ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Tuesday, December 05, 2017


Alam sangat mempengaruhi proses kreatif seorang penyair. Sebahagian besar puisi adalah reaksi kreatif seorang penyair setelah berinteraksi dengan alam dan mentafsir makna daripada objek-objek alam. Daripada tafsiran itu penyair  menemui makna kehidupan yang dilalui olehnya dan manusia lain. Misalnya gunung yang tinggi adalah misalan kepada   harapan dan cita-cita yang sukar dicapai. 
Alam digunakan dalam dua cara.
Pertama ialah sebagai latar belakang kepada peristiwa yang digambarkan.
Dan yang kedua ialah sebagai sumber perlambangan, metafora, simili dan personifikasi yang merupakan peralatan atau perantara untuk menyampaikan maksud puisi.

Perlambangan ialah satu daripada peralatan penyair dalam menyampaikan puisi. Secara keseluruhan perlambagaan boleh ditafsirkan sebagai menggunakan sesuatu untuk menggambarkan sesuatu.  Antara unsur alam yang dominan ialah LAUT dan kata-kata yang berasosiasi dengannya iaitu samudera, ombak, badai, perahu, pelabuhan  Matlamat kertas ini ialah untuk memperlihatkan bahawa alam dan agama Islam adalah faktor utama dalam pembinaan perlambangan ( termasuk metafora, simile, personifikasi) penyair-penyair Melayu telah membina perlambangan untuk menunjukkan unsur alam fizikal iaitu laut, sebagai  menyatakan keluasan alam dan ilmu Allah serta  perjalanan manusia pulang ke alam yang abadi. Puisi-puisi yang menggunakan alam laut dan lautan sebagai perlambangan perlu ditanggapi secara mendalam untuk menemukan makna atau pengertiannya melalui penafsiran lambang-lambang atau alamat tertentu yang wujud di dalamnya. Puisi-puisi ini memperlihatkan keintiman hidup manusia dengan alam yang  menjadi antara faktor terpenting yang membuahkan hasil-hasil sastera Melayu yang amat banyak persamaannya dengan sifat kejadian alam semesta dari ciptaan Allah.
Pujangga-pujangga Melayu sejak zaman berzaman telah menggunakan Laut bagi menyampaikan pemikiran,  membantu pengolahan bahasa  dan perlukisan suasana yang berfungsi untuk menyampaikan makna yang jitu dan jelas di samping mengungkap pemikiran yang tinggi untuk dimanfaatkan oleh masyarakat
Muhammad Haji Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa perlambangan atau metafora adalah elemen penting di dalam puisi Melayu dan menentukan nilai estetikanya:

”Kita dapat menyimpulkan bahawa metafora, atau kias ibarat, adalah antara alatan terpenting sastera Melayu sejak awal lagi, melalui zaman tulisan, hinggalah ke zaman mutakhir. Oleh sebab orang Melayu lebih suka menyampaikan makna secara tidak langsung, maka ini menjadi amat penting, malah menjadi satu ciri dasar dalam estetikanya.” 
Penggunaan laut Secara ringkas dapat dibahagikan kepada dua perlambangan utama.
 1.    Laut yang luas dan bertenaga menjadi simbol kekuasaan Allah. Keluasan laut merepresentasi keluasan alam ciptaan Allah dan keluasan ilmu Allah.

2.    Laut dan perjalanan laut mengandungi makna perjalanan manusia di dalam kehidupan dan juga perjalanan menuju ke akhirat.


Rujukan Laut di dalam Al-Quran
Perbincangan dimulakan dengan merujuk kepada beberapa petikan ayat Al-Quran bagi memperlihatkan hubungan dan kesinambungan dalam penggunaan kata laut oleh penyair Melayu. Hal ini adalah untuk membuktikan bahawa Sebahagian besar perlambangan yang digunakan oleh penyair Melayu semasa, adalah merupakan kelangsungan atau mempunyai kaitan dengan misal perbandingan laut dan lautan yang terdapat di dalam Al-Quran.
·         Laut dan keluasannya digunakan sebagai simbol kebesaran Allah dan keluasan alam ciptaanNya. Laut dijadikan perbandingan untuk menyatakan tentang keluasan ilmu Allah atau kalam Allah. Hal ini dilihat daripada ayat yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan (Surah Al-Kahfi, ayat 109). 
·         Kehidupan adalah ibarat sebuah pelayaran dan hanya Allah dapat menyelamatkan manusia daripada bencana karam di tengah lautan seperti yang diperingatkan oleh Al-Quran, “Dan jika Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan mereka, kira-kiranya Kami lakukan demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka dan mereka juga tidak dapat diselamatkan ( Surah Yaa Siin,  ayat 43).
·         Kewujudan laut dapat diterjemahkan sebagai rahmat Tuhan khasnya kepada manusia. Laut sebagaimana ciptaan Allah yang lain adalah amat besar manfaatnya. Allah berFirman, “Dan Dialah yang memudahkan laut supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat  kapal-kapal belayar padanya, dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan supaya kamu bersyukur” (Surah An-Nahl, ayat 14).
·         Laut menyediakan laluan untuk manusia mengembara dan membina tamadun. Pada laras yang lebih tinggi laluan ini mengandungi makna tersirat, iaitu kehidupan dunia adalah laluan ke akhirat. Aspek ini ditegaskan oleh ayat yang bermaksud, kegunaan laut amat jelas daripada ayat, “Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dan juga supaya kamu bersyukur (Surah Al-Jaathiyah, ayat 12).
·         Laut di dalam Al-Quran telah mengemukakan kisah-kisah yang boleh dijadikan teladan dan iktibar seperti yang diseru oleh ajaran Islam. Di dalam kisah Nabi Nuh, Allah telah mewahyukan kepada Nuh untuk membina bahtera sebelum terjadinya banjir yang besar dan seluruh daratan telah menjadi laut. Bahtera yang menjadi penyelamat itu adalah simbol pertolongan Allah terhadap hambaNya yang beriman, sepertimana maksud ayat, “Dan sesungguhnya Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf” (Surah Al-Qamar, ayat 15).

Ayat-ayat yang dikemukakan tertera di atas adalah di antara beberapa ayat yang menunjukkan penggunaan laut sebagai misal perbandingan di dalam Al-Quran yang telah berperanan sebagai pembentuk pemikiran penyair-penyair Melayu yang kemudiannya menggunakan laut sebagai simbol di dalam puisi mereka.

Selain daripada itu pemikir-pemikir Islam turut membandingkan kehidupan di dunia sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang dalam. Contohnya ialah Syeikh Abdul Qadir Jailani yang mengucapkan,
Waspada dan hati-hatilah kamu terhadap gelombang samudera dunia, kerana tidak sedikit makhluk yang karam di dalamnya. Ia merupakan samudera yang sangat dalam, yang mampu menenggelamkan segala-galanya. Hanya sahaja Allah akan menyelamatkan daripada hempasan gelombang samudera itu  (2003:44).

Hal ini amat jelas kerana laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan pantun Melayu. Antara lain, V.I.Braginsky mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu  merupakan pelaut yang cekap dan telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal  (1994: 272).

 

Keluasaan dan kegagahan laut

Laut, lautan atau samudera  meliputi lebih daripada tujuh puluh peratus muka bumi. Laut juga dilihat berada dalam keadaan yang tidak berubah di tempatnya berbanding dengan perubahan dan pembangunan yang berlaku di daratan. Keadaan laut yang masih sama seperti dahulu dijadikan perlambangan untuk memperkatakan tentang  keadaan yang teguh dan lebih kekal seperti yang diungkapkan di dalam pantun di bawah:

Lancang pilan dari selatan
                           Angin bertiup dari utara
Hilang pulau lenyap daratan
                            Namun laut berombak juga

(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 214)
Di samping itu, laut dijadikan simbol keluasan. Pemakaian simbol ini didasarkan oleh Al-Quran  yang juga menggunakan laut untuk menerangkan tentang keluasan ilmu Allah atau kalimah Allah. Hal ini jelas pada ayat yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad) “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan” (Surah Al-Kahfi, ayat 109).
Laut  yang berombak dan sering bergelombang dilihat sebagai suatu tenaga yang kuat. Oleh yang demikian, laut mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia. Sebuah puisi memperkatakan tentang ini ialah “Ke Pusar” oleh Muhammad Haji Salleh.

Ke mana pun aku pergi
Samudera bergelombang dalam kesedaranku
Atau membentangkan langitnya
Pada mata ingatan
Ke mana pun aku pergi
Kudayung kembali
Ke laut pertama
Dihanyutkan oleh debu
Dan bulan yang menunggunya.

(Muhammad Haji Salleh,Sebuah Unggun di Tepi Danau,1996: 61)


Di dalam puisi ini penyair menyatakan bahawa kehadiran laut amat mempengaruhinya dan menjadi bahan yang sering difikirkannya. Dengan kata lain, laut adalah sesuatu yang mencabar mindanya seperti yang diungkapkan Ke mana pun aku pergi/Samudera bergelombang dalam kesedaranku. Daripada baris ini pembaca dapat memahami peribadi penyair sebagai seorang yang suka mengembara dan telah luas perjalanannya. Dia telah pergi jauh menyeberangi samudera. Perjalanan telah menemukannya dengan pelbagai perkara baru. Namun begitu penyair tidak melupai asal usul dan tetap kembali ke tempat asalnya seperti kata penyair, ke mana pun aku pergi/kudayung kembali/ ke laut pertama. Kembali ke laut pertama atau tempat asal juga boleh ditafsirkan sebagai tetap berpegang kepada adat dan budaya warisan atau sentiasa merujuk kembali kepada budaya dan akal budi bangsanya. Penyair memperihatkan keterikatannya kepada budaya dan tradisi dan mengekalkan citra keMelayuan dengan mendayung kembali ke laut pertama. Teori Pengkaedahan Melayu menjelaskan bahawa karya sastera Melayu membawakan tanggapan dan pemikiran yang berasaskan sepenuhnya kepada budaya, cara hidup, world-view, kosmologi dan agama orang-orang Melayu.
 Laut simbol kerahsiaan

Sebuah puisi yang menghubungkan laut dengan kerahsiaan ialah “Laut” oleh Noor S.M.
Sebelum berangkat
Aku
Pun mengenalnya.mengenal
Laut.

Laut
Adalah:
Rambut bonda
Yang berombak-ombak
Yang menyimpan seribu rahsia.
           
( Malaysia Dalam Puisi, 1991: 208).


Bagi Noor S.M. keadaan laut yang berombak-ombak mengingatkan kepada ibunya dengan rambut yang ikal dan digambarkan sebagai berombak-ombak. Citra laut, ombak dan rambut ibu membina suasana yang suram. Suasana ini diselubungi misteri dan sesuai untuk memperkatakan tentang seorang ibu atau wanita yang telah lama menempuh hidup dan banyak menyimpan rahsia atau memendam rasa. Walau ibu tidak banyak berkata-kata  si anak mempunyai firasat atau gerak rasa yang membayangkan bahawa ibunya menyembunyikan banyak perkara.
Seperti laut kehidupan ini penuh rahsia dan tandatanya. Perlambangan ini terjadi kerana, walaupun laut terbentang dan dapat dilihat seluas pandangan, namun itu hanyalah pada permukaannya. Apa yang ada di bawah permukaan laut adalah penuh rahsia yang tidak dapat diselami oleh manusia.  Sehubungan dengan itu, kita temui cerita-cerita rakyat yang menggambarkan dunia di dasar lautan dengan penuh imaginasi. Hampir semua bangsa di dunia mempunyai versi tersendiri tentang cerita puteri duyung. Kitab Sejarah Melayu sendiri menceritakan bahawa raja-raja Melayu adalah dari keturunan raja Suran yang telah mengembara ke dasar laut. Misteri laut yang mengundang tanda tanya ini juga turut dirakam oleh penyair Tagore:
' What language is thee, O Sea
the language of Eternal question'
(Rabindranath Tagore (terjemahan Louise Bachelder(ed).1977: 7)

Melalui Pendekatan Dakwah dapat dibaca bahawa keadaan yang demikian adalah pertunjuk tentang keluasan ilmu Allah dan kedangkalan ilmu manusia. Hanya Allah yang  mengetahui segalanya seperti maksud ayat, ”Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut” (Surah al-An’am, ayat 59).

Penggunaan laut sebagai simbol kerahsiaan oleh Nor S.M. adalah selaras dengan metafora yang terdapat di dalam Al-Quran. Al-Quran  juga telah menjadikan laut dan ombak yang bergolong-golong sebagai  bandingan tentang tahap kegelapan dan kerahsiaan kejadian alam yang penuh keajaiban dan tidak tercapai oleh akal manusia. Selain dari itu, Allah SWT juga telah berfirman tentang kegelapan yang menyelubungi orang-orang kafir. Kekufuran dan kejahilan mereka dibandingkan dengan ombak (Orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan gelap gelita di lautan yang dalam yang diliputi ombak bertindih ombak”(Surah An-Nur, ayat 40).

Laut menjadi semakin bermisteri dengan terdapatnya hidupan di dasarnya dan mutiara yang dihasilkan oleh tiram. Perkara ini menyentuh perasaan penyair Kemala yang menulis puisi "Maknawi itu Kekasihku".

Busa di hujung gelombang
Ulat seni di karang Ada camar           
Menyambut ikan masa   
Dan getar           
Terpendam dalam diam

Aku takmau noktah percuma itu, ini suatu
keakhiran kosong dan sesia ini pakaian
lahir bukan pilihanku, pilihan maknawi
bagi garis-garis geometeri
bertemu untuk tidak kehilangan lagi
( Permatang Budi,1991: 50)

Kemala mencari makna kehidupan dari lautan dan menemui pengertian bahawa kehidupan manusia boleh diumpamakan sebagai buih atau busa di hujung gelombang. Buih dan percikan ombak ini adalah simbol yang telah digunakan di dalam karya sastera bagi menyatakan konsepsi manusia di alam Tuhan. Dalam ulasannya mengenai konsepsi mistik Serat Centhini, Imam Budi Utomo menulis, “manusia dipandang sebagai percikan atau ombak dari lautan yang serba Ilahi” (Imam Budi Utomo, 1997:37).
Abdul Hadi W.M. menulis bahawa di dalam karya-karya Hamzah Fansuri manusia juga ditamsilkan sebagai buih ombak untuk melukiskan kedudukannya yang kecil berbanding dengan keagungan dan keluasan Ilmu Tuhan (2001:155). Simbol buih ini memperlihatkan pengaruh dari Al-Quran. Allah SWT telah  menjadikan buih yang terapung dibawa banjir sebagai misal perbandingan bagi   menyatakan  perkara yang benar dan yang salah. Perbandingan ini terdapat di dalam ayat yang bermaksud, “adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan” ( Surah Ar-Ra’d, ayat 17).
Kemala juga menyentuh tentang kepentingan mentafsir dan mencari makna yang lebih jauh tentang kehidupan. Sesekali manusia berjaya menangkap makna sebenar maka ia digambarkan seperti camar menyambut ikan masa. Bagi penyair sendiri, pendiriannya adalah jelas. Dia  tidak akan berhenti setakat mengetahui yang zahir tetapi akan terus mentafsir penanda-penanda yang ada bagi  mencari makna tersirat atau makna batin.Makna tersurat disifatkan sebagai pakaian lahiriah yang hanya merupakan suatu keakhiran kosong.  Pendirian ini dijelaskan oleh ungkapan:
 aku takmau noktah percuma itu
 ini suatu keakhiran kosong dan sesia
 ini pakaian lahir bukan pilihanku, pilihan maknawi.

Laut dan ombak adalah penanda kepada kehidupan yang penuh misteri dan kerahsiaan.  Manusia yang mempunyai perasaan ingin tahu sentiasa mahu mendapatkan jawapan. Hal ini dilihat dalam puisi “Apakah yang Kau Katakan Padaku, Lautan” oleh Muhammad Haji Salleh.

Apakah yang kau katakana padaku lautan
Dengan bahasamu yang selalu dipelbagaikan
Dan samar-samar sebutannya
Tapi selalu saja menanyakan tempatku di pantaimu

Kau membuat aku ragu
Kepada diriku
Kepada kewujudan yang pendek ini
Kepada kekecilan kemanusiaanku
Suara yang aku dengar dari tahun-tahunmu
Sering pasang dan surut di hayatku
Mengembalikan maknaku
                                           
                                        (Puisi Sepanjang Zaman, 1986: 273)

Puisi ini memperlihatkan bahawa interaksi telah berlaku di antara penyair dengan alam, iaitu laut. Ketika berhadapan dengan laut penyair merasa seolah-olah laut sedang berkata sesuatu kepadanya.  Percakapan itu adalah dengan bahasa yang pelbagai dan samar-samar sebutannya memberi gambaran apa yang diperkata itu perlu didengar dengan hati-hati dan ditafsirkan maksud sebenar. Laut  selalu saja menanyakan tempatku di pantaimu bererti dengan melihat laut penyair sering merenung dirinya sendiri dan kadang-kadang penyair merasa ragu-ragu dengan segala yang sedang dihadapi. Dengan melihat laut yang luas dan gagah  penyair menyedari tentang usia yang singkat dan kewujudan yang pendek ini dan dirinya yang amat kerdil di hadapan laut yang amat luas.
Oleh kerana laut menimbulkan pelbagai tandatanya maka terjadilah percubaan untuk mencari jawapan. Ini melibatkan  usaha mencari ilmu dan mencari guru. Oleh kerana manusia banyak mendapat pengajaran dari laut maka laut dijadikan simbol guru yang mengajar dan menginsafkan manusia. Pemikiran ini ditemui di dalam puisi Muhammad Haji Salleh Maafkan Aku Laut",
Maafkan aku
Laut, pantai dan pohon-pohon
Aku lama tak ke sini
Menemuimu
Sahabat yang sering menenangkan
Menasihati aku tentang
Kebodohan manusia
………………………..

Maafkan aku
Laut, pantai dan pohon-pohon
Kerana tidak menghormati guru
Yang mengajar aku tentang rentak-rentak
Hidup, keluasan alam
Sekarang aku di sini
Ajarlah aku lagi
Isi pengetahuan
Pada ombak, pasir atau daun-daunmu.
                                               
 (Lagu Kehidupan, 1983: 158)
Di dalam puisi ini ditemui penyair yang mendapat pengetahuan dan pengajaran dari alam. Muhammad Haji Salleh menyatakan bahawa dengan mendampingi dan merenung laut, seseorang akan mendapat pertunjuk tentang kebesaran Allah SWT. Penyair bukan sahaja memperolehi ketenangan bila berdekatan dengan laut, malah mendapat kesedaran tentang betapa terhadnya pengetahuan manusia. Manusia digambarkan sebagai ‘bodoh’ dengan pengertian cuma memiliki sedikit ilmu seperti yang diungkap oleh penyair, sahabat yang sering menenangkan/ menasihati aku tentang/ kebodohan manusia). Gambaran ini adalah bertepatan dengan maksud ayat, “kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja” (Surah Al-Israa’, ayat 85).
Oleh kerana laut banyak mengajar dan menyedarkan manusia maka penyair menganggapnya sebagai ‘guru’ yang harus dihormati. Manusia perlu belajar dari laut dan dari seluruh alam. Penyair menginsafi isi pengetahuan yang ada pada ombak, pasir dan daun-daun. Hal ini juga menepati ungkapan di dalam pepatah Melayu ”alam terbentang jadikan guru” .
Selain Muhammad Haji Salleh, Marsli N.O juga mengambil sikap yang sama untuk belajar dari laut dan ombak. Hal ini terdapat di dalam puisinya ”Belajar Dari Ombak”
Kau terpaksa belajar                                                    
Dengan pertimbangan jernih
Bagaimana untuk tidak mudah kalah
Memisah dan mengecilkan
Kepejalan di hadapanmu
Daripada ombak yang memanjat batu
Saban waktu
Meski Cuma dengan tangan buih
Telah menyaring lumut
            Dan merubah asalnya.                ( Marsli N.O Hanya Kata: 1995: 84)
                                    
Puisi ini adalah perihal ombak laut yang dilihat oleh penyair sebagai satu pergerakan yang tekun. Penyair menggambarkan keadaan alam, iaitu ombak yang begitu tekun dan tetap cuba menyentuh batu yang tinggi. Perilaku ombak ini digambarkan sebagai percubaan yang berterusan walaupun hanya dapat mencapai batu-batu itu dengan buih-buihnya sahaja. Dengan usaha yang berterusan ombak telah memberi kesan kepada persekitarannya. Ombak laut telah menyaring lumut dan membawa perubahan pada keadaan batu tersebut. Kesannya walau sedikit demi sedikit adalah pencapaian yang bermakna.  Ketekunan ini memberi pengajaran kepada manusia agar tidak mudah mengalah. Sifat ombak yang tekun dan perubahan pada batu-batu yang telah dibersihkan daripada lumut itu merupakan kejadian alam yang memberi pengiktibaran kepada manusia

Mesej puisi  ini adalah selaras dengan peranan sastera sebagai kejadian alam  dan sebagai  pemberi pengajaran atau iktibar kepada manusia. Sastera menjalankan peranan dakwahnya dengan memberi semangat dan dorongan ke arah kehidupan yang lebih beriltizam. Puisi ini membawa mesej  bahawa setiap sesuatu yang dijadikan Allah adalah bermanfaat kepada manusia dan alam seluruhnya. Ketekunan ombak adalah simbol sifat tabah dan sabar yang dianjurkan oleh Al-Quran melalui ayat yang bermaksud, ”Dan sesungguhnya Kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala lebih baik dari apa yang mereka telah lakukan” (Surah An-Nahl, ayat 96).

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapa pun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman.

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapa pun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai.
                            (Lagu Kehidupan, 1983: 215)


Di dalam puisi ini, Di Perpustakaan Shafie Abu Bakar menggambarkan ilmu sebagai laut yang amat luas. Puisi ini memperlihatkan pandangan penyair yang selaras dengan pandangan Islam tentang kemuliaan ilmu dan kewajiban menuntut ilmu. Ilmu juga digambarkan sebagai laut yang  dalam tak terselam. Imej ini digunakan bagi memberi gambaran bahawa seorang manusia tidak akan mampu menelaah segala ilmu yang terkumpul di situ. Laut ilmu bukan sahaja dalam dan luas,  malah tidak mempunyai pantai, bererti tiada batasan atau sempadan pada keluasannya. Seorang yang menuntut ilmu adalah umpama seorang pelayar yang dahaga atau tidak puas dengan apa yang dapat dipelajarinya. Dalam pengertian yang lebih luas, seorang insan tidak akan dapat memahami segala kejadian alam yang hanya berada di dalam pengetahuan Allah.
                    
Laut lambang kedewasaan
Manusia yang diberi akal telah membina kapal yang membolehkan mereka berjalan di muka bumi. Laut menjadi  “jalan” atau laluan yang amat berguna untuk manusia melakukan perjalanan, berniaga dan mencari rezeki. Penyair menggunakan laut dan perjalanan laut bagi memperkatakan tentang kehidupan yang menempuh pelbagai cabaran.

Melakukan perjalanan khasnya perjalanan laut menandakan seseorang telah dewasa. Orang yang dewasa, mesti keluar dari rumah atau kampung halaman untuk mencari penghidupan. Kedewasaan akan membawa bersamanya tanggungjawab dan pelbagai cabaran. Seorang yang telah dewasa perlu melakukan perjalanan melalui laut yang melambangkan perjalanan meninggalkan dunia kanak-kanak dan menuju ke dunia dewasa.  Apabila seseorang telah dewasa dia dikatakan mesti menempuh laut. Dari sini nasibnya  akan ditentukan oleh ombak dan gelombang Gambaran ini terlihat di dalam pantun di bawah:
                       
Rumah kecil tiang seribu
                            Rumah besar tiang sebatang
                        Kecil – kecil ditimang ibu
                             Sudah besar ditimang gelombang

                              (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)

Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza, iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya ialah  masa kecil dan masa sudah membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang seribu. Tiang adalah dokongan (support). Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan kaum keluarga. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya. Setelah besar si anak  akan hidup berdikari dan bersendiri. Dia akan pergi jauh menyeberang lautan dan terdedah kepada gelombang yang datang.  Perjalanan laut adalah simbol yang sangat lumrah di dalam puisi tradisional. Hal ini terjadi kerana masyarakat Melayu telah terlebih dahulu menggunakan laut sebagai jalan perhubungan sebelum adanya jalan darat.
           
Berdasarkan puisi-puisi yang dianalisis dan pantun yang dipetik di atas, laut adalah lambang kedewasaan. Seorang yang telah dewasa mesti melakukan perjalanan menempuh laut. Dari sini dia akan terdedah kepada ombak dan gelombang seperti maksud pantun sudah besar ditimang gelombang. Oleh yang demikian, pantai menjadi simbol tempat bermain bagi seseorang yang belum dewasa atau kanak-kanak yang belum mempunyai tanggungjawab. Terdapat beberapa buah puisi yang menggambarkan kehidupan sebagai bermula di pantai atau bermain di pantai yang bermaksud  belum dewasa atau belum memikul tanggungjawab. Dari pantai dia akan semakin dekat dengan gigi air yang ditafsirkan sebagai berada di ambang kedewasaan. Seterusnya seseorang yang telah dewasa mesti turun ke air kerana waktu tidak mengizinkan dia berada di pantai lagi. Pantai adalah lambang zaman kanak-kanak yang tidak kekal atau suatu tempoh waktu yang sementara.  Waktu dewasa bukan waktu untuk bermain di pantai tetapi untuk turun ke laut menyahut cabaran yang datang bersama kedewasaan. Hal ini diperkatakan dalam puisi “Pelayan oleh Siti Zaleha Hashim
          
                        “Pelayaran”
Ada tapak-tapak kecil di pasir pantai
                        Anak-anak manis mengejar ombak
Burung-burung camar
Ikan-ikan kecil
Teman-teman yang tiada pandai meminta
Ingatkah kau lagi waktu itu

Masa tiada pernah menunggu
Yang kecil pun tumbuh dewasa
Laut pun menjadi saksi
Sebuah keberangkatan bermula

Pelayaran ini bukannya mudah
Hari-hari hitam yang dilalui
Detik-detik putih yang ditempuhi
Datang dan pergi
Namun api yang menyalakan semangat
Tiada pernah padam
Biar siang ataupun malam
Pelayaran ini kau teruskan
Dan alam pun melihat kerlipan bintang-bintang.
                                                      (Camar di Cangkir Bumi, 1999:73)

Puisi di atas memperlihatkan bahawa bermain di pantai adalah untuk seseorang yang masih belum dewasa dan belum mengenal tanggungjawab. Tetapi masa berlalu dan seseorang yang kecil pun tumbuh dewasa dan akan berangkat. Dia memulakan perjalanan melalui laut seperti yang digambarkan dengan baris: laut pun menjadi saksi, sebuah keberangkatan bermula .
Bermula pada saat itu setiap orang yang meningkat dewasa akan menempuh satu pelayaran yang disedarinya sebagai  bukannya mudah. Dia akan menghadapi hari yang cerah dan hari yang murung yang digambarkan oleh penyair sebagai Hari-hari hitam yang dilalui Detik-detik putih yang ditempuhi. Dalam keadaan ini hanya semangat yang kuat dapat menyelamatkannya  dalam meneruskan pelayaran.
Laut simbol perjalanan hidup di dunia
Puisi-puisi yang akan dianalisis seterusnya, telah menggunakan laut sebagai simbol perjalanan hidup manusia. Perjalanan melalui laut memerlukan kenderaan seperti perahu, bahtera, kapal, sampan atau rakit. Terdapat puisi-puisi yang menggunakan kenderaan-kenderaan ini sebagai peralatan atau prasarana yang diperlukan di dalam menjalani kehidupan. Di dalam puisi-puisi yang membicarakan perjalanan laut sering terdapat kata pelabuhan yang membawa erti detinasi di dalam hidup seseorang. Selain kata pelabuhan, kata-kata lain yang digunakan untuk maksud yang sama ialah pangkalan, jeti dan dermaga.
Ali Ahmad  turut menggunakan perlambangan  ini di dalam puisi “Kembara, Jalan Mengembara”.
                       Kembara, Jalan Mengembara
                        Untuk kembara baru tiba
                        Sebuah perahu
                        Di tambatan
                        Berjalanlah kembara
                        Di tepi pantai ia bermula dengan kelembutan pasirnya
Akan berdayung ke tengah pada gelombang menelan indah

                        Pesanku hanya Satu
                        Pulang nanti bawakan lagu
                        Kesan lukisan dari awan dan gelombang
                        Betapa ia bisa hidup di rahang burung laut
                        Yang garang.
                                               ( Puisi Sepanjang Zaman, 1989 : 158)
Puisi ini juga menggunakan perlambangan laut untuk menyatakan perjalanan hidup manusia.  Simbol pantai digunakan untuk  menandakan permulaan atau kehidupan sebelum menempuh usia dewasa. Pengembara yang baru tiba itu digambarkan sebagai sedang berada di pantai dengan kelembutan pasirnya. Gambaran alam fizikal ini membawa maksud  sedang menikmati keselesaan zaman kanak-kanak.  Situasi ini tidak akan kekal kerana bagi setiap orang telah tersedia sebuah perahu. Setiap orang akan berdayung ke tengah dan merentas gelombang, dengan ini puisi ini memperlihatkan satu kehidupan manusia yang dipengaruhi oleh alam dan waktu. Manusia menjadikan alam di sekelilingnya sebagai panduan dan pengibaratan hidup dan setiap gerak atau langkah berlandaskan waktu dan suasana alam. Ciri-ciri ini, iaitu pemakaian simbol-simbol alam untuk membawa makna tersirat adalah menepati ciri-ciri Pendekatan Firasat yang diperkatakan oleh Hashim Awang (1991). Objek alam, iaitu perahu, tambatan, pantai, gelombang, awan dan burung laut yang garang perlu ditafsirkan untuk memahami maksud puisi.

Seorang yang masih berada di pantai menandakan belum mengenal tanggungjawab. Hal ini adalah satu persamaan dengan puisi “Pelayaran” oleh Siti Zaleha M.Hashim yang dibicarakan di atas. Setelah turun ke air akan bermulalah perjalanan yang terdedah kepada cabaran gelombang. Gelombang adalah simbol cabaran di dalam hidup sebagai seorang yang dewasa.

Penerapan Pendekatan Dakwah memperlihatkan pesan-pesan dan  peringatan agar manusia berhati-hati. Untuk selamat di dalam perjalanan manusia mesti belajar dan memahami tindak tanduk alam. Pesan yang terpenting ialah bahawa semua orang akan kembali suatu hari nanti. “Pulang” adalah kata yang membawa makna kembali ke tempat asal,  sebagai tanda bahawa setiap orang akan pulang ke akhirat membawa pahala dan dosa . Perkara ini disimbolkan sebagai “kesan lukisan” atau hasil kerja yang diperolehi setelah selesainya perjalanan itu. Hal ini dinyatakan di dalam ungkapan, Pesanku hanya Satu/Pulang nanti bawakan lagu/Kesan lukisan dari awan dan gelombang/Betapa ia bisa hidup di rahang burung laut /Yang garang.

Selaras dengan itu ialah peringatan agar manusia sentiasa menyelidiki kekurangan diri atau bermuraqabah, membuat perhitungan banyak sedikit amalan yang diusahakan, iaitu bermuhasabah di samping giat beramal soleh iaitu bermujahadah.

Ali Ahmad menyatakan tentang kedewasaan dan tanggungjawab sebagai bersedia mendayung perahu yang telah menanti di pangkalan. Bagi setiap orang telah tersedia sebuah perahu bererti bagi setiap orang telah tersedia tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan. Kesedaran tentang tibanya saat dewasa dilambangkan oleh perbuatan menyiapkan kenderaan untuk belayar. Sebuah puisi yang menggunakan simbol tersebut ialah “Aku Hanya Mahu Ke Seberang” oleh Hashim Yaacob,
Demikian beberapa  buah sajak yang  memggunkan perlbambangan dari laut..  .


Sunday, November 12, 2017


Laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan pantun Melayu. Antara lain, V.I.Braginsky mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu  merupakan pelaut yang cekap dan telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal  (1994: 272).Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun. Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantn yang menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai, bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya. 

   
                 Rumah kecil tiang seribu
                        Rumah besar tiang sebatang
                Kecil – kecil ditimang ibu
                      Sudah besar ditimang gelombang

                        (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)
Pantun ini sering diselitkan di dalam lagu2 rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui pantun ini orang2 tua menyediakan minda anak-anak  untuk menempuh alam kedewasaan . Bila meningkat dewasa anak-anak akan dilepaskan untuk pergi mencari penghidupan sendiri. Tibalah waktunya untuk berdikari. Ia menyedarkan bahawa dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada ibubapa dan orang lain.
 Sejak kecil seseorang diingatkan bahawa kehidupan adalah umpama menyeberang lautan. Laut adalah cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”Ungkapan “Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu ‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk  menempuh pelbagai godaan hidup.
Pantun ini menggunakan laut sebagai lambang kedewasaan. Laut menjadi perantara orang Melayu menyampaikan pemikiran dan nasihat tentang kehidupan dan cabaran di alam kedewasaan. Kedewasaan akan membawa bersamanya tanggungjawab dan pelbagai cabaran. Seorang yang telah dewasa perlu melakukan perjalanan melalui laut yang melambangkan perjalanan meninggalkan dunia kanak-kanak dan menuju ke dunia dewasa.  . Dari sini nasibnya  akan ditentukan oleh ombak dan gelombang
                       
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza, iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya ialah  masa kecil dan masa sudah membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang seribu. Tiang adalah dokongan (support). Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan kaum keluarga. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya. Dengan mengatakan ‘kecil-kecil ditimang ibu” mengingatkan bahawa adalah tanggungjawab ibu untuk menimang atau memberi  kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada si anak ketika dia masih kecil..

 Perjalanan laut adalah simbol yang sangat lumrah di dalam pantun. Tiga rangkap pantun nasihat di bawah juga menggunakan unsur laut.
            Kalau mengail di lubuk dangkal
Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejengkal
Jangan lautan hendak diduga
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)
Pohon beringin daunnya hijau
Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
Biduk ada pengayuh tidak.
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)

Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)

Ketiga-tiga rangkap pantun menyentuh perihal pentingnya melengkapkan diri dengan prsarana yang secukupny dalam menjalani kehidupan.  Seseorang haruslah menyediakan minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai cabaran. Pantun pertama memberi peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan hendak diduga”.Objek “kail panjang sejangkal” ditafsirkan sebagai penanda kepada sesuatu kekurangan. Di sini terkandung nasihat supaya mengukur keupayaan sendiri di dalam membuat sesuatu pekerjaan. Pantun ini juga mencabar seseorang untuk menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan. Kata pantun “mengail dilubuk dangkal/ mendapat ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin cukup untuk dimakan sekeluarga. Tetapi jika berani ke tengah lautan,  di sana menunggu hasil tangkapan yang lebih lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah memerlukan alat yang lebih canggih tidak hanya kail yang panjang sejengkal.
Dalam rangkap kedua
Pohon beringin daunnya hijau
Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
Biduk ada pengayuh tidak.

Oleh kerana hidup diumpamakan seperti satu pelayaran, maka perahu dan pendayung adalah peralatan dan kelengkapan yang diperlukan untuk belayar menempuh hidup. Seseorang yang tidak memiliki kedua-duanya, iaitu perahu dan dayung, akan berada di dalam kekurangan,  seperti yang digambarkan oleh baris pantun ”biduk ada pengayuh tidak”.
Setiap orang mempunyai cita-cita dan impian sendiri. Hal ini dibayangkan pada baris “hati ingin melihat pulau”.  Namun begitu sebarang hasrat hanya dapat dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Pantun ini  menasihatkan agar  melengkapkan diri dengan pengetahuan dan segala keperluan. Mempunyai biduk tetapi tidak memiliki pengayuh adalah satu keadaan tidak lengkap. Tanpa kelengkapan ini destinasi tidak akan dicapai dan ia menyerupai kegagalan untuk mencapai cita-cita.
Biduk atau perahu yang dimiliki adalah penanda kepada  ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau yang diumpamakan sebagai cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan pengayuh maka begitulah juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di dalam menempuh kehidupan.  Perahu yang selamat sampai ke pelabuhan hakiki adalah simbol sebuah kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu yang tenggelam di lautan membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan orang-orang yang terpilih untuk menerima rahmat Allah.
Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
Pantun di atas mengingatkan setiap orang untuk mengukur keupayaan. Selaras dengan itu ialah peringatan agar manusia sentiasa menyelidiki kekurangan diri atau bermuraqabah, membuat perhitungan banyak sedikit amalan yang diusahakan, iaitu bermuhasabah di samping giat mempertingkat keupayaan diri.
Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani mengambil risiko janganlah menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Oleh  kerana hidup ini umpama menempuh gelombang di lautan, maka kita sering dinasihati agar memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan sebagai persediaan untuk menempuh segala kemungkinan. Seseorang yang tidak mempunyai cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai pengail yang mempunyai kail panjang sejengkal atau pun takut dilambung ombak Selain dari kelengkapan fizikal, setiap orang mesti pula mempunyai persediaan mental. Orang yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai tidak bersedia untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak untuk berada berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada jauh dari pantai
Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan yang luas  adalah simbol perjalanan manusia yang amat bergantung kepada peliharaan Allah. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di tengah lautan. Salah satu sebab kapal tenggelam di tengah lautan ialah muatan yang dibawa terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal.
                Angin barat gelombang barat
                   Barat ditiup si angin timur
                Tidak dirintang muatan sarat
                    Akibat laut tempat berkubur

Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran. Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang cukup. Namun begitu dia tidak boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di dalam kapalnya. Oleh yang demikian dia perlu memilih barang-barang yang diperlukannya sahaja. Di sini timbul keperluan untuk mengukur kemampuan diri sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Pantun ini juga memperkatakan perihal membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung nasihat supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan meninggalkan yang tidak penting.
Orang yang berjaya dan selamat adalah mereka yang bijak membuat pilihan. Maka pilihlah yang terbaik dan yang diperlukan sahaja untuk dibawa.  Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan seperti maksud jika ‘tidak dirintang muatan sarat/alamat laut tempat berkubur’. Orang tua-tua menasihati agar berpada-pada di dalam segala segi. Kalau mahu selamat mestilah  menjaga batas dan sempadan. Dari perspektif Teori Pengkaedahan Melayu ia mengandungi panduan untuk hidup dengan berimbang iaitu mengimbangi barang-barang yang dibawa dengan kemampuan had muatan.  Segala sesuatu dijadikan Allah adalah dengan ukuran dan imbangan.

Di sini terdapat nasihat peri pentingnya membuat pilihan. Manusia perlu selalu berdoa agar diberi pertolongan dan pertunjuk untuk membuat pilihan yang tepat selaras dengan maksud baris Al-Fatihah yang dibaca di dalam solat “tunjukkanlah kami jalan yang benar”.