Home » » ULASAN SALASILAH OLEH AIDIL FADZIL

ULASAN SALASILAH OLEH AIDIL FADZIL

INI ADALAH TULISAN seorang yang bernama Aidil Fadzil dari UKM tentang kumpulan puisi saya SALASILAH. . Saya copy daripada blognya. Saya panjangkan di sini. Semoga memberi manfaat kepada sesiapa yang berkenaan.

KUMPULAN PUISI SALASILAH OLEH ZURINAH HASSAN

Kajian akan dilakukan ke atas Kumpulan Puisi Salasilah oleh Zurinah Hassan, yang diterbitkan pada 2005 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Jumlah puisi yang terdapat didalamnya mengandungi 100 buah puisi yang dibahagikan kepada:
Bahagian 1: Mukadimah Selat Melaka(39 buah puisi)
Bahagian 2: Bergurau Senda(17 buah puisi)
Bahagian 3: Tun Sri Lanang Kedua( 42 buah puisi)
Secara umumnya, puisi-puisi dalam kumpulan ini berupa catatan rasa dan pancaran minda seorang penyair wanita tersohor tanah air, Zurinah Hassan yang berasa terharu terhadap segala peristiwa yang menimpa bangsa Melayu dari zaman dahulu sehingga sekarang. Bersumberkan teks Sejarah Melayu, pelbagai cerita rakyat, cerita jenaka, kisah lagenda, hikayat, buku sejarah, akhbar dan majalah, Zurinah cuba mengutip mutiara makna daripada keindahan bahasa daripada para pujangga Melayu, lalu dicernakan ke dalam puisi-puisi yang cukup mengusik perasaan.
Puisi-puisi ini berfokus dengan tema khusus , iaitu tentang perjuangan dan pemikiran bangsa Melayu zaman dahulu, yang telah diberi pentafsiran baru sesuai dengan perkembangan dunia moden. Bagi Zurinah sejarah bukan sekadar kenangan, tetapi ia boleh menjadi iktibar dan teladan. Ini sesuai dengan kata-kata Dr. Abdul Rahman Napiah, iaitu “Menyusur masa lalu untuk menyisir makna baharu”.
Pengkajian akan dilakukan menerusi citra manusia dalam kumpulan puisi Salasilah melalui Teori Pengkaedahan Melayu dengan menggunakan Pendekatan Moral.
4. CITRA MANUSIA DALAM KUMPULAN PUISI SALASILAH: APLIKASI TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU
Kajian ini berdasarkan Teori Pengkaedahan Melayu melalui Pendekatan Moral. Kajian berfokus untuk melihat citra manusia dalam sistem pemerintahan feudal. Kedudukan susunlapis masyarakat yang terdiri daripada; golongan pemerintah(sultan/raja, wanita/permaisuri, bendahara, laksamana) dan golongan yang diperintah(rakyat) terpampang dalam Salasilah. Pendekatan Moral yang dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman hidup manusia seharusnya dijadikan iktibar, panduan dan cermin perbandingan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Tegasnya, daripada pengalaman-pengalaman hidup manusia dapat disalurkan aspek pengajaran dan pengetahuan yang berguna.
4.1 Golongan Pemerintah
4.1.1 Sultan/Raja
Kegemilangan sesuatu tamadun bangsa mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan sistem pemerintahan yang menerajui bangsa berkenaaan. Raja yang adil akan sentiasa memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya. Raja yang adil akan sentiasa mendapat rahmat Allah sama ada dalam kehidupan di dunia atau pun akhirat. Bagaimana pula dengan raja yang zalim? Zurinah memberi jawapan melalui puisi:
Tangisan Bonda Sultan Mahmud
Setelah melakukan pembunuhan
ke atas Bendahara Seri Maharaja
dan ahli-ahli keluarga
Sultan Mahmud kebingungan
melihat bondanya Tun Senaja menangis berhari-hari
menangis tidak berhenti-henti
menghempas-hempas bagai tidak sedarkan diri
….………………….
Sudahkah anakanda lupa,
siapa bendahara sebenarnya?
bukankah bendahara Seri Maharaja itu
saudara kandungku?
sudah pasti bapa saudaramu
dalam negeri kau mungkin melebihi
tetapi dalam hukum keluarga
tempatnya lebih mulia
………………………
Dengan penuh kesedaran Zurinah cuba membongkar sikap keterlaluan raja yang menurut hawa nafsu tanpa pertimbangan akal yang wajar. Menurut Jelani Harun(2003 :133) Raja yang menggunakan akal dengan betul akan sentiasa berada dalam garis panduan kepimpinan yang benar. Sebaliknya raja yang tidak berakal atau tidak menggunakan akal akan membawa bala dan bencana terhadap kehidupan manusia. Jelas dalam puisi ini Sultan Mahmud tentunya tidak menggunakan akal sehingga sanggup membunuh seorang bendahara yang cekap, apatah lagi bendahara tersebut merupakan bapa saudaranya. Kekejaman seorang raja Zurinah mengungkaikan lagi menerusi:
Jujurnya Seorang Hamba
………………………
Pada suatu pagi yang amat hiba
Wan Anum yang sarat mengandung
merayu belas datuk penghulu
meminta seulas nangka
yang sedang dibawa menghadap raja
………………………
Dikoyaknya perut isteri laksamana
hanya kerana seulas nangka
dipancungnya rakyat sesedap rasa
hanya untuk menjamu selera
………………………
Sekiranya raja sanggup membunuh bendahara, yang mempunyai pertalian keluarga apatah lagi sebagai rakyat. Puisi ini jelas mengambarkan ketidakperimanusiaan seorang raja, sebagi peneraju negara sanggup dikoyaknya perut isteri laksamana/hanya kerana seulas nangka. Menurut S. Othman Kelantan(1993:49) segala hukuman dan perbuatan raja itu harus dan pasti mengambil kira dirinya sendiri. Kalau orang atau rakyat disakiti, apakah raja tidak peka terhadap kesakitan begitu kalau dilakukan ke atasnya?
Begitu juga dalam puisi:
Episod Tun Kudu
………………………
Muzaffar merelakan
caranya mendamaikan Melaka
agar kuasa tidak tergugat oleh sengketa
Muzaffar menyayangi Tun Kudu
manis Tun Kudu manisnya cinta
enaklah lagi sebuah takhta
nikmat wanita di hujung rasa
manakan sama nikmat berkuasa
………………………
Sultan Muzaffar dan Tun Ali
mencari persetujuan
dimeja rundingan
dengan semangat kelelakian
bertukar habuan kedudukan
bertukar barangan
yang bernama seorang perempuan
…………………..…..
Zurinah mengungkapkan dayusnya seorang suami yang bergelar sultan, sanggup menyerahkan isteri kepada lelaki lain semata-semata untuk kepentingan diri dan kegilaan untuk sebuah kuasa, sedangkan sebagai seorang sultan, mempunyai kuasa, kedudukan dan martabat yang tinggi untuk membuat segala keputusan. Akhirnya menerusi puisi Mimpi Paduka Maharaja:
………………..…….
Paduka Maharaja menghempaskan kekesalannya
“Maafkan beta Nadim
suara rajaku telah menyetujui kekejaman
suara raja tak semestinya suara hati
kerana raja juga hamba
kepada aturan yang merajakannya.”
aturan yang tegak atas kebodohan
tak boleh memberi ruang kepada kepintaran.
………………………
Zurinah terus memperlihatkan lagi kekesalan raja melalui, Selamat Tinggal Melaka:
………………………
Melaka menjadi empayar terkenal
seperti diramal
teguh dan perkasa
aku adalah raja dipuncaknya
tinggi dan mulia
seperti pucuk pada pohon sasa
kukuh dan angkuh
meremehkan segala yang dibawah
membiarkan akar tak berbaja
tersiram segala racun dendam
Kutinggalkan Melaka negeriku
ketika kelam malam dan asap hitam
jatuh ke bahu
kubu terakhir telah runtuh oleh hujan peluru
dan, menangis segala anak Melayu
Namun penyesalan itu tiada gunanya, kerana yang terjadi telah pun berlaku tidak boleh kembali lagi. Hang Nadim telah dibunuh di atas kecerdikannya namun dosa raja tidak akan terampun kepada bangsanya kerana menolak ilmu(kemajuan) untuk keperluan bangsa dan negara pada masa akan datang. Akhirnya, negara dijajah oleh kuasa asing akibat leka dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab. Maruah seorang raja juga turut tercalar.
Puisi-puisi ini jelas menggunakan pendekatan moral untuk melihat kedudukan raja yang diistilahkan sebagai “bayangan tuhan di dunia” sepatutnya mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap rakyat yang berada dibawah kekuasaannya. Setiap perkara yang dilakukan ke atas rakyat sama ada baik atau buruk, terletak dibawah tanggungjawab raja. Seorang raja berkuasa penuh dalam menentukan arah tuju untuk kesejahteraan hidup rakyatnya. Adil dan saksama dalam menjalankan segala urusan dan pentadbiran. Sebagaimana firman Allah:
“Sesungguh Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman…” (Surah al-Nahl:90)
4.1.2 Bendahara
Menurut S. Othman Kelantan(1993:50) Menteri dalam sesebuah kerajaan merupakan “otak” kepada pentadbiran atau “menteri yang berbudi itu taulan raja-raja” untuk mentadbir dan memajukan negara. Zurinah mengangkat watak bendahara Tun Perak yang memainkan peranan penting dalam mengatur urus pentadbiran di Melaka. Katanya dalam puisinya Pulang Tun Perak:
……………………...
Namanya Tun Perak
Muda, gagah dan segak
Dihantar ke Klang
Jadi penghulu terbilang sebutan
Apabila Siam menggertak
Tun Perak dipanggil pulang
Kerana diyakini bijak dan layak
Untuk menyusun gerak
…………………..…..
Gagahnya Tun Perak
Tangkas dan garang
Menghapuskan segala jejak
Musuh dihalau Melaka terlindung
Tun Perak disanjung.
……………………….
Kebijaksanaan dan keberanian Tun Perak adalah pelengkap untuk mewujudkan kemakmuran, kesentosaan, dan kesejahteraan di bumi Melaka. Mengikut Aboebakar Atjeh(1988:19) keberanian ialah satu sikap tidak ragu-ragu untuk mengambil sesuatu tindakan walaupun dalam keadaan berbahaya dan berisiko tinggi. Dalam konteks ini, kesanggupan bendahara untuk menghadapi cabaran dan tentangan akhirnya Musuh dihalau Melaka Terlindung/Tun Perak disanjung.
Kebijaksanaan seorang bendahara bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi dalam menguruskan rumahtangga. Tanggungjawab sebagai seorang ayah tidak pernah diabaikan olehnya. Zurinah cuba mencari sesuatu makna dalam puisi:
Episod Tun Fatimah
………………………
Bendahara yang tegas pendirian
Ikhlas menjelaskan
Puteri yang seorang telah ditunangkan
Tun Ali sepupu adalah pilihan
Biarlah duduk sama padan
Bagai sesusun sirih di puan
Jauh di sudut hatinya
Bendahara yang bijaksana
Sudah mengerti keadaan
Tidak dihajati bermenantukan sultan
Tidak diimpikan Fatimah menjadi Raja Perempuan
Ayah yang luas pengalaman tajam perasaan
Mengenal nafsu dan cinta
Mendoakan untuk anakanda
Sebuah rumah yang bahagia
Biarlah menjadi isteri yang berjasa
Bukan boneka di istana
………………………
Pendekatan Moral jelas diberikan kepada bendahara yang bijaksana bukan hanya memiliki akal yang cerdik tetapi pintar menggunakan ketinggian akal dalam penampilan peribadi. Kehalusan budi, ketelitian pemikiran, kesabaran hati, kecekalan usaha adalah aset penting untuk menyempurnakan sesuatu tugasan. Bendahara Maharaja sedar dan tahu siapa Sultan Melaka. Oleh yang demikian, beliau tidak ingin bermenantukannya. Cukuplah dengan Tun Ali yang sesuai, Biarlah duduk sama padan/Bagai sesusun sirih di puan .Sebagaimana Awang Had Salleh(1985:3) yang menyebut masyarakat Melayu terkenal dengan nilai merendah diri. Nilai ini menurutnya, telah memperkayakan budi bahasa mereka serta dijelmakan dalam semua kehidupan seperti tutur kata, pakaian, dan semua tindakan orang yang bersopan sentiasa merendah diri.
4.1.3 Laksamana
Laksamana turut memainkan peranan utama dalam memajukan sesebuah negara. Tugasnya menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada dicerobohi musuh. Pekerjaannya merupakan satu tugas yang mulia. Laksamana adalah satu jawatan tertinggi dalam sistem ketenteraan Kerajaan Melayu Melaka (1400-1511). Dalam sistem Kerajaan Melayu Melaka tentera laut adalah yang paling utama iaitu berasaskan bahawa masyarakat Melayu ketika itu adalah pelaut dan ahli dalam pelayaran. Mereka yang berpangkat Laksamana dalam Kerajaan Melayu Melaka itu digelar Orang Kaya. Hang Tuah dikatakan antara pembesar Melayu pertama yang dikurniakan gelaran laksamana(http://ms.wikipedia.org/wiki/Laksamana). Zurinah cuba membawa watak laksamana Hang Tuah dalam puisinya:
Tak Melayu Hilang di Dunia
Kata Laksamana Hang Tuah
“Tak Melayu hilang di dunia”
kata-kata itu bermain dibibir
kata-kata itu diulang tafsir
maknanya dalam
maksudnya tajam
………………………
Hang Tuah mewakili bangsa Melayu yang hidupnya merentas dari lautan Hindi dan Lautan Pasifik dan nekad yang bangsanya ada di mana-mana, takkan hilang bangsanya di dunia, kerana percaya dan yakin bangsa, bahasa, dan budayanya telah tumbuh subur di seperempat di muka dunia.
Selain itu, Zurinah mencari makna yang tersendiri dalam puisi Keris Taming Sari dan Rintihan Taming Sari, kritikan sosial jelas dalam episod pertikaman Tuah dan Jebat , Tuah dan Taming Sari (pahlawan Majapahit) . Dalam puisi Keris Taming Sari:
Maka pertikaman itu berlanjutan
berjam-jam mungkin berhari-hari
sehingga Tuah memperdayakan lawan
dan merampas Taming Sari
Demikianlah yang diriwayatkan
Taming Sari membuat penentuan
siapa kecundang siapa terkorban
mematikan seorang pahlawan
lalu menghidupkan satu perdebatan
Manakala pertarungan Tuah dan Taming Sari dalam Rintihan Taming Sari:
Berkatalah Taming Sari
telah kudengar tentang kehandalanmu Tuah
kemungkinan aku akan mati ditanganmu
rajamu akan tersenyum riang
dan segala orang Melaka akan bersorak-sorak riang
ketika aku menggelupur kesakitan
Sesungguhnya perlawanan esok hari
bukan antara kita berdua
tetapi antara dua raja
kita yang bernama pahlawan
diturunkan ke tengah gelanggang
Kita yang bernama pahlawan
adalah haiwan pelagaan
peluh bersimbah terjelir lidah
akan terus berlawan
kerana nyawa kita
adalah barang permainan
………………………
Episod ini menjadi debat yang tidak berkesudahan. Siapakah yang harus dipersalahkan di dalam persoalan ini. Kedua-dua laksamana ini hanyalah menjalankan tugas dan perintah yang dibawa oleh sultan. Membawa nama atau sebagai duta negara negara-negara masing-masing, yang pastinya nyawa dan maruah menjadi pertaruhan.
Namun persoalan yang utama yang ingin disampaikan Zurinah bukanlah kerana ia telah membuktikan kehandalan Tuah tetapi kerana ia telah menunjukkan perangai orang ramai atau rakyat jelata yang digambarkan bersorak-sorak ketika Taming Sari menggelupur menghadapi maut. Ternyata mereka begitu terhibur melihat pertikaman dan sengketa malah telah menjadikan nyawa insan sebagai barang mainan. Sampai bilakah kita akan terus seronok dan terhibur melihat sengketa sesama bangsa. Disinilah Pendekatan Moral yang dimainkan dalam puisi-puisi ini.
Dalam puisi Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka:
Sepanjang hidup Jebat
mendengar Tuah berkata:
pantang Melayu menderhaka
Kata-kata itu diulang-ulang
pantang Melayu menderhaka
pantang Melayu menderhaka
………………………
Dengan marah yang menggelegak
Jebat mahu memberontak
tetapi dia tergaman
terbayang wajah Tuah
bersungguh –sungguh meminta
agar tidak menderhaka
kata-kata orang yang disayangi
memang selalu dikenang
akan tetap dipegang
jika Jebat menderhaka
akan tercemar persaudaraan mereka.
………………………
Sebaliknya apa yang berlaku dalam puisi ini menjadi kontra dalam teks Sejarah Melayu, Zurinah cuba mengingatkan tiada gunanya Jebat untuk menderhaka. Jebat bagi Zurinah merupakan laksamana yang memegang amanah dan tanggungjawab. Inilah yang dikatakan oleh Johari Alias(2001:104) sifat yang tidak amanah boleh menimbulkan kemarahan orang lain yang akan membawa persengketaan dan pertengkaran. Oleh itu, amanah akan menjamin kesejahteraan manusia kerana amanah merangkumi seluruh aspek kehidupan sosial.
4.1.4 Wanita/Permaisuri
Kepenyairan Zurinah tidak sesama sesekali melupai wanita dalam menterjemahkan puisi-puisinya. Bermula daripada golongan wanita biasa, Salasilah mengangkat wanita menjadi golongan atasan atau permaisuri, biar pun pada dasarnya mereka dimanipulasi dan tidak berada di tempat yang sewajarnya. Puisi Surat Teja ke Inderapura :
………………………
Semua ini terjadi kerana kesilapanku
akulah yang tersilp langkah
lari mengikut Tuah
aku yang digoda kata-kata
lari mengejar cinta
kusangka diri kekasih idaman
rupa-rupanya seorang tawanan
……………………..
sejak pinangannya yang pertama
tidak kami terima
Sultan telah sedia dendam
sedikit rasa tercalar
seluruh negeri bergegar
baiklah aku menyerah kepada Sultan Melaka
agar Inderapura tidak ditimpa petaka
Kesilapan langkah seorang wanita, akibat memburu cinta dan meninggalkan orang yang disayangi, akhirnya terpaksa berkorban untuk negerinya. Begitu juga dengan nasib yang dialami oleh Tun Kudu. Tun Kudu dijadikan alat oleh suaminya, yang terpaksa turun dari kerusi permaisuri untuk menjadi suami kepada Tun Ali. Adakah ini yang dikatakan pengorbanan. Zurinah memperjelaskan dalam Setelah Mengahwini Tun Ali:
………………………
Sehinggalah terjadi peristiwa itu
Tun Ali menyembah keinginan
dan Sultan pun berkenan
dengan sedikit rundingan
Tun Kudu bertukar tangan
dalam episod yang dipersoalkan
makna cinta dan pengorbanan
Tun Kudu mengerti
Muzaffar adalah raja dan suami
menimbang antara isteri dan negeri
dirinya disayangi
seperti pakaian penghias diri
tetapi cinta hanya perasaan
dan negeri adalah tanggungan
Peristiwa yang hampir sama berlaku dalam Tangisan Puteri Hang Li Po:
………………………
Apakan daya kita Li Po
kerana kita wanita
bernilai selagi diperguna
dan, ayahandamu Maharaja
tawa dan air matanya untuk negara
politik lebih penting daripada negara
kuasa lebih penting
daripada bahagia
………………………
Kecantikan yang dimiliki juga membawa padah dalam Episod Tun Fatimah:
Namun, bendahara yang bestari
Telah teraniaya
Fatimah menderita kerana jelita
Tertikam wajahnya sendiri
Dengan kaki berdarah
Fatimah melangkah
Melalui permaidani berkaca
Dan hamparan berduri
Menaiki singgahsana
Tun Fatimah yang jelita ditimpa bencana. Dia kehilangan ayah, suami, adik dan bapa mentua. Kesedihannya bukan alang kepalang. Namun dalam keadaan terpaksa beliau menjadi permaisuri. Puisi Perempuan Melaka Episod Terakhir mengungkaikan ceritera itu:
Akulah Fatimah
yang menyaksikan Melaka di penghujng hari
ketika langit dicalar senja dan negeri dicalar luka
………………………
perkahwinan bagi kami
bukan soal hati
kehidupan bagi kami
bukan soal peribadi
semuanya untuk negeri
kami tidak berjiwa
kerana jiwa kami hanya untuk Melaka
Ternyata para raja atau pembesar tidak menghayati ajaran Islam walaupun mereka menjadi pemimpin di sebuah negara Islam ketika itu. Mereka melayani wanita hanya mengikut nafsu, hadiah, alat untuk megukuhkan kedudukan politik atau dijadikan punca pelbagai fitnah. Kedudukan yang mulia itu seakan-akan dinafikan .
4.2 Golongan Yang Di Perintah
4.2.1 Rakyat
Mengikut Ismail Hamid(1988) menjelaskan bahawa raja dianggap oleh masyarakat Melayu sebagai payung negeri. Justeru itu, mereka menghormati dan mematuhi titah perintah raja. Dalam sejarah masyarakat Melayu tradisional, rakyat sanggup berkorban jiwa raga kepada raja maka demi mendaulatkan sempadan negeri daripada pencerobohan. Pantang sesekali menderhaka. Kata Zurinah dalam Demang Lebar Daun:
Kata Hang Tuah kepada Jebat
pantang Melayu menderhaka
menderhaka melanggar waadat
atau ikrar janji
yang ditandatangani
oleh Demang Lebar Daun
dengan Sang Sapurba
di Bukit Siguntang Mahameru
pada masa dahulu’
Oleh yang demikian, rakyat sebagai golongan terbanyak dalam sesebuah negara harus mematuhi raja yang menerajui kepimpinan negara, agar perjalanan pentadbiran negara berjalan lancar, justeru membawa kebaikan kepada golongan pemerintah dan rakyat jelata. Apatah lagi setelah satu perjanjian sosial telah dilakukan di antara rakyat dengan pemerintah. Kerjasama kedua-dua pihak perlu untuk mengukuhkan kedudukan sesebuah negara. Aboebakar Atjeh(1988:77) persaudaraan Islam atau ukhwah Islamiah mewajibkan umatnya mengutamakan kepentingan umum lebih tinggi nilainya daripada kepentingan peribadi. Sifat menghargai persaudaraan Islam akan memberi perlindungan menyeluruh, disamping mewujudkan perdamaian dan ketenteraman dalam masyarakat.
Namun begitu, apabila pemerintah/pemimpin mempergunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri mengakibatkan rakyat rasa terhina dan tidak mempunyai apa-apa hak dalam menentukan hala tuju untuk memajukan diri. Zurinah mencari kebenarannya dalam puisi Pak Kaduk di Gelanggang Raja:
………………………
Aku mendengar mereka mengutuk
Pak Kaduk memalukan bangsa
tidak sedar ditipu raja
Itu tidak benar
kerana aku terlalu sedar
tetapi apabila raja berkata:
“mari kita bertukar ayam”
itu bukan satu cadangan tapi satu perintah
bagaimana aku membantah
apakah hakku untuk tidak setuju
Rela atau terpaksa tentu tak ada beza
seribu ayam boleh mengalahkan ayam raja
tetapi rakyat tidak akan menang sampai bila-bila
………………………
Oleh itu, perasaan taat setia, cinta, ikhlas dan hubungan kerjasama antara raja/pemimpin dengan rakyat menjadi sebaliknya. Sebaliknya, sifat menentang terhadap kepimpinan negara akan melahirkan peribadi rakyat yang suka memberontak, khianat, atau tidak menghormati undang-undang, hingga akhirnya membawa negara ke kancah kehidupan yang tidak stabil dan huru-hara. Perhatikan puisi:
Pesan Si Luncai
………………………
Ceritakan asal usulku
budak desa miskin dan hina
mengambil upah menumbuk padi
menjual kayu api
untuk mencari sesuap nasi
ke mana pergi diejek
kerana rupa yang jelik
perut buncit punggong tonggek
……………………..
Kalau lahir sebagai rakyat
sudah takdir hidup melarat
segala kemewahan jangan dihajati
hanya untuk orang berdarjat
jangan jadi seperti Mat Jenin
berangan-angan tinggi
terjatuh pokok lalu mati
sememang di kampung kami
Pak Belalang dibiarkan malang
Pak Pandir dilarang berfikir
………………………
dengan seni bercerita
aku memperdayakan raja
hingga dapat merampas takhta
dan puisi Pesan Pak Kaduk:
………………..…….
Tuan Yang Berhormat
jangan meniru cerdik raja memangsakan rakyat
jangan ulangi bodoh hamba
tamakkan habuan yang cepat
termakan pujuk terbelit muslihat
kurang ilmu buta hakikat
tumpul akal tidak melihat
kalah orang kalah mendapat
Silap Pak Kaduk bertukar ayam
maka tergadai kampung halaman
silap tuan bertolak ansur
maka tercagar nasib keturunan
………………………
Si Luncai dan Pak Kaduk mewakili suara rakyat yang cukup tertindas dan terseksa. Raja/pemimpin tidak pernah memperdulikan nasib rakyat. Rakyat dibiarkan tanpa sebarang bantuan walaupun hidup penuh dengan kemiskinan. Malahan harta rakyat mahu dikikis dan dirampas. Si Luncai bangkit dari dilema itu dan menggunakan tipu helah untuk memperoleh hajatnya. Namun Pak Kaduk, kehilangan tanah dan ayam; harta dan warisan.
Zurinah terus memperlihatkan sikap rakyat atau masyarakat yang juga mementingkan diri sendiri yang mengetahui kebenaran tetapi tidak mahu mengubahnya. Mereka cukup seronok untuk menyaksikan sesuatu yang dianggap jenaka tetapi tidak kepada mangsa yang menimpa. Menangislah Anak Pak Pandir menghuraikan:
………………………
Aku menangis meraung-raung
meminta tolong
maka datanglah orang-orang kampung
mereka pun ternganga
melihat perbuatan bapa
………………………
Semakin kuat aku menjerit
semakin kuat mereka ketawa
ini adegan jenaka
semakin aku berteriak
semakin mereka galak
gelak yang rancak
gelak yang galak
Tak siapa menghulurkan tangan
menyelamatkan aku daripada kematian
lalu aku mati
sebagai mangsa kebodohan
lalu aku mati
kerana keseronokan bangsa
mentertawakan kesilapan
tetapi tidak bertindak
untuk membetulkan kesilapan
Inilah yang dikatakan oleh Hashim Awang dalam pencirian Pendekatan Moral yang disingkap daripada pengalaman-pengalaman lalu untuk dijadikan pengiktibaran untuk manusia sejagat.
5. KESIMPULAN
Teori Pengkaedahan Melayu yang dibina oleh Hashim Awang, diharap dapat memberi sumbangan baru dalam memantapkan Kesusasteraan Melayu. Teori yang memperlihatkan sifat keistimewaan dan mempunyai jati diri Melayu yang dimiliki khususnya dalam era globalisasi yang amat mencabar ini adalah dari kesedaran dan kekreatifan bangsa Melayu terhadap kepentingan sastera sebagai alat yang membentuk jiwa, moral dan kemajuan bangsa serta masyarakatnya. Mengikut Samsina Abd Rahman dalam Pengkaedahan Melayu: Konsep dan Aplikasi dalam Genre Puisi, para pengkaji sastera dapat melihat falsafah pemikiran, kebijaksaaan, daya kreativiti dan lain-lain estetika yang terserlah sama ada secara tersurat mahu pun tersirat dalam teks-teks sastera yang dihasilkan khususnya puisi Melayu.
Melalui Pendekatan Moral yang dikaji menerusi Kumpulan Puisi Zurinah Hassan terdapat moral yang sarat tersirat dalam setiap puisi-puisi yang dihasilkan. Ia dapat memberi kemanfaatanya yang lebih jauh dan besar daripada fungsinya sebagai suatu alat, iaitu kemanfaat yang berkaitan dengan kebatinan dan keperibadian manusia. Puisi-puisinya menyingkap dan menyatakan pengalaman yang boleh diambil bentuk-bentuk peristiwa yang dilalui oleh manusia melalui sistem pemerintahan dan juga segala maklumat yang berkaitan dengan mereka serta suasana persekitaran dalam Salasilah. Puisi-puisi dalam Salasilah juga dilihat sebagai perakam peristiwa, perbuatan dan perilaku manusia. Semua yang terakam ini dapat ditinjau sebagai pengibaratan atau pengiktibaran kepada pembaca dan pengguna sastera dan juga sebagai sumber maklumat dan ilmu pengetahuan.

0 comments:

Post a Comment