Bengkel Penulisan Gurindam dan Syair pernah diadakan oleh JKKN bertempat di Universiti Malaya. Saya berpeluang menjadi pembimbing.
Gurindam
Gurindam terikat adalah puisi
yang terdiri daripada dua baris serangkap, yang berima di hujungnya. Di antara
definisi Gurindam terikat ialah:
1-
Kamus Umum
Bahasa Indonesia menyebutkan bahawa
: gurindam itu adalah sajak dua baris yang mengandung pengajaran.
2-
Kamus Dewan (1994:386)
menyatakan gurindam ialah sejenis puisi terdiri daripada dua baris,berisi
dengan berbagai-bagai pengajaran.
3- Dalam Kamus
susunan Sutan Mohd Zain, gurindam itu maknanya, sajak yang terjadi dari dua
baris, baris pertama biasanya syarat dan
baris yang kedua akibat.
4-
Sutan
Takdir Alisjahbana (1971) menulis: Gurindam ialah nasihat, pengajaran yang
kebenaran.
5-
Iladam (2003), mendefinisikan gurindam sebagai sebuah
wacana yang mengandung kalimat yang berima. Isinya berunsur nasihat yang
bentuknya semacam bidalan.
Daripada definisi
di atas dapatlah dirumuskan bahawa aspek penting yang perlu ada pada gurindam
ialah:
- Dua
baris berima a a
- Baris pertama syarat
dan baris kedua jawab/akibat
- Berisi nasihat,
pedoman, panduan
- Mengandungi pemikiran/falsafah
yang tinggi biasanya ada unsur keIslaman
- Mesej disampaikan dengan jelas ,tepat, tidak kabur
- Bahasa diperindah
dengan penggunaan metafora,simile.
Hal ini dapat
dijelaskan melalui contoh di bawah:
GURINDAM DUA
BELAS ( CIPTAAN RAJA ALI HAJI).
Raja muafakat
dengan menteri
Seperti kebun berpagar
duri
Betul hati
kepada raja
Tanda jadi
sebarang kerja
Hukum adil atas
rakyat
Tanda raja
beroleh inayat
Kasihkan orang
yang berilmu
Tanda rahmat
atas dirimu
Hormat akan
orang pandai
Tanda mengenal
kasa dan cindai
- syarat dan jawab/ akibat
Baris pertama raja muafakat dengan menteri adalah syarat
bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Akibat dari raja muafakat dengan menteri
terjadilah keadaan negeri terpelihara bagaikan
kebun berpagar duri. (baris dua).
- pemikiran dan falsafah
Terdapat pemikiran
dan falsafah pengarang tentang kepimpinan dan kenegaraan yang dipadatkan di
dalam dua baris ini. Pada pemikiran pengarang, keteguhan dan kedaulatan sebuah
negeri bergantung pada pemimpin yang adil dan juga rakyat yang setia.
- Keindahan bahasa (penggunaan simile,
metafora,perlambangan)
Bahasa diperindah
dengan penggunaan simile “bagaikan kebun
dipagar duri”. Kebun melambangkan kesuburan dan kemakmuran, sumber makanan
dan rezeki rakyat. Kebun yang berpagar duri berada di dalam keadaan terpelihara
dan tidak mudah diganggu oleh musuh. Pagar berduri merujuk kepada ketahanan dan
keselamatan negara tersebut akibat dari raja yang bermuafakat dengan menteri.
Dalam ungkapan ‘mengenal kasa dan
cindai” terdapat penggunaan metafora
atau perlambangan. Kasa dan cindai tidak sama dari mutunya.Kasa adalah kain
yang kasar sedangkan cindai adalah halus dan indah buatannya.Keduanya digunakan
sebagai lambang atau ukuran kepada taraf dan nilai di dalam kehidupan.
- Pemikiran yang tinggi
Terdapat
pemikiran tinggi tentang nilai ilmu. Ungkapan “Mengenal kasa dan cindai”
merujuk kepada kebijaksanaan atau daya intelek. Syarat untuk menjadi bijak itu
mestilah dahulu hormat akan orang yang pandai. Pemimpin dan rakyat mesti
menuntut ilmu dan menghargai orang-orang yang berilmu. Ini juga bermaksud raja
mesti meminta nasihat daripada orang yang pandai di dalam menjalankan urusan
negeri dan di dalam menyelesaikan segala masalah yang timbul.
Gurindam dan Lagu Gurindam
Mengikut pendapat pengkaji-pengkaji sastera lama, gurindam pada asalnya tidak mempunyai lagu yang khusus. Ini bererti gurindam dicipta bukan dengan tujuan dilagukan. Jadi, kita harus jelas bahawa yang dikatakan gurindam itu ialah ciri-ciri yang ada pada puisinya bukan lagunya atau iramanya. Kita tidak dapat mendengar secara khusus bagaimana gurindam dilagukan sepertimana kita dapat mendengar beberapa cara untuk melagukan syair. Pembacaan syair adalah popular pada masa dahulu kerana syair mengandungi cerita yang memikat orang ramai untuk mendengarnya. Tetapi gurindam tidak mempunyai tarikan suspen yang ada pada sebuah syair naratif. Namun begitu sebagai sastera tradisi ia berkembang melalui tradisi lisan yang memerlukan elemen-elemen seni persembahan. Kadang-kadang gurindam dibaca dengan rentak dan irama dan diiringi dengan muzik yang sederhana.Yang mudah dilagukan ialah gurindam yang terikat yang mempunyai rima dan sukukata yang hampir tetap dalam sebaris. Gurindam boleh dilagukan dengan irama-irama tradisional yang sesuai.

No comments:
Post a Comment