ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, January 16, 2023


 Tahun 2022 meninggalkan banyak kenangan. Banyak peristiwa yang bermakna dalam hidup saya. Antara peristiwa penting yang saya lalui ialah membaca puisi di perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ke 9, Datuk Seri Ismail Sabri.



 

Paling menyentuh hati ialah buat pertama kali Hari Jadi saya disambut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hal ini terjadi  Di Pesta Buku itu juga. Saya ditemubual dalam program “Hati dan Minda Sasterawan” yang kebetulan berlangsung pada hari jadi saya, 13 Jun.Pihak penganjur telah bersusah payah menyediakan kek sambutan. Ia menjadi lebih bermakna kerana turut diraikan oleh

Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada petang itu. Datu Seri Anwar yang kemudiannya telah menempa sejarah sebagai PM ke 10. diiringi isterinya Datin Seri Wan Azizah.Datuk Seri Anwar telah merakam peristiwa ini di instagramnya.

 

Selepas PBAKL, Pesta buku yang kedua terbesar ialah Selangor International Book Fair yang berlangsung dengan meriahnya pada 1 hingga 11 Disember 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.

SIBF sangat bermakna bagi saya kerana dua buah buku saya telah DILANCAR DAN DIPERKATAKAN di PENTAS UTAMA. Buku2 ini ialah Sesayup Jalan yang merupakan kumpulan puisi pertama saya yang diterbitkan semula oleh USM press. Pada 10hb saya berpeluang memperkatakan tentang buku saya PEMIKIRAN DAN FALSAFAH DALAM PUISI MELAYU TRADISI terbitan UniMap press 2022.









 

Selain dua pesta buku yang besar itu, saya juga menjadi tetamu pesta buku Melaka pada 2, 3 Oktober dan pesta buku merdeka pada 31 Ogos di mana Raihani dijemput untuk membicarakan P.Ramlee dan isu2 kemerdekaan di Plaza Sungai Wang Kuala Lumpur .

 

PERSEMBAHAN PUISI

 

Sibuk sepanjang tahun dengan syarahan dan persembahan. 21 March saya ke  Universiti Malaysia Kelantan untuk  bercakap tentang syair sebagai sebahagian daripada perayaan Hari Puisi Dunia. Pada 2 September ada acara besar Purwa Puitika Kedah Tua di mana saya sepentas dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Beto Khushairi yang ketika itu menjadi sebutan ramai berikutan lakonannya dalam  filem Mat Kilau.

 

Selepas Deklamasi perasmian Pesta Buku Kuala Lumpur, dan Purwa Puitika, acara deklamasi  yang agak besar ialah MALAM PUISI INTAN pada hari Sabtu 29 Oktober 2022.

 

Selain Deklamasi saya juga menerima undangan mengisi slot Forum dan Syarahan:

Syarahan penting bagi saya ialah syarahan Akademik Professor Adjung Universiti Malaysia Perlis, . Saya yang telah dilantik sebagai Profesor Adjung fakulti perniagaan dan komunikasi telah menyampai syarahan berjudul Kearifan Tempatan dalam Sastera Melayu yang berlangsung pada 9 September berempat di auditorium Unimap .

  Saya juga bergembira dijemput ke sekolah antarabangsa Pulau Pinang untuk memperkatakan buku Hatimu Aishah. Pada tahun 2022 juga pertama kali karya saya, iaitu novel Hatimu Aishah  diadaptasi ke drama bersiri 26 episod RTM.

Selain di Universiti Malaysia Perlis saya menyampai ucaputama bertajuk ISU, CABARAN dan HALATUJU PANTUN MELAYU Di IPG kampus Bahasa Melayu pada 26 Oktober 2022.Selain itu ialah  Forum dalam talian dalam program Panorama Kehidupan yang dikendalikan oleh Harlym Yeo atas dokongan Universiti Utara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.


Alhamdulillah, tahun ini menyaksikan pemilihan saya sebagai penerima Anugerah Sastera Darul Aman untuk kumpulan cerpen terbaik, Murka Lautan. 










Empat judul buku yang diterbitkan ialah

1. Kumpulan Puisi PAK KADUK PULANG KE KAMPUNG, Kuali Hitam Enterprise.

2. Antologi Puisi Warisan, TAMAN WARISAN,  Kuali Hitam Enterprise. (bersama Roslan Madun, Ghazali Lateh, Nazim Mohd Subari, Shamsuddin Puteh). 

3. Kumpulan Puisi, SESAYUP JALAN, USM press.

4. Kumpulan esei, PEMIKIRAN DAN FALSAFAH DALAM PUISI MELAYU TRADISI. UNIMAP press. 







 

 

Saturday, January 14, 2023

 SASTERAWAN NEGARA PERINCIKAN:

IMEJ WANITA DALAM SASTERA MELAYU

(Di petik dari UUM ONLINE):

Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Zurinah Hassan berkongsi pengalaman dan perjuangannya dalam dunia penulisan sastera sekali gus menyemarakkan nilai kesusasteraan di kalangan warga universiti.
Dato’ Dr. Zurinah membincangkan ‘Citra Wanita Dalam Puisi Melayu Tradisional’ sempena Program Syarahan Sasterawan Di Universiti anjuran Unit Bahasa Sastera dan Budaya Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), kelmarin.
Menurutnya, dalam karya agung Melayu imej wanita diperlihatkan melalui watak yang dikenali dalam sejarah seperti Puteri Gunung Ledang, Tun Teja, Tun Fatimah dan Tun Kudu.
Memetik ungkapan puisi beliau yang bertajuk ‘Pesanan Puteri Gunung Ledang Kepada Sultan Mahmud’ berdasarkan peristiwa Peminangan Puteri Gunung Ledang dalam teks Sejarah Melayu, penentangan wanita ke atas kekuasaan dan ketidakadilan diperlihatkan secara tersirat.

Pesanan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud
Tun Mamat
Sampaikan pesanku kepada Sultan
Pinta dipenuhi syarat-syarat ini
Jika aku ingin diperisterikan
Perbuatkan jambatan emas jambatan perak
Bawakan tujuh dulang hati kuman, hati nyamuk
Air mata dan air pinang muda setempayan
Darah raja dan anak raja semangkuk
Sebenarnya
Aku telah pun menduga
Dia akan sanggup merentang jambatan derita
Dia merelai negeri menjadi dulang sengsara
Membiarkan rakyat memikul tempayan air mata
Kehidupan terbakar dalam api berahi
Selagi kepanasan tidak terpercik ke tubuhnya.
Tun Mamat
Sebenarnya aku memberi syarat ini
Kerana aku tidak sudi menjadi permaisuri Sultan
Dan hidup bercerminkan kekeruhan
Biarlah Gunung Ledang berdiri mengingatkan
Ada bunga yang tidak dapat digubah
Sesedap titah
Seorang perempuan pun ada kalanya
Berhak memilih kebebasan
Seorang Sultan pun ada kalanya
Harus tunduk kepada kekalahan
“Sultan sanggup mengerah rakyat, malah sanggup mengorbankan nyawa rakyat untuk melakukan segalanya hanya untuk mendapatkan Puteri Gunung Ledang yang sekadar menjengah di alam mimpi. Nafsu serakah itulah antara faktor yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melayu Melaka dan negeri Melayu secara umumnya,” katanya.
Jelasnya, karya sastera secara tidak langsung turut memperlihatkan bahawa imej wanita sejak dahulu lagi telah diangkat dengan baik bagi menjelaskan peranan mereka dalam kekuasaan lelaki.
Namun begitu, menurut beliau, sejarah juga turut membuktikan bahawa kekuasaan lelaki juga telah mencalar jiwa wanita. Hal ini bukan sahaja berlaku di zaman tradisional, malah di era moden, kekuasaan lelaki dan kelemahan wanita sering menjadi fenomena dalam masyarakat.
Surat Teja Kepada Tuah
Sampai hatimu Tuah
Mawar cinta yang kuberikan
Kau bawa ke perhitungan
Kenanga dari sanggulku
Kau sangkutkan ke singgahsana
Untuk mengharumkan namamu
Tuah, aku adalah perempuan malang
yang harus merana, kerana paras rupa
kecantikanku bukanlah satu dosa
namun ia telah diperdagangkan
dengan pintar percaturan lelaki
seperti bunga pada sesedap gubahan
di hujung lidah seorang sultan.
Aku seperti perempuan lainnya
Telah dibesarkan oleh peraturan
Dihaluskan oleh adat
Dengan suara yang dilembutkan untuk menerima
Diajar untuk pandai merelakan paksaan
Kerana itu adalah kesopanan
Yang menyempurnakan kejadian
Seorang perempuan
Barangkali akulah yang bersalah
Membina impian di sayap perasaan
Untuk berbakti sebagai isteri
Sebuah impian yang indah
Sajak beliau berjudul ‘Surat Teja Kepada Tuah’ yang diangkat daripada peristiwa dalam teks Sejarah Melayu telah memperlihatkan tipu daya lelaki dalam mencapai impian sendiri sehingga sanggup melukakan jiwa dan perasaan seorang wanita sebaik Tun Teja.
“Kelemahan wanita apabila perlu akur kepada norma dan adat yang telah ditentukan dalam masyarakat demi menjaga kesempurnaan kejadian seorang wanita”.
Program Syarahan Sasterawan Negara Di Universiti ini juga mempersembahkan bacaan sajak dan syair hasil tulisan SN Dato’ Dr Zurinah Hassan oleh pelajar UUM.
Beliau turut terlibat dalam menjayakan Bengkel Penulisan Kreatif: Menyusun Aksara Kritis: Alam Terkembang Sebagai Layar.
Dato’ Dr Zurinah Hassan merupakan Karyawan Tamu Utama UUM dan beliau telah menghasilkan lebih 20 karya kreatif dari pelbagai genre seperti puisi, autobiografi, memoir, cerpen, novel dan kajian penyelidikan sastera.
Beliau ialah sasterawan wanita pertama yang dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara (yang ke-13), di samping turut mendapat pelbagai anugerah seperti SEA Write Award (2004), Hadiah Sastera Perdana dan anugerah Puisi Putera (2003).
Karya-karya beliau telah diterbitkan dalam pelbagai bahasa seperti English, Spanish, Russian, Mandarin, dan Tamil.


Menerima Anugerah Sastera Darul Aman (2022). untuk kumpulan cerpen terbaik , MURKA LAUTAN, terbitan ITBM 2016.