ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Friday, April 13, 2012

Sajakku DOSA PERAGUT

Salam, hari ini mahu bercakap tentang sajak saya Dosa Peragut. Sebuah karya kreatif mengandungi elemen realiti dan imaginasi yang bertujuan mengajukan pemikiran melalui sentuhan emosi. Sajak ini tersiar di Dewan Sastera tahun lalu. Lupa pula bulan berapa . Yang pasti bukan awal atau hujung tahun.

Dosa Peragut

Terbaring sakit begini
aku mula mengerti
dosa itu daki
yang mengkaratkan hati

Bertahun-tahun aku menjadi peragut
tidak pernah merasa bersalah
sebaliknya aku marah-marah
kepada pemerintah
pemimpin bermewah mewah
membazir wang rakyat
punca jenayah meningkat

Politik berserabut
ekonomi kalut
bagaimana aku boleh hidup
kalau tidak meragut

Tanpa rasa terkilan
kutunggu mangsa di jalan
Hinggalah hari itu
kuekori seorang perempuan
kurentap bag yang disandang
dia cuba menghalang
kutolak jatuh terlentang
kulihat kepalanya berdarah
apakah lukanya parah?

Jeritannya memanggil sekawan pemuda
mereka membelasahku setengah mati
sebelum menyerah ke polisi

Siang tadi aku dibawa ke pengadilan
mendengar pertuduhan
aku peragut kejam
menzalimi seorang ibu yang sedang berjalan
mencari ubat untuk anak yang demam
dengan sekeping RM lima puluh yang baru dipinjam.

Ya, dalam dompetnya hanya RM lima puluh
tetapi itu aku tidak hairan
pendapatanku memang tidak pernah lumayan
mangsaku selamanya orang-orang miskin
yang berjalan dengan wang sedikit
bukan sikaya yang berjalan dengan kad kredit
jauh dari lorong-lorong sempit

Aku juga sedar itu perkara biasa
di mana-mana
orang miskin membantai orang miskin
sedang orang kaya bersantai dengan yakin.

Tapi wajah mangsaku
serupa benar dengan aruah ibu
yang suatu ketika dulu
menangis memangku tubuh adikku
yang terbujur kaku
si kecil itu demam berhari-hari
menangis tidak berhenti henti
ibu mendokongnya ke sana ke mari
menjelum kepalanya dengan daun melur
kerana tiada wang untuk dibawa ke doktor.

Menatap wajahnya
dinding perasaan yang dikeraskan oleh kemiskinan
runtuh juga diterjah kenangan
pagi tadi mahkamah tergamam
bila seorang peragut yang bengis
tiba tiba menangis
ZURINAH HASSAN

REALITI
Maksud sajak ini jelas iaitu tentang seorang peragut. Bertolak dari kejadian ragut yang menjadi-jadi pada masa sekarang. Kita terbaca di akhbar tentang kejadian ragut. Saya membaca tentang seorang wanita mangsa ragut yang cedera malah ada yang meninggal dunia. Masyarakat sangat marah kepada peragut.

Ada juga orang bercakap di sana sini bahawa kejadian ragut berlaku akibat kemorosotan ekonomi. Anak-anak muda berkeliaran tanpa pekerjaan. Bagaimana mereka boleh hidup selain mencuri dan meragut. Ada yang menyalahkan pemimpin yang rasuah, melenyapkan duit rakyat dan tidak menguruskan negara dengan betul.

PEMIKIRAN
Ingin mengajak pembaca berfikir tentang keadaan ekonomi negara, mengajak pemimpin agar insaf dan memperbaiki keadaan.

IMAGINASI
Unsur imaginasi dalam sajak ini khusus bertujuan membangkitkan emosi. Saya cipta watak seorang peragut dan timbulkan watak-watak seperti mangsa, ibu peragut dan anak mangsa yang demam.

EMOSI
Emosi dibangkitkan melalui kenangan peragut terhadap ibunya yang terlalu sedih bila adiknya meninggal dunia setelah demam berhari-hari sedangkan ibu tidak mempunyai wang untuk membawa adik berjumpa doktor.

1 comment:

  1. Saya membuat cerpen menggunakan sajak ini...

    ReplyDelete