ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Monday, April 30, 2012

PANGLIMA SALLEH SELENDANG MERAH

Rencana ini disiarkan di DEWAN SASTERA MEI 2012 ruangan Bicara Karya.


Penanda Sejarah
Panglima Salleh Selempang Merah

OLEH: ZURINAH HASSAN


Panglima Salleh Selempang Merah (PSSM), yang ditulis oleh Zaharah Nawawi merupakan sebuah novel sejarah setebal 394 halaman yang mengisahkan perjuangan dan kebangkitan orang Melayu menentang kekejaman komunis. Kebangkitan ini terjadi di sekitar Batu Pahat dan Muar, Johor, diketuai oleh seorang yang bernama Salleh bin Abdul Karim dan bergelar “Panglima Salleh Selempang Merah”.Bagi orang yang tidak tahan hati mungkin tidak sanggup membaca secara terperinci atau menghabiskan novel ini. Novel ini penuh dengan gambaran realistik perbuatan kejam komunis terhadap penduduk kampung.

Mengikut Zaharah Nawawi sewaktu ditemui di rumahnya di Subang Jaya pada 25 Disember 2011, peristiwa-peristiwa yang digambarkan di dalam novel ini adalah peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku sepertimana yang diceritakan oleh beberapa orang yang mengalaminya kepada beliau. Watak-watak yang ditemui di dalam novel ini adalah watak-watak yang sebenar. Ada di antara mereka yang masih hidup pada hari ini. Walau bagaimanapun sebahagian nama-nama mereka telah diubah atas sebab-sebab keselamatan.

Penanda Novel SejarahKamus Inggeris Webster memberi definisi novel sejarah sebagai “a novel having its setting a period of history and usually introducing someone historical personage and events,” (Webster Third New International Dictionary: 2011: 1079) yang boleh diertikan sebagai sebuah novel yang berlatarkan suatu masa di dalam sejarah dan memperkenalkan seseorang atau sesuatu kejadian yang bernilai sejarah. Mengikut The New Encyclopedia Britannica, novel sejarah ditakrifkan sebagai:Work of fiction that attempts to convey the spirit, manners, and social conditions of a past age with realistic detail and fidelity to historical fact. The work may deal with actual historical personages or it may contain a mixture of fictional and historic events. More often it attempts to potray a broader view of a past society in which great events are reflected by their impact on the private lives of fictional individuals. (The New Encyclopedia Britannica V, 1998:948)Dengan berpandukan definisi yang diberikan oleh ensiklopedia Britanica, novel sejarah dapat dirumuskan sebagai sebuah novel yang berlatarkan suatu waktu yang penting di dalam sejarah sesebuah negara. Temanya mungkin menghidupkan kembali semangat perjuangan atau kebangkitan rakyat yang berlaku pada waktu tersebut. Novel sedemikan turut memaparkan keadaan sosial sesuatu masyarakat dengan terperinci dan bertepatan dengan fakta sejarah. Karya tersebut mungkin menceritakan kisah hidup seseorang tokoh sejarah atau mungkin peristiwa-peristiwa sejarah yang mempengaruhi kehidupan watak-watak rekaan.Setakat ini, pembicaraan berkenaan novel sejarah telah dilakukan oleh Mohamad Saleeh Rahamad melalui bukunya Pencerekaan dalam Novel Sejarah (Penerbit Universiti Malaya, 2005). Beliau telah memperkatakan tentang konsep novel sejarah dan perkembangan novel sejarah di Malaysia dari tahun 1930-an hingga 1980-an. Seterusnya, Saleeh menumpukan pembicaraannya kepada novel Zaman Gerhana (A.Samad Ahmad), Panglima Awang (Harun Aminurrashid), Kembalikan Aku ke Laut (Shaari Isa) dan Panglima Salleh Selempang Merah (Zaharah Nawawi).Dalam Pencerekaan dalam Novel Sejarah, Saleeh memetik beberapa pandangan sarjana tentang konsep novel sejarah. Beliau lebih tertarik dengan pandangan Fleishman yang mengatakan bahawa novel sejarah adalah suatu seni imaginasi yang menggambarkan sejarah dengan secara kreatif (imaginative portrayal of history) (Saleeh, 2005: 33). Saleeh merumuskan bahawa novel sejarah adalah karya kreatif yang ditunjangi peristiwa (bernilai) sejarah yang dihidupkan oleh watak-watak sejarah yang selaras dengan latar waktu dan gambaran sezamannya. Meskipun mementingkan fakta-fakta sejarah, pengarang boleh memasukkan gambaran berdasarkan imaginasi bagi tujuan mengindahkan cerita atau menimbulkan kesan realiti dalam novel. Pengarang boleh memaparkan kisah yang telah lama berlaku atau yang berlaku semasa hayat pengarang. Sesebuah novel sejarah harus menggambarkan dengan sebenarnya cara hidup dan adat resam masyarakat di mana peristiwa itu berlaku, membicarakan seorang tokoh sejarah atau beberapa tokoh yang boleh dikenali, dan menggambarkan sesuatu peristiwa masa lalu yang diingati oleh masyarakat (Saleeh, 2005: 33).Novel sejarah menceritakan kembali peristiwa peristiwa penting di dalam sejarah yang mempengaruhi kehidupan rakyat atau mengisahkan kehidupan seseorang watak yang telah memainkan peranan yang besar. Terdapat novel yang tidak memaparkan kisah hidup watak yang sebenar. Dengan kata lain, watak-wataknya adalah rekaan semata-mata. Namun begitu, peristiwa yang dilalui berjalin rapat dengan peristiwa-peristiwa penting di sesebuah negara. Semua kisah hidup yang dipaparkan merupakan refleksi sejarah manusia yang dikutip daripada alam atau kejadian-kejadian yang nyata oleh pengarang Pengarang merenung kejadian atau peristiwa yang telah terjadi, mentafsir, menyaring dan merakamkannya semula di dalam bentuk karya kreatif (novel sejarah). Sebagai sebuah hasil sastera, novel sejarah juga mempunyai unsur cereka, tema dan persoalan, watak dan perwatakan, plot, latar, sudut pandangan dan bahasa sebagai wadah pengungkap. Inilah yang membezakannya daripada wacana sejarah. Saleeh merumuskan bahawa “novel sejarah” ialah karya kreatif yang ditunjangi peristiwa (bernilai) sejarah, dihidupkah oleh watak-watak sejarah (yang dapat dikesan) selari dengan faktanya serta latar waktu dan gambaran sezamannya. Novel sejarah merakam peristiwa sejarah dengan cara yang kreatif berserta penggunaan daya imaginasi tinggi dan dibangunkan oleh struktur cereka (Saleeh, 2005: 33).

Peranan Novel Sejarah

Novel sejarah mempunyai peranan di dalam membentuk pemikiran rakyat. Mengikut Othman Puteh, “Penghasilan novel-novel sejarah sesungguhnya mempunyai peranan penting dari sisi pendidikan dan pembentukan peribadi dalam kalangan pembaca remaja Malaysia” (Saleeh, 2005: xv). Menurut Othman, antara fungsi novel sejarah dalam konteks ini adalah untuk memberikan pengajaran kepada pembaca supaya mereka mengenal diri sendiri dan asal usul keturunan bangsanya, dapat memberikan gambaran hidup masyarakat dengan tepat, dapat menimbulkan atau mencetuskan kembali semangat kebangsaan yang mulai pupus akibat peredaran zaman, dan dapat menanamkan semangat cinta akan tanah air serta bersedia mempertahankan watan daripada sebarang bentuk pencerobohan pemikiran budaya dan penjajahan (Saleeh, 2005: xv). Hal ini turut ditekankan oleh Mana Sikana dalam kertas kerjanya berjudul “Konsep dan Semangat Patriotisme dalam Drama Melayu Moden” sempena Hari Sastera 1983 di Johor Bahru, Beliau mengulas tentang sejarah Melaka yang dihidupkan kembali oleh pengarang semasa dengan tujuan menaikkan semangat orang Melayu:Sejarahnya dihidupkan semula untuk menjelaskan bahawa orang-orang Melayu telah pernah mempunyai sebuah kerajaan yang besar dan tidak mustahil orang-orang Melayu boleh merdeka dan membina tamadun baru. Hang Tuah, Hang Jebat, Tun Fatimah dan ramai lagi di sepanjang sejarah penentangan terhadap penjajahan telah dijadikan sumber teks.Antara pengarang Melayu yang menulis novel sejarah ialah Harun Aminurrashid dan tokoh drama Shahrom Husein. Harun Aminurrashid telah meniupkan api patriotisme melalui perlukisan kembali keperwiraan pahlawan pahlawan Melayu di zaman silam. Tokoh drama , Shahrom Husein pernah berkata “tujuan besar saya mengarang novel-novel agar menjadi pelajaran dan ingatan orang-orang kita yang berjuang dalam politik untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu setelah dijajah oleh Barat.(Mana Sikana, 1985)

Saksi Sejarah dalam PSSM

Sebagai sebuah “novel sejarah”, PSSM mengutarakan peristiwa-peristiwa penting di dalam sejarah negara. Peristiwa-peristiwa itu mempengaruhi kehidupan masyarakat. Ini termasuklah Perang Dunia Kedua yang membawa huru-hara akibat keganasan MPAJA dan Parti Komunis dalam usaha menguasai Malaya. PSSM menyebut dengan khusus hari Jepun mula mendarat, iaitu pada 9 Disember 1941. Watak protagonisnya, Panglima Salleh, mempengaruhi perjalanan sejarah tempatan dan negara. Waktu yang paling perit ialah selepas Jepun menyerah kalah dan askar British belum didatangkan, sementara Askar Melayu belum diwujudkan. Askar Bintang Tiga tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan agendanya dengan bertindak ganas terhadap rakyat. Zaharah Nawawi mengisahkan tokoh sejarah yang benar-benar hidup dan dikenali oleh masyarakat, khasnya di Johor. Menurut Zaharah, beliau mula mendengar nama Panglima Salleh semasa masih kecil. Peristiwa yang paling meruntun hatinya ialah kezaliman komunis membakar rumah ketua kampung dan seluruh ahli keluarganya dibunuh. Zaharah menyaksikan sendiri bagaimana seorang anak sekitar 10 hingga 12 tahun yang cedera parah dirawat dan diselamatkan oleh penduduk kampung. Peristiwa ini tidak dapat dilupakan oleh Zaharah. Hal ini ditegaskan lagi di dalam kertaskerjanya yang disampaikan di dalam seminar Patriotisme Persuratan Melayu dalam Peradaban Malaysia, di UPSI pada 22-23 Disember 2011 yang lalu.Zaharah menulis:Apabila melihat api merah begitu marak dan tinggi menjulang angkasa membakar dan menghanguskan rumah Pak Naib pada jarak hanya sekitarlima ratus meter dari rumah yang kudiami bersama ayah, ibu, kakak,abang-abang, dan seorang adik lelakiku (semuanya sudah jadi Allahyarham) , kakak segera menarik tanganku. Dia mengelek adik lelakiku di pinggang kanan. Tangan kiri kakak menggapai dan memimpin tanganku sambil berbisik meminta agar aku jangan bersuara.(Zaharah:2011) Zaharah juga menceritakan bagaimana pihak komunis memaksa penduduk kampung memberi sumbangan makanan dan ubat-ubatan. Sesiapa yang ingkar dibunuh. Ada yang ditembak di hadapan keluarga, ada yang disula dengan buluh dari dubur hingga ke tekak lalu dicacakkan di hadapan rumah untuk dipertontonkan kepada penduduk kampung agar jadi iktibar. Segala ini mendorong Zaharah untuk menulis novel PSSM. Walaupun pengarang menceritakan kejadian yang berlaku di Johor, khasnya sekitar daerah Batu Pahat, kejadian yang sama berlaku di seluruh negara.

Peristiwa Derita Negara PSSM memaparkan peristiwa-peristiwa yang mempengaruhi kehidupan rakyat pada waktu itu. Akibat peperangan, rakyat sukar mendapatkan barang keperluan seperti garam. Novel ini menceritakan bagaimana sebuah keluarga di Kampung Parit Yaakob begitu kepingin untuk mendapat garam yang dibawa oleh Salleh dalam jajaannya di sana. Sudah lama keluarga tersebut menggantikan perasa garam dengan abu pelepah kelapa. Keadaan begitu terdesak sehingga Pak Cik Suib terfikir untuk membeli garam dengan emas yang disimpan. “Dia terkenang sebiji paun emas peninggalan ibu mentuanya. Paun itu tersimpan sulit di tangan isterinya. Sanggupkah dia meminta satu-satunya pusaka peninggalan arwah ibu mentuanya itu bagi ditukar dengan sekati garam?” (Zaharah, 1991: 11-12). Namun begitu. Panglima Salleh tidak sanggup menerima emas tersebut. Pak Cik Suib menawarkan pula sebiji perahu yang sudah tidak digunakan. Panglima Salleh menolak kedua-duanya dan menghulurkan garam dengan niat bersedekah. Peristiwa yang digambarkan itu bukan sahaja menggambarkan kepayahan yang ditanggung oleh rakyat, tetapi menyerlahkan sifat dan perwatakan Panglima Salleh yang tidak menangguk di air keruh.Kemunculan komunis membawa kesusahan malah kesengsaraan kepada rakyat. Kehidupan bertambah susah kerana mereka menyekat orang Melayu daripada menjual barang makanan kepada Jepun, walaupun Jepun membeli dengan harga yang lebih tinggi. Komunis sangat angkuh. Mereka mengawasi gerak geri rakyat: “Eh, bandar ini kita punya. Ke mana saja awak pergi, kepada siapa saja awak berjual beli semua kita tahu. Kalau awak tak mahu tengok matahari besok pagi, cubalah jual dengan Jepun.” (Zaharah: 11)Dari paparan pengarang, kita dapati bukan orang Melayu sahaja yang terhimpit oleh keganasan komunis, bahkan kaum Cina juga turut menderita. Komunis menzalimi orang Cina yang tidak mahu membantu mereka. Hal ini berlaku kepada watak seorang askar komunis, Ah Chong, yang telah dibelasah kerana tidak bertindak ke atas seseorang di dalam kawasan jagaannya yang menjual barang makanan kepada Jepun.Ah Chong disiksa kerana disyaki bermuka dua. Dia memberitahu Panglima Saleeh “Ada seorang petani Cina. Dia menjual sayur dan telur ayam kepada orang Jepun dalam kawasan jagaan saya. Saya sudah menasihatinya tetapi dia degil. Katanya untuk hidup dia tidak mengira bangsa. Siapa sahaja mahu membeli barangnya dengan harga yang baik, ke situlah dia menjual.” (Zaharah:13).Ah Chong tidak memaksa atau menyiksa orang itu sebab “dialah yang membela saya sejak kecil. Saya tahu dia bekerja keras untuk hidup. Saya tak sampai hati” (Zaharah: 14).

Peristiwa yang digambarkan menyerlahkan unsur kemanusiaan dan sentimen kasih sayang sesama manusia yang masih ada, walaupun di dalam keadaan darurat. Elemen perasaan adalah elemen yang penting di dalam sebuah novel. Kerana sifat perikemanusiaannya, Ah Chong dibelasah dengan kejam.Kesusahan yang ditanggung oleh orang China juga terdapat dalam dialog Ah Lek, “Eh Salleh, kalau dapat senapangkah, pistolkah dari mana-mana bawalah ke sini. Kita boleh beli dengan harga bagus.” “Rupanya tugas awak mengumpul senjata, ya?” usik Salleh.“Mengumpul senjata mudah. Yang saya susah hati, saya dikehendaki menyumbangkan duit sepuluh ribu ringgit. Habis semua pendapatan yang saya kumpul seumur hidup.” Seterusnya Ah Lek berkata, “Susah menjadi orang Cina ni Salleh”.(Zaharah: 15)Orang Melayu dan Cina dipaksa masuk komunis. Jika tidak, keluarga mereka akan dizalimi. Pada permulaan novel, diceritakan bagaimana Panglima Salleh juga telah diugut. Beliau terpaksa menjadi anggota komunis. Beliau dibawa masuk ke hutan tempat komunis bermesyuarat. Ini memberi satu kelebihan kepadanya. Dari sini, beliau mengenal tempat tinggal dan sarang komunis untuk membuat serangan kelak.Komunis juga memerah wang daripada oang berada. Sesiapa yang ingkar akan dibunuh. Komunis membakar rumah terutama rumah orang yang disyaki membelot, sehingga terpaksa lari untuk tidur di dalam hutan. Keperitan ini turut dialami oleh Zaharah Nawawi sendiri.

Tokoh Penanda Sejarah

Selain peristiwa yang mempengaruhi kehidupan masyarakat, satu lagi ciri penting novel sejarah ialah wujudnya tokoh yang mempengaruhi sejarah, yakni protagonisnya. Seperti kata Zaharah, jika tidak kerana Panglima Salleh, mungkin negara ini sudah jatuh ke dalam pemerintahan Parti Komunis Malaya (Zaharah, 2011). Latar masa semata-mata tidak menentukan nilai kesejarahan sesebuah novel kerana semua novel akan menceritakan sesuatu yang sudah berlaku sama ada baru berlaku atau sudah lama. Hampir semua menggambarkan keadaan masyarakat dan keadaan negara pada masa terbabit. Bahkan novel yang berlatarbelakangkan masa kini akan menjadi masa lampau pada tahun-tahun mendatang. Adakah novel-novel ini juga layak diklasifikasikan sebagai novel sejarah pada ketika itu? Tentulah tidak semua novel yang berlatarkan masa lalu dapat dikategorikan sebagai novel sejarah. Untuk perbandingan, novel Tulang-tulang Berserakan (TTB) karya (SN) Usman Awang yang juga menggambarkan suasana pada zaman darurat. Novel ini mengutarakan kisah watak utama bernama Leman yang menjadi polis di Melaka pada zaman sebelum merdeka. Keseluruhan novel mengisahkan kehidupan Leman sehari-hari yang berhadapan dengan waktu darurat, rakyat yang hidup sukar kerana sentiasa diancam oleh komunis..Berbeza dengan PSSM, TTB lebih menyorot konflik dalaman yang berlaku dalam diri Leman. Leman adalah watak yang dipengaruhi oleh sejarah, sedangkan Panglima Salleh adalah watak yang mempengaruhi sejarah. Sebagai anggota polis, Leman dan kawan-kawannya menggadaikan nyawa untuk menjaga keselamatan dan harta benda daripada ancaman komunis. Jiwanya tertekan bila merasakan bahawa harta benda yang dijaga bermati-matian itu bukanlah kepunyaan anak negeri, bahkan kepunyaan bangsa penjajah. Usman Awang menginsafi bahawa rakyat seperti pekebun kecil berada di dalam keadaan yang perit.

Motif Sejarah dan Peribadi

Seperti kebanyakan novel sejarah, PSSM ditulis dengan motif yang jelas. Zaharah telah mencatatkan di dalam mukadimahnya bahawa novel tersebut ditulis untuk menonjolkan kepahlawanan Panglima Salleh. Kisah Panglima Salleh sangat dekat di hatinya kerana pengarang turut terlibat pada peristiwa kekacauan itu. Beliau juga didorong oleh sebab peribadi. Beliau anak kelahiran Batu Pahat yang pernah menyaksikan sendiri peristiwa pembakaran rumah penghulu kampung, Tok Naib Abdul Kadir dan pembunuhan semua ahli keluarganya. Beliau menyaksikan sendiri mangsa keganasan itu, seorang anak kecil yang jantungnya keluar masuk dari luka di dadanya pada setiap kali dia menghembus dan menarik nafas. Zaharah sendiri sering tidur di dalam semak belukar dengan berbantal akar pokok dikerumuni nyamuk dan agas kerana menghindari daripada muslihat komunis yang tergamak membakar rumah dengan penghuninya (yang sedang tidur nyenyak) sekali. Semenjak itu, Zaharah tidak dapat melupakannya.

Di dalam kekalutan itulah beliau sering mendengar orang menyebut nama Panglima Salleh, kadang-kadang disebut Penghulu Salleh dan ada kalanya Kiai Salleh. Hampir seluruh generasi tua di seluruh Batu Pahat dan Muar mengetahui kisah perjuangan Panglima Salleh bersama pengikutnya yang hanya menggunakan parang panjang. Zaharah menganggap Panglima Salleh seorang pejuang yang seangkatan dengan pahlawan Melayu. Beliau mempunyai strategi yang cukup bijak, sukar dikesan oleh lawan dan kawan.

Mengikut kata Zaharah, beliau merakamkan novel ini “sebagai suatu penghargaan yang tinggi kepada semua wira yang tidak dikenali, yang turut berjuang menegakkan agama, bangsa dan bumi kami yang tercinta daripada ancaman komunis bersama-sama pemimpin unggulnya, Panglima Salleh” (Zaharah: i). Sememangnya Panglima Salleh diiktiraf sebagai tokoh sejarah kerana kehadirannya memberi kesan dan dapat mengubah haluan sejarah.

Proses Kreatif PSSM

Mengikut Zaharah Nawawi, setelah membulatkan tekad untuk menulis PSSM, beliau bercuti dan memohon bantuan kewangan yang berbentuk Dermacipta Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau bersiap sedia untuk meneroka dan mengumpul data tentang pejuang tersebut. Antara langkah awal yang diambilnya termasuklah mencari bahan daripada sumber bertulis.Zaharah membaca buku-buku sejarah yang ditulis, terutamanya tentang kegiatan komunis dan pendudukan Jepun. Beliau juga mengunjungi Arkib Negara untuk mencari bahan dokumen dan keratan akhbar yang mungkin memperkatakan tentang tokoh tersebut, serta peristiwa penting pada tahun latar masa novel yang sedang dirancangnya. Setelah itu, beliau terjun ke lapangan dan menjejaki orang-orang yang terlibat secara langsung, terutama mereka yang turut memikul senjata bersama Panglima Salleh. Zaharah turut menemui sanak saudara dan orang-orang lain yang boleh memberi maklumat. Menurutnya, banyak cerita yang dikutip dari mulut orang-orang tua yang mempunyai persamaan walaupun ada juga perbezaannya. Beliau berhati-hati dan menapis cerita-cerita yang didengar. Seboleh-bolehnya, beliau mendengar sendiri dari mulut orang yang terlibat kecuali jika orang penting yang perlu dimasukkan telah kembali ke rahmatullah. Setelah menjalankan soal selidik, beliau menyusun data untuk memulakan proses penulisan kreatif. Sebagai sebuah karya sastera, novel sejarah juga memiliki unsur cereka, plot dan perwatakan, lantas perlu diungkap dengan bahasa yang sesuai. Tidak semua maklumat yang didapati boleh dimasukkan. Pengarang mesti memilih maklumat yang terpenting pada perkembangan cerita dan perwatakan yang sesuai, terutamanya perwatakan protagonisnya, Panglima Salleh Dari segi perwatakan, tumpuan utama adalah penonjolan sifat-sifat kepahlawanan dan semangat patriotisme watak utama, Panglima Salleh. Pengarang memberikan gambaran yang jelas tentang kehandalan fizikal, ketahanan mental dan kekuatan iman Panglima Salleh. Dalam beberapa tempat di dalam teks, sifat-sifat ini hampir kepada kesaktian. Hal ini misalnya terdapat dalam episod protaganis menewaskan 150 orang pengganas:Di dalam rentetan bunyi yang dahsyat itu Cikgu Salleh terus mendaki dan menebas musuh dengan pedangnya. Tidak sebiji peluru pun yang dapat menjejaskan kulitnya. Pemuda kurus berkulit hitam itu kelihatan begitu hebat dan tinggi besar di hadapan mata mereka. Waktu itu, senjata apa pun yang ada di tangan, tidak digunakan lagi. Tangan lemah tidak berdaya. Lutut menggemeletuk. Badan menggemelugut. Sten-gan di tangan melurut ke lereng bukit. Senapang di bahu jatuh menghempas ibu jari kaki sendiri. Yang masih bertenaga, lari susup-sasap menyelamatkan diri di balik pokok-pokok dan hutan rimba tebal di puncak bukit. Yang tidak sempat lari habis direntas pedang yang hanya sebilah. (Zaharah: 131)

Selain kehandalan fizikal, Panglima Salleh ternyata seorang yang sangat berani bersoal jawab secara lisan untuk menepis arahan ketua komunis. Beliau digambarkan sebagai sangat berani, fasih, tidak mudah diugut dan dapat mengawal diri bila menerima tekanan. Semua sifat ini sangat diperlukan di dalam diri seorang pemimpin: Suasana sunyi sepi. Khali. Kiranya sebatang jarum yang patah gugur di bawah meja pun akan kedengaran. Selepas itu setiap ketua mahupun wakil komunis yang diberi tanggungjawab diminta memberikan senarai nama siapa- siapa yang sudah dibunuh dan siapa pula yang ingkar dan akan menjadi sasaran komunis seterusnya. Salleh mendengar dengan tenang.“Salleh?”“Tidak ada seorang pun yang dibunuh atau yang akan dibunuh.” Balas Salleh, naif, tenang.“Atas alasan?”“Tidak ada seorang pun dalam kawasan saya yang ingkar. Mereka semuanya patuh.”“Tapi kami tidak menerima apa-apa kutipan daripada awak beberapa waktu kebelakangan ini. Adakah duit kutipan itu semua digunakan untuk mendirikan rumah?” Sarjan Chan mencelah.“Tidak. Saya tidak dapat mengutip apa-apa yuran dan cukai kerana mereka tidak mempunyai sesen pun wang di dalam saku. Semuanya sudah diserahkan kepada kita. Barang makanan juga tiada. Tidak ada apa-apa lagi yang dapat kami berikan kecuali keluhan dan air mata.”Deru orang ramai bercakap memenuhi suasana.(Zaharah: 40)Di beberapa tempat dalam teks, Panglima Salleh juga digambarkan sebagai boleh berjalan laju dan tidak terkejar oleh rakan-rakan yang lain. Beliau juga tidak dapat dilihat oleh komunis yang mengepung rumah dan mahu membunuhnya (Zaharah: 43-45). Seperkara yang sangat menarik, isteri Panglima Salleh, Esah juga digambarkan sebagai mempunyai sifat kesaktian, yakni boleh mengetahui atau meramalkan di mana musuh berada. Esah memberi pertunjuk kepada Panglima Salleh dan pengikutnya. Pertunjuk yang diberikan oleh Esah telah banyak membantu mereka menundukkan musuh. Zaharah juga menggambarkan persahabatan Panglima Salleh dengan Ahmad.

Hal ini dapat menambahkan elemen emosi dan kemanusiaan dalam novel di samping menonjolkan kekuatan fizikal protagonis. Ahmad berkebun kelapa dan Salleh berhuma dapat memberikan maklumat tentang cara hidup dan pekerjaan yang dibuat untuk mencari rezeki pada zaman tersebut. Kepintaran Salleh memanjat pokok yang tinggi lurus itu tidak pula boleh disamakan dengan seekor beruk, namun dia boleh dikatakan handal dan pantas juga. Tidak sampai sepuluh minit dia sudah menurunkan dua biji kelapa muda kegemarannya. Kulit tebal bersabut lembut itu ditarahnya dan dia melakukannya seperti seorang yang sudah mahir. (Zaharah: 36) Hubungan akrab Panglima Salleh dengan Ahmad membolehkan Panglima Salleh mendedahkan perkara-perkara rahsia, di samping menguatkan gambaran tentang suasana tegang dan mendebarkan pada zaman darurat itu. Panglima Salleh menyuarakan hal-hal yang mungkin tidak dapat disuarakan kepada orang lain. Oleh kerana Panglima Salleh merasa terlalu akrab dengan Ahmad, beliau telah terlepas kata dan mendedahkan penglibatannya di dalam pasukan komunis. Jawapan Ahmad pula banyak menggambarkan kepayahan dan himpitan hidup yang dialami rakyat. Semua ini terdapat di dalam dialog berikut:“Oh, aku ada mesyuarat di dalam.” Salleh terlepas kata. Di bawah sedar dia sedang memecahkan rahsia yang selama ini dijaganya begitu rapi. “Maksudnya?” Ahmad menagih penjelasan, “Di dalam mana?”“Dalam hutan,” balas Salleh perlahan. Matanya memanahkan sinaran menduga ke mata Ahmad. “Kau terperanjat?”. “Tidak. Itu perkara biasa sahaja sekarang. Kalau masa aman dulu, aku bukan terperanjat lagi, tapi terus cabut lari, kalau tak pun jatuh pitam.”“Aku dilantik menjadi ketua komunis Melayu waktu di hutan Seri Medan dulu lagi,” terang Salleh perlahan. “Untuk hidup, kita terpaksa lakukan apa yang disuruh. Kalau tidak, kita tak akan selamat. Tak usah bimbang. Bukan kau seorang sahaja yang menghadapi masalah ini.” (Zaharah: 39- 40)

Walaupun mengikut kata Zaharah, beliau menurunkan rentetan peristiwa yang benar-benar berlaku, namun sudah tentu proses kreatif “pencerekaan” memerlukan daya imaginasi termasuk penggunaan unsur alam untuk menggambarkan suasana ketegangan dan membina unsur suspen. Ketibaan Salleh di khemah Bintang Tiga di Bukit Alam amat menyeramkan perasaannya … Apakah ini hari terakhir dia dapat melihat matahari? Dan pondok kecilnya yang sedang tenggelam di dalam selimut hijau daun-daun yang lembut beralun? Dan malam terakhir dia dapat melihat kerdipan bintang di langit? Dan malam terakhirnya menikmat sinau-seminau cahaya bulan purnama yang tidak pernah mengenal erti sengsara dan peperangan. Mungkin. Mungkin. Mungkin. (Zaharah: 41)Faktor masa amat dominan dalam menentukan arah kreativiti pengarang, serta memainkan peranan penting dalam pencerekaan novel sejarah.

Masa yang melatari sesebuah novel sejarah tidak sama, oleh itu, sumbernya juga berbeza. Pengarang mestilah mencipta dan memasukkan unsur rekaan yang bersesuaian dengan zaman yang diceritakan. Pengarang membina perwatakan berdasarkan maklumat (bertulis atau lisan) yang diperolehi dan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Dalam konteks ini, seorang pengarang yang menulis tentang sejarah lampau adalah lebih bebas kerana terlepas daripada pemerhatian yang ketat daripada waris tokoh-tokoh sejarah atau sesiapa sahaja yang berkaitan peristiwa yang dicerekakan, tetapi sebaliknya pengarang yang menggunakan sejarah baharu akan berhadapan dengan pengawasan waris tokoh yang mungkin menyekat penceritaannya.

Latar masa PSSM ialah tahun 40-an dan dikira sebagai peristiwa yang baru berlaku. Di sini pengarang mestilah lebih berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan pewaris-pewaris yang masih hidup. Seringkali pengarang juga terpaksa membuat penyaringan terhadap fakta agar pembinaan wataknya tidak sampai menjatuhkan air muka keluarga watak itu sendiri. Hal ini akan mendorong pengarang menulis yang terbaik untuk pencerekaan teks sejarah kreatif. Sememangnya, hal inilah yang terpancar dalam proses kreatif Zaharah yang payah.

Novel sejarah mestilah berpaksikan kebenaran sejarah dan pengarang bertanggungjawab untuk menceritakan kebenaran dan sekali gus bertanggungjawab untuk mempertahankan kebenaran. PSSM berdaya untuk berdiri menceritakan kebenarannya, lantas mempertahankan kebenarannya.

3 comments:

  1. Mcmna nk dpt buku ni....dulu sy ada tpi bapa sy bgi org pulak.puas sy mncari tapi tk jumpa

    ReplyDelete
  2. Sy jg cari buku ni, dmn blh dpt?

    ReplyDelete
  3. Sama juga dah bertahun cari buku selempang merah ni, tapi xpernah jumpa, kalau pdf pun boleh la janji boleh baca. Sapa2 yg ada buku ni kalau nak jual boleh email pada saya sibongkok_360@yahoo.com

    ReplyDelete