ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Friday, August 08, 2014

SELOKA, NAZAM, SYAIR, PANTUN DARI MANA?



(Keterangan lanjut boleh diikuti dari blog ini atau buku PUISI MELAYU TRADISIONAL , penerbitan Pekan Ilmu, 2010). 



Secara ringkas  Pantun, Syair, Seloka, Gurindam, Nazam dapat dikenali:

1- PANTUN , Ada pembayang dan maksud, berima abab.satu rangkap pantun boleh berdiri sendiri
2- SYAIR,   4 baris serangkap,  rima aaaa, dan ada tema atau cerita. satu rangkap syair tidak boleh berdiri sendiri
3- SELOKA,  Tidak tetap baris dan tiada skima rima tertentu. Seloka adalah kritikan tajam terhadap masyarakat dalam nada jenaka. Elemen penting dalam seloka ialah jenaka. 
4- NAZAM adalah puisi bertemakan agama, banyak menyebut nama Allah dan Rasul. Nazam menyampaikan pengajaran terutama yang berunsur keagamaan.
5- GURINDAM- Puisi dua baris serangkap yang berisi nasihat dan pedoman.
6- TEROMBA_ Puisi mengandungi perbilangan adat dan panduan hidup bermasyarakat.

Semua genre puisi warisan itu dapat diikuti dalam blog ini. Silakan membuat pencarian anda. 

Pagi pagi lagi ada seseorang bertanya "Dari manakah asalnya pantun, seloka, nazam, syair?". Hal ini sudah beberapa kali juga disebut. Namun begitu, untuk pengetahuan ramai bolehlah dicatatkan lagi di sini.

PANTUN itu sememangnya  milik asli orang Melayu, pusaka nenek moyang kita.Istilah Syair dan Nazam diambil daripada Arab Parsi, Seloka dan Gurindam dari India. 

TETAPI HARUS DIINGAT,  yang dikatakan berasal dari Arab dan India itu cuma Istilahnya sahaja. Isi dan struktur Syair, Nazam, Gurindam dan Seloka tidak lagi sama dengan bentuk  yang terdapat di dalam kebudayaan asalnya.. Seperti yang saya pernah tulis mengenai Syair.:

Tanah leluhur Nusantara ini pada suatu masa dahulu menjadi tempat persinggahan para pedagang dan pengembara yang menunggu monsun beredar dan musim bertukar  Mereka singgah bermukim, lalu ada yang bermastautin. Di samping membawa pelbagai barang dagangan mereka turut  turut membawa adat resam dan bahasa pengucapan, ekspresi seni termasuk puisi. Maka meriahlah daerah ini dengan gurindam dan seloka dari India, syair dan nazam dari wilayah Arab. Pada asasnya semua terminologi ini bermaksud puisi iaitu karangan yang berangkap. Tidaklah diketahui bagaimana bentuk gurindam, seloka, nazam dan syair yang mula sampai di Nusantara. Namun begitu generasi ke generasi  bentuk bentuk itu mengalami perubahan. Puisi2 tradisi Melayu yang dinamakan seloka, gurindam, nazam, syair dan sebagainya  mempunyai bentuk  dan ciri-ciri tersendiri serta mengambil fungsi yang berlainan di dalam masyarakat Melayu.
Begitulah halnya dengan syair,  Kata syair di dalam Bahasa Arab merujuk kepada karangan berangkap, sama halnya dengan erti puisi dalam Bahasa Melayu atau poems di dalam Bahasa Inggeris. Namun begitu setelah beberapa generasi perkataan syair  di dalam Bahasa Melayu mendapat pengertian yang khusus iaitu:
·         Mengandungi 4 baris dalam serangkap
·         Dalam satu baris terdapat 4 perkataan dan mengandungi 8-12 sukukata
·         Rima akhir syair adalah a-a-a-a
·         Satu rangkap syair tidak dapat berdiri sendiri sepertimana satu rangkap pantun.
·         Syair tidak mengandungi pembayang dan maksud seperti pantun.




 Di Brunei, pantun disebarkan melalui tradisi berMUKUN , satu nyanyian berbalas-balas pantun. Lagu MUKUN biasanya rancak oleh itu pemantun mesti cepat berfikir untuk menyediakan pantun balasan. Mukun juga terdapat di Sarawak. 



Bersama penambang syair no 1 negara, Roslan Madun (baju merah) dan penulis syair negara Brunei, Ibnu Abdeer Rahim (Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato' Paduka Haji Abdul Ghani) yang menulis syair MADAH PERMATA dan MUTIARA BRUNEI DARUSSALAM.

No comments:

Post a Comment