ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Sunday, August 10, 2014

Kemahiran menulis dan Manfaatnya.


Apakah faedah menambah ilmu dalam bidang penulisan? 
Jawabnya: Banyak.
Mahir menulis bererti mahir berbahasa.
Bahasa adalah kurniaan Allah kepada manusia yang diciptaNya. Hanya manusia yang dikurniakan oleh  Allah Maha Pencipta dengan ‘bahasa’. seperti maksud  ayat 3 dan 4 Surah Ar-Rahman “Dialah yang telah menciptakan manusia. Dialah yang telah membolehkan manusia bertutur memberi dan menerima penyataan”.
 Bahasa yang cantik dan indah diperlukan bagi melahirkan perasaan. Hal ini mengingatkan kepada  lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee:
“ tiada kata secantik bahasa
untuk kupuji adinda
Lagu ini memperlihatkan betapa seseorang memerlukan bahasa untuk menyatakan perasaan atau apa yang sedang dipendam di dalam hatinya.
Bahasa yang baik tidak hanya diperlukan untuk meluahkan isi hati yang biasanya dikaitkan dengan perasaan kasih sayang. Kemahiran berbahasa dan kemahiran menulis adalah satu kemahiran yang cukup berguna kepada semua tanpa mengira kerjaya, pekerjaan atau profesion seseorang.

Memperbaiki hubungan sesama insan
Kemahiran berkomunikasi sangat penting di dalam segala aspek kehidupan. Pembangunan manusia tidak akan wujud tanpa komunikasi dan Komunikasi memerlukan bahasa. Komunikasi sesama insan akan lebih berkesan dengan kemahiran berbahasa. Kualiti kehidupan bergantung pada sebaik mana kita berkomunikasi, dengan orang di sekeliling,  dengan keluarga atau di tempat kerja.
Kemahiran Berbahasa Memperbaiki Kerjaya
Kemahiran menulis dan berbahasa membantu setiap orang di dalam menjalankan pekerjaannya.Ia membantu seorang majikan memberi arahan dengan lebih jelas dan seorang pekerja membuat laporan kepada  majikannya. Dari sini timbullah  suasana yang lebih harmonis yang membawa kepada peningkatan  produktiviti dan kesan positif kepada pembangunan Negara.
Kegiatan masa lapang yang berfaedah.
Menulis adalah satu kegiatan yang berfaedah.Seorang remaja yang suka menulis lebih gemar duduk berfikir dan mempertajamkan penulisannya daripada membuang masa dengan tidak menentu atau keluar melakukan kerosakan di tempat awam.
PROSPEK KERJAYA
Kemahiran menulis dapat meningkatkan potensi dan prospek kerjaya seseorang. Antara sector yang memeruKemahiran ini  diutamakan oleh pihak berikut:
1)    Syarikat Perhubungan Awam dan Komunikasi.
Setiap organisasi mempunyai unit perhubungan awam untuk meningkatkan imej korporat. Syarikat syarikat besar mengeluarkan laporan tahunan, majalah syarikat (in-house magazine), buletin perkembangan semasa dan sebagainya. Pada masa ini syarikat-syarikat menggunakan website itu tujuan promosi. Semua ini memerlukan kemahiran menulis dan berbahasa supaya dapat memikat pembaca atau pengunjung.  Terdapat juga pelbagai syarikat Perhubungan Awam atau Public Relations menawarkan perkhidmatan menulis, menterjemah, menyunting, menguruskan pengendalian website, penerbitan buku terutama untuk majlis-majlis rasmi, dan Buku Laporan Tahunan untuk syarikat-syarikat besar.

2)    Persuratkhabaran
Syarikat akhbar memerlukan wartawan, penyunting, penulis rencana dan lain-lain yang semestinya mahir menulis .

3)    Bidang pengiklanan
Pengiklanan memerlukan copy-writer atau penulis  jalan cerita (story line).

4)    Penerbitan Buku / Penyiaran .
Syarikat-syarikat penerbitan memerlukan editor dan penulis. Syarikat penyiaran memerlukan penulis skrip rancangan. Pusat penyiaran seperti RTM, TV3, ASTRO dan banyak lagi stesen memerlukan penyunting berita, penulis skrip, penyunting skrip, pengurus produksi untuk pelbagai siaran.

5)    Teknologi Maklumat
Dalam era IT ini peluang untuk penulis juga bertambah untuk menerbitkan CD Rom (berbentuk cereka, dokumentari, pembelajaran dsbnya)

6)    Kemahiran menulis adalah satu aset bagi bidang-bidang seperti:
·         Setiausaha Akhbar
·         Penterjemah
·         Pegawai Penyelidik
·         Penulis bebas / Free lancer
                      i.        Menulis lirik lagu
                    ii.        Menulis novel. Novel popular dan novel remaja mempunyai pasaran yang baik
                   iii.        Menulis skrip drama TV, radio.
                   iv.        Menulis skrip iklan
                    v.        Menulis untuk akhbar dan majalah

Jika pun anda tidak berkhidmat secara terus atau sepenuh masa di tempat-tempat ini atau tidak terlibat secara terus dengan kerjaya di atas, kemahiran menulis tetap menjadi satu kemahiran yang menguntungkan.

Ia memudah dan mempercepatkan tugas anda:
      i.        Menulis tesis, laporan, minit mesyuarat
     ii.        Menyediakan kertas kerja untuk memohon projek kalau menjadi usahawan dsbnya


OLEH YANG DEMIKIAN ADALAH TIDAK RUGI JIKA ANDA MENAMBAH ILMU DI BIDANG PENULISAN. 

No comments:

Post a Comment