ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Friday, November 10, 2017

CIRI-CIRI LAGU RAKYAT



Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan pelbagai irama dan lagu yang diwarisi secara turun temurun. Walaupun mengalami sedikit pembaharuan dari segi aturan lirik, gaya nyanyian atau alat muzik serta cara penyampaiannya yang dipelbagaikan, ia masih memperlihatkan ciri-ciri yang tersendiri.  
                 Bersama dua orang penyanyi lagu rakyat Malaysia Dato' Aripin Said (berbaju biru) dan Roslan Madon.
 Lagu dapat didefinisikan sebagai gubahan suara dalam urutan, kombinasi, dan hubungan temporal untuk menghasilkan gubahan muzik yang mempunyai kesatuan dan kesinambungan. Lagu amat penting di dalam kehidupan masyarakat.Menurut Zainal Kling (1999), muzik dan  lagu menjadi bahagian daripada budaya dan sistem sosial masyarakat. Sama ada penghasilan mahupun persembahannya, muzik tetap merupakan sebahagian daripada perlakuan anggota masyarakat. Beliau menegaskan bahawa, pelbagai bentuk muzik harus diteliti pada dua aspek utama iaitu sebagai perlakuan manusia dalam budayanya serta sebagai bentuk budaya atau seni  tersendiri.
Menurut Rahmah Bujang (1999), lagu rakyat masyarakat Melayu adalah lagu-lagu atau  nyanyian yang berasal dari sesuatu kawasan dalam Alam Melayu tidak kira kawasan itu terletak di negara Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei hatta di mana-mana pelusuk pulau terpencil di Nusantara sekalipun, dan merupakan lagu-lagu yang amat popular di kawasan tersebut. Biasanya lagu rakyat menceritakan perihal masyarakat, alam, haiwan, tumbuh-tumbuhan ataupun senario semasa di kawasan tersebut. Lagu rakyat biasanya akan dinyanyikan semasa bermain, mendodoikan anak, hiburan setelah penat membanting tulang dan juga semasa majlis-majlis keraian, didendangkan secara berkumpulan atau berseorangan. Kanak-kanak juga bermain sambil menyanyi sama ada untuk menghiburkan hati sambil berayun di buaian berseorangan atau dengan kawan-kawan. Ada juga lagu yang menjadi sebahagian dari permainan kanak-kanak. Dengan ini, menyanyi menjadi pencetus silaturrahim.
Lagu rakyat merupakan satu daripada genre sastera Melayu yang digolongkan ke dalam kategori sastera Melayu klasik. Dikir barat adalah cabang dari lagu rakyat. Lagu rakyat merupakan warisan yang berharga. Ia telah menjadi kebanggaan masyarakat sejak terun-temurun kerana mengandungi pelbagai falsafah dan pemikiran Melayu yang unggul yang menjadi teras pembentukan identiti Melayu.
Menurut Aripin Said (1999), lagu rakyat juga dikenali sebagai nyanyian rakyat. Nyanyian rakyat merupakan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh masyarakat tradisional masa lalu yang rata-ratanya bukan sekadar untuk  menghibur, tetapi untuk lebih daripada itu adalah untuk mendidik masyarakat. Beliau juga menyatakan bahawa, pada masa lalu, penyanyi lagu-lagu rakyat atau penyampai lagu-lagu ini juga terdiri daripada penglipur lara yang turut terkenal sebagai penyampai cerita-cerita rakyat.
Lagu rakyat dihasilkan atau dicipta secara spontan oleh golongan masyarakat yang tinggal di desa-desa, perkampungan atau kawasan pedalaman. Ia dikembangkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain dalam bentuk lisan. Lagu rakyat dapat diertikan sebagai gabungan gubahan muzik berdasarkan seni katanya dan diiringi dengan persembahan gerak tari tertentu.  Terdapat pelbagai bentuk lagu rakyat seperti pantun,  seloka,  syair, gurindam, bahasa berirama serta bentuk-bentuk bebas yang lain. Lirik yang digunakan biasanya dalam bahasa dialek mengikut loghat tempat masing-masing. Irama lagu rakyat amat unik kerana mempunyai kaitan dengan budaya dan alam sekeliling.
Bagi Abdul Jamal Abdul Hamid (1999), nyanyian rakyat ialah salah satu tradisi lisan yang lahir, diperhalusi, dan diperkembangkan secara lisan. Ia dikenali, dihayati, dan dianggap sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat yang melahirkannya, dan bagi kebanyakkan pengkaji budaya, ia mencerminkan cita-cita, pandangan hidup, dan pendirian sesebuah masyarakat.
Lagu rakyat dicipta, ditujukan kepada masyarakat daripada kalangan rakyat jelata, petani, nelayan dan pekerja umum. Menurut beliau, ciptaan, irama, seni kata, dan gubahan tidak disusun secara sedar tetapi lebih berupa spontan, sesuai dengan matlamat dan fungsinya.

Zubir Ali dalam seminarnya yang dianjurkan oleh bahagian Kesusasteraan Tradisional menyatakan ciri-ciri lagu rakyat semasa adalah seperti berikut :
1.      
1.                1   Lagu diterima secara evolusi oleh sesuatu kelompok masyarakat atau rakyat kerana                  terdapat kesinambungan budaya daripada lagu rakyat tradisional.
2.                   2     Lagu menyuarakan rasa bersama dan pandangan dunia sosial masyarkat
   3.      Liriknya menyuarakan rasa bersama dan pandangan dunia sesuatu kumpulan.
   4.      Irama dan melodinya berunsur santai dan mudah untuk dinyanyikan.
   5.      Sesuai untuk dinyanyikan dalam banyak suasana rakyat, membina perpaduan,            membina ciri- ciri murni dan perkembangan jiwa rakyat.

            
Menurut Rogayah A. Hamid (2006), lagu rakyat amat penting di dalam sesuatu masyarakat dan budayanya. Disebabkan ia dinyanyikan dalam ‘loghat’ kumpulan masing-masing, ia menjadi penanda untuk mengetahui akan dari mana kumpulan atau kelompok tersebut berasal. Lagu rakyat dicipta kerana pelbagai fungsi dan sebab. Ia merupakan cerminan kehidupan masyarakatnya atau dengan perkataan lain, sebagai alat untuk mengucapkan perasaan seni masyarakatnya, berdasarkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Di dalamnya terungkap pemikiran, falsafah, budaya, nilai dan sikap masyarakatnya.
Beliau juga mengatakan bahawa, fungsi lagu rakyat yang utama adalah sebagai alat untuk menghiburkan masyarakat pada waktu itu kerana tidak ada hiburan lain. Oleh hal demikian, dendangan lagu-lagu rakyat ini dijadikan sebagai alat untuk menghilangkan kepenatan setelah seharian bekerja. Maka sudah pasti lagu rakyat mempunyai audiens yang ramai pada waktu itu. Tambahan beliau lagi, lagu rakyat juga begitu sinonim dengan upacara pengubatan tradisional yang menggunakan kuasa supernatural (magis) bagi menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihadapi oleh masyarakat dalam kelompok mereka.
Lagu rakyat mempunyai peranan dalam masyarakat. Lagu ini dapat membawa mesej tertentu. Dengan penyampaian yang menggunakan pelbagai nada dan muzik, ia mampu  menyentuh jiwa, meresap dan membentuk perwatakan pendengarnya. Ia mampu memberi pengajaran atau pendidikan kepada pendengarnya. Ia dijadikan sebagai alat pembentuk minda masyarakat masa lalu dan menjadi alat kawalan sosial yang berkesan. Disebabkan ia mudah difahami, maka menyebabkan ia diminati oleh semua orang.
Lagu dan nyanyian sangat diperlukan oleh manusia untuk  menghibur juga melegakan kesakitan dan stress. Pada zaman dahulu ada lagu untuk bekerja.  Para pekerja melaungkan sesuatu seperti menyanyi ketika  menjalankan tugas berat. Ini berperanan mendapatkan ritma supaya dapat bergerak serentak. Lagu ini juga dapat mengalih fikiran mereka dari kepenatan yang dirasai. Begitu juga lagu yang dinyanyikan ketika mendodoi anak. Selain menghiburkan anak, mereka juga tidak jadi mengantuk dan tertidur. Lagu dan sesuatu irama digunakan untuk menarik perhatian. Misalnya, seorang penglipur lara menggunakan irama untuk bercerita. Dalam budaya lisan, seorang penutur dilingkungi oleh audiensnya yang buta huruf yang menghayati cerita secara pendengaran. Oleh itu tukang cerita harus menguasai beberapa teknik seni persembahan seperti lakonan dan gerak badan, seni bunyi, ritma, lagu dan alat muzik untuk bercerita. Mereka ini termasuklah Tok Selampit, dalang wayang kulit dan Awang Belanga. Peranan tukang cerita ini amat penting sebelum cerita-cerita dapat dibukukan. Irama lagu digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, misalnya untuk menghafal nama-nama Tuhan (AsmaulHusna) dan nama-nama nabi.
Masyarakat melihat lagu sebagai irama yang dinyanyikan secara formal sama ada menggunakan senikata atau tanpa senikata. Namun dalam persembahan dikir barat senikata hanya digunakan oleh Tok Juara. Lagu yang dibawa oleh Tukang Karut pula biasanya secara spontan bagi melawan pasukan dikir yang lain. (Ismail Derani. 2002)
Satu contoh Lagu Rakyat ialah Dikir Barat . Dikir Barat sememangnya sudah terkenal dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja masyarakat di Pantai Timur Semananjung, malah di seluruh negara. Walaupun ia hanya suatu teater tradisi, tetapi peminatnya tetap ramai, malah semakin bertambah bilangannya. Ini mungkin kerana daya penariknya yang istimewa, yang membolehkan ia bersaing dengan bentuk-bentuk hiburan moden yang lain.
Menurut Rahmah Bujang (2003) dikir ialah satu kaedah bernyanyi, biasanya dalam kumpulan. Terdapat beberapa jenis dikir mengikut rentak dan lagunya, seperti dikir rebana, dikir maulud, dan dikir berendoi. Manakala dikir barat pula merupakan satu bentuk seni permainan rakyat kalangan kaum lelaki yang terdapat di Kelantan. dikir barat dimainkan melalui peralatan muzik, nyanyian, dan gerak aksi yang diadunkan sebagai gubahan untuk bertukar-tukar sindiran berkenaan hakikat sosial semasa, dan dilakukan dengan tujuan mengisi waktu lapang dengan berjenaka.
Akan bersambung dengan perbincangan dikir barat.



No comments:

Post a Comment