ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, February 16, 2010

Selepas PRU 12 dan pembangkang menunjukkan kekuatan, sebahagian besar rakyat Malaysia merasakan bahawa inilah keadaan yang ideal. Bila dua parti nampak sama kuat, mereka akan berbuat yang terbaik untuk memenangi hati rakyat. Kesudahannya rakyatlah yang akan beruntung.

Adakah pandangan ini benar? Apakah kita beruntung sekarang? Inilah yang menyebabkan saya menulis sajak Si Pakat dan Sang Raksasa.(mingguan malaysia 6.12.09)

Si Pakat dan Sang Raksasa
Pada suatu masa
tersebutlah kisah Si Pakat
berlawan dengan Sang Raksasa
mereka berlawan bersungguh-sungguh
hendak bunuh membunuh

Perlawanan mereka
menarik perhatian seluruh negeri
yang mengikuti setiap hari
bagaikan drama bersiri
kesudahannya siapa akan mati

Ramai pula pengulas pertandingan
memberi ulasan dan ramalan
bijksana berhujjah
berbagai bukti yang terdedah

Berkatalah si cendiakawan
Si Pakat akan menang
kerana Raksasa akan sendirinya terbunuh
oleh lagaknya yang angkuh


Tak kurang pula yang menyurat
tiada masa depan untuk si Pakat
lantaran si Pakat tidak pernah sepakat
mengikut pengulas yang pandai
badannya pasti akan bercerai berai
Si Pakat akan mati berkecai

Kami leka melihat pertarungan yang dahsyat
antara Raksasa dengan si Pakat
berminat pada debat yang hebat
terhibur dengan petah sang penceramah
hingga kami lupa untuk bertanya
jika benar di Pakat akan mati terputus
jika benar Sang Raksasa akan lupus
siapa nanti akan menolong kami
bila sawah kekeringan
dan anak kami kelaparan?

Zurinah Hassan
Shah Alam

Tuesday, February 09, 2010

Dengan penuh harapan saya menunggu kelahiran buku puisi berserta terjemahan (terbitan Institut Terjemahan Negara).

Semua puisi dan terjemahan ke BI adalah hasil kerja saya. Tunggulah apa nak jadi. Hanya berdoa kepada Ilahi.

Di bawah ini adalah salah sebuah sajak yang termuat di sana.
IKLAN TV


Suatu hari pada tahun 1966
ayah membawa pulang
sebuah peti televisyen
kami bersorak riang
lalu sibuk menyusun ruang
untuk memberikan padanya
sudut yang utama


Mulai hari itu
kami mengatur kerja harian
kami melentur kebiasaan
mengikut jadual tayangan


Tetapi sebenarnya
peti itulah yang mengatur acara keluarga
mempertemukan kami
dengan tetamu pelbagai rupa


Dari Kentucky
mereka datang menghidang makanan segera
lalu menakluk selera bangsa


Dari Marlboro Country
mereka menunggang kuda
ke dalam minda anak-anak muda


Dari kota London
kilauan emas pemetik api
menyalakan seribu fantasi
sambil mengusap dada
dengan asap dan jelaga


Dari Paris semestinya
mereka memperagakan kehebatan jenama
lalu memakaikan anak-anak kami
dengan baju ilusi

Ketika kami cuba melindungi putera puteri
di dalam pagar kesantunan
mereka menjerit "breakaway"
lupakan segala batasan


Kadang-kadang kami marah
kerana terlalu banyak iklan
memecah keasyikan
perlahan-lahan kami fahami juga
kuasanya mencorakkan rancangan
dan menyusun jadual tayangan
yang kemudian mempengaruhi
agenda kehidupan.



Biasanya kami leka
ketika wajah negara
dan watak bangsa
diadun oleh tangan sang penaja


TV commercials

One day in 1966
My father brought home
A television set
How we cheered with joy
Immediately rearranged our space
To give it
A prominent place

That day was the beginning
Of our daily routine
Following the program summary
And setting our time accordingly

In fact the box has come to control
The timetable of our household
Bringing to us guests
From all over the world

From Kentucky
They serve food in an instant
Conquering the taste bud of our nation

From Marlboro country
The horses gallop
Into the minds of our young ones


From London city
The gold lighter
Sparks off a thousand fantasies
Filling our chests
With fog and smoke

Form Paris for certain
The parade of brands and fashion
Dress up our children
With clothes of illusions

While we protect our boys and girls
With ethics and morals
They shouted ‘breakaway’
Lets break all the rules

Sometimes we are annoyed
By too much interruptions
disrupting our concentration
But we come to understand
The sponsors right
To schedule our viewing
And we come to compromise
As it dictates our live

More often we are carried away
While the characters of our people
And the landscape of our land
Being shaped by advertisers’ hand

Monday, February 08, 2010

Apabila dunia hanyalah sementara
Semua manusia adalah pengembara

Apabila dunia hanya pinjaman
Tidak terjamin kekal berzaman

Apabila hidup tidak beriman
Sesatlah kita tanpa pedoman

Apabila kita di jalan pulang
Jaga bahtera menempuh gelombang

Apabila bahtera dibiar hanyut
Karam tenggelam di tengah laut

Apabila tiada iman yang teguh
Ibarat berjalan tidak bersuluh

Apabila tidak cukup bekalan
Bahtera tidak sampai pengkalan

Apabila sempurna amal ibadat
Di negeri akhirat beroleh syafaat



Iman dan akal jadi kemudi
Selamat lah pulang ke negeri abadi

Pelihara diri dari maksiat
Beroleh lindungan di negeri akhirat

Hidup berpandu iman dan akal
Beruntunglah kita di negeri yang kekal

Apabila hidup bersuluhkan akal
Beruntunglah kita di negeri yang kekal

Saturday, January 30, 2010



Hari ini saya ingin mengabadikan di sini gambar-gambar dari peristiwa menyambung silaturrahim. Dalam bulan lepas kami menerima kunjungan sekeluarga dari Terengganu, sepasang suami isteri yang mesra bersama empat orang anak lelaki. Suami isteri itu tinggal sehotel dengan suami semasa mengerjakan haji di Mekah pada tahun 2008.Mereka mempunyai anak yang ramai tak silap saya 13 orang. Dan 24 orang cucu. Saya kagum dengan puan hajjah itu. Bukan senang membesarkan anak yang begitu ramai. TAHNIAH HAJJAH. Saya lebih kagum dengan anak-anak lelakinya yang turut mengiringi ibu bapa berkunjung ke rumah kami. Bukan senang mencari anak-anak muda yang mahu mendampingi ibu bapa ikut berjalan-jalan ke sana ke mari. Ya tak?. Sesapa yang mengenali mereka boleh komen di sini. Atau kalau ada di antara mereka yang membaca blog ini jgn lupa tinggalkan sedikit pesan.

Saturday, January 16, 2010

Berikut adalah kertaskerja iringan yang saya tulis utk seminar di atas pada tahun lepas. Saya abadikan di sini.

WAJAH KEPENGARANGAN PENYAIR MELAYU/MUSLIMAH

Zurinah Hassan (MALAYSIA)

Kertas ini memperkatakan karya dan kreativiti penyair Melayu/Muslimah di
Malaysia. Penyair wanita Melayu (seperti sasterawan-sasterawan Melayu yang lain) dilahirkan oleh pemikiran yang dipengaruhi oleh alam dan agama Islam. Agak ramai yang memberi pendapat sedemikian antaranya Hashim Awang yang telah membina Teori Pengkaedahan Melayu.

”Kewujudan bangsa dan masyarakat Melayu yang beragama Islam
sebagai warga dunia, tidak dapat terpisah untuk turut memberikan pengaruh besar dalam pembentukan kesusasteraan dan seterusnya dalam pembentukan Teori Pengkaedahan Melayu ini.
(Hashim Awang: 2002:10)


Apakah ukuran yang kita gunakan bagi mengatakan sesebuah puisi itu
berunsur keIslaman? Apa ciri-ciri puisi yang berunsur keIslaman

Sebagai karya seni keunggulan sebuah puisi adalah adunan
1. Isi yang meliputi pemikiran, sudut pandangan, mesej dsbnya
2. Teknik berpuisi/cara pengucapan/gaya penyampaian.






Keduan perkara di atas iaitu Isi dan Teknik boleh diterjemahkan sebagai Niat dan Cara.
1. Isi yang meliputi pemikiran, sudut pandangan, mesej dsbnya
Sasterawan Muslim/Muslimah menulis dengan kesedaran akan peranan dan
erti kewujudan mereka dan dengan kesedaran tanggungjawab dan peranan sebagai khalifah sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah. Mereka mementingkan unsur dakwah. Dakwah menurut definisi Kamus Dewan ialah kegiatan menyeru dan membimbing, mendidik serta meyakinkan secara baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya menyedari (menghayati) dan mengamalkan ajaran
agama yang sebenarnya. (Kamus Dewan,EdisiBaru.1994:244)


Perkataan “dakwah” adalah dari bahasa Arab, kata dasarnya Da’a bererti mengajak, Du’a bermaksud seruan, Da’wah bermaksud panggilan, dan Da’i merujuk kepada pendakwah (Abdul Rauf Dato’Haji Hassan, 2005:140). Dakwah pada pandangan agama ialah ajakan yang ditujukan kepada manusia oleh Allah dan para rasul-Nya, supaya percaya dan yakin kepada agama yang sebenar, iaitu agama Islam. Dakwah ialah kegiatan menyeru manusia mengikut jalan Allah bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kata

Ajaran agama Islam meliputi segala aspek kehidupan manusia termasuk
kemasyarakatan, politik, ekonomi dan sebagainya. Di dalam Islam, setiap perbuatan yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan kepada orang lain adalah suatu ibadat yang akan diberi ganjaran di akhirat kelak. Amal ibadat di dalam Islam merangkumi ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan ibadat umum, iaitu segala perbuatan yang memberi kebaikan kepada masyarakat dan diri sendiri. Dasar dan pelaksanaannya meliputi semua bidang kegiatan hidup dengan tujuan untuk menghidupkan semua aspek daya kekuatan manusia yang dibekalkan dengan akal fikiran.

Allah menuntut manusia berdakwah melalui ayat yang bermaksud, “ Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman” (Surah Adz-Dzaariyat: 55).


Teknik berpuisi/cara pengucapan/gaya penyampaian.

Gaya Penyampaian merujuk kepada penggunaan perkataan/bahasa di dalam puisi. Penyair memilih perkataan yang terbaik untuk menyampaikan makna dan membangkitkan suasana supaya apa yang terkandung di dalam perkara Isi/mesej/pemikiran di atas dapat dihayati.

Gaya penyampaian mencerminkan wajah kepengarangan Muslimah. Terpenting ialah penggunaan Perlambangan daripada unsur alam yang menunjukkan pegangan bahawa setiap objek mengandungi erti yang menunjukkan kepada ciptaan Allah iaitu tanda2 Allah atau ayatullah . Setiap objek alam adalah ciptaan Allah yang penuh dengan unsur-unsur kekaguman dan kemisterian yang telah membuka minda penyair untuk berfikir dan mentafsir.

Penggunaan lambang atau metafora adalah unsur penting di dalam sesebuah puisi. Malah penggunaan perlambangan yang disebut misal perbandingan, amthal, juga adalah cara yang digunakan oleh Al-Quran. Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan ayat-ayat yang mengandungi perlambangan seperti yang dijelaskan dengan ayat yang bermaksud, “Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran” (Surah Az-zumar: 27.) Alam memberi kesedaran dan pengajaran tentang makna kehidupan dan kebesaran Tuhan.

Allah s.w.t. berfirman tentang penggunaan lambang dan metafora:
“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka“. (Surah Al-Baqarah: 26)


Daripada pandangan Islam, seluruh alam adalah tanda kebesaran Tuhan. Manusia hendaklah merenung dan mengambil iktibar kerana segalanya mengandungi makna dan memberi pengertian terhadap kehidupan yang dilalui. Al-Quran juga mengingatkan manusia tentang keajaiban kejadian alam yang menjadi tanda kekuasaan Ilahi, misalnya terdapat ayat:

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada dilangit dan di bumi. Dalam pada itu segala tanda dan bukti” (Surah Yunus ayat 101).


Ayat di atas membuktikan dengan jelas bahawa alam adalah penuh dengan tanda. Manusia disuruh perhatikan dan fikirkan. Kata “Perhati” tidak hanya bermaksud melihat tetapi melibatkan “hati” yang boleh ditafsirkan sebagai melihat dengan matahati; menggunakan akal dan gerak hati untuk mentafsir dan mencari makna.

Imam Ghazali telah mengulas tentang lambang dan perlambangan di dalam kitabnya Misykaatul-Anwaar. Beliau menjelaskan bahawa objek-objek alam fizikal ini adalah perantaraan bagi mengenal alam yang lebih tinggi atau alam malakut, kerana setiap sesuatu di alam ini adalah misal bagi keadaan alam malakut. Al-Ghazali menulis, “Alam jasadi inilah yang merupakan sebagai tangga untuk manusia memuncak ke Alam Aqli’ dan tidak ada satu pun di alam ini melainkan kesemuanya menjadi misal bagi keadaannya alam malakut” (Imam Ghazali, terjemahan H. Rus’an, 1983:41)

Perlambangan yang digunakan memperlihatkan pengaruh Al-Quran dan tulisan tulisan dan ucapan pemikir-pemikir Islam. Sikap terhadap alam juga bersesuaian dengan pemikiran masyarakat Melayu yang mengunjurkan setiap anggotanya supaya sentiasa belajar dengan cara merenung dan berfikir tentang alam di sekelilingnya. Seluruh alam adalah tempat berguru sepertimana di dalam ungkapan pepatah Minangkabau yang termasyhur: Alam terkembang jadikan guru.
Penyair Muslimah melihat penulisan puisi atau proses kreatif sebagai proses pencarian makna kewujudan atau bermuhasabah. Penelitian ini didasarkan kepada sajak-sajak berikut ( Sajak-sajak lain mungkin disentuh sebagai perbandingan dan kupasan)


1. Ilmu”, Mahaya Mohd.Yassin, Suara Hati, 1993:85
2. Khabar Apa Yang Kau Bawa Siti Zaleha M.Hashim, Camar di Cangkir Bumi,1999:14
3. “Kebebasan”, Zaihasra, Bahasa Alam, 1983:87

“Ilmu”

Yang kau semaikan ke jantungku
sebatang pohon ilmu
akar iman
daun amal
bunga sopan
buah jasa.

Yang kau pinta padaku
sirami ia serela sabar
haruman syurga
belailah selunak pujukan
sewangi doa
dibajai sehangat upaya
semarak kuasa

(Suara Hati, 1993:85)


Mesej /pemikiran/ Sudut pandangan.

Puisi “Ilmu” menyatakan perihal keunggulan dan kemuliaan ilmu. Manusia perlu berilmu, beriman, melakukan amal yang baik, bersifat dengan sifat kesopanan dan berbuat jasa kepada semua. Sifat-sifat ini perlu dpupuk agar sentiasa subur dan dapat memberi manfaat di dunia dan akhirat.
Penyair menyebut bahawa dia dinasihati supaya berusaha menyiram pohon seperti yang terperi pada baris “Yang kau pinta padaku/ sirami ia serela sabar.” Hal ini dengan jelas memperlihatkan keutamaan sifat tekun dan sabar untuk terus berusaha dan berikhtiar bagi mencapai sesuatu yang lebih baik Usaha ini dapat ditafsirkan sebagai berusaha mendapatkan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ungkapan yang merujuk kepada akhirat ialah haruman syurga. Usaha disertai dengan doa (sewangi doa) menepati ajaran Islam agar sentiasa berharap, memohon dan tidak berputus asa dari nikmat Allah.
Dalam puisi ini penyair menghargai nasihat seseorang agar berusaha sirami ia serela sabar/ belailah selunak pujukan. Penyair memberi penekanan kepada amalan nasihat dan menasihati. Menasihati seseorang ke arah kebaikan bermakna mengambil berat akan kebajikan sesama insan dan kebajikan masyarakat seluruhnya, memupuk rasa kasih sayang di kalangan anggota masyarakat atau ummah, di samping menjadi penanda kepada rasa pengabdian dan ketaatan kepada Allah.

Puisi ini juga mengutarakan kepentingan kemuliaan ilmu dan kepentingan untuk berusaha bagi mendapatkannya.menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu, iaitu amalan yang dituntut oleh Islam. Islam menyatakan dengan jelas bahawa, “menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas umat Islam baik lelaki ataupun wanita” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Orang-orang yang menyebar ilmu adalah dimuliakan, malah diberi jaminan bahawa, “setelah mati anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan doa dari anak yang soleh, sedekah jariah yang pernah dikeluarkan, dan ilmu yang disebar dan dimanfaatkan” (Ehsanul Karim, 2006:139).

Hal ini merupakan satu aspek dakwah Di dalam Islam, Ilmu merupakan asas untuk menentukan darjat seseorang. Islam mengakui adanya perbezaan di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat” (Surah al-Mujadalah, ayat 58). Melalui Surah al-Alaq, Allah menegaskan bahawa Allah mengajar manusia dengan tinta (dakwat) dan pena. Menggunakan dakwat bererti menurunkan atau menyebar ilmu di dalam bentuk tulisan. Seorang yang berilmu yang menulis untuk menyebarkan ilmunya akan mendapat sebesar-besar ganjaran di sisi Tuhan. Begitu juga para pengarang yang menggunakan kalam dan dakwat. Hal ini ditegaskan melalui ayat yang bermaksud: “Dakwat ulama yang bertakwa akan ditimbang oleh neraca baik dan kebajikan dengan darah para syuhadah, tetapi yang lebih berat ialah timbangan dakwat ulama” (Surah al-Baqarah, ayat 23-24). Setiap umat Islam seharusnya mencintai ilmu pengetahuan. Oleh kerana itu umat Islam diajar untuk berdoa: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku” (Surah Taha, ayat 114).

Al-Quran mengajar kaum sasterawan supaya menuntut ilmu. Para sasterawan mestilah memantapkan penulisan mereka dengan ilmu pengetahuan dan penyelidikan. Mereka dilarang menulis segala yang tidak bersandarkan kepada fakta sebagaimana maksud ayat: “Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja.” (Surah adz-Dzaariyat ayat 10)

Penyair juga menceritakan tentang hubungan baiknya dengan seseorang yang telah berjasa menyemaikan ke jantungku sebatang pohon ilmu. Orang yang berkenaan juga telah meminta agar penyair sirami ia serela sabar. Dengan ini puisi ini memperlihatkan hubungan antara manusia sesama manusia (hablumminannas) dan manusia dengan hubungan yang berlaku antara manusia sebagai makhluk dengan Tuhan sebagai al-Khalik (Hablumminnallah). Kedua hubungan ini amat perlu dijaga bagi menjalani kehidupan yang sempurna. Mesej ini menepati sifat sastera Melayu yang menjalankan fungsi sebagai wadah untuk menyebarkan nasihat dan pengajaran bagi mempertingkatkan nilai ketakwaan. Ia merupakan hasil sastera yang menjurus kepada pustaka atau perpustakaan yang darinya ditimba pelbagai pengetahuan dan pengajaran. Penciptaannya adalah bersifat didaktik, iaitu bentuk sastera yang tercipta untuk tujuan-tujuan memberikan kebajikan kepada manusia

• Gaya Pengucapan

Puisi ini menggunakan perlambangan alam, iaitu berladang dan menanam pokok untuk menghuraikan kebaikan menuntut ilmu. Aspek ini mengingatkan kepada ayat yang bermaksud “Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan gunung-gunung yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah-indah dipandang mata, untuk menjadi pengajaran bagi tiap hamba yang kembali (mengingati) Allah” (Surah Qaaf, ayat 7-8).
Penyair menggambarkan rupa bentuk pohon dengan bunga yang cantik dan daun yang rimbun. Bunga yang cantik menghias alam, boleh ditafsirkan sebagai kesopanan dan budi pekerti yang memperindah peribadi seseorang, khasnya seorang Muslimah. Keindahan budi pekerti adalah ciri-ciri yang menepati nilai-nilai seni dan etika yang dikehendaki oleh Islam.

Tanda-tanda ini ditafsirkan sebagai ilmu yang memberi faedah kepada manusia. Penggunaan pohon sebagai penanda kepada ilmu yang bermanfaat adalah selaras dengan simbol atau misal perbandingan di dalam Al-Quran yang menyebut bahawa: “Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkal (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya” (Surah Ibrahim, ayat 24-25).

Perlambangan ini juga dapat ditemui dalam tulisan dan ucapan pemikir-pemikir Islam. Sebagai contoh, dalam ucapan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani di Madrasah al-Ma’murah, 14 Rejab 545 H. Beliau menyeru umat Islam supaya “berladang” dengan penuh keikhlasan. Menurut beliau hanya orang yang berusaha dan berladang dengan keikhlasan sahaja akan diberkati dengan hasil yang baik. Beliau juga mengibaratkan hati yang keras sebagai tanah yang tandus dan gersang yang tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan:
“Tanamilah kawasan ladangmu itu dengan hati dan jasadmu, iaitu keimanan. Kemudian hendaklah engkau olah dengan sempurna dan menyiraminya dengan amal kebaikan. Jika hati lunak, mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan”
(Syeikh Abdul Qadir Al Jailani 2003: 387).






Rujukan ‘misal perbandingan’ tumbuh-tumbuhan di dalam Al-Quran

Al-Quran menggunakan unsur tumbuh-tumbuhan sebagai perbandingan bagi menegaskan sesuatu hukum serta menyampaikan ajaran dan dakwah. Contohnya:
 Antara bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah ialah pemindahan benih yang membolehkan proses percambahan pokok: “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).

 Bagi menyatakan tentang pahala orang yang membelanjakan harta di jalan Allah, terdapat ayat yang bermaksud: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatkan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas rahmat kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”
(Surah al-Baqarah, ayat 261).

 Allah SWT menghidupkan manusia daripada tiada kepada ada. Allah SWT berkuasa menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup. Maka kejadian ini dibandingkan atau disamakan dengan menumbuhkan benih tumbuhan: ”Sesungguhnya Allah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup”
(Surah al-An’aam, ayat 95).
 Allah SWT menerangkan tentang ilmu yang dimiliki-Nya dan kesempurnaan pentadbiran-Nya pada ayat: “Percambahan sebiji benih buah (umpamanya) tidak akan keluar dari kelopaknya dan seorang ibu tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan pada masa dan keadaan yang betul tepat) dengan pengetahuan Allah”
(Surah Fussilat, ayat 47).
 Percambahan pokok juga adalah bukti rahmat Allah seperti diterangkan oleh ayat yang bermaksud: “Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang tandus Kami hidupkan dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian. Lalu mereka makan daripadanya. Dan Kami jadikan daripadanya kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya mata air. Agar mereka makan dari buahnya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan-tangan mereka. Tidakkah mereka berterima kasih?”
(Surah Yaasiin, ayat 33-35).
 Orang yang tidak mensyukuri rahmat Allah ditegur dengan ayat: “Masihkah mereka berdegil dan tidak memerhatikan bumi, berapa banyak Kami tumbuhkan padanya dari pelbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?”
(Surah asy-Syu’ara, ayat 7).

 Menanam pokok atau berladang sering dijadikan simbol berusaha untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Ternyata pemikiran ini dipengaruhi oleh hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Dunia adalah ladang akhirat. Barang siapa menanam kebaikan, maka dia akan memetik hasil keuntungannya. Dan barang siapa menanam keburukan, maka penyesalan adalah hasil yang akan dipetiknya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis dipetik oleh Abdul Qadir Al-Jailani di dalam bukunya Al-Fath Ar-Rabbani yang diterjemahkan sebagai Wahyu Agung oleh Muhammad Qodirun Nur (2004:35).



‘Kebebasan” oleh Zaihasra:


Aku dewasa dari kegelisahan hidup
Bagai camar bebas di lautan
Perjalanan adalah ilmu
Yang bertapak dan mengisi makna
Ketangkasan angin raksasa
Meski tak terlawan oleh tangan kecilku
Tetapi sebuah jiwa yang bangkit
Dapat menolak sebaiknya

Kekinian kini jadi ingatan
Pada keterasingan hidup
Dan seberkas cahaya dari langit
Yang memasuki tahun-tahun mimpiku yang lembut
Membuat aku berani menentang setiap kedegilan
Meski bergoncang jua kesetiaan
Namun keharuman mawar malam
Masih setia
Di kesanggupan janji

(Bahasa Alam, 1983:87)







Isi, mesej, pemikiran

Di dalam puisi “Kebebasan”, penyair memperkatakan tentang kehidupan yang telah dilaluinya. Dia telah menempuh pelbagai cabaran dan kesukaran yang yang diungkapkan sebagai ketangkasan angin raksasa. Namun penyair telah berjaya menghadapi segalanya. Dia menganggap segala yang dilalui sebagai pengalaman berguna yang memberi pengajaran. Segala pengalaman mengajarnya menjadi manusia yang lebih tabah dan meningkatkan ketakwaan terhadap Allah.

Burung yang menjadi simbol di dalam puisi “Kebebasan” ialah burung camar iaitu burung laut yang mampu terbang untuk tempoh masa yang lama. Camar ditafsirkan sebagai diri penyair dan seterusnya setiap insan di bumi ini. Penerbangan camar melintasi ombak laut dijadikan misalan tentang betapa jauh dan sukarnya jalan yang ditempuhinya. Penyair mengenang perjalanan hidupnya. Ini bererti camar dan laut adalah unsur alam yang telah memberikan pengalaman yang dapat dimanfaatkan. Camar dan laut adalah unsur alam yang meningkatkan nilai keimananannya terhadap Allah SWT. Dia mengambil iktibar dari camar yang terbang melintasi lautan. Segala cabaran yang ditempuhi telah mendewasakan atau mematangkan fikirannya. Demikianlah yang terdapat di dalam baris dewasa dari kegelisahan hidup/ bagai camar bebas di lautan. Hidup bagi penyair adalah satu perjalanan dan perjalanan telah memberi pelbagai pengajaran seperti katanya, perjalanan adalah ilmu/ yang bertapak dan mengisi makna.

Penyair memerhati burung camar terbang dan mengambil iktibar danipada perjalanan burung camar itu. Penyair mengajak manusia supaya mengambil pengajaran dari alam termasuk dari burung yang terbang. Puisi ini memperlihatkan bahawa yang paling utama ialah nilai ketabahan untuk menghadapi pelbagai rintangan.

Dengan mengatakan tak terlawan oleh tangan kecilku, penyair membuat pengakuan tentang kelemahan dirinya (dan manusia lain) dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan di dalam hidup. Menyedari kelemahan diri bererti bersifat tawaduk, iaitu merendah diri, tidak berbangga terhadap kelebihan yang ada pada diri sendiri, jauh sekali dari takbur atau berperasaan meninggi diri. Namun begitu, segala yang berlaku telah menjadikannya insan yang lebih tabah seperti yang dimaksudkan oleh baris, sebuah jiwa yang bangkit/ dapat menolak sebaiknya.

Penyair berpegang kepada dasar kepercayaan bahawa Allah adalah penentu segala-galanya. Oleh itu manusia wajib berserah kepada Allah. Dengan keyakinan ini dia menjadi lebih tabah dan berani untuk menghadapi pelbagai rintangan kerana tidak ada sesuatu bahaya yang akan menimpa melainkan Allah mengizinkannya terjadi. Inilah yang dimaksud Allah dengan firman-Nya:
“Katakanlah (wahai Muhammad), tiada satupun yang mungkin menimpa kami, selain daripada apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, (dan dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah orang yang beriman bertawakal.”
(Surah at-Taubah, ayat 51)


Sikap Muslimah adalah jelas dengan bertawakal dan tidak mudah berputus asa, tetapi sebaliknya lebih cekal untuk berusaha. Pengakuan akan kekuasaan takdir Tuhan ini memelihara hatinya daripada rasa kecewa dan putus asa serta menimbulkan rasa sabar dalam menanggung segala kepahitan dan kesakitan yang dialami dalam kehidupan.
Ketabahan itu membuahkan hasil dengan memperolehi cahaya atau nur dari Ilahi, “seberkas cahaya dari langit” adalah kurniaan yang paling besar kepada insan yang sabar. wadah memberi pengajaran dan peringatan.

Gaya Pengucapan/ Perlambangan- Pengaruh Al-Quran

Penyair menggunakan burung sebagai perlambagan. Al-Quran juga menyebut tentang burung yang dapat terbang bebas di angkasa. Ia adalah sebahagian daripada sebagai objek alam fizikal yang menjadi petunjuk kepada kekuasaan Allah. Allah menyeru manusia supaya memerhati dan mengambil iktibar dari burung yang terbang. Ia adalah juga peringatan bahawa tiap sesuatu tidak dijadikan dengan sia-sia tetapi untuk memberi pengajaran. Justeru, manusia sepatutnya memerhatikan kewujudan haiwan itu. Allah swt menyebut tentang burung secara khas di dalam ayat yang bermaksud:
“Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan burungburung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembangkan sayapnya dan mengatupnya. Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
(Surah Al-Mulk, ayat 19).

Ayat ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat suci Al-Quran yang menjelaskan sifat kasih sayang Allah terhadap makhluk yang dicipta-Nya. Seekor burung yang dilengkapkan dengan sayap yang membolehkannya terbang di angkasa adalah bukti kesempurnaan ciptaan Allah. Burung yang dapat mengimbangi sayapnya di udara adalah bukti bahawa Allah mencipta segalanya dengan tepat ukuran dan imbangan. Burung yang dapat terbang tinggi dan tidak jatuh ke tanah memberi iktibar kepada manusia agar bertawakal kerana tidak ada apa yang akan berlaku melainkan jika telah ditetapkan oleh Allah. Segala kejadian yang dapat diperhatikan oleh manusia itu adalah lapisan zahir yang mengandungi makna yang lebih mendalam dan memberi pengajaran kepada manusia.
”Khabar Apa Yang Kau Bawa”

Khabar apa yang kau bawa
Serangga yang melata
Bersama tugasmu yang besar
Ceritakan padaku kisah tanah dan rumput
Yang kau kenali dari dahulu
Banyak yang aku tidak tahu
Khabar apa yang kau bawa
Unggas yang berterbangan
Bersama tugasmu yang berat
Kisahkan padaku perihal bayu
Seiring denganmu sejak dahulu
Banyak yang aku tidak tahu

Biarpun bukan yang pertama
Kami sering mencari makna
Memberi dan menerima
Melihatmu, aku mentafsir diri
Sejauh makna terlaksana
Janji sejak azali

Siti Zaleha M.Hashim, Camar di Cangkir Bumi, 1999:14

Di dalam puisi ini penyair memerhati seekor serangga dan bertanya tentang khabar apa yang dibawanya. Melihat kepada serangga yang kecil, penyair seringkali menyedari kelemahan manusia sebagai makhluk Allah. Ia adalah perbandingan yang tepat dengan kedudukan insan yang amat kerdil di dalam alam Allah yang maha luas. Dengan kekerdilan ini penyair sedar bahawa setiap manusia harus belajar dari alam di sekelilingnya. Hal ini juga membawa maksud manusia hanya mempunyai sedikit ilmu dan tenaga.
Walaupun kecil, serangga dikatakan mempunyai tugas yang berat. Kewujudan dan tanggungjawab ini membawa siratan maksud hakikat kewujudan manusia sebagai makhluk yang lemah dan memerlukan pertolongan Allah SWT. Seperti serangga, manusia juga mempunyai peranan dan tanggungjawab, iaitu sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah.
Puisi ini dimulakan dengan pertanyaan ’khabar apa yang kau bawa’. Dengan bertanya, bermulalah satu langkah atau ikhtiar untuk mencari jawapan atau untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahui. Pertanyaan ini memperlihatkan adanya proses belajar dan menuntut ilmu. Perbuatan ini memenuhi kehendak Islam yang memberi penekanan kepada kelebihan ilmu. Mereka yang berilmu akan bertambah ilmunya disebabkan ia tidak merasa malu untuk bertanya ataupun mengambil faedah dari orang lain, walaupun orang itu lebih rendah kedudukan daripada dirinya. Tiap-tiap sesuatu adalah berguna dan dapat dijadikan pengajaran atau iktibar. Setiap sesuatu yang dicipta adalah tidak sia-sia, sepertimana dimaksudkan oleh ayat Al-Quran: “Dan ingatlah tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya secara main-main” (Surah al-Anbiyaa, ayat 16).

Tugas berat yang dipikul memperlihatkan betapa serangga, walaupun kecil, mempunyai kekuatan yang tersendiri dan mempunyai makna tersirat kewujudan insan dan kekuatan yang diberikan oleh Allah kepada setiap makhluk-Nya. Setiap orang mempunyai peranan masing-masing seperti serangga, walaupun kecil menjadi sumber ilmu yang berguna, lalu penyair bertanya khabar apa yang kau bawa dan meminta ceritakan padaku kisah tanah dan rumput/ yang kau kenali dari dahulu. Penyair juga membuat pengakuan banyak yang aku tidak tahu Kehadiran serangga juga membuat penyair mentafsir diri.

Baris-baris puisi yang dipetik di atas memperlihatkan bahawa penyair mengusulkan supaya mempelajari dan mengambil iktibar daripada apa yang telah dilalui oleh umat-umat terdahulu. Mengambil iktibar daripada kisah-kisah lalu adalah ajaran penting dari Al-Quran. Al-Quran juga telah membentangkan kisah-kisah dan riwayat para nabi dan umat yang terdahulu untuk menjadi pertunjuk dan iktibar. Perkara ini diperjelaskan di dalam ayat yang bermaksud: “Akan kami ceritakan kepadamu di dalam Al-Quran yang kami wahyukan dengan sebaik-baik cerita”
(Surah Yusuf, ayat 3).

Di dalam puisi ini, serangga digambarkan sebagai pengembara yang mengutip kisah-kisah, juga mengambil iktibar daripada apa yang dilalui di dalam pengembaraannya. Gambaran demikian dapat diselaraskan dengan ayat Al-Quran yang meletakkan kepentingan terhadap pengembaraan kerana dengan mengembara manusia dapat melihat kesan-kesan sejarah khasnya yang boleh dijadikan pengajaran. Al-Quran menggesa manusia supaya mengembara melalui ayat yang bermaksud:
“Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan) kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik”
(Surah ar-Ruum, ayat 42).

Melihat serangga, penyair mencari makna dan bermuhasabah, atau mentafsir diri. Penyair mempersoalkan setakat mana manusia telah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT sebelum diturunkan ke alam syahadah:
Melihatmu, aku mentafsir diri
Sejauh makna terlaksana
Janji sejak azali.

Janji yang dimaksudkan oleh penyair ialah perjanjian dan pengakuan manusia untuk memikul amanah sebagai khalifah Allah. Ketika Allah menawarkan amanah tersebut kepada langit, bumi, dan bukit, semuanya telah enggan menerima melainkan manusia sahaja yang telah sanggup menerimanya. Hal ini telah diterangkan oleh ayat Al-Quran yang bermaksud: ”Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi, dan bukit, tetapi mereka semuanya enggan menanggung dan takut darinya dan manusia menerimanya. Sesungguhnya ia adalah zalim lagi jahil” (Surah al-Ahzab, ayat 72).

Setiap amanah yang dipikul akan dipersoalkan pada Hari Pembalasan seperti maksud ayat:
“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”
(Surah al-An’aam, ayat 38)


Dengan memerhatikan serangga penyair menjadikan setiap kejadian alam sebagai sumber untuk mempertingkat nilai ketakwaan terhadap Allah SWT. Penyair memasukkan unsur-unsur dakwah,menjadikan sastera sebagai wadah untuk menyampaikan persoalan-persoalan dan memaparkan sifat-sifat kemuliaan dan ketinggian kekuasaan Allah.

Kepentingan serangga dan haiwan pada keseluruhannya juga dilihat daripada penggunaan nama haiwan sebagai judul surah-surah dalam Al-Quran. Terdapat tujuh surah yang diberi judul dengan nama haiwan, iaitu Surah-2, al-Baqarah (sapi betina), Surah-6, al-An’am (binatang ternak), Surah-16, al-Nahl (lebah), Surah-27; al-Naml (semut), Surah-29; al-Ankabut (labah-labah), Surah-98, al-Aadiyaat (kuda perang) dan Surah-103, al-Fil (gajah).

Kekecilan serangga membukti kesempurnaan ciptaan Allah. Imam al-Ghazali telah memberi penekanan kepada hakikat ini. Beliau menulis yang bermaksud: “Perhatikan nyamuk, bagaimana Allah mencipta bahagian-bahagian tubuh dan sendi-sendinya dengan lengkap sepertimana Tuhan mencipta apa yang ada pada seekor gajah” (Muhammad Abul Quasem,(penterjemah),1977:68) Ini membuktikan kekuasaan Allah yang mencipta tiap sesuatu dengan mempunyai imbangan dan ukurannya seperti yang dijelaskan oleh ayat Al-Quran yang bermaksud:
“Dia yang mempunyai kerajaan langit dan bumi, tiada mengambil anak, tiada mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya (kekuasaan-Nya) menciptakan segala sesuatu, lalu dibuatkanNya ukurannya.”
(Surah al-Furqan, ayat 2)

“Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya) pada hal sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan”
(Surah al-Ankabut, {perihal labah-labah} ayat 41)




Puisi-puisi yang dianalisis seterusnya juga mencerminkan kepengarangan/kreativiti penyair Melayu/Muslimah yang membuktikan bahawa pemikiran dan kreativiti penyair Melayu/Muslimah adalah dibentuk oleh alam dan dipengaruhi oleh agama Islam.
“ Di Kepakmu Ada Lukisan”
Akan kujadikan kau sahabat
Di kepakmu ada lukisan
Yang sukar kutafsirkan
Membuat aku semakin ingin menghampirimu
Semakin ingin tahu warna-warna kehidupan
Yang kau simpan dalam perjalanan
Mungkin jawapan persoalan
Mencari kesempurnaan
(Siti Zaleha M.Hashim ,Camar di Cangkir Bumi, 1999:28)
.
Sesetengah serangga mempunyai kepak yang cantik dan berwarna-warni. Serangga yang berwarna-warni ini menarik perhatian Siti Zaleha M.Hashim yang menganggap kepak serangga sebagai sebuah lukisan yang indah. Kepak serangga yang kecil tetapi mempunyai corak dan warna yang indah membuktikan kesempurnaan dan keajaiban yang ada pada ciptaan Tuhan.

Melalui ungkapan ”akan kujadikan kau sahabat” Hasrat ini membawa pengertian keinginan untuk berbaik-baik dengan alam dan makhluk Allah. Penyair telah berinteraksi dan berintegrasi dengan serangga yang dianggap mempunyai kedudukan yang sama sepertinya sebagai makhluk Allah. Anggapan ini adalah selaras dengan pengajaran yang diberikan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: ”Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu” (Surah al-An’aam, ayat 38).

Penyair memperkatakan tentang ketakjuban yang terkumpul pada kepak haiwan yang kecil itu yang merupakan ciptaan Allah yang penuh dengan unsur-unsur kekaguman dan kemisterian yang telah membuka mindanya untuk berfikir dan mentafsir. Lukisan atau corak pada kepaknya mengingatkan kepada peta yang menunjukkan arah kepada makna tertentu. Dalam pengertian yang lebih luas, seluruh alam adalah umpama sebuah buku yang perlu ditelaah untuk mendekati Allah. Mendekatkan diri dengan haiwan tersebut adalah mendekatkan diri dengan alam dan seterusnya mendekatkan diri dengan pencipta alam, iaitu Allah SWT. Penyair yakin bahawa dengan mendekati serangga itu akan dapat memberikannya pengetahuan untuk lebih memahami kehidupan demi membina kehidupan yang lebih sempurna. Hal ini jelas pada baris:
yang kau simpan dalam perjalanan
mungkin jawapan persoalan
mencari kesempurnaan.

Mempelajari kisah-kisah lalu dan mengambil iktibar dari pengalaman makhluk-makhluk lain adalah selaras dengan ajaran Islam. Hal ini juga selaras dengan peranan sastera sebagai bahan pengajaran dan pengiktibaran seperti yang digariskan oleh Teori Pengkaedahan Melayu. Penyair mengemukakan pesanan agar manusia sentiasa memerhati alam sekeliling kerana Allah tidak menjadikan setiap sesuatu dengan sia-sia. Seluruh ciptaan Allah mengandungi pengajaran atau jawapan untuk pelbagai persoalan.

Dalam puisi ”Di kepakmu Ada Lukisan”, penyair amat tertarik pada keindahan yang terdapat pada kepak serangga yang kecil. Hal ini menyedarkan penyair tentang keajaiban kejadian alam ciptaan Allah SWT. Dengan memerhatikan serangga yang kecil, penyair menyedari bahawa perkara-perkara yang kecil juga penting dan perlu diberikan perhatian kerana ia adalah tanda-tanda bahawa Allah menjadikan setiap sesuatu dengan berimbang.

Sebuah lagi puisi yang menggunakan rama-rama ialah “Bagai Rerama” oleh Mahaya Mohd. Yassin.
“Bagai Rerama”

Seorang perempuan tua
Diselubungi bebayang menara
Titis air matanya meresap ke perut bumi
Gementar silau bintang embun tidak terjejak
Luluh harapan demi harapan
Diungu igauan dan jejak kerana kasih
Bagai rerama ketagih madu
Dalam penjara membisu

Seorang perempuan tua
diliputi bebayang kubah
doanya melimpah
menyerap ke tangkai hati
sendiri-sendiri.

(Mustika Diri, 1994:553)


Rama-rama dalam puisi ”Bagai Rerama” membawa makna tersirat, iaitu seorang gadis yang ghairah mencari keseronokan dan kesenangan hidup di kota. Gadis tersebut telah terjerumus ke dalam gejala sosial. Perkara ini melukakan hati ibunya yang tua. Mahaya membandingkan gadis yang memburu keseronokan itu dengan rerama yang menagih madu. Kepak rama-rama yang cantik tetapi mudah tercarik membawa maksud kehidupan kota yang dipenuhi keseronokan atau hiburan yang sementara.

“Bagai Rerama” dapat dianalisis sebagai mengandungi kisah yang dapat memberi pengajaran atau iktibar. Puisi-puisi ini mengandungi mesej dakwah yang berupa nasihat supaya berhati-hati di dalam menjalani kehidupan dan mencari keselamatan dengan berpegang kepada ajaran agama Islam. Islam mengiktiraf seni dan hiburan sebagai sesuatu yang diperlukan oleh fitrah manusia. Islam tidak melarang seni dan hiburan tetapi meletakkan batasan agar ia tidak melalaikan dan tidak bertentangan dengan aqidah, syariah, dan akhlak Islam.

Daripada puisi-puisi di atas dapat dibuktikan bahawa pemikiran dan kreativiti penyair Melayu/Muslimah adalah dibentuk oleh alam dan dipengaruhi oleh agama Islam. Dari sini dapatlah dirumuskan:
• Penyair Melayu/Muslimah melihat alam sebagai ciptaan Allah dan bukti kewujudanNya. Alam adalah “alamat” kerana setiap kejadian termasuk manusia sebagai makhluk Allah adalah “alamat” atau dalil tentang kewujudan Penciptanya. Setiap kejadian alam daripada benih yang melata dan ilham untuk mencipta karya adalah kurniaan Allah.

• Alam (misalnya serangga yang kecil), membuat penyair insaf dan merasa dirinya kecil dan tidak berdaya. Penyair mengakui bahawa yang berkuasa hanyalah Allah.

• Alam memberi iktibar dan motivasi untuk berikhtiar. Misalnya camar di dalam sajak Kebebasan. Kekecilan dan kekerdilan burung atau serangga menyebabkan penyair Penyair insaf bahawa manusia adalah dhaif dan mengharap pertolongan Khaliqnya. Amalam meminta pertolongan dan perlindungan Allah membuktikan kepercayaan bahawa Allah adalah Maha Pengasih dan Penyayang.

• Alam adalah sumber untuk belajar. Misalnya puisi Kabar apa yang kaubawa. Mengintatkan kepada Muhammad Haji Salleh yang menganggap laut sebagai gurunya dalam puisi “Maafkan Aku Laut”,

• Alam sebagai sahabat, misalnya di dalam puisi “Khabar apa yang kau bawa” oleh Siti Zaleha M.Hashim Penyair berinteraksi dengan alam. Penyair bukan sahaja bercakap dengn alam tetapi menganggap alam juga bercakap dengannya seperti di dalam puisi Muhammad Haji Salleh yang berjudul, “Apakah yang kau katakan padaku lautan?”.

• Alam mengajak mereka berfikir atau menggunakan akal yang dikurniakan dan percaya bahawa kelebihan makhluk manusia ialah penganugerahan akal. Hal ini adalah selaras dengan ayat-ayat Al-Quran yang meminta manusia berfikir dan merenung kejadian alam.

• Alam yang perkasa (seperti laut dan gelombangnya dalam puisi “Kapal”, Siti Zaleha M.Hashim, Camar di Cangkir Bumi,:67 “Pelayaran”, Siti Zaleha M.Hashim, Camar di Cangkir Bumi, 1999:73 adalah tanda keperkasaan Allah dan kelemahan manusia. Selaras dengan hasil sastera Melayu misalnya sajak Dialog” oleh Kassim Ahmad), penyair masih menganggap hujan yang mencurah-curah dan munkin membawa banjir itu sebagai satu rahmat. Walau pun sebuah puisi protes tetapi protes itu bukanlah terhadap alam tetapi terhadap manusia atau system social yang tidak adil terhadap kaum bawahan.

Ini adalah berbeza dari karya-karya dari luar terutama dari Barat yang sering mencetuskan perasaan marah dan memberontak terhadap alam. Michael Webster (htm. Microsoft Internet Explorer, 2000) menulis bahawa Wallace Stevens, Marianne Moore, Robert Frost, and D. H. Lawrence dalam karya-karya mereka memberi penekanan kepada “the mindlessness of nature, its nonhuman otherness" dengan maksud alam yang tidak berakal atau tidak bertimbang rasa terhadap manusia.
Kemarahan terhadap alam dapat dikesan dari karya-karya Barat yang tersohor. Misalnya, salah seorang penyair yang digolongkan sebagai Penyair Romantis (The Romantic Poets) William Blake (1906-1989) menulis puisi yang terkenal “The Sick Rose” (Mawar yang Sakit) yang memperlihatkan pandangan terhadap alam yang digambarkan sebagai sakit.
T.S.Eliot menulis tentang peredaran waktu yang dianggap kejam dalam puisinya “The Waste Land”, contohnya baris yang berbunyi April is the cruelest month (April adalah bulan paling kejam) (Faber Edition,1972:51). Arthur Miller melalui dramanya “The Death of A Salesman” menganggap manusia adalah jurujual yang tua dan keletihan.
Drama “A Streetcar named Desire” oleh Tenesse William menceritakan perjalanan manusia tanpa destinasi yang pasti, “Waiting For Godot” oleh Samuel Beckett merumuskan bahawa hidup adalah penantian yang sia-sia. Bagi mereka alam sentiasa menentang manusia menyebabkan seluruh hidup satu perjuangan yang meletihkan. Segala ini menyebabkan mereka selalu resah dan karya-karya mereka lahir daripada keresahan ini.
Dengan kesedaran akan peranan mereka sebagai penulis dan khalifah Allah. Dengan berkarya, menyebarkan kebaikan dan pengetahuannya.
Dengan ini, puisi menepati peranan sastera di dalam menyalurkan mesej keagamaan dan kemasyarakatannya sebagai media penyebaran ilmu, demi kesejahteraan masyarakat.
Pengarang Melayu/Muslimah memiliki pandangan yang berbeza dari pengarang Barat. Ketenangan adalah landasan kepada proses kreatif penyair-penyair Melayu/Islam yang unik dan signifikan.
Beberapa hari ini saya teringat kpd Sh.Amani yg pernah berkata "I sound stupid when I speak in Malay". Dah lama juga saya nak tulis pasal ni tapi asyik tertangguh. Kata orang Bahasa Melayu ini mudah dipelajari. Ya memang mudah tapi bila dah tahu, tahulah pula bahawa ada kerumitan dlm menggunakannya.

Kita boleh berkata "I want to see you " dengan sesiapa sahaja bila bercakap bahasa mad salleh. Tetapi awas dlm B.Melayu tak boleh sembarangan ya. Nak kata awak ke, kamu ke, saudara ke. Di setengah negeri awak tu ok, di setengah wilayah pula dikira kurang ajar.

Kalau anda perempuan muda bercakap dgn lelaki dlm lingkongan empat puluhan. Nak panggil nama saja dikatakan tak hormat. Nak panggil pak cik nanti dia bidas "Ingat awak tu muda ke nak panggil saya pak cik". Nak panggil abang nanti isteri dia pula marah.

Lihat pula penggunaan penambahan. Kalau silap letak penambahan akan dan lari terus dari maksud yang dimaksudkan dan jadi kacau bilau.

Mari kita lihat beberapa contoh. Apa fikiran anda:
1- olahragawan itu melarikan diri di tengah padang
2- apa kabar sekarang? saya dengan awak sudah meninggal di Ipoh (yg dimaksudkan awak tinggal di Ipoh).
3- Ayah saya telah koma dan tidak sedar diri (di sini kena tambah kan jdi tidak sedarkan diri)
4- dia dan saya berkesedudukan di tempat itu
(padahal cuma nak kata bersama duduk-duduk bercakap-cakap.

Ya banyak lagi contohnya.....

Friday, December 18, 2009

Pada usia 14 tahun Raihani telah menulis sajak yang seterusnya digunakan sebagai teks untuk Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan. Pada usia 16 tahun cerpennya telah tersiar di Berita Minggu . Dalam Cerpen yang bertajuk Tetamu Pulau itu (Berita Minggu) dia telah berhujjah tentang dasar luar Amerika , soal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sikap negara-negara Islam,Piagam Montreal, kenaikan suhu bumi dan pelbagai soal yang global. Saya pun tak sangka setinggi itu pengetahuan yang dimilikinya pada usia yang tersangat muda.

Memang saya terkejut. Tidak hairanlah jika ramai yang tidak percaya bahawa Raihani sendiri yang menulis semua itu. Lucunya kerana ada yang menuduh saya tolong tulis untuknya.



Saya nak tulis untuk Raihani? Jauh semanggang dari api…Saya ada melihat dia rajin menulis cerpen dan sajak sejak berumur 13, 14. Dari kecil pun itulah hobinya. Macam-macam tulisan yang terconteng di sana sini. Ketika itu saya adalah ibu yang sibuk. Kepala saya penuh dengan hal-hal pejabat, hal-hal rumahtangga, adik-adik Rai yang masih kecil, orang gaji yang bertukar ganti dan menyakitkan hati, traffic jam yang sangat mencabar dan macam-macam lagi. Nak tulis sajak pun tak ada masa.

Adakah saya yang menggalakkan dia menulis? Rasanya saya tidak layak untuk mengakuinya. Bahkan saya yang cuba mengawalnya agak tidak terlalu ghairah kerana SPM dah dekat. Saya meleterinya supaya tidak terlalu ghairah, takut kehilangan arah. Saya meleterinya supaya lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran. Namun begitu saya gembira dengan kelahiran antologi cerpennya Badrul Bambi. Selamat Berjaya anakku

Thursday, October 08, 2009

Puan Hajah Halimah , 60 tahun, sudah bermaustautin di Lembah Klang selama lebih 30 tahun. Setelah bersara kehidupannya agak tenang dikelilingi anak-anak yang sudah berumah tangga dan cucu-cucu yang semakin bertambah.


Ibu bapanya sudah tiada. Oleh kerana anak-anaknya berkeluarga dan berumahtangga di lembah kelang, maka dia tidak lagi pulang beraya di kampung. Namun sesekali pulang juga menjenguk saudara mara di Kedah tempat dia dilahir dan dibesarkan. Sebagai wanita terpelajar dan menjalani kehidupan di tengah kota raya , puan Halimah memang sangat biasa dengan apa yang dikatakan Rumah Terbuka. Pada pendapatnya, rumah terbuka ada kebaikannya kerana dia boleh menamakan satu hari untuk dia menyediakan juadah yang sesuai dan sanak saudara boleh datang berkunjung, berkumpul dan mengeratkan silaturrahim.

Namun sebagai warga senior yang dibesarkan di kampung, dia pun terbiasa dengan pengertian hari raya sebagai hari untuk mengunjungi orang-orang yang lebih tua terutama datuk nenek, tok saudara dan nenek saudara, mak saudara dan bapa saudara, tanda kasih sayang, tanda hormat sambil memohon kemaafan.

Maka pada tahun ini puan halimah memilih satu hari Sabtu. Dia pun memberitahu sanak saudara mana yg sempat dihubungi.Hatinya senang dan memikirkan kemeriahan yang akan berlangsung di rumahnya kelak. Begitulah setiap tahun. Bak kata orang sudah menjadi tradisi.


Tiba harinya, halaman rumah pun penuh dengan anak cucu. Dia pun sibuk melayan tetamu. Dalam pada itu dia mencari-cari dan menanti-nanti kedatangan anak saudaranya, Arif dan keluarga yang pulang dari luar negara. Tapi Arif tidak kunjung tiba.

Seminggu kemudian terdengarlah cerita yang kurang menyenangkan. Kononnya si Arif suami isteri berkecil hati kerana Puan Halimah tidak menjemput mereka.

Puan Halimah pun hairan, "Hai..bukankah ini hari raya. Sepatutnya dia yang datang ke rumah aku. Aku emak saudaranya. "

Puan Halimah dan Arif sama-sama merasa terluka. Apa sudah jadi dengan hari raya pada masa ini. Bagaimana? . Apa pendapat anda?

Saturday, October 03, 2009

Hari ini teringat hendak bercakap tentang anggapa orang.Baru-baru ini saya ada menalipon JPA Bahagian Pencen bertanyakan tentang penyata pencen kerana sudah lama tidak menerimanya. Kalau dulu kita akan mendapat kiriman penyata setiap tahun. Orang yang menjawab di sebelah sana (perempuan- tetapi tidak tahu apa jawatan dan pangkatnya) berkata kepada saya , "mak cik minta tolong anak buka intenet dan dia boleh print penyata dari situ. Mak cik boleh tengok".Saya jawab, "Oh ada on line..tak payahlah minta tolong anak, saya pun boleh buka".

Hal ini mengingatkan kejadian yang sering berlaku kepada saya. Suatu hari saya ke kedai membeli kad prepaid. Si penjual hendak tolong masukkan tambah nilai. Saya katakan tak payah kerana saya nak cepat pergi. Dia pun memberikan kepada saya kad yang dibeli sambil berkata "Nah, suruh anak buatkan".

Oh ya ada satu cerita lagi. Semasa masih berkhidmat, saya pernah menjadi pengarah satu bahagian di Jabatan Kerajaan. Kami baru berpindah pejabat dan saya sedang melihat-lihat kawasan parking yang diperuntukkan kepada pegawai-pegawai di bawah saya. Tiba-tiba seorang pengawal keselamatan merapati saya dan dgn nada nak bertegur sapa berbudi bahasa, bertanya apa yang saya buat. Saya pun tanpa berfikir panjang menjawab lebih kurang, "tengok-tengok tempat parking". Dia serta merta menjawab, "ini tempat pegawai-pegawai. Kalau kita (maksudnya orang spt saya dan dia) parking di luar saja". Saya tergamam, saya nak jawab, "tempat saya dah ada di tempat bertutup. Ini untuk pegawai-pegawai saya" Tapi saya tak jadi kata begitu. Takut pula dia malu. Tak apalah sehari dua lagi dia akan kenal siapa saya.


Sebenarnya saya malu nak cakap pasal ni. Adakah saya nampak terlalu selekeh, terlalu tua terlalu tak tau apa-apa. Memang benar, saya ni bukanlah siapa-siapa, tidak berpangkat tidak berharta (hu hu hu), tapi setakat nak on intenet tu memang kerja saya setiap hari. Ada blog dan ada facebook lagi. Buat urusan bank pun secara on-line hanya pergi ke bank jika ada keperluan sahaja.

Atau adakah ini soal persepsi, soal sikap dan kebiasaan orang-orang di sekeliling kita. Secara generalnya mereka akan menganggap orang yang ditemui itu bertaraf rendah sebelum mereka kenal orang yang itu siapa.

Pengajarannya: Berhati-hatilah bila anda bercakap dengan orang yang belum dikenali.

Saturday, September 12, 2009

Globalisasi
Anak kecil bertanya
Apa makna globalisasi
Si ayah yang menekuni internet
Mengarahnya diam
Dan apabila dia terus bertanya
Si ayah memanggil si pengasuh
Suaranya keras menyuruh
Membawa si anak pergi jauh

Si ayah terus tekun
Seperti setiap malam
Bercinta dengan komputer
Mengecap nikmat bahagia
Hidup di era canggih
Komputer adalah kekasih
Pastinya ia adalah ciptaan
Yang menakjubkan dan menguntungkan
Betapa nikmatnya belayar
Dari laman web ke laman web
Berbual bergurau senda
Seluruh dunia telah menjadi
Sebuah kampung yang mesra
Ketika itulah
Di sebelah rumah
Jirannya ditimpa musibah
Tetapi itu tidak menganggu
Dia dan dunia fantasi
Di hujung jari.

Si anak meneka-neka sendiri
Apa maknanya globalisasi
Mungkinkah maksudnya berkomunikasi
Dengan yang jauh
Tetapi tak mengenal tetangga sendiri



Globalisation

A child asked a question
What is globalisation
The dad, hooked on the internet
Gave no attention
when the child asked again
Sent him away with the servant
His voice was stern


The dad was preoccupied
As he used to be everynight
The computer by his side
What a blessing and delight
To live in this era
The computer is his lover
For sure it is an invention
Amazing and rewarding
What a thrill to be surfing
From web sides to web sides
Chatting and joking with friends
He has not met face to face
The whole world has become
A friendly village

At that instant
Something tragic happen
To his next door neighbour
But he was too far to hear
He was making fantastic trips
On his fingertips

So the child began to understand
In his own way
Globalisation means making friends
Worldwide, more and more
But not knowing who live next door

Tuesday, June 23, 2009

PATAH LAGU/JEDA/PEMENGGALAN SEBUTAN.

Patah lagu ialah tempat seorang pembaca memenggal barisnya, yang juga disebut jeda. Hal ini masuk dalam bahagian intonasi. Intonasi ini amat penting di dalam penyampaian mesej.

Sebagai sebuah karya sastera, aspek penyampaian makna, maksud atau mesej karya sangat penting.Melagukan syair adalah satu cara untuk menyampaikan sebuah karya kepada khalayak. Jika mesej ini tidak sampai,maka pembacaan itu dianggap gagal.

Cuba baca syair di bawah dengan lagu Selendang Delima.Lagu Selendang Delima lebih popular kalau dibandingkan dengan yang lain. Sebab utama ialah lagu ini mudah dikenali dan mudah diasingkan daripada lagu yang lain. Lagu narasi dan Dan dan Setia tidak jauh berbeza dan jika tersilap pembawaannya akan mudah terjadi campur aduk di antara kaduanya.

Pesan patik pada tuanku
Ini unjukkan pada Raden Inu
Kartabangsa menenentang belas dan pilu
Bagai dihiris dengan sembilu


Bila dibaca dengan lagu Selendang Delima, maka ia akan menjadi spt di bawah


Pe/san/ pa/tikkkkkk// pa/daaa/ tuan/kuuuuu// (8 sukukata).
I/niii/ un/juk/kannnnn// pa/da/ Raaaa/den /I/nuuuu (11 sukukata)
Kar/ta/bang/sa/ me/nen/tanggggg// be/lasss/ dan/ pi/luuu (13)
Ba/gai/ di/hiii/risss// de/ngannn/ sem/bi/luuu (10)


Biasanya jeda berlaku pada akhir perkataan yang kedua. Hal ini adalah mudah dilakukan untuk baris yang mempunyai lapan sukukata. Pe/san/ pa/tikkkkkk// pa/daaa/ tuan/kuuuuu// (8 sukukata).

Pada baris pertama tiada masalah. Perkataan dipenggal pada sukukata ke empat. Masalah timbul pada baris yang mempunyai lebih drpd 8 sukukata. Baris kedua mengandungi 11 sukukata. Pemenggalan dilakukan selepas kata kedua iaitu sukukata ke empat. Selepas itu tempo dipercepatkan untuk menghabiskan 6 sukukata lagi.


Masalah lebih besar ditemui pada baris ketiga: Kartabangsa menentang. Dua perkataan ini mengandungi 7 sukukata yang mesti dibaca sekali agar dapat menyampaikan maksud dan tidak janggal. Kartabangsa ialah nama orang dan tidak boleh dipenggal. Yang kedua ialah perbuatan yang dilakukan oleh Kartabangsa iaitu menentang. Ini juga perlu dihabiskan. Dengan itu pembaca syair harus pandai mengejar agar dapat menyebut 7 sukukata sebelum berjeda.

Hal ini menunjukkan seorang pembaca syair mesti meneliti teksnya terlebih dahulu sebelum menghadap penonton.

Bandingkan baris-baris ini:
1-Dengarlah tuan ayahnda berperi
2-Dengarlah tuan tuan suatu perti


Walaupun pembacaan syair biasanya dipenggal pada akhir perkataan kedua.( Dengarlah tuan //ayahnda berperi)

Tetapi hal yang sama tidak boleh dilakukan pada contoh kedua di atas. Pemenggalan mesti dilakukan pada akhir perkataan yang ketiga. Dengarlah tuan tuan// suatu peri




Rangkap syair di atas adalah petikan drpd kisah pembunuhan Angerani. Ia membawa maklumat yang menyedihkan, menggambarkan suasana sedih pilu ketika Anggerani hendak dibunuh. Pembaca harus membangkitkan kesedihan dan kerinduan Angerani kepada suaminya Raden Menteri. Suasana sedih (melankolik) dibina dengan memanjangkan getaran dan alunan melodi supaya kedengaran mendayu-dayu.

Di dalam pertandingan, anda akan diberikan satu teks yang mungkin mengandungi lima atau enam rangkap dari sesebuah cerita. Seeloknya anda bacalah syair berkenaan sepenuhnya supaya dapat memahami dan menghayati cerita yang sebenar. SELAMAT MENCUBA

Friday, June 19, 2009



MENGENDALI bengkel baca syair di dewan bahasa 14 Jun bersama Roslan Madun. sempat merakam kenangan dgn Zaitun Ajmain dan Selina.

SYAIR DAN MELAGUKAN SYAIR


Dari segi strukturnya, kata syair di dalam Bahasa Arab merujuk kepada karangan berangkap, sama halnya dengan erti puisi dalam Bahasa Melayu atau poems di dalam Bahasa Inggeris. Namun begitu kata syair di dalam Bahasa Melayu merujuk kepada sejenis puisi lama secara spesifik untuk membezakannya dari jenis-jenis lain seperti pantun.

Ciri syair Melayu yang dikenali:
a.Mengandungi 4 baris dalam serangkap
b.Dalam satu baris terdapat 4 perkataan dan mengandungi 8-12 sukukata
c.Rima akhir syair adalah a-a-a-a
d.Satu rangkap syair tidak dapat berdiri sendiri sepertimana satu rangkap pantun.
e.Syair tidak mengandungi pembayang dan maksud seperti pantun


Lagu/Melodi Syair

Pada masa ini kita mengetahui bahawa ada beberapa irama yang digunakan untuk membaca syair. Pada pandangan umum ada 3 lagu yang distinctive atau berbeza. Tiga irama tersebut dilabelkan sebagai
1-Selendang Delima,
2-Dandan Setia
3-irama Narasi
.
Walaupun mudah mengesan asal usul perkataan syair tetapi tidak mudah mengesan asal usul irama yang digunakan untuk menyanyikan syair. Bagaimanakah ketiga-tiga melodi itu mendapat nama? Tidak logik jika kita mengatakan bahawa melodi Selendang Delima adalah untuk membaca Syair Selendang Delima sahaja dan Dandan Setia untuk membaca syair Dandan Setia.. Tidak mungkin masyarakat dahulu sebegitu spesifik dan sistematik sedangkan mereka langsung tidak spesifik di dalam perkara lain. Siapakah yang memberikan nama-nama tersebut .Apa maksud narasi? Adakah narasi bermaksud naratif?

Irama Selendang Delima adalah irama yang lebih dikenali kerana irama ini tersebar luas melalui radio khasnya melalui rancangan Bangsawan Di udara terbitan Radio Malaya yang dipancarkan dari Singapura pada zaman-zaman sebelum merdeka. Soalnya sejak bilakah irama Selendang Delima ini digunakan?

Kita juga mengetahui bahawa pada zaman dahulu bacaan syair diadakan semalam-malaman dan bersambung-sambung hingga beberapa malam. Adakah pembaca syair menggunakan irama Selendang Delima?. Sukar untuk membayangkannya. Irama Selendang Delima memang merdu dan mendayu tetapi mengambil masa yang panjang, iaitu hampir 1 minit untuk 1 rangkap dan selepas beberapa rangkap ia akan menjadi monotonous. Orang ramai yang datang berduyun-duyun adalah khalayak yang buta huruf yang mahu mendengar cerita yang terungkap di dalam syair-syair yang dibaca. Mereka mencari hiburan dari kisah-kisah kehidupan putera puteri cantik di istana yang indah. Itu adalah jalan ’escapism’ dari realiti kehidupan seharian mereka. Irama Selendang Delima tidak dapat megisi keperluan untuk menyampaikan maklumat dan membangkitkan suspen dan sebagainya. Saya lebih percaya tukang syair membaca versi irama syair yang lebih pendek dan ringkas atau hanya membaca dengan lagu dan rentak yang kita dengar dari penglipur lara. . Ini lebih munasabah untuk membawa cerita yang panjang dan bertahan hingga ke jauh malam.

Mungkinkah bacaan syair versi Selendang Delima itu adalah hasil pengindahan oleh kumpulan bangsawan dan dipopularkan melalui persembahan bangsawan?. Irama yang mendayu-dayu ini digunakan oleh narator dan sangat sesuai untuk membangkitkan mood cerita khayalan yang penuh sedih pilu dan pujuk rayu percintaan. Barangkali rakaman terawal ialah rancangan Bangsawan Di Udara. Antara kumpulan bangsawan yang diberi slot di rancangan ini ialah Tijah Dean Bangsawan.

TENTANG HAL DI ATAS TELAH SAYA SENTUH DLM ENTRY TERDAHULU.


PERSEDIAAN MEMBACA SYAIR

1-Baca dengan tekun teks syair yang akan dilagukan. Fahami dan hayati maksud syair.
Baca perlahan untuk memahami dan mendalami teks, menghayati dan membangkitkan suasana yang diperlukan. Baca dan fahami maksud syair untuk menentukan patah lagu apatah lagi kalau teks itu teks yang lama.

Dengarkan tuan tuan satu peri
kisahnya upu-upu muda jauhari
selesai daripada mengalahkan negeri
Raja Kecil pun sudah ke Siak lari
(Mohd. Yusof Mohd.Noor, Salsilah Melayu dan Bugis, 1984)
Kalau rangkap ini tidak dibaca dengan teliti tentu terbabas bila melagukannya nanti.

2-Pilih lagu yang paling sesuai dengan cerita/mood/tema syair.
Adakah syair yang akan dibaca itu bertemakan percintaan , adakah moodnya sedih. Kalau ya, irama selendang delima adalah sesuai untuk menyampaikannya.
Tapi bagi syair yang berbaur jenaka, mengkirtik, atau mengandungi kisah kepahlawanan, rasanya selendang delima yang mendayu-dayu itu kurang tepat. Bolehlah mencuba versi kedua iaitu Dandan Setia atau Narasi.

3-Sempurnakan Sebutan
Baca teks secara kuat. Ini ialah untuk memperbaiki sebutan. Setiap perkataan hendaklah disebut dengan baik. Sebutan yang tidak jelas akan menjejaskan persembahan.Bahkan boleh membawa suasana lain,melucukan dan sebagainya. Misalnya penjajah disebut penjaja. Martabat disebut murtabak. Mujahid disebut Mujahat. Beri perhatian kepada perkataan yang didapati sukar disebut (tentu ada).
Syair adalah karya sastera. Dalam menyampaikan karya sastera (begitu juga deklamasi sajak) penyampaian mesej adalah penting. Kalau sebutan tidak jelas, mesej akan terjejas.
Sebutan baku. dan jelas Iaitu disebut seperti kebiasaan bertutur di Malaysia atau yang dikenali dengan loghat Johor-Riau, bukan Indonesia. Kemelayuan bukan ke Inggerisan seperti sebutan penyanyi-penyanyi di tahun-tahun 2,000 ini.

4-Uji Kemampuan Suara
Dalam syair suara sangat penting kerana ia juga merupakan nyanyian. Uji kemampuan suara dan penerbitan suara. Syair versi Selendang Delima memerlukan range yang luas dan kemampuan yang lebih tinggi.Suara hendaklah dilontarkan sebaik mungkin dengan sebutan yang jelas. Ini memerlukan latihan. Masukkan getaran,ornamentasi, bunga-bunga atau lenggok-lenggoknya, di mana perlu sebagai hiasan untuk mengindahkan bacaan. Menerusi rancangan TV, iaitu Diari Akademi Fantasia dan Mari Bertaranum di TV 9. kita boleh pelajari tentang pengeluaran suara. Ada suara perut, suara dada, suara tekak, suara bibir, suara hidung dan suara dari rongga otak. Kita boleh belajar dari rancangan ini.
?Misalnya suara garau (suara dada dan suara tekak) untuk nada serius dan marah, memberi nasihat,menyatakan ketegasan.
?Suara nipis iaitu suara bibir untuk nada lembut dan romantik
?Suara tinggi dan mendayu untuk sedih
?Suara rendah untuk nada manja.

5-Baiki Pernafasan. Buat senaman untuk membaiki pernafasan dan penerbitan suara.
6-Buat latihan dan hadapilah penonton dengan yakin.

Kalau ada yang berhasrat nak masuk pertandingan syair atau nak mencebut diri dlm lapangan membaca syair ni kena banyak menelaah dan memperluas vocublary dgn kosa kata lama dan perkataan yang berasal dari bahasa Arab. Anda akan diberi teks yg penuh dgn kata-kata yang mungkin jarang digunapakai pada hari ini spt pokta, bahana. Nasihat untuk anda yang mahu mengarang syair, jangan malas menelaah kamus. Simpan daftar kata yang sukukata akhirnya sama. (ketar, latar, putar, gementar,) Biasakan dengan kosa kata lama (misalnya gapura, bahari,astaka, jauhar, madah, tinta, kalam), Syair lebih condong kepada kata-kata dari bahasa Arab, (e.g. syuhada, nikmat, mukjizat). gunakan metafora, simile, kiasan

Nota tambahan:
Penyelidikan terus dijalankan tentang syair dan versi irama syair. Biarkan jauhari yang mencari manikam. Tugas pengamal dan pembaca syair ialah untuk meneruskan aktivitinya selagi terdaya agar suara kita tidak tenggelam dalam kesibukan orang membina bandaraya. Warisan kita yang indah janganlah tertimbus di bawah rumah.