ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Saturday, February 09, 2013

BAHAWA AKU PERNAH HIDUP: ZURINAH HASSAN SEBAGAI PENTAFSIR WAKTU DAN PERISTIWA


MUHAMMAD HAJI SALLEH

kertaskerja ini disampaikan di Seminar Budaya “Seminar Kefahaman Budaya ke VIII: Zurinah Hassan, Sirih Pulang ke Gagang”, yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia,Pulau Pinang pada 18 Disember 2004 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia. 



Antara penulis dan pembentang kertaskerja ialah Prof Muhammad Haji Salleh, (Bahawa Aku Pernah Hidup: Zurinah Hassan Sebagai Pentafsir Waktu Dan Peristiwa),Dr.Rahimah Hamid Muhammad,( Zurinah Hassan: Takah-Takah Perpuisian  Menuju Puncak),  Dr.Suzana Muhammad (Pembentukan Identiti Wanita: Pendekatan Feminisme Puisi-Puisi Terpilih Zurinah Hassan), Dr Siti Hajar Che Man, (Menelusuri Antologi Cerpen Zurinah Hassan:Antara Konvensi Dan Invensi), Dr. Lalitha Sinha, (Antara “Aku” Dan “Kau” Zurinah Hassan Dan Lim Swee Tin Dalam Nota Waktu) Dr.Sakinah Abu Bakar (Lambang Daripada Kisah Kehidupan Dalam Puisi-Puisi Zurinah Hassan), Dr.Zakaria Ali (Menyelami Hatimu Aishah), dan Dr. Sohaimi Aziz. (Antara Memori dan Autobiografi: Satu Kajian Generik Terhadap Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi)

Diperturunkan kk SN Muhammad Haji Salleh yang turut dimuatkan dlm buku saya CATATAN PERJALANAN SENI (terbitan ITBM) yg akan dicetak tak lama lagi  


Pengantar

Sudah menjadi semacam piawai tradisional bahawa watak wanita harus lemah lembut, cantik, menyerahkan kehidupannya pada suami atau lelaki sekiranya dia muda, dan cantik harus menyiapkan diri untuk menarik perhatian bakal suami atau lelaki umumnya. Inilah di antara beberapa nilai yang diperturunkan masyarakat Melayu untuk dipatuhi wanita supaya dapat dianggap sebagai wanita yang berbudi dan berbahasa.

            Salmi Manja, Siti Zainon dan Zaihasra, walau pun telah membawa beberapa pembaharuan, lebih memilih untuk melukis dunia dan perasaan mereka sebagai manusia yang halus, dengan suara yang lemah lembut, dan rentak yang gemalai. Tetapi dalam sajak-sajaknya Zurinah Hassan menyimpang dari kebiasaan ini. Dalam hal ini Zurinah mungkin didahului oleh Anis Sabirin, yang juga lebih berminat untuk melukiskan wajah wanita yang merenung dan berfikir, dan tidak saja yang merasa cinta atau sengsara.

            Dari awal lagi, awal 1970-an, Zurinah masuk ke dunia puisi (beliau sangat bangga bahawa beliaulah penyair wanita pertama yang menerbitkan buku puisi persendirian , suatu kejayaan yang tidak kecil) dengan watak yang agak berlainan daripada penyair sebelumnya. Saya tidak tau apakah beliau pernah dianggap sebagai ‘tomboy’ semasa mudanya, sewaktu di sekolah, tapi ternyata watak inti dan persekolahan beliau, serta kesedaran terhadap bakatnya telah menggabungkan suatu cara berfikir dan bertindak, yang akhirnya mencipta suatu gaya penulisan yang cukup unik di Malaysia.

            Suara puisinya dan kehidupan hariannya tidak mencari yang gemalai dan manis, rentaknya tidak bertingkah di depan kita untuk mengesan perasaan lembut atau sentimen lama pembaca.

            Dengan suara dan rentak yang berlainan ini muncul pula tema yang agak berlainan, ataukah dapat kita terbalikkan – dengan tema yang berlainan ini muncul pula rentak yang berlainan? Walau apa pun susunan sebab-akibat di sini, tetapi kita sedang berhadapan dengan peribadi yang kuat, dan yang dilahirkan dengan fikiran yang sama tajam dan ingin menyatakan yang dianggap sebagai benar, dan sedang berlaku di depannya, dan di depan bangsanya.

            Pada diri Zurinah kelihatan seperti ada tegangan ‘binary’ di antara perasaan dan fikiran –pada beliau perasaan ada tempatnya, tetapi sajak-sajaknya diberikan tulang belakang logika, perbincangan dan soalan yang dilontarkan kepada kehidupan. Beliau merenung dan selalu membentuk soalan tentang kehidupan – dengan rentak kontot, disalut dengan suara lancang, dalam suatu bentuk yang tidak terdapat pada penyair wanita lainnya.

            Suaranya yang berterus terang, suara orang bercakap, berfikir secara nyaring, dan tidak dibendung oleh rasa silu bahawa ini cara yang patut atau tidak patut dikeluarkan oleh seorang wanita Melayu. Suaranya tidak sentimental – dan tidak diucapkan sebagai isteri penggoda dan kekasih yang memberi berahi. Bahasanya pula ialah percakapan yang berlapik logik atau hujah. Malah kita lebih banyak mendapati puisi pernyataan ‘poetry of statement’ daripada beliau dan bukan sangat puisi lukisan perasaan.

            Sering pula perbincangan atau penghujahan digunakan sebagai pendekatan, dan ini dicapai melalui suatu fokus yang jelas dan menuju sasaran yang tertentu.


Sejumlah Persoalan
            Dalam karyanya tentang Zurinah dan beberapa orang penyair Malaysia, Penglibatan Dalam Puisi, Shahnon Ahmad yang pertama menilai manuskrip Sesayup Jalan untuk terbitan oleh USM dengan baik sekali melukis pencapaian karya-karya awal Zurinah ini. seterusnya Memoir (2003) beliau sendiri membentangkan perjalanan puisinya dari sejak beliau bersekolah melalui zamannya sebagai pelajar, gadis dan ibu., sehinggalah puisi terakhirnya. Kita amat berterima kasih kerana belum ada, pada pengetahuan saya, suatu perjalanan puisi yang digalurkan dengan begitu terperinci. Malah saya rasa kertas saya ini juga tidak perlu; siapakah mungkin membentangkan pengalamannya sebaik penyair sendiri?

            Beliau menyatakan bahawa sajak-sajaknya, yang tertulis di antara 1973 dan tarikh penerbitannya 1977, melukis ‘gambar kehidupan yang melalui sehingga kini’ dan ‘puisiku adalah pentafsiranku terhadap kehidupan’.
‘Alangkah Sukar Menulis Puisi Ini’ (1977:38),

Akulah pentafsir yang selalu mencari
lautan yang membikin aku rindu
senja yang membikin aku bertanya...

            Seterusnya beliau mengungkapkan aspek-aspek kehidupan seperti waktu yang melintas dan menghilang di depannya, usia yang melunturkan jasad, perasaan dan peristiwa, konflik-konflik peribadi dan sosial. Beliau menangisi situasi di mana manusia semakin keras dan kehilangan kelembutan yang menjadikan manusia itu manusia.

            Saya ingin melihat dari sudut perkembangan jalur tema, bukan melalui waktu dan kronologi, tetapi sebagai jalur perkembangan tersendiri. Ada tiga cakerawala pada perasaan dan pemikirannya:
1.    Cakerawala diri dalaman peribadi, dan wanita
2.    Cakerawala Perkahwinan dan Keluarga
3.    Cakerawala masyarakat/ publik


Cakerawala Diri dalaman, dan Wanita
            Semua penyair menulis dari sumber dalam dirinya, kerana inilah dunia yang memberikannya perasaan dan kesan serta kesimpulan terhadap kehidupan. Untuk berlaku jujur dunia harus dilukis seakrab dan sebenar mungkin.

            Bakat Zurinah terserlah awal. Bakat inilah yang melukiskan ‘gelisah’ anak muda yang sedang membesar di sekolah, yang sedang menjadi dewasa. Zurinah mendengar perkembangan dirinya, gelisahnya, frustrasinya, dan tidak sedikit daripada gelisah itu merupakan kesan pertumbuhan fizikal di suatu pihak, tetapi dipihak yang lain juga apa yang berlaku di sekelilingnya. Jadi walau kita mengkaji diri dalamannya, kita harus sedar juga bahawa diri dalaman ini terpisah daripada pergolakan sosial dan ekonominya.

            Cakerawala ini sangat subur, kerana Zurinah adalah pelukis sketsa yang setia dan tekun – kita melalui jalan lurus dan tikungan berbelit hidupnya apabila kita mengikuti sajaknya dengan teliti, malah dapat dikatakan berbandingkan ramai penyair lain karya Zurinah lebih berunsurkan autobiografi, atau kumpulan cebisan pengalaman beliau sendiri, yang melalui tidak kurang daripada 30 tahun kehidupan dan penulisan.

            Shahnon menyebutkan kehadiran alam dalam sajak awalnya, dan dapat kita tambahkan bahawa alam ini juga hadir sebagai latar setia kepada perlakuan manusia dan menawarkan semacam lambang atau imejan yang sama merasa kepada perasaannya, dan akhirnya seperti dijelaskan dalam Memoirnya sangat penting sebagai pelukis dunia perasaan dan fikiran puisinya.

            Dari awal lagi, dalam Sesayup Jalan, kita lihat seorang manusia dari kelas menengah Melayu, yang pintar dan selalu sedar akan pengalamannya sedang menemui diirnya. Dia mencatat banyak hal yang berlaku, di antara keluarga, perpisahan dengan keluarga, rindu dendam, dan sebagainya. Tentang kerinduan dan keterpisahannya disampaikan dalam baris-baris yang ditulis di Kuala Lumpur, (1974:13).

           
Semakin lama, aku semakin jauh dari rumah, ibu
            Nyaman angin yang bermain pada  langsir diruang tamu

dan dalam sajak ‘Pemburu Sepi’ perpisahan ini dilukis sebagi agak ganas, ‘Arus dewasa menamparkan ke mari’. Apabila penyair meninggalkan dunia selesa, yang melindunginya, dan dihumban oleh arus kehidupan itu ke suatu dunia di mana perlindungan itu sudah tiada hadir lagi, maka yang ditemuinya ialah kesepian. Di sini, seperti menggemakan rentak Kassim Ahmad, suatu pengaruh awal yang kuat pada karya Zurinah, dia berkata,

            rindu adalah rasa paling pedih
            kami tidak tahu lagi menangis.

Maka dari awal lagi dilukis manusia moden yang diberikan neon tetapi tidak diberikan cahaya, diberikan kota tapi tidak diberikan cinta. Dia terhukum sebagai pemburu sepi, kerana itulah yang akan menjadi tujuan wujudnya.
Sekali lagi sewaktu mengenang ibunya beliau berkata (1974:24),
            Aku telah meninggalkan mamaku
            kau telah menyerahkan anakmu
            kerana kita adalah milik waktu
            yang tidak merelakan air mata.

Walau terpisah dan sedih, ini bukan dunia air mata, dan air mata bukan penyelesaiannya. Tetapi secara ironisnya, walau pun inilah kota (dengan neonnya) yang diburu, namun pemburuan ini hanya pengalaman sementara, kerana untuk dirinya (dan manusia) ‘di sini tiada perhentian ... jalan ini tiada hujungnya’. Tiada istirahat atau ketenangan dalam perjalanan ini.
Dalam kesepian kota dan dunia buatan ini hanya alam yang menjadi teman, sebuah dunia penawar, selain cinta, yang juga tidak selalu membahagiakan atau menjanjikan kepastian,(1974:18),
            Ombak dikaki
            Ombak di hati
            Menghempas, menghempas dan menghempas
                        ........................ke jantung.

            Ombak lambang pergerakan hidup dan waktu, selalu bergerak, dan manusia tiada pula dapat berhenti sewaktu dihempas ombak ini.
            Buku kedua, Di sini Tiada Perhentian (1977), memajukan lagi perjalanannya ke negeri dewasa, dan kesedaran akan situasi keperempuanannya. Menjadi seorang gadis Melayu dalam masyarakat yang khusus dengan peraturan yang dikenakan secara ketat kepada wanita, dia memberontak dari dalam, walau tidak secara kasar, melalui kata dan imejan puisi.
            Seorang Zurinah di kamar saudara-saudara perempuannya
                        ia tidak berani keluar lagi
                   ke padang yang melambainya
                di sini ia bisa memiliki apa saja
                           kecuali dirinya.

            Inilah kamar sempit di mana wanita Melayu/ Malaysia dikurung pada tahun-tahun 1970-an. Semuanya disediakan, dan boleh dimilikinya, melainkan, (yang penting dan dasar), kata penyair, dirinya sendiri. Dia harus mengikut kehendak keluarga,masyarakat, dan tidak kehendak hatinya.
Jalan keluar ialah kata-kata, tapi kata-kata pun mempunyai masalahnya pula (1977:4);
            Dia mahu berkata
            tapi tidak punya suara
             kerana bahasa seorang wanita
              telah menjadi berbahaya.

Dan kesimpulan beliau terhadap keadaan ini ialah:

Dia dan saudara-saudara perempuannya
            dalam perarakan menuju hari mati
            sedang ketakutan talah lama
            membunuh mereka.

Mungkin di peringkat awal ini drama keterkurungan ini dipentaskan dengan terlalu ghairah, tetapi saya kira disalutkan drama keadaan seseorang yang sedang terperangkap, dan diucapkan sebagai protes. Sebenarnya beliau berhak berkata-kata, dan kita bertuah kerana Zurinah berkata-kata. Sangat menguntungkan bahawa walau dalam keadaan terkurung ini sastera Malaysia dapat mengembalikan kata-kata kepadanya, dan malah mengiktirafnya sebagai suara wanita yang jujur dan baik.
Sementara itu penyair sedang mencari arah kehidupannya. Katanya dalam ‘Di Perhentian Bas’ (1977:7),
dan aku terus menanti
 mobil-mobil berlalu
             tiada satu yang kuberhentikan
             kerana aku belum pasti
ke mana akan pergi.

Masih banyak pilihan yang sedang berpawai di depannya, semuanya dengan arah dan destinasinya sendiri. Untuk sementara waktu penyair belum dapat memilih arah dan tempat tujuan terakhirnya.
Citra perjalanan sangat hadir dalam karya-karya awal Zurinah. Imej keberangkatan, perhentian, kereta api, kereta dan perhentian bas memenuhi baris-barisnya. Yang dibawakan ialah simbol tempat dan simpang kehidupan, tempat bertolak dan tempat tujuan. Nampaknya penyair sering mendapati dirinya dalam keadaan ini.
Sementara mencari metafora untuk dilema atau keadaan hidupnya dia juga bertanyakan berbagai-bagai soalan. Oleh yang demikian banyak baris-barisnya bermula dengan ‘Tidakkah,’ ‘Manakah, Ke mana telah pergi?’ dsb. Dilontarkan soalan, sebagai lukisan perasaan dan kerisauan hatinya, dan walau pun dia kadang-kadang tidak mendapat jawapan, tapi inilah perbuatan penyair yang sedang memikirkan kehidupan. Seperti dirinya juga nampaknya masa depan belum memberikan jawapannya,
Hari Depan
Yang tenat menanti jawapan.

Suatu lagi ranting persoalan diri ini dan juga metafora perjalanan pemerhatian penyair bahawa semuanya cepat berlalu – bas yang lewat depannya,pemandangan dari jendela kereta api, dsb. Penyair, mungkin sebagai wanita juga, harus hanya melihat dan tidak dapat menguasai atau memberhentikan kenyataan untuk dinikmati atau dikawal.
Beliau melihat di depannya ‘daun gugur dan bunga layu’, mangsa kepada perjalanan masa. Sementara dalam ‘Suatu Petang yang Terlambat’ penyair juga ragu kepada kesementaraan, takut meninggalkan daerah selesanya. (1977:12)
Sekian lama kukagumi bunga-bunga ini
dan petang ini ia berguguran ke tubuhku.

Begitu pulalah imejan kesukaan penyair dilukiskan untuk membayangkan betapa cepat perubahan, pertukaran tempatan dan pengalaman (1977:13), seperti dalam ‘Hidup dari Jendela Kereta api’.
Hidup adalah pemandangan di jendela kereta api
di tengah pacutan yang telah ditentukan relnya
           pemandangan melintas panas
                  berubah-ubah rupa.

Dalam keadaan/situasi begini sering pula sesuatu peristiwa berlaku tiba-tiba, tanpa diduga. Dunia bukanlah suatu tempat yang dapat diterka bentuk atau pun perlakuannya. Banyak yang berlaku di luar jangkaan, dan datangnya juga tanpa diharapkan. Salah satu contohnya dapat kita lihat dalam ‘Surat Hari Depan’ (1977:27), di mana orang datang tiba-tiba, dan juga beredar dan hilang tiba-tiba.
Namun masa berlalu, penyair yang menyaksikannya juga berubah bersamanya, berkasih-kasihan, berkeluarga. Kadang-kadang ditemukan beberapa jawapan, sementara pada situasi lainnya soalan masih tinggal soalan.
Dalam sajak-sajak matangnya suara wanita Zurinah lebih tegas, kerana beliau merasakan bahawa beliau bersuara bagi pihak wanita lainnya, dan bukan saja pihak ‘saudara-saudara perempuannya’ yang pada masa kini dan dalam sejarah telah menderita di tangan lelaki. Maka kita dengarkan suaranya berjalinan dengan suara sejarah dalam sajak ‘Pesanan Puteri Gunung Ledang,’ di mana suara feminisnya terkeras sekali, (1994:4);
Aku bukan Tun Fatimah
Yang pandai memaafkan kezaliman
Aku bukan Tun Kudu
Yang tahu merelakan paksaan
Cukuplah dengan Puteri Hang Li Po
Yang terbungkus menjadi persembahan
Dan tersungkurnya Tun Teja
Ketika menangkap bayang-bayang cinta.

Sajak ini melukiskan situasi wanita dalam beberapa keadaan, tetapi dala sajak ‘Surat Teja kepada Tuah’ suatu situasi yang memalukan bangsa Melayu, di mana Hang Tuah menipu Tun Teja secara tidak ‘gentlemen’ dan mempermainkan perasaannya melalui ubat guna-guna. Seperti seorang wanita moden yang dapat melawan beliau berkata, (1994:43),
Tuah aku adalah perempuan malang
yang harus merana, kerana paras rupa
kecantikanku bukanlah satu dosa
namun ia telah diperdagangkan
dengan pintar percaturan lelaki
seperti bunga pada sesedap gubahan
di hujung lidah seorang sultan.

Showalter mengingatkan kita bahawa hanya wanita dapat melukiskan keadaan mereka dengan saksama, kerana merekalah yang merasakan deritanya, bukan saja dari segi perasaan tetapi juga dari sudut fizikalnya, kerana hanya wanita melalui siklus bulan dan bersalin, serta menjadi ibu.
Dalam sajak ‘Satu Percakapan Singkat’ beliau melihat seterusnya perbezaan situasi gender ini:
Seorang lelaki membebaskan diri
Untuk membataskan pilihan
Seorang perempuan membataskan pilihan untuk membebaskan diri.
Inilah ironi kewujudan yang ditegaskan oleh perbezaan gender.
            Sajak ini membantu kita mendefinisikan Zurinah Hassan sebagai feminis, tetapi sebagai feminis yang bertaakul – the reasonable feminist. Beliau bergerak dari titik taakulan dan bukan emosi, dan yang dipentingkan bukan dirinya atau beberapa orang wanita sebagai perempuan, tetapi kemenangan inti lebih luas, lebih membantu manusia, lelaki dan wanita, hidup yang lebih wajar dan saksama. Dan juga ego wanita yang ingin ditegakkan, tetapi membentangkan masalah sebenar. Jadi sudut feminisnya bukanlah feminis klise, feminis buku atau feminis emosional. Inilah pada saya suatu kejayaan luar biasanya.

Cakerawala Keluarga
Zurinah, yang selalu memikirkan persoalan diri, berfikir juga tentang kerumitan berkeluarga, apabila beliau melalui fasa ini. Beliau mempersoalkan dirinya, pertama, sebagai kekasih, kedua sebagai isteri, dan ketiga sebagai ibu. Beliau bukan penyair yang baik buat majalah wanita yang sentimental- kerana beliau selalu menawarkan persoalan dan siratan kerumitan kehidupan berkasih atau berkeluarga.
Tentang perasaan di antara suami isteri dan perbezaan gender di antara mereka Zurinah berkata (2000:70):
Saya juga mencari makna baru dari hubungan suami isteri. Pemikiran yang melintas tidak jauh berbeza dari pengertian yang dahulu bahawa manusia itu tetap individu yang terpisah ... tetapi memiliki kelainan ... Namun saya berpendapat bahawa kita tidak perlu pasti dengan perasaan.

Inilah ruang legar manusia yang sangat rumit, yang juga misterius dan berahsia, yang menggembirakan dan mendukacitakan. Beliau melukiskan dengan suami dengan kerumitan dan ironi yang timbul dari situasi dan kejujuran seorang wanita, yang tahu diri dan tahu kehidupan (Yang Pasti):
Kau mungkin bukan lelaki terbaik
tetapi buat perempuan sepertiku
mungkin tidak ada yang lebih baik
darimu.

Aku mungkin tidak mendapat segala-galanya
Tetapi dengan keadaan begini
Aku tidak meminta
Yang lebih lagi.

Saya, kita ini bukan menyerah kepada keadaan, tetapi kebijaksanaan seorang yang mengenali kehidupan – tahu meminta dan tahu menerima, tahu hak dan sempadan kemungkinan.
Katanya lagi dalam Keberangkatan (1985:24) sebagai renungan lanjut terhadap hubungan yang baru diterokai itu,
Mawar adalah lebih
Dari sekadar keharuman
Kita pun
Lebih
Dari sekadar rupa dan kata-kata
Kadang-kadang dengan menyedari kelainan
Membolehkan kita hidup bersama.

Mawar dan manusia harus dinilai secara keseluruhannya, dan oleh itu dengan lebih saksama dan memahami bentuk dan makna kehidupan sendiri. Oleh yang demikian manusia tidak dapat dinilai dala kemarahan atau kasih sayang saja, kerana dengan berbuat demikian kita hanya melihat pada kata-kata atau rupa saja, di sebaliknya masih banyak lagi sudut yang perlu dihayati dan diiktiraf.
Setelah mengalami perkahwinan beliau melukiskan pula maknanya dalam sajak yang sama judulnya, ‘Perkahwinan’.
Perkahwinan
 adalah kesukaran
 mengurangkan beberapa kebiasaan
Yang kadang-kadang mengurangkan kewujudan
Dan seorang perempuan selalu mengurangkan kewujudan
Untuk melengkapkan kejadian.
Perkahwinan bagi perempuan
Ialah perlindungan
Untuknya yang tidak lagi berani
Hidup sendiri dan menegakkan peribadi
Kerana harga yang terlalu tinggi.

Harus dipilih untuk hidup penuh, dan tidak menjadi ibu dan isteri, yang oleh itu menipiskan kewujudan, atau menjadi kedua-dua, dan berlaku sebagai seorang wanita yang dicipta sebagai perempuan untuk memenuhi kejadiannya.
Dalam sajak ‘Satu Percakapan Singkat’ beliau melihat seterusnya perbezaan situasi gender ini:
Seorang lelaki membebaskan diri
Untuk membataskan pilihan
Seorang perempuan membataskan pilihan
Untuk membebaskan diri

Dalam perbezaan cara ini dibaca juga ironi antara – gender ini.
            Sebuah ruang lain daripada cakerawala keluarga dapat kita saksikan dalam sajak-sajak yang ditulis untuk anak-anaknya – dituliskan bukan saja untuk menidurkan anak, tetapi seperti dalam pantun dan seni kata lagu lama maka tersirat di dalamnya beberapa nilai yang diinginkan oleh ibunya untuk masa depan dan keselamatan anak-anak itu. Sekurang-kurangnya dua buah sajak ditulis untuk Halini dan Siti.
            Bermula dari  Di sini Tiada Perhentian juga kita lihat bahawa penyair semakin dekat dengan Tuhannya, dan sering berkata-kata dan menanya beberapa soalan terhadapnya.



Dunia Masyarakat/ Publik
            Sastera dekad 1960-an sangat kuat diwarnai oleh pandangan engagee atau terlibat Asas 50. Buat pengarang – pengarang kumpulan ini sastera adalah alat untuk membangunkan masyarakat, menyedarkan terhadap masalah ekonomi atau keadaan terjajahnya. Keris Mas, Usman Awang, Awam il-Sarkam, A.Samad Ismail, Asraf adalah di antara pelaksana penting ideologi sastera ini. sementara itu muncul pula suatu kumpulan sosialis yang memajukan lagi penglibatan ini, mengikut jalur sosialisme, dengan Ahmad Boestaman dan Kassim Ahmad sebagai contoh. Walau berlainan pendekatan kedua kumpulan ini berkait rapat, dan saling memperkaya dan menyokong kerana yang dipentingkan ialah kemajuan rakyat dan anak watan. Pada tahun-tahun 1960-an hingga kini, mengikut Zurinah (2004), beliau amat tertawan kepada ‘komitmen’ W.S.Rendra, yang menulis untuk dibaca dan diambil manfaat atau contoh oleh rakyat.
            Zurinah bermula awal sebagai penyair yang terlibat dengan masalah di sekelilingnya. Beliau bermula di ruangan pelajar, dan bukan sangat tentang diri beliau tetapi lebih menjurus kepada masalah di antara pelajar yang harus hidup di dunia yang tidak terlalu mudah. Puisi pertama beliau ‘Tujuh Gunung tidak Terdaki’ terbit di bawah nama samaran Haniruz, dalam Warta Mingguan, yang berpusat di Pulau Pinang, di bawah pimpinan Keris Mas pada waktu itu. Sejak awal lagi juga, persekitarannya menjadi sebahagian daripada diri dan temanya. Mengikut Kemala dalam Utusan Zaman (Kutipan tth.)
           
Ia terpikat dengan kehidupan nelayan yang sederhana dan juga melarat
            Dia sampai dengan cara dan gaya hidup kuli pelabuhan yang memerah
tenaga untuk menyambung hidup dan seterusnya terhadap nasib
“orang-orang kecil” yang malang. Dan dia menulis tentang kehidupan mereka,
kehidupan yang mungkin saja di luar dirinya dan di luar
pengalamannya”

Misalnya suatu kebakaran pada tahun 1968, di kampung nelayan Kuala Kedah dia ‘menggambarkan penderitaan para nelayan yang terpaksa menghadapi tindak tanduk orang tengah’ (Zurinah, 2003:29-30)
Tiba-tiba api bersorak
Kuala Kedah berteriak ...

pada mereka yang kehilangan segala
pada mereka yang ketiadaan semua.

Sudahnya jatuh ditimpa tangga, kerana di atas tangga itu ada orang tengah yang menunggu,
            tapi yang tiada sudah-sudah rumah mereka
milik pun dengan sembah
            --pada pantai menghisap darah
            --pada lautan menghisap keringat.
           
            Sebuah sajak yang berjaya dan mengesani ramai pembaca awalnya ialah sajak ‘Anak-anak Rambutan Putik’ ‘yang dibesarkan dari kepahitan’ kerana makanannya yang terbatas di rumah, maka mereka mencari makanan tambahan di kampung dan di pinggir jalan. Zurinah mempertahankan mereka:
            Anak-anak itu bukan mencuri
            mereka mengambilnya
tuntutan dari kelaparan
            ibu bapa mereka adalah manusia dewasa
            dulu ketika anak-anak
            adalah anak-anak dari kepahitan itu jua.

            Berdasarkan beberapa kutipan ini kita lihat seorang penyair wanita, yang dewasa ini tidak banyak mempersoalkan masalah kewanitaannya, tetapi meleburkan masalahnya dan memberi ruang kepada kehidupan pahit di luar dirinya. Beliau amat peka, malah sosialis dalam tanggapannya, dan melaungkan revolusi untuk orang-orang kecil ini, kali ini petani miskin yang sama menderita kehidupan yang dikuasai alam dan orang tengah.
            Keluhan sepanjang permatang
            terus terdengar
pergelutan kukuh mencakar
rezeki secupak
di atas kemungkinan yang sering memudar.

Setelah bermula dengan masalah-masalah masyarakat nelayan dan tani, serta masalah teman sekolah yang miskin (‘Kawan’), dan anak-anak FELDA, maka ‘semangat untuk menjadi penyair rakyat’ dibawa ke USM dan selepas itu (Zurinah, 2003:38). Universiti yang didatanginya ditakrif dari sudut yang amat berlainan,

Minden bagimu bukanlah rumput-rumput dingin
Minden bagiku bukanlah ramah angin
Ia adalah tangan-tangan bergantungan
Ia adalah belantara perjuangan
Demi air mata demi keringat
Orang-orang tercinta bernama rakyat.

Universiti dianggap sebagai tempat suci di mana rakyat diperjuangkan, dan cita-cita bangsa dijadikan kenyataan.
Buku kedua beliau maju lagi dan melihat penyair sebagai ‘pentafsir kehidupan’. Zurinah selalu merenung,alam dan manusia;karyanya melukis garis yang tidak lurus tentang hidup yang ‘resah’.

Kata Zurinah, penyair ‘mesti sedia berfikir’ – dan yang difikirkan haruslah tentang kehidupan ini.
            Ruang yang menjadi perhatiannya cukup besar, dari masalah konsumerisme,(‘Dunia  sebuah Pasar Raya’) hinggalah ke pengambilan tanah oleh orang yang menggunakan kekuasaannya dan dengan itu memiskinkan dan menjadikan tuan punya tanah sebagai orang tidak punya apa-apa, dan nanti mungkin juga bukan saja tanpa tanah, serta ‘tanpa tanah air’, kepada peranan sultan, dengan soalan apakah sultan boleh dijadikan tempat berlindung bangsa yang sebenar – dan kita maklum jawapannya hanya dengan mendengar soalan!
            Di samping itu sebagai pengguna bahasa Melayu dan sangat sedih apabila apa yang sedang berlaku kepada manusia ini beliau menyediakan ruang untuk mempertahankan dan juga menyindir mereka yang mengkhianati bahasa ini, tidak terhindar yang tersohor namanya.
            Sebagai kemuncak kepada puisi kemasyarakatan atau publik ini kita saksikan dalam Pujangga Tidak Bernama dan kumpulan bersama akhirnya, Nota Waktu, walau terselit beberapa unsur autobiografi seperti dalam sajak ‘Pekan Rabu’, tetapi bibit ini menumbuhkan soal jati diri dan masalah Melayu serta masa depannya. Misalnya kita diheret untuk mendengar ‘Dilema Seorang Melayu’, yang dirundung kesetiaan terhadap terlalu ramai tuan,
            ‘Alangkah sukarnya membuat keputusan
            Untuk setia kepada raja yang zalim
            Dan menzalimi kawan yang setia’.

            ‘Dilema Hang Tuah pada masa dulu adalah sebenarnya dilema kita pada masa ini’. (Zurinah,2003:133). Penyair melihat ini sebagai salah satu dasar masalah dasar Melayu, kerana manusianya dibekukan oleh masalahnya, dan tidak dapat berbuat apa-apa. Inilah yang membuat Zurinah berkata,
            tetapi apa yang lebih aku bimbangkan
            ialah bangsaku pada hari esok.

            Sekiranya penyair pulang ke pangkal sejarah maka beliau melihat bahawa sejarah banyak mengajar, dan menjadi akar kepada pohon semasa. Beliau pulang ke peristiwa dan watak sejarah untuk mencari situasi kekal dilema Melayu, seperti yang dibuat dalam sajak terdahulu ini.
            Begitu pula masalah orang Melayu Pulau Pinang juga diberikan ruang sedih dan gelap di halaman dan fikirannya, dan dibengangkan dalam ‘Mari Berpantun di Pulau Pinang’ (1994:15). Suaranya muram, kerana digaraukan oleh kemiskinan dan kehilangan yang berterusan. Yang mungkin diramalkan, walau tak diingininya ialah,
            ‘hilang satu persatu
            bangsa tidak bernama’.

            Sama nada dengan masalah Pulau Pinang ialah sajak yang menangisi nasib anak-anak Melayu lainnya, yang juga menderitai takdir Pulau Pinang, walau pun tidak tinggal di kota ini (Zurinah,1994:38)
            dewasa mengenang untung nasib
            yang serba malang serba kurang.

            Inilah sajak-sajak publik oleh penyair yang ingin memainkan peranan tradisionalnya. Dan Zurinah menjalankan tugas ini dengan baik, kerana beliau bukan seorang sentimentalis yang merayu atau merintih. Beliau mencari masalah, dan menurunkannya untuk diperlihatkan kepada pembacanya, dan juga bangsanya. Pada saya umumnya sajak-sajak publiknya dapat menyentuh masalah sebenar, mendalam dan jujur, bukan ditulis yang baik-baik untuk memuji perdana menteri atau menteri lainnya di pesta pembacaan puisi rasmi.
            Sajak-sajak mutakhirnya adalah sajak-sajak yang memerhati, menilai dan smaa menderitai nasib Melayu. Beliau selalu merujuk kepada sejarah, kerana perspektif yang ditawarkannya, dan dari pandangan masa kini menjadi lebih berfokus dan tajam. Oleh yang demikian cerita-cerita dari Sulalat al-Salatin, watak dan situasi Hikayat Hang Tuah yang dihadapi Hang Jebat, Tun Teja dan Tun Fatimah digunakan sebaliknya. Dan kelihatan bahawa Zurinah lama merenung keadaan mereka – kerana makna yang dicari bukan saja makna sejarah, tetapi makna kontemporer. Dan yang muncul dari perspektif dua mata ini cukup bijaksana, matang dan ternyata diperas dengan susah payah dari pengalaman yang sedih serta pedih.
            Sejarah menawarkan teras masalah dan dilema, dan apabila diulang cerita memberi makna yang berguna bukan saja untuk orang yang mengalaminya pada peristiwa asal tapi juga untuk kita yang telah melalui beberapa generasi. Sejarah menawarkan makna ulang tayang dan ulang perit.
            Beliau mengkritik zaman dan peristiwa, kehilangan orang Melayu dan kekalahannya. Tetapi Zurinah juga boleh mengkritik dirinya sendiri, dalam penyesalan terhadap suara keras yang dilepaskan terhadap ibunya tentang kerosakan kualinya sendiri, manakala wanita tua itu mengorbankan segala-galanya untuk anak-anaknya. Cerita sedih ini dibentangkan dalam ‘Kuali Hitam’.
            Walau beliau menjadi penyair rakyat Malaysia, namun perlu disebut di sini bahawa dunia kepenyairannya cukup besar, sering juga mengembara ke kesusasteraan lainnya, dan pengalaman lainnya. Dalam barisnya pernah muncul citra manusia sebagai pelakon di pentas, dan juga sebagai dekonstruksi kepada Shakespeare, pentas Beckett yang kosong, dan absurd (mungkin diperkenalkan dalam kuliah di USM),
            Kata Shakespeare
            Dunia adalah sebuah pentas ...

Di tangan Beckett
Manusia adalah pelakon
Yang terperangkap di pentasnya ..

Jelas beliau sedarkan akan dunia sastera dalam bahasa lain, dan jalur falsafah lain. Sajak-sajak mutakhirnya adalah penegasan, atau penguatan terhadap sajak-sajak yang lebih awal.

Alatan untuk Gagasan
            Seorang yang mementingkan tema publik harus juga mempersiapkan alatan puisi untuk menyampaikan gagasan atau pandangannya. Tanpa alatan yang efisien makna itu tidak mungkin sampai sepenuhnya, dan dalam nada yang diinginkan. Pada Zurinah (2004) bahasa yang baik, ialah yang mudah difahami khalayak, sesuai dengan suasana hati dan makna yang ingin disampaikan, dan akhirnya boleh menjadikan sebuah sajak yang baik.
            Jadi yang dipilih beliau puisi kontemporer, yang dikutip dari bahasa harian, tetapi bukan bahasa, namun bahasa orang sedang berfikir dan menyampaikan pendapatnya. Oleh yang demikian kita seperti mengikut lorong fikirannya, mengikut logika dan juga hujahnya.
            Fikiran atau hujah kadang-kadang berakar kepada metafora, manusia atau pun alam. Dan metafora yang dicari bukan yang lusuh oleh ulang guna tetapi ‘yang segar’.
            Cukup menarik juga bahawa Zurinah tidak menulis untuk menyedapkan perasaan kita atau memuji bangsa bagi pihak ahli politik yang boleh mendapat keuntungan daripada kata-kata baik penyair.
            Walau bahasa beliau agak keras atau kurang luwes dalam sajak-sajak awalnya, tetapi dalam  sajak-sajak mutakhirnya beliau sudah lebih lentur, diluweskan oleh kematangan, pengalaman dan juga cinta pada bahasa ini. bahasanya lebih halus, walau suaranya masih khusus Zurinah – langsung, tanpa banyak hiasan,atau lenggok dendangan. Apa yang dipersoalkannya tidak  mungkin dibawakan dendang tradisional.
            Saya selalu terkesan oleh metafora dan diksi yang sesuai, tepat dan oleh itu lekat pada ingatan.
            Sering kita dihadiahkan dengan metafora dan alur gagasan yang membawa ‘surprise’ . dan hadiah begini tidak datang dengan mudah. Seperti diakui oleh Zurinah sendiri (2004), beliau mengambil waktu untuk mengedit, dan proses pengeditan melalui beberapa peringkat. Kata beliau, walau sehingga sudah terbit pun beliau akan merubahnya sekiranya dirasakan sesebuah frasa ayat atau citra itu kurang tepat atau sempurna.
            Yang juga amat jelas ialah bahawa sajak-sajak ini adalah karya yang asli- tumbuh langsung dari peribadi dan fikiran penyair. Jarang ada yang diulang dalam perasaan atau perkataannya. Jarang ada klise, inilah hasil dari suatu zaman yang baru, situasi dan pandangan yang dihadapi oleh seorang penyair asli untuk disampaikan dengan susah payah kepenyairan oleh Zurinah.
            Pada umumnya, walau pun ada kekecualian, keindahan puisi Zurinah tidak tertawan oleh gemalai dan lelehan manis bunyi perkataan, (yang sangat dicari oleh khalayak puisi Melayu), tapi oleh metafora baru, sudut baru dan tema baru. Beliau menulis dalam arus kontemporer.
            Pada beliau, seperti ramai penyair yang memberat kepada gagasan dan fikiran, ‘bentuk walau pun boleh dicari- bagi puisi makna lebih panjang’ (Zurinah,2004). Dianggapnya bentuk hanya sebagai kulit, tetapi di atas segala-galanya ialah makna, pemikiran dan kebijaksanaan yang menjadi pusat kejayaan sesebuah puisi.
RUJUKAN
Asri Efendi, ‘Zurinah Hassan penyair Pentafsir Kehidupan’. Mingguan Malaysia, 13 Julai 1986.
Kemala, ‘Zurinah Hassan (Siswazah Universiti Sains Malaysia ): Jaring dan Siklus    Kepenyairannya’ dalam Majlis Kebudayaan Negeri Kedah Darul Aman, Warisan Sastera Kedah Darul Aman. Alor Setar: Majlis Kebudayaan Negeri Kedah Darul Aman. 
Shahnon Ahmad, 1978. Penglibatan dalam Puisi. Kuala Lumpur:Penerbit Utusan.
Zurinah Hassan dan Lim Swee Tin,2000. Nota Waktu. Kuala Lumpur :Citra.
Zurinah Hassan,1971. Sesayup Jalan . Pulau Pinang: Biro Penerbitan USM.
Zurinah Hassan, 2003. Memoir Zurinah Hassan : Menjejak Puisi. Bangi : Penerbit UKM
Zurinah Hassan. 1977. Di sini Tiada Perhentian. 1977. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan pustaka.
Zurinah Hassan. 1985. Keberangkatan . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zurinah Hassan. 1994. Pujangga Tak Bernama. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zurinah Hassan, 2004 (a) Pesanan dari Gunung Ledang/ A Message from Mount Ledang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zurinah Hassan. 23 November, 2004 (b). Temu ramah, Shah Alam, Selangor.
_________________________________________________________________

No comments:

Post a Comment