ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, March 28, 2009

Cerita rakyat terutama cerita-cerita jenaka Melayu mengandungi sindiran yang sangat tajam. Cerita-cerita ini juga memberi idea yang membenihkan karya-karya saya. Setakat ini saya telah menulis puisi (dan satu dua cerpen) dari pemikiran yang tercetus drpd kisah-kisah ini.


Kita semua tahu kisah Pak Pandir. Pak Pandir dikatakan manusia yang paling bodoh di dunia ini. Sudah sekian lama kita mentertawakan kebodohannya.

Ah, bodohnya Pak Pandir. Pada suatu hari mereka hendak membuat kenduri doa selamat. Isterinya Mak Andeh menyuruhnya menjemput Pak Lebai untuk membaca doa. Maklumlah Pak Lebai orang alim, warak,doanya cepat dimakbulkan oleh Allah SWT. Pak Lebai akan membawa keberkatan kepada kenduri dan kehidupan mereka.

Pak Pandir tidak kenal yang mana satu pak lebai. Mak Andeh memberi panduan yang pak lebai itu berjanggut. Pak Pandir terjumpa seekor kambing. Kambing juga berjanggut lalu Pak Pandir menyangka kambing itulah pak lebai.

Inilah kebodohan tahap maksima. Sampaikan tidak tahu membezakan orang
warak dengan kambing. Tetapi itulah saja yang diberitahu kepada Pak Pandir.
Dia berpegang kepada gambaran fizikal semata-mata.

Pendekkata yang berjanggut itu mestilah alim atau warak.
Alim dan warak itu terletak pada janggutnya.

Sudah lama kita ketawa akan kebodohan ini.
Saya juga ketawa Kemudian terfikir: Begitulah jadinya jika sifat warak dan alim itu diukur dari gambaran fizikal iaitu janggutnya semata-mata.

Pada zaman ini berapa ramai lagikah yang terkeliru dengan gambaran fizikal? Kita juga mudah terpedaya dengan cara dan gaya. Setiap hari menonton bermacam-macam iklan tidak tahu yang mana satu produk yang baik dan diperlukan.

Setiap hari mendengar pemimpin berpidato dan membaca akhbar. Sukar hendak menentukan yang mana benar yang mana palsu, yang mana jujur yang mana penipu.

Maka tidak berbezalah kita dengan Pak Pandir.

Bila terfikir begini, saya pun menulis sajak yang berjudul "Jangan Risau Pak Pandir". Sajak ini dimuatkan di dalam antologi Salasilah
(dbp.2005 hlm 101).


Jangan Risau Pak Pandir

Jangan risau Pak Pandir
kebodohan bukan hanya milikmu
ia sebenarnya sering berlaku.

Seperti pada hari itu
Mak Andeh menyuruhmu
Menjemput Pak Lebai
mencari alim yang pandai
untuk berdoa mintakan berkat
pada kenduri doa selamat
kau yang dungu
membawa pulang seekor kambing
kerana ia berjanggut di dagu
seperti gambaran isterimu.

Ah, Pak Pandir jangan tak tahu
kesilapan seperti itu
memang mudah berlaku
seumpamanya kami tak arif membezakan
yang tulen dengan yang palsu
yang warak dengan yang tamak
kerana ramai yang pandai menyamar
di sebalik pakaian dan ucapan
mentafsir ayat suci
mengikut agenda peribadi.

Kami pun mudah terpedaya
dalam seni retorika
kreativiti pengiklan
dan putar belit media
yang membingungkan dunia.

Kau tidak keseorangan
sesiapun mudah menjadi keliru
sepertimu.

-----------------------------------------------------
Ingat kah anda kepada satu lagi episod dari kisah Pak Pandir ini?
Satu hari dia pergi ke sungai hendak mengail ikan. Dia menangkap
seekor rusa dan dijadikan umpan. Bukankah bodoh namanya kerana
lebih baik dia bawa pulang rusa itu untuk dimasak. Sudah tentu
mereka boleh makan berhari-hari.

Di dalam hal ini apakah Pak Pandir sahaja yang bodoh?Jangan ketawa
padanya kerana kadang-kadang kita sendiri pun tidak menyedari
bahawa kita telah mengorbankan sesuatu yang lebih berharga demi
mengejar apa yang kononnya dipanggil kemajuan.

Pemikiran ini menghasilkan sajak
"Modal Pak Pandir", (Salasilah hlm. 100)

Modal Pak Pandir

Jangan risau Pak Pandir
kebodohan bukan hanya milikmu
ia sebenarnya sering berlaku.

Seperti pada hari itu
Mak Andeh menyuruhmu mencari makan
pergilah ke sungai memancing ikan
tangkap belalang jadikan umpan.

Kau yang keliru
berjumpa rusa tanduk bercabang
menyangkanya seekor belalang
mengheretnya ke sungai
tanpa menyedari
rusa itu sebesar-besar rezeki
dan kau telah membuang
sebaik-baik peluang.

Ya, Pak Pandir
kau tentu tak menyangka
kami pun begitu juga
tak pasti mana yang lebih besar
antara harga yang dibayar
dengan untung yang dikejar.

Mengharap seuncang untung
terbuang modal sekarung
seperti rusa yang terbuang ke sungai
yang terkorban mungkin lebih bernilai
daripada matlamat yang dicapai.

Saya juga mengambil iktibar daripada kisah Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin. Kalau sudi bacalah dalam Salasilah. Insya Allah saya akan perkatakan tentang sajak-sajak ini dalam entry yang akan datang.

Thursday, March 26, 2009


Gambar ini sudah sekian lama berada di dalam 'file attachment'. Elok juga saya simpan atau selamatkan di sini. Jejaka di sebelah itu ialah Kun Reewat penerima dari Thailand. Yang berbaju biru itu seorang profesor orang kuat dari komiti penganjuran anugerah.Gambar ini diambil pada malam penyampaian anugerah yang dibuat secara gilang gemilang di hotel Equatorial.

Di sebelah saya ialah pegawai Dbp Brunei (memakai kot hitam. Di tengah berbaju Melayu putih ialah penerima dari Indonesia diikuti Haji Jawawi (penerima Brunei) dan isteri, dan Khatijah pegawai drpd Dewan Bahasa.

Berikut ialah ucapan penerimaan saya.

Anugerah SEA Write in amat bermakna untuk saya dan juga kepada kawan-kawan penulis di Malaysia. Saya amat bersyukur kepada Tuhan yang Maha Kuasa kerana telah mengurniakan hambanya dengan penghormatan yang amat tinggi. Sesungguhnya saya amat berterima kasih kepada kerajaan Thailand dan juga semua dan setiap individu yang bertanggungjawab dan berperanan menghantar saya ke majlis yang sungguh gilang gemilang ini.

Izinkan saya menyebut sekali lagi bahawa SEA WRITE award telah menjadi cita-cita dan idaman para penulis di Negara saya dan tentunya di Negara-negara jiran yang lain. Setiap

tibanya tahun baru kaum penulis akan tertanya-tanya siapakah ‘pemenang’ atau penerimanya . Sebelum mendengar pengumuman rasmi, akan muncullah kabar-kabar angin dan berlakulah spekulasi di sana sini.

Para penulis bersetuju bahawa dengan mengwujudkan anugerah berprestij ini, kerajaan Thailand telah membuat sumbangan yang sangat besar terhadap perkembangan kesusasteraan dan penulisan terutama di Negara-negara ASEAN. Dan sekali lagi saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan Thailand yang telah menganjurkan anugerah ini. Ini adalah sinar dan harapan untuk terus berjuang di dalam bidang yang kami cintai. Untuk kami anugerah ini adalah suatu kejayaan. Ia sungguh bermakna apatah lagi ketika orang-orang lain mengukur kejayaan hanya melalui perolehan material semata-mata.

Memang tidak mudah untuk terus setia kepada sastera ketika semua orang sibuk mencari keuntungan material. Kedai-kedai buku dilambakkan dan dihiasi dengan novel-novel popular dan majalah-majalah hiburan. Sasterawan tidak dipandang oleh masyarakat yang lebih rela membuang masa dan wang ringgit untuk bahan-bahan hiburan. Stesen-stesen Television sibuk mengajar dan mengasuh anak-anak muda yang bercita-cita menjadi bintang ternama. Namun anugerah ini memberikan kami suatu sinar dan harapan. Ia mengingatkan bahawa penulis tetap tidak dilupai dan masih ada tempatnya di dalam dunia yang kalut ini.

Sesungguhnya saya tidak membenci atau mencemburui para penyanyi hanya kerana mereka lebih mudah menjadi kaya dari penulis atau kerana mereka lebih dikenali dari sasterawan. Saya hanya berharap agar lagu-lagu yang dinyanyikan mengandungi mesej yang baik dan bermakna dan dapat meninggikan pemikiran masyarakat. Kebanyakan Puisi Melayu tradisional juga disebarkan melalui nyanyian. Contohnya syair dan nazam yang mempunyai melodi yang indah yang semakin jarang didengari pada hari ini. Sejenis puisi Melayu iaitu pantun terus hidup subur dan masih popular pada hari ini kerana dijadikan senikata lagu dan dinyanyikan di dalam lagu-lagu popular. Saya juga mula tertarik kepada puisi bila sering mendengar syair di masa kecil. Dengan ini izinkan saya mengakhiri ucapan ini dengan membaca serangkap syair.


Bukannya muda menyusun madah

Menjunjung kasih menerima anugerah

Di Majlis gemilang sangatlah indah

Pohon ampunkan silap dan salah

Monday, March 23, 2009

Inilah yang saya maksudkan dengan cerita Pak Pandir. Semua orang ketawa melihat kebodohannya tetapi tidak siapa menghulurkan bantuan kepada anaknya yang sedang kepanasan.

Untuk itu saya menulis sajak menangislah anak pak pandir yang dimuatkan dlm antologi salasilah (terbitan dewan bahasa 2005). Pernah saya deklamasikan dlm perasmian satu simposium mengenai pemikiran Melayu yang dirasmikan oleh Raja Nazrin, di Ipoh Perak.

Tak begitu pasti apa namanya simposium tersebut. Dewan Bahasa pun terlibat sbg penganjur bersama Kerajaan Perak.Sudah beberapa tahun yang lepas. Insya Allah saya akan semak balik dan berikan nama dan tarikh yang tepat.


Semakin kuat aku menjerit
semakin kuat mereka ketawa
ini adegan jenaka
semakin mereka tergelak
gelak yang rancak
gelak yang galak

Tak siapa menghulurkan tangan
menyelamatkan aku daripada kematian
lalu aku mati
sebagai mangsa
kebodohan
lalu aku mati
kerana keseronokan bangsa
mentertawakan kesilapan
tetapi tidak bertindak
untuk membetulkan kesilapan

Itulah dua rangkap akhir sajakku yang memperkatakan perkara tersebut.

menangislah anak pak pandir- antologi salasilah (dbp. 2005hlm 82-83.)

Sunday, March 22, 2009

Saya selalu memikirkan

1- KALAU BENAR PADI MENJADI EMAS DI BUKIT SIGUNTANG
SIAPAKAH YANG TELAH MENUAI EMAS ITU?

Kerana daulat anak-anak raja
padi pun berbuah emas
tetapi siapakah yang telah menuainya
kita tidak tahu sebab pada masa itu (hingga sekarang ini)
kita sibuk mengadakan upacara demi upacara demi upacara untuk menobatkan raja
dan kita sibuk menyusun jari sepuluh, menyusun ayat-ayat yang
indah untuk menyatakan taat setia seorang hamba.

Pendek kata, kita sibuk hendak menjadi hamba
hingga kita lupa hendak menjadi kaya.

Tidakkah anda fikirkan juga?

2. Kalau Hang Jebat tidak menderhaka
Hang Tuah tidak akan dipanggil pulang ke Melaka
mungkinkah kita telah lupa pada Hang Tuah hari ini?


3. Tidak kejamkah kita bersorak riang sewaktu Hang Tuah membunuh Taming
Sari? Mengapa kita seronok melihat mereka berdua bertikam? Bukankah lebih
baik kalau Hang Tuah dan Taming Sari bekerjasama untuk menjaga rakyat
Nusantara.


4. Ketika Pak Pandir memandikan anaknya dengan air panas kita ketawa
terbahak-bahak. Kita asyik mengutuk kebodohan Pak Pandir hingga kita lupa
menyelamatkan anaknya yang mati kepanasan.

Memang kita bangsa yang cepat tergelak
tetapi lambat bertindak.

WAHAI ANAK-ANAK MELAYU, JAWABLAH
Gambar ini diambil di Dewan INTEKMA, UiTM, Shah Alam . Cucuku Ilham Rania bersedia untuk naik ke pentas mengambil 'ijazah'nya yang pertama. Jalan baik-baik Rania. Tok doakan Rania akan menaiki pentas untuk konvo-konvo seterusnya.

Saturday, March 21, 2009

Kerana daulat raja
padi pun berbuah emas
tetapi siapakah yang telah menuainya?

Saya berpendapat bahawa bangsa Melayu telah diberikan banyak peluang Kita amat kaya dengan peluang. Kita berpeluang memiliki sejarah yang gemilang. Kita berpeluang menjadi tuan di tanah air sendiri. Kita dilimpahkan dengan peluang di dalam DEB. Kita diberi peluang menikmati insentif dan subsidi. Tetapi di mana silapnya?

Dan saya pun pernah bergurindam di sana sini

Orang kita banyak peluang
Di tanah air yang kaya raya
Sedang kita kaya peluang,
Orang lain berpeluang kaya

Sejak zaman Melaka kita telah memiliki empayar besar termasyhur di dunia. Cuba bayangkan jika raja-raja kita menggunakan segala kuasa untuk melindungi bangsa, tentu kita akan menjadi bangsa terkuat di dunia.

Memang tidak akan habis-habis jika hendak bercakap tentang raja dan kerajaan Melayu.Almaklumlah kisahnya sangat panjang, plotnya sangat tegang, khayalannya merewang-rewang, sejak dari zaman Bukit Siguntang hingga ke zaman sekarang.

Semasa tiga orang putera Raja Suran sampai di Bukit Siguntang, konon ceritanya, habislah padi menjadi emas, berelung-relung banyaknya. Rakyat jelata pun terkejut dan merasa kagum yang amat sangat melihat putera bertiga itu. Maka sibuklah rakyat jelata membuat persiapan untuk mengangkat mereka menjadi raja dan yang dipertuan bagi segala orang Melayu.

Sayang seribu kali sayang, ketika rakyat Melayu sibuk bersiap-siap untuk menjadi hamba yang taat setia, mereka lupa untuk mengambil emas yang berkilau-kilauan di depan mata.

Insya Allah, Raja-Raja Melayu akan kekal di atas takhta. Tetapi nasib bangsa Melayu belum tentu akan terbela. Hal-hal ini mengganggu fikiran lalu saya sajakkan:


Hingga kini kita tak perlu bimbang
kekalnya raja yang dirajakan
di atas Bukit Siguntang
namun kita lupa
segala emas, perak dan suasa
siapakah yang menuainya
ketika kita sibuk berupacara.

Saya perturunkan sajak Kilauan Emas Bukit Siguntang, Salasilah hlm. 13-15.


Kilauan Emas Bukit Siguntang

Maka nenek pun bercerita lagi
entah untuk ke berapa kali
agar cucu ingatkan asal
adat pokok ada berakar
adat hujung ada berpangkal.

Asal mula pertama mula
kita ini orang berbangsa
negeri bergelar negeri beraja
raja berdaulat mulia keturunan
pancar daripada Iskandar Dzulkarnain
penakluk seluruh daratan
datang kepada Raja Suran
yang turun ke dasar lautan
menemui Puteri Mahtabul Bahri
lalu berkahwin dan berketurunan.

Sehinggalah pada malam itu
tiga bersaudara putera Raja Suran
naik ke bumi bagai dipesan
sampai ke tanah Palembang
di atas Bukit Siguntang
tanah huma luas terbentang
tiba-tiba menjadi terang benderang.

Pemilik huma, Wan Malini dan Wan Empok
ketakutan melihat dari pondok
tidak pernah kita memandang
cahaya sebegini terang
jin atau pari-parikah yang bertandang
atau naga Sakti yang menyerang.

Esok pagi terjaga
Mereka turun ke tanah huma
terkejut tidak percaya
melihat bumi memancarkan cahaya
padi sudah menjadi emas
daunnya bertukar perak
tangkainya beralih suasa.

Ditemui putera tiga bersaudara
anak-anak Raja Suran
yang elok tiada bandingan
lengkap berpakaian kebesaran
lengkap bermahkota berkilauan
mahkota bukan sebarang mahkota
diambil dari peti Nabi Sulaiman
padi berbuah emas
berdaun perak
bertangkai suasa
kerana kebesaran mereka.

Nenek beralih simpuh bersedia meneruskan cerita
malam diserang jemu
nenek diserang cucu
berkali-kali sudah kami dihidangkan cerita
anak raja itu pun dirajakan di dunia
sibuklah segala rakyat jelata
menyediakan istiadat pertabalan
berpesta dan beraya.

Nila Utama menjadi Sang Sapurba
berwaadat dan berteguh janji dengan
Demang Lebar Daun
dan kita pun menjadi rakyat setia
bertahun-tahun berkurun-kurun.
Tetapi nenek tidak pernah menyebut
apa terjadi dengan segala emas
segala perak
dan segala suasa
yang dikatakan memancar menyala-nyala
di tanah huma saujana huma
siapakah yang menuainya
bagaimana is dipergunakan
dengan emas itu sewajarnya
kita telah menjadi bangsa terkaya.

Hingga kini kita tak perlu bimbang
kekalnya raja yang dirajakan
di atas Bukit Siguntang
namun kita lupa
segala emas, perak dan suasa
siapakah yang menuainya
ketika kita sibuk berupacara.

Thursday, March 19, 2009

KALAU JEBAT TIDAK MENDERHAKA
ADAKAH KITA AKAN INGAT KEPADA HANG TUAH HARI INI?

Kongres Kebudayaan Melayu ke 2 telah diadakan pada 16 dan 17 Mach di Wisma Sejarah Kuala Lumpur.

Antara yang hangat diperbincangkan di situ sudah tentulah tentang nasib Melayu, survival bangsa Melayu dan pentingnya mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu.

Prof Abdullah Zakaria meriwayatkan dengan panjang lebar kisah kewujudan raja dan sultan-sultan di Tanah Melayu. Dewan semakin panas bila beliau menceritakan bagaimana berkuasanya British di dalam menentu dan mencorakkan hal-hal raja dan kerajaan ini.

Saya terfikir apakah segala yang diriwayatkan oleh Abdullah Zakaria kepada peserta kongres itu telah pernah diceritakan kepada semua raja-raja Melayu agar baginda-baginda itu sedar dan insaf untuk menjaga diri jika tidak sejarah akan berulang lagi?Ya, memang kita mahu mempertahankan ketuanan Melayu. RAJA dan takhta adalah lambang ketuanan Melayu. Saya pun teringat kepada sajak saya Korban Hang Tuah yang diperkatakan oleh Raja Nazrin, Pak Lah dan Hishamuddin.

Dan saya terfikir, alangkah bertuahnya bangsa Melayu jika raja dan pemimpin yang berkuasa telah telah menaungi dan membela kita. Saya percaya dengan kekuatan raja-raja dan keikhlasan pemerintah hari ini kita telah menjadi bangsa yang kuat di dunia.

Tetapi mengapa kita tidak menjadi bangsa yang kuat? Setiap hari kita bercakap tentang martabat Melayu yang semakin terhakis.

Maka bangunlah rakyat yang berani menyoal. Maka berderetanlah penulis-penulis blog yang berani bersuara.

Antaranya menyebut "Kami setuju tanpa ragu-ragu I bahawa kedudukan, martabat dan maruah orang Melayu kini kian terancam. Rakyat Melayu marhaen berada dalam posisi yang membimbangkan kerana semakin tertindas dan terpinggir dari segi ekonomi dan politik.

Namun, soalnya, siapa yang menindas dan meminggirkan umat Melayu?

Orang Cina? Kaum-kaum 'pendatang' lain yang sudah terlalu lama menjadi setinggan di Tanah Melayu?

Parti Cinakah yang memimpin Malaysia semenjak Merdeka lima puluh tahun lalu sehingga sekarang?

Apakah orang 'pendatang' yang menjawat jawatan tertinggi dari hari pertama Malaysia merdeka?

Kesusahan yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang sebenarnya kesusahan yang dihadapi setiap rakyat Malaysia pada saat gentar ini - ekonomi negara yang meleset, harga barang yang melambung, ketidakpedulian kerajaan dan pihak-pihak berkuasa terhadap cabaran yang dihadapi mereka setiap hari.

Kata banyak orang: Punca masalah-masalah ini adalah pemimpin-pemimpin yang sanggup menggadai maruah rakyat dan bangsa untuk memperkayakan diri sendiri.

Hang Tuah dan ketuanan Melayu.
Ya, memang kita akui bahawa RAJA dan takhta adalah lambang ketuanan Melayu. Hang Jebat telah menderhaka lalu dia dikutuk.

Namun ada soal-soal lain yang perlu kita fikirkan.
- Apa akan terjadi kalau Jebat tidak menderhaka? Maksud saya, apa akan jadi kepada Hang Tuah jika Jebat patuh kepada amanatnya untuk setia kepada Sultan?

Kata saya kalau Hang Jebat tidak menderhaka sudah tentu Tuah tidak akan dipanggil balik ke Melaka. Hang Jebat dan penderhakaannyalah yang menyebabkan Sultan dan orang-orang Melaka ingat kembali kepada Hang Tuah. Jika tidak Hang Tuah akan berterus-terusan duduk di dalam hutan sehingga dia mati dan dilupakan. Jika Hang Jebat tidak menderhaka kita tidak akan ingat kepada Hang Tuah sepertimana kita mengingatinya pada hari ini.

Hal ini telah saya kemukakan di dalam sajak JEBAT YANG TIDAK JADI MENDERHAKA yang dimuatkan di dalam antologi Salasilah (DBP 2005, hlm 36-37).



Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka

Sepanjang hidupnya
Jebat mendengar Tuah berkata:
pantang Melayu menderhaka.

Kata-kata itu diulang-ulang
pantang Melayu menderhaka
pantang Melayu menderhaka.

Tuah mengajar mereka menghafalnya
Tuah meminta mereka berjanji
untuk mentaati.

Sehinggalah pada hari itu
Tuah dihukum tanpa usul periksa
Tuah yang setia dituduh menderhaka
Tuah yang dikasihi dihukum mati
siapakah yang dapat berdiam diri.

Dengan marah yang menggelegak
Jebat mahu memberontak
tetapi dia tergamam
terbayang wajah Tuah
bersungguh-sungguh meminta
agar tidak menderhaka
kata-kata orang yang disayangi
memang selalu dikenang
amanat orang yang disayangi
akan tetap dipegang
jika Jebat menderhaka
akan tercemar persaudaraan mereka.

Kerana kasihnya kepada Tuah
Jebat tidak jadi membantah
dia pun tunduk
menerima segala tugas can anugerah
yang telah dilucutkan daripada Tuah.

Tidak ada apa-apa
yang berlaku di Melaka
kerana Jebat tidak jadi menderhaka
tidak ada apa-apa yang mengganggu
ketika raja lena beradu
didodoi dayang diulit lagu.

Kerana Jebat tidak menderhaka
Tuah tidak dijemput pulang ke Melaka
Hiduplah dia di hutan
sehingga mati dan dilupakan.

Saturday, March 14, 2009

RAJA NAZRIN MEMETIK KORBAN HANG TUAH

Khamis, 12 Mach 2009, Utusan Malaysia menyiarkan sepenuhnya titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah ketika melancarkan buku THE MALAYS di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 10 Mach 2009.

Utusan Malaysia antara lain menyebut Raja Nazrin telah bertitah bahawa takrif bangsa Melayu telah diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Itulah resipi kekuatan Melayu.

Titah baginda itu dikatakan sarat dengan nasihat yang sangat relevan dengan perkembangan terkini yang menyangkut survival dan masa depan bangsa Melayu. Antara aspek yang disentuh oleh Raja Nazrin ialah institusi Raja-raja Melayu bukan sahaja merupakan satu warisan tetapi juga telah bertindak seumpama simen kepada kekuatan bangsa Melayu selama ini.

Sudah tentu ucapan tersebut penting kepada saya secara peribadi. Ini ialah kerana Raja Nazrin telah memetik sajak saya KORBAN HANG TUAH. Katanya, “Dalam puisi Korban Hang Tuah penyair Zurinah Hassan cuba menyelami gelombang serba salah yang menghempas dada Hang Tuah ketika terpaksa membuat perhitungan untuk memilih antara kesetian kepad raja dan kesetian kepada Hang Jebat. Hang Tuah akhirnya terpaksa memilih mengorbankan sahabat kesayangannya walaupun akan dituduh mengamalkan kesetian melulu. Zurinah Hassan menghuraikan bahawa Hang Tuah tidak sekadar membunuh Hang Jebat tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa.

Dengan titah ucapan ini, sudah tiga kali sajak Korban Hang Tuah dirujuk oleh orang-orang penting negara, di hadapan khalayak yang ramai.Yang pertama ialah ucapan Hishamuddin Tun Hussein sewaktu merasmikan persidangan Pemuda UMNO pada bulan Jun 1999. Akhbar-akhbar tempatan pada 18 Jun 1999 menyiarkan ucapan tersebut. Pembacaan sajak itu telah mendapat focus di kebanyakan media. Di antara lain, Utusan Malaysia memberikan tajuk “Air Mata Hishamuddin” “Hishamuddin guna kiasan puisi” menjadi tajuk Harian Metro yang menurunkan sepenuhnya sajak berkenaan. .

Pada 18 Jun 2003, Datuk Seri Abdullah Badawi meminjam sajak ini untuk Perhimpunan Agung UMNO Beliau menyebut, “ Sasterawan Zurinah Hassan secara tepat dalam puisinya mengungkapkan bahawa yang ditentang oleh si Tuah bukannya Jebat, tetapi penderhakaan dan perebutan kuasa. Yang dipertahankan oleh si Tuah bukannya Raja tetapi sebuah kerajaan. Kerana tanpa kerajaan tidak akan wujud sebuah negara. Tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa. Episod yang berlaku menghilangkan keramat keris Taming Sari. Taming Sari, lambing kekuasaan digunakan untuk bertarung sesame sendiri. Hang Tuah juga tidak berupaya mempertahankan kejatuhan Melaka.

Seingat saya, saya terlintas untuk menulis sajak ini pada suatu hari, ketika sedang menyapu di dapur. Sambil mengemas rumah saya melayani pelbagai persoalan tentang nasib orang-orang Melayu. Dapatkah Melayu bertahan di dalam asakan kaum-kaum lain yang semakin gagah terutama di dalam bidang ekonomi. Dapatkah kerajaan melayani dan menangani tuntutan demi tuntutan yang disuarakan dengan berani? Maka teringatlah saya bagaimana jika Hang Tuah tidak membunuh Hang Jebat? Bagaimana kalau pemberontakan Hang Jebat berjaya menghalau raja dari singgahsana?. Bagaimana kalau Melayu sudah tidak beraja lagi?. Sudah tentu pada fikiran Hang Tuah, “yang penting bukan seorang raja pada hari ini, tetapi bangsaku pada hari esok”. Hang Tuah menyelamatkan raja kerana yakin bahawa raja adalah kekuatan bangsa. Memang benar pendapat itu.



TETAPI SOALNYA APAKAH RAJA-RAJA MELAYU TELAH MENJALANKAN PERANAN mereka sebagai payung negara dan payung tempat rakyat berlindung. Persoalan ini juga telah saya kemukakan di dalam sajak-sajak yang lain. Antaranya ialah sajak “Dilema Seorang Melayu”


Korban Hang Tuah pertama kali tersiar di akhbar Mingguan Malaysia dan memenangi hadiah saguhati , Hadiah Sastera Utusan Public Bank. (nanti saya cari tarikh sebenar). Korban Hang Tuah dan Dilema Seorang Melayu dimuatkan di dalam antologi PUJANGGA TIDAK BERNAMA, Dewan Bahasa dan Pustaka 1994.Antologi ini menang hadiah kategori buku untuk Hadiah Sastera Perdana tahun tersebut.

Hadiah telah disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa itu TPM. Wan Azizah sempat memberitahu saya yang dia sangat sukakan sajak “Dilema Seorang Melayu”. Sedikit petikan di bawah ini:

Alangkah sukarnya membuat keputusan
Untuk setia kepada raja yang zalim
Dan menzalimi kawan yang setia
Bukan mudah untuk membuat pertimbangan
Di antara membantah seorang tuan
Dan pentingnya mempertahankan ketuanan
Melawan kerenah seorang raja
Dan memelihara sebuah kerajaan.

”(Pujangga Tidak Bernama hlm.3)

Insya Allah akan saya huraikan kelak.

Thursday, March 12, 2009

INI ADALAH TULISAN seorang yang bernama Aidil Fadzil dari UKM tentang kumpulan puisi saya SALASILAH. . Saya copy daripada blognya. Saya panjangkan di sini. Semoga memberi manfaat kepada sesiapa yang berkenaan.

KUMPULAN PUISI SALASILAH OLEH ZURINAH HASSAN

Kajian akan dilakukan ke atas Kumpulan Puisi Salasilah oleh Zurinah Hassan, yang diterbitkan pada 2005 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Jumlah puisi yang terdapat didalamnya mengandungi 100 buah puisi yang dibahagikan kepada:
Bahagian 1: Mukadimah Selat Melaka(39 buah puisi)
Bahagian 2: Bergurau Senda(17 buah puisi)
Bahagian 3: Tun Sri Lanang Kedua( 42 buah puisi)
Secara umumnya, puisi-puisi dalam kumpulan ini berupa catatan rasa dan pancaran minda seorang penyair wanita tersohor tanah air, Zurinah Hassan yang berasa terharu terhadap segala peristiwa yang menimpa bangsa Melayu dari zaman dahulu sehingga sekarang. Bersumberkan teks Sejarah Melayu, pelbagai cerita rakyat, cerita jenaka, kisah lagenda, hikayat, buku sejarah, akhbar dan majalah, Zurinah cuba mengutip mutiara makna daripada keindahan bahasa daripada para pujangga Melayu, lalu dicernakan ke dalam puisi-puisi yang cukup mengusik perasaan.
Puisi-puisi ini berfokus dengan tema khusus , iaitu tentang perjuangan dan pemikiran bangsa Melayu zaman dahulu, yang telah diberi pentafsiran baru sesuai dengan perkembangan dunia moden. Bagi Zurinah sejarah bukan sekadar kenangan, tetapi ia boleh menjadi iktibar dan teladan. Ini sesuai dengan kata-kata Dr. Abdul Rahman Napiah, iaitu “Menyusur masa lalu untuk menyisir makna baharu”.
Pengkajian akan dilakukan menerusi citra manusia dalam kumpulan puisi Salasilah melalui Teori Pengkaedahan Melayu dengan menggunakan Pendekatan Moral.
4. CITRA MANUSIA DALAM KUMPULAN PUISI SALASILAH: APLIKASI TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU
Kajian ini berdasarkan Teori Pengkaedahan Melayu melalui Pendekatan Moral. Kajian berfokus untuk melihat citra manusia dalam sistem pemerintahan feudal. Kedudukan susunlapis masyarakat yang terdiri daripada; golongan pemerintah(sultan/raja, wanita/permaisuri, bendahara, laksamana) dan golongan yang diperintah(rakyat) terpampang dalam Salasilah. Pendekatan Moral yang dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman hidup manusia seharusnya dijadikan iktibar, panduan dan cermin perbandingan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Tegasnya, daripada pengalaman-pengalaman hidup manusia dapat disalurkan aspek pengajaran dan pengetahuan yang berguna.
4.1 Golongan Pemerintah
4.1.1 Sultan/Raja
Kegemilangan sesuatu tamadun bangsa mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan sistem pemerintahan yang menerajui bangsa berkenaaan. Raja yang adil akan sentiasa memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya. Raja yang adil akan sentiasa mendapat rahmat Allah sama ada dalam kehidupan di dunia atau pun akhirat. Bagaimana pula dengan raja yang zalim? Zurinah memberi jawapan melalui puisi:
Tangisan Bonda Sultan Mahmud
Setelah melakukan pembunuhan
ke atas Bendahara Seri Maharaja
dan ahli-ahli keluarga
Sultan Mahmud kebingungan
melihat bondanya Tun Senaja menangis berhari-hari
menangis tidak berhenti-henti
menghempas-hempas bagai tidak sedarkan diri
….………………….
Sudahkah anakanda lupa,
siapa bendahara sebenarnya?
bukankah bendahara Seri Maharaja itu
saudara kandungku?
sudah pasti bapa saudaramu
dalam negeri kau mungkin melebihi
tetapi dalam hukum keluarga
tempatnya lebih mulia
………………………
Dengan penuh kesedaran Zurinah cuba membongkar sikap keterlaluan raja yang menurut hawa nafsu tanpa pertimbangan akal yang wajar. Menurut Jelani Harun(2003 :133) Raja yang menggunakan akal dengan betul akan sentiasa berada dalam garis panduan kepimpinan yang benar. Sebaliknya raja yang tidak berakal atau tidak menggunakan akal akan membawa bala dan bencana terhadap kehidupan manusia. Jelas dalam puisi ini Sultan Mahmud tentunya tidak menggunakan akal sehingga sanggup membunuh seorang bendahara yang cekap, apatah lagi bendahara tersebut merupakan bapa saudaranya. Kekejaman seorang raja Zurinah mengungkaikan lagi menerusi:
Jujurnya Seorang Hamba
………………………
Pada suatu pagi yang amat hiba
Wan Anum yang sarat mengandung
merayu belas datuk penghulu
meminta seulas nangka
yang sedang dibawa menghadap raja
………………………
Dikoyaknya perut isteri laksamana
hanya kerana seulas nangka
dipancungnya rakyat sesedap rasa
hanya untuk menjamu selera
………………………
Sekiranya raja sanggup membunuh bendahara, yang mempunyai pertalian keluarga apatah lagi sebagai rakyat. Puisi ini jelas mengambarkan ketidakperimanusiaan seorang raja, sebagi peneraju negara sanggup dikoyaknya perut isteri laksamana/hanya kerana seulas nangka. Menurut S. Othman Kelantan(1993:49) segala hukuman dan perbuatan raja itu harus dan pasti mengambil kira dirinya sendiri. Kalau orang atau rakyat disakiti, apakah raja tidak peka terhadap kesakitan begitu kalau dilakukan ke atasnya?
Begitu juga dalam puisi:
Episod Tun Kudu
………………………
Muzaffar merelakan
caranya mendamaikan Melaka
agar kuasa tidak tergugat oleh sengketa
Muzaffar menyayangi Tun Kudu
manis Tun Kudu manisnya cinta
enaklah lagi sebuah takhta
nikmat wanita di hujung rasa
manakan sama nikmat berkuasa
………………………
Sultan Muzaffar dan Tun Ali
mencari persetujuan
dimeja rundingan
dengan semangat kelelakian
bertukar habuan kedudukan
bertukar barangan
yang bernama seorang perempuan
…………………..…..
Zurinah mengungkapkan dayusnya seorang suami yang bergelar sultan, sanggup menyerahkan isteri kepada lelaki lain semata-semata untuk kepentingan diri dan kegilaan untuk sebuah kuasa, sedangkan sebagai seorang sultan, mempunyai kuasa, kedudukan dan martabat yang tinggi untuk membuat segala keputusan. Akhirnya menerusi puisi Mimpi Paduka Maharaja:
………………..…….
Paduka Maharaja menghempaskan kekesalannya
“Maafkan beta Nadim
suara rajaku telah menyetujui kekejaman
suara raja tak semestinya suara hati
kerana raja juga hamba
kepada aturan yang merajakannya.”
aturan yang tegak atas kebodohan
tak boleh memberi ruang kepada kepintaran.
………………………
Zurinah terus memperlihatkan lagi kekesalan raja melalui, Selamat Tinggal Melaka:
………………………
Melaka menjadi empayar terkenal
seperti diramal
teguh dan perkasa
aku adalah raja dipuncaknya
tinggi dan mulia
seperti pucuk pada pohon sasa
kukuh dan angkuh
meremehkan segala yang dibawah
membiarkan akar tak berbaja
tersiram segala racun dendam
Kutinggalkan Melaka negeriku
ketika kelam malam dan asap hitam
jatuh ke bahu
kubu terakhir telah runtuh oleh hujan peluru
dan, menangis segala anak Melayu
Namun penyesalan itu tiada gunanya, kerana yang terjadi telah pun berlaku tidak boleh kembali lagi. Hang Nadim telah dibunuh di atas kecerdikannya namun dosa raja tidak akan terampun kepada bangsanya kerana menolak ilmu(kemajuan) untuk keperluan bangsa dan negara pada masa akan datang. Akhirnya, negara dijajah oleh kuasa asing akibat leka dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab. Maruah seorang raja juga turut tercalar.
Puisi-puisi ini jelas menggunakan pendekatan moral untuk melihat kedudukan raja yang diistilahkan sebagai “bayangan tuhan di dunia” sepatutnya mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap rakyat yang berada dibawah kekuasaannya. Setiap perkara yang dilakukan ke atas rakyat sama ada baik atau buruk, terletak dibawah tanggungjawab raja. Seorang raja berkuasa penuh dalam menentukan arah tuju untuk kesejahteraan hidup rakyatnya. Adil dan saksama dalam menjalankan segala urusan dan pentadbiran. Sebagaimana firman Allah:
“Sesungguh Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman…” (Surah al-Nahl:90)
4.1.2 Bendahara
Menurut S. Othman Kelantan(1993:50) Menteri dalam sesebuah kerajaan merupakan “otak” kepada pentadbiran atau “menteri yang berbudi itu taulan raja-raja” untuk mentadbir dan memajukan negara. Zurinah mengangkat watak bendahara Tun Perak yang memainkan peranan penting dalam mengatur urus pentadbiran di Melaka. Katanya dalam puisinya Pulang Tun Perak:
……………………...
Namanya Tun Perak
Muda, gagah dan segak
Dihantar ke Klang
Jadi penghulu terbilang sebutan
Apabila Siam menggertak
Tun Perak dipanggil pulang
Kerana diyakini bijak dan layak
Untuk menyusun gerak
…………………..…..
Gagahnya Tun Perak
Tangkas dan garang
Menghapuskan segala jejak
Musuh dihalau Melaka terlindung
Tun Perak disanjung.
……………………….
Kebijaksanaan dan keberanian Tun Perak adalah pelengkap untuk mewujudkan kemakmuran, kesentosaan, dan kesejahteraan di bumi Melaka. Mengikut Aboebakar Atjeh(1988:19) keberanian ialah satu sikap tidak ragu-ragu untuk mengambil sesuatu tindakan walaupun dalam keadaan berbahaya dan berisiko tinggi. Dalam konteks ini, kesanggupan bendahara untuk menghadapi cabaran dan tentangan akhirnya Musuh dihalau Melaka Terlindung/Tun Perak disanjung.
Kebijaksanaan seorang bendahara bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi dalam menguruskan rumahtangga. Tanggungjawab sebagai seorang ayah tidak pernah diabaikan olehnya. Zurinah cuba mencari sesuatu makna dalam puisi:
Episod Tun Fatimah
………………………
Bendahara yang tegas pendirian
Ikhlas menjelaskan
Puteri yang seorang telah ditunangkan
Tun Ali sepupu adalah pilihan
Biarlah duduk sama padan
Bagai sesusun sirih di puan
Jauh di sudut hatinya
Bendahara yang bijaksana
Sudah mengerti keadaan
Tidak dihajati bermenantukan sultan
Tidak diimpikan Fatimah menjadi Raja Perempuan
Ayah yang luas pengalaman tajam perasaan
Mengenal nafsu dan cinta
Mendoakan untuk anakanda
Sebuah rumah yang bahagia
Biarlah menjadi isteri yang berjasa
Bukan boneka di istana
………………………
Pendekatan Moral jelas diberikan kepada bendahara yang bijaksana bukan hanya memiliki akal yang cerdik tetapi pintar menggunakan ketinggian akal dalam penampilan peribadi. Kehalusan budi, ketelitian pemikiran, kesabaran hati, kecekalan usaha adalah aset penting untuk menyempurnakan sesuatu tugasan. Bendahara Maharaja sedar dan tahu siapa Sultan Melaka. Oleh yang demikian, beliau tidak ingin bermenantukannya. Cukuplah dengan Tun Ali yang sesuai, Biarlah duduk sama padan/Bagai sesusun sirih di puan .Sebagaimana Awang Had Salleh(1985:3) yang menyebut masyarakat Melayu terkenal dengan nilai merendah diri. Nilai ini menurutnya, telah memperkayakan budi bahasa mereka serta dijelmakan dalam semua kehidupan seperti tutur kata, pakaian, dan semua tindakan orang yang bersopan sentiasa merendah diri.
4.1.3 Laksamana
Laksamana turut memainkan peranan utama dalam memajukan sesebuah negara. Tugasnya menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada dicerobohi musuh. Pekerjaannya merupakan satu tugas yang mulia. Laksamana adalah satu jawatan tertinggi dalam sistem ketenteraan Kerajaan Melayu Melaka (1400-1511). Dalam sistem Kerajaan Melayu Melaka tentera laut adalah yang paling utama iaitu berasaskan bahawa masyarakat Melayu ketika itu adalah pelaut dan ahli dalam pelayaran. Mereka yang berpangkat Laksamana dalam Kerajaan Melayu Melaka itu digelar Orang Kaya. Hang Tuah dikatakan antara pembesar Melayu pertama yang dikurniakan gelaran laksamana(http://ms.wikipedia.org/wiki/Laksamana). Zurinah cuba membawa watak laksamana Hang Tuah dalam puisinya:
Tak Melayu Hilang di Dunia
Kata Laksamana Hang Tuah
“Tak Melayu hilang di dunia”
kata-kata itu bermain dibibir
kata-kata itu diulang tafsir
maknanya dalam
maksudnya tajam
………………………
Hang Tuah mewakili bangsa Melayu yang hidupnya merentas dari lautan Hindi dan Lautan Pasifik dan nekad yang bangsanya ada di mana-mana, takkan hilang bangsanya di dunia, kerana percaya dan yakin bangsa, bahasa, dan budayanya telah tumbuh subur di seperempat di muka dunia.
Selain itu, Zurinah mencari makna yang tersendiri dalam puisi Keris Taming Sari dan Rintihan Taming Sari, kritikan sosial jelas dalam episod pertikaman Tuah dan Jebat , Tuah dan Taming Sari (pahlawan Majapahit) . Dalam puisi Keris Taming Sari:
Maka pertikaman itu berlanjutan
berjam-jam mungkin berhari-hari
sehingga Tuah memperdayakan lawan
dan merampas Taming Sari
Demikianlah yang diriwayatkan
Taming Sari membuat penentuan
siapa kecundang siapa terkorban
mematikan seorang pahlawan
lalu menghidupkan satu perdebatan
Manakala pertarungan Tuah dan Taming Sari dalam Rintihan Taming Sari:
Berkatalah Taming Sari
telah kudengar tentang kehandalanmu Tuah
kemungkinan aku akan mati ditanganmu
rajamu akan tersenyum riang
dan segala orang Melaka akan bersorak-sorak riang
ketika aku menggelupur kesakitan
Sesungguhnya perlawanan esok hari
bukan antara kita berdua
tetapi antara dua raja
kita yang bernama pahlawan
diturunkan ke tengah gelanggang
Kita yang bernama pahlawan
adalah haiwan pelagaan
peluh bersimbah terjelir lidah
akan terus berlawan
kerana nyawa kita
adalah barang permainan
………………………
Episod ini menjadi debat yang tidak berkesudahan. Siapakah yang harus dipersalahkan di dalam persoalan ini. Kedua-dua laksamana ini hanyalah menjalankan tugas dan perintah yang dibawa oleh sultan. Membawa nama atau sebagai duta negara negara-negara masing-masing, yang pastinya nyawa dan maruah menjadi pertaruhan.
Namun persoalan yang utama yang ingin disampaikan Zurinah bukanlah kerana ia telah membuktikan kehandalan Tuah tetapi kerana ia telah menunjukkan perangai orang ramai atau rakyat jelata yang digambarkan bersorak-sorak ketika Taming Sari menggelupur menghadapi maut. Ternyata mereka begitu terhibur melihat pertikaman dan sengketa malah telah menjadikan nyawa insan sebagai barang mainan. Sampai bilakah kita akan terus seronok dan terhibur melihat sengketa sesama bangsa. Disinilah Pendekatan Moral yang dimainkan dalam puisi-puisi ini.
Dalam puisi Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka:
Sepanjang hidup Jebat
mendengar Tuah berkata:
pantang Melayu menderhaka
Kata-kata itu diulang-ulang
pantang Melayu menderhaka
pantang Melayu menderhaka
………………………
Dengan marah yang menggelegak
Jebat mahu memberontak
tetapi dia tergaman
terbayang wajah Tuah
bersungguh –sungguh meminta
agar tidak menderhaka
kata-kata orang yang disayangi
memang selalu dikenang
akan tetap dipegang
jika Jebat menderhaka
akan tercemar persaudaraan mereka.
………………………
Sebaliknya apa yang berlaku dalam puisi ini menjadi kontra dalam teks Sejarah Melayu, Zurinah cuba mengingatkan tiada gunanya Jebat untuk menderhaka. Jebat bagi Zurinah merupakan laksamana yang memegang amanah dan tanggungjawab. Inilah yang dikatakan oleh Johari Alias(2001:104) sifat yang tidak amanah boleh menimbulkan kemarahan orang lain yang akan membawa persengketaan dan pertengkaran. Oleh itu, amanah akan menjamin kesejahteraan manusia kerana amanah merangkumi seluruh aspek kehidupan sosial.
4.1.4 Wanita/Permaisuri
Kepenyairan Zurinah tidak sesama sesekali melupai wanita dalam menterjemahkan puisi-puisinya. Bermula daripada golongan wanita biasa, Salasilah mengangkat wanita menjadi golongan atasan atau permaisuri, biar pun pada dasarnya mereka dimanipulasi dan tidak berada di tempat yang sewajarnya. Puisi Surat Teja ke Inderapura :
………………………
Semua ini terjadi kerana kesilapanku
akulah yang tersilp langkah
lari mengikut Tuah
aku yang digoda kata-kata
lari mengejar cinta
kusangka diri kekasih idaman
rupa-rupanya seorang tawanan
……………………..
sejak pinangannya yang pertama
tidak kami terima
Sultan telah sedia dendam
sedikit rasa tercalar
seluruh negeri bergegar
baiklah aku menyerah kepada Sultan Melaka
agar Inderapura tidak ditimpa petaka
Kesilapan langkah seorang wanita, akibat memburu cinta dan meninggalkan orang yang disayangi, akhirnya terpaksa berkorban untuk negerinya. Begitu juga dengan nasib yang dialami oleh Tun Kudu. Tun Kudu dijadikan alat oleh suaminya, yang terpaksa turun dari kerusi permaisuri untuk menjadi suami kepada Tun Ali. Adakah ini yang dikatakan pengorbanan. Zurinah memperjelaskan dalam Setelah Mengahwini Tun Ali:
………………………
Sehinggalah terjadi peristiwa itu
Tun Ali menyembah keinginan
dan Sultan pun berkenan
dengan sedikit rundingan
Tun Kudu bertukar tangan
dalam episod yang dipersoalkan
makna cinta dan pengorbanan
Tun Kudu mengerti
Muzaffar adalah raja dan suami
menimbang antara isteri dan negeri
dirinya disayangi
seperti pakaian penghias diri
tetapi cinta hanya perasaan
dan negeri adalah tanggungan
Peristiwa yang hampir sama berlaku dalam Tangisan Puteri Hang Li Po:
………………………
Apakan daya kita Li Po
kerana kita wanita
bernilai selagi diperguna
dan, ayahandamu Maharaja
tawa dan air matanya untuk negara
politik lebih penting daripada negara
kuasa lebih penting
daripada bahagia
………………………
Kecantikan yang dimiliki juga membawa padah dalam Episod Tun Fatimah:
Namun, bendahara yang bestari
Telah teraniaya
Fatimah menderita kerana jelita
Tertikam wajahnya sendiri
Dengan kaki berdarah
Fatimah melangkah
Melalui permaidani berkaca
Dan hamparan berduri
Menaiki singgahsana
Tun Fatimah yang jelita ditimpa bencana. Dia kehilangan ayah, suami, adik dan bapa mentua. Kesedihannya bukan alang kepalang. Namun dalam keadaan terpaksa beliau menjadi permaisuri. Puisi Perempuan Melaka Episod Terakhir mengungkaikan ceritera itu:
Akulah Fatimah
yang menyaksikan Melaka di penghujng hari
ketika langit dicalar senja dan negeri dicalar luka
………………………
perkahwinan bagi kami
bukan soal hati
kehidupan bagi kami
bukan soal peribadi
semuanya untuk negeri
kami tidak berjiwa
kerana jiwa kami hanya untuk Melaka
Ternyata para raja atau pembesar tidak menghayati ajaran Islam walaupun mereka menjadi pemimpin di sebuah negara Islam ketika itu. Mereka melayani wanita hanya mengikut nafsu, hadiah, alat untuk megukuhkan kedudukan politik atau dijadikan punca pelbagai fitnah. Kedudukan yang mulia itu seakan-akan dinafikan .
4.2 Golongan Yang Di Perintah
4.2.1 Rakyat
Mengikut Ismail Hamid(1988) menjelaskan bahawa raja dianggap oleh masyarakat Melayu sebagai payung negeri. Justeru itu, mereka menghormati dan mematuhi titah perintah raja. Dalam sejarah masyarakat Melayu tradisional, rakyat sanggup berkorban jiwa raga kepada raja maka demi mendaulatkan sempadan negeri daripada pencerobohan. Pantang sesekali menderhaka. Kata Zurinah dalam Demang Lebar Daun:
Kata Hang Tuah kepada Jebat
pantang Melayu menderhaka
menderhaka melanggar waadat
atau ikrar janji
yang ditandatangani
oleh Demang Lebar Daun
dengan Sang Sapurba
di Bukit Siguntang Mahameru
pada masa dahulu’
Oleh yang demikian, rakyat sebagai golongan terbanyak dalam sesebuah negara harus mematuhi raja yang menerajui kepimpinan negara, agar perjalanan pentadbiran negara berjalan lancar, justeru membawa kebaikan kepada golongan pemerintah dan rakyat jelata. Apatah lagi setelah satu perjanjian sosial telah dilakukan di antara rakyat dengan pemerintah. Kerjasama kedua-dua pihak perlu untuk mengukuhkan kedudukan sesebuah negara. Aboebakar Atjeh(1988:77) persaudaraan Islam atau ukhwah Islamiah mewajibkan umatnya mengutamakan kepentingan umum lebih tinggi nilainya daripada kepentingan peribadi. Sifat menghargai persaudaraan Islam akan memberi perlindungan menyeluruh, disamping mewujudkan perdamaian dan ketenteraman dalam masyarakat.
Namun begitu, apabila pemerintah/pemimpin mempergunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri mengakibatkan rakyat rasa terhina dan tidak mempunyai apa-apa hak dalam menentukan hala tuju untuk memajukan diri. Zurinah mencari kebenarannya dalam puisi Pak Kaduk di Gelanggang Raja:
………………………
Aku mendengar mereka mengutuk
Pak Kaduk memalukan bangsa
tidak sedar ditipu raja
Itu tidak benar
kerana aku terlalu sedar
tetapi apabila raja berkata:
“mari kita bertukar ayam”
itu bukan satu cadangan tapi satu perintah
bagaimana aku membantah
apakah hakku untuk tidak setuju
Rela atau terpaksa tentu tak ada beza
seribu ayam boleh mengalahkan ayam raja
tetapi rakyat tidak akan menang sampai bila-bila
………………………
Oleh itu, perasaan taat setia, cinta, ikhlas dan hubungan kerjasama antara raja/pemimpin dengan rakyat menjadi sebaliknya. Sebaliknya, sifat menentang terhadap kepimpinan negara akan melahirkan peribadi rakyat yang suka memberontak, khianat, atau tidak menghormati undang-undang, hingga akhirnya membawa negara ke kancah kehidupan yang tidak stabil dan huru-hara. Perhatikan puisi:
Pesan Si Luncai
………………………
Ceritakan asal usulku
budak desa miskin dan hina
mengambil upah menumbuk padi
menjual kayu api
untuk mencari sesuap nasi
ke mana pergi diejek
kerana rupa yang jelik
perut buncit punggong tonggek
……………………..
Kalau lahir sebagai rakyat
sudah takdir hidup melarat
segala kemewahan jangan dihajati
hanya untuk orang berdarjat
jangan jadi seperti Mat Jenin
berangan-angan tinggi
terjatuh pokok lalu mati
sememang di kampung kami
Pak Belalang dibiarkan malang
Pak Pandir dilarang berfikir
………………………
dengan seni bercerita
aku memperdayakan raja
hingga dapat merampas takhta
dan puisi Pesan Pak Kaduk:
………………..…….
Tuan Yang Berhormat
jangan meniru cerdik raja memangsakan rakyat
jangan ulangi bodoh hamba
tamakkan habuan yang cepat
termakan pujuk terbelit muslihat
kurang ilmu buta hakikat
tumpul akal tidak melihat
kalah orang kalah mendapat
Silap Pak Kaduk bertukar ayam
maka tergadai kampung halaman
silap tuan bertolak ansur
maka tercagar nasib keturunan
………………………
Si Luncai dan Pak Kaduk mewakili suara rakyat yang cukup tertindas dan terseksa. Raja/pemimpin tidak pernah memperdulikan nasib rakyat. Rakyat dibiarkan tanpa sebarang bantuan walaupun hidup penuh dengan kemiskinan. Malahan harta rakyat mahu dikikis dan dirampas. Si Luncai bangkit dari dilema itu dan menggunakan tipu helah untuk memperoleh hajatnya. Namun Pak Kaduk, kehilangan tanah dan ayam; harta dan warisan.
Zurinah terus memperlihatkan sikap rakyat atau masyarakat yang juga mementingkan diri sendiri yang mengetahui kebenaran tetapi tidak mahu mengubahnya. Mereka cukup seronok untuk menyaksikan sesuatu yang dianggap jenaka tetapi tidak kepada mangsa yang menimpa. Menangislah Anak Pak Pandir menghuraikan:
………………………
Aku menangis meraung-raung
meminta tolong
maka datanglah orang-orang kampung
mereka pun ternganga
melihat perbuatan bapa
………………………
Semakin kuat aku menjerit
semakin kuat mereka ketawa
ini adegan jenaka
semakin aku berteriak
semakin mereka galak
gelak yang rancak
gelak yang galak
Tak siapa menghulurkan tangan
menyelamatkan aku daripada kematian
lalu aku mati
sebagai mangsa kebodohan
lalu aku mati
kerana keseronokan bangsa
mentertawakan kesilapan
tetapi tidak bertindak
untuk membetulkan kesilapan
Inilah yang dikatakan oleh Hashim Awang dalam pencirian Pendekatan Moral yang disingkap daripada pengalaman-pengalaman lalu untuk dijadikan pengiktibaran untuk manusia sejagat.
5. KESIMPULAN
Teori Pengkaedahan Melayu yang dibina oleh Hashim Awang, diharap dapat memberi sumbangan baru dalam memantapkan Kesusasteraan Melayu. Teori yang memperlihatkan sifat keistimewaan dan mempunyai jati diri Melayu yang dimiliki khususnya dalam era globalisasi yang amat mencabar ini adalah dari kesedaran dan kekreatifan bangsa Melayu terhadap kepentingan sastera sebagai alat yang membentuk jiwa, moral dan kemajuan bangsa serta masyarakatnya. Mengikut Samsina Abd Rahman dalam Pengkaedahan Melayu: Konsep dan Aplikasi dalam Genre Puisi, para pengkaji sastera dapat melihat falsafah pemikiran, kebijaksaaan, daya kreativiti dan lain-lain estetika yang terserlah sama ada secara tersurat mahu pun tersirat dalam teks-teks sastera yang dihasilkan khususnya puisi Melayu.
Melalui Pendekatan Moral yang dikaji menerusi Kumpulan Puisi Zurinah Hassan terdapat moral yang sarat tersirat dalam setiap puisi-puisi yang dihasilkan. Ia dapat memberi kemanfaatanya yang lebih jauh dan besar daripada fungsinya sebagai suatu alat, iaitu kemanfaat yang berkaitan dengan kebatinan dan keperibadian manusia. Puisi-puisinya menyingkap dan menyatakan pengalaman yang boleh diambil bentuk-bentuk peristiwa yang dilalui oleh manusia melalui sistem pemerintahan dan juga segala maklumat yang berkaitan dengan mereka serta suasana persekitaran dalam Salasilah. Puisi-puisi dalam Salasilah juga dilihat sebagai perakam peristiwa, perbuatan dan perilaku manusia. Semua yang terakam ini dapat ditinjau sebagai pengibaratan atau pengiktibaran kepada pembaca dan pengguna sastera dan juga sebagai sumber maklumat dan ilmu pengetahuan.

Wednesday, March 11, 2009

Perhimpunan UMNO datang lagi. Dewan Merdeka akan menyaksikan perebutan untuk mendapat posisi tinggi di dalam parti. Itulah yang terjadi pada setiap kali pemilihan. Demikianlah kehidupan kita sebagai orang Melayu. Di sana sini kita berebutan sesama sendiri.

Kita pun leka menyaksikan perbalahan seperti seronoknya orang-orang Melaka ketika Hang Tuah membunuh Taming Sari di Majapahit atau ketika Hang Tuah membunuh Hang Jebat di Melaka.

Adakah kita manusia yang tidak berperasaan? Adakah patut kita bersorak riang ketika seorang manusia bernama Taming Sari menggelupur kesakitan menghadapi kematian?

Apakah kita sudah terlalu leka menonton sengketa?

Persoalan inilah yang menyebabkan saya menulis sajak di bawah. Keduanya termuat di dalam antologi Salasilah terbitan dbp 2005

1. RINTIHAH TAMING SARI

Mengikut cerita yang sering diceritakan
Hang Tuah, pahlawan Melaka yang handal itu
telah mengalahkan Taming Sari pahlawan Majapahit
yang tidak pernah dikalahkan
selama ini.

Tetapi mengikut cerita yang tidak pernah diceritakan
pada malam sebelum perlawanan
Hang Tuah dan Taming Sari
telah berjumpa secara rahsia.

Maka bertangis-tangisanlah mereka
apalah malangnya kita berdua
diperintahkan bermain senjata
sedang kita tidak pernah berjumpa
apalagi bersengketa.

Berkatalah Taming Sari
Telah ku dengar tentang kehandalanmu, Tuah
kemungkinan aku akan mati di tanganmu
rajamu tersenyum girang
dan segala orang Melaka akan bersorak-sorak riang
ketika aku menggelupur kesakitan.

Sesungguhnya perlawanan esok hari
bukan antara kita berdua
tetapi antara dua orang raja
kita yang bernama pahlawan
diturunkan ke tengah gelanggang.

Kita yang bernama pahlawan
adalah haiwan perlagaan
peluh bersimbah terjelir lidah
dan terus berlawan
kerana nyawa kita
adalah barang permainan.

Yang kusedihkan
sejarah tidak menyesali pertikaman ini
dan, segala rakyat jelata
terus suka dan leka
menonton sengketa.

Sesungguhnya perlawanan esok hari
akan berulang lagi
selagi segala rakyat Melayu
tidak sedar-sedarkan diri.


2- APOLOGIA KEPADA TAMING SARI

Maafkan kami Taming Sari
mereka telah memperkenalkanmu
sebagai si garang, si hodoh dan si bodoh
yang pada suatu hari
semasa Hang Tuah di Majapahit
telah mencabar kepahlawanannya
dan kami diajar
berasa puas hati
dengan kekalahanmu
malah bertepuk tangan
ketika kau terkorban.

Maafkan kami Taming Sari
kerana menjadikan sengketa
sebagai suatu pesta
dan kematian satu keseronokan
dan kami tidak pernah menyedari
bahawa itu adalah satu tragedi
tragedi sastera yang tidak mengajar manusia
menghargai manusia.

Maafkan kami Taming Sari
kami telah meraikan satu pembunuhan
sesungguhnya episod itu
adalah tragedi kemanusiaan

Tuesday, March 10, 2009

Pada tahun 1977 saya dijemput oleh Grup Teater Elit ( diketuai oleh Dinsman) untuk membuat persembahan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Itu juga hari bersejarah kerana pertama kali saya beraksi sebagai “bintang utama” . Tak sangka begitu ramai penonton. Sebuah akhbar mensifatkan khalayak malam itu “luar biasa ramainya”. Akhbar-akhbar memberi liputan dan komen-komen yang menggembirakan.

Kejayaan malam itu disebabkan saya mendapat bantuan Zubir Ali yang pada masa itu sedang berkhidmat sebagai pegawai kebudayaan ITM Shah Alam. Zubir telah mencipta beberapa buah lagu dari puisi saya. Saya juga kagum kerana pertama kali mendengar orang menyanyikan puisi. Zubir menyanyikan cipta -lagu yang dinyanyikan termasuklah Seketika Terkenang Padamu Mama, Suara Dalam Hujan dan Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang. Akhbar Berita Minggu Ahad, 13 Mac, 1977 mengulas, “Lagu-lagu tersebut mendapat tepukan hebat dari para peonton. Dan pujian harus diberikan kepada penggubah lagu yang berbakat ini”.
Dari situ Zubir Ali terus melangkah dengan berani. Beliau kemudian menyatakan hasrat untuk menerbitkan album lagu-lagu puisi. Dia menemui saya untuk mendapatkan tandatangan bagi memuatkan Sepanjang ke Pulau Pinang ke dalam album kumpulan Harmoni yang pertama. Terus terang saya katakan pada mulanya saya kurang yakin lagu-lagu tersebut akan mendapat sambutan. Maklumlah di sana sini orang mengatakan puisi tidak begitu diterima oleh masyarakat.

Jangkaan saya meleset. Album pertama lagu puisi bukan sahaja diterima bahkan meletup-letup. Lagu Penantian menduduki tempat teratas dalam carta lagu-lagu pilihan sehingga berbulan-bulan lamanya. Lagu Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang kedengaran setiap hari di radio. Sejak itu ramai yang kenal saya menerusi Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang. Turut populr ialah lagu Doa dari sajak Khairul Anwar. .
Dengan ini Zubir Ali dan kumpulan Harmoni menduduki tempat yang penting di dalam sejarah Muzik/Seni Suara tanahair sebagai kumpulan pertama merakam lagu-lagu puisi secara komersial. Sebelum itu ada juga lagu lagu puisi yang dinyanyikan oleh Ibrahim Bacik tetapi cuma disiarkan dalam rancangan khas di radio. Kalau kita mengenali kumpulan Raihan sebagai perintis yang mengusahakan album lagu-lagu nasyid. Maka kumpulan Harmoni adalah perintis yang berani dalam mempopularkan lagu puisi. Kejayaan Harmoni diikuti oleh Kopratasa.
Turut termuat di dalam album itu adalah lagu Penantian. Lagu ini menempa sejarah di dalam perkembangan seni tanahair. Ia bukan sahaja lagu puisi pertama yang mengungguli carta lagu popular di radio, tetapi inilah lagu yang saya anggap mempunyai senikata yang paling diingati oleh masyarakat.
Di dalam sejarah lagu Melayu moden ada dua buah lagu yang senikatanya meniti di bibir orang ramai. Yang pertama ialah lagu Tan Sri P.Ramlee iaitu Getaran Jiwa. Baris yang paling disebut-sebut oleh orang ramai ialah “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tidak berjiwa…..” Baris-itulah yang digunakan untuk menerangkan tentang keakraban sesuatu yang tidak dipiahkan. Selain Getaran Jiwa adalah lagu Zubir Ali iaitu Baris yang dinyanyikan dengan penuh perasaan “Penantian satu seksa yang tidak tertanggung” menjadi sebutan di mana-mana. Ia menjadi sebutan sesiapa sahaja yang berada di dalam situasi menunggu. Ia dijeritkan oleh kekasih yang sedang bosan menunggu, pensyarah yang sedang berkuliah atau , seorang ustaz .yang sedang berceramah.

Zubir telah pergi meninggalkan begitu banyak kenangan yang tidak mungkin terpadam. Takziah kepada isteri dan anak-anak yang telah ditinggalkan. Saya juga mengenali isterinya Fauziah Ismail sejak dia masih kecil di Tikam Batu Kedah. Zubir Ali dan kumpulan Harmoni telah berjasa di dalam membawa puisi ke tengah masyarakat.

Monday, March 09, 2009

ZUBIR, PENANTIAN SATU SEKSA


Pada tahun 1968 saya belajar di Sekolah Sultanah Asma Alor Setar. Suatu hari saya menghadiri majlis Maulidur Rasul yang diadakan di sekolah yang dikenali sebagai Maktab Mahmud ,ebuah sekolah yang terkenal dengan pengajian agama dan bahasa Arab. Acara utama hari itu ialah penyampaian hadiah pertandingan menulis sajak sempena Maulidur Rasul. Saya hadir dengan gembiranya kerana sayalah yang akan menerima hadiah pertama pertandingan tersebut.

Selepas menerima hadiah, saya pun menyaksikan sajak-sajak yang menang dideklamasikan. Yang mendeklamasikan sajak saya berjudul “Muhammad” ialah seorang ‘budak’ Maktab Mahmud bernama Shamsuddin Osman. Sajak yang memenangi tempat kedua dideklamasikan sendiri oleh penulisnya iaitu seorang “budak” Tingkatan Lima Maktab Mahmud Namanya Muhammad Zubir bin Ali.

Itulah kali pertama saya menjadi johan pertandingan menulis sajak peringkat sekolah-sekolah Itulah juga kali pertama kali saya melihat sajak saya dipersembahkan di atas pentas disaksikan oleh begitu ramai penonton. Saya kagum dengan bacaan dan gaya Shamsudin Osman yang membuat sajak saya terdengar lebih indah dari asalnya.
Sudah tentu hari itu hari yang bersejarah dalam hidup saya. Tetapi saya tidak menyangka ada yang lebih dari itu. Saya tidak menyangka bahawa pagi itu saya telah bertemu dengan dua orang yang akan menjadi penting di dalam sejarah seni dan budaya tanah air. Deklamator yang bernama Shamsudin Osman kemudiannya menjadi Dinsman, satu nama yang anda kenali sekarang. Dan Muhammad Zubir Ali itu tidak lain dan tidak bukan ialah komposer , penyanyi Zubir Ali yang telah pulang kepada Ilahi pada hari Jumaat 6hb Mach yang lalu.