ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, August 02, 2014

ULASAN DJAZLAM ZAINAL




EMPAT KARYA PEMENANG, DI MANA KEKUATANNYA


February 13, 2014 at 10:01am



Sesebuah karya, apabila telah sampai ke tengah khalayak, maka karya itu tidak menjadi hak peribadi pengarangnya. Karya itu sudah menjadi hak masyarakat untuk membahas, memperkata sama ada baik atau buruk. Banyak pengarang takut berhadapan dengan hal ini. Bagi kebanyakan pengarang, karya yang telah dihantar ke masyarakat adalah karya yang terbaik kerana telah melalui proses sensor, pembaikan dan juga pengeditan. Lantas, karya yang tersodor dalam masyarakat, adalah karya yang bersih, baik dan perlu dijulang serta dipuja-puji setingginya. Haruskah begitu?






Saya telah menyediakan masa yang panjang, terbaik dan melelahkan sepanjang membaca dan meneliti karya empat pemenang genre puisi sayembara ITBM, Pena-BH ini. Memang tiada yang menyuruh saya berbuat demikian. Menyediakan sejumlah masa untuk mendapatkan karya terbitan ITBM yang sukar didapati di pasaran, menyediakan sejumlah wang ringgit yang sebenarnya elok untuk dibelanjakan ke arah yang lebih menyenangkan, malah akan berhadapan dengan serangan atau ketidakpuasan hati pengarang-pengarang yang akan saya amati dan perkatakan. Tapi sebagai sebuah tanggungjawab yang entah siapa memberinya, saya rasa terpanggil memperkatakan empat karya pemenang dalam genre puisi ini. Karya-karya yang saya lahap ialah Sidang Kultus karya Raihani Mohd Saaid,Taman Maknawi karya Shamsudin Othman, Laut Tujuh Gelombang Buih karya Rahimidin Zahari dan Negeri Kunang-Kunang karya Ridzuan Harun. Karya ini sudah diadili dan telah diketahui umum siapa pemenang pertama, kedua, ketiga dan saguhati. Saya tak mungkin bisa merobah keputusan tersebut, tetapi masih bisa memberi alternatif lain mengenai karya tersebut.






Sebelum berjalan jauh, tentu latar belakang kesemua pengarang pemenang ini sedia memberi gambaran, siapakah mereka dan kenapakah mereka berada di kedudukan demikian. Raihani Mohd Saaid, puteri sulung penyair mapan Dato Dr. Zurinah Hassan terasuh dengan suasana dunia kepenyairan ibunya. Memiliki sarjana muda dari Universitas Malaya dan sedang melanjutkan pengajiannya ke peringkat master pula. Shamsudin Othman, seorang dosen kesusasteraan di universitas Putra Malaysia dan menceburi genre puisi ini sudah lebih tiga dekad lamanya. Rahimidin Zahari, penyair dan pendalang muda yang sedang meletakkan dirinya sebagai pewaris Usman Awang, Latif Mohidin terus terpancar kelicikannya dalam mengolah bahasa dan menyusun aksara. Lintasan di atas pentas juga licik dan menarik. Sementara Ridzuan Harun, nama yang sedang ditatih sebagai ' bollduzer ' dalam dunia sastera Malaysia mutakhir. Seorang dosen di Akademi Seni Budaya Malaysia ( Aswara ) Dari sedikit catatan latar belakangnya, tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan mereka ini di atas pentas puisi tanah air.






Saya tidak akan mengulas mengikut urutan kronologi yang telah tersedia iaitu Ridzuan Harun ke Raihani Mohd Saaid. Kerana saya tidak harus berjalan di atas ril yang telah ditentulkan keazaliannya. Saya akan melihat Shamsudin Othman melalui Taman Maknawinya. Taman Maknawi adalah lanjutan pengucapan Shamsudin dalam Taman Percakapandan Tanah Nurani. Suara Shamsudin adalah suara datar yang mencangklung ke dalam jiwa pembacanya. Air nurani dari sumber sabda dan firman, hadith dan al-Quran, meleleh menjunam masuk ke nubari pembaca. Keseluruhan 31 buah puisi Shamsudin bernafas keislaman sehingga ia terangkum sebagai kumpulan puisi Islam.






Rahimidin melalui Laut Tujuh Gelombang Buih juga menyertakan 31 buah puisi. Keseluruhan puisinya berteraskan perdalangan wayang kulit. Medium yang cukup diakrapinya selama 3 dekad Rahimidin mengauli dunia sastera. Rahimidin membesar dalam sekitar yang memberangsangkan iaitu tanah serendah sekebun bunga yang kaya dengan wayang kulit, dikir barat, silat dan tomoy. Oleh itu suara yang terlontar darinya adalah suara milik peribadi Rahimidin yang sejati. Sebagai kumpulan puisi yang fokus pengucapannya adalah wayang kulit, tidak banyak yang dapat kita gali mengenai weltanchuoongnya mengenai dunia sejagat.






Berbanding dengan kumpulan puisi Sidang Kultus karya Raihani Mohd Saaid dan Negeri Kunang-Kunang karya Ridzuan Harun, tema sejagat , mikro, kosmos, empeti dan nostalgia, menyeluruh dan subur dalam taman puisinya. Raihani dilihat sebagai mencari percubaan yang lain daripada puisi-puisinya yang lalu. Walaupun terdapat 5 puisi berjudul Noir, puisi Raihani sejalur dengan suara kalbunya yang noir dalam lingkung nalurinya yang seakan memberontak. Raihani tidak sesyahdu Shamsudin dan sepetah Rahimidin dalam memperkatakan dunianya. Raihani merengkuh dunia bianglala yang kontang dan berselirat. Pengucapannya meledak dan tidak mesra pada pendengaran telinga. Bentuknya seperti keliaran Ahmad Razali Yusof atau Rendra dan menerjang terbang. Beliau menyatakan ia merupakan percubaan meninggalkan gaya persajakannya yang terdahulu.






Ada kecenderungan Raihani tidak serius dalam mengerjakan sesuatu topik atau subjek puisi. Lapan buah puisi terkandung dalam Naskhah. Bila diamat-amati, Naskhah hanya merupakan satu puisi panjang yang dipenggal-penggal menjadi lapan buah puisi. Namun ia tidak berulang pada Noir yang mempunyai empat bahagian. Ini jelas menunjukkan peserta sayembara tidak begitu mengambil serius tentang penghasilan mutu puisi yang mereka sampirkan kepada sayembara ini. Berbanding dengan sayembara Puisi Putra dan Hadiah Sastera Darul Iman di mana penyertaan warga sayembara sangat teliti dan bersungguh-sungguh. Hasilnya, pemenang yang diikhtiraf mencapai tahab mutu pertandingan.






Ridhuan lebih bernostalgia. Himbauannya jauh ke tanah-tanah seberang. Dalam Sepi Yang Paling Jauh terkesan tentang nostalgia berada di negeri tetangga. Kisah ini terakam dalam puisi Musi, Bandung, Cikini dan lain-lain yang mengambarkan kerinduannya terhadap tanah air tercinta. Suara Ridzuan lembut, menyampaikan salam yang jauh terhadap keterpisahan dua bangsa serumpun, seagama, sebudaya terpisah oleh batas geografi dan politik. Ridzuan mahu mendekatkan jarak itu dengan puisi. Kerana audion belum akrab benar dengan gaya Ridzuan, penampilan pertamanya dalam kumpulan puisi ini amat berjaya. Pada saya, Ridzuan seperti sebuah kamera yang menjepretkan gambar seutuh mungkin. Tiada tangan-tangan halus atau fikirannya yang ' merogol ' keindahan puisinya. Untuk itu barangkali Ridzuan terbaik di kalangan peserta yang lain.






Shamsudin dan Rahimidin terkepong dan terperangkap dengan skop yang dibinanya sendiri. Beliau mengurung dirinya dalam tema keislaman dan wayang kulit. Ini menyekat kedua penyair ini daripada mengeluarkan idea besarnya. Dalam sebuah sayembara yang rinci dan tidak memberi tema, Shamsudin dan Rahimidin tidak harus terikat dengan tema. Tetapi inilah yang dilakukan oleh mereka. Suara Shamsudin dan Rahimidin telah dikenali umum. Siapa yang membaca puisi Shamsudin dan Rahimidin akan dapat menebak penyairnya. Ini sepertimana kita mengenal Muhammad Haji Salleh, Kemala atau Latif Mohidin. Suara mereka telah terpatent oleh gaya bahasa peribadinya. Kenapa rata-rata pemenang hanya menyertakan sekitar selingkung 30 buah puisi. Barangkali ini syarat penyertaan wajibnya. Namun Ridzuan memberi 57 buah puisi dan dapat memperlihatkan keluasan weltanchuoongnya sebagai penulis muda. Antara ke empat-empat mereka, Ridzuan paling muda dari segi penampilannya sebagai penyair. Berbanding Rahimidin, Shamsudin dan Raihani, Ridzuan pada saya belum mencipta nama dan inilah permulaannya untuk beliau terus melonjak. Sekiranya Ridzuan gagal, Ridzuan hanya akan menambah senarai penyair seumpama ' Moechtar Awang '.






Pada saya, Raihani sepatutnya mendapat tempat yang lebih baik dalam sayembara ini. Pengucapannya tidak ' cliche ' dan nampak ada pembaharuan sama ada terhadap penyairnya atau pun ruang puisi itu sendiri. Raihani sebagai penulis muda, telah meneroka dunia ' noir ' yang sekarang sedang giat diterokai oleh golongan yang melabelkan dirinya indie. Indie tidak akan masuk ke dalam kelompok sastera, noir Raihani menyerlah akan membuka vakuum tersebut. Dr. Anuar Nor Arai telah merintisnya. Raihani menyambungnya..





Hasil sayembara yang agak mendukacitakan ini juga barangkali ada kaitannya dengan penghadan usia penyair yang menyertainya. Penyertaan dihadkan kepada penyair di bawah 45 tahun. Ini tentulah tidak menggalakkan penyair veteran menyertai sayembara ini. Barangkali akan lebih berhasil sekiranya sayembara ini diperluaskannya kepada umum juga termasuk penyertaan dari peserta luar negara yang berbahasa Melayu. Untuk itu, tema yang lebih global diperlukan untuk sayembara yang akan datang. Katakan tidak sekiranya memang tiada yang layak untuk mendapat hadiah pertama atau kedua. Bebarapa sayembara yang lalu telah meniadakan pemenang pertama atau kedua kerana difikirkan tidak layak. Ini tidak memalukan peserta atau penganjur tetapi akan mengahkan lagi dunia sastera tanah air. Hanya pencapaian tertinggi sahaja yang layak dinobatkan sebagai juara.


No comments:

Post a Comment