ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Wednesday, November 08, 2017

SAJAK DARI PERTIKAMAN TUAH- JEBAT: TAFSIRAN SEMULA PERISTIWA SEJARAH MELAYU.

Episod pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat telah melahirkan karya-karya yang baharu, baik puisi, drama dan novel. Saya juga telah menulis puisi dan cerpen berdasarkan pertikaman tersebut.



i
Bendahara,
bila kau menyembunyikan Tuah
tidak membunuhnya seperti perintah raja
kau telah memulakan satu keberanian
untuk mengingkari kezaliman
dan memberi peluang kepada kebenaran.
      
        Tetapi Bendahara
        bila Jebat menderhaka dan raja dalam bahaya
        kau sepatutnya tidak membuka rahsia
        yang Tuah masih ada
        mengapa kau tidak berani
        membiarkan seorang raja
        terhukum oleh kekhilafannya?
Bendahara, kau telah memulakan satu keberanian
untuk memberi peluang kepada kebenaran si Tuah
dan kau sepatutnya meneruskan keberanian itu
untuk memberi peluang juga
kepada kebenaran si Jebat.
              ii
         Tuah,
         segalanya bermula dengan keberanian
        mengalahkan musuh demi musuh
        keberanian menjadikan kau seorang hamba
        yang amat setia kepada raja.
Tuah, kau sepatutnya lebih perasa
untuk tahu merajuk
tidak mengikut Bendahara
sewaktu dia datang menjemputmu pulang
atas titah raja untuk membunuh Jebat
kau sepatutnya lebih perasa
        untuk tahu berkecil hati dengan raja
yang tidak menghargaimu
jika Jebat tidak mengamuk
raja sudah bersedia untuk melupakan
segala jerit payah perhambaanmu.
Namun Tuah, kau terlalu meninggikan nilai setia
hingga merendahkan nilai diri.
        Ketika raja memerintahkan kau dijemput
        dia sebenarnya tidak menghargaimu
        tetapi menghargai nyawanya sendiri
        tetapi kau tidak mahu merasai semua ini
        kerana kesetiaan telah membuatkan kau takut
        untuk hidup
        selain daripada kehidupan yang ditentukan
        oleh kesetiaan itu sendiri.

Tuah, segalanya bermula dengan keberanian
tetapi berakhir dengan ketakutan.
iii
Jebat,
kau telah berani memberontak
demi menegakkan kebenaran
dan demi kasih sayang dan sanjunganmu
terhadap si Tuah.

         Tetapi Jebat
         mengapa kau membiarkan Tuah merampas taming sari
         apakah kerana kau menyayanginya
         kau lupa untuk berwaspada
         apakah kerana kau menyanjunginya
         maka kau tidak pernah curiga
         yang dia bisa memiliki
         tipu helah yang keji.
Jebat, kau sepatutnya bertahan dengan taming sari
kerana dengan keris itu kau tidak terkalahkan
mungkin kau telah menang
dan berpeluang memenangkan kebenaran.

        Apa boleh buat segalanya telah terjadi
        Tuah menyanjung raja lebih dari kawan
        Jebat menyanjung kawan lebih dari kebenaran.

Aku selalu bertanya
kalau Jebat tidak menderhaka
apakah yang akan terjadi kepada Tuah
jika Bendahara tidak membuka rahsia
apakah yang akan terjadi kepada raja
jika Hang Tuah tidak mahu pulang ke Melaka
atau si Jebat terus betahan dengan taming sari
apakah yang akan terjadi kepada kita hari ini?

        Namun Bendahara, Tuah, dan Jebat
        mereka bertiga telah melepaskan peluang
        yang datang hanya sekali sahaja
        dalam sejarah bangsa.


(Pujangga Tidak Bernama : 40, 41, 42) 

ULASAN DATUK AHMAD SAID.

Rupa-rupanya bukan mustahil kita belajar memahami suatu epik melalui satu puisi, yang kalian ganda pendeknya. Bukan juga selalu kita dibantu merumuskan puisi oleh kalimat-kalimat karyawan sendiri, di hujungnya. Puisi penyair besar, teman fbku Zurinah Hassan, “Bendahara, Tuah dan Jebat, Aku Selalu Bertanya”, Dewan Budaya, Ogos 1988, muka surat 28-29” menyerlahkan permasalahan tragedi bangsa yang sudah berkurun tiada pernah diperiksa semuktamadnya. Hebatnya ciptaan ini kerana perspektif atau kekusutan suatu dilema yang dipercerahkan melalui beberapa kalimat padatnya yang memandu minda. 

Perhatikan. Kepada Bendahara, ditanyakan, “mengapa kau tidak  berani/membiarkan seorang raja/terhukum oleh kekhilafannya?” Kepada Tuah, ia lebih ditempelak, dengan “… kau sepatutnya …” dan diadili dengan penghakiman bahawa Tuah sebenarnya “…berakhir dengan ketakutan”  dan dikatakan juga “… memiliki/tipu helah yang keji”.  Sebaliknya Jebat telah dipuji bertindak betul, “berani memberontak” tetapi sangat dikesali “…lupa untuk berwaspada” sehingga hilang Taming Sari. Selepas itu, pertanyaan menyusuli satu persatu. Semuanya mengandaikan bahawa jika apa yang tidak  berlaku pada abad ke-15 dahulu itu sebaliknya berlaku,  “apakah yang akan terjadi kepada kita hari ini?”

ASKAT:  Saya memilih merungkai simpulan. Memahami logik penghujahan, kalau yang “sepatutnya” benar-benar berlaku, maka raja akan kecundang di tangan hulubalang garang,  dan Jebatlah menjadi raja kerana dialah ketua. (Tetapi adakah calon-calon untuk dilantik menyandang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan dan semua-muanya dari kalangan rakyat jelata sekalian?)   Bendahara mungkin dipecat juga kerana tidak amanah mendukung etika perjanjian purba; Tuah mati dalam usia tua, tidak  dikenang lama, kecuali sekadar seorang pesara zaman beraja,  atau boleh juga, dilantik semula menjadi panglima mempertahankan Melaka dari serangan musuh-musuhnya. Tuah tetap seorang pekerja yang lebih berfungsi melaksana, tidak  serupa negarawan berwibawa.  Jika yang berlaku dahulu tidak  berlaku bahkan adalah sebaliknya, Melaka muncul sebagai negara yang diperintah berasaskan “kebenaran”, “kasih sayang”, “sanjungan”. Rakyat jelata harus mendukungnya kerana begitulah yang dikehendaki masa kini. Tetapi zaman itu adalah zaman beraja, ada perlembagaannya,  para penjawat  akur demi mendukungnya. Jadi pertanyaan lain mungkin lebih bermakna; kenapakah Jebat tidak  menubuhkan  ketumbukan, memberi satu alternatif menggantikan suatu bentuk pemerintahan kepada corak yang berlainan dengan prinsip-prinsip yang diperjuang bersendirian itu? Saya kira Jebat agak terkedepan, kurang berfikir panjang demi menjaminkan kejayaan perjuangannya.  

Maka kekusutan atau permasalahan akan terus berpanjangan. Kesimpulan masih  tak terleraikan.

Nota: Ilustrasi oleh Sabri Yunus.

No comments:

Post a Comment