ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Monday, August 18, 2014

CERITA BERANGKAI HULU NEGERI


OLEH ZURINAH HASSAN
(Dewan sastera Ogos 2010).
aku poskan cerpen lama untuk tujuan simpanan dan bacaan sesiapa yang belum membca atau terjumpa. 

 Tanah Hulu Negeri telah dilanda ribut pemilihan yang kencang. Hampir sebulan lamanya ribut itu menggoncang setiap ruang.

Hari ini daerah itu telah kembali kepada suasananya yang asal tidak lagi diasak oleh segala jenis manusia yang datang entah dari mana.  Mereka yang datang berduyun-duyun telah berangkat pulang ke tempat asal masing-masing. Yang menang pulang dengan senyuman. Yang kalah pulang dengan rungutan.  Maka tinggallah watak-watak di dalam cerita berangkai ini

1. Ina, gadis kecil
Gadis kecil sepuluh tahun  yang dipanggil Ina, menyanyi-nyanyi dan menari-nari riang. Ina merasa senang kerana ayah dan ibu sudah berada di rumah. Dalam perkiraan Ina sudah begitu  lama dia tidak dapat bermesra dengan ibu dan ayah. Mereka keluar rumah awal pagi dan tidak pulang hingga larut malam.  Ibu memujuk Ina supaya bersabar kerana ayah dan ibu mesti bekerja keras. Ayah dan ibu sibuk mengatur perjumpaan dan ceramah. .

Ayah dan ibu  bekejar ke sana ke mari merayu kepada orang-orang yang dikenali dan orang-orang yang tidak dikenali agar datang ke padang mendengar pidato. Pada malam pemimpin negara datang menyampaikan ucapan ayah dan ibu  tak senang duduk dilanda resah gelisah takutkan padang tidak penuh sesak . Kalau tidak ramai yang datang,  mereka akan dianggap tidak cekap dan tidak pandai menjalankan tugas publisiti. Ayah dan ibu  sangat mengharapkan puji-pujian dari pemimpin. 

Suasana semakin lega sekarang. Di luar tiada lagi orang-orang yang tidak dikenali berjalan-jalan ke sana kemari. Tiada lagi orang berkumpul dan bercakap kuat bagai akan putus urat leher. Ina pun menyanyi lagu kesukaannya;
yang laut balik ke laut
yang darat balik ke darat

Dia melambai-lambaikan selendang panjang ibunya, menggayakan tarian Ulet Mayang yang dipelajarinya di sekolah. Dia menyanyi dan menari  di hadapan abang  sulungnya Asrul .

2- Asrul yang ingin jadi sasterawan
Asrul, seorang pemuda kacak berusia dua puluh empat tahun lulus dari sebuah university tempatan.  Petang itu Asrul duduk di kerusi panjang memandang ke arah adik bongsunya Ina yang sedang menari-nari. Suara Ina agak membingitkan tapi Asrul tidak berani menyuruh adiknya diam. Gadis kecil itu adalah anak  bongsu kesayangan semua orang di dalam keluarga.Usianya jauh lebih muda dari abang-abangnya. Kadang-kadang Asrul hilang sabar dengan perangai Ina yang masih kebudak-budakan itu. Suara dan aksi Ina agak mengganggu jalan fikirannya.


Asrul  yang menyimpan impian untuk menjadi penyair besar itu menulis di dalam buku catatannya:

Wahai di manakah tempat bangsaku akan berteduh
Bumbung lama seperti akan runtuh
Bumbung baru seperti tidak teguh.

Asrul terus berfikir . Dia  berharap akan  diilhami dengan baris-baris yang lebih baik untuk menggambarkan keadaan bangsanya yang sedang keliru itu. Kekeliruan itu jelas terlihat di dalam suasana kampungnya pada minggu minggu yang telah berlalu.   Pemilihan yang telah berlangsung menyaksikan pertandingan di antara dua parti politik yang besar. Kedua-duanya menggunakan warna biru. Maka penuh sesaklah kampungnya dengan poster dan sepanduk berwarna biru bergantungan di sana sini, berbuai-buai ditiup angin. Biru di sana biru di sini. Sehingga bolehlah disifatkan sebagai  haru biru.  

Pagi tadi dia sempat membaca cerpen baru, seorang sasterawan tersohor yang diminatinya. Cerpen itu mengisahkan tentang sekumpulan kambing yang baru saja kematian gembala. Kambing yang beratus-ratus ekor itu sudah kehabisan rumput untuk diragut. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Kambing-kambing itu mengebek-ngebek dan memekik-mekik mencari tempat perlindungan. Suara mereka kedengaran begitu sayu seolah-olah memanggil gembala yang sudah tiada untuk membawa mereka ke tempat perlindungan.

Mereka ternampak dua buah bangsal. Sebuah bangsal sudah lama didirikan dan sebuah bangsal lagi baru sahaja bertapak. Mereka hendak ke bangsal yang lama tetapi terdengar suara melarang “Hey, jangan ke situ. Di situ ada serigala yng ganas. Dia akan meratah kamu”. Mereka hendak ke bangsal yang baru tetapi ada suara menegah  “Jangan ke sana, di sana ada ular yang bisa. Dia pandai membelit”.

Asrul dapat menangkap maksud cerpen itu.  Sang sastrawan sebenarnya tidak bercakap tentang kambing. Kambing itu adalah dirinya, keluarganya dan orang-orang yang seketurunan dengannya. Mereka sekarang dalam  kecelaruan yang amat sangat. Mereka sudah tidak tahu yang mana fitnah dan yang mana benar. Di kiri dan di kanan mereka diasak dengan pelbagai cerita dan kata nista. Gambar-gambar yang tidak senonoh disebar luas sehingga kepada anak-anak sekolah sebaya Ina. Sungguh  pelek hal ini boleh berlaku di dalam masyarakat dan negara yang telah mengharamkan segala bentuk fornogarfi

Sejak keluar  universiti dua tahun yang lalu Asrul kerap membaca karya-karya sastera dan cuba menulis puisi. Begitulah cara dia mengisi masa sambil membantu ayahnya  Umar menjaga  ayam ternakan. Walaupun dia mendapat imbuhan tetap  RM sembilan ratus untuk memberi makan ayam dan membuat kerja-kerja di  reban,  Asrul masih menganggap dirinya seorang siswazah menganggur.

Setiap hari dia berharap akan dapat meninggalkan reban ayam ayahnya. Dia menunggu dan mengharap akan tibanya surat yang menjemputnya ke jawatan yang diidamkan. Betapa bahagianya kalau dapat berkerja  di pejabat yang berhawa dingin,  memakai kot dan tali leher.

Dia juga ingat kepada hutang PTPTNnya yang masih belum berkurangan.Kabarnya jumlah hutang akan bertambah kerana bayaran perkhidmatan akan dikenakan. Itu yang membebankan minda Asrul sekarang. Dalam keadaan itu dia sering menulis puisi yang bernada sinis dan marah-marah . Dalam keadaan begini dia mudah dihasut: Kau tak dapat kerja kerana duit negara sudah habis akibat amalan rasuah dan pembaziran.

Tapi apa yang dapat dibuatnya selain menolong ayah di reban. Sekurang-kurangnya dapat juga sedikit wang. Kata ayah  Asrul tidak perlu mengharapkan  kerja lain, lebih baik tumpukan saja kepada bidang ternakan. Dia sepatutnya berusaha untuk menjadi petani dan penternak moden. Kerajaan telah sediakan pelbagai bantuan untuk orang yang mahu berusaha di dalam bidang ini. Bukankah ada kalimah yang terpampang di papan-papan tanda : Pertanian adalah perniagaan.

Asrul tidak berani bertengkar dengan ayahnya. Dia cuma bersungut di dalam hati: “kalau aku nak jadi penternak ayam apa gunanya aku belajar sampai ke universiti. Orang yang tidak ada sijil SPM pun boleh buat kerja-kerja begini. Apa gunanya aku jadi siswazah kalau hendak buat kerja-kerja kotor seperti ini.”

Tugas Asrul bertambah dengan kedatangan pilihanraya.  Selepas memberi makan ayam dan mencuci reban, Asrul disuruh mengetuai kerja-kerja menampal poster dan sepanduk Parti Lama  yang akan bertanding melawan Parti Baru.   Sebagai anak  yang patuh,  Asrul menjalankan tugasnya. Namun sebenarnya dia tidaklah taksub dengan  mana-mana parti pun. Dia sedih bila diberitahu banyak wang  negara yang hilang akibat amalan  rasuah dan pembaziran pemimpin-pemimpin Parti Lama. Namun  dia tidak yakin Parti Baru  boleh melakukan apa-apa keajaiban untuk mengembalikan wang negara yang hilang itu.  Dia hanya memerhatikan apa yang sedang berlaku dan berlalu di hadapan matanya. Biarlah semua itu berlalu . Dia akan mengundi pada hari pemilihan, tetapi belum tentu  simbol mana yang hendak dipangkahnya.

Simbol kedua parti bertampalan dan bergantungan penuh sarat dan berat di segenap pokok dan tiang di kampungnya. Kedua parti berlawan-lawan untuk membanyakkan sepanduk-sepanduk mereka.  Terjadi juga perkelahian untuk merebut pokok kelapa untuk menampal poster. Inilah yang dinamakan  perang poster. Asrul tahu ramai kawan-kawannya yang seronok dengan keadaan ini. Mereka mengambil upah menampal poster dan merosakkan  poster parti lawan.  Kadang-kadang mereka merosakkan poster parti yang mereka tampal sendiri supaya boleh ditampal lagi dan diupah lagi.


Kadang-kadang terlintas juga di pemikiran Asrul. “Ah apalah gunanya beriya-iya menggantung poster. Apalah gunanya  menonjolkan sesuatu simbol parti  kalau selepas menang pilihan raya, seorang wakil rakyat boleh melompat ke parti lain. Tidakkah ini semua kerja bodoh dan sia-sia” . Pada pendapat Asrul, sepatutnya dibuat undang-undang tidak boleh berpindah parti selepas menang atau batalkan saja kerja-kerja menggantung poster.  Semua pemikiran itu tinggal di dalam benaknya sambil dia terus melakukan sahaja apa kerja-kerja menggantung poster seperti yang disuruh oleh ayahnya Umar.

3- Umar, tauke ayam
Umar, ayah Asrul yang berusia empat puluh lima tahun, dikenali di Hulu Negeri  sebagai tauke ayam. Umar memang sangat berterima kasih atas limpah bantuan dan pertolongan pihak berkuasa. Jikalau tidak kerana bantuan-bantuan ini dia yakin reban ayam tertutupnya tidak akan siap. Langkah pertama ialah memohon pertolongan di bawah skim tanah terbiar. Umar menerima beberapa ribu RM  untuk  menebang belukar dan meratakan tanah.  Sebelum itu  dia sudah beberapa kali turun naik pejabat wakil rakyat  untuk memohon sokongan bagi membuat pinjaman. Akhirnya pinjaman itu diluluskan walaupun jumlahnya kurang daripada yang dipohon.

Reban tertutup telah  didirikannya dengan modal yang besar. Umar  bekerja keras dan cuba mengatasi pelbagai  masalah yang mendatang.  Kadang-kadang ayam sakit dan hasilnya berkurangan. Mujur juga ada  insentif khas untuk pengeluaran makanan. Umar bergantung harap kepada insentif tersebut untuk melegakan bebanannya. Malangnya sejak awal tahun lalu kerajaan telah memberhentikan pemberian insentif pengeluaran makanan dengan alasan kekurangan dana. Umar merasa sakit dan tersepit. Beberapa kali terlintas di fikirannya untuk tidak mengundi Parti Lama.

Hati Umar berbunga kembali dan semakin teguh bersama Parti Lama kerana baru-baru ini dia dapat bercakap-cakap sendiri dengan menteri. Dia meluahkan segala masalahnya. Pada hari itu juga menteri telah mengumumkan bahawa pemberian insentif pengeluaran makanan akan diteruskan. Beliau juga    meluluskan bantuan serta merta  sebanyak RM dua puluh ribu untuk mempertingkat perusahaannya. Menteri juga bersetuju untuk menurap jalan masuk ke reban yang selama ini becak.. Jalan itu sudah menjadi beban masalah yang sangat berat baginya.  Lori membawa dedak pernah tersangkut beberapa kali. Sudah bertahun dia merayu agar dibuat sesuatu tetapi jawaban yang didapatinya sama sahaja, iaitu kerajaan tiada peruntukan. Bukan Umar seorang yang mengeluh. Di situ juga ada Pak Sani yang menternak kambing dan Haji Osman yang menanam nenas.  Tetapi bila menteri melawat  dia terus meluluskan peruntukan untuk menurap jalan.

Kerana bantuan ini Umar sanggup berhujjan dan bertengkar di sana sini sehingga kerongkongnya perit dan batuk-batuk. Umar tidak jemu-jemu mengingatkan anak-anaknya supaya jangan terpengaruh dengan kempen-kempen parti lawan. Kata Umar kita mesti tahu mengenang budi dan menghargai jasa . Pilihlah orang  yang  telah menunjukkan jasa dan menolong kita selama ini. Umar bertengkar dengan orang-orang yang sudah termakan dengan hasutan parti lawan dan berkawan rapat dengan ketua-ketua parti lawan, termasuklah adiknya sendiri, Salleh.

4- Salleh, penjual cd ceramah
Salleh yang berusia empat puluh tahun tinggal di kampung Hulu Negeri tanpa sebarang kerja yang tetap selain menolong isterinya membuat direct selling satu produk kesihatan. Pendapatan mereka tidak menentu dan inilah yang sering mencetuskan perbalahan dengan isterinya. Tetapi sejak tiga tahun yang lalu mereka sudah jarang bertengkar kerana Salleh sudah dapat membawa pulang wang yang mencukupi untuk makan minum dan menyengolahkan anak-anak. Salleh mula aktif ke sana ke mari mengikut ketua-ketua Parti Muda yang mengadakan ceramah di seluruh negara.

Salleh meninggalkan rumah berhari-hari untuk mendengar ceramah pemimpin-pemimpin Parti Muda. Dia akan membawa bersama alat perakam yang dibelinya secara berhutang dari kedai Ameng. Ceramah itu dirakam dan diperbanyakkan. Cakra padat itu diedar kepada rangkaian penjual pasar malam dan pasar siang.

Cakra padat yang berisi pidato pemimpin-pemimpin Parti Baru selalunya laris. Ramai yang sudah menjadi peminat dan leka menonton pemidato yang petah. Pelbagai cerita dan tidak kurang juga kata nesta yang disampaikan dengan nada yang memikat. Mereka memiliki gaya yang hebat. Mereka menguasai seni  retorika Penonton tak habis-habis ketawa kerana mereka juga pandai berjenaka mengalahkan Raja Lawak yang dicari oleh sebuah stesen television. Inilah satu  corak hiburan baru di dalam negara  yang menguntungkannya. Memang hebat pidato ketua-ketua Parti Baru., penuh jenaka. Pedas dengan nista, tajam dengan tuduhan-tuduhan terhadap Parti Lama. Pidato-pidato seperti inilah yang memikat ramai pendengar. Tentu laris bila dijual di seluruh negara.

Setiap kali Salleh mendapat rakaman baru, dia akan memanggil kawan-kawannya ke rumah. Mereka berkumpul dan menonton hingga jauh malam. Kadang-kadang isterinya Asma menegur, “Awak ni tak habis-habis dengan cd ceramah Parti Baru. Sepatutnya awak dengar juga ceramah Parti Lama. Barulah dapat maklumat yang seimbang. Mana boleh dengar sebelah pihak saja”. Salleh cepat-cepat menjawab rungutan isterinya, “Hah, macam mana nak dengar ceramah Parti Lama. Mana ada orang mereka yang pandai bercakap”. Salleh tidak pedulikan omelan isterinya. Dia tahu Asmah mungkin telah mengundi Parti Lama sebab baru-baru ini keluarganya telah menerima wang  sebanyak sepuluh ribu RM. Wang itu diberikan sebagai pendahuluan. Banyak lagi wang yang  dijanjikan.   Asmah dan keluarganya bergembira sekarang kerana masalah pampasan tanah  yang dihadapi sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu telah dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari sahaja.

Abangnya Umar menuduh dia menjadi pengkhianat bangsa kerana sanggup menyebar bahan-bahan yang berunsur dusta. Dia menyangkal tuduhan itu. Dia membuat kerja-kerja itu untuk mencari rezeki untuk keluarga..Umar tetap berkata dia menyebarkan bahan-bahan yang boleh merosakkan masa depan bangsa. Lama juga mereka bertengkar.  Akhirnya Salleh dan Umar  tidak berteguran lagi.

Keputusan pemilihan sudah pun diketahui. Parti yang disokong oleh Umar sudah pun diistiharkan sebagai pemenang. Pemimpin-pemimpin negara telah hadir di dalam dewan pada malam  pengumuman. Radio dan Television menyiarkannya secara langsung.  , Mereka bertepuk sorak riuh rendah bunyinya.  Tentu abangnya Umar bergembiara dengan keputusan itu. Tentu Umar telah berkata, “Hah biar  padan muka si Salleh yang menyokong Parti Baru itu”.

Salleh sudah menerima kekalahan itu. Tetapi dia tidak merasa satu kerugian yang besar.. Dia sudah merakam banyak ceramah dengan alat perakamnya.  Salleh menyusun dengan teliti cakra padat tersebut. Inilah hasil usaha gigihnya selama dua minggu.  Kali ini dia benar-benar  beruntung. Bukan mudah mendapatkan sebegitu banyak ceramah  hanya dalam tempoh dua minggu dengan tidak payah meninggalkan  Hulu Negeri. Dia tidak payah meninggalkan rumah kerana semua   pemidato-pemidato  hebat  Parti Baru  turun membuat  ucapan di kampungnya. Biasanya dia terpaksa membuat perjalanan beratus-ratus kilometer ke utara atau ke selatan, ke timur atau ke barat untuk mendapatkan ceramah-ceramah yang sebegini banyak.


Salleh  tidak pernah memberitahu sesiapa , parti manakah yang diundinya di dalam pilihanraya.  Tetapi dia berterima kasih kepada Parti Baru kerana selama ini dia dapat mencari rezeki dengan  kerancakan ceramah mereka. Sekurang-kurangnya dia beroleh pendapatan dengan merakam dan mengedar cakra padat. Dia berterima kasih juga kepada Ameng taukey kedai rakaman  dan dan cetakan  cd  yang bermurah hati  memberi  kemudahan dia berhutang alat perakam. Esok dia akan ke kedai Ameng di Bandar sana. Ameng akan membuat suntingan dan membuat segala yang perlu untuk  menghasilkan cd yang menarik. Ameng memang handal di dalam bidang ini.
Terima kasih juga kepada Aseng yang memperkenalkan dia kepada Ameng.  

 5- Aseng, seorang pekedai di Hulu Negeri
Aseng,  50 tahun,  adalah tuan punya kedai yang terbesar di Hulu Negeri. Dia merasa amat gembira kerana dalam masa sebulan kedainya dikunjungi ramai pelanggan. Wang datang mencurah-curah bagaikan air hujan.  Aseng  meletakkan beberapa biji buah limau dan menyalakan colok di hadapan gambar moyangnya .. Dia mengungkapkan kata-kata “Terima kasih moyang kerana telah berusaha dengan pintar sehingga kami sekarang dapat hidup senang di Hulu Negeri”.

Moyangnya bukan penduduk asal negeri itu. Dia telah merantau jauh dari tempat kelahirannya yang selalu dilanda bencana. Kisah kedatangan moyangnya ke Hulu Negeri selalu diperbualkan oleh orang-orang lain yang mengaku keturunan asal tanah itu  sejak turun temurun dan beratus-ratus tahun. Mengikut cerita mereka, moyang Aseng laki  isteri telah berjalan berhari-hari menyusur sungai hingga sampai ke situ. Mereka  ditemui dalam keadaan letih dan kelaparan. Mereka  ditolongi oleh orang-orang kampung yang memang terkenal dengan sifat pemurah dan berbudi bahasa. Moyang Aseng  sihat semula dan menumpang duduk di kampung itu dengan membuat pelbagai kerja untuk mencari makan. Orang kampung pun senang hati melihat kerajinan mereka. . Dipendekkan cerita mereka tinggal di situ hingga beranak cucu.

 Aseng tahu Umar sudah bermasam muka dengan Salleh. Selain Umar dan Salleh,  ramai lagi adik beradik, pupu poyang yang tidak lagi bertegur sapa kerana tidak menyokong  parti yang sama. Dia tahu kerana mereka pernah bertengkar di kedainya.  

Tetapi Aseng tidak pernah bermasam muka dengan sesiapa. Siapa pun yang datang ke kedainya akan dilayan dengan baik. Umar baru saja datang membeli berguni-guni dedak untuk ayam.  Dia bermanis muka dengan Umar walaupun dia tahu kalau tidak dilayan dengan baik pun Umar tetap akan membeli dedaknya kerana dialah yang akan membeli ayam-ayam Umar.

Aseng sudah menelepon sahabatnya  Ameng memberitahu yang Salleh akan datang membawa master cd untuk dibuat suntingan dan salinan. Ameng akan mendapat  banyak wang. Aseng tidak perlu bermasam muka dengan Salleh. Salleh akan mendapat keuntungan dari cd yang dijualnya. Dia akan terus bermanis muka  dengan Asmah dan ramai lagi orang kampung yang telah menerima wang pampasan. Dengan wang yang banyak mereka akan kerap datang dan membeli belah di kedainya.

Sehari dua lagi seorang lagi sahabatnya, Aleng, akan mengaut keuntungan yang berganda-ganda. Parti yang menang sudah menabur janji untuk membesarkan sekolah dan membaiki banyak rumah.  Bahkan ada rumah yang didirikan atau dibaiki semasa tempoh berkempen. Sungguh cepat dan mudah seperti memasak mi segera lakunya. Aleng begitu sibuk melayan kontraktor-kontraktor yang datang membeli paku dan simen.  Siapa pun yang menang tidak menjadi masalah bagi mereka. Inilah nikmat hidup di Hulu Negeri yang bahagia.


No comments:

Post a Comment