Home » » DUHAI MELAYU, JANGAN LEKA MENONTON SENGKETA

DUHAI MELAYU, JANGAN LEKA MENONTON SENGKETA

Perhimpunan UMNO datang lagi. Dewan Merdeka akan menyaksikan perebutan untuk mendapat posisi tinggi di dalam parti. Itulah yang terjadi pada setiap kali pemilihan. Demikianlah kehidupan kita sebagai orang Melayu. Di sana sini kita berebutan sesama sendiri.

Kita pun leka menyaksikan perbalahan seperti seronoknya orang-orang Melaka ketika Hang Tuah membunuh Taming Sari di Majapahit atau ketika Hang Tuah membunuh Hang Jebat di Melaka.

Adakah kita manusia yang tidak berperasaan? Adakah patut kita bersorak riang ketika seorang manusia bernama Taming Sari menggelupur kesakitan menghadapi kematian?

Apakah kita sudah terlalu leka menonton sengketa?

Persoalan inilah yang menyebabkan saya menulis sajak di bawah. Keduanya termuat di dalam antologi Salasilah terbitan dbp 2005

1. RINTIHAH TAMING SARI

Mengikut cerita yang sering diceritakan
Hang Tuah, pahlawan Melaka yang handal itu
telah mengalahkan Taming Sari pahlawan Majapahit
yang tidak pernah dikalahkan
selama ini.

Tetapi mengikut cerita yang tidak pernah diceritakan
pada malam sebelum perlawanan
Hang Tuah dan Taming Sari
telah berjumpa secara rahsia.

Maka bertangis-tangisanlah mereka
apalah malangnya kita berdua
diperintahkan bermain senjata
sedang kita tidak pernah berjumpa
apalagi bersengketa.

Berkatalah Taming Sari
Telah ku dengar tentang kehandalanmu, Tuah
kemungkinan aku akan mati di tanganmu
rajamu tersenyum girang
dan segala orang Melaka akan bersorak-sorak riang
ketika aku menggelupur kesakitan.

Sesungguhnya perlawanan esok hari
bukan antara kita berdua
tetapi antara dua orang raja
kita yang bernama pahlawan
diturunkan ke tengah gelanggang.

Kita yang bernama pahlawan
adalah haiwan perlagaan
peluh bersimbah terjelir lidah
dan terus berlawan
kerana nyawa kita
adalah barang permainan.

Yang kusedihkan
sejarah tidak menyesali pertikaman ini
dan, segala rakyat jelata
terus suka dan leka
menonton sengketa.

Sesungguhnya perlawanan esok hari
akan berulang lagi
selagi segala rakyat Melayu
tidak sedar-sedarkan diri.


2- APOLOGIA KEPADA TAMING SARI

Maafkan kami Taming Sari
mereka telah memperkenalkanmu
sebagai si garang, si hodoh dan si bodoh
yang pada suatu hari
semasa Hang Tuah di Majapahit
telah mencabar kepahlawanannya
dan kami diajar
berasa puas hati
dengan kekalahanmu
malah bertepuk tangan
ketika kau terkorban.

Maafkan kami Taming Sari
kerana menjadikan sengketa
sebagai suatu pesta
dan kematian satu keseronokan
dan kami tidak pernah menyedari
bahawa itu adalah satu tragedi
tragedi sastera yang tidak mengajar manusia
menghargai manusia.

Maafkan kami Taming Sari
kami telah meraikan satu pembunuhan
sesungguhnya episod itu
adalah tragedi kemanusiaan

0 comments:

Post a Comment