ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, August 05, 2014

DUA SAJAK ZURINAH HASSAN



salin dan tampal status Djazlam Zainal (Face Book)

DUA SAJAK ZURINAH HASSAN

July 17, 2014 at 3:28pm
Sajak boleh menggembirakan dan mendukakan. Itu bagi saya penggemar sajak. Bukan mudah menemukan sajak yang benar-benar memberi kesan. Puluhan malah ratusan sajak yang dibaca belum tentu mendatangkan kesan yang diharapkan. Sajak dapat memberi perenungan pada pembacanya dengan rasa pilu, rasa rindu, rasa terharu juga rasa merana, rasa kesal dan sebagainya. Dua sajak Zurinah Hassan yang saya temui dalam kumpulan puisi Cerita dalam Cerita ( Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2014, 99 hal ) ada sesuatu perasaan lain yang saya rasakan. Dan riaknya sangat dahsyat sehingga saya tidak mampu menangguhkan lagi reaksinya ke waktu-waktu tertentu. Saya rasa ianya baik dilahirkan waktu perasaan saya sedang bergolak, sedang melonjak.

Sajak ' Pulau Mutiara ' ( hal. 29 ) ditulis begini;

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
jika kuingat jika kukenang
air mata jatuh berlinang

Ke Padang Kota ke Batu Ferenggi
rasa hati tak mahu pulang
rumah sempit di tingkat tinggi
kampung dahulu sudah hilang

Di sana sini menjulang membara
di situ tempat para pedagang
Sayu melihat Pulau Mutiara
mutiara terkalung di leher orang

Apakah bentuk puisi ini? Dia mempunyai elemen satira dan nada yang sinis. Keindahan sajak ini pada saya ialah, rangkap pertama disebut, Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang. Tentu baris ini mengingatkan kita kepada puisi Zurinah yang sangat popular dinyanyikan oleh kumpulan Harmoni pada tahun-tahun 80-an dulu. Baris kedua dan ketiga ialah kata-kata sakti pujangga dahulu, jika kuingat, jika kukenang/ air mata jatuh berlinang. Baris ini pernah dinyanyikan oleh Aman Shah sebuah lagu yang dirakam semula daripada nyanyian Neng Yatimah. Rangkap ke dua yang mempunyai 4 baris ini adalah elemen pantun. Begitu juga pada rangkap ketiga yang mempunyai elemen pantun. Dua rangkap terakhir mempunyai sindiran yang khas. Sindiran pada rangkap dua, sindiran yang sedikit lembut tetapi sindiran terakhir sangatlah tajam. Dalam sindiran terakhir, penyair merumuskan sendiri dengan katanya; saya melihat Pulau Mutiara/ mutiara terkalung di leher orang.

Sudah tentu Zurinah mempunyai nostalgia yang khas terhadap Pulau Pinang alias Pulau Mutiara. Pulau Mutiara mempunyai kisah yang panjang. Pulau kepunyaan negeri Kedah, negeri kelahiran Zurinah Hassan yang terpajak dan akhirnya terlepas kepada Inggeris. Negeri yang banyak sejarahnya iaitu kedatangan orang Arab dan Mamak. Namun selepas merdeka, Pulau Pinang dijaga oleh komponan Perikatan dari Partai Gerakan yang dinaungi kaum Cina. Sehingga sekarang, kaum Cina yang monopoli seluruh pembangunan dan kemewahan Pulau Pinang. Nasib baiklah kerajaan menubuhkan Universiti Sains yang berpusat di Pulau Pinang. Tanpa ada universiti tersebut, barangkali Zurinah juga tidak akan punya kenangan terhadap Pulau Pinang. Bakat Zurinah dikesan oleh Profesor Hamzah Sendut di universiti tersebut. Dari situlah Zurinah menerbitkan Sesayup Jalan dan Di Sini Tiada Perhentian. Dan Pulau Pinanglah yang membesarkan Zurinah sebagai penyair universiti yang intelektual dan berpandangan kritis dan jauh.

Amat wajar kalau Zurinah melontarkan pandangan sinisnya terhadap Pulau Mutiaranya. Bandingkan sajaknya yang lalu,

Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang
Oleh Zurinah Hassan

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Laut mengimbau sayu
Ombak-ombak ini hatiku
Berhasrat tiada sepi

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Hujan memberi lagu
Angin menampar ke tiap ruang rasa
Berhiba-hiba awan pilu

Aku antara manusia beribu
Air mataku antara laut-laut lepas
Laguku hilang dalam angin menderu

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Hatiku terjun ke air
Mencari tempat bagiku
Aku orang pelarian

Kelihatan bagaimana girangnya penyair melihat Pulau Pinang dalam usia remajanya sekitar tahun 1971. Pulau Pinang dilihat sebagai tempat yang akan mengubah nasibnya sebagai seorang pelarian. Pemandangan itu dilihat dari perjalanan dengan sebuah feri yang menjadi jalan perhubungan Pulau Pinang dengan semenanjung. Tetapi selepas 45 tahun kemudian, Pulau Pinang tidak akan dilihat dari pemandangan sebuah feri tetapi dengan jambatan yang melilit dan berliku layaknya seekor ular besar yang membelit dan melilit. Dengan hembusan angin yang agak kuat di atas jambatan itu, penyair hari ini melihat Pulau Pinang yang semakin terpencil dan tersingkir dari arus kenangan. Apa yang tinggal lagi kenangan hampir 45 tahun lalu selain kekecewaan, kehilangan dan penyingkiran yang memilukan. Sayu benar penyair melihat mutiara yang berkilau-kilau memilit di leher orang sedangkan di leher sendiri seakan segumpal tali yang akan mencerut leher dan menghabiskan sisa-sisa kemelaratan yang ditanggung selama ini.

Puisi kedua Zurinah ialah Si Penjual CD ( hal. 46 )

Oleh kerana tiada kerja tetap
Karim membantu Gemuk
( nama sebenarnya Ah Seng )
menjual CD
untuk upah dan komisen

Karim memasuki dunia niaga
dengan bermacam-macam cara
bersila dan bermeja
di pinggir pasar di kaki lima
kiranya dia jurujual yang handal
banyak CD dijual

CD filem atau lagu-lagu
lama dan baru
sedikit-sedikit yang asli
cetak rompak ramai yang beli
melintang patah membujur lalu
CD murah banyak yang laku

Tiba-tiba Gemuk berhenti menyalin CD
katanya sekarang mesti berhati-hati
penguat kuasa mengetatkan operasi
Karim sedih terputus rezeki

Karim tidak memahami
apa ertinya Harta Intelek
Akta Hak Cipta dan hak royalti

Dia merungut rezekinya diragut
penguat kuasa yang tidak berhati perut
anak-anaknya perlu makan
yang bersekolah perlukan buku-buku
yang kecil perlukan susu
harga gula, harga ikan melambung tinggi
tuan rumah menaikkan sewa lagi

(1)
Kini Karim merasa lega semula
pintu rezekinya kembali terbuka
dengan hiburan baru
yang melanda bangsa

Si Gemuk kembali sibuk
kali ini membanyakkan ceramah politik
petah penceramah seni mencerca
kuasa retorika penuh gaya
mencaci dalam berlawak
penonton gelak terbahak-bahak
semakin terdedah aib lawan
semakin laris jualan

Karim pun semakin ligat
menjual CD di sana sini
terutama di laman masjid
selepas Jumaat
berduyun-duyun peminat

Melintang patah membujur lalu
CD mencaci cepat laku
Si Gemuk menggemukkan saku
Si Karim dapat membeli susu
Si Karim dapat membeli buku

Gemuk kaya Karim selesa
rezeki dari kegilaan semasa
adakah dia menyangka
bahawa dia menjadi ejen
mempercepatkan perpecahan bangsa?

Kalau sajak ini tidak terkandung di dalam kumpulan puisi milik Zurinah Hassan, tentu saya menyangka puisi ini milik Zahari Hasib atau Leo AWS. Ini kerana puisi ini polos dan tidak puitis langsung. Ia hanya penggalan-penggalan yang diurutkan semacam sebuah puisi. Yang dipentingkan di sini adalah maksudnya. Puisikah kalau maksud yang tertera di dalamnya terus dapat diteguk dan direguk oleh pembaca. Puisi ini jauh dari puisi yang puitis yang pernah Zurinah cipta pada zaman awalnya. Kalaulah puisi seperti ini yang Zurinah cipta di peringkat awal penulisannya ini, saya percaya Zurinah tidak akan berada di tahab sekarang. Zurinah akan selingkung dan sekandang dengan Zahari Hasib dan Leo AWS. Namun setelah mencipta nama sebagai Zurinah Hassan, bentuk puisi bagaimana pun akan dikelaskan sebagai pencapaian dan puncak penciptaan penyair berkelibar ini. Puisi ini adalah berbentuk balada. Si Penjual CD judul yang amat tidak memikat. Kita tahu bahawa ceritanya adalah penjual CD. Entah kenapa saya tiba-tiba menjudulkan sajak ini sebagai Balada Si Gemuk. Balada mungkin kerana bentuk puisi balada. Si Gemuk adalah fokus kepada subjek ini. CD adalah alat untuk Si Gemuk. CD tidak ada makna kerana CD adalah alat Si Gemuk seperti mana Karim adalah alat semata. Si Gemuklah subjek utamanya. Zurinah sebenarnya menggunakan Si Gemuk yang beralatkan CD dan Karim. Mereka hanya menumpang tui. Si Gemuk juga adalah lanjutan daripada kengerian Zurinah terhadap Pulau Mutiara. Mangsa kepada memperalatkan Karim, Hak Harta Intelek, menjual cerca kuasa retorik bangsa Melayu, Si Gemuk adalah parasit yang menghisap darah. Lihatlah Si Gemuk yang hidup di sekitaran Melayu, orang Melayu ( Karim ) Tanah Melayu ( Malaysia ) masjid ( menjual CD ceramah seusai sembahyang Jumaat ) yang akhirnya Zurinah merumuskan;

Gemuk kaya Karim selesa
rezeki dari kegilaan semasa
adakah dia menyangka
bahawa dia menjadi ejen
mempercepatkan perpecahan bangsa?

Di sini seperti Zurinah menyalahkan Karim yang dituduh menjadi ejen mempercepatkan perpecahan bangsa. Karim sebenarnya alat yang diperalatkan oleh Si Gemuk. Si Gemuklah yang sebenarnya menangguk di air keruh. Air keruh disebabkan oleh stikma perebutan kuasa dan ketidakadilan selama ini. Kerana ketirisan dalam pengagihan kek ekonomi, bangsa Melayu melarat di tanah airnya sendiri. Di Pulau Pinang bangsa Melayu seperti melukut di tepi gantang. Di tempat-tempat lain, bangsa Melayu masih menumpang rezeki kepada bangsa lain yang menguasai ekonomi negara. Salahkah Karim mencari rezeki halal untuk menyara anak isterinya. Kalau tidak menjadi penjual CD dari kantung Si Gemuk, apakah Karim akan menjadi perompak dan pencuri. Di sinilah natijah yang dapat dipungut daripada sajak Si penjual CD yang direct pengucapannya ini.

Puisi kalau dinikmati dengan sungguh-sungguh sebenarnya membuka ruang renung yang mengerikan. Saya ngeri membaca puisi-puisi atas kejelekkan pembangunan yang tidak sekata. Yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus terpidana. Apakah puisi masih bermakna dalam pembangunan negara? Saya mengatakan ya, di saat ' kata-kata telah menjadi dosa ' Untuk berkata sesuatu yang wajar tetapi bertentangan dengan establisment, ia dikatakan pengkhianat dan musuh negara, maka puisilah pada saya mengambil tempatnya. Berpuisilah untuk menyatakan segala sesak di dada. Syabas Zurinah Hassan alias Dato' Dr. Zurinah Hassan, penyair kawakan wanita Malaysia yang berketrampilan ini.


LikeLike ·  · 

1 comment:

  1. As salam puan saya sangat meminati sajak puan yang bertajuk gunung payung nama lagunya... sajar itu pernah saya deklimasikan dihadapan puan pada tahun 1991 iaitu semasa saya masih bersekolah di SMK Tok Janggut Pasir Puteh... mohon jasa baik puan untuk lampirkan sajak tersebut yg masih saya ingat sebahagian darinya... Gunung Payung nama lugunya dalam imbau sibayu malam... jejari embun lembut membelai... lidah dalam bahasanya... terima kasih

    ReplyDelete