ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Monday, February 11, 2013

PETIKAN KERTASKERJA DR. SUZANA MUHAMMAD (USM)




PEMBENTUKAN IDENTITI WANITA: PENDEKATAN FEMINISME PUISI-PUISI TERPILIH ZURINAH HASSAN.
(sedutan kertaskerja Dr. Suzana Muhammad (Universiti Sains Malaysia)yg mengulas kumpulan puisi Pesanan Dari Gunung Ledang/ A Message From Mount Ledang 2004, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka) yg dibentangkan dalam  “Seminar Kefahaman Budaya ke VIII: Zurinah Hassan, Sirih Pulang ke Gagang”, yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia,Pulau Pinang pada 18 Disember 2004 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia. 



Zurinah mencampuradukkan watak sejarah dan legenda untuk menyokong pembentukan identiti wanita baru. Perbincangan tentang watak-watak wanita legenda dalam konteks intertekstualiti itu berjaya membuka ruang kepada pembaca untuk memahami kedudukan wanita yang diklasifikasikan sebagai “invisibility, silence dan marginality” . Berdasarkan watak-watak wanita legenda Zurinah menggesa pembaca membuat perbandingan tentang kedudukan wanita dalam masyarakat yang tidak bersuara dan selalu dijadikan mangsa kepada keadaan. Hubungan intertekstualiti ini muncul dalam puisi-puisi seperti “Surat Teja kepada Tuah”, “Pesanan Puteri gunung Ledang kepada Sultan Mahmud” dan “Pelayaran Hang Li Po”. Penyair secara tidak langsung mengupas kelemahan wanita yang tidak bersuara, wanita yang tidak berani menentang adat dan juga wanita yang cekal menghambakan diri demi kepentingan patriaki . Namun begitu, di sebalik bait-bait rangkap puisi terpapar suara kontemporari serta sinis yang mengusul wanita agar bangkit dan tidak alpa menerima nasib seadanya.

Watak mitos Puteri Gunung Ledang menjadi lambang kebangkitan wanita melawan dan bersuara lantang menolak kemahuan dan mengikut telunjuk lelaki. Wujudnya prinsip-prinsip “disobedience” atau ingkar yang secara tidak langsung meletakkan wanita pada tahap yang lebih berani bersuara berbanding sebelumnya. Konsep ini bersifat politik kerana dengan mencabar wacana patriarki, penulis wanita perlu menulis pengalaman wanita itu sendiri. Mary Eagleton mengupas teori politik feminisme:
Women find it difficult to give expression to their true selves and feel invisible or marginal in a male-dominated culture. Part of the struggle of feminism has been to support woman in creating new, valid images of themselves, a sense of wholeness and a more authentic representation of what it means to be a woman. (189)

Zurinah dalam koleksi puisi Pesanan “Dari Gunung Ledang/ A Message From Mount Ledang
telah menyahut cabaran Eagleton dengan membuat pembentukan identiti wanita yang unik. Puisi-puisi seperti “ Catatan untuk Siti” dan  “Perkahwinan” memaparkan sikap penulis lebih terbuka terhadap perbentukan dan perwatakan wanita kontemporari. Zurinah menekankan keperluan individu wanita itu sendiri untuk menghadapi cabaran serta mengambil langkah initiatif melakukan pembaharuan. Pendekatan feminis mengenal pasti kekuatan wanita yang dikaitkan dengan kecekalan dan keras hati Legenda Puteri Gunung Ledang yang menolak cinta Sultan Mahmud dalam teks sejarah. Pendekatan Feminisme melihat kekuatan penyair dalam usaha meneguhkan kekuasaan dan autonomi dalam tema-tema puisi yang dipilih.

Dalam puisi-puisi Zurinah terdapat lebih banyak watak-watak wanita legenda dalam teks sejarah yang telah diubahsuai identitinya untuk menyampaikan maksud yang lebih feminin. Dalam kertas kerja ini, pembaca berpendapat Zurinah banyak belajar daripada kesilapan wanita dalam legenda Melayu yang akur terhadap situasi dan kehendak patriarki pada zaman sebelum ini. “Surat Teja kepada Tuah” secara sinis mengkritik watak wanita yang telah dijadikan boneka oleh pahlawan tersohor. Namun begitu, Zurinah menekankan perbezaan darjat (social class) antara Teja dengan Tuah dari segi keturunan dan kedudukan dalam masyarakat Melayu ketika itu yang tidak menyokong  penyatuan dua insan berlainan darjat.
           


Tapi apakan daya
            Teja bukan perempuan biasa
            Lahir di kamar kebesaran
            Besar di taman larangan
Amat jelita dan mulia
Untuk melayani impian yang terlalu biasa

Zurinah meletakkan darjat kebangsawanan Teja dalam puisi ini sebagai asas untuk meninggikan martabat wanita. Namun dalam cerita asalnya, Tuah hanya berpura-pura menyintai Teja. Memikat Teja untuk Sultan dilakukan demi mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pahlawan yang taat setia kepada Sultan. Watak Tun Teja dalam puisi ini telah menunjukkan bahawa wanita sejak dari dahulu lagi telah diperalatkan oleh lelaki untuk kepentingan kedudukan politik dan kepentingan sosial tanpa mengira keturunan dan kedudukan wanita tersebut.

Oleh yang demikian, pembentukan identiti wanita diolah secara lebih positif dan diberi imej baru dalam puisi “Pesanan Puteri Gunung Ledang.” Dalam puisi ini, penyair menekankan tidak semua watak wanita legenda Melayu terpaksa akur kepada keadaan patriaki dan tersungkur demi memenuhi tuntutan dan tanggungjawab sosial kepada negara serta masyarakat. Penyair membayangkan Puteri Gunung Ledang sebagai contoh penolakan wanita terhadap penindasan dan konvension. Zurinah menyelitkan watak wanita yang berani dan tidak akur kepada dominasi patriarki. Namun begitu di sebalik imej positif Puteri Gunung Ledang, dalam puisi “Pesanan Puteri Gunung Ledang” watak-watak legenda wanita Melayu yang telah tewas kepada lelaki dipaparkan untuk mengungkap perihal penindasan wanita yang sering kali diperalat dan ditindas oleh patriarki.
            Tuan Mamat,
            Sebenarnya aku memberi syarat ini
            Kerana aku tidak sudi menjadi permaisuri sultan
Dan hidup bercerminkan kekeruhan
Aku bukan Tun Fatimah
yang pandai memaafkan kezaliman
aku bukan Tun Kudu
yang tahu merelakan paksaan
cukuplah terbungkus menjadi persembahan
dan tersungkurnya Tun Teja
ketika menangkap bayang-bayang cinta

  Dalam rangkap ini, imej Tun Fatimah dikupas kembali sebagai watak wanita yang mudah memaafkan kezaliman setelah ayahanda serta seluruh ahli keluarga dibunuh dengan kejam atas alasan ingkar kepada Sultan. Cerita sejarah Bendahara Melaka dan ketaatan beliau menyokong kedaulatan Sultan diceritakan kembali dalam konteks serta zaman yang berbeza. Watak Tun Fatimah yang menikahi Sultan setelah seluruh ahli keluarga dibunuh membayangkan Tun Fatimah sebagai wanita yang tidak berpendirian teguh. Dalam puisi ini Zurinah memanipulasikan imej Tun Fatimah sebagai wanita yang menerima nasib seadanya. Sedangkan catatan sejarah menunjukkan Tun Fatimah juga seorang wanita yang berani dan lantang bersuara. Dari satu sudut, Zurinah terlalu Streotaip terhadap watak wanita legenda, Tun Fatimah. Begitu juga dengan watak Tun Kudu yang tidak mempunyai pilihan mahupun membuat keputusan sendiri menyebabkan beliau “merelakan paksaan” tanpa meneliti konteks sebenar peristiwa yang telah berlaku. Dalam rangkap ini bait-bait yang menyebut “cukuplah dengan puteri Hang Li Po yang terbungkus menjadi persembahan” penyair secara sinis membuat analisa mudah mengatakan Li Po dijadikan barang persembahan kepada Sultan demi mengukuhkan hubungan perdagangan antara Melaka dengan Negara Cina seperti yang dicatat dalam teks sejarah. Ternyata peristiwa Li Po dijadikan tanda aras yang meletakkan kedudukan wanita sebagai alat atau barang yang diperdagangkan demi kepentingan masyarakat, negara dan tanah air. Penyair menekankan setinggi mana sekalipun kedudukan seorang wanita, pemerintah patriarki tetap meletakkan kedudukan wanita sebagai subordinasi. Sebagai contoh kisah Li Po walaupun hidup sebagai seorang puteri raja, namun kepentingan dan kewujudan wanita ini terpaksa dikorbankan demi kepentingan politik.

No comments:

Post a Comment