ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Thursday, February 15, 2018

PERJALANAN MENJADI SASTERAWAN NEGARA (WANITA).












PERJALANAN MENJADI SASTERAWAN NEGARA  (WANITA).
Intisari ucapan di Universitas Gadjah Mada, Jogjakarta, 19 November 2016.
Apabila adinda saya yang dikasihi Dr. Free hearty yang lebih mesra dengan panggilan Bundo Free mencadangkan saya bercakap tentang Perjalanan Menjadi Sasterawan Negara dalam konteks sosio budaya Melayu saya bersetuju kerana memikirkan itu ternampak sebagai topik yang tidak terlalu menyusahkan. Pastinya ia tidak melibatkan banyak research dan pembacaan. Saya bayangkan saya dapat bercakap dengan santai tentang pengalaman sendiri.
Namun apabila saya mulai berfikir tentangnya dengan sungguh-sungguh saya dapati keadaan tidaklah semudah yang dijangkakan.  Ini kerana perjalanan diri  melibatkan pertemuan dengan individu2 lain dan institusi2 yang kadang2 sensitif untuk disebut . Maka dengan sebab itu saya memilih untuk membaca kertas ini dan tidak memandai-mandai bercakap.
Saya pun telah berkali-kali juga diberikan ruang untuk memperkatakan tentang perjalanan diri menjadi penulis dan sebahagian darinya telah dibukukan seperti Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (Penerbit UKM ) dan Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan (ITBM 2013).
Telah saya catatkan di dalam buku2 tersebut  bahawa saya mula bermesra dengan puisi ketika masih sangat muda iaitu dalam sekitar usia 13 tahun. Saya tinggal di sebuah kampung di Kedah . Saya tidak bebas bermain di luar lalu saya duduk di rumah dan mendengar radio. Saya mendengar lagu-lagu yang disiarkan termasuk lagu-lagu Indonesia dengan senikata sangat puitis. (Di wajahmu kulihat bulan/bersembunyi di balik senyuman). (ibarat gadis desa bunga melur/sederhana) . Saya menggemari lagu-lagu asli yang menggunakan pantun. (Gunung Banang tinggi mengawan). Semua ini mengajar saya bahawa manusia berinteraksi,   berintegrasi dan menginterpratasi  alam. Gambaran alam dari lagu-lagu tersebut tumbuh dalam pemikiran dan perasaan.      Saya. mengembara dengan lagu-lagu tersebut melihat laut, pantai dan gunung yang tergambar di dalamnya.. Aktiviti mendengar nyanyian ini memberi asas pengenalan kepada metafora   dan menumbuhkan minat untuk menulis puisi..
Percakapan  tentang perjalanan diri di dunia seni akan dapat mendedahkan kepada proses kreatif seorang pengarang seperti saya. Di samping itu dapat memberi maklumat tentang perkembangan dunia penulisan kreatif khasnya untuk memperlihatkan kemajuan dan perbezaan dahulu dan sekarang.
Tentu sahaja banyak perbezaan yang telah berlaku. Pada masa sekarangTeknologi semakin canggih, pemikiran manusia juga semakin tinggi, pelbagai buku boleh diterbitkan dengan pantas.. Di Malaysia penulis novel, cerpen puisi bertambah ramai dan karya-karya sastera berkembang subur. Ramai penulis baru telah berjaya menerbitkan buku di arus perdana atau bukan arus perdana. Saya terfikir kalau mereka telah menghasilkan 10 buku sebelum berusia 40 tahun atau 35 tahun bayangkan berapa yang dihasilkan setelah mencapai usia emas. Mungkin mengatasi Shahnon dan Arena Wati. ( Ini belum lagi mengambil kira  penulis Indonesia yang saya rasa lebih hebat dan dikenali di peringkat dunia).
Kiranya apa terlintas di fikiran saya itu terlintas juga di fikiran anak-anak muda yang kreatif dan lantang itu, sehingga ada yang menjadi sinis dan mula menyoal di manakah kehebatan seorang Sasterawan Negara. Hal seperti telah ditulis oleh seorang penulis muda di akhbar Berita Harian pada akhir tahun lepas.

Sememangnya ramai anak muda yang lantang dan kreatif, namun begitu sepatutnya mereka  dapat melihat kedudukan SN yang ada berdasarkan waktu dan zaman.  Semua SN yang berusia lebih 60 tahun berkarya semasa sebuah buku mengambil masa sehingga lapan tahun untuk diterbitkan. Satu tahun  mengetuk mesin taip hingga sakit jari dan pedih urat bahu. Penerbit akan mengambil masa 4 tahun untuk membaca dan menilai, 3 tahun untuk menyunting, mengatur huruf, membaca  pruf, membetul itu dan ini, buat format, lay out dan cetak. Akhirnya buku terbit. Walaupun akan terdapat kesalahan di sana sini) penulis terasa mendapat nyawa yang baru.
Itu keadaan secara general. Sebagai perempuan  saya menghadapi kepayahan yang tersendiri. Saya berhadapan dengan latar masa dan budaya yang berbeza yang mungkin tidak dikenali lagi pada hari ini. Saya mula mencintai buku dan penulisan   ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh di bandar. Masyarakat  hanya menghargai anak perempuan yang cekap membuat semua kerja rumah. Anak anak perempuan sentiasa akan dipanggil ke dapur dan hal ini mengganggu perjalanan idea. Orang2 tua tidak faham tentang dunia kepengarangan. Mereka mula hairan melihat saya gemar duduk bersendirian dan berjalan dari pokok ke pokok terutama pada hari petang hingga ke senja. Orang2 tua mula bimbang apakah saya dirasuk makhluk halus yang memanggil saya dari pokok ke pokok. Saya mulakan dengan menulis sajak dan menulis dengan tangan untuk dipos kepada akhbar di Kuala Lumpur. Saya belum menulis cerpen apatah lagi novel kerana ketiadaan mesin taip.
Bila sudah bekerja, berkahwin saya memiliki mesin taip dan kemudian komputer, saya terus menulis. Namun kekangan tetap ada. Barangkali tidak perlu dicurahkan di sini kerana semua orang tahu masalah yang dihadapi oleh pengarang wanita. Kita biasa mendengar pengarang lelaki berkata “bila saya menulis isteri dan anak anak tidak akan ganggu”. Apakah keistimewaan ini dapat dirasai oleh penulis wanita?. Dengan sebab itu saya kurang berkarya semasa anak-anak masih kecil. Kerana itulah ramai penulis wanita telah hilang setelah berumahtangga.
Usaha gigih telah membuahkan hasil dan saya telah diisytiharkan sebagai Sasterawan Negara.  Sudah tentu merasa bahagia dana mat bersyukur.  SN diberi sedikit imbuhan walaupun  jauh lebih rendah dari jumlah yang diperolehi oleh Maharaja Lawak dan hadiah hadiah lain yang tersedia untuk artis-artis hiburan.  Kabarnya dari tahun ke tahun ada permohonan dibuat oleh jawatankuasa ASN supaya kerajaan menaikkan jumlah wang tetapi jawapannya sentiasa ‘tak ada bajet” walaupun kerajaan sentiasa ada wang untuk menghulurkan jutaan rm sebagai hadiah kepada ahli sukan yang mendapat medal di olimpik.. Kalau diamati habuan untuk SN bukan bertambah, malah semakin berkurangan. Apa tidaknya, pada zaman Keris Mas, Usman Awang dengan hadiah rm 30ribu sudah boleh membeli rumah, sekurang-kurangnya rumah teres setingkat dan kalau ada tanah di kampung sudah dapat membina sebuah banglo. Hadiah itu naik menjadi rm 60 dan semua itu jauh dari mimpi.
Bukan soal wang yang hendak saya perkatakan di sini. Nikmat sebenar ialah apabila Dewan Bahasa dan Pustaka mencetak ulang  buku-buku yang pernah mereka terbitkan yang sekarang mereka labelkan Edisi Sasterawan Negara. Sudah berpuluh tahun saya memendam rasa kerana karya2 umpamanya sajak-sajak yang dikarang dengan susah payah terperuk dan terperam begitu sahaja, tidak ada di pasaran dan tidak pula diulangcetak.
Di negara saya, kemungkinan untuk buku puisi dicetak ulang amat tipis  kerana ia hanya akan membebankan penerbit.  Hal ini menyebabkan Pusat-pusat pengajian yang  menggunakan mana-mana buku saya untuk kuliah, terpaksa membuat salinan fotocopy. Mereka beritahu saya mereka sudah cari dan terpaksa buat fotocopy. saya tidak pernah marah  Kalau tidak dapat ganjaran kewangan, cukuplah karya-karya saya terus dibaca dan tidak mati begitu saja.
Sajak2 tidak diulangcetak dan tidak dapat disiar kembali melainkan dengan menulis surat dan melalui proses yang meletihkan. .Ini semua kerana ikatan Akta Hakcipta yang memperuntukkan  Hakcipta dipegang  oleh pengkarya dan penerbit berkuatkuasa dari tarikh karya itu diterbitkan sehingga  lima puluh tahun setelah pegkarya meninggal dunia. 
Klausa ini termaktub di dalam perjanjian World Intellectual Property Organization (WIPO) yang merupakan organisasi antara kerajaan. WIPO mengambil kira Konvensyen Berne untuk perlindungan karya Sastera dan Seni (Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic Works 1886) dan dikemaskini pada tahun 1970.
Akta ini menjadi amalan di beberapa buah negara. Malaysia adalah salah sebuah negera yang turut menandatangani persetujuan persetujuan untuk mengguna pakai dan mematuhinya tersebut. 
Di dalam bidang seni hiburan klausa ini ternyata telah menguntungkan pengkarya. Di Malaysia, misalnya karya-karya muzik, termasuk senikata lagu ciptaan Allahyarham Loloq masih menerima bayaran sekitar belasan ribu sebulan  Hal ini tentu sahaja besar manfaatnya kepada pewaris  Tetapi apakah kesan Akta tersebut kepada bidang penghasilan karya sastera?  Setakat ini belum terdengar ada penulis yang menikmati royalti sebegitu banyak yang dapat ditinggalkan untuk pewaris. Sebaliknya Akta tersebut dilihat telah mendatangkan lebih banyak  kesusahan dan kerumitan berbanding keuntungan.

PENUTUP
Saya telah melalui perjalanan yang panjang dan berliku. Setelah menjadi seorang muda yang ghairah dengan laut, saya kini umpama Seorang Tua di kaki gunung.  Masih banyak harapan yang belum terdaki . Namun begitu saya menadah tangan berdoa , Semoga Allah mengizinkan saya menulis lagi kerana gelaran dan Anugerah adalah satu amanah.

No comments:

Post a Comment