ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Saturday, February 02, 2013

KERONGSANG BERLIAN WAN TEMPAWAN (cerpen)

cerpen ini pernah tersiar di Dewan Sastera (2010)

Wan Tempawan (bukan nama sebenar) adalah seorang wanita bangsawan Kedah. Dia adalah di antara ramai lagi orang-orang bangsawan (dan bukan bangsawan) yang kehilangan tanah kepada bangsa lain. Cerpen ini ditulis kerana saya sangat terganggu dengan kejadian tanah-tanah orang-orang Melayu yang jatuh ke tangan orang lain.



KERONGSANG BERLIAN WAN TEMPAWAN

OLEH: ZURINAH HASSAN


Aku tidak pernah melihat sendiri bagaimana cantiknya kerongsang berlian kepunyaan Cik Puan Wan Tempawan.  Aku cuma tahu tentang kerongsang itu daripada  cerita-cerita nenekku.  Kata nenek, batu berliannya berkerlip-kerlipan, diikat kemas oleh emas bermutu tinggi .  Kerongsang tiga  sederet itu, tersemat  di baju kebaya labuh Wan Tempawan, menambah seri wajah wanita bangsawan yang sememangnya sangat rupawan.  Kilauan permata dan pancaran emas semakin menyerlahkan raut wajah dan membangkitkan cahaya  kulit sang pemakai yang   putih berseri.

Namaku Umar. Aku lahir  di dalam warga marhain dan memang  tidak  berminat dengan kerongsang yang selalu digambarkan oleh nenek.  Aku cuma mendengar sekadar untuk melayan  nenek  bercerita  tentangnya.  Aku faham, dalam usianya yang sudah di pinggir senja, nenek hanya mampu melayan kenangan terhadap masa lalunya.  Dia merasa lega kalau ada cucu untuk dilawan bercakap. Anak-anak dan cucu-cucu yang lain semakin sibuk dengan urusan masing-masing.  Akulah yang selalu duduk-duduk dengannya di beranda sambil menghadap ke sawah yang  terhampar dan , menghirup udara petang yang segar. Aku mendengar sambil menyapu minyak angin dan memicit-micit betis  dan lututnya  yang dikatakannya semakin keras dan kejang itu.


Seingat aku  nama  Cik Puan Wan  Tempawan  tidak pernah lekang dari mulut nenek.  Itulah nama seorang  wanita bangsawan  yang pernah hidup di negeri kelahiranku.  Mujurlah aku meminati sejarah dan pernah  membuka buku besar  yang terpamer  di Muzium Negeri. Buku yang diberi jodol Titisan Kerabat itu  boleh dirujuk untuk mendapatkan maklumat   mengenai salasilah keturunan diraja. Aku dapati yang Cik Puan Wan Tempawan adalah cucunda Al Marhum Sultan Abdul Samad.

 Wan Tempawan  lahir pada tahun  1875  dan mangkat pada tahun  1945.  Dia berkahwin pada tahun  1893  dengan Tunku Tajuddin  dan beroleh empat orang anak.  Aku pun tidaklah terlalu berminat untuk menghafal nama anak-anaknya. Lagipun aku boleh mengetahui semua maklumat itu daripada nenek.. Nenekku  tidak jemu jemu menggambarkan perihal kecantikan dan kebaikan Wan Tempawan. Nenek selalu menyebut-nyebut nama-nama putera dan puterinya.

Walaupun seluruh tubuh nenek semakin  lemah,  ingatannya masih kuat.  Dia masih boleh menggambarkan keadaan rumah  itu dengan  kamar-kamarnya dan anjung yang menganjur ke halaman Dia masih boleh menggambarkan dapur yang selesa  tempat dia dan kawan-kawannya menyediakan makanan untuk keluarga diraja.  

Kalau hendak dikirakan rumah itu tidaklah sebesar mana. Rumah-rumah orang sekarang jauh lebih hebat dari apa yang digambarkan oleh nenek. Tetapi pada masa itu orang yang mampu mendirikan rumah batu, sudah dianggap terlalu kaya.  

Sudah tentu nenek mengingati rumah besar itu kerana di rumah itulah juga nenek dilahirkan pada tahun 1900.  .
“Nenek, kita ni rakyat biasa. Kita orang kampung dari keturunan petani miskin. Bagaimana nenek boleh dilahirkan di rumah besar itu?”


Nenek memang suka kalau aku atau sesiapa saja mengajukan soalan sedemikian. Ini akan memberi peluang dia membuka cerita lagi. Dia tidak jemu mengulang  cerita yang telah berulang kali dikisahkan. Mengikut cerita nenek, semasa  Baginda Sultan mengadakan perayaan untuk mengahwinkan cucundanya, orang-orang kampung dipanggil ke istana untuk  membuat kerja-kerja.  Kawasan istana menjadi penuh sesak. Kerja tak berhenti siang malam. Ada yang mengukur kelapa, ada yang menumbuk cili. Ibu kepada  nenek , iaitu moyangku  yang bernama Kalsom, yang ketika itu berumur lima belas tahun  telah dibawa ke istana untuk membantu. Majlis perkahwinan berlangsung  tujuh hari tujuh malam. Cucunda Sultan yang naik pelamin itu tidak lain dan tidak bukan ialah Wan Tempawan yang kukisahkan di sini.

Konon ceritanya permaisuri raja sangat berkenan melihat tingkah laku moyang Kalsom. Dia mengajak,(atau memerintah) moyang Kalsom  supaya terus tinggal di istana.  Dipendekkan cerita,  moyangku pun tinggallah di situ. Bila rumah besar Wan Tempawan telah siap, moyang Kalsom turut berpindah.  Moyang Kalsom kemudiannya dikahwinkan dengan seorang pekerja istana  dan lahirlah nenek ke dunia. Nenek dibesarkan di rumah Wan Tempawan  sehingga moyang Kalsom kembali  ke kampung atas sebab sebab tertentu. Di kampung itu mereka  meneruskan kehidupan sebagai petani biasa.

Begitulah cerita nenek kepadaku, dan kepada jiran-jiran.  Orang-orang kampung kami begitu kagum. Mereka   tidak  dapat dapat membayangkan bagaimana mewahnya rumah itu. Rumah-rumah di kampung semuanya kecil. Kebanyakannya beratap nipah bahkan berdinding papan , hanya rumah penghulu yang besar.

Pada tahun 1980 aku belajar di Pulau Pinang. Di sana aku  menyertai kumpulaan yang menamakan diri mereka mahasiswa sosialis. Suatu hari aku hampir  memarahi nenek. “Nenek selalu memuji-muji keluarga di raja, Nenek agung-agungkan mereka . Nenek bangga mengatakan Permaisuri Sakinah suka kepada moyang Kalsom dan mengambil dia sebagai anak angkat.

Tapi nenek tak tau  itu semua  helah golongan feudal. Nenek tidak sedar  yang   mereka hanya  menjadikan moyang Kalsom dan nenek juga, orang suruhan atau orang gaji yang tidak berbayar.  Mereka kata nak buat anak angkat , tapi sebenarnya itu semua menipu semata-mata. Rakyat seperti kita hanya dijadikan hamba abdi”

Tetapi mujurlah aku berfikir dua kali. Aku tidak  jadi  meluahkan semua itu. Terfikir pula, apa salahnya aku membiarkan nenek  dengan kenangannya. Biarlah hatinya tenang tanpa mengetahui hakikat sebenar. Mengapa aku harus mencalarkan hatinya. Dia pun tidak akan hidup lama lagi di dunia ini.

Aku pun sedar bahawa  dia menganggap peluang untuk  tinggal di rumah besar berpagar itu satu tuah baginya. Di situ lebih baik daripada  tinggal di kampung, di dalam pondok buruk   yang bergegar bila hujan lebat. Apa salahnya mereka   memasak dan melayan kaum  keluarga bangsawan walaupun tidak dibayar . Setidak-tidaknya di situ  rezeki mereka terjamin. Mereka dapat makan  pagi dan petang.

Aku juga tahu betapa peritnya menjadi petani. Aku membesar di dalam  keperitan dan kesengsaraan itu. Di universiti aku belajar tentang  kemiskinan di luar bandar Para petani  hanya beroleh sedikit wang bila padi dijual setahun sekali. Ramai petani yang teperangkap di dalam hutang. Ramai petani yang  terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan. Mereka berhutang bila ada sakit demam dan kematian. Mereka juga berhutang untuk mengadakan kenduri perkahwinan anak-anak.

Tidak ada jalan lain melainkan hutang.  Mereka boleh pergi ke bandar. Di sana ada ceti, ada tauke Cina, ada India Muslim  yang bersedia memberikan hutang  dengan senang hati. Tidak perlu menulis kertaskerja. Tidak perlu menunggu berbulan-bulan. Bawa sahaja geran tanah untuk jadi sandaran. Bila padi dituai, padi itu dijual kepada orang yang memberi hutang dengan harga yang sangat murah. Bagaimana kalau padi tidak menjadi? Bagaimana kalau banjir melanda atau kemarau memanjang? Jawabnya mudah sahaja, geran tanah tidak dikembalikan dan tanah yang dipusakai pun bertukar tangan. 

Bila mengenang nasib petani yang malang, aku semakin marah. Semangat anti feudal dan anti kapatalis semakin membara di dadaku.. Tetapi agak aneh juga kerana kawan baikku adalah  seorang berketurunan fuedal iaitu Tengku Amir Amjad. . Mungkin kerana Tengku Amir  ialah peninggalan anak cucu  fuedal yang langsung tidak berjiwa fuedal , jauh sekali dari menunjukkan apa-apa lagak fuedalnya. Gaya hidupnya tidak berbeza dari mahasiswa-mahasiswa yang lain. Tidur  bangun dan berkubang di dalam buku-buku bersama kami. Dia menyanyi-nyanyi, melalak dan melawak seperti  kawan-kawan lain. Sekali pandang tidak siapa yang akan menyangka bahawa anak muda yang berambut panjang berjeans lusuh itu adalah keturunan diraja.
Semasa di tahun akhir  Tengku Amir mengikut aku balik ke kampung. Pada masa itu nenek sudah uzur benar. Katanya seluruh sendi sendinya bagaikan di cucuk –cucuk jarum. Bila dia tahu yang temanku itu bernama  Tengku Amir , nenek dengan  mentaliti fuedalnya mulalah bertengku dan berpatik. Nenek mula mengeluarkan segala bahasa di raja yang tak pernah  kudengar  selama ini. Geli juga hatiku.

Bila  diberitahu yang Tengku Amir  berasal dari bandar diraja negeri kami,  semakin berminatlah nenek. Nenek bertanya pelbagai pertanyaan dan semuanya dijawab dengan baik oleh Tengku Amir kerana dia juga seorang anak muda yang berbudi bahasa dan tahu mengambil hati orang tua-tua.

Nenekku pun mula rancak bercerita tentang masa lalunya. Aku lihat nenek merasa terhibur  kerana ada orang yang menjadi pendengarnya. “ Nenek dulu memang tinggal lama di sana. Nenak  dulu duduk di rumah   Mak Wan Tempawan. Suami dia Tengku Tajuddin  pegawai besar. Tengku pernah dengar ke?”

“Apa pula tak pernah dengar. Wan Tempawan dengan Tengku Tajuddin  tu moyang saya. Ayah saya Tengku Iskandar  cucu Wan Tempawan la”.

“Ya ke.? Ya Allah gembiranya hati nenek dapat berjumpa dengan Tengku. Syukurlah Tuhan nak pertemukan kita. Mak Wan dengan anak-anaknya semua baik terhadap nenek”.

Pertemuan dengan Tengku Amir  menjadi episod nostalgia bagi nenek pada petang itu. Walaupun aku tidak bersetuju dengan mentaliti fuedalnya, aku mula bersyukur kerana membawa Tengku Amir pulang dan membawa  keceriaan pada wajah nenek.

Selepas konvokesyen, aku dan Tengku Amir mula berkhidmat di bandar diraja Nenek sudah pun pulang ke pangkuan Ilahi. Tengku Amir  menjadi pegawai perancang bandar dan aku memegang jawatan penolong pegawai daerah.  Pejabat kami di bangunan yang sama iaitu di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang tersergam indah di tengah bandar. Pejabat Tengku Amir di tingkat sepuluh dan pejabatku di tingkat dua. Kami terus berkawan rapat.

Untuk merancang pembangunan Tengku Amir memerlukan maklumat tentang kedudukan tanah di bandar diraja dan persekitarannya. Semua maklumat itu tersimpan di pejabatku.  Di situ tersimpan fail  mengenai status dan nama nama pemilik tanah sejak beberapa dekad. Beberapa kali ketika kami keluar makan atau bersiar-siar pada waktu malam,  Tengku Amir selalu mengeluh, “ Sedihnya Umar, kau lihat tak ada lagi tanah di dalam bandar yang dimiliki oleh orang Melayu. Di sana dulu semasa aku kecil ada juga rumah-rumah Melayu. Sekarang semua sudah hilang. Tanah-tanah yang berdekatan dengan bandar pun bertuankan orang lain. Hairannya tanah-tanah ini dulu berstatus Tanah Simpanan Melayu. Mana pula perginya ratusan ekar yang pernah dimiliki oleh kaum kerabat diraja?”

“ Betul juga. Nenekku pun pernah bercerita keluargamu ada tanah yang luas di sana sini” Kataku tanpa niat untuk menambahkan kesedihan Tengku Amir.

 “Ayahku  pun selalu bercerita . Satu dekad yang lalu , tanah di sini luas tak bertuan. Seorang kerabat diraja berhak memohon tanah. Berekar-ekar  tanah diberi percuma kepada kaum kerabat di raja. Tapi di mana tanah-tanah itu sekarang?. Tengku Amir menggenggam erat tangannya penuh dendam dan geram.

Pagi itu aku   dan  Tengku Amir  berbincang di bilik mesyuarat Pejabat Daerah. Perbincangan itu diadakan berikutan ada permohonan untuk mendirikan sebuah pasar raya terbesar di satu kawasan. Aku  sudah pun meminta kakitangan pejabat mengeluarkan fail fail yang mengandungi  maklumat yang diperlukan . Kami meneliti fail-fail sambil menghirup kopi yang telah disediakan. Peta lengkap kawasan yang sedang  menjadi fokus  perbincangkan sudah terhampar di atas meja bercermin tebal.

Hampir lima  minit , kuperhatikan Tengku Amir  tidak mengangkat mata dari peta itu... Mendung duka sedang bergantungan di wajahnya.

Amir sedar aku memerhatikannya dengan penuh tandatanya. Dia menjawab persoalanku. “Kau tengok ini Umar,  di sinilah rumah keluargaku dahulu. Sekarang menjadi milik orang lain yang bukan sebangsa dengan kita”

Tengku Amir menunjukkan kepada kawasan yang dimaksudkan. Fahamlah aku mengapa wajah Tengku Amir dilanda kesedihan. Di situlah dahulu terletaknya rumah besar di dalam pagar yang diceritakan oleh nenekku. Di situlah  dahulu tinggal Cik Puan Wan Tempawan dan kaum kerabatnya  seperti yang disebut-sebut oleh nenekku hingga ke akhir hayat.


Selama ini kami telah sedia maklum bahawa rumah dan kawasan sekitarnya telah tergadai kerana hutang yang tidak dapat dibayar. Apakah jenis hutang itu dan berapakah jumlah sebenarnya tidaklah begitu jelas. Di pejabatku juga tersimpan  fail harta pusaka termasuk urusan jual beli, pindah milik dan lelong melelong tanah. Kami mengambil keputusan untuk meneliti fail-fail berkenaan. Tengku Amir inginkan butir-butir yang sah tentang perjalanan  tanah di pinggir bandar  yang tidak lagi menjadi milik keluarganya itu. Aku memanggil pembantuku dan meminta fail-fail rekod lelongan tanah.

Kami sedia maklum betapa banyaknya tanah yang tergadai kerana hutang. Orang-orang kampungku juga kerap berhutang. Hasil padi hanya boleh dituai setahun sekali. Kadang-kadang malang yang datang,  ada  kemalangan atau penyakit yang menimpa ahli keluarga. Di kala itu duit sudah kehabisan sedangkan  anak-anak mesti  makan.. Jadi tak ada cara lain selain berhutang.Sampai sekarang pun orang kampungku berhutang. Tetapi aku tidak arif pula mengapa golongan bangsawan ini berhutang”

Kata Amir, “Ada golongan syeikh-syeikh Arab yang licik. Mereka berbaik-baik dengan wanita-wanita bangsawan seperti nenekku. Pada mulanya syeikh syeikh ini bercakap tentang agama. Lama kelamaan pujuk suruh beli  barang-barang kemas. Wanita-wanita ini mudah tertarik apatah lagi semuanya boleh didapati dengan berhutang. Lagipun apa pula kata orang, wanita bangsawan tak pakai gelang dan rantai, tak pakai kain sutera, tak buat majlis kenduri  besar-besaran. Semua mesti sesuai dengan status.

Wanita-wanita bangsawan ini kebanyakannya tidak berpelajaran. Tidak tahu membaca, menulis dan mengira.  Kaum wanita beginilah yang jadi sasaran  pemuitang Semuanya diserahkan kepada pemuitang lalu senanglah mereka ditipu. Hutang piutang dibuat  tanpa surat hutang dan tanpa saksi.

Dengan hati yang sebu kami menyelak beberapa surat cara permohonan penukaran nama hakmilik  tanah. Surat surat itu dibuat oleh Syeikh Bajunid, Ceti Karuppiya dan orang-orang yang senama dengan mereka. Semua tanah adalah milik wanita kerabat Senarai harta menunjukkan 53 orang wanita Melayu kebanyakannya kerabat telah kehilangan tanah kerana berhutang.

Ada fail mengenai seorang Ceti bernama Narayanan yang meninggalkan harta pusaka yang dinilai oleh Pejabat Setem sebayak 350 ribu. Hampir semua harta itu diperolehi dari aktiviti memberi hutang kepada orang Melayu. Peminjam biasanya memerlukan modal untuk perniagaan, melabur dalam saham , membina rumah, mengadakan kenduri perkahwinan anak-anak dan membeli barang-barang kemas.

Ada catatan bertarikh  4 Jun 1939, kerajaan membenarkan mahkamah melelong tanah Tunku Katijah untuk menyelesaikan hutangnya kepada Ceti Karuppan. Tengku Katijah telah menggadai tanahnya  seluas lima relong. Oleh sebab tanah itu belum dijadikan Tanah Simpanan Melayu, Karuppan memohon  membelinya dengan harga RM 300 sahaja. Bayangkanlah betapa tinggi nilainya sekarang kerana ia terletak di kawasan elit bersebelahan  Dewan Undangan Negeri.

Akhirnya kami mendapat maklumat   yang dicari-cari. Fail  itu menceritakan segalanya tentang perjalanan hutang piutang moyang Tengku Amir. Tidak lain dan tidak bukan beliau ialah  Cik Puan Wan Tempawan yang menjadi idola nenekku itu.

Di situ ada sepucuk surat  bertarikh 10 Jun 1938 .  Penulisnya ialah  Syeikh Abdullah Al-Tawaff  yang  memohon kepada kerajaan negeri untuk melelong tanah milik Wan Tempawan kerana Wan Tempawan tidak dapat menyelesaikan hutang kerongsang berlian yang bernilai 400 ringgit. Pada masa itu belum disebut RM. 400 ringgit tak boleh bayar? Kami sedar  nilai 400 pada zaman itu jauh lebih tinggi dari sekarang.

 “Kau tengok ni Umar, perangai Syeikh ini . Dia diam sahaja bila nenekku tidak bayar hutang bertahun-tahun. Dia sengaja buat macam tu supaya boleh mengaut untung  daripada kadar bunga yang dikenakan. Ujung-ujung dia membuat aduan kepada kerajaan.  Masa tu susahlah. Tak ada surat, tak ada bukti. Kerajaan pun tak boleh nak tolong nenekku”.

Syeikh Al-Tawaf telah mendapat persetujuan mahkamah untuk melelong tanah Wan Tempawan. Tanah itu pada asalnya dikurniakan kepada beliau oleh Kerajan Negeri atas kedudukannya sebagai cucu Sultan. Mengikut peraturan hanya orang Melayu sahaja yang boleh membelinya. Setelah beberapa lama, tiada orang Melayu yang mampu membeli, maka Pak Syeikh membuat rayuan lagi agar lelongan dibuka kepada orang bukan Melayu. Dengan hal yang demikian tanah itupun terlepaslah kepada seorang saudagar China dari Pulau Pinang. Kini di kawasan itu sudah terdiri sebuah menara yang menempatkan sebuah pasaraya terbesar di kota kami dan beberapa tingkat ruang pejabat  yang disewa oleh syarikat-syarikat besar.

Aku percaya kerongsang berlian yang termaktub di dalam surat permohonan itu adalah kerongsang berlian Wan Tempawan yang sering diceritakan oleh nenek sepanjang hayatnya.



No comments:

Post a Comment