ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Sunday, November 12, 2017

SIMBOLISME LAUT DALAM PANTUN MELAYU


Laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan pantun Melayu. Antara lain, V.I.Braginsky mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu  merupakan pelaut yang cekap dan telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal  (1994: 272).Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun. Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantn yang menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai, bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya. 

   
                 Rumah kecil tiang seribu
                        Rumah besar tiang sebatang
                Kecil – kecil ditimang ibu
                      Sudah besar ditimang gelombang

                        (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)
Pantun ini sering diselitkan di dalam lagu2 rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui pantun ini orang2 tua menyediakan minda anak-anak  untuk menempuh alam kedewasaan . Bila meningkat dewasa anak-anak akan dilepaskan untuk pergi mencari penghidupan sendiri. Tibalah waktunya untuk berdikari. Ia menyedarkan bahawa dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada ibubapa dan orang lain.
 Sejak kecil seseorang diingatkan bahawa kehidupan adalah umpama menyeberang lautan. Laut adalah cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”Ungkapan “Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu ‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk  menempuh pelbagai godaan hidup.
Pantun ini menggunakan laut sebagai lambang kedewasaan. Laut menjadi perantara orang Melayu menyampaikan pemikiran dan nasihat tentang kehidupan dan cabaran di alam kedewasaan. Kedewasaan akan membawa bersamanya tanggungjawab dan pelbagai cabaran. Seorang yang telah dewasa perlu melakukan perjalanan melalui laut yang melambangkan perjalanan meninggalkan dunia kanak-kanak dan menuju ke dunia dewasa.  . Dari sini nasibnya  akan ditentukan oleh ombak dan gelombang
                       
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza, iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya ialah  masa kecil dan masa sudah membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang seribu. Tiang adalah dokongan (support). Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan kaum keluarga. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya. Dengan mengatakan ‘kecil-kecil ditimang ibu” mengingatkan bahawa adalah tanggungjawab ibu untuk menimang atau memberi  kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada si anak ketika dia masih kecil..

 Perjalanan laut adalah simbol yang sangat lumrah di dalam pantun. Tiga rangkap pantun nasihat di bawah juga menggunakan unsur laut.
            Kalau mengail di lubuk dangkal
Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejengkal
Jangan lautan hendak diduga
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)
Pohon beringin daunnya hijau
Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
Biduk ada pengayuh tidak.
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)

Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)

Ketiga-tiga rangkap pantun menyentuh perihal pentingnya melengkapkan diri dengan prsarana yang secukupny dalam menjalani kehidupan.  Seseorang haruslah menyediakan minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai cabaran. Pantun pertama memberi peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan hendak diduga”.Objek “kail panjang sejangkal” ditafsirkan sebagai penanda kepada sesuatu kekurangan. Di sini terkandung nasihat supaya mengukur keupayaan sendiri di dalam membuat sesuatu pekerjaan. Pantun ini juga mencabar seseorang untuk menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan. Kata pantun “mengail dilubuk dangkal/ mendapat ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin cukup untuk dimakan sekeluarga. Tetapi jika berani ke tengah lautan,  di sana menunggu hasil tangkapan yang lebih lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah memerlukan alat yang lebih canggih tidak hanya kail yang panjang sejengkal.
Dalam rangkap kedua
Pohon beringin daunnya hijau
Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
Biduk ada pengayuh tidak.

Oleh kerana hidup diumpamakan seperti satu pelayaran, maka perahu dan pendayung adalah peralatan dan kelengkapan yang diperlukan untuk belayar menempuh hidup. Seseorang yang tidak memiliki kedua-duanya, iaitu perahu dan dayung, akan berada di dalam kekurangan,  seperti yang digambarkan oleh baris pantun ”biduk ada pengayuh tidak”.
Setiap orang mempunyai cita-cita dan impian sendiri. Hal ini dibayangkan pada baris “hati ingin melihat pulau”.  Namun begitu sebarang hasrat hanya dapat dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Pantun ini  menasihatkan agar  melengkapkan diri dengan pengetahuan dan segala keperluan. Mempunyai biduk tetapi tidak memiliki pengayuh adalah satu keadaan tidak lengkap. Tanpa kelengkapan ini destinasi tidak akan dicapai dan ia menyerupai kegagalan untuk mencapai cita-cita.
Biduk atau perahu yang dimiliki adalah penanda kepada  ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau yang diumpamakan sebagai cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan pengayuh maka begitulah juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di dalam menempuh kehidupan.  Perahu yang selamat sampai ke pelabuhan hakiki adalah simbol sebuah kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu yang tenggelam di lautan membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan orang-orang yang terpilih untuk menerima rahmat Allah.
Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
Pantun di atas mengingatkan setiap orang untuk mengukur keupayaan. Selaras dengan itu ialah peringatan agar manusia sentiasa menyelidiki kekurangan diri atau bermuraqabah, membuat perhitungan banyak sedikit amalan yang diusahakan, iaitu bermuhasabah di samping giat mempertingkat keupayaan diri.
Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani mengambil risiko janganlah menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Oleh  kerana hidup ini umpama menempuh gelombang di lautan, maka kita sering dinasihati agar memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan sebagai persediaan untuk menempuh segala kemungkinan. Seseorang yang tidak mempunyai cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai pengail yang mempunyai kail panjang sejengkal atau pun takut dilambung ombak Selain dari kelengkapan fizikal, setiap orang mesti pula mempunyai persediaan mental. Orang yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai tidak bersedia untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak untuk berada berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada jauh dari pantai
Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan yang luas  adalah simbol perjalanan manusia yang amat bergantung kepada peliharaan Allah. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di tengah lautan. Salah satu sebab kapal tenggelam di tengah lautan ialah muatan yang dibawa terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal.
                Angin barat gelombang barat
                   Barat ditiup si angin timur
                Tidak dirintang muatan sarat
                    Akibat laut tempat berkubur

Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran. Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang cukup. Namun begitu dia tidak boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di dalam kapalnya. Oleh yang demikian dia perlu memilih barang-barang yang diperlukannya sahaja. Di sini timbul keperluan untuk mengukur kemampuan diri sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Pantun ini juga memperkatakan perihal membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung nasihat supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan meninggalkan yang tidak penting.
Orang yang berjaya dan selamat adalah mereka yang bijak membuat pilihan. Maka pilihlah yang terbaik dan yang diperlukan sahaja untuk dibawa.  Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan seperti maksud jika ‘tidak dirintang muatan sarat/alamat laut tempat berkubur’. Orang tua-tua menasihati agar berpada-pada di dalam segala segi. Kalau mahu selamat mestilah  menjaga batas dan sempadan. Dari perspektif Teori Pengkaedahan Melayu ia mengandungi panduan untuk hidup dengan berimbang iaitu mengimbangi barang-barang yang dibawa dengan kemampuan had muatan.  Segala sesuatu dijadikan Allah adalah dengan ukuran dan imbangan.

Di sini terdapat nasihat peri pentingnya membuat pilihan. Manusia perlu selalu berdoa agar diberi pertolongan dan pertunjuk untuk membuat pilihan yang tepat selaras dengan maksud baris Al-Fatihah yang dibaca di dalam solat “tunjukkanlah kami jalan yang benar”. 

No comments:

Post a Comment