ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Wednesday, November 08, 2017

ANUGERAH SASTERA NEGARA `13.: UCAPAN PENERIMA.


MAJLIS PENGANUGERAHAN 26HB. APRIL 2016, DI HOTEL MARRIOT PUTRAJAYA.

Bismillahhirrahmanirrahim
Yang Berhormat Dato’ Seri Mahzdir  bin Khalid,
Menteri Pendidikan Malaysia,
merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-13;

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh bin Yaapar,
Pengerusi Lembaga Pengelola,
Dewan Bahasa dan Pustaka;

Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Adzis bin Abas,
Ketua Pengarah,
Dewan Bahasa dan Pustaka; 

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri;

Datuk-Datuk, Datin-Datin;

Sasterawan-Sasterawan Negara;
Anggota panel Anugerah Sastera Negara Ke-13,

Dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.



Syair:
Assalamualaikum tuan bestar
Salam sejahtera seluruh negeri
Di pentas ini hamba berdiri
Teramat kecil rasanya diri

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang maha esa yang memakbulkan doa sekalian hamba-Nya. Dialah yang menentukan dan mengurniakan kelebihan mengikut ketetapan.

Saat ini, walau syair telah dirangkap dan seribu madah mungkin diungkap namun tirai rasa tak mungkin disingkap.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah mengwujudkan Anugerah tertinggi di bidang sastera ini. Terima kasih yang khas ingin saya sampaikan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kerana sebenarnya Tuanku sendiri ialah sumber yang menyubur dan memperkaya semangat saya dalam mengharungi dunia sastera. Izinkan saya menceritakan peristiwa puluhan tahun yang lalu yang selamanya dikenang dan kini kembali berkembang. Semasa saya masih di Tingkatan 5, Tuanku telah membuat lawatan ke sekolah saya iaitu Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah. Seorang guru yang mengetahui minat dan  kegiatan saya telah mencadangkan supaya saya mengumpul sajak-sajak saya yang kemudian disusun menjadi album dan dihias cantik oleh guru tersebut yang juga merupakan seorang pelukis negeri Kedah bernama  Cikgu Saidin Yahaya.

Dalam lawatan itu Tuanku telah ditunjukkan album tersebut. Saya  menunggu dengan debaran dan penuh harapan. Setelah itu, Cikgu Saidin memberitahu di hadapan sekumpulan guru dan pelajar yang Tuanku telah menatap album tersebut dan menatap sajak-sajak di dalamnya. Menurut Cikgu Saidin, Tuanku Sultan bertitah memuji sajak di dalamnya dengan kata-kata “Bagusnya budak sekolah ini boleh menulis sajak”. Titah itu sangat besar ertinya bagi patik. Ia telah meninggalkan kesan yang amat positif. . Sesungguhnya baginda telah menyemarakkan semangat saya untuk membaja dan menyiram benih-benih puisi yang baru belajar bertunas di bendang hati pada ketika itu.

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya saya dapat berada dalam majlis yang gilang-gemilang dan penuh bermakna ini. Setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi memungkinkan keberadaan dan kegemilangan ini. Rasa terhutang budi khasnya kepada mereka yang memilih saya bagi menerima  pengiktirafan ini dan terima kasih kepada semua penerbit yang pernah menerbitkan karya saya termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Penerbit Pekan Ilmu dan penerbit terawal, iaitu USM Press. Sesungguhnya banyak pihak telah membantu dan memainkan peranan masing-masing sehingga saya dapat berdiri di hadapan hadirin pada malam bersejarah ini.
Tuan-tuan yang dihormati,
Tahun enam puluhan
saya mencuri-curi ke kedai simpang
Membeli buku tulis dan pena sebatang
Untuk melakar bunga-bunga puisi
Yang baru belajar berkembang

Zaman tanpa komputer
mesin taip pun tak terpandang
di tengah bendang
tak terbayang oleh para ayah yang sibuk
membanting harapan
dan menuai kehampaan

Sehari-harian melakar tulisan membulatkan aksara
Agar terbaca oleh Tuan Pengarang
Orang tua-tua mula melepas rungutan
Mengapa saya, anak perempuan asyik menulis di meja
membaca buku,
tidak menjahit dan menyulam
Seperti gadis-gadis kebanggaan


Demikianlah gambaran sebahagian daripada liku-liku perjalanan yang ditempuhi oleh seorang anak perempuan yang mengatur langkah di jalan sastera. Ia disebut di majlis yang permai ini sesuai dengan kedudukan diri sebagai wanita pertama yang dianugerahi gelaran Sasterawan Negara, sesuatu yang ditunggu dan tidak kurang juga dipersoalkan sejak lama. Sesungguhnya mencari tapak berpijak sebagai pengarang wanita hampir 40 tahun yang lalu bukanlah mudah. Saya berhadapan dengan latar masa dan budaya yang berbeza yang mungkin tidak dikenali lagi pada hari ini. Saya mula mencintai buku dan penulisan sejak 40 tahun yang lalu, ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh di bandar.

Namun begitu, syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan pertolongan-Nya, mengurniakan hidayah dan sifat tabah sehingga dapatlah hambanya mengunyah yang payah. Selangkah demi selangkah dapatlah saya merentas jalan sukar mengharung semak belukar.
Tahun lapan puluhan karya sudah agak banyak tersiar
Nama dan gambar tercetak di akhbar
Saya sudah mampu memiliki sebuah mesin taip kecil
 menaip dengan cermat
Menaip semula setiap menukar aksara dan kalimat
Kebas bahu dan tangan terasa putus urat-urat
Sebelum sampai ke akhir muka surat.

Menjelang tahun 2000 alangkah bahagia
Komputer sudah tiba

Dan kini setelah menyeberang milenium
Menerawang di sesawang
Ribuan puisi lahir setiap hari
Keluaran tak terkawal bentuk tak kukenal
Sehingga terasa ada yang tidak ketahuan hala
Dengan ledakan penerbitan mandiri
Dan lambakan novel-novel popular


Demikian landskap hari ini jauh berbeza daripada tahun-tahun yang lalu ketika mula menjejakkan kaki di laman seni. Pada masa itu kami memandang kepada pengarang yang sedang giat berkarya seperti Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad, A. Samad Ismail, Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said, Salmi Manja, dan Adibah Amin. Nama-nama inilah yang kami genggam dalam ingatan sebagai idola dan sumber kekaguman.
Namun sekarang keadaan jauh berbeza. Tiba-tiba terasa semua orang boleh menjadi pengarang. Setiap saat akan terbit karya secara cetakan atau melalui dunia maya. Hal ini merupakan suatu kelebihan. Ada yang berbakat dan mudah untuk mengasah bakat mereka. Ada yang menyedari bakat dan kelebihan diri lalu beraksi dengan bangga.
Hinggakan:

Di simpang siur kota siber yang riuh
Saya merasa kecil dan jauh.
Tak kurang telinga ini mendengar suara-suara mencemuh
“Ah apalah gunanya mereka menulis dan menjaga nilai sastera
Konon bergelar sasterawan besar
menghasilkan tulisan menjana pemikiran
Memperkasa  minda bangsa memartabatkan bahasa
Sedang kami di sini tanpa sebarang anugerah menulis sesedap rasa.
Tidak perlu penerbit berjenama.
Sebahagian kami mencetak dan menjual sendiri
dan orang ramai berkerumun membeli .
Untung berganda  menerima habuan royalti
yang tidak mampu dikecap oleh yang bergelar sasterawan
walaupun dalam mimpi.

Dunia penerbitan menjadi riuh sekali. Penulis ada di mana-mana. Penerbit tumbuh dengan kepelbagaian idea dan gaya.
Lalu terdengarlah khabar tentang pasaran buku yang begitu subur dan segar. Alhamdulillah jika itu sudah rezeki pemberian Ilahi. Antara  penulis ini ada yang memperlihatkan bakat dan keikhlasan. Hal ini amatlah dialu-alukan. Semua ini merupakan satu keberuntungan, petunjuk bahawa tradisi pengucapan kreatif dan  sastera Melayu semakin meningkat dan berkembang maju.
Sesungguhnya kita memerlukan pewaris untuk menyuburkan  rimbun subur harapan pada masa kini dan masa depan. Janganlah mengesyaki  bahawa telah bersarang rasa  iri hati kepada golongan yang memperoleh rezeki.
Namun daripada rasa cinta akan bahasa dan bangsa, kami berharap jadikanlah kepopularan diri untuk membawa rakan sebaya ke jalan hidup berbudaya. Teruskanlah menghasilkan tulisan yang diikuti dan diminati untuk membina angkatan generasi yang mempunyai kekuatan diri. Semoga bertambah teguhlah kita sebagai bangsa berperibadi, beradat dan bertradisi.
Semua pihak akan berbahagia seandainya penulis semasa mengutamakan tertib bahasa dan santun susila, membina kekuatan perbukuan dengan nilai pemikiran, bukan semata-mata khayalan dan hiburan. Usahlah menambahkan calar bahasa dengan celaru nahu, pulanglah mengenal aksara perjuangan nenek moyang. Tataplah peta lama yang  terpahat di dinding rumah pusaka.
Kutiplah makna daripada catatan masa silam sebelum ia terpadam
Selamilah lautan madah pujangga mengutip kerdipan mutiara makna
Jangan dilupa pantun pusaka
Kenali permata bernama seloka
Tajam mengkritik  dalam jenaka
Fahami nasihat dan pedoman yang tersulam dalam gurindam
Hayatilah syair yang bertema dan berima
Nazam yang menyebar ajaran agama

Pasir putih di pinggir kali
    Tempat menyabung ayam berlaga
Bahasa tidak dijual beli
     Bukan benda buat berniaga.

Semoga lahir pengarang muda bestari berpaksikan kebijaksanaan tradisi. Jadilah benteng yang memperteguh kota diri di kala bahasa kita cuba dihakis dari kanan dan kiri. Semoga akan terlerai keserabutan yang menyukarkan usaha merancang, membentuk dan membina perkembangan kebudayaan yang diperlukan bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan kita sebagai sebuah negara yang aman. 
Negara menjadi gah dan maju bukan sahaja kerana pertumbuhan pendapatan, kemajuan prasarana fizikal, dan kecanggihan teknologi. Kemajuan  ditentukan oleh kemajuan jiwa dan rohani yang membentuk watak dan akhlak. Kemajuan terhapus di tangan manusia rakus dan politikus yang menikus. Pembangunan yang tidak seimbang tidak menjamin keselesaan apabila jenayah membiak dan mengancam keselamatan. Kebendaan memerangkap manusia dalam pencarian yang tidak bertemu kepuasan. Jika Shakespeare mengatakan bahawa dunia sebuah pentas sandiwara, maka dunia masa kini ialah sebuah pasar raya. Bumi dicakar luka, hutan-hutan diratah untuk dibina rumah yang kemudian hampir habis direbut oleh hartawan hartanah sebelum sempat dimiliki oleh anak negeri yang memerlukan bumbung untuk membina keluarga. Sang spekulator yang mencari untung berkarung menolak  anak-anak masa depan ke lorong-lorong dan kolong lalu jenayah meningkat kerana mereka terpaksa menjadi ular dan lipan untuk mencari makan.
Di sini izinkanlah saya menyampaikan setinggi setinggi penghargaan kepada suami saya Haji Mohamed Saaid Abdul Manap yang sanggup menggalas pelbagai tugas demi memberikan masa dan peluang untuk saya menulis. Saya juga mengenang jasa sasterawan sasterawan negara terdahulu yang telah memandu arah tuju termasuk Usman Awang, Abdullah Husin, A.Samad Said dan Shahnon Ahmad, dan semua pihak yang banyak berjasa dan tidak mungkin tersebut semuanya. Allah sahajalah yang membalas kebaikan dan budi yang dicurahkan.
Sebelum mengundurkan diri, izinkan hamba membaca sebaris dua puisi:
Ladang kita luas terhampar
Banyak dedalu sedang menjalar
Dengan bahasa teguhkan akar
Sebelum pohon mati terkapar

Terima kasih.
Wabillahi taufik wal hidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





GAMBAR GAMBAR SEKITAR MAJLIS PENGANUGERAHAN 26HB. APRIL 2016, DI HOTEL MARRIOT PUTRAJAYA.



No comments:

Post a Comment