ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, May 25, 2013

ULASAN DUA BUKU SITI ZALEHA M HASHIM


Alhamdulillah, saya telah berpeluang mengulas dua buah buku yang dihasilkan oleh Penyair berbakat Siti Zaleha M.Hashim. Bagi anda yang berhajat membaca bolehlah melayari blog saya.Diskusi Kapal Kertas diadakan di U.M. 19/7/2012. Gemerlap Permata Silam dibicarakan pada 18.5.2013. 








“KAPAL KERTAS DAN LAUTAN API”
ANALISIS PENGGUNAAN UNSUR ALAM.


Pemakalah:
Zurinah Hassan
Karyawan Tamu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Abstrak:  
Kapal Kertas Dan Lautan Api (Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2012) dan Kristal Di Laut Bulan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006) adalah antologi puisi karya Siti Zaleha M.Hashim. Di dalam kedua antologi ini, Penyair telah memperkatakan pelbagai aspek kehidupan dari sudut pandangan dan kreativiti seorang Penyair Melayu/Islam. Penyair menggunakan unsur alam khasnya di dalam metafora, simile dan personifikasi dengan cara yang menarik bagi menyampaikan maksud.  Kedua-dua buku ini akan dibicarakan dari sudut penggunaan unsur alam khasnya dengan aplikasi Teori Pengkaedahan Melayu.
Siti Zaleha M Hashim adalah seorang Penyair wanita yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia  untuk antologinya Kristal di Laut Bulan (dbp 2006), lahir di Taiping Perak. Pernah menjadi editor majalah Dewan Sastera dan bertugas di beberapa bahagian di Dewan Bahasa dan Pustaka.  Suaranya yang lemak merdu pernah berkumandang di RTM semasa beliau bertugas di sana. Beliau memiliki Ijazah sarjana muda sebaran am dari UiTM dan ijazah Sarjana Komunikasi dari university of Leeds United Kingdom 1996. Kini telah bersara dan menetap di Lembah Kelang.
Melihat tajuk antologi Kapal Kertas dan Lautan Api ini saya segera teringat sebuah pantun yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza dalam lagunya yang masyhur, iaitu Cindai

Akar beringin tidak berbatas
     Cuma bersilang paut di tepi
Bidukku lilin layarnya kertas
     Seberang laut berapi

Setakat ini  Siti Zaleha memilih tajuk-tajuk yang agak unik dan memerlukan sedikit renungan untuk  difahami. Yang lain ialah Camar di Cangkir Bumi (dbp 1999) dan Kristal di Laut Bulan (dbp 2006). Sajak-sajak di dalam antologi ini juga  akan disentuh secara perbandingan pada diskusi ini.
Walaupun tajuk tajuk ini agak sukar, tetapi sajak-sajak di dalamnya  mudah difahami dan dihadam. Penyair mengungkap pelbagai aspek kehidupan baik di sekitar diri dan keluarga, isu bangsa, negara dan bahasa yang amat dicintainya, hingga ke arena antarabangsa.
Sesuatu yang menarik perhatian saya bila membaca puisi Siti Zaleha ialah pengucapan yang lembut dan penggunaan unsur alam yang menjadikannya indah dan puitis. Dengan penggunaan unsur alam yang sangat dominan serta isi yang berunsur seruan ke arah kebaikan,  puisi-puisi ini sangat sesuai untuk dikaji melalui prinsip-prinsip Teori Pengkaedahan Melayu (TPM)  
TPM yang dibina oleh Hashim Awang bertolak dari dasar utama iaitu karya-karya sastera Melayu dipengaruhi oleh alam dan agama Islam. Mengikut Hashim Awang (1993) dua faktor ini, iaitu alam dan agama Islam, mempengaruhi pemikiran dan mencorakkan kreativiti para penulis seperti mana yang terpancar di dalam tulisan-tulisan mereka. Hal yang sama diakui oleh Al-Faruqi yang menulis “Jika pernah pendapat atau perasaan orang Islam dipengaruhi oleh sesuatu, sudah tentu ia dipengaruhi oleh Al-Quran” (Al-Faruqi, 1982:251-258). Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh Syed Naguib Al-Attas dengan tulisannya: “Pengaruh Al-Quran terhadap masyarakat Melayu Indonesia itu tiada tolok bandingnya di sini” (1972:29).
Ketika berucap di dalam Syarahan Perdana Universiti Malaya pada 4 Disember1997, Hashim Awang menyebut bahawa Sastera Melayu sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan. Pengarang-pengarang Melayu telah memasukkan mesej yang baik dan positif di dalam karya-karya mereka. Katanya:
“Kesusasteraan Melayu telah mengambil sifat didaktik yang amat mengutamakan penggarapan persoalan-persoalan tentang kepentingan melakukan kerja-kerja baik dan makruf, di samping turut menyelitkan penyuaraan-penyuaraan tegas berbentuk larangan supaya meninggalkan perbuatan-perbuatan yang batil atau kejahatan, demi kebajikan dan kebaikan manusia, khususnya bagi umat Melayu dan Islam.”

Ciri-ciri ini dapat digariskan sebagai berikut:
·         Karya-karya yang menggambarkan keindahan dan kebahagiaan manusia yang membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan; dan ini dapat pula memberi galakan untuk anggota masyarakat supaya lebih banyak mengerjakan kebaikan, khususnya di kalangan mereka sendiri.

·         Karya-karya yang memberi motivasi kepada manusia untuk berusaha mempertingkatkan kedudukan dan kemuliaan diri sendiri dan saudara-saudara sebangsa dan seagama, terutama dalam mempertingkatkan taraf ekonomi, moral dan pelajaran.
·         Karya-karya yang memupuk semangat dan sikap tertentu yang baik seperti kerjasama, kejujuran, keadilan, kasih sayang, dan kerelaan.
·         Karya-karya yang memperkuatkan semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan umat Islam, dan seterusnya membina penyatuan.
·         Karya-karya yang mampu membentuk peribadi dan akhlak yang tinggi.
·         Terdapat pengajaran atau moral yang diperoleh daripada karya.
·         Ditekankan juga aspek penggunaan bahasa yang indah serta jelas dengan penyelitan bentuk-bentuk puisi yang bernilai.
·         Niat yang tersirat dalam penulisan haruslah ikhlas serta baik sehingga boleh terhindar daripada segala fitnah atau tersinggung pada pihak tertentu.

Pengkajian puisi dengan TPM adalah melalui aplikasi Pendekatan-pendekatan seperti di bawah:
FIRASAT: tertumpu kepada pentafsiran makna tersirat di sebalik yang tersurat termasuk penggunaan unsur alam dan pemaparan pengisahan dan maklumat pada hasil karya sastera. Dari lapis yang tersurat ini akan dapat makna lain iaitu makna yang lebih besar dalam hasil karya sastera. Biasanya makna yang tersembunyi itulah yang menjadikan sesuatu hasil karya sastera benar-benar bermutu (Hashim Awang, 2002:5).
GUNAAN;
Hasil karya itu akan diteliti dari sudut kegunaan atau kemanfaatan penghasilannya kepada pembaca dan masyarakat, dari aspek ekstrinsik dan intrinsiknya. Jenis atau bentuk kegunaannya bergantung kepada pembaca yang menikmati atau mentafsirkannya. Dalam hal ini, sastera Melayu, misalnya pantun, telah mengambil peranan sebagai media pendidikan, alat penawar jiwa, pengungkap perbilangan adat, serta panduan dan tatacara hidup bermasyarakat. Hal ini samalah juga seperti objek alam ciptaan Tuhan, Kejadiannya atau penciptaannya itu mempunyai sebab, hikmah, fungsi tujuan, serta ukuran dan imbangannya. Ukuran dan imbangan ini boleh dinilai dari segi isi dan strukturnya.
MORAL: Teladan yang diperolehi daripada kehidupan watak boleh dijadikan iktibar. Peristiwa yang menimpa juga mengajar manusia bersedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan atau takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
DAKWAH sastera sebagai wadah untuk mempertingkat nilai ketakwaan seseorang insan terhadap Allah SWT. Setiap karya sastera itu dianggap boleh menyampaikan persoalan-persoalan dan memaparkan sifat-sifat kemuliaan dan ketinggian kekuasaan Allah.
KEMASYARAKATAN: sastera dilihat sebagai alat pendedahan segala macam persoalan, yang bertujuan mencari kebaikan dan keadilan dalam masyarakat seperti yang dituntut oleh Islam. Dalam konteks ini, sastera dianggap lumrah untuk mendedahkan dengan jelas, benar, dan berani tentang permasalahan kemungkaran, ketidakadilan, penipuan, kepura- puraan, rasuah, dan penipuan, yang dianggap menjadi punca kepada kepincangan masyarakat dan keimanan insan.
SENI: Memberi tumpuan kepada unsur keindahan dalam sastera yang bersandar kepada nilai etika Islam, yang sudah pasti pula tidak bertentangan dengan akidah serta ajaran Islam  menerusi pelbagai aspek atau unsur pembinaannya.

Analisis terhadap puisi-puisi Siti Zaleha dimulakan dengan  sajak Seniman (88)
Pengaruh alam terhadap pemikiran seniman sangat ketara dalam sajak Seniman . Penyair mengatakan bahawa dia menjadi penyair atau seniman adalah atas izin Allah yang mengajarnya untuk mengutip  makna dari alam, khasnya daun yang hijau dan bunga yang jingga , awan yang putih awan dan laut yang biru. Unsur alam yang ketara di dalam puisi ini ialah warna:  hijau daun, jingga bunga, putih awan dan biru laut. Semua warna yang berlainan  mengindahkan satu sama lain mengajarnya erti persahabatan. Hal ini juga mengingatkan bahawa terdapat  kelainan dan perbezaan  pada alam yang kita diami. Dari pengertian yang diperolehi ini dia belajar menyusun kata-kata atau menjadi penyair yang menulis puisi kasih dengan kata-kata sukma dan baris-baris rasa. Penyair menegaskan bahawa dia akan  menghasilkan karya-karya  yang dapat memupuk kasih sayang dan persaudaraan. Hal ini menepati prinsip TPM yang bertolak dari keakraban manusia dengan alam dan mementingkan penciptaan karya sastera yang menyuburkan kasih sayang dan ada manfaat kepada manusia. Penciptaannya adalah berdasarkan rasa tanggungjawab akan amanah dan tugas yang akan disoal  di Hari Kemudian.
Ini bermakna penyair melihat hasil sastera sebagai objek alam yang penciptaannya mempunyai kegunaan atau faedah, selaras dengan Pendekataan Gunaan TPM. Hal ini ditegaskan oleh Hashim Awang (2002:17), bahawa sastera menjadi sumber yang amat berharga dalam memperkayakan pengalaman dan pengetahuan pembaca dan sastera dinilai keberkesanan peranannya dalam memberikan unsur-unsur pengiktibaran kepada pembaca untuk memahami manusia, kemanusiaan dan kehidupan. 
Dengan niat yang demikian, pengkarya melihat penghasilan puisi sebagai mempunyai tujuan tertentu. Ia menepati kejadian alam yang dijadikan Allah dengan tidak sia-sia. Hasil karya yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat. TPM mengutamakan penelitian dari sudut kegunaan atau kemanfaatan hasil sastera Kejadiannya atau penciptaannya itu mempunyai sebab, hikmah, fungsi tujuan, serta ukuran dan imbangannya. Ukuran dan imbangan ini boleh dinilai dari segi isi dan strukturnya. Di samping itu, kejadian itu (kejadian kesusasteraan) boleh dimanfaatkan oleh manusia sama seperti objek alam yang lain, bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: ”Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar” (Surah az–Zumar, ayat 5).

disihir kedamaianmu
ajaib rasa tiba
kau jadikan aku seniman
menyempurnakan tugasnya.

Prinsip TPM adalah tumpuan kepada alam. Seluruh alam adalah ciptaan Allah yang perlu dibaca dan ditafsir.  . Di dalam Kitab suci Al-Quran terdapat banyak ayat yang diakhiri dengan   Afalatabsirun bermaksud apakah kamu  tidak memerhati, Afalatakkhilun bermaksud apakah kamu tidak menggunakan akal? dan  Afalatatafakhkarun bermaksud apakah kamu tidak berfikir? 
Sajak yang menjawab seruan ini ialah Ayat-ayat Pencipta (hlm 92)
Ayat-ayat Pencipta
ada pada alam
cari dalam segar embun
lihat dalam hijau daun
terpahat pada sinar mentari
tertulis pada wajah bulan
terlukis pada sayap unggas
dan kita makhluk pilihan
sia-sia saja perjalanan
jika tidak belajar  mendengar
ayat-ayat Tuhan dibaca alam
penuh dengan  peringatan
akan tibanya titian.

Sajak ini mengandungi peringatan bahawa seluruh alam adalah ayat Tuhan maka sia-sia saja perjalanan jika tidak belajar  dan mengenalnya. Ini adalah contoh karya yang mengandungi peringatan dan meningkatkan ketakwaan,   Pemerhatian dan pentafsiran terhadap objek-objek alam fizikal akan mendekatkan makhluk dengan Penciptanya seperti yang digariskan di dalam Pendekatan Firasat dan Pendekatan Dakwah. Alam adalah tanda-tanda kekuasaan Allah. Kata “tanda” di dalam bahasa Arab ialah “ayat.” Maka seluruh alam ialah ayat Allah atau ayatullah. Ramai ulama berpendapat bahawa alam berasal daripada perkataan “alamat” kerana setiap makhluk itu adalah alamat atau dalil tentang kewujudan dan keagungan kuasa Penciptanya. Ada sesetengah ahli ilmu yang mengatakan bahawa perkataan “alam” dipetik daripada perkataan “al-ilmu.” (Jamaludin Yusuf bin Abdullah Al-Armayuni Asy-Syafii, 2003:54). Hal ini menepati prinsip Teori Pengkaedahan Melayu yang melihat alam dan karya sastera sebagai sumber ilmu dan pengetahuan.
Kalau Baha Zain menggunakan ungkapan Bahasa Alam untuk sajaknya yang bertajuk Bahasa Alam, maka SZ menggunakan Ayat-ayat Pencipta, kedua-duanya membawa pengertian bahawa seluruh alam adalah ‘tanda’ kebesaran Allah. Kata ayat di dalam Bahasa Arab bermaksud tanda. Maka bertepatan pula jika dikatakan bahawa Alam adalah bahasa atau ayat yang dapat dibaca.  Perkara ini telah diulas oleh Syed Naguib Al-Attas  (1989:27). Beliau mengatakan bahawa dunia ini dan seluruh ciptaan Allah merupakan “buku” yang berisi tanda-tanda, yang bertujuan menunjukkan bahawa Tuhan itu wujud, sama halnya dengan Al-Quran itu sendiri. Perbezaannya terletak pada keadaan bahawa alam yang berkembang ini merupakan sesuatu yang diciptakan, ia tampil dalam pelbagai bentuk yang berbeza-beza, yang berfungsi sebagai simbol yang wujud secara berterusan dilahirkan melalui Kalam Tuhan yang kreatif.

Setiap objek alam fizikal atau alam inderawi adalah penanda untuk mengenal Allah. Penyair juga menggunakan unsur alam ini untuk menyatakan makna yang lebih mendalam.
Tumbuh-tumbuhan.
Salah satu unsur yang dominan di dalam puisi SZ ialah tumbuh-tumbuhan. Unsur ini ketara di dalam beberapa buah puisi misalnya Kitab Bahasa yang Terbuka (hlm 23) di mana Penyair mengungkap kecintaannya terhadap budaya dan bahasa Melayu.Di dalam sajak  Kitab Bahasa yang Terbuka Penyair mengingatkan bahawa bangsa kita memiliki khazanah kesusasteraan  yang kaya dengan  pelbagai kitab  bernilai yang sepatutnya  terus dibaca untuk memahami permata ilmu yang berharga. Di sini Penyair menggunakan tumbuh-tumbuhan bagi menyatakan keperluan memelihara bahasa yang diwarisi. Bahasa diumpamakan sebagai  pohon yang tumbuh dan tidak akan merimbunkan daun kata-kata dan tidak akan subur jika tidak dibaca. Kitab-kitab itu perlu dibaca supaya bahasa akan  tersusun dengan baik (baris-baris jiwa yang tersusun dan tidak akan pudar dipadam masa)
Kitab bahasa yang terbuka ini
Untuk kau baca berkali-kali
kerana pohon yang tumbuh
tidak merimbun kata-kata
baris-baris jiwa yang tersusun
sukar pudar dipadam masa
cahaya jiwa merdeka
semakin terang bersama usia.
cahaya jiwa merdeka
semakin terang bersama usia.

Kitab ini sentiasa terbuka
untuk kaupetik segala yang cantik
pada kata-kata yang menjadi tanda
bahasa agung akar tamadun
pada makna yang amat berharga
nilai kasih dan timbang rasa
pada ilmu yang semakin tinggi
merentas ruang dan benua.

Kitab bahasa ini sentiasa terbuka
untuk kaudengar suaranya
pada baris-baris yang tertulis
pada  kata-kata yang tiada terlihat
ada jiwa kita dan martabat
harga diri  negara berdaulat.

Unsur tumbuh-tumbuhan juga digunakan dalam puisi Akar Pohon Diri (68)
Sajak ini menyeru supaya manusia bermuhasabah Diri adalah umpama pohon dan Penyair mengajak supaya berhenti sejenak untuk merenung diri. Ini diucapkan  sebagai  bersandar sebentar pada pohon diri. Setiap orang harus ingat kembali apa yang dilihat dan dipelajari dari alam sekeliling. Dari sebatang pohon manusia  telah belajar hakikat kesementaraan hidup.  Bunga yang wangi suatu ketika nanti akan layu dan terbuang. Daun yang segar apabila tiba waktu akan gugur. Yang  membuat pohon kuat  adalah akar yang  terpahat dan menjalar dalam bumi. Dari sini muncullah karya yang mengajar  menimba kekuatan diri dengan mengambil iktibar dari akar yang  tersembunyi dan kadang-kadang dilupakan. Manusia sering dicabar pelbagai kepayahan hidup seperti juga pohon sentiasa berada di tempat terbuka selalu terdedah kepada bahaya. Tetapi manusia boleh mengambil pengajaran dari akar untuk terus bertahan seperti pohon yang berdiri menahan ribut  angin, hujan dan panas. Seperti pohon yang menimba kekuatan dari akar  manusia harus  mencari  sumber kekuatan diri.  Setiap kali kau rasa hiba dipukul derita,carilah akar yang ada pada pohon diri. Carilah kekuatan yang tersimpan serta tersembunyi . Kau akan menjadi berani dan tegap kembali.
Serangga
Siti Zaleha juga sangat menggemari imej kupu-kupu dan serangga-serangga lain. ’khabar apa yang kau bawa’. ”Di Kepakmu Ada Lukisan” dan Kunang-kunang di Alam Takdir (antologi Camar di Cangkir Bumi) menggunakan imej ini dengan cukup menarik.Melihat serangga yang kecil, penyair seringkali menyedari kelemahan manusia sebagai makhluk Allah. Manusia hanya mempunyai sedikit ilmu dan tenaga dan amat memerlukan pertolonganNya..
Kata Penyair: Bagai kunang-kunang/ yang hilang seketika/Di rimba malam/Aku kembali mencari erti
Dalam  KKLA kita temui sajak Kupu-kupu yang Asyik (71)
Sajak ini mengandungi peringatan untuk berwaspada. Penyair menyampaikan melalui imej  kupu-kupu yang bermegah dengan sepasang sayap yang cantik. Ia leka terbang ke sana ke mari. Tiba-tiba tubuhnya terlekat pada benang  sutera jaring labah-labah. Dari sajak ini dapat diambil iktibar agar tidak lupa diri seperti kupu-kupu yang terlalu asyik kerana memiliki sayap yang cantik.
Sebuah lagi sajak yang menggunakan perlambangan kupu-kupu ialah Menunggu Kupu-Kupu (hlm 35) Kupu-kupu adalah penanda kepada keadaan yang indah dan meriangkan. Seorang yang inginkan hidupnya dihiasi dengan keindahan harus tahu mendekatkan dirinya dengan alam dan berbaik-baik sangka dengan alam.
Aku menunggu kupu-kupu yang cantik
singgah ke taman ini. Saban hari aku
semakin sedih, pedih. Kubiar daun-daun
gugur, kubiar ranting-ranting bertabur
 kupu-kupu yang kutunggu tidak juga
muncul-muncul. Malam itu aku menjerit-jerit
pada bulan berwajah penuh, tinggi di langit,
“Mengapa kau bulan  cantik dan terang
 di tamanmu pula berkelip jutaan bintang !”
Tidak percaya bulan turun perlahan-lahan,
pada tangannya ada  berbagai warna cahaya.
 “Jangan memekik-mekik anak muda ,” kata bulan,
“ Inilah rahasiaku , lampu Mang Pencipta,
membawa terang setiap kamar batin
milik mereka yang berusaha dan yakin.”

Dengan lampu Maha Pencipta di sisi
kubersihkan tamanku yang terbiar dan sepi
tiba-tiba terkaku,terharu saat terpandang
ribuan kupu-kupu berterbangan datang. 

Imej serangga dan unggas kecil,  dan ingatan untuk bermusahabah terdapat lagi di dalam sajak Bersandar (78) . Digambarkan unggas kecil yang mencari semula tasik impian ketika ia  berasa amat lelah mengharung angin. Ia bersandar  sebentar, untuk bermuhasabah atau memeriksa diri dan menghimpun semula keyakinan dan kekuatan untuk terbang semula.

Batu-batu kecil
Pesanan dan ingatan untuk kembali bersatu terdapat dalam sajak Pesanan Si Batu Kecil
Kalau kecil akan mudah dipukul ribut . Ini digambarkan melalui imej batu kecil yang dipukul ribut dan berguling-guling dari lereng ke lereng. Bahaya itu dikatakan seperti sakit yang  tidak tertanggung dan akan meraung-raung. Bahaya di sekeliling diumpamakan seperti angin yang deras. yang terus memukul-mukul tebing seperti ancaman yang tidak henti-henti mahu menghancurkan kita. Dalam kesakitan ada penawar yang diberi Tuhan . Kasih Tuhan menahan pada rumpun tumbuh terpinggir. Si kecil tersangkut dan tiba-tiba muncul seekor unggas ajaib diperintah membawanya pulang. Setiap kejadian ada manfaatnya dan dengan sebabnya.
Sebaik tiba di bumi pusaka dikumpul teman-teman dan berpesan‘ kita mesti bergabung supaya berat kita mesti sepakat untuk jadi kuat . Puisi ini menepati TPM dengan seruannya ke arah pesatuan dan persaudaraan. Juga ajaran untuk mengenang kebaikan orang lain.
Laut dan Ombak
Dalam sajak Peluncur Ombak,(81) Penyair menggunakan perlambangan laut dan ombak sebagai cabaran di dalam kehidupan. Penyair mengajak seseorang (yang telah mengalami kekecewaan) untuk berdiri di pantai dan merenung laut yang luas terbentang dan memerhati peluncur yang berani sedang melawan ombak. Beberapa kali peluncur itu dikasari oleh ombak tetapi dia terus memperbaiki cara dan perimbangannya agar dapat menentang pukulan ombak yang akan datang. Dia menjadi cukup yakin membuat perhitungan hingga laut pun menjadi amat kagum dan turut bersorak setiap kali, dia berjaya menawan gerak ombak
Seruan ini adalah untuk merenung kejadian alam, berikhtiar  dan untuk tidak berputus asa dari nikmat Allah. mengambil iktibar dari perlakuan orang lain yang dapat memberi pengajaran iaitu yang dihuraikan sebagai Pendekatan Moral di dalam TPM.
Peluncur  Ombak (81)
Jika nanti dalam hidup
kau rasa hampa kerana gagal
sesekali cuba berdiri di pantai
jangan hanya melihat laut
laut memang indah terbentang
lihatlah peluncur yang berani itu
bahaya tidak pernah jadi penghalang
saat –saat  cemas digulung  dan
hampir lemas  dia bangun segera
datang lagi kepada laut, berkali-kali
bergerak di sepanjang permukaan ombak
 kini dia tidak lagi silap perimbangan
 cukup yakin membuat perhitungan
hingga laut pun menjadi amat kagum
dan turut bersorak setiap kali, dia
berjaya menawan gerak ombak.

Ikan kecil di kolam
Di dalam Puisi Penawar Luka Purba (87) dapat dilihat  sikap Penyair Melayu yang berbaik sangka dengan alam. Penyair mengatakan kau akan sedar, dalam hidup yang sebentar, kita diberi banyak penawar. Imej alam yang digunakan ialah perlakuan ikan-ikan kecil yang berenang dan menggosok-gosokkan tubuh kecilnya pada lumut di batu-batu. Dengan melihat perlakuan memberi kesedaran bahawa dalam hidup yang hanya sebentar, kitadiberi  banyak penawar.Hal ini menepati prinsip teori bahawa setiap yang dijadikan oleh Allah swt  adalah mempunyai hikmah dan manfaatnya kepada manusia.

Jika ada luka purba, belum sembuh
duduklah di tepi kolam-kolam ini
lihat ikan-ikan kecil berenang lembut
meliuk-liuk,sesekali membalik-balikkan
badan pada lumut di batu-batu,
bagai anak-anak kecil yang nakal
 dan lucu . Kau akan sedar dalam hidup
 yang hanya sebentar, kita
diberi  banyak penawar.

Alam rumahtangga dan keluarga
Hubungan kekeluargaan dan seruan ke arah kebaikan adalah menepati Pendekatan Dakwah. Hal ini jelas dalam sajak Seorang Ibu Pesannya Berpanjangan (hlm 17) yang merupakan sebuah  karya yang dihasilkan dengan mengambil sifat didaktik yang amat mengutamakan penggarapan persoalan-persoalan tentang kepentingan melakukan kerja-kerja baik dan makruf, Kepentingan nasihat dan menasihati dilihat pada Ingatan ayah supaya memberi anak semangat, jangan menangis. Anak dilepaskan pergi untuk mencari ilmu. Di sini menepati ajaran Islam untuk memuliakan ilmu. Karya ini yang lahir dari kasih sayang ibu yang mengasuh anak dengan sabar dari kecil hinggalah dewasa.
Seorang Ibu Pesannya Berpanjangan
(Untukmu Firdaus Ramzan)

Usah menangis beri dia semangat, kata ayahmu
ketika aku melihat kau pergi. Air mata yang kusimpan
mengalir laju di dalam hati, tiada siapa pun tahu
pesawat yang membawa kau menerbangkan
semangatku sama. Masa tidak dapat ditahan kau pun dewasa
menjadi anak muda dan aku mesti tabah
melepaskan kau melangkah jauh mencari kunci
membuka pintu ilmu untuk jalan hidupmu sendiri
setiap langkah gaya ayahmu, tabah. Akulah
memujuk kau segera bangun daripada jatuh
yang pertama. Bicaramu gaya anak muda kini
bijak dan berani. Akulah yang pertama mendengar
kau menyebut bunyi-bunyi entah apa. Setiap kali
diusik kau tertawa dan akulah yang amat bahagia
ketika kau mula menyebut abah dan mama.

Ingatkan juga teman-temanmu yang  turut melangkah
meninggalkan ibu-ibu seperti aku di dalam rindu
hidup ini adalah lebuhraya menuju ke destinasi,
sesekali singgahlah ke rumah lama bermulanya langkah pertama
hidup ini adalah penerbangan membuka angkasa, sesekali
hidupkan semula kereta tua membawa kau mengenal kota

Kutulis puisi ini untukmu anakku
kukirim doa dan kusimpan semua rindu
seorang ibu pesannya berpanjangan kerana
kasih sayangnya merentasi masa dan sempadan.

Puisi ini mengingatkan saya kepada Pujangga Dunia Kecil dari antologi Kristal di Laut Bulan di mana Penyair mengungkap tentang kasih sayang dan alam rumahtangga dengan indah sekali. Mesej atau pemikirannya ialah perlakuan ibu dan ayah sangat mempengaruhi dan akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh itu ibu dan ayah wajar menjaga kelakuan mereka. Kasih sayang ibu ayah akan meninggalkan kenangan manis kepada anak-anak, dan begitulah sebaliknya. Di dalam sajak ini Penyair menggunakan imej Bulan yang menjadi bertambah jingga/ mengintai di tepi jendela (ketika gembira) dan bulan menjadi kelabu (ketika berduka). Kata Penyair Kitalah pujangga/ sebuah dunia kecil bernama keluarga.
Sajak Pujangga Kecil dapat diaplikasi melalui Pendekatan Moral yang mengutamakan pemerian contoh teladan. Karya sastera memerikan manusia, kehidupan dan kejiwaannya yang diperolehi melalui pengalaman dan pentafsiran pengarang terhadap manusia dan lingkungannya. Keragaman peristiwa itu sebahagian besarnya boleh menjadi contoh dan teladan dalam hidup pembaca. Teladan yang diperolehi daripada kehidupan watak boleh dijadikan iktibar. Demikian pendapat Penyair bahawa perlakuan ayah dan ibu amat besar pengaruhnya terhadap anak-anak.  
Perjalanan Dan Alam Yang Ditemui Dalam Perjalanan
Penyair juga banyak menggunakan simbolisme perjalanan dengan imej lebuh raya dan kenderaan bagi menyampaikan pemikirannya tentang perjalanan hidup manusia. Di dalam sajak  Seorang Ibu Pesannya Berpanjangan, Penyair mengatakan hidup ini adalah lebuhraya menuju ke destinasi dan hidup ini adalah penerbangan membuka angkasa. Anaknya telah dewasa dan menaiki pesawat atau kapalterbang. Dia berpesan kepada anaknya agar jangan lupa untuk kembali ke rumah asal untuk menghidupkan semula kereta tua yang pernah membawanya mengenal kota.
Ingatkan juga teman-temanmu yang  turut melangkah
meninggalkan ibu-ibu seperti aku di dalam rindu
hidup ini adalah lebuhraya menuju ke destinasi,
sesekali singgahlah ke rumah lama bermulanya langkah pertama
hidup ini adalah penerbangan membuka angkasa, sesekali
hidupkan semula kereta tua membawa kau mengenal kota

Simbolisme perjalanan ini terdapat di dalam sajak-sajak  Lebuh Raya (Kristal di Laut Bulan) . Katanya Lebuh raya kehidupan ini/ sering membawa kita ke destinasi/ amat jauh sekali Yang diungkap di dalam sajak tersebut adalah juga tentang kasih sayang ibu bapa dan pentingnya menjaga hati mereka yang sudah tua. Sejauh mana pun lebuh raya yang dilalui, pulanglah ke rumah ibu dan ayah. Seruan ini juga membawa makna sejauh manapun seseorang merantau janganlah melupakan budaya dan tempat asal.

Lebuh Raya
Lebuh raya kehidupan ini
sering membawa kita ke destinasi
amat jauh sekali
kadangkala kita lupa
singgah di sebuah daerah
ke rumah ibu dan ayah
yang suatu waktu dahulu
menunggu penuh sabar
langkah-langkah kecil
dengan tawa seorang anak manja
menuju ke arah mereka
sesekali hadiahkan nikmat singkat
selagi mata mengerdip
untuk melihat zuriat.

Perjalanan dengan kereta di waktu hujan juga digunakan sebagai perlambangan tentang kehidupan yang kadang-kadang didatangi oleh titis-titis kekecewaan dlm sajak Hujan dan Luka (97). Seperti hujan yang jatuh di cermin kereta begitulah juga titis-titis luka dan kecewa / kadang-kadang singgah / di cermin hadapan kehidupan. Sepertimana kita berwaspada di dalam hujan begitu juga di dalam kehidupan agar sampai ke destinasi yang dituju.

Simbolisme perjalanan ini turut melibatkan  perjalanan udara dan kenderaannya iaitu pesawat atau kapalterbang. Dalam sajak Pesawat Telah Terbang (98), Penyair menggunakan penerbangan pesawat untuk mengungkapkan kepentingan menghargai waktu. Semua orang harus menghargai waktu agar peluang tidak terlepas seperti pesawat yang telah berlepas.
Pesawat telah terbang
dan kau terlewat tiba
peluang yang datang
terlepas begitu sahaja
waktu paling tepat
berharga dan bermakna
 kerana sesaat  lambat
sasaran sudah berangkat.

Seluruh dunia dan kehidupan ini dimisalkan sebagai daerah orang-orang kerdil/menaiki pesawat. Semuanya mempunyai misi untuk berjuang sebelum berangkat pulang.

Daerah Orang-orang Kerdil
Di sini daerah orang-orang kerdil
menaiki pesawat
sambil dilayan dengan hormat
sama-sama tidak bernama
boleh duduk di mana-mana
kerana semuanya akan pulang
setelah selesai berjuang.
Selain perjalanan darat dengan imej lebuhraya dan kereta serta perjalanan udara dan kapalterbangnya, Penyair ini turut menggunakan perjalanan laut dan kapal yang belayar.

Selain perjalanan darat yang melibatkan kereta dan perjalanan udara yang melibatkan pesawat, simbolisme perjalanan juga melibatkan perjalanan laut dengan kapal, perahu, dermaga dan pelabuhan.
Seperti dalam sajak Pesan Ibu Berpanjangan, SZ pernah menulis tentang anak-anak yang harus pergi jauh setelah meningkat dewasa. Akan tiba waktu untuk belayar dan menyahut cabaran yang datang bersama kedewasaan. Hal ini diperkatakan di dalam puisi berjudul “Pelayaran”
                        Pelayaran ini bukannya mudah
Hari-hari hitam yang dilalui
Detik-detik putih yang ditempuhi
Datang dan pergi
Namun api yang menyalakan semangat
Tiada pernah padam
Biar siang ataupun malam
Pelayaran ini kau teruskan
Dan alam pun melihat kerlipan bintang-bintang.
                                                      (Camar di Cangkir Bumi, 1999:73)

Puisi “Pelayaran” mengemukakan keadaan manusia yang bergantung kepada alam, iaitu keadaan laut dan perjalanan waktu di dalam menentukan tindakan dan arah tuju di dalam hidupnya. Daripada penerapan Pendekatan Dakwah, kedua buah puisi membicarakan tentang kepentingan waktu dan mengingatkan manusia agar tidak terus leka dengan kesenangan yang ada.
Selain sajak-sajak yang disentuh di atas terdapat sajak-sajak  yang diilhami dari perjalanan umpamanya Tasik Dal & Aku. Penyair menemui anak-anak yang menjaja jagung bakar tetapi menyedari bahawa yang dipikul dan dijaja ialah impian yang entah bila akan menjadi kenyataan. Di sana juga ada penjual bunga yang diabadikan dalam Penjual Bunga Kashmir . Penyair melukiskan keindahan unsur alam seperti bunga-bunga dan tasik namun menyedari di bumi Kashmir itu ada tembakan lagi,. Penyair membeli bunga tetapi turut membawa pulang insaf yang panjang.
Penyair juga menyentuh isu negara dan Nusantara di dalam Apa khabar Selat Melaka, Ada nada kebimbangan bila ada kabar tentang kuasa asing yang merancng untuk menjadi ‚polis‘ dunia untuk mengawal selat melaka. Penyair melihat ini sebagai satu campurtangan yang tidak diingini.
Aku mendengar berita  ada nakhoda luar
ingin membina pagar sekelilingmu
bimbang ada buaya, ada ular
yang akan menjalar sekitar
tapi mengapa mereka pula yang cemas
takut petaka tiba di bumi kita
sekian lama kapal-kapal dari daerah timur ini
belayar membawa muatan bangsa
ke laut luas buana, tanpa curiga
sejak dahulu semakin hari semakin ramai
yang tiba ke pantaimu.
Hari ini ada yang memunggah teknologi
dan ada yang membungkus komoditi
 bersama mimpi. Selat Melaka
bukankah bumi sendiri lebih kenal
 laut, kapal dan selatnya
amat arif muslihat karang
 yang tersembunyi di dasar laut
di sebalik batu-batu teknologi
dan amat kenal umpan
 terselindung di sebalik tangan
yang diberi nama bantuan kemanusian.
Sudah tentu saya wajar bercakap tentang puisi yang menjadi jodol
Rasanya tidak lengkap jika tidak menyebut sajak yang menjadi judul antologi ini Kapal Kertas dan Lautan Api 
Ia menyingkap kehidupan yang penuh ilusi dan manusia yang tidak berdaya. Oleh itu mengharap pertolongan Yang Maha Esa. Penyair sendiri mahu meninggalkan ilusi ini keana dunia global adalah reality yang perlu kita hadapi penuh berani. Ada orang yang menangis kerana terlalu suka dan ada orang suka kerana ada yang menangis. Ada orang yang jatuh dari tempat yang tinggi dan dikeji. Ada orang di tempat yang tinggi menjatuhkan martabat bangsa dan dipuja. Pelbagai perkara sedang terjadi dan menggugat ketenteraman sejagat dan cara manusia menanganinya. Ada teropong besar memerhatikan Selat Melaka dan Selat Melaka menutup sebuah hasrat dan muslihat. Ada teraju bumi merdeka yang diikat tangannya. Ada tangan tersembunyi membebaskan dendam yang terpendam. Begitu banyak berita dan derita.
            Penyair menegaskan bahawa tidak mahu lagi bercerita tentang kapal kertas dan lautan api. Dia sudah didewasakan masa dan dibesarkan oleh pengalaman yang mengajar. Jadi, mimpi, biar tinggal di alam mimpi bersama usia remaja. Hari ini kita harus melangkah ke alam sedar yang benar.
Kecintaan terhadap budaya terpancar dalam sajak Darah Melayu yang mengingatkan seseorang akan janjinya untuk pulang mengurus bangsa.untuk kekal kasih di Alam Melayu.
Adat dan Budaya turut disusun dalam Sesusun Pantun (Sesusun pantun dalam tepak waktu
selalu menjemput aku, mengangkat harumnya yang amat luar biasa.) Penyair sering membangkitkan suasana ke Melayuannya dengan gambaran  tepak sirih dan  pinang, sirih kasih, kapur nasihat, gambir ibarat. Segalanya menyimpan  hiba,  jenaka, dan budi bahasa.
Pergolakan dunia turut meruntun hati Penyair sepertimana yang terlihat dalam sajak Tujuh Sahara  dan bencana alam tsunami melahirkan sajak Kata-kata yang Hilang.

(Kupanggil kata-kata, tidak ada yang mahu hampir/ketika tsunami mengheret ratusan ribu nyawa /kata-kata pedih berlari ke gunung tinggi/menjerit-jerit di Aceh, di Sri Lanka, di Kuala Muda) dan akhirnya mengutus pesanan (siapa yang bergelar manusia perlu mencari hikmah
dan bangun segera mengangkat sengsara , mentadbir bumi dengan penuh bijaksana.)
kesimpulan
Daripada analisis yang telah dibuat dapatlah dirumuskan bahawa puisi-puisi tersebut telah dihasilkan oleh penyair setelah berlaku interaksi, interpretasi dan integrasi dengan alam yang memberikannya makna atau pengertian tentang kehidupan yang dilaluinya. Penyair menggarap pelbagai persoalan di sekitar kehidupan manusia Melayu sama ada yang menyentuh persoalan keagamaan, ekonomi, sosial, dan jatidiri bangsa dan menghasilkan puisi-puisi  wadah bagi menyampaikan peringatan, nasihat dan mesej kebaikan yang berlandaskan kepada ajaran Islam.

 PANTUN: GEMERLAP PERMATA SILAM
PANTUN- GEMERLAP PERMATA SILAM –Siti Zaleha M.Hashim

-Zurinah Hassan.
(diskusi buku Majlis SEBUDI 18.5.2013)
Di antara sekian banyak puisi warisan, boleh dikatakan Pantun adalah bentuk yang paling popular  dan hidup subur pada masa ini.  Pantun tersebar luas melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan pelbagai acara kemasyarakatan. Sering juga diadakan pertandingan berbalas pantun baik di peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan, contohnya, Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama pihak swasta.  Pantun bukan sahaja disiarkan dalam majalah ilmiah dan budaya  seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah jenaka dan komik seperti  Ujang dan Din Lawak. Pengiklan juga menggunakan pantun untuk melariskan jualan, misalnya pantun di bawah:
Kek lapis dan kuih bahulu,
      Menjadi juadah di Hari raya;
Kalau puan-puan ingin tahu,
     Semua perkakasan ada di IKEA.
 (Utusan Malaysia 13 Oktober 2006 dalam iklan IKEA )

Pantun juga berkembang di internet. melalui beberapa laman web khas. Di samping itu pantun turut  disebar luas melalui sms misalnya sempena hari raya atau peristiwa-peristiwa tertentu. Pantun sms ini biasanya bernada jenaka dan bertujuan untuk menyampaikan komen-komen yang nakal. Dari sini kita melihat teknologi moden mengembalikan unsur-unsur sastera rakyat yang tersebar tanpa diketahui pengarang asalnya.
Melihat kepada keadaan ini, kita tidak bimbang tentang survival pantun. Ia bukan hanya hidup  tetapi berkembang mekar. Walau bagaimanapun  hal yang membimbangkan ialah tentang  penghayatan pantun. Masyarakat mengucapkan pantun tetapi kurang menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan falsafah yang  tinggi itu tidak dikenali oleh masyarakat.
Misalnya ramai yang mengucapkan:
Kajang tuan kajang berlipat
                Kajang saya mengkuang layu
Dagang tuan dagang bertempat
                dagang saya menumpang lalu

tanpa memahami apakah kajang atau bagaimana rupanya ‘kajang yang berlipat’ dan terlalu sibuk dengan urusan hidup yang lain untuk mengambil tahu. Dalam situasi inilah saya melihat buku Gemerlap Permata Silam (tulisan Penyair Siti Zaleha M.Hashim) ini sebagai sangat relevan dan dapat menyumbang ke arah usaha memberi penerangan dan pencerahan kepada suasana yang kelabu (kalau tidak pun gelap gelita) ini. Buku ini memberi pendedahan tentang pantun kepada masyarakat terbanyak.
Apatah lagi, Pantun dan nama Siti Zaleha M.Hashim terasa seperti ada kesejajaran. Bagi saya Siti Zaleha M.Hashim dan Pantun kedua-duanya membawa pengertian “lembut dan berseni”. Perwatakan atau keperibadian yang menepati ciri-ciri tradisi seorng wanita Melayu adalah seperti pantun yang harmoni rimanya. Siti Zaleha umpama Pantun.
Pantun- Gemerlap Permata Silam terbitan ITBM 2013, adalah buku yang memperkatakan tentang pantun. Isi buku ini tidaklah sarat akademik. Buku ini dapat dikategorikan sebagai bahan bacaan santai. Namun ini tidak sekali-kali bermaksud ia kurang bernilai.  Bacaan santai juga perlu diterbitkan untuk keperluan masyarakat, paling sesuai  bagi mengisi masa lapang.  Bukan semua orang memerlukan bacaan yang bertaraf akademik.  Justeru itulah dalam masyarakat pelbagai perniagaan  berjalan serentak seperti di dalam pembangunan negara kita  memerlukan hotel lima bintang dan juga hotel 3 bintang. Serta hotel bajet. .
 Isi buku ini diatur dalam tiga peringkat seperti mana yang difikirkan oleh penulisnya paling sesuai untuk mendekati pembaca. Ada tiga perkara penting:
-          Mengenal pantun sebagai cabang dari puisi warisan
-          Mengenal ciri-ciri pantun yang baik
-          Bimbingan mengarang pantun.

Mengenal Pantun Sebagai Cabang Dari Puisi Warisan
Sebelum memperkatakan pantun, penulis memberi sedikit penjelasan tentang puisi-puisi warisan yang lain iaitu syair, gurindam, seloka dan sebagainya. Dengan ini penulis dapat menunjukkan keragaman puisi dan kekayaan yang terdapat di dalam khazanah sastera Melayu yang dipusakai zaman berzaman.  Di samping membolehkan pembaca membuat perbezaan di antara puisi-puisi tersebut, ia  juga dapat menarik minat khalayak untuk mendalami pengetahuan tentang sub genre puisi tradisi yang lain yang disebut di bahagian ini.
Penulis kemudiannya memperkatakan jenis-jenis pantun. Masyarakat seharusnya dapat mengenal jenis-jenis pantun melalui bentuknya iaitu samada pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat atau lebih. Ini diikuti dengan penerangan tentang pelbagai jenis pantun yang dapat dikenali melalui tema dan persoalannya.  Penulis menelusuri pantun mengikut tema-temanya . Dari sini mendekatkan pembaca dengan Pantun Adat khasnya yang digunakan di dalam majlis peminangan, persandingan dan perkahwinan, Pantun Budi, Pantun Agama, Pantun Nasihat, Pantun Ilmu, Pantun Pahlawan dan Pantun Dagang, Pantun Peribahasa , Pantun Jenaka, Pantun teka teki dan pantun berniaga.
Bahagian awal buku ini lebih bertujuan untuk memperkenalkan atau memberikan pengetahuan asas kepada  Pantun. Seperkara yang ditekan dan penulis ialah kedudukan Pantun sebagai  warisan  silam yang bukan sahaja dikenali  oleh bangsa  Melayu, malah dikenali dan dikaji olehi oleh sarjana-sarjana antarabangsa. Pantun diakui sebagai pengucapan yang bernilai tinggi.
Penulis memberi perhatian kepada kepentingan kedudukan pantun sebagai  khazanah Sastera lama. Ia adalah media pengajaran dan berfungsi untuk membimbing anak-anak ke arah  nilai-nilai murni. Sebelum adanya penulisan, puisi tradisional terutama pantun telah tersebar luas khasnya melalui nyanyian dan permainan rakyat. Setelah menyegarkan kembali atau membina asas pengetahuan tentang pantun, Penulis mengajak pembaca mendalami keistimewaan pantun dari segi struktur dalamannya iaitu sukukata perlambangan dan hubungan pembayang dan maksud, fungsi dan isi dan jenis-jenis pantun, Penulis kemudian mengulas kata dasar dan sukukata yang mengindahkan pantun. Bahagian seterusnya atau bahagian akhir merupakan bimbingan kepada bakal pengarang pantun. Penulis sudah pasti menginginkan ramai yang akan tertarik hati dan cuba mengarang pantun. Dengan ini pusaka bangsa tidak akan malap.
Penulis juga memberi perhatian kepada aspek keindahan atau estetika Pantun. Estetika Pantun terletak pada hubungan Pembayang dan Maksud, peranan rima , aliterasi dan asonansi. Seterusnya ialah penggunaan bahasa dalam pantun yang meliputi penggunaan bahasa inversi, bombastic, hiperbola. Sebelum adanya tulisan, puisi tradisi telah berkembang melalui lisan samada dipertuturkan atau dinyanyikan di dalam lagu-lagu rakyat termasuk lagu kanak-kanak, Digunakan dalam ritual dan magis...dalam upacara, hiburan dan agama.

Walaupun pada keseluruhannya buku ini bersifat bacaan santai (bukan ilmiah), penulisnya, Siti Zaleha telah melakukan kajian dan rujukan tentang subjek yang ditulisnya. Penulis membuat rujukan kepada buku-buku yang telah dihasilkan oleh sarjana sarjana seperti Dr.Harun Mat Piah, Aripin Said, Iladam, dan lain-lain. Beliau turut memetik pandangan pemakalah dari kertaskerja yang dibentangkan di dalam Seminar seperti Seminar Pantun Antarabangsa 2002. Pengetahuan tentang pantun dianggap penting bagi menambah pengetahuan dan menjadi persediaan untuk mengarang pantun.

Penulis telah memilih pantun-pantun dan diulas dengan gaya yang dapat menyemarakkan kecintaan terhadap warisan Melayu ini.Pada keseluruhannya buku ini juga ditulis dalam gaya bahasa yang juga berima dan berirama sesuai dengan subjek yang diperkatakan. Setiap bab dimulakan dengan menurunkan pantun yang indah yang relevan. Hal ini dengan sendirinya dapat menarik pembaca untuk mengetahui lebih lanjut.
Bab empat memulakan pembicaraan tentang tema “Menelusuri Tema Pantun” Ianya dimulakan dengan memperlihatkan pantun sebagai media komunikasi. Yang paling menonjol ialah komunikasi di kalangan kanak-kanak dan di kalangan orang muda yang berkasih sayang. Pantun adalah media  komunikasi yang tidak berterus terang sesuai dengan nilai budaya masyarakat Melayu yang mengutamakan kesantunan dan perasaan penerima. Pembahagian tema dimulakan dengan Pantun Adat dan Istiadat khasnya yang digunakan di dalam majlis peminangan, pertunangan dan perkahwinan. Ini juga sesuai kerana di dalam majlis-majlis ini terserlah keindahan pantun.  Bahagian penting seterusnya ialah Pantun Budi kerana sesungguhnya budi itu menjadi keutamaan orang Melayu. Kehalusan adalah sifat yang amat diutamakan oleh orang Melayu. Kehalusan bukan sekadar menggambarkan perwatakan, sahsiah, keturunan dan pendidikan tetapi mendasari kemanusiaan Melayu, morality dan etika Melayu. Kemanusiaan Melayu memiliki ciri khas yang dinamakan budi. Budi melalui perlakuan budi pekerti, pemikiran akal budi, perasaan (hati budi) pertimbangan budi bicara dan bahasa serta pertuturan (budi bahasa). Dari huraian penulis, buku ini bukan sahaja dapat menambah pengetahuan pembaca tentang pantun malah tentang budaya dan pemikian masyarakat Melayu misalnya bagaimana orang Melayu menghargai budi.  Pemikiran tentang Budi juga berkait rapat rapat dengan sanjungan orang Melayu terhadap agama yang danuti. Bahkan seluruh pemikiran dan pandangan hidup orang Melayu dibentuk oleh Islam. Justeru itu penulis seterusnya memberi tumpuan terhadap pantun agama .Pantun adalah institusi pendidikan informal. Mengajar, mendidik dan menasihati ke arah kebaikan. Penulis memberi contoh:
Serindit terbang rendah
    Terbang mari menyongsong angin
Siapa tauhid kepada Allah
    Masuk syurga jannatulnaim.

Pantun agama dianggap sebagai alat ekspressi untuk penghidupan yang lebih tinggi Pada keseluruhannya pantun agama adalah sarat dengan pengajaran dan nasihat. Pantun berunsur agama menyentuh pelbagai aspek agama antaranya rukun Islam, terutama mengenai sembahyang, puasa, rukun haji dan zakat. Rukun iman, percaya kepada qada dan qadar, hari akhirat, nabi-nabi . Tanpa iman yang sempurna segala amalan akan ditolak. Sebahagian besar Pantun Agama ditujukan kepada kanak-kanak. Pantun-pantun ini dinyanyikln Peraturan hidup beragama seperti yang diajar kepada anak-anak sebagai media pengajaran tidak formal.  Dinyanyikan oleh kanak-kanak sebagai proses sosialisasi.
Contohnya lagu Anak Ayam.
Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal Sembilan
Bangun pagi sembahyang subuh
Mengingat rahmat daripada Tuhan

Anak ayam turun Sembilan
Satu mati tinggal lapan
Memohon rahmat pada Tuhan
Mencari rezeki jalan kehidupan

Anak ayam turun lima
Satu mati tinggal empat
Disuruh menuntut pada ulama
Supaya terang jalan makrifat.

Walau bagaimanapun adalah lebih berkesan jika Siti Zaleha  mengemukakan pantun-pantun sepertimana ia dinyanyikan oleh kanak-kanak iaitu memendekkan ayat dan tanpa imbuhan. Dalam nyanyian kanak-kanak:
Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Bangun pagi sembahyang subuh
Ingat rahmat dari  Tuhan

anak ayam turun lima
Satu mati tinggal empat
Tuntut ilmu pada ulama
Biar terang jalan makrifat.

Bahagian seterusnya ialah Pantun Nasihat dan Pantun Ilmu. Ini adalah bahagian yang penting. Kerana seluruh sastera Melayu itu adalah sastera yang menyeru ke arah kebaikan:
Ketika berucap di dalam Syarahan Perdana Universiti Malaya pada 4 Disember 1997, Hashim Awang menyebut bahawa Sastera Melayu sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan. Pengarang-pengarang Melayu telah memasukkan mesej yang baik dan positif di dalam karya-karya mereka. Katanya:
“Kesusasteraan Melayu telah mengambil sifat didaktik yang amat mengutamakan penggarapan persoalan-persoalan tentang kepentingan melakukan kerja-kerja baik dan makruf, di samping turut menyelitkan penyuaraan-penyuaraan tegas berbentuk larangan supaya meninggalkan perbuatan-perbuatan yang batil atau kejahatan, demi kebajikan dan kebaikan manusia, khususnya bagi umat Melayu dan Islam.”

Oleh itu diberi penekanan kepada kepentingan nasihat menasihati. Ini juga satu bentuk penyebaran dakwah dalam masyarakat Melayu.
Cahaya apa di Tanjung Tuan
Memancar-mancar bersilang silang
Kapal belayar mengikut haluan
Supaya tidak terlanggar karang

 Selepas Pantun Budi, penulis menumpukan perhatian kepada Ilmu. Ilmu adalah bahagian yang penting di dalam pantun Melayu. Ini memperlihatkan bagaimana oang-orang Melayu memuliakan ilmu. Terdapat pantun-pantun seperti:

Keris kecil menikam ular
Keris besar menikam singa
Dari kecil hendak belajar
Sudah besar teranya-tanya
Selain itu terdapat banyak pantun bertemakan ilmu seperti:
Burung kenek-kenek
Hinggap di atas batu
Pesan datuk nenek
Rajin-rajin baca buku.

Bahagian seterusnya ialah Pantun Pahlawan Pantun Dagang, Peribahasa dan Jenaka dan sebagainya.
KESIMPULAN:
Penerbitan buku ini adalah satu usaha yang baik bagi mendekatkan (atau mendekatkan kembali) Pantun kepada masyarakat terutama generasi muda.  Ia dipersembahkan dalam bentuk yang mudah difahami . Walau bagaimanapun penyusunan buku ini bukanlah sesuatu yang mudah dan kekeliruan mudah berlaku di sana sini. Misalnya Di bawah tajuk Pantun Nasihat dan Pantun Ilmu ini dibahagikan pula kepada:
 Pengajaran dan Nasihat
Jenaka dan Sindiran
Adat dan Etika
Budi dan budi bahasa
Pendidikan, agama dan akhlak
Ilmu dan kepentingannya
Peribahasa, kiasan dan ibarat, kasih sayang
Hal ini agak mengelirukan. Apakah perbezaan di antara Nasihat, Ilmu dan Pendidikan. Perlukah pantun nasihat dan ilmu mempunyai pembahagian misalnya kepada adat, kasih sayang atau budi sedangkan pantun adat, dan budi telah dibicarakan di bahagian lain yang khas. Mengapa pantun adat dimasukkan di bawah nasihat. Pada bab yang terdahulu iaitu Bab 6, penulis telah memperkatakan tentang Pantun Adat dan mengenal adat. Hal ini juga menunjukkan bahawa pantun itu tidak mudah disusun mengikut temanya.
Burung kenek-kenak
Terbang atas pagar
Pesan datuk nenek
Rajin-rajin belajar.

Selepas itu dikuti dengan pantun-pantun yang dikategorikan sebagai Jenaka dan sindiran.
Paya senggeram batu berjari
Buah jering dalam petak
Hairan sungguh hati kami
Lautan kering timbul katak

Buku ini dimulakan dengan pengenalan kepada struktur pantun. Ia diikuti dengan contoh-contoh pantun dalam pelbagai kelompok (Busi, Nasihat, Agama dan lain-lain). Penulis kembali mendalami aspek struktur pada Bab 12. di mana penulis membicarakan semula hal-hal yang bersangkutan dengan struktur, (Ciri-ciri pantun sejajar dan berpasangan, kata dasar pantun, pembayang maksud dan maksud, rima dalam pantun dan sebagainya)
Pada mulanya saya berpendapat adalah lebih tersusun jika  pembicaraan terhadap struktur diselesaikan di bahagian awal ini dan tidaklah diulangi lagi di bab 12 . Namun saya kemudian saya melihat kewajaran penyusunan Bab yang dibuat oleh Siti Zaleha, kerana dengan memberikan contoh-contoh pantun akan memudahkan pembaca apa yang dihuraikan dengan lebih mendalam pada bab-bab akhir.
Kesimpulannya, buku ini adalah satu usaha yang baik dari seorang yang dekat dan berpengalaman di dalam cabang puisi tradisional ini. Usaha seperti ini yang wajar dijalankan oleh individu-individu yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam apa juga bidang yang dapat memberi panduan kepada orang lain.



No comments:

Post a Comment