ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, August 04, 2014

ULASAN BUKU KREATIF INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA



BERKONGSI ULASAN BUKU KREATIF INSTITUT


TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA










MENGHADAP KE PELABUHAN PUISI LENGKAP ZURINAH HASSAN





Persoalan yang diucapkan oleh penyair sangat rapat dengan perasaan dan emosi. Sebagai penyair perempuan yang berjiwa sangat halus, Zurinah Hassan bukanlah perempuan yang polos. Zurinah seorang pemikir yang sangat pemerhati orangnya. Bukan saja tentang pengalaman diri, keluarga dan kehidupan perempuan dalam hubungan dengan lelaki, tetapi kehidupannya dengan masyarakat ( Baha Zain, Menghadap ke Pelabuhan, 2013)


Sedangkan pada Zurinah, ada sesuatu yang sangat ditakjubkan. Katanya, hari Khamis, 17 Jun 1971, jam 3.00 petang, adalah saat yang tidak mudah dilupakan dalam hidup saya. Saat itu saya melangkah kaki buat pertama kali ke bilik pejabat Tuan Naib Censelor, Profesor Hamzah Sendut ( waktu itu belum bergelar Tan Sri ) Dapatkah anda bayangkan betapa perasaan saya sebagai insan kerdil, baru 17 hari menjadi mahasiswa dan baru mencuba di alam sastra, telah dijemput oleh seorang Tuan Naib Censelor untuk beramah-tamah dengannya ( Zurinah Hassan, Sesayup Jalan, 1974 )


Dua pengucapan ini adalah saat mula dan mutakhir dalam kehidupan Zurinah Hassan sebagai penyair. Ungkapan Baha Zain ( SN ) berada di blurb buku puisi mutakhir Zurinah terbitan ITBM 2013 sementara pengakuan Zurinah adalah dari buku puisi pertamanya Sesayup Jalan terbitan Universiti Sains Malaysia 1974. Melalui Menghadap ke Pelabuhan, saya juga akan berpandukan Sesayup Jalan untuk melihat Zurinah dalam merentasi alam puisinya sejak empat dekad yang lalu. Menghadap ke Pelabuhan mengandungi 48 buah puisi dalam dwibahasa Inggeris-Melayu. Dalam Menghadap ke Pelabuhan ( hal. 3 ) ditulis sedemikian;


alangkah sukarnya berdepan

dengan lampu-lampu pelabuhan

lampu-lampu sempadan yang mengingatkan

hidup ini mustahil tanpa nama

dan kesetiaan kepada negara

tapi tak siapa memilih namanya sendiri

dan negara untuk dilahirkan


Secara literal barangkali maksud puisi Zurinah ini adalah pertanyaan kepada diri ketika pandangannya jauh ke lautan di sebuah pelabuhan. Tak siapa antara kita memilih namanya sendiri dan negara untuk dilahirkan. Kalau diizinkan memilih namanya, Zurinah sebagai penyair mahu memilih namanya sebagai Jentayu atau Juita atau Sundari dan seumpamanya yang melambang jiwa kepenyairannya. Lihatlah bagaimana Zaiton Abdullah memilih namanya sebagai Zaihasra, Kamaludin Muhamad sebagai Keris Mas, Usman Awang sebagai Tongkat Warrant dan banyak lagi. Kenapa Zurinah memulakan dengan puisi Menghadap ke Pelabuhan? Saya merasakan bahawa pelabuhan adalah permulaan bagi Zurinah bergerak. Lihatlah bagaimana puisi Di Sini Tiada Perhentian ( 13 Mei 1973 )


platform tiada reda, keretapi selalu setia

meraung lagi membelah rimba malam penuh rahasia

ke mana kita dalam angin mengusap mata?

aku pun entah ke mana

mentari di horison melambai juga

angin dari laut mengetuk jendela

puncak sepi, misti hari memburu diri

jalan ini tiada hujungnya

atau perhentian. keluh resah

bagai ombak lapar berkejar-kejar tiada reda

deru laut kehidupan memukul ke depan

angin usia menyusup pada bunga-bunga dan dedaunan

lalu kering, kuning dan berderai gugur

di sini tiada perhentian

pemburu-pemburu sepi lelah mendaki

keagungan yang semakin hilang puncaknya

di sini tiada mungkin istirehat

anak manusia telah beraja pada hatinya


Pelabuhan dan platform merupakan perhentian bagi jalan laut dan darat. Pelabuhan adalah hentian kapal dan platform adalah hentian keretapi. Ini menunjukkan Zurinah sentiasa bergerak. Mungkin bukan fizikalnya tetapi minda dan pemerhatiannya. Apa yang dapat diperhatikan, kebanyakan objek yang dipilihnya adalah benda yang bergerak. Dalam Clockwise, Zurinah menuliskan;


langkah berat dan sarat

jam di dinding


ting ting tinggggg


bernyanyi ringan dan sopan

ada sesuatu yang datang

bersama jam dinding

pantas dan keras

lalu tunduklah kepala

patuh dan takut padanya

ada sesuatu yang berputar

dalam tenang kamar

mengikut detik


tik tik tik


seorang hamba

yang telah bertuankan suara itu


tik tik tik

melangkah berat dan sarat


Objek-objek Zurinah adalah benda-benda bergerak. Lihat pula puisi Bas Stand Klang;


setiap yang sampai di sini

bukan untuk berhenti

kau yang menerima berjuta ketibaan

menghantar berjuta pemergian

yang pergi dan melupakan


perjalanan lebih membuat kita

memandang ke hadapan

dari menoleh ke kiri kanan

waktu menjadi terlalu suntuk untuk berkenalan

dengan mereka yang berhenti di sini

lelaki berkulit pekat

perempuan berambut karat

yang menumpang berumah di sini

kiranya perhentian ini lebih berbudi

daripada dayabumi


di sini yang sampai

bukan untuk berhenti

yang berhenti

bukan bererti telah sampai


Michel Foucault mengatakan bahawa semua bahasa adalah sediakala yang boleh dikaji karena ia dicorakkan oleh budayanya. Bahasa Melayu yang digunakan oleh Zurinah sudah tentu mempamerkan pemikirannya pada budayanya. Yang penting untuk melihat pemikiran Zurinah dalam puisinya ialah bukan hanya memperkatakan tentang apa yang mungkin difikirkan oleh pembacanya tetapi juga bagaimana kita memikirkannya.


Misalnya, saya akan memerhatikan judul puisi Zurinah. Seperti Pulau Pinang, saya terus mendapat kesannya. Pulau Pinang di mana Zurinah diasuh menjadi manusia berilmu dan berdaya maju, tentu sebati dalam kalbu dan fikirannya. Lihat bagaimana Zurinah menekankan keberadaan Pulau Pinang.


kau kota pelabuhan

dengan kapal-kapal yang datang dan pergi

mempertemu dan memisahkan

menjadikan lelaki kekasih yang berani

dan perempuan-perempuan dalam kebimbangan


Sementara Kuala Muda dituliskan begini;


di sini seperti melihat kembali

sketsa kegemaranku

sejak kecil dulu


seorang nelayan tua

di bawah sepohon kelapa

di sini sebuah biduk

di hadapan sebuah pondok


kuala muda

bila aku telah mengenalmu

laut tidak lagi biru

nelayan tidak lagi perkasa

dan potret tidak lagi damai

warna-warna itupun runtuh

bersama gigi pantai


di kuala itu

muram langit telah memberikan warna kelabu


Kalau Pulau Pinang tempat Zurinah menimba ilmu, Kuala Muda adalah pekan yang membesarkan Zurinah. Biarpun Zurinah dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kuala Muda adalah laut dan pantai yang memanjangkan langkahnya ke Pulau Pinang, laut dan pantai yang lebih luas dan mencabar. Pada saya, Pulau Pinang adalah tapak tumbesarnya Zurinah sebagai penyair. Shahnon Ahmad pernah mengatakan bahawa bakat Zurinah dikenal ketika berada di Universiti Sains Malaysia.


Walau bagaimanapun, kekuatan puisi Zurinah tersangkut pada dua puisi ini. Catatan Untuk Suami dan Catatan Untuk Suami 2. Lihat bagaimana dua buah puisi ini melengkap keseluruhan dunia puisi Zurinah Hassan.


i.

aku berterima kasih

atas kerelaanmu mengahwiniku

sesungguhnya kerelaan itu satu keberanian

dan ada orang tidak beruntung

kerana terlalu berani


ii.

aku menemuimu

bagai sebuah kolam yang terlalu jernih

kejernihan itu membuat aku malu

kerana ia jelas membayangkan

kekeruhan di tubuhku


aku bersyukur atas pertemuan iniu

dan meminta maaf padamu

kerana sesekali seruling yang jauh

mencuriku dari pelukanmu


( catatan untuk suami, hal 119 )


maafkan aku

jika aku meninggalkanmu

kerana sesekali

aku ingin kembali

menyambung mimpi


maafkan aku

jika menjauhkan diri

kerana sesekali

aku ingin kembali

kepada diri


( catatan untuk suami 2, hal 121 )


Melihat kekuatan Zurinah dalam dua persoalan ini, nostalgia dan naluri isteri, puisi bagi Zurinah adalah gizi yang menumbuh rohani dan kewanitaan penyair yang berpribadi.

No comments:

Post a Comment