Tuesday, May 21, 2013

PUISI MELAYU TRADISIONAL DALAM LAGU


PUISI MELAYU TRADISIONAL DALAM LAGU
(Peranannya  Dalam Pembentukan Jatidiri Kebangsaan)


Zurinah Hassan
(kertaskerja Hari Puisi Nasional, 11.5.2013, di Pulau Pinang.

Sebelum adanya penulisan, puisi telah disebar melalui lisan khasnya dinyanyikan dalam pelbagai bentuk nyanyian. Puisi Melayu Tradisional (PMT) telah membentuk pemikiran dan mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu. Khazanah Puisi  tradisional kita mengandungi Pantun, Syair, Gurindam, Seloka, Nazam,  (sekadar menyebut jenis-jenis yang lebih terkenal). Setiap satu dikenali melalui  bentuk/struktur, isi dan fungsi masing-masing.. PMT adalah pusaka bangsa yang sangat berharga.kerana pada keseluruhannya mengandungi pemikiran dan nasihat yang bernilai untuk pembentukan masyarakat. Di dalamnya terkandung mutiara kata dan susunan madah yang membuktikan kebijaksanaan atau kearifan nenek moyang kita. Seperti karya sastera Melayu yang lain PMT  mengandungi pengajaran ke arah kebaikan. Puisi tradisional boleh dikatakan satu institusi pendidikan informal.

NAZAM

Nazam adalah puisi yang bertemakan keagamaan seperti menceritakan tentang hukum hakam dan  kisah kehidupan Nabi Muhammad saw.Dari sudut gaya bahasa, terdapat banyak penggunaan perkataan Arab. Ciri signifikan dalam Nazam ialah ia dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah dan  selawat ke atas Nabi. Baris yang berupa puji-pujian dan selawat ini diulang-ulang hingga ke baris akhir.Nazam biasanya disampaikan dengan lagu yang agak rancak,lazimnya diiringi paluan rebana.Pada masa ini nazam biasanya dinyanyikan dalam majlis-majlis berendoi dan majlis-majlis keagamaan yang lain

GURINDAM
Di antara definisi Gurindam terikat ialah:
1-    Kamus Umum Bahasa Indonesia  menyebutkan bahawa : gurindam itu adalah sajak dua baris yang mengandung pengajaran.
2-    Kamus Dewan (1994:386) menyatakan gurindam ialah sejenis puisi terdiri daripada dua baris,berisi dengan berbagai-bagai pengajaran.
3-    Dalam Kamus susunan Sutan Mohd Zain, gurindam itu maknanya, sajak yang terjadi dari dua baris, baris pertama biasanya syarat dan baris yang kedua akibat.
4-    Sutan Takdir Alisjahbana (1971) menulis: Gurindam ialah nasihat, pengajaran yang kebenaran.
5-    Iladam (2003), mendefinisikan gurindam sebagai sebuah wacana yang mengandung kalimat yang berima. Isinya berunsur nasihat yang bentuknya semacam bidalan.

SELOKA
Seloka ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang tidak mempunyai struktur yang khas seperti pantun atau syair. Mengikut Zaaba,  seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip kepada ciri free verse iaitu bentuk puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.

PUISI TRADISI DALAM NYANYIAN
Kertas ini melihat PMT yang digunakan di dalam lagu-lagu atau nyanyian. Banyak lagu yang menggunakan pantun (dan syair) terutama lagu-lagu berirama Melayu Asli.. Sebagai Lirik lagu, PMT  yang disebarkan dalam nyanyian sangat besar  pengaruhnya dalam masyarakat. Lagu dan lirik lagu memainkan peranan yang besar di dalam kehidupan manusia. Misalnya. lagu yang disiarkan di radio akan berkumandang ke seluruh ceruk rantau, didengar oleh berjuta-juta orang. Lagu yang popular akan disiarkan berulang kali  Secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak langsung, secara mendadak atau perlahan, akan meresap dan berkesan di jiwa dan penghidupan pendengarnya. Lirik lagu menyumbang ke arah pembentukan minda sesuatu bangsa. Lirik lagu juga menjadi dokumentasi sejarah sosio budaya sesuatu masyarakat.

Dengan perkembangan IT lagu-lagu  tersebar tanpa had dan sempadan ke seluruh dunia. Lagu lama dan baru boleh  didengar dan ditonton melalui You tube. Oleh itu lirik lagu harus diperhatikan agar tidak  membawa kesan negatif. Sebagai hasil seni, lagu dan dendangannya adalah cerminan jatidiri sesuatu bangsa.

Peranan Lagu dan Nyanyian
·         Lagu dan nyanyian sangat diperlukan oleh manusia untuk  menghibur juga melegakan kesakitan dan stress. Pada zaman dahulu ada lagu untuk bekerja.  Para pekerja melaungkan sesuatu seperti menyanyi ketika  menjalankan tugas berat Ini berperanan mendapatkan ritma supaya dapat bergerak serentak. Lagu ini juga dapat mengalih fikiran mereka dari kepenatan yang dirasai. Begitu juga lagu yang dinyanyikan ketika mendodoi anakn.  selain menghiburkan anak, mereka juga tidak jadi mengantuk dan tertidur.


·         KAEDAH BELAJAR
Syair ini dengarkan olehmu,
Sekalian orang mencari ilmu;
Di dalam kitab banyak yang jemu,
Dikarangkan syair baharu bertemu.

·         Lagu dan sesuatu irama digunakan untuk menarik perhatian. Misalnya seorang penglipur lara menggunakan irama untuk bercerita. Dalam budaya lisan seorang penutur dilingkungi oleh audiensnya yang buta huruf yang menghayati cerita secara pendengaran. Oleh itu tukang cerita harus menguasai beberapa teknik seni persembahan seperti lakonan dan gerak badan, seni bunyi, ritma, lagu dan alat muzik untuk bercerita. Mereka ini termasuklah Tok Selampit, dalang wayang kulit dan Awang Belanga. Peranan tukang cerita ini amat penting sebelum cerita-cerita dapat dibukukan. Contoh cerita penglipur lara ialah Hikayat Malim Deman, Malim Dewa, Awang Sulung Merah Muda, Terung Pipit. Begitu juga cerita binatang, cerita-cerita jenaka seperti Lebai Malang.
·         Memudahkan hafalan. Irama lagu digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, misalnya untuk menghafal nama-nama Tuhan (AsmulHusna) dan nama nabi-nabi.




Lagu/nyanyian ini dapat dibahagikan kepada:
1)    Lagu tradisi yang diwarisi turun temurun yang tidak dikenalpasti siapa pencipta irama dan senikatanya. 
2)    Lagu moden yang telah dirakam dan disebarkan secara komersial  menggunakan instrumen muzikal yang moden. 

Lagu Tradisi / Lagu Rakyat;

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan kepelbagaian seni irama dan lagu yang diwarisi dari generasi terdahulu dan mungkin mengalami sedikit asimilasi dari segi aturan lirik, gaya nyanyian atau alat muzik serta cara penyampaiannya yang dipelbagaikan.
Lagu rakyat masyarakat Melayu adalah lagu-lagu atau nyanyian yang berasal dari sesutu kawasan dalam Alam Melayu tidak kira kawasan itu terletak di negara Indonesia, Malaysia, Singapura,Brunei hatta di mana-mana pelusuk pulau terpencil di Nusantara sekalipun, dan merupakan lagu-lagu yang amat popular di kawasan tersebut. Biasanya lagu rakyat menceritakan perihal masyarakat, alam, haiwan, tumbuh-tumbuhan ataupun senario semasa di kawasan tersebut. Lagu rakyat biasanya akan dinyanyikan semasa bermain, mendodoikan anak, hiburan setelah penat membanting tulang dan juga semasa majlis-majlis keraian, didendangkan secara berkumpulan atau berseorangan.  Kanak-kanak juga bermain sambil menyanyi. samada untuk menghibur hati sambil berayun dibuaian berseorangan atau dengan kawan-kawan Ada juga lagu yang menjadi sebahagian dari permainan kanak-kanak . Dengan ini menyanyi menjadi kegiatan pencetus silaturahim (Rahmah Bujang, Dewan Budaya, November 1999).

PMT dalam lagu-lagu rakyat kebanyakannya ialah pantun di samping syair dan nazam. Lagu-lagu menjadi media untuk menyalurkan nasihat dan pendidikan. Misalnya ibu atau  nenek menghayun buaian sambil menyanyikan Nazam Sifat Dua Puluh atau Nazam Siti Fatimah. Nazam ini masih  dinyanyikan dalam acara berendoi . Ia mengandungi lirik yang memberi didikan agama. Sambil menasihati anak supaya mengenang jasa ibu bapa.

Lagu – lagu tradisi rakyat adalah lagu-lagu yang telah terlalu tua usianya dan tidaklah dapat dikesan dengan setepatnya bilakah ianya telah bermula. Namun satu andaian yang mungkin boleh dipakai ialah ianya wujud semasa masyarakat Melayu menganuti fahaman animism lagi. Lalu dalam hal ini; lagu-lagu tradisi begini boleh kita klasifikasikan sebagai juga satu bentuk sastera lama dalam genre puisi. Dengan usaha penggiat-penggiat seperti  Datuk Aripin Said dan Roslan Madon lagu-lagu itu dapat dikembalikan ke tengah masyarakat.

Lagu-lagu rakyat juga boleh dijeniskan kepada lagu-lagu untuk kanak-kanak, orang muda dan dewasa dan Antara lagu-lagu itu yang digunakan oleh bomoh dalam upacara perubatannya khususnya jampi serapah atau puja-memuja minta pertolongan kepada ‘makhluk halus’ .(walau pun sudah jarang didapati  lagi).Di antara kategori ini, lagu yang paling dominan ialah lagu kanak-kanak. Mereka menyanyikan lagu-lagu ketika bermain contohnya permainan “nenek-nenek”. Ibu-ibu  turut menggunakan lagu-lagu sewaktu hendak menidurkan anaknya dalam buaian manakala nenek pula menyanyikannya untuk melelapkan mata cucu-cucunya. Dalam hubungan ini jugalah lagu-lagu rakyat akan dapat digunakan untuk membentuk pekerti yang mulia orang-orang yang mendengarnya.

Terdapat banyak lagu rakyat atau lagu kanak-kanak yang berunsur nasihat yang membentuk peribadi mulia berperanan untuk membina jatidiri sebagai warga yang berkualiti seperti lagu Lagu Burung Kenek-kenek.

BURUNG KENEK-KENEK
Burung kenek-kenek 
Hinggap di pohon jati 
Pesan datuk nenek 
Alah bangunlah pagi-pagi
Burung kenek-kenek 
Hinggap di atas pagar 
Pesan datuk nenek 
Rajin-rajinlah belajar
Geleng-geleng sapi  Berbulu di telinga 
Atur tapak kaki  Berdiri lama-lama
Geleng-geleng sapi  Sapi berbulu merah 
Atur tapak kaki  Cepat-cepat melangkah
Burung Kenek-kenek 
Terbang tinggi di awan 
Pesan datuk nenek 
pandai-pandai cari kawan

Burung kenek-kenek 
Hinggap di atas bumbung 
Pesan datuk nenek 
Jangan laku sombong

Burung kenek-kenek 
Hinggap di tepi paya
Pesanlah datuk nenek
Jadilah orang mulia
Burung kenek-kenek 
Hinggap di batang padi 
Pesan datuk nenek 
Jadilah orang berbudi

Burung kenek-kenek 
Hinggap di tengah laman
Pesan datuk nenek 
Jadilah orang beriman
(Dipetik dari lagu rakaman ROSLAN MADON)
Pantun dalam lagu ini berperanan untuk mendidik kanak-kanak mengajar supaya menjadi insan yang bertaqwa kepada Tuhan. Patuh pada ibu bapa. Rajin belajar  atau memberi keutamaan kepada ilmu serta tidak mempunyai sikap yang angkuh. Perkataan pesan dalam lirik lagu ini bererti nasihat.
Kemuliaan ilmu terdapat di dalam banyak lagi lagu termasuk  Lagu Lompat si Katak Lompat,

 lompat  si katak lompat/
 lompat tinggi-tinggi,
cepat adik cepat,
cepat rajin mengaji. 

Dan,
Buai laju-laju sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab.

Satu lagi contoh puisi (pantun) dalam pendidikan

DODOI ANAK
Pejamkan mata anakku sayang
Dalam buaiain ibu dodoikan
Ibu berdoa kepada Tuhan
Minta jauhkan gangguan syaitan
Harum mewangi si bunga melur
Putih berkembang di hujung laman
Anakku manis lekaslah tidur
Ibumu ini banyak tugasan
Baiknya laku bekal dunia
Eloknya budi bekalnya mati
Cantiknya rupa mainan mata
Indah bahasa penambat hati
Cepatlah besar anakku ini
Boleh kuhantar tempat belajar
Menghadap guru lebai dan haji
Dunia akhirat biar sejajar
Pergi ke hulu membeli buyung
Buyung dibawa pulang bertiga
Jadikan ilmu sebagai payung
Payung hidupmu di hari muka
Menanam temu dikampung sana
Tanam bersama dengan halia
Kalau hidupmu sudah sempurna
Ibu dan bapa tumpang bahagia
Asalnya kain jadi pakaian
Ditiup angin jatuh ke lumpur
Biar menangis dalam buaian
Jangan menangis di dalam kubur
(Lagu dan senikata Meriam Awang Lah)

LAGU KOMERSIAL
Di samping lagu-lagu rakyat, PMT turut disebar melalui lagu-lagu moden yang dirakam dan disebarkan secara komersial. Adalah menarik kerana lagu-lagu ini dapat menyebarkan PMT merentas kaum. Bidang muzik boleh menyatukan rakyat Malaysia dan penyanyinya dari pelbagai kaum misalnya kumpulan  Alley Cats dan  Andre Goh yang menyanyi lagu-lagu Melayu Asli dan dengan itu menyebarkan pantun-pantun.

Lagu-lagu komersial telah menjadi saluran dakwah yang berkesan. Dakwah tidak terhad kepada lagu-lagu nasyid sahaja. Lagu-lagu popular juga dianggap berdakwah jika senikatanya menyampaikan sesuatu pesanan positif untuk kebaikan masyarakat. Sebagai contoh ialah mesej yang disampaikan melalui lagu Seroja , nyanyian asal S.Effendi dan kini dipopularkan kembali oleh Jamal Abdillah. Dalam lirik yang dihasilkan oleh Hussein Bawafie ini terdapat beberapa baris yang amat bermakna dan berkesan (rupa yang elok jangan dimanja dan sekarang bukan zaman bermenung) :
Terdapat pantun-pantun yang bernilai tinggi dan seterusnya akan dibicarakan di sini. Pemakalah tidak akan membicarakan lirik sesebuah lagu secara keseluruhan tetapi akan memetik pantun-pantun tertentu kerana tidak semua pantun di dalam lagu tersebut berkualiti dan relevan dengan skop perbincangan iaitu pembinaan jatidiri.

Kain sarung kain terendak
Memanglah manis kalau dipakai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai
(Pandang pandang Jeling jelling,  S.M. Salim Siti Nurhaliza)
Pantun ini sama maksudnya dengan:
Jika dilurut padi masak
     Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
    Jangan berumah di tepi pantai.

Pantun di atas mengingatkan setiap orang untuk mengukur keupayaan sentiasa  sentiasa menyelidiki kekurangan diri. Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani mengambil risiko janganlah menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Oleh  kerana hidup ini umpama menempuh gelombang di lautan, maka kita sering dinasihati agar memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan sebagai persediaan untuk menempuh segala kemungkinan. Seseorang yang tidak mempunyai cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai pengail yang mempunyai kail panjang sejengkal (seperti mana dalam lagu Seri Langkat):
Seri Langkat Kuala Tungkal, amboi Seri Langkat Kuala Tungkal, amboi
Padi pulut enak rasanya, sayang
Kalaulah kail, kalaulah kail panjang sejengkal
Janganlah laut hendak diduga
atau pun takut dilambung ombak. Selain dari kelengkapan fizikal, setiap orang mesti pula mempunyai persediaan mental. Orang yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai tidak bersedia untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak untuk berada berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar jangan berumah di tepi  pantai
Dalam lagu SERAMPANG LAUT terdapat pantun ini:
Angin barat gelombang barat
      Barat ditiup si angin timur
Tidak dirintang muatan sarat    
Akibat laut tempat berkubur

Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan yang luas  adalah simbol perjalanan manusia yang amat bergantung kepada peliharaan Allah. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di tengah lautan. Salah satu sebab kapal tenggelam di tengah lautan ialah muatan yang dibawa terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal.
Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran. Dua baris pembayang berbunyi (Angin barat gelombang barat/ Barat ditiup si angin timur) menggunakan unsur alam bagi menimbulkan suasana kekacauan. Terdapat kata-kata ‘angin’, ‘gelombang, dan ‘ditiup’ yang menggambarkan pergerakan yang tidak stabil. Terdapat juga dua perkara yang bertentangan iaitu ‘angin barat’ dan ‘angin timur’.  Angin barat sedang bergelombang dan angin timur sedang meniup. Ini adalah keadaan alam yang menjadi penanda satu keadaan yang tidak tenteram. 
Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang cukup. Namun begitu dia tidak boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di dalam kapalnya. Oleh yang demikian manusia  perlu memilih barang-barang yang diperlukannya sahaja. Di sini timbul keperluan untuk mengukur kemampuan diri sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Pantun ini juga memperkatakan perihal membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung nasihat supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan meninggalkan yang tidak penting.
Orang yang berjaya dan selamat adalah mereka yang bijak membuat pilihan. Maka pilihlah yang terbaik dan  yang diperlukan sahaja untuk dibawa.  Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan seperti maksud pantun jika ‘tidak dirintang muatan sarat/alamat laut tempat berkubur’. Pantun ini juga mengandung nasihat agar  berpada-pada atau bersederhana di dalam segala segi. Kalau mahu selamat mestilah  menjaga batas dan sempadan. Dari perspektif Teori Pengkaedahan Melayu ia mengandungi panduan untuk hidup dengan berimbang iaitu mengimbangi barang-barang yang dibawa dengan kemampuan had muatan kapal.  Ini menepati ajaran Al-Quran bahawa segala sesuatu dijadikan Allah adalah dengan ukuran dan imbangan.
Di sini terdapat nasihat peri pentingnya membuat pilihan yang tepat. Namun begitu sebagai insan yang lemah, manusia tidak tahu apa sebenarnya yang terbaik untuknya. Justeru itu manusia perlu selalu berdoa agar diberi pertolongan dan pertunjuk untuk membuat pilihan yang tepat selaras dengan maksud baris Surah Al-Fatihah yang dibaca di dalam solat “tunjukkanlah kami jalan yang benar”.
Laut juga digunakan didalam menyuarakan falsafah kepimpinan. Seorang pemimpin, samada seorang ketua negara, seorang ketua kampung, atau ketua keluarga di anggap sebagai seorang nakhoda yang harus bijak melayari bahteranya. Ini terdapat di dalam pantun yang dijadikan senikata lagu Lancang Kuning.
Lancang kuning belayar malam
       Haluan menuju ke laut dalam
Kalau nakhoda kurang faham
        Alamat kapal akan tenggelam

Simbolisme perjalanan laut sebagai perjalanan hidup telah digunakan oleh pemikir-pemikir Islam. Misalnya  Syeikh Abdul Qadir Jailani yang mengucapkan:
Waspada dan hati-hatilah kamu terhadap gelombang samudera dunia, kerana tidak sedikit makhluk yang karam di dalamnya. Ia merupakan samudera yang sangat dalam, yang mampu menenggelamkan segala-galanya. Hanya sahaja Allah akan menyelamatkan daripada hempasan gelombang samudera itu  (2003:44).

Selain laut, objek-objek alam seperti pohon atau tumbuh-tumbuhan juga sering digunakan di dalam pantun. Terdapat pantun-pantun yang menyebut bahagian-bahagian pokok misalnya batang, ranting, buah, dan bunga, serta jenis-jenis pokok, misalnya lalang, padi, langsat, keduduk, dijadikan simbol untuk menyampaikan makna pantun mengikut sifat dan fungsi bahagian-bahagian atau jenis-jenis pokok yang berkaitan.
 Benih dan percambahan benih mengandungi makna tersirat, iaitu permulaan sesuatu kejadian. Hal ini dihuraikan oleh Hashim Awang melalui Teori Pengkaedahan Melayu dari perspektif Pendekatan Firasat. Di dalam pantun ia sering ditafsirkan sebagai wujudnya  kasih sayang sesama insan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya.
Terbitlah fajar menjelang subuh
                 Murai berkicau terang cuaca
           Kalau tanaman sudi  tumbuh
               Masakan bumi tidak terima.
                                   (senikata lagu Serampang Lapan)

Pantun di atas menggambarkan tanaman yang tumbuh. Percambahan dan pertumbuhan benih menjadi pokok baru adalah satu kejadian dan perubahan yang berlaku pada alam. Ia adalah penanda kepada kesuburan bumi. Di dalam pantun ini percambahan benih dijadikan petanda kepada tumbuhnya perasaan kasih sayang lalu membawa nada gembira iaitu cinta yang dinanti-nanti atau cinta yang berbalas.. Kegembiraan dibangkitkan oleh suasana yang terdapat di dalam dua baris pembayang :( terbitlah fajar menjelang subuh/murai berkicau terang cuaca). Terbitnya fajar adalah kejadian alam yang menjadi penanda bermulanya suatu hari yang baru. Matahari akan muncul dan keadaan akan menjadi cerah. Hal ini bersesuaian dengan maksud yang  tersurat dan tersirat iaitu jika orang sudi menanam kasih sayang terhadap dirinya maka dia akan menyambutnya dengan penuh rasa bahagia. Pemantun menyifatkan dirinya sebagai tersangat bahagia bila tumbuhnya kasih sayang . 
. Perlambangan bumi yang ditumbuhi biji benih terdapat di dalam Al-Quran sebagai hati yang lembut dan disirami oleh cahaya pertunjuk manakala hati yang tidak ditumbuhi kasih sayang seperti bumi yang kering kontang.
Penggunaan simbol benih dan tumbuh-tumbuhan adalah penciptaan karya yang selaras dengan Al-Quran kerana terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tumbuh-tumbuhan sebagai amthal atau misal perbandingan. Hal ini mempengaruhi  pemikiran kreatif pencipta-pencipta pantun Melayu seperti yang menjadi tonggak Teori Pengkaedahan Melayu. Al-Quran menyebut bahawa antara bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah ialah pemindahan benih yang membolehkan proses percambahan pokok: Hal ini terdapat di dalam ayat yang bermaksud, “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).
Percambahan pokok juga adalah bukti rahmat Allah seperti diterangkan oleh ayat yang bermaksud: “Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang tandus Kami hidupkan dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian. Lalu mereka makan daripadanya.” (Surah Yaasiin, ayat 33-35)

Pemikir-pemikir Islam juga menyifatkan hati yang tidak memiliki perasaan kasih sayang seperti tanah yang tidak ditumbuhi tanaman:
Jika hati lunak, mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani 2003: 387).
Selain benih, pantun Melayu turut menggunakan kata dahan dan ranting. Dahan adalah lambang keteguhan manakala ranting lebih mudah patah dan gugur ke bumi. Dahan yang teguh menjadi tempat berteduh.  Justeru itu manusia mencari dahan untuk berteduh atau menjamin keselamatan diri.  Walau bagaimanapun ada kalanya adalah sukar untuk terus mendapatkan sesuatu yang dihajati, oleh itu  disarankan agar merancang dan melakukan pekerjaan dan sistematis.  Seandainya tidak berjaya mendapatkan sesuatu yang besar , cubalah mencapai yang lebih kecil dan lebih mudah. Hal ini diibaratkan jika tidak dapat menangkap dahan, cubalah menangkap ranting terlebih dahulu.
Anak rusa lari ke pekan
                             Mati ditembak datuk penghulu
Tiada kuasa menangkap dahan
                           Menangkap ranting cuba dahulu
(pantun senikata lagu Serampang Lapan.(nyanyian Abdullah Chik dan Nona Asiah)
Pantun ini jelas memperlihatkan hubungan sebab dan akibat. Dua baris pembayang maksud menceritakan perihal anak rusa yang lari ke pekan lalu mati ditembak oleh Datuk Penghulu. Anak rusa lari ke pekan ialah satu perlakuan yang luar biasa. Anak rusa yang secara tabii  berada di hutan telah keluar berlari ke pekan. Akibat dari perlakuan yang bertentangan itu telah berlaku tragedy iaitu anak rusa ditembak oleh Datuk Penghulu. Dua baris pembayang maksud itu adalah kejadian yang perlu diambil iktibar terutama di dalam mencapai kejayaan dalam sesuatu pekerjaan. Ia juga menasihati agar mengukur kemampuan diri. Jika ‘tidak kuasa menangkap dahan” cubalah dulu untuk menangkap ranting. Pantun ini memperlihatkan bagaimana setiap kejadian  menjadi penanda yang perlu diambil iktibar dan dijadikan pengajaran.
Hari ini kita berbangga kerana masih ada kesedaran dari penulis-penulis lirik untuk mencipta lirik yang mengarah kepada pembinaan jatidiri dan menjunjung adat pusaka. Lirik  lagu ini  dalam bentuk pantun yang memperkatakan kepentingan menjaga adat resam sebagai pembentuk peribadi mulia. Lirik diperindahkan dengan penggunaan peribahasa dan metafora dari unsur alam.

Zapin Pusaka (Noraniza Idris)ciptaan  Fadzil Ahmad
Penulis Lirik       : Megamutiara

Salam bertaut di anjung hari
Madah dan pantun hajat meneman
Malam disambut perenung diri
Kata tersusun buat pedoman

Walau di mana bumi kan dipijak
Tetap di situ langit kan dijunjung

Secangkir susu belum dipinta
Sudah sedia di atas dulang
Fikir dahulu sebelum kata
Lidah berbisa bukan kepalang

Walau di mana bumi kan dipijak
Tetap di situ langit kan dijunjung

Perawan kampung petik cempaka
Di petang redup lalu berseri
Jangan dicanggung adat pusaka
Sepanjang hidup malu sendiri

Walau di mana bumi kan dipijak
Tetap di situ langit kan dijunjung

Mana kemudi patah dikerat
Berapa luas biduk kelana
Binasa budi padah melarat
Kerana emas sanggup dihina

Walau di mana bumi kan dipijak
Tetap di situ langit kan dijunjung
Di bawah ini ialah contoh unsur syair yang digunakan di dalam Boria semasa:
Lirik Lagu Boria Anak Tanjung - Boria Pulau Pinang

Kalimah bismillah bermula kata
Alhamdulillah bersyukur kita
Perihal Pulau Pinang tajuk cerita
Boria Anak Tanjung membawa berita

*
Lainlah buluh lainlah parang
Lain dahulu lain sekarang
Perubahan Pulau Pinang yang cukup terang
Boria Anak Tanjung cuba menerang

Rakyat sekarang pesat pembangunan
Kembang ekonomi mengikut susunan
Bangunan indah kiri dan kanan
Pemimpin berdedikasi memainkan peranan
(Ulang *)
Rakyat hidup berbilang bangsa
Tolong menolong setiap masa
Menabur bakti membuat jasa
Aman damai hidup selesa

PENUTUP.
Puisi Melayu Tradisional khasnya yang disebarkan melalui lagu-lagu atau nyanyian dapat menyampaikan nasihat dan panduan hidup bagi mempengaruhi minda dan membina keperibadian bangsa. Usaha hendaklah dijalankan untuk membanyakkan rakaman lagu-lagu rakyat yang berisi pantun-pantun nasihat. Di sana sini masih ada pengamal pengamal  Puisi Melayu Tradisional yang patut disokong dan diberikan tunjangan untuk meneruskan kegiatan mereka. Kita faham sesebuah university sedia mengeluarkan dana ratusan ribu untuk kerja-kerja penyelidikan termasuk ke atas lagu-lagu rakyat dan PMT yang masih bertaburan. Semua ini adalah bertujuan untuk mengumpul dan menyelamatkan khazanah budaya.
Usaha untuk menyelamatkan khazanah budaya ini sepatutnya diiringi dengan menyediakan peruntukan untuk memberi tunjangan kepada para pengamal agar mereka dapat menjalankan kegiatan. Sekarang ini ada yang mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk ke sana ke mari. Mereka patut dilantik ke universiti-universiti (misalnya sebagai Karyawan Tamu) yang dapat mendampingi mahasiswa-mahasiswa menjalankan kegiatan sambil member pendidikan secara formal atau tidak formal di dalam bidang ini walaupun mereka tidak mempunyai ijazah, Sarjana, apatah lagi Ph.D.
Universiti Malaya misalnya boleh berbangga dengan tradisi  melantik pelukis-pelukis sebagai Karyawan Tamu (Profesor Diraja Ungku Aziz melantik Ibrahim Hussein, 1971-1978).dan membantu mempromosi karya pelukis-Mengikut Naib Canselor UM sentiasa komited untuk memupuk proses penghasilan karya seni lukis yang bermutu. Beliau pernah berucap “Seni berperanan penting dalam pembangunan manusia malahan boleh dianggap sebagai agen perubahan masyarakat. Melalui seni juga dapat dibentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan dan tidak mengabaikan nilai-nilai estetika dan moral yang menjadi asset penting dalam pembangunan Negara.
Kita menyanjung kemurahan hati ini, dan berharap seniman-seniman kreatif  yang lain termasuk penulis kreatif akan menerima limpahan peluang yang sedemikian.

pelukis.



No comments: