ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Friday, February 16, 2018

TENTANG PANTUN YANG TIDAK BERIMA



 Apakah terdapat pantun yang tidak berima? Jawapannya tentulah tidak, sebab syarat pantun mesti berima abab, dan ada juga yang berima aaaa.
Tetapi cuba baca pantun2 di bawah

Terjun dari gotak Bota
     Dapat sebiji durian dan mangkar
Disangka air dalam belaka
     Jatuh terjerembab di atas pasir

Cak cak canggung
    Canggung di tepi air
Adik nak makan jagung
    Jagung dimakan kerbau.

Dari Jejawi ke Kubang Gajah
    Jangan menyimpang ke Mata Air
Mungkir janji bukan mudah
    Bagai hutang belum dibayar.

Buah duku buah durian
Saya tunggu dari kelmarin
(Dan pantun dua kerat.)

Bila baca rangkap rangkap di atas anda akan dapati ia tidak berima. Tetapi mengapa pula saya mengatakan rangkap rangkap itu adalah pantun?.
Sebenarnya rangkap2 di atas adalah pantun tempatan dan diucapkan dalam bahasa daerah atau loghat tempataan. Sebagai tradisi oral  pantun diucapkan secara lisan dan tidak bertulis. Dua pantun teratas adalah dari Perak. Pantun pertama bila dibaca dalam loghat tempatan ia berbunyi:

Terjun dari gotak Bote
Dapat sebiji dorian dan mangko
Disangka ayo dalam belake
Jatuh terjerambat di atas pasio.

Bila mangkar di sebut mangko dan pasir disebut pasio barulah datangnya rima. Pantun ini termasuk dalam jenis pantun nasihat. Pantun daerah memang sering berunsur jenaka. Dalam jenaka ia mengajar kita supaya berhati-hati. Umpama orang yang terjun dan mandi di sungai, janganlah menganggap semua tempat sama dasarnya. Ada tempat yang cetek dan ada tempat yang dalam. Bila terjun di tempat yang dalam, bolehlah seseorang berenang dan mandi. Tetapi bila terjun ke tempat yang sangat cetek dia akan terjun di atas pasir dan jatuh tersembam (terjerembab)

Pantun kedua merupakan nyanyian kanak-kanak menggambarkan kehidupan rakyat marhean yang menanam jagung tetapi jagung telah dimakan oleh kerbau. Baris kedua dibaca canggung di tepi ayo. Baris keempat jagung dimakan kerbo. Maka barulah terdapat rima abab.  
Pantun ketiga dari Kedah. Baris kedua hanya berima dengan baris keempat bila disebut dalam loghat Kedah iaitu Mata Air menjadi Mata Ayaq dan dibayar pada baris ke empat dibaca dibayaq.

 (Dan pantun dua kerat.)

Bagaimana dengan pantun dua kerat di bawah ini.
Buah duku buah durian
Saya tunggu dari kelmarin

Pantun ini diambil daripada lagu Keronchong Kemayuran.
Dalam sebutan ianya adalah Buah duku si buah duren/Saya tunggu dari kemaren.

No comments:

Post a Comment