Tuesday, April 17, 2012

BENGKEL PENULISAN KREATIF DI APM.



Alhamdulillah saya telah dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan iaitu membimbing peserta dalam Bengkel Penulisan Kreatif pada 17 April 2012 di Dewan Semarak Akademi Pengajian Melayu. Antara lain, saya memperkatakan tentang elemen-eleman di dalam karya kreatif.


ELEMEN-ELEMEN DALAM KARYA KREATIF.

Karya kreatif atau karya sastera baik puisi, novel, cerpen, skrip (drama atau filem), bahkan lirik lagu yang baik mengandungi:
Realiti
Imaginasi
Pemikiran
Emosi

Sebuah karya kreatif berbeza dari sebuah rencana sebagaimana sebuah filem cereka berbeza daripada sebuah filem dokumentari. Seorang sasterawan menulis untuk menyampaikan sesuatu pemikiran yang difikirkannya penting untuk bangsa dan masyarakatnya. Seorang sasterawan menulis tentang sesuatu yang bermain di fikiran dan perasaannya. Oleh itu dia mereka-cipta karya yang dapat menyentuh perasaan pembaca dan dari sentuhan emosi ini pembaca akan terangsang untuk turut berfkir tentang apa yang diutarakan oleh penulis tersebut. Sebuah cerpen atau novel yang baik tidak semata-mata mengandungi cerita dan sebuah puisi bukanlah semata-mata susunan kata-kata tetapi mengandungi pemikiran yang memberi kesan kepada pembaca.

Puisi adalah pemikiran dan pendapat penyair tentang sesuatu perkara atau isu. Tanpa pemikiran atau mesej, ia akan hanya menjadi permainan kata-kata yang kosong. Sebelum menurunkan idea di atas kertas, seorang penulis perlulah jelas tentang apa yang mahu diperkatakan, apakah mesej dan amanat yang mahu disampaikan. Sebuah sajak adalah satu gagasan yang hendak dikemukakan kepada orang ramai.

Novel, cerpen , drama menyampaikan cerita. Sebuah cerita mestilah mengandungi watak (kepada siapa cerita itu berlaku) dan konflik (apa yang berlaku yang menyebabkan cerita ini terjadi).
Pengadunan Unsur Realiti dan Imaginasi akan membina Emosi dan merangsang Pemikiran.
Contoh : Situasi: kehidupan nelayan di Pantai Timur.
Tulisan deskriptif atau dipanggil non kreatif: mungkin berbunyi begini:
Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terdapat nelayan-nelayan yang hidup miskin, hanya mengharap kepada tangkapan. Laut kadang-kadang bergelora dan ada di antara mereka yang hilang di laut. Mereka selalu mengimpikan kehidupan yang lebih baik tetapi mereka terus tinggal di dalam kemiskinan. Ada nelayan yang hilang di lautan meninggalkan isteri dan anak yang masih kecil dan perlukan wang untuk hidup. Kehidupan keluarga mereka tidak terjamin. Masa depan tidak menentu. Anak nelayan diingatkan supaya mengenang jasa ayah mereka yang telah berkorban untuk mencari rezeki untuk keluarga dan juga untuk rakyat yang memerlukan ikan untuk makan.
Kita lihat bagaimana situasi ini digambarkan secara kreatif iaitu dalam lirik lagu.

Burung Camar hinggap di jejari
Seorang nelayan sedang bermimpi
Mimpi tentang duyung
Mimpi tentang untung
Biduk hanyut dibawa ombak
Laut Cina Selatan

Dalam mimpi berkata sang duyung
“Wahai nelayan kau anak laut
Di sini tempatmu
Di sini rezekimu
Pengorbanan yang kau lakukan
Ada balasannya”

Mega mendong
Laut pun bergoncang
Nelayan tersentak biduk sesat haluan
Sang mentari terlindung
Pantai tak kelihatan
Tawakkal jalan akhirnya

Dalam pondok kecil beratap rumbia
Seorang ibu memandang hari muka
Sambil ia menyusukan bayi yang kehausan
Ufuk timur hilang dari pandangan

Wahai anak yang sedang menangis
Mungkin kini engkau tak mengerti
Bila kau dewasa dan pandai nanti
Pengorbanan ayahmu sayang
Jangan kau lupakan

Lirik ini menggambarkan keadaan seorang nelayan yang sedang bermimpi. Bila dia mengatakan Burung Camar hinggap di jejari, sudah tentu kejadian yang digambarkan sedang berlaku di tengah laut. Nelayan sedang bermimpi di tengah laut bukan sedang tidur atau berbaring di rumahnya. Mimpi itu ialah Mimpi tentang duyung dan Mimpi tentang untung. Ada dua elemen di sini elemen imaginasi dan elemen reality. Duyung ialah unsur imaginasi dan untung ialah realiti kehidupan. Dia bermimpikan duyung kerana duyung adalah imej dari lautan menandakan dia adalah seorang yang akrab dengan laut. Dia berfikir tentang untung nasibnya dan keluarganya. Dia bermimpi atau sedang mengharapkan nasibnya akan menjadi lebih baik. Pada ketika itu kesan visual perahu yang hanyut dibawa ombak Laut Cina Selatan.

Kemudian terdapat gambaran alam tentang mega mendung atau awan yang tebal. Awan tebal membawa warna yang murung. tentang keadaan laut yang bergoncang atau bergelora. Nelayan tersentak atau menjadi panik kerana biduk sesat haluan.Dia tidak dapat lagi mengawal biduknya. Suasana gelap dan dia sudah tidak tahu mana arah pantai. Sang mentari terlindung.Pantai tak kelihatan. Nelayan hanya dapat berserah kepada Allah dan bertakawal. Demikian juga kehidupan kita kita hanya dapat berserah dalam menerima ujian Allah.

Pendengar tidak diberitahu apakah kesudahannya. Adakah nelayan terselamat. Pendengar hanya di tinggalkan dalam keadaan tidak ketentuan. Pada waktu yang sama suasana tidak ketentuan itu juga dialami oleh seorang ibu yang berada di dalam pondok kecil beratap rumbia. Ibu tersebut kemungkinan isteri kepada si nelayan yang sedang dilanda rebut di lautan. Pondok kecil beratap rumbia adalah tanda tanda kemiskinan. Dia memandang hari muka ertinya memikirkan tentang suatu keadaan yang tidak menentu dan memikirkan bagaimana nasib anak nya yang ketika itu sedang kehausan dan sedang. Keadaan yang membimbangkan ini ditambah lagi dengan Ufuk timur yang hilang dari pandangan. Satu gambaran betapa gelapnya masa depan yang akan ditempuh.Anak itu digambarkan sebagai kehausan dan menangis.

Di dalam lagu ini ada pesanan bahawa nelayan yang kerdil dan miskin itu tetap ada sumbangannya kepada kehidupan manusia.

Lirik lagu ini dikemukakan untuk memperlihatkan bagaimana Emosi dibina dengan penggunaan unsur alam. Obejk-objek alam yang digunakan untuk membina suasana kesusahan , sedih, bimbang dan tidak menentu:

Biduk hanyut dibawa ombak,
Laut Cina Selatan,
Mega mendung,
Laut bergoncang
biduk sesat haluan,
mentari terlindung
pantai tak kelihatan,
pondok kecil beratap rumbia,
bayi yang kehausan,
Ufuk timur hilang dari pandangan


Semua karya kreatif terutama cerpen dan novel,drama mesti mempunya cerita. Cerita adalah elemen penting yang membezakan sebuah novel dari genre lain. Sebuah novel adalah karya fiksyen yang merupakan kisah yang berlaku kepada watak watak khasnya watak utama.Cerita mengandungi plot dan konflik. Keseluruhan cerita adalah bagaimana timbulnya konflik dan bagaimana watak mengatasi atau menyelesaikan konflik tersebut.
Pengarang menulis untuk menyampaikan reality yang dihadapi oleh masyarakatnya. Tetapi untuk menyampaikan reality dia memerlukan imaginasi. A.Samad Said menulis Salina misalnya untuk menceritakan tentang suasana pada musim susah , keadaan masyarakat dsbnya. Jadi pengarang mengwujudkan watak Salina. Watak ini mungkin wujud tetapi dengan nama yang lain. Pengarang mungkin memerhatikan beberapa watak yang memiliki sifat-sifat dan menjalani kehidupan yang perit, lalu semua itu dituangkan ke dalam satu watak yang diciptanya.Jadi kita boleh sifatkan sebagai imaginasi yang bersandarkan realiti.
Contoh: cerpen SUMPAH KUALA KEDAH (Dewan Sastera 2011).
REALITI
Pada umumnya saya ingin menyatakan tentang gejala keruntuhan moral anak muda, yang sangat membimbangkan. Anak muda mati di jalan raya kerana lumba haram, mengambil dadah dan sebagainya. Mereka merosakkan diri sendiri. Saya mencari-cari bagaimana hendak menyampaikan semua ini di dalam karya kreatif, cerpen atau sajak.
Idea itu datang bila saya membaca memoir Tun Mahathir bekas PM Malaysia A Doctor in the House. Dr. Mahathir mencatatkan satu peristiwa yang terjadi semasa beliau masih muda, yang tidak dapat dilupakan dan sangat menyakitkan hatinya. Beliau pernah melihat polis Siam menendang seorang tua Melayu rakyat Kedah kerana tidak berdiri tegak ketika lagu kebangsaan Siam dimainkan. Saya yang membaca juga merasa sangat sakit hati. Saya juga berasal dari Kedah yang dijajah oleh Siam itu. Saya telah membaca tentang penyiksaan yang dilakukan oleh Siam ke atas rakyat Kedah misalnya yang ditulis oleh seorang tentera laut British The Blockade of Kedah.

IMAGINASI
Untuk menuangkan fakta-fakta ini ke dalam karya kreatif iaitu cerpen, saya memerlukan imaginasi. Saya mencipta watak Darus, seorang tua yang ditendang oleh polis Siam dan cucunya Ayub. Ayub itu ada mirip Dr. Mahathir, belajar di SAHC. Ayub tidak dapat melupakan kesakitan telah dideritai oleh datuknya dan segala penderitaan yang dihadapi oleh keluarganya pada musim Jepun. Bila perang tamat, Ayub Berjaya ke Universiti Malaya (di Singapura). Ayub jadi orang penting dan dia berminat dengan sejarah Kedah. Di hari tuanya Ayub (sekarang Datuk) sentiasa mengenang datuknya yang dizalimi dan negerinya yang dirundung malang. Dia kesal setelah tiada lagi bangsa asing yang mengkasari rakyat tempatan, rakyat tempatan pula yang menginayai diri mereka sendiri dengan berlumba di jalan raya hingga ada yang patah kaki atau mati. Rakyat tempatan yang hidup macam bangkai bernyawa kerana mengambil dadah.
Ini adalah imaginasi tetapi saya perlu membaca tentang keadaan geografis, dan latar belakang masyarakat Kedah pada waktu-waktu terbabit. Misalnya rupa matawang yang digunakan, syiling gambar King George bertukar wang kertas gambar pokok pisang untuk menunjukkan perubahan politik dan pemerintahan.

EMOSI
Elemen emosi dan deria dibangkitkan melalui kasihsayang Ayub kepada datuk. Kesakitan yang dialami datuk kerana ditendang, kemarahan dan dendam Ayub terhadap penjajah, kerisauan dan kebimbangan Ayub terhadap masadepan anak-anak bangsa yang tidak sedar dan insaf. Ayah ibu yang hidup di dalam kesedihan kerana anak cacat tercedera.
Pemikiran: Anak-anak muda perlu sedar akan nasib mereka dan peranan mereka di dalam negara.
Cerpen KERONGSANG BERLIAN WAN TEMPAWAN, Dewan Sastera April 2011
Cerita tentang tanah orang Melayu yang bertukar tangan. Wanita bangsawan Kedah terpaksa melepaskan tanah mereka kerana tidak dapat membayar hutang kepada Arab dan Ceti. Kaum Arab ni mendekati wanita bangsawan pada mulanya dengan mengajar agama selepas itu menjual emas dan berlian . Barang-barang ini boleh dihutang. Wanita2 bangsawan yang kebanyakannya tidak berpelajaran mudah dimanupulasi. Bila tidak dapat membayar hutang, satu demi satu tanah terlelong. Hal ini memang sudah menganggu fikiran saya. Hal seperti ini memang sudah lama berlaku setidak-tidaknya di Kedah
Idea yang tumbuh samar-samar ini kemudian diperkukuhkan setelah membaca buku Sejarah dan Sosioekonomi Wanita Melayu Kedah 1881-1940 tulisan Mahani Musa. Saya merasa sangat tersentuh bila mengetahui begitu banyak tanah orang Melayu (sebahagian darinya adalah tanah yang dulunya dimiliki oleh wanita-wanita bangsawan) jatuh ke tangan orang asing.
REALITI
Buku tulisan Mahani Musa itu adalah penulisan akademik yang berdasarkan research dan tujuannya ialah untuk menerangkan fakta yang benar-benar berlaku atau yang menjadi fakta sejarah dan sosio ekonomi sebuah negeri. Fakta ini membantu saya menghasilkan sebuah cerpen.

IMAGINASI
Sebagai sebuah cerpen ia mesti mengandungi cerita, plot, perwatakan. Saya bina cerita tentang seorang yang saya namakan Umar. Cerpen ini berkembang dari sudut pandangan Umar yang menceritakan tentang neneknya yang pada masa muda bekerja di rumah keluarga diraja bernama Wan Tempawan. Umar belajar di Universiti dan berkawan dengan Tengku Amir. Watak2 seperti Umar, nenek , Wan Tempawan dan Tengku Amir bukanlah watak yang benar-benar wujud. Kisah kisah seperti nenek bekerja di rumah keluarga diraja tidak penting untuk disiasat samaada benar-benar berlaku atau tidak. Tetapi melalui watak-watak dan kisah-kisah itulah dapat dikemukakan hal yang sebenarnya hendak dikemukakan iaitu kisah tanah-tanah orang Melayu yang hilang dan bagaimana kehilangan itu berlaku. Umar mengetahui tentang kehidupan keluarga diraja melalui nenek. Bagaimana nenek sebagai seorang kampung tahu tentang keluarga diraja? Nenek dijadikan sebagai anak orang gaji yang pernah bekerja di rumah orang bangsawan
EMOSI
Emosi utama dalam cerpen ini ialah kesedihan Tengku Amir atas kehilangan tanah datuk neneknya, ditambah dengan kasih sayang Umar kepada nenek dan taat setia nenek terhadap kerabat diraja.
PEMIKIRAN
Semua orang harus memikirkan tentang kehilangan tanah-tanah Melayu dan berwaspada dengan pelbagai tektik yang digunakan untuk mendapatkan hak milik tanah.
Bahasa dalam Puisi
Karya sastera mengemukakan Pemikiran melalui sentuhan emosi atau deria. Karya sastera yang bermutu adalah jalinan yang harmonis di antara penggunaan bahasa, gaya penceritaan dan subjek yang disampaikan.
Cara penyair menggunakan bahasa dikenali sebagai Gaya Bahasa yang menjadi identiti seorang penyair. Bahasa dalam puisi mengandungi:
Kesan audio,dan kesan visual. Dan kedua ini berpadu menyampaikan makna puisi.
Kesan audio atau kesan bunyi merujuk kepada cara penyair menyusun kata-kata dengan menggunakan unsur-unsur rima (rima akhir, rima awalan, dalaman) , asonansi dan aliterasi, ulangan perkataan , bilangan sukukata pada setiap baris dan bilangan baris pada setiap rangkap. Unsur bunyi ini lebih terikat dan teratur di dalam puisi tradisional. Namun begitu kesan irama ini menambah nilai puitis dan estetika di dalam puisi moden di samping memperdalam maksudnya.


Yang paling menonjol ialah penggunaan simile, personifikasi dan metafora. Simile menekankan aspek penyamaan. Misalnya ialah “garang seperti harimau” Personifikasi terjadi bila objek tidak bernyawa diberikan sifat-sifat atau perlakuan sebagai orang atau objek-objek yang bernyawa. Misalnya “keangkuhan membawa padah”

Metafora berlaku apabila perkataan-perkataan yang digunakan mempunyai makna yang menyimpang dari maknanya yang asal atau makna yang literal. Bererti telah terdapat pemindahan atau penyimpangan makna di dalam kata-kata. Ia tidak lagi dapat dirujuk secara literal . Metafora dapat dikesan apabila:
• Terdapat gandingan dua perkataan yang pada asalnya tidak mempunyai hubungan yang jelas di antara satu sama lain, dan gandingan tersebut menerbitkan makna baru.: seperti gunung harapan, gelombang kenangan dan sebagainya. Dua perkataan tersebut tidak mempunyai kaitan dari segi makna di antara satu sama lain.. Biasanya dua perkataan itu adalah dua katanama dan bila digandingkan ia menerbitkan maksud yang lain. Contoh: ranting masalah (dari sajak Rahman Shaari, ”Jalan Sukar”), , perahu hidup (T.Alias Taib, Tukang Gunting) atau taman kecintaan (Ahmad Sarju: Nyanyian Kecil Anak Seniman).
• Terdapat penggunaan kata-kata yang pada awalnya mempunyai makna literal. Tetapi makna-makna literal itu bertukar menjadi makna metaforikal disebabkan hadir sesuatu perkataan yang menjadi ”penukar”nya

Dengan gandingan itu perkataan pertama bertukar menjadi katasifat dan berfungsi menerangkan perihal perkataan yang kedua. Perkataan kedua adalah nama abstraksi iaitu masalah, hidup dan kecintaan. Dalam ranting masalah, yang hendak diterangkan ialah perihal masalah.. Perkataan ranting, perahu dan taman menjadi kata sifat kepada masalah, hidup dan kecintaan. Ranting menerangkan perihal masalah yang beranting atau bercabang-cabang . Perahu menggambarkan hidup yang serba kekurangan dan terumbang ambing di atas ombak seperti perahu. Kata Taman dapat menggambarkan keindahan pada rasa kecintaan.

Elemen dalam metafora

Di dalam sebuah metafora akan dapat dikesan tiga elemen
1.Maksud yang hendak disampaikan oleh penyair misalnya kasih sayang, kerinduan, ketabahan, keresahan dan sebagainya
2.Perantara yang digunakan bagi penyampaian maksud. Ini juga bermakna sumber darimana penyair mendapat metaforanya.Misalnya bunga, ombak, laut, gunung dan sebagainya.Sumber metafora atau sumber anologi akan dipengaruhi oleh budaya,persekitaran dan peribadi penyair. Seorang penyair Islam akan menulis tentang jaring labah-labah dan tasbih (misalnya 'gunung membiru anggun dalam tasbihnya- Mim Lima, Kemala). Penyair di tengah kota mengambil metafora dari sungai tercemar ( sungai-sungai hitam berarus songsang- “Hutan-hutan Batu”, Shafie Abu Bakar), Imej juga dipengaruhi oleh latar masa. Dengan itu kita temui pada tahun 1944 iaitu zaman pendudukan Jepun, tulisan Masuri S.N. yang menggunakan 'bunga sakura' dan 'matahari pagi' sebagai lambang semangat juang.

Keperluan metafora:
Metafora diperlukan bila penyair ingin menggambarkan sesuatu perasaan atau pemikiran yang berunsur abstrak. Misalnya untuk menggambarkan kasih sayang, impian dan kerinduannya. Perasaan yang abstrak tidak dapat dipotretkan secara konkrit. Oleh itu penyair mencari sesuatu yang lain yang boleh dilihat dan dirasai dan yang lebih dekat dengan deria dan pengalaman pembaca. .Biasanya sesuatu yang abstrak diidentifikasikan dengan sesuatu yang konkrit. Kerana fikiran manusia lebih mudah memahami sesuatu konsep baru jika diilustrasikan dengan sesuatu yang konkrit.
Dari sini penyair membandingkan atau menyamakan misalnya:
Untuk menggambarkan kasih sayang dia menggandingkannya dengan sesuatu yang indah, katakanlah dengan bunga yang sedang berkembang mekar. Ini membenihkan metafora seperti ‘bunga cinta’ ,’kuntum kasih’.
Untuk menggambarkan perasaan kecewa atau putus harapan dia menyamakan dengan kegelapan pada malam hari. Maka terbitlah metafora seperti “malam di jiwa”,
Perantaraan boleh datang dari beberapa sumber. Fenomena, wira folklore , unsur alam. Di antaranya unsur alam didapati lebih menonjol. Membentuk metafora dari unsur alam bererti mengasosiasikan unsur alam dengan kehidupan manusia.
Kaedah pembentukan metafora (menghubungkan alam dan manusia
• Pemberian anggota tubuh atau badan manusia seperti mulut, lidah, tangan , rambut sebagaimana terjadi dalam ungkapan, 'kaki gunung', 'di tangan takdir', 'di dada rimba', 'mata pena'. Sebuah sajak yang memperlihatkan unsur ini ialah “Sungai Kelang”oleh Latiff Mohidin.
Ia merangkak
dengan lidah terjulur
dengan dada penuh nanah
..................................
dan menyanyi
dengan rambut terbuk
• Unsur alam mempunyai sifat-sifat seperti manusia misalnya gagah, perkasa, tabah, pengasih,pendusta, megah, sombong dan lain-lain. Contohnya, Mansur Ahmad Saman menyifatkan gunung sebagai perkasa, lembah sebagai megah dan sungai sebagai tabah dalam puisinya “Sungai”
gunung yang agung dan perkasa
dan lembah yang megah dan indah
akhirnya
lenyap dikikis sungai
yang rendah
dan lebih tabah
• Unsur alam melakukan perbuatan manusia sepertimana yang ditemui dalam personifikasi.Sajak Sungai Kelang oleh A.Latiff Mohidin berbunyi:
Siapakah yang meratapmu
kalau tidak hujan

Penyair juga memindahkan perasaan manusia ke dalam objek alam. Bila penyair berduka maka katanya “bulan berduka” dan bila ia gembira dia menulis “bulan tersenyum”.Objek yang sama mempunyai Di dalam ketiga-tiga cara yang disebut dapat dilihat bahawa penggunaan unsur alam mempunyai persamaan. Ia terjadi kerana penyair beranggapan bahawa alam mempunyai hubungan yang erat dengan perjalanan hidup manusia.Walaupun penyair menggambarkan sesuatu objek alam di dalam puisinya, namun maksud sebenar ialah kehidupan manusia.
Sumber alam mempunyai hubungkait yang rapat dengan kehidupan dan perasaan manusia. Sejak awal sejarah manusia, animisma yang mempercayai bahawa setiap objek alam mempunyai semangat masing-masing. Misalnya matahari dikaitkan dengan kuasa dan harapan kepada manusia, sungai adalah sumber air lalu dikatakan menjadi punca rezeki dan sumber kehidupan. Penelitian puisi-puisi moden akan menunjukkan bahawa sebahagian metafora masih bertolak dari pandangan-pandangan yang serupa.
Dari pandangan Islam, seluruh alam adalah tanda kebesaran Tuhan. Manusia hendaklah merenung dan mengambil iktibar dari segala yang berada di keliling mereka kerana segalanya mengandungi makna dan memberi pengertian terhadap kehidupan yang dilalui. Al-Quran juga mengingatkan manusia tentang keajaiban kejadian alam yang menjadi tanda kekuasaan Ilahi.Misalnya terdapat ayat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 164 yang bermaksud:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada)pertukaran malam dan siang, dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermunafaat kepada manusia demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta ia biakkan padanya dari berbagai jenis binatang, demikian juga (pada semua itu) ada tanda-tanda yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya kebijaksanaan-Nya dan keluasaan rahmat-Nya bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan ayat-ayat yang mengandungi metafora. Bahkan, Allah s.w.t. berfirman dengan jelas tentang penggunaan metafora ini. Hal ini dapat dilihat di dalam ayat 26, Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja (seperti) nyamok hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka

Kesimpulannya: Untuk menjadi seorang penulis, anda mesti rajin mendalami ilmu, rajin membaca dan merenung tingkah alam untuk mempertajamkan persepsi tentang kehidupan. Anda sepatutnya berminat dengan karya orang lain lebih-lebih lagi karya-karya besar. Membacalah untuk memperkaya perbendaharaan kata dan kepandaian menyusun kata-kata dan mempertingkat daya penggunaan bahasa.

No comments: