Saya selalu disoal bagaimana menjadi penulis yang baik. Mereka meminta tips atau panduan untuk menempa kejayaan dalam bidang penulisan. Saya sering menjawab seperti berikut.
Untuk menjadi penulis yang
baik seseorang perlu mempunyai:
Bakat
Kesungguhan dan kerajinan
Persekitaran yang memerangsangkan
Ilmu pengetahuan
Minat kepada perkembangan di sekeliling.
Disiplin
Gaya hidup sihat
Bakat
Bakat merujuk kepada kebolehan semula jadi, tetapi
bakat sahaja tidak mencukupi. Bakat adalah umpama sebiji benih. Kalau benih
tidak disemai, disiram, dijaga maka ia tidak akan tumbuh.
Kesungguhan dan kerajinan
Setiap orang yang mahu menjadi
penulis mesti bekerja keras seperti di
dalam bidang bidang yang lain. Orang
yang rajin mempunyai harapan untuk berjaya lebih daripada orang yang malas.
Seorang yang mahu menjadi penulis yang berjaya mesti rajin membaca untuk
menambah pengetahuan dan rajin menulis untuk mempertajam bakat dan kebolehan.
Kerajinan merupakan air dan baja yang menumbuhkan benih bakat. Kekangan yang
paling hebat di dalam kerjaya menulis ialah sifat malas.
Persekitaran yang
memberangsangkan
Seorang yang mahu terus menulis
perlu meletakkan dirinya di dalam persekitaran yang dapat menyuburkan minatnya.
Seorang yang mendapat galakan daripada keluarga, kawan-kawan misalnya akan
terangsang untuk terus menulis. Ini juga bermakna seorang penulis perlu
berusaha mengatur gaya dan cara penghidupannya supaya sesuai dengan minatnya. Pepatah ada
mengatakan ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Bagaimanakah caranya
menyesuaikan diri dengan keadaan dan tuntutan kehidupan? Itu terpulanglah kepada
kebijaksanaan masing-masing.
Belajar dari Penulis-penulis
yang berpengalaman
Seseorang yang baru berjinak
di dalam bidang penulisan bolehlah menimba ilmu
dari mereka yang sudah berpengalaman. Bacalah tentang kehidupan
penulis-penulis veteran atau penulis-penulis yang diminati untuk dijadikan
contoh teladan. Lihatlah bagaimana
mereka menggunakan masa atau menyesuaikan masa untuk terus menulis. Ada di
antara penulis-penulis veteran seperti Arenawati, A.Samad Said yang telah
menulis tentang pengalaman mereka menghasilkan karya kreatif. Buku-buku ini
menjadi sumber penting untuk menimba ilmu dan mendorong untuk berkarya. Setiap orang ada caranya
tersendiri. SN Muhammad Haji Salleh pernah menceritakan yang beliau lebih
selesa menulis puisi di dalam keadaan bersantai di rumah. SN Abdullah Hussein lebih suka berpakaian
kemas seolah-olah bekerja di pejabat kerana katanya kalau terlalu kasual, terasa mahu berehat dan tidur sahaja.
Menghadiri ceramah, diskusi,
bengkel
Salah satu cara untuk terus
menyuburkan minat dan mengasah bakat ialah dengan menghadiri majlis-majlis
ceramah atau kegiatan-kegiatan sastera. Di sana seseorang akan mendapat petua dan petunjuk dari penceramah.
Di samping itu akan berpeluang bertemu, berbual dan bertukar-tukar fikiran
sesama kawan-kawan penulis. Suasana begini boleh membenihkan idea dan
menyuburkan minat dan bakat.
Zaman telah jauh berubah dan
sentiasa berubah. Pada era digital adalah lebih mudah untuk mencari ilmu
pengetahuan di hujung jari
Mendalami Ilmu Pengetahuan
Seorang
penulis mesti rajin mendalami ilmu, rajin membaca dan mempertajamkan
kebolehannya, sentiasa berminat dengan karya orang lain lebih-lebih lagi
karya-karya besar. .Membaca dapat memperkaya perbendaharaan kata, mempertingkat
kepandaian menyusun kata-kata dan penggunaan bahasa.
Untuk menjadi seorang penulis
kreatif seseorang tidak perlu menguasai teori seorang penulis kreatif
seseorang perlu menguasai teori sastera yang rumit. Namun begitu tidak salahnya
mempelajari teori untuk menambah pengetahuan. Apa yang penting ialah minat di
dalam bidang yang diceburi. Seorang penulis atau bakal penulis wajar mengambil tahu tentang perkembangan
sastera dan sejarah kesusasteraan setidak-tidak pun di negaranya sendiri. Di
samping itu untuk memajukan diri seorang penulis wajar mempunyai pengetahuan secukupnya di dalam
bidang kritik sastera dan apresiasi sastera untuk mengetahui bagaimana menilai mutu atau kekuatan sebuah
karya sastera dan bagaimanakah yang
dikatakan sebuah karya yang segar dan baharu.
Berminat kepada perkembangan di sekeliling
Setiap
karya sastera lahir dari kepekaan dan sensitiviti penulis akan perkara-perkara
yang berlaku di sekelilingnya. Oleh yang demikian seorang yang tidak berminat
dan tidak mahu mengambil tahu apa yang terjadi di dalam masyarakatnya, apa yang
sedang melanda bangsanya dan apa yang mengubah penghidupan di dalam negara dan
di luar negara tidak akan boleh menjadi penulis
Disiplin
Di
kalangan penulis, terdapat mereka yang menulis sepenuh masa dalam erti kata
tidak memegang jawatan yang lain. Mereka mungkin bebas bergerak ke sana ke mari
tanpa perlu memohon cuti dan kebenaran keluar pejabat dan keluar negara. Namun
begitu kebebasan dan keselesaan seperti
ini membahayakan jika seseorang tidak memiliki disiplin. Seseorang yang tidak bekerja di pejabat boleh diganggu misalnya oleh tetamu yang berkunjung
bila-bila masa. Oleh itu penulis-penulis sepenuh masa juga perlu membuat jadual
kerja masing-masing. Jadual kerja ini
wajar diberitahu kepada orang-orang di sekeliling terutama yang mempunyai
hubungan rapat.
Sekiranya mahu menjadi penulis menulislah setiap hari. Pepatah ada
mengatakan “Sehari selembar benang lama-lama menjadi sehelai kain” Begitu juga
kalau sehari lima muka surat misalnya tentulah ada yang dapat dihasilkan dalam
satu bulan. Jangan menulis lima muka surat kemudian berhenti
beberapa minggu. Ini menunjukkan tidak ada kesungguhan. Proses menulis boleh
jadi memenatkan namun biasanya mengasyikkan. Hasilnya akan memberi kepuasananya
yang tidak terucapkan
Gaya Hidup Sihat
Ada orang pernah mengatakan
bahawa bila penyair mendapat idea, dia akan lupa makan minum. Satu ketika
dahulu, para penulis, terutama penyair sering digambarkan sebagai golongan yang
agak menyimpang daripada kehidupan biasa. Sebenarnya setiap manusia perlukan
gaya hidup yang sihat untuk berjaya di dalam lapangan apa pun. Bukankah otak
yang cerdas, fikiran yang bernas lahir dari badan yang sihat dan cergas.Menulis
adalah satu proses yang boleh membuat anda cepat mengantuk. Oleh itu jagalah
pemakanan dan amalkan senaman-senaman yang sesuai.
Seperti
yang disebut terdahulu, salah satu cara yang baik ialah belajar dari penulis
yang telah berjaya. Sebagai contoh mari kita ikuti apa yang dikatakan oleh
Amelia Hashim penulis Kedah yang sangat prolifik dan telah menghasilkan
berbelas-belas novel di samping cerpen dan skrip drama. . “Menulis novel
menuntut banyak kesabaran kerana sebuah
novel tidak akan siap dalam masa yang singkat.”
Amelia selalu membawa sebuah buku di
dalam begnya untuk dibaca bila ada masa terluang.. “Saya akan membaca jika ada
masa terluang seperti sedang menunggu giliran di dalam bank atau klinik. Saya
tidak menonton siaran telivisyen kecuali berita dan rancangan menarik yang
memberi ilmu. Untuk rehatkan fikiran saya melawat keluarga atau ibu bapa di
kampung. Iinilah disiplin yang saya terapkan kepada diri sendiri. Saya tidak
percaya kepada kesibukan sehingga tidak ada masa untuk menulis atau melakukan
sesuatu di dalam hidup ini. Untuk menulis bukan menunggu masa ilham datang.
Sebenarnya idea untuk dijadikan bahan kepada tulisan kita ini sentiasa ada
disekeliling kita. Kita hanya perlu berfikir dengan mewujudkan beberapa
persoalan. Tidak ada sekolah yang mampu mengajar kita menjadi penulis. Ini
kerana semua orang boleh menjadi penulis sekiranya ada keinginan, kesungguhan dan kesabaran. Sekolah
atau kursus hanya membantu mendedahkan seseorang kepada elemen-elemen yang dapat
meningkatkan gaya peulisan atau mutu persembahan penulisan. Seorang penulis
memerlukan ilmu bantu seperti falsafah, teori yang terselit di dalam mesej yang
hendak disampaikan”.
PENULISAN
DAN PROSPEK KERJAYA:
Secara
tradisional kemahiran menulis telah membantu membina karier dalam pelbagai bidang. Antara industri
terbesar yang memerlukan kemahiran menulis ialah Penerbitan, Persuratkabaran,
Penyiaran, Perhubungan Awam dan Komunikasi. Secara ringkas, syarikat syarikat
akhbar memerlukan wartawan, penyunting, penulis rencana dan sebagainya. Industri penerbitan sudah tentu memerlukan
penulis dan penyunting. Setiap
Jabatan kerajaan dan organisasi mempunyai unit perhubungan awam untuk
meningkatkan imej korporat dengan mengeluarkan
laporan tahunan, in-house magazine dan sebagainya. Pelbagai syarikat Perhubungan Awam menjalankan
perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan menulis, menterjemah, menyunting,
mengurus penerbitan buku contohnya untuk majlis-majlis, dan Buku Laporan
Tahunan untuk syarikat-syarikat besar.
Era IT membuka peluang untuk penulis dalam proses menerbitkan
CD Rom (berbentuk cereka, dokumentari, pembelajaran dan sebagainya). Tidak
kurang juga terdapat individu atau pemimpin politik yang mengupah “ghost writer”
untuk menggemilangkan imej masing-masing. Di samping itu kebolehan
berbahasa membantu dalam kerjaya sebagai
Setiausaha Akhbar, Penterjemah atau Pegawai Penyelidik.
Zaman telah berubah, sebahagian daripada jawatan-jawatan lama seperti
operator telefon dan jurutaip tidak wujud lagi. Dunia sedang dilanda zaman
digital dan Revolusi Perindustrian yang disebut IR 4.0.Di sana sini, ada
syarikat akhbar ditutup rancangan TV kurang digemari, buku semakin kurang
dibeli. Semua orang membaca dan menonton online. Namun begitu jangan
putus asa . kemahiran menulis tetap menjadi suatu kelebihan. kerana walaupun pintu yang lama kian tertutup
gerbang baru semakin terbuka, memberikan pelbagai harapan kepada penulis-penulis.
Dunia semakin sibuk dengan lalulintas informasi. Penulis-penulis diperlukan
sebagai “content provider” (pembekal kandungan) menulis untuk promosi jenama
dan perniagaan. Semua ini memerlukan peningkatan kreativiti. Bakat dan kreativiti
tidak mungkin diambil alih oleh robot atau mesin automasi.
Terima kasih berkongsi ilmu..
ReplyDelete