Home » » MENYUSUR METAFORA SUNGAI HAYAT,

MENYUSUR METAFORA SUNGAI HAYAT,

JAIR SULAI


OLEH ZURINAH HASSAN (Dewan Sastera Jun, 2011)


Sungai Hayat (2006,Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka) adalah sebuah kumpulan puisi seorang penyair dari Sabah, Jair Sulai Ungkapan ‘sungai hayat’ merupakan sebuah metafora, yang membawa maksud perjalanan diri dan perjalanan kehidupan. Perjalanan itu sentiasa berterusan, menempuh pelbagai pengalaman, menuju ke negeri yang abadi, sama seperti sebagai sebatang sungai yang mengalir ke muara

Itulah yang dimaksudkan dengan metafora. Ianya adalah suatu perbandingan atau suatu misalan,. Kamus Dewan memberi erti metafora sebagai “Pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan.” Mengikut Owen Thomas (1969) metafora ialah “ A means of expressing one thing in term of another” atau yang diterjemahkan oleh Rahman Shaari sebagai “pernyataan sesuatu dengan menyebut yang lain (Rahman Shaari: 1993:1).

Perkataan Metafora (Inggerisnya metaphore) adalah cantuman dua perkataan meta dan phore . Meta bererti perrtukaran atau peralihan (sense of change of position or condition) dan Phore bermaksud pembawa atau bearer Di sini maksudnya perubahan dan peralihan yang telah berlaku kepada makna perkataan disebabkan penggunaan sesuatu perkataan yang menjadi Pembawa peralihan tersebut..

Metafora juga didefinisikan sebagai perbandingan dua perkara yang berlainan atau berbeza, tetapi mempunyai persamaan hanya di dalam konteks yang dibandingkan. Sebagai contoh, pulau dan impian adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya adalah jauh dan memerlukan usaha penyair untuk sampai ke sana. Dari kaitan ini terciptalah metafora ‘pulau impian’
Metafora telah digunakan sejak awal sejarah kehidupan manusia. Manusia menggunakan metafora untuk memberi keterangan tentang sesuatu yang abstrak atau sesuatu konsep yang baru dan sukar untuk diterangkan. Cara yang terbaik ialah mengaitkannya dengan sesuatu perkara yang konkrit , atau fenomena yang dikenali dan mudah difahami oleh masyarakat.

Metafora terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep atau abstraksi dengan sesuatu yang konkrit dan lebih dekat atau lebih dikenali oleh masyarakat. Selain objek alam metafora juga dibentuk dari unsur-unsur lain seperti watak cerita rakyat dan lagenda. Terdapat banyak puisi yang membandingkan sifat setia dengan Hang Tuah, angan-angan tinggi dengan Mat Jenin, dan pemberontakan dengan Jebat. Di dalam sajak Dialog, karya Kassim Ahmad terdapat baris “aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani” yang membawa maksud dia akan bertindak untuk menuntut keadilan.
Walau bagaimanapun alam jagat raya merupakan sumber metafora yang paling dominan di dalam puisi Melayu (Zurinah Hassan, 2001) Penyair amat akrab dengan alam seperti laut, sungai, gunung, awan , hujan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehubungan dengan itu, H.B. Jassin pernah menulis, “Seniman yang halus perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar. Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang bernyawa (H.B.Jassin. 1968:114)
Penciptaan puisi dengan penggunaan alam sebagai metafora ini adalah merupakan penciptaan yang berlandaskan Al-Quran, kerana kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan mengandungi perumpamaan dan misal perbandingan terutama yang dikaitkan dengan unsur-unsur alam. Al-Quran menggunakan perlambangan atau Amsal yang diertikan sebagai “menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dan mendekatkan sesuatu yang abstrak dengan sesuatu yang inderawi (konkrit)” (Ahsin W. Al-Hafidz, 2005:24). Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan ayat-ayat yang mengandungi metafora dan misal perbandingan daripada objek-objek alam. Bahkan, Allah SWT berfirman dengan jelas tentang penggunaan unsur alam sebagai metafora ini. Hal ini dapat dilihat melalui ayat yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan (metafora) apa sahaja (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih kecil daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka.” (Surah Al-Baqarah ayat: 26)


Terdapat ayat-ayat yang menjelaskan penggunaan perlambangan dan perbandingan di dalam Al-Quran. Antaranya:
1. “Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan maka dengarlah olehmu perumpamaan itu (Surah Al-Hajj, ayat 73-74).
2. “Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan” (Surah ar-Ra’ad, ayat 17).
3. “Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya” (Surah al-Ankabut ayat 43 ).
4. “Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran” (Surah az-Zumar, ayat 27).

Mengikut Osman Khalid, Al-Quran menggunakan pendekatan ini, iaitu penggunaan metafora dengan tujuan mendekatkan perkara-perkara yang abstrak (maknawi) ke alam pancaindera yang dapat dirasakan oleh orang-orang yang menerimanya (orang-orang kafir Arab) dengan itu menjadikan mereka lebih bersedia untuk menerima ajaran-ajaran yang terkandung dalam Al-Quran” (1980:20).

Muhammad Haji Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa perlambangan atau metafora adalah elemen penting di dalam puisi Melayu dan menentukan nilai estetikanya:

”Kita dapat menyimpulkan bahawa metafora, atau kias ibarat, adalah antara alatan terpenting sastera Melayu sejak awal lagi, melalui zaman tulisan, hinggalah ke zaman mutakhir. Oleh sebab orang Melayu lebih suka menyampaikan makna secara tidak langsung, maka ini menjadi amat penting, malah menjadi satu ciri dasar dalam estetikanya.”

Bertolak daripada kenyataan bahawa karya penulis Melayu dipengaruhi oleh alam dan agama Islam, maka Hashim Awang telah membina Teori Pengkaedahan Melayu yang dibahagikan kepada dua Pengkaedahan iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Agama. Pengkaedahan Alamiah mengandungi tiga pendekatan, iaitu pendekatan firasat, pendekatan gunaan, dan pendekatan moral. Pengkaedahan Agama pula menyenaraikan tiga pendekatan iaitu pendekatan dakwah, pendekatan kemasyarakatan dan pendekatan seni. Teori yang dikemukakan pada tahun 1989
ini dapat diterapkan bagi menganalisis hasil karya kesusasteraan Melayu untuk meneliti penggunaan unsur alam sebagai perantara bagi membawa makna, pemikiran dan mesej puisi.

Tulisan ini membicarakan penggunaan alam sebagai metafora di dalam sajak-sajak Jair Sulai yang termuat di dalam kumpulan puisinya Sungai Hayat Dalam menilai sajak-sajak dalam Sungai Hayat, penulis akan mengaplikasi pendekatan dakwah khasnya untuk melihat penggunaan unsur alam sebagai kias ibarat , penanda atau alamat kepada kewujudan dan kebesaran Allah, petunjuk kepada kelemahan manusia, serta pemberi iktibar dan motivasi untuk terus berikhtiar.

Jodol antologi diambil dari sajak berjodol Sungai Hayat (hal 38) .
Sungai Hayat
Ini sungai berliku
Airnya sekeras batu
Arusnya mata pisau
Muaranya tanda tanyaku

Dengan nyali keyakinan
Di sini kukayuh sampan harapan
Pada airnya kusaring kelembutan
Pada arusnya kujaring kebeningan
Ini sungai berliku
Mengapungkan degup rinduku
Mengalirkan pijar cintaku
Ke samudera Maha Khalikku.

Penyair ini menggunakan sumber metafora dari alam jagat raya iaitu sungai dengan meyifatkan perjalanan sebatang sungai sebagai perjalanan diri atau perjalanan hidup menempuh pelbagai kejadian. Sebatang sungai mengangkut tanah dan pasir begitulah juga hari-hari yang dilalui memberikan pelbagai pengalaman. Sungai merupakan sumber metafora yang penting yang telah digunakan oleh ramai penyair. Misalnya Hassan Jaidin telah menulis sajak yang berjodol “Sungai Peribadi”, Rahman Shaari dan Ahmad Razali menghasilkan sajak “Sungai Sejarah”. Muhammad Haji Salleh menggunakan metafora ‘sungai takdir’ dalam sajaknya “Baris-baris dari Muzium Goethe”. Jair Sulai juga menggunakan metafora ‘sungai waktu’ dalam sajaknya “Belajar Resmi Sungai Waktu” (Sungai Hayat:21).

Pada pandangan Penyair, perjalanan hidup bukanlah sesuatu yang mudah. Ia adalah umpama berdayung di sebatang sungai yang airnya tidak lembut, malah keras seperti batu. Di dalam hidup kita akan menemui perkara-perkara yang menyakitkan. Hal ini diibaratkan seperti arus sungai yang kadang-kadang tajam seperti mata pisau. Seperti arus sungai, perjalanan hidup membawa kita ke suatu destinasi atau menuju masadepan yang tidak dapat ditentukan ataupun diramal. Hal ini dilambangkan oleh ungkapan ‘muaranya tanda tanyaku’ Namun begitu penyair telah membina keberanian dan keyakinan diri untuk terus melangkah. Selain ‘sungai hayat’, ungkapan yang berupa metafora yang terdapat di dalam sajak ini ialah ‘sampan harapan’ yang membawa maksud sesuatu yang amat diperlukan di dalam menjalani kehidupan ini. Kata sungai dan hayat tidak mempunyai hubungan dan persamaan tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya berjalan dan berterusan.

Sebuah lagi sajak yang memperkatakan tentang perjalanan hidup ialah Bahtera Hidup (hal: 19).

Sewaktu pelayaran bahtera hidup
Di samudera fana ini
Hanya kemudi iman yang teguh
Meluruskan arah tujuanya
Meski dilanda badai dan
Dioleng arus gelombang dugaan.

namun yang memastikan ke mana
haluan bahtera hidup
adalah nakhoda minda yang arif
tentang ilmu pelayaran
Kerana tali kemudi iman
Terletak dalam genggamannya

Jika sajak terdahulu (Sungai Hayat), menggunakan lambang sungai ,sajak ini menggunakan lambang laut Laut dan perjalanan laut telah digunakan di dalam sekian banyak puisi Melayu moden dan tradisional.untuk membawa makna perjalanan manusia di dalam kehidupan dan juga perjalanan menuju ke akhirat. Setiap insan mesti berhati-hati dalam melayari hidupnya. Laut yang luas dan bertenaga adalah juga lambang kekuasaan Allah SWT. Sajak ini mengandungi peringatan bahawa manusia adalah pelayar yang mengharungi samudera dan mereka memerlukan pertolongan Allah agar tidak karam dan tenggelam di lautan yang dalam. Pemikir-pemikir Islam turut membandingkan kehidupan di dunia sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang dalam. Contohnya, Syeikh Abdul Qadir Jailani pernah menyebut, “Wahai anakku, dunia ini adalah samudera, dan iman adalah perahunya. Angin haluan adalah ketaatan, sementara pantai itu adalah ibarat akhirat” (2003: 157). Ucapan dibuat di Madrasah al-Ma’murah, 9 Zulkaedah 545 H..

Dalam hubungan ini, V.I.Braginsky mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu merupakan pelaut yang cekap dan telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal (Braginsky,1994: 272). Penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17. Hamzah Fansuri telah mempelopori kaedah pemikiran simbolik Hamzah menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat.
Wahai muda kenal dirimu
ialah perahu tamsil tubuhmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman
hasilkan kemudi dengan pedoman
alat perahumu jua kerjakan
itulah jalan membetuli insan
(sumber: Harun Mat Piah, 1997:255)
Perahu ialah kenderaan yang membawa seseorang menuju ke tempat yang dituju. Perjalanan melalui sungai dan laut memerlukan kenderaan seperti bahtera, kapal, perahu, sampan, biduk atau rakit. Kenderaan-kenderaan ini muncul di dalam puisi membawa makna tersirat iaitu peralatan atau prasarana yang diperlukan di dalam menjalani kehidupan. A.Wahab Ali menggunakan perahu dalam sajak “Ke pelabuhan Jauh”, A.Samad Said menggunakan rakit dalam sajak “Menambat Rakit” dan Jair Sulai menggunakan sampan di dalam sajak “Sungai Hayat” yang dibicarakan sebelum ini,.(Dengan nyali keyakinan/di sini kukayuh sampan harapan). Setiap insan mesti memastikan peralatan atau prasarana ini berada di dalam keadaan baik dan lengkap untuk membawanya menyeberang. Sebuah kehidupan tanpa prasarana yang lengkap disifatkan oleh peribahasa Melayu sebagai “biduk ada pengayuh tidak”

Sajak “Bahtera Hidup membawa pesan dan peringatan agar manusia berhati-hati. Mesej puisi ini adalah selaras dengan prinsip Teori Pengkaedahan Melayu, yang melihat sastera sebagai penciptaan yang membawa manfaat dan kebaikan. Perjalanan menyeberang laut merepresentasi perjalanan ruh untuk pulang ke negeri asal atau negeri yang abadi. Di dalam perjalanan itu ruh akan diganggu oleh Iblis yang sentiasa mencuba untuk menggagal dan menyesatkannya. Gangguan-gangguan ini digambarkan sebagai badai dan gelombang yang cuba menenggelamkan bahtera hidup. Pada pandangan penyair, penyelamat manusia yang utama ialah akal fikiran. Oleh itu manusia harus mempertajamkan minda di dalam mengendali pelayaan. Suatu pelayaran yang dikendalikan oleh seorang nakhoda yang bijak dan dapat menggunakan akal fikirannya akan selamat sampai ke destinasi.

Dalam sajak ini terdapat beberapa buah metafora yang terbina dari alam lautan dan pelayaran. Tiga contoh ialah ‘bahtera hidup’, ‘kemudi iman’, ‘gelombang dugaan’. Sementara di dalam Sungai Hayat terdapat metafora ‘sampan harapan’. Empat metafora ini dicipta dengan cara mencantumkan objek konkrit dengan objek abstrak. Kata bahtera digandingkan dengan hidup , kata kemudi digandingkan dengan dengan iman, gelombang dicantumkan dengan dugaan dan sampan digandingkan dengan harapan.. Semua lapan perkataan yang terlibat ialah kata nama. Tetapi bila dua kata berganding menjadi metafora, maka satu perkataan akan bertukar menjadi katasifat yang berfungsi menerangkan tentang perkataan yang yang lain. Yang hendak disampaikan ialah perihal perkataan yang kedua. Di sini bahtera menerangkan tentang hidup, iaitu hidup adalah umpama menaiki bahtera.Setiap orang mesti menjaga bahteranya kerana bahtera yang tenggelam di lautan adalah seperti sebuah kehidupan yang musnah. Kemudi menjadi katasifat yang menerangkan tentang iman, iaitu iman adalah seperti kemudi yang menjaga sesebuah pelayaran. Kemudi menetapkan hala dan arah pelayaran sementara iman akan memandu tiap insan ke jalan yang benar. Kata gelombang memberi keterangan kepada dugaan iaitu segala dugaan di dalam hidup ini akan datang sebagaimana seorang pelayar akan menempuh gelombang di dalam pelayarannya. Gelombang akan menyukarkan pelayaran begitu juga dugaan akan memberi kesukaran kepada seseorang. ‘Sampan harapan’ merupakan metafora yang cantik, menyatakan tentang harapan. Dengan adanya sampan dapatlah seseorang berkayuh menuju sesuatu tempat. Sampan memberikan prasarana untuk mencapai sesuatu harapan.

Metafora yang diperkatakan di atas adalah cantuman katanama konkrit dan katanama abstrak. Tetapi terdapat juga metafora yang terdiri dari dua perkataan yang merupakan katanama konkrit. Sazali Yaakob menggunakan metafora ‘huruf tenggala’ (dalam sajak ”Huruf Tenggala”,). Biasanya dua perkataan itu adalah dua katanama dari kelompok makna yang berbeza. Bila digandingkan ia menerbitkan maksud yang lain. Huruf dan tenggala adalah dua kata dari kelompok makna yang berbeza tetapi bila digandingkan ia membawa maksud ”gambaran kehidupan petani”. Terdapat banyak contoh metafora jenis ini yang digunakan di dalam atau di luar puisi, seperti hutan batu. syarikat gergasi, pengundi hantu dan akhbar nyamok.

Suatu lagi unsur alam yang kerap muncul di dalam puisi, termasuk puisi Jair Sulai ialah haiwan. Di antaranya ialah semut dan burung, contohnya “Seperti Semut Kita” (halaman 87).

Seperti semut kita pun dijalinkan keakraban
sekata menyusun arah
Sederap mengatur langkah
Seperti semut kita pun saling berkorban
Berpadu ringankan bebanan
Bersatu ungkaikan kesulitan
Seperti semut kita pun kejapkan kesetiaan
Sejiwa menghening kerukunan
Sepantun menenun harapan


Semut , seperti anai-anai, lebah, tebuan, dan kerengga.dikenali sebagai haiwan sosial kerana mereka hidup di dalam kumpulan atau koloni. Sebahagian koloni mengandungi berjuta-juta ahli. Kebanyakan semut membina sarang di dalam kayu, di pokok-pokok, atau di dalam tanah, lengkap dengan lorong-lorong dan bilik-bilik yang bertingkat-tingkat dan sebahagian dari bilik-bilik itu dipenuhi dengan bekalan makanan. Semua ahli serangga sosial bekerja untuk keseluruhan koloni. Setiap sarang mempunyai seekor ratu yang hanya berfungsi untuk bertelur dan membiak. Semut-semut yang lain adalah pekerja. Semut yang lebih besar menjadi askar yang mempertahankan sarang. Semut yang sederhana besarnya bertugas membina sarang, mencari, dan menguruskan pembahagian makanan. Semut yang terkecil diam di dalam sarang untuk menjaga anak-anak semut dan membersihkan tempat tinggal (Reader’s Digest Pathfinders, 2000:24).

Dengan sifat-sifat tersebut semut ialah serangga yang digunakan bagi memperkatakan tentang ketekunan dan kesetiaan. Cara hidup yang diamalkan oleh serangga ini menjadi simbol kepada sistem keadilan sosial dan perpaduan masyarakat yang membawa kekuatan ummah..


Kehidupan semut dengan amalan berdisiplin (sekata menyusun arah) dan bantu membantu dengan berpadu ringankan beban memberi contoh teladan atau pengiktibaran kepada manusia dalam hidup bermasyarakat selaras dengan prinsip Teori Pengkaedahan Melayu. Penyair memberi tumpuan kepada aspek kesetiaan semut mencari makanan dan melindungi keselamatan masing-masing seperti ungkapan:
Seperti semut kita pun kejapkan kesetiaan
Sejiwa menghening kerukunan
Sepantun menenun harapan.


Sifat-sifat ini adalah aspek penting yang membolehkan mereka hidup dan bertahan walaupun bertubuh kecil dan mudah dibinasakan oleh haiwan yang lebih besar. Sekaligus puisi ini mengingatkan kepada sifat individualistik manusia yang digambarkan melalui peribahasa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.” Dengan semangat inilah mereka mempertahankan koloni dan menghantar amaran kepada semua jika terhidu bahaya. Allah SWT juga mengingatkan manusia untuk memerhatikan kelakuan semut kerana ia boleh memberikan pengajaran. Perkara ini dijelaskan di dalam Surah al-Naml (perihal semut). Di dalam surah ini terselit kisah Nabi Sulaiman dengan bala tenteranya. Nabi Sulaiman adalah seorang Nabi yang dikurniakan kebolehan memahami percakapan segala jenis haiwan. Kisah ini diceritakan oleh ayat yang bermaksud:
“ (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke ’Waadi’n Naml’ berkatalah seekor semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.”
(Surah Al-Naml, ayat 18)


Ayat ini memberi penekanan kepada sifat-sifat kesetiaan semut mempertahankan diri masing-masing. Seekor semut telah dapat menangkap bunyi tapak kaki tentera Nabi Sulaiman. Ternyata si semut telah menggunakan firasatnya untuk mengesan bahaya yang mendatang. Ayat ini juga memberitahu bahawa Nabi Sulaiman telah terpegun mendengar kata-kata semut itu malah baginda sendiri mengambil iktibar dan pengajaran daripada kelakuan semut itu yang segera mengingatkan baginda kepada kebesaran Allah:

“ Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa ’Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang kau kurniakan kepadaku dan kepada ibu-bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang engkau redhai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang salih.”
(Surah al-Naml, ayat 18).

Mengikut Sheikh Abdullah Basmeih, kisah semut itu disebutkan di dalam surah Al-Naml sebagai contoh teladan bagi umat manusia supaya mereka memahami keadaan makhluk-makhluk, dan bagaimana semut itu bersatupadu untuk menyelamatkan diri dari kebinasaan, demikian juga mereka bersatupadu untuk mencari kebaikan bersama. Sebuah kisah di dalam Al-Quran menyerlahkan perilaku semut yang amat setia sesama mereka (Sheikh Abdullah Basmeih, 2001:978).

Pandangan yang dilahirkan ini menepati ajaran Islam supaya manusia, khasnya umat Islam, hidup tolong-menolong antara satu sama lain. Hal ini dijelaskan oleh ayat Al-Quran yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (Surah Al-Maidah ayat 2). Kepentingan bekerjasama diberi penekanan oleh Rasullah saw menerusi sabda baginda: ”Kaitan antara seorang beriman dengan yang lainnya adalah sama seperti sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain” (Hadis Riwayat Mutafaq Alaih).

Penggunaan Serangga memperlihatkan bagaimana pemikiran sasterawan Melayu dipengaruhi oleh alam dan agama Islam, sepertimana yang digariskan oleh Teori Pengkaedahan Melayu. Di dalam Al-Quran terdapat Firman yang menyebut Allah SWT membuat misal perbandingan (metafora) dari nyamuk (Surah al-Baqarah, ayat 26). Sejenis lagi serangga haiwan yang mendapat sebutan di dalam Al-Quran ialah lalat, iaitu dalam ayat yang bermaksud, “Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan maka dengarlah olehmu perumpamaan itu sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor “lalat” pun” (Surah Al-Hajj, ayat 73-74).

Selain serangga, haiwan yang sering digunakan di dalam puisi ialah burung. Imej burung muncul di dalam puisi Melayu tradisional dan moden sebagai penanda kepada kebebasan. Manusia melihat burung yang boleh terbang lalu menginsafi kekurangan yang ada pada diri mereka. . Perkara ini dilihat di dalam pantun Melayu:
Gerdum-gerdam kapal di tanjung
Hendak belayar ke Pulau Sudung
Hendak terbang bukannya burung
Hendak berenang bukannya sotong

(Zainal Abidin Bakar, 1984:179)

Bertolak daripada pandangan ini, Jair Sulai menulis sajak ”Burung Kecil Di atas Dahan”.
Burung Kecil Di atas Dahan (halaman 14)

Gapaian sayap kecil ini
Tak sampai ke mana pun
Di kitaran ruang maha saujana
Selain kembali juga
Hinggap di dahan
Benar
Sayap kecil ini
Tak mampu mengepak
Sebebasnya
Di bawah langit maha khalis

Apa yang menyentuh penyair adalah hakikat bahawa burung juga tidak berkuasa untuk terbang sesuka hati. Dengan sayap yang kecil dia tidak dapat pergi jauh dan terpaksa pulang ke dahan untuk berehat. Hakikat ini menyedarkan penyair akan kelemahan manusia. Sayap yang kecil adalah lambang setiap manusia yang mempunyai kudrat yang sangat terbatas. Dengan mengatakan ”kembli juga hinggap di dahan”, penyair membuat pengakuan tentang kelemahan dirinya dan manusia lain dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan di dalam hidup. Menyedari kelemahan diri bererti bersifat tawaduk, iaitu merendah diri, tidak berbangga,jauh sekali dari bersikap takbur. Penyair berpegang kepada dasar kepercayaan bahawa manusia tiada berdaya melainkan berserah kepada Allah. Manusia tidak berkuasa untuk mendapatkan segala yang diingini seumpama burung yang tidak akan dapat terbang semau-maunya... Ruang yang maha saujana membawa maksud seluruh ciptaan Allah SWT. Dari sudut Pendekatan Dakwah, Teori Pengkaedahan Melayu, sajak ini mengingatkan bahawa hanya Allah yang berkuasa ke atas segala-galanya.

Perihal burung yang terbang di angkasa juga mendapat sebutan di dalam kitab suci Al-Quran. Burung adalah objek alam yang perlu diperhati dan direnungkan oleh manusia.. Manusia perlu mengambil iktibar dari burung yang terbang sebagaimana yang diseru oleh ayat yang bermaksud:.
“Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembangkan sayapnya dan mengatupnya. Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
(Surah Al-Mulk, ayat 19).


Penyair juga turut menggunakan metafora dari unsur waktu, di dalam sajak yang berjodol “Lambaian Senja” (hal.73)
Kaki pagi semakin jauh tertinggal
Daunan waktu pun berguguran satu demi satu
Aku semakin siaga menghadapi lambaian senja
Mengundang aku merapat ke pelabuhan sepi.

Di dalam puisi ini penyair memperkatakan tentang peredaran hari. iaitu pagi yang telah jauh ditinggalkan, senja yang menjelma dan malam yang kian menjelang.
Perjalanan hari sepatutnya mengingatkan manusia kepada perjalanan usianya.
Hal ini adalah selaras dengan ayat Al Quran yang bermaksud; “Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat memikirkan kebesaranNya atau mahu bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu (Al-Furqan, ayat 62).

Waktu yang datang dan pergi adalah tanda perubahan dan penunjuk bahawa manusia tidak dapat berada di sesuatu tempat untuk selama-lamanya. Senja digunakan untuk menggambarkan tentang kehidupan yang singkat Di dalam nasihatnya penyair memberi penekanan kepada kepentingan masa. Setiap orang seharusnya peka dengan waktu yang cepat berlalu. Peringatan ini menepati maksud ayat Al-Quran, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” (Surah Al’Asr, ayat 1-3). Senja merupakan waktu yang kerap digunakan di dalam puisi. Warna senja yang merah bercampur jingga adalah warna yang disifatkan sebagai ‘mengerikan’ atau warna yang memberi amaran bahaya. Pada keseluruhannya senja adalah lambang kesementaraan hidup manusia. Kedatangan waktu senja adalah petanda bahawa kehidupan itu telah menghampiri penghujungnya sepertimana yang pernah diungkapkan oleh A.Samad Said dalam "Tetamu Senja"

Peredaran waktu dari pagi ke senja menjadi simbol perjalanan hidup khasnya peningkatan usia manusia. Penyair memperkatakan tentang perjalanan hidupnya yang disimbolkan sebagai perjalanan hari dari pagi menuju ke waktu senja. Namun penyair bersikap positif yang dirinya akan tabah menghadapi segala yang bakal ditempuhi “aku siaga mengahadapi”. Dia ingin kekal sebagai peribadi yang unggul..

Di dalam sajak ini terdapat beberapa metafora. Yang bertolak dari unsur waktu ialah ‘daunan waktu’ ‘lambaian senja’ dan ‘kaki pagi, ‘Daunan waktu’ menerangkan tentang waktu yang tidak kekal selamanya dan akan berkahir seperti gugurnya daun-daun dari pokok. ‘Lambaian senja’ dan ‘kaki pagi’ memperlihatkan satu kaedah penciptaan metafora di mana unsur alam dan manusia telah dihubungkan. ‘Kaki pagi’ terhasil dari tindakan memberikan anggota badan dan deria rasa manusia kepada sesuatu konsepsi atau objek yang tidak bernyawa. Ahli falsafah Itali Giambattista Vico menyifatkan kaedah pembinaan metafora seperti ini sebagai anthropomorphic metaphore . Beliau menulis tentang metafora jenis ini sebagai “expressions referring to inanimate objects formed by transfers from the human body and its parts, from human senses and human passions” (Ullmann,84) Contoh-contoh lain termasuklah ungkapan-ungkapan seperti ‘di tangan takdir’, ‘di kaki gunung', 'di dada rimba',dan 'mata pena'. Ungkapan ‘lambaian senja’ memperlihatkan satu lagi kaedah pembentukan metafora iaitu memberikan pekerjaan ‘melambai’ yang biasanya dilakukan oleh manusia kepada Senja. Selain daripada itu, metafora juga dibentuk dengan memberikan sifat-sifat yang lazimnya ada pada manusia seperti penyayang, sabar, pengasih, setia, kepada objek alam. Contohnya sajak Shamsuddin Jaafar, “Pantaiku” yang menyebut ‘Senja ini kita bertemu/pantaiku yang setia’.

Selain unsur waktu, haiwan, laut dan sungai, Jair Sulai juga banyak menggunakan unsur tumbuh-tumbuhan di dalam sajak-sajaknya. Perlambangan ini, misalnya terdapat di dalam sajak-sajak “Penanam Benih” dan “Si Tukang Kebun Dengan Sebuah Tamannya” Penyair menyifatkan setiap insan sebagai penanam benih. Di sebalik objek pokok dan penanaman pokok terdapat makna yang lebih tinggi iaitu amalan manusia di dunia ini.

Dari segi sifat atau rupa bentuk, benih adalah sangat kecil manakala percambahan dan pertumbuhannya menjadi pokok baru adalah satu kejadian dan perubahan yang berlaku pada alam dan segalanya berlaku dengan penuh misteri iaitu diluar jangkauan akal insani. Hal ini adalah selaras dengan simbolisme yang terdapat di dalam Al-Quran di mana unsur tumbuh-tumbuhan menjadi misal perbandingan bagi menegaskan sesuatu hukum serta menyampaikan ajaran dan dakwah. Percambahan benih menjadi bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah sepertimana yang diterangkan di dalam ayat yang bermaksud “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).

Dengan menulis tentang kejadian benih ini, penyair menarik perhatian bahawa setiap ciptaan Allah mempunyai peranan masing-masing dan tidak diciptakan dengan sia-sia. Dalam puisi ini kejadian benih adalah untuk menyambung hayat tumbuh-tumbuhan yang bermanfaat kepada kehidupan manusia. menepati ciri-ciri yang digariskan dalam Teori Pengkaedahan Melayu.

Penanam Benih (hal:9)
Sewaktu di ruang perhentian ini
Kita hanya penanam benih
Di halaman taman kasih yang abadi
Kalau benih yang terbaik
Pasti tumbuh menghijau dan berbuah lebat
Kerana bertunjangkan hakiki
Kita akan tetap dapat memetik
Dan mengecapi buahnya pada musim terakhir
Dan ketika itu kita pun berbahagia

Ini, tentulah yang abadi
Yang memberikan zat
Pulangan suci kepada kita. (9).


Perbuatan menanam dan menjaga tanaman memperlihatkan unsur usaha dan ikhtiar seperti yang dianjurkan oleh Islam yang mengajar bahawa tiap-tiap orang hanya memperolehi apa yang diusahakan olehnya “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya” (Surah an-Najm, ayat 39). Pokok akan tumbuh dari benih yang baik sebagaimana kebajikan akan bercambah dari niat yang tulus.. Niat yang sedemikian mempunyai kaitan dengan maksud hadis Nabi Muhammad saw tentang orang yang bersedekah. Maksud hadis tersebut: “Seorang Muslim yang menanam tanaman kemudian ada burung, atau manusia, atau binatang, memakan buah tanamannya, maka yang demikian itu menjadi sedekah baginya” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Perlambangan dan metafora dari tumbuh-tumbuhan ini dapat ditemui dalam tulisan dan ucapan pemikir-pemikir Islam. Sebagai contoh, dalam ucapan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani di Madrasah al-Ma’murah, 14 Rejab 545 H. Beliau menyeru umat Islam supaya “berladang” dengan penuh keikhlasan. Menurut beliau hanya orang yang berusaha dan berladang dengan keikhlasan sahaja akan diberkati dengan hasil yang baik. Beliau juga mengibaratkan hati yang keras sebagai tanah yang tandus dan gersang yang tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan:
Tanamilah kawasan ladangmu itu dengan hati dan jasadmu, iaitu keimanan. Kemudian hendaklah engkau olah dengan sempurna dan menyiraminya dengan amal kebaikan. Jika hati lunak, mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani 2003: 387).


Penyair juga merujuk kepada hasil tanaman atau buah yang akan dapat dikecap pada musim terakhir. Buah membawa makna tersirat, iaitu amalan yang telah dikerjakan oleh manusia semasa hayatnya , iaitu hasil daripada amalan manusia di dunia yang akan dibawa untuk mengadap Allah apabila ia pulang ke negeri yang abadi. Segala pembalasan akan bergantung kepada buah atau hasil yang dibawa. Hasil inilah menjadi pertaruhan untuk membela dirinya di akhirat kelak. Kalau baik buahnya maka beruntunglah si penanam benih tadi. Untuk mendapatkan hasil yang baik tentulah memerlukan usaha yang berterusan.

Dengan menyatakan harapan untuk memetik buah dan mengecapinya pada musim terakhir penyair mengingatkan pembaca kepada sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Dunia adalah tempat bercucuk tanam untuk kehidupan akhirat. Maka barangsiapa yang menanam kebaikan, maka ia akan memetik kebahagiaan. Barangsiapa yang menanam keburukan, maka ia akan memetik penyesalan”

Pada Hari Pembalasan, amal manusia akan dihisab. Anggota badan tidak berguna lagi. Ketika itu hanya amalan yang telah dilakukan di dunia akan bersuara bagi pihak mereka. kecuali “buah” atau hasil usaha dan amal ibadatnya, seperti firman Allah: “Setelah berlaku demikian, maka manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing; adapun orang yang berat timbangan amal baiknya maka ia berada di dalam kehidupan yang senang-lenang, adapun orang yang lebih banyak kebaikannya, maka ia masuk syurga tanpa hisab” (Surah al-Qari’ah, ayat 6-7).

Si Tukang Kebun Dengan Sebuah Tamannya 58.

Si tukang kebun
Begitu menekuni sebuah taman harapan
Menggenggam erat hakikat kekecilan
Dalam lingkaran kebesaran Tuhan

Dengan sepenuh keyakinan
Kutatang seteguhnya taman ini
Dalam putih lidah batini
Aku membaca lirik syahadah.

Di dalam sajak “Si Tukang Kebun Dengan Sebuah Tamannya” penyair menyifatkan dirinya sebagai si tukang kebun yang tekun membina dan menjaga ‘taman harapan’nya. Sajak juga bertolak daripada perlambangan atau metafora berkebun dan menanam pokok. Ternyata si tukang kebun menjalankan kewajibannya dengan khusyuk dan yakin bahawa Allah akan memberikan balasan yang baik.

Sebagai rumusan dapat dikatakan bahawa Jair Sulai merupakan seorang penyair yang tekun memerhatikan tingkah alam dan mempelajari perlakuan alam untuk melahirkannya di dalam metafora bagi menyampaikan maksud puisi. Selain alam, pemikiran di dalam puisinya turut dibentuk oleh agama Islam. Dua faktor ini, iaitu alam dan agama Islam, mencorakkan kreativitinya. Mesej mesej yang baik dan positif adalah menepati ciri-ciri yang digariskan oleh Teori Pengkaedahan Melayu yang mengikut Hashim Awang sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan.

Rujukan:
Jair Sulai, Sungai Hayat, 2006,Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka
Abdul Qadir Al-Jalaini, (terj.Qodirun Nur), 2004. (cetakan ketujuh),
Al-Fath ar-Rabbani Kuala Lumpur: Thinkers Library.

Ahsin W. Al-Hafidz, Kamus Ilmu Al-Quran, 2005, Jakarta, Penerbit Amzah

Braginsky, V.I. 1994, Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam
Kesusasteraan Melayu Klasik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka,

H.B.Jassin. 1968 ,Tifa Penyair dan Daerahnya, Singapura:
Malayan Publishing House.

Harun Mat Piah, 1997, Puisi Melayu Tradisional, Satu Pembicaraan
Genre dan Fungsi, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang, 1998. ‘Teori dan Kritikan Kesusasteraan Melayu
(Bahagian Pertama)’, Dewan Sastera, Julai: 7- 9.

Hashim Awang, 1998. ‘Teori dan Kritikan Kesusasteraan Melayu
(Bahagian Kedua)’, Dewan Sastera, Ogos: 7- 9.

Hashim Awang, 1998. ‘Teori dan Kritikan Kesusasteraan Melayu
(Bahagian Ketiga)’, Dewan Sastera, September: 7- 11.
Muhammad Haji Salleh, 2000. Puitika Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari, 1993. Memahami Gaya Bahasa, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Osman Haji Khalid “Perumpamaan perumpamaan dalam Al-Quran”, Di Bawah Sinaran Wahyu, 1980, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi,

Sheikh Abdullah Basmeih, 1980. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada
Pengertian Al-Quran, Kuala Lumpur: Darulfikir
Thomas, Owen, 1969. Metaphor and Related Subjects. New York:
Random House

Ullman, Stephen. 1966. Language and Style. Oxford: Basil Blackwell.

Zainal Abidin Abu Bakar,1984, Kumpulan Pantun Melayu, Kuala umpur,
:Dewan Bahasa dan Pustaka

Zurinah Hassan, 2001. Penggunaan Unsur Alam Sebagai PerlambanganDalam Puisi Melayu Moden, Tesis Master Sastera, Universiti Putra Malaysia.

1 comments:

  1. assalamualaikum...

    saya nazare yusra, membaca novel Hatimu Aishah ketika zaman persekolahan dulu. entah kenapa, sehingga sekarang setelah hampir 20 tahun, saya begitu teringatkan buku tersebut, walaupun mempunyai ratusan koleksi novel.. saya cuba mencari untuk membeli di online, tapi nampaknya belum berjumpa... adakah saya boleh memilikinya sebagai koleksi peribadi daripada Dr sendiri? saya boleh dihubungi melalui e-mel .

    ReplyDelete