ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Sunday, April 05, 2015

BERLATIH UNTUK DEKLAMASI PUISI


  •         Baca dan fahami sajak yang akan dideklamasikan.
  •         Berlatihlah menyebut setiap perkataan. Beri perhatian kepada perkataan yang sukar.(lain orang lain masalah).  
  •         Fikirkan gaya yang sesuai dengan sajak yang dipilih.
  •         Jaga kesihatan dan suara supaya bagus pada hari pertandingan.
  •         Buatlah gerakan atau senaman bagi memperbaiki pernafasan dan kawalan suara.

·        

PERGERAKAN:

Pergerakan terlalu banyak apa lagi yang tidak ada kaitan akan mengganggu pembacaan. Adakalanya pergerakan itu menyebabkan suara deklamator tenggelam dan tidak jelas kedengaran.Gaya keterlaluan biasanya terjadi kepada deklamator yang terlalu mahu kelihatan ‘bersungguh-sungguh’. Deklamator terbabit membaca dengan sekuat suara, sering bertempik, menimbulkan nada sedih dengan menangis tersedu sedan dan sebagainya. Perbuatan itu tidak dilarang tetapi mesti bersesuaian.

Tetapi biasanya gaya keterlaluan seperti itu hanya menimbulkan kelucuan dan jarang membawa kemenangan. Peserta harus tahu membezakan antara berlakon teater dan bergaya di pentas deklamasi.
DEKLAMASI YANG BERJAYA :
Dapat menarik penonton menghayati makna, pemikiran dan suasana dalam sajak. Penonton terus menumpukan perhatian terhadap bacaannya.
Dapat membuat penonton bersedih atau membangkitkan semangat patriotik mereka mengikut maksud sajak yang dibaca.

Deklamasi  membabitkan suara, sebutan, nada, intonasi, mimik muka, gerak badan dan sebagainya. Semua itu mesti dipadukan dengan harmoni dan sesuai dengan maksud sajak.

DEKLAMASI GAGAL JIKA:
sebutan tidak jelas,
kurang keyakinan
lupa skrip (baris-baris sajak).

SEBUTAN TIDAK JELAS
Penonton tidak ada teks mereka hanya bergantung kpd pembacaan deklamator. Deklamator mesti menyebut setiap perkataan dengan jelas. Jika lain yang disebut lain kedengaran tentulah menjejaskan makna sajak. Contohnya banyak spt penjajah disebut penjaja. Polusi disebut polisi, martabat jadi martabak, mujahid jadi mujahat.

Contoh baris:
“Bertahun tanah ini dipijak penjajah”  jgn jadi “bertahun tanah ini dipijak penjaja”.
“alam di tawan polusi”  jangan dijadikan “alam ditawan polisi”,

Apabila ini terjadi makna sajak berubah, malah menimbulkan kelucuan dan mengganggu suasana dan penghayatan penonton dan ia dianggap satu kegagalan.
Baca sajak dengan berulang kali, ulang sebut perkataan yang mungkin bermasalah

KURANG KEYAKINAN
Ada deklamator tidak menghadap penonton dengan yakin. Ini menyebabkan ia teragak-agak, kurang bersungguh-sungguh, sebutan tidak jelas dan suara tidak keluar. Ini terjadi apabila deklamator tidak membuat persediaan secukupnya.

TERLUPA SKRIP:
 Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan membenarkan peserta membawa kertas di pentas, namun peserta yang boleh menghafal dengan baik tentu berhak menerima markah lebih kerana itu membuktikan kesungguhannya.Jika deklamator terlupa dan meninggalkan beberapa baris, tentu menjejaskan makna sajak. Ada deklamator terlupa perkataan asal lalu menggantikannya dengan perkataan lain sehingga maksud sajak berubah.
Markah di potong mengikut sejauh mana pembacaan menyimpang daripada makna sebenar. Walaupun deklamator dibolehkan membawa kertas, mereka perlu pandai mengawal keadaan supaya tidak ketara.

INTONASI:
Intonasi bergantung kepada maksud sajak. Deklamator mesti membaca dan mengawal intonasi suara, meninggi dan merendahkan suara pada tempat sesuai dengan maksud sajak. Tidak semestinya menjerit dan bertempik untuk menghasilkan pembacaan bertenaga. Jika deklamator bertempik dan berada terlalu dekat dengan mikrofon yang tidak begitu canggih, maka kedengaran bingit dan menyakitkan telinga. Ini mengganggu penonton dan pengadil. Suasana sajak gagal dibina dalam keadaan ini.

Gunakan kreativiti mencari gaya baru dan tidak meniru gaya lalu.Apabila puisi dipentaskan, baik pada pertandingan, teater atau dilagukan, ia mesti mencapai matlamat menyampaikan maksud puisi. Tidak ada gunanya puisi diberikan irama atau digayakan dengan pelbagai gerak dan tari jika irama atau pergerakan itu sendiri menenggelamkan maksud sajak.
·        
Deklamasi puisi adalah persembahan seni. ia meminta kreativiti dan gaya tersendiri.



4-4-2015 BERSAMA PELAJAR-PELAJAR DI RUMAH GAPENA, MEMBERI PENDEDAHAN KEPADA MEREKA TENTANG PUISI DAN DEKLAMASI PUISI.

No comments:

Post a Comment