ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Monday, February 04, 2013

Permainan kata-kata simbolik Zurinah


utusan on line.

ARKIB : 15/04/2003

Permainan kata-kata simbolik Zurinah

Buku
Judul: Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi
Pengarang: Zurinah Hassan
Harga: RM30.00
Penerbit: Penerbit UKM
Pengulas: Noraini Abdul Razak
Wanita sememangnya berjiwa halus dan sering tersentuh perasaannya apabila berhadapan dengan peristiwa yang mungkin bagi kaum lelaki tidak mempunyai sebarang nilai.
Bagaimanapun tidak semua wanita dianugerahkan kelebihan menggunakan kehalusan jiwa untuk menghasilkan bait-bait puisi yang indah.




Apatah lagi untuk meluahkan perasaan atau menggambarkan keinginannya dalam bentuk penulisan yang lain seperti cerpen dan novel supaya kehalusan jiwanya itu dapat dikongsi dengan khalayak umum.
Bagi penulis terkenal Zurinah Hassan, seorang wanita yang ingin menjadi penulis dan pada masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pekerja perlu melalui jalan yang berliku.
Kesukaran yang perlu dihadapi oleh sasterawan wanita diceritakan dengan jelas oleh penulis yang telah menceburkan diri dalam bidang tersebut selama 30 tahun dalam Memoir Zurinah Hassan; Menjejak Puisi.
Beliau sendiri terpaksa meletak jawatan setelah tidak sanggup lagi menahan keinginan untuk berkarya sepenuh masa yang selama ini terganggu akibat beban kerja yang bukan sedikit.
Buku setebal 219 muka surat ini sememangnya sarat dengan ilmu berkarya yang ingin ditumpahkan oleh Zurinah kepada generasi muda yang berminat untuk mengembangkan bakat dalam bidang penulisan.
Bagi Zurinah, sastera adalah budaya, jati diri dan akar bangsa, ketika masyarakat terlalu leka membina dan mengejar kebendaan, kita lupa seketika kepada akar bangsa ini.
Bakat berkarya dan menghayati keindahan alam untuk diterjemahkan dalam bentuk tulisan telah dipupuk oleh Zurinah sejak berusia 12 tahun lagi.
Sememangnya sejak mula berkarya, Zurinah cuba mengetengahkan persoalan universal dalam tulisannya kerana bagi wanita gigih ini, setiap penulis mempunyai kebebasan untuk memperkatakan pelbagai isu yang menjadi minatnya.
Tidak lokek dengan ilmu yang dimiliki, penulis buku ini memaparkan beberapa puisi yang dicipta di peringkat awal penglibatannya dalam dunia sastera sambil mengupas secara terperinci sebab-sebab puisinya terhasil begitu.
Perkembangan
Menurut Zurinah, tema puisi mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan sezaman dan keadaan persekitaran, begitu juga dengan puisi-puisi yang dihasilkannya.
Pada tahun 1990-an misalnya, beliau tidak terlepas menulis puisi mengenai gejala melepak di kalangan remaja.
Dalam buku ini, penulis turut mendedahkan hakikat bahawa setiap puisi sebenarnya adalah cerminan diri seniman yang menghasilkannya.
Beliau tidak malu untuk mengaku beberapa sajaknya yang bernada putus asa sesungguhnya menggambarkan jiwanya yang terumbang-ambing.
Katanya, senario itu walaupun memalukan dirinya sendiri tetap menjadi panduan dan dorongan untuk menghasilkan karya yang lebih memberangsangkan sehingga lahir puisi yang bertajuk Sesekali Aku Menjauhkan Diri Dari Puisi.
Sesekali bila aku mahu mendekati puisi
Aku jadi ngeri
Lalu menjauhkan diri
Sajak di atas
Mempamerkan diriku
Bait-bait yang dipetik daripada puisi karya Zurinah ini jelas menggambarkan kebimbangan beliau terhadap karyanya yang sekali gus mendedahkan diri sebenar penulis di khalayak pembaca.
Kepada golongan muda yang baru berjinak dengan dunia penulisan, buku ini sesungguhnya memberi bimbingan yang bukan sedikit. Menurut penulis, beliau pernah dikategorikan sebagai penyair yang menulis tentang soal diri dan pencarian erti kehidupan.
Bagaimanapun, sebagai seorang penulis, beliau tidak boleh lari daripada turut memperkatakan isu-isu kemasyarakatan kerana sifat penulis yang sememangnya sensitif terhadap persekitarannya.
Oleh kerana sering diajukan soalan mengenai cara untuk mendapatkan ilham, Zurinah menurunkan pelbagai petua yang pastinya menjadi rujukan berguna kepada pembaca.
Sambil mencurahkan petua dan panduan, Zurinah memetik beberapa puisi yang berkaitan dengan rahsia menghasilkan sebuah karya.
Contohnya, beberapa sajak yang menggunakan nama sesebuah tempat sebagai tajuk adalah lahir daripada pengamatannya ketika dalam perjalanan ke sesuatu destinasi.
Dari situ lahirlah sajak-sajak seperti Tanjung Dawai, Sungai Tiang, Dari Gunung Jerai ke Pekan Rabu, Kuala Lumpur, Pantai Remis, Bas Stand Kelang dan banyak lagi. Beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana menjadikan hubungan rapat dengan insan tersayang seperti antara anak dan ibu, suami dan isteri sebagai modal untuk melahirkan puisi yang menarik.
Sambil merujuk ikatan perkahwinan yang walaupun mewujudkan hubungan yang rapat antara suami dan isteri tetapi Zurinah percaya bukan keseluruhan hati dan perasaan kedua-dua insan dapat diselam.
Aku mungkin kurang pasti
Tentang apa yang telah kukatakan
Tapi yang pasti
Kita tidak perlu terlalu pasti
Sesungguhnya bait-bait sajak ini jika dibaca tanpa menyelami maksud sebenar sebuah ikatan perkahwinan tidak akan membawa sebarang makna kecuali permainan kata-kata.
Buku ini tidak terhad kepada analisis sajak-sajak ciptaan Zurinah sahaja, sebaliknya beberapa karya penulis lain seperti T. Alias Talib dan W. S Rendra turut dimuatkan bagi memberi gambaran sebenar mengenai penulisan karya sastera.
Zurinah turut memberi panduan kepada pembaca mengenai teknik menggunakan lambang atau metafora dalam penulisan sajak yang menurut penulis sering dijadikan alat untuk memindahkan perasaan penyair sendiri kepada objek alam.
Memoir ini turut memaparkan pengalaman pahit penulis yang pernah menerima kecaman hebat sebaik memenangi Hadiah Sastera 1984. Karya penulis pernah dikatakan basi dan klise sehingga membawa kepada pembubaran panel hakim dan pemberhentian Hadiah Sastera itu sendiri.
Pengalaman itu kepada Zurinah amat pahit tetapi beliau meneruskan perjalanan hidupnya sebagai penulis dan penyair lebih kuat berkarya.
Walaupun telah 40 tahun bergiat dalam bidang penulisan, Zurinah berpendapat sumbangan beliau kepada dunia sastera masih terlalu sedikit lantas menasihatkan generasi muda supaya tidak mensia-siakan bakat serta masa yang ada untuk berkarya.
``Kita harus tahu mengambil yang baik untuk dijadikan teladan dan yang lebih penting ialah mesti mengenal yang buruk untuk dijadikan sempadan.''
Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia sastera, buku yang berharga RM30 menarik untuk dibaca dan dijadikan panduan ke arah memartabatkan bidang sastera negara yang semakin kurang mendapat tempat di kalangan generasi muda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0415&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_08.htm&arc=hive#ixzz2JwJDZ7mH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment