Hari ini hari minggu. Biasanya ramai yang mengadakan majlis perkahwinan. Saya suka melihat orang berpantun dalam majlis-majlis perkahwinan.
Di sini ada beberapa rangkap pantun pengantin. Kebanyakannya saya karang sendiri dan satu dua yang ubahsuai daripada pantun yang telah sedia ada.
Bagi anda yang berkenan, bolehlah gunakan pantun-pantun ini di tempat-tempat yang betul. Moga-moga puisi tradisi kita, khasnya pantun terus berkembang mekar.
Pantun Pengantin Baru
Beli gula di pekan baru
Berbalut kertas merah kuning
Sila-sila pengantin baru
Dua sejoli jalan berganding
Di dalam dulang berisi sagu
Sagu dimakan burung merpati
Jangan bimbang jangan ragu
Hidup baru kini menanti
Mawar merah harum mewangi
Jambangan digubah berseri-seri
Doa restu kami iringi
Baik berpakat suami isteri
Kain songket halus tenunan
Dibawa orang masuk ke kota
Sudah bertemu dengan pasangan
Laksana cincin dengan permata
Laksamana cergas dan tangkas
Cukup berilmu dengan gurunya
Ibarat dakwat dengan kertas
Sudah bertemu dengan jodohnya
Padang temu konon namanya
Tempat kuda berlari-lari
Sudah bertemu dengan jodohnya
Bagai cincin lekat di jari.
Bunga manggar di kanan kiri
Bunga rampai hiris hirisan
Pengantin baru raja sehari
Tambah berseri dengan hiasan
Harum semerbak bunga rampai
Sekuntum mawar sudah disunting
Duduk keliling tetamu yang ramai
Melihat pengantin duduk bersanding
Bunga anggerik jual di pekan
Tumbuhnya rendang di atas para
Silalah tuan para jemputan
Sudi kiranya menjamu selera
Selendang mayang selendang batik
Batik dari Surabaya
Makin dipandang bertambah cantik
Naik seri dengan cahaya
Ikan gelama ikan tenggiri
bersama dengan ikan cencaru
Bersama-sama kami ke mari
Hendak meraikan pengantin baru
Buah rambai tumbuh dihutan
Dihujung ranting buahnya lebat
Mari beramai kita doakan
Semoga majlis mendapat berkat
Untuk santapan para tetamu
Lauk pauk nasi beriani
Sekali ini kita bertemu
Sudilah menjamah hidangan kami
Cantiknya burung cenderawasih
Terbang sekawan di hari petang
Kami ucapkan terima kasih
Kepada tuan yang sudi datang
Sungguh harum bunga rampai
Dibawa orang ke tengah balai
Sanak saudara sahabat handai
Datang meraikan dua mempelai
Yang jauh sudahlah dekat
Sudah dekat bersalam-salaman
Kami berdoa semoga berkat
Menempuh hidup di dalam aman
Sudah bersarang burung tempua
Sarangnya tinggi tidaklah rendah
Dahulu seorang sekarang berdua
Ikatan janji tertunai sudah
Sudah bersarang burung tempua
Sarangnya jauh tidaklah dekat
Dahulu seorang sekarang berdua
Baik-baik duduk berpakat
Kain baldu kain bertekat
Dibawa orang dari Melaka
Sudah berpadu kata sepakat
Kalau jodoh bertemu juga
Mawar merah di atas peti
Bunga melur saya kalungkan
Tuan rumah berbesar hati
Apa yang kurang mohon maafkan
koleksi zurinah hassan
11 comments:
Assalamualaikum Puan Zurinah.
Adakah terdapat kursus penulisan puisi sama ada tradisional atau moden dianjurkan? Bolehkah Puan cadangkan barangkali satu atau dua kursus?
Saya lihat anak muda kini ramai yang sudah tidak kenal puisi tradisional. Malahan, mereka tidak kisah pun.
Jika dahulu, ramai yang boleh bergurindam atau berpantun, kini orang Melayu sudah tak pandai begitu. Saya termasuk dalam kalangan mereka.
Lirik-lirik lagu pun sudah kurang nilai sasteranya.
Terima kasih.
Assalamualaikum sdra Ibnu Fuad.
Terima kasih atas respond anda. Kadang-kadang pihak seperti dewan bahasa ada juga menganjurkan hal-hal spt itu terutama untuk pelajar-pelajar sekolah. Biasanya bengkel sehari atau bengkel beberapa jam shja. Tentu tak cukup tapi boleh memupuk minat dan merangsang pemikiran dan bakat.Anda boleh tnya2 dbp. Kalau ada pertanyaan dari khalayak tentu dbp akan buat sesuatu
Seronok dibaca pantun-pantun ini. Terima kasih.
[http://lamanperpustakaan.blogspot.com/2011/04/gambar-kawin-shah-2.html]
Assalammualaikum Puan Zurinah...
saya amat teruja dengan hasil2 karya puan...saya membesar dengan hasil karya anda..skrg saya terap pada anaak saya supaya kenal asal usul akar umbi...supaya tidak leka dengan genre penulisann kreatif yang terbaru saja..yg lama patut didokong juga..:)
assalamualaikum,
saya nak gunakan pantun2 ni boleh?
husband kene jadi MC wedding anak bos die...thanks.
www.hatimamaz.blogspot.com
Salam mesra hamba hulurkan
buat puan zurinah yang bijaksana
kumohon kezinan menuturkan
bait-bait indah lagi mengasyikkan
dalam majlis menyambut mempelai
salam puan.. saya minta izin guna pantun puan untuk kad kahwin saya.
Salam Puan Zurinah,
Pantun-pantun puan amat menarik.
Saya mohon izin untuk gunakan di majlis perkahwinan anak majikan pada Januari 2013 nanti.
Terima kasih banyak puan. :)
Teruskan berkarya.
Salam Puan Zurinah,
Pantun-pantun puan amat menarik.
Saya mohon izin untuk gunakan di majlis perkahwinan anak majikan pada Januari 2013 nanti.
Terima kasih banyak puan. :)
Teruskan berkarya.
Salam Puan Zurinah
Izinkan bapa saya menutur kata2 indah puan sempena majlis perkahwinan jiran saya...
teruskan berkarya puan...
Terima kasih...
Salam puan.
minta izin nak copy..paste. khas untuk perkahwinan sepupu saya ahad ini.
thanks puan.... ;)
Post a Comment