirukan mesej sedangkan nilai estetika sebuah lirik terletak pada susunan kata-kata dan mesejnya. Cuba kenang kembali beberapa buah lagu yang masih melekat di hati, walaupun telah jauh masa berlalu. Adakah lagu itu akan meninggalkan kesan sedemikian jika liriknya berlainan.
Ingatlah betapa hebatnya kesan dari ungkapan dalam lagu Getaran Jiwa (Lirik oleh S.Sudarmaji nyanyian P.Ramlee) dari filem Antara Dua Darjat itu. Baris yang dimaksudkan ialah:

‘Andai dipisah, lagu dan irama
lemah tidak berjiwa ..hampa’

Barangkali itu adalah dua baris lirik yang paling melekat di hati kita dalam sejarah penulisan lirik lagu Melayu. Baris-baris ini menjadi iconic diulang setiap masa oleh sesiapa sahaja bagi menyatakan hubungan yang sangat erat atau betapa sesuatu (atau seseorang) memerlukan yang lain. Ungkapan “Irama dan Lagu tidak dapat dipisahkan” begitu mesra dengan kita. Kesan itu mempengaruhi lirik-lirik selepasnya misalnya Fantasia Bulan Madu . Selain kehebatan Amy Search, kekuatan lagu juga terletak pada liriknya.
Andai dipisahLaut dan pantaiMusnahlah ilhamHilang pedomanAndai dipisahCahaya dan bulanGelap gulitaMusnah asmara
Sebaris lagi lirik yang sangat berpengaruh terdapat di dalam lagu Penantian nyanyian Zubir Ali dan kumpulan Harmoni.Lagu ini sangat terkenal di sekitar tahun lapan puluhan Baris yang paling berkesan itu ialah ” Penantian satu siksa yang tidak tertanggung’. Baris itulah yang disebut di bilik kuliah, dewan ceramah dan di mana sahaja oleh sesiapa sahaja yang jemu menunggu seseorang.

Lirik lagu lebih mudah meresapi pemikiran rakyat (terutama anak-anak muda), lebih-lebih lagi jika perkara yang dinyanyikan itu ialah kisah hidup mereka sendiri. Umpamanya bila Zubir Ali mendendangkan “penantian satu siksa yang tidak tertanggung” maka perasaan itu dialami dan dipersetujui oleh orang ramai. Melalui baris itu masyarakat seolah-olah telah menemui satu saluran untuk meluahkan apa yang mereka sendiri alami selama ini.
Mesej yang disampaikan melalui lagu lebih mudah sampai berbanding sebuah puisi. Oleh itu lagu telah dijadikan saluran atau media pendidikan. Misalnya ibu-ibu menyanyikan lagu nasihat dan berselawat mengikut irama kepada anak-anak
Oleh itu lagu adalah saluran dakwah yang berkesan. Dakwah tidak terhad kepada lagu-lagu nasyid sahaja. Lagu-lagu popular juga dianggap berdakwah jika senikatanya menyampaikan sesuatu pesanan positif untuk kebaikan masyarakat. Sebagai contoh ialah mesej yang disampaikan melalui lagu Seroja , nyanyian asal S.Effendi dan kini dipopularkan kembali oleh Jamal Abdillah dan semakin popular bila Mawi menyampaikannya pada konsert akhir Akademi Fantasia 3. Dalam lirik yang dihasilkan oleh Hussein Bawafie ini terdapat beberapa baris yang amat bermakna:
1-Rupa yang elok di manja, jangan dimanja
Pujalah ia oh saja, sekadar saja.

2- Sekarang bukan bermenung
Zaman bermenung

Petikan yang pertama dapat membawa kesedaran agar tidak berkhayal dan yang kedua berperanan untuk membina semangat untuk bekerja kuat, tidak bermenung tetapi terus maju mengikut peredaran zaman.

Lihat pula lagu Gadis Melayu yang pernah dinyanyikan oleh Osman Hamzah dan kini dipopularkan kembali oleh Jamal Abdillah. Lagu ini juga semakin bertenaga bila Mawi ditugaskan membawanya di pentas Akademi Fantasia. Beberapa bahagian lirik mengandungi unsur motivasi , memupuk semangat dan kesedaran tentang harga diri kepada gadis Melayu.

Siapa bilang gadis Melayu tak menawan
Tak menarik hati tiada memikat
…………………………….
Antara gadis-gadis seluruh dunia
Tiada yang sehalus tulus semulus dia
Antara gadis-gadis seluruh dunia
Tiada yang sehalus tulus semulus dia
Budi bahasanya
Pandangan matanya
Membuat kutergoda.

Lirik lagu semasa
Kebanyakan lagu masa kini tidak mementingkan lirik kerana berpendapat lirik tidak berperanan untuk melariskan album. Kata orang, asal ada cukuplah. Kerana itu sering terlihat kekeliruan di dalam imej, dan kecelaruan dalam mesej. Walau bagaimanapun terdapat beberapa lagu yang bermutu dari segi liriknya. Terdapat usaha untuk menerapkan pemikiran dan falsafah hidup melalui metafora dan perlambangan dari unsur alam seperti hujan, pohon-pohon, sungai atau laut. Cuba lihat lagu Akar dan Bumi dari kumpulan Amuk. Antara lain liriknya berbunyi:.
Tinggi-tinggi kelapa bali Walaupun tinggi kental berdiri Tidak pernah lupa diri Tidak pernah megah diri Mencengkam akar di bumi Rimbun-rimbun daun dedalu Tinggi di atas sombongkan diri Pandang langit lupa bumi Menumpang menunggu mati
Penulis membandingkan kelapa bali dengan dedalu yang tumbuh rimbun dan tinggi dengan cara menumpang pada pokok lain. Si dedalu merasa sombong kerana ketinggiannya lalu lupa pada bumi yang rendah. Kelapa bali yang mencengkam bumi dengan akarnya sendiri adalah simbol individu yang berperibadi , berbeza dengan seorang yang mempergunakan orang lain. Akhirnya kelapa bali tetap teguh mencengkam bumi sedangkan dedalu akan mati bila pokok yang dipanjatnya mati.

Terdapat lirik lagu yang mencerminkan ketinggian nilai-nilai budaya seperti Hati Kama yang ditulis Hairul Anwar Harun, nyanyian Noraniza Idris dan Siti Nurhaliza.
Mengindang-ngindang padi huma
Mengindang dalam tampaian
Memandang-mandang Hati Kama
Memandang-mandang dalam renungan


Mendengar lagu ini kita terbayang dua orang gadis yang sedang mengindang atau menampi padi. Ketika menampi itu lalu seorang yang menarik perhatian kerana pekerti dan tingkah lakunya.Mengindang-ngindang padi bererti menampi-nampi untuk mengasingkan yang bernas dari yang hampa, yang beras dan yang antah. Perbuatan mengindang adalah simbolis dari memilih antara baik dan yang buruk. Malangnya generasi muda tidak lagi mengenal indang atau nyiru, malah tidak dapat menghayat ketinggian falsafah yang terdapat padanya.Peribahasa Melayu berkata, “Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan” Ini bermaksud setiap pemberitan hendaklah ditampi, ditapis dan dnilai kalau-kalau ia mengamdungi sesuatu muslihat. Jangan terus menerima tanpa diselidiki.
Usaha yang terpuji juga datang dari kumpulan rap seperti kumpulan Ahli Fikir dan Too Phat. Moga-moga dalam keghairahan anak-anak muda dengan irama rap mereka akan memahami apa yang disampaikan oleh Ahli Fikir melalui lagu Samseng( (menyelar golongan yang menunjuk-nunjukkan kekuatan fizikal) Begitu jugaToo Phat dengan lagu Alhamdulililah yang mengingatkan manusia supaya jangan kufur terhadap nikmat Allah kerana:
Sebesar rumah bermula dengan sekecil bataBoleh hilang dalam sekelip mataUcaplah Alhamdulillah bukannya sukarKerna semana kaya atau besarTetap Allahuakbar...
Berjuta-juta lagu dan lirik telah dihasilkan sehingga kini dan dunia nyanyian terus berkembang dan semakin canggih. Semoga dunia nyanyian kita terisi dengan para penulis lirik dan seniman yang peka untuk membina minda dan memupuk akal budi,prihatin terhadap nasib dan masa depan bangsa. Semoga mereka sentiasa sedar bahawa kreativiti yang dimiliki adalah kurniaan dari Allah SWT. Dan dia akan ditanya tentang bagaimana bakat dan kreativiti itu telah dipergunakan. Inilah yang terselit dalam lirik lagu rap Too Phat, Alhamdulillah.

Bakat dikurnia jangan disalahgunaJangan kufur nikmat yg diberi percumaGuna kelebihan untuk khidmat bersamaJagalah nama.