ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Thursday, February 15, 2018












PERJALANAN MENJADI SASTERAWAN NEGARA  (WANITA).
Intisari ucapan di Universitas Gadjah Mada, Jogjakarta, 19 November 2016.
Apabila adinda saya yang dikasihi Dr. Free hearty yang lebih mesra dengan panggilan Bundo Free mencadangkan saya bercakap tentang Perjalanan Menjadi Sasterawan Negara dalam konteks sosio budaya Melayu saya bersetuju kerana memikirkan itu ternampak sebagai topik yang tidak terlalu menyusahkan. Pastinya ia tidak melibatkan banyak research dan pembacaan. Saya bayangkan saya dapat bercakap dengan santai tentang pengalaman sendiri.
Namun apabila saya mulai berfikir tentangnya dengan sungguh-sungguh saya dapati keadaan tidaklah semudah yang dijangkakan.  Ini kerana perjalanan diri  melibatkan pertemuan dengan individu2 lain dan institusi2 yang kadang2 sensitif untuk disebut . Maka dengan sebab itu saya memilih untuk membaca kertas ini dan tidak memandai-mandai bercakap.
Saya pun telah berkali-kali juga diberikan ruang untuk memperkatakan tentang perjalanan diri menjadi penulis dan sebahagian darinya telah dibukukan seperti Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (Penerbit UKM ) dan Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan (ITBM 2013).
Telah saya catatkan di dalam buku2 tersebut  bahawa saya mula bermesra dengan puisi ketika masih sangat muda iaitu dalam sekitar usia 13 tahun. Saya tinggal di sebuah kampung di Kedah . Saya tidak bebas bermain di luar lalu saya duduk di rumah dan mendengar radio. Saya mendengar lagu-lagu yang disiarkan termasuk lagu-lagu Indonesia dengan senikata sangat puitis. (Di wajahmu kulihat bulan/bersembunyi di balik senyuman). (ibarat gadis desa bunga melur/sederhana) . Saya menggemari lagu-lagu asli yang menggunakan pantun. (Gunung Banang tinggi mengawan). Semua ini mengajar saya bahawa manusia berinteraksi,   berintegrasi dan menginterpratasi  alam. Gambaran alam dari lagu-lagu tersebut tumbuh dalam pemikiran dan perasaan.      Saya. mengembara dengan lagu-lagu tersebut melihat laut, pantai dan gunung yang tergambar di dalamnya.. Aktiviti mendengar nyanyian ini memberi asas pengenalan kepada metafora   dan menumbuhkan minat untuk menulis puisi..
Percakapan  tentang perjalanan diri di dunia seni akan dapat mendedahkan kepada proses kreatif seorang pengarang seperti saya. Di samping itu dapat memberi maklumat tentang perkembangan dunia penulisan kreatif khasnya untuk memperlihatkan kemajuan dan perbezaan dahulu dan sekarang.
Tentu sahaja banyak perbezaan yang telah berlaku. Pada masa sekarangTeknologi semakin canggih, pemikiran manusia juga semakin tinggi, pelbagai buku boleh diterbitkan dengan pantas.. Di Malaysia penulis novel, cerpen puisi bertambah ramai dan karya-karya sastera berkembang subur. Ramai penulis baru telah berjaya menerbitkan buku di arus perdana atau bukan arus perdana. Saya terfikir kalau mereka telah menghasilkan 10 buku sebelum berusia 40 tahun atau 35 tahun bayangkan berapa yang dihasilkan setelah mencapai usia emas. Mungkin mengatasi Shahnon dan Arena Wati. ( Ini belum lagi mengambil kira  penulis Indonesia yang saya rasa lebih hebat dan dikenali di peringkat dunia).
Kiranya apa terlintas di fikiran saya itu terlintas juga di fikiran anak-anak muda yang kreatif dan lantang itu, sehingga ada yang menjadi sinis dan mula menyoal di manakah kehebatan seorang Sasterawan Negara. Hal seperti telah ditulis oleh seorang penulis muda di akhbar Berita Harian pada akhir tahun lepas.

Sememangnya ramai anak muda yang lantang dan kreatif, namun begitu sepatutnya mereka  dapat melihat kedudukan SN yang ada berdasarkan waktu dan zaman.  Semua SN yang berusia lebih 60 tahun berkarya semasa sebuah buku mengambil masa sehingga lapan tahun untuk diterbitkan. Satu tahun  mengetuk mesin taip hingga sakit jari dan pedih urat bahu. Penerbit akan mengambil masa 4 tahun untuk membaca dan menilai, 3 tahun untuk menyunting, mengatur huruf, membaca  pruf, membetul itu dan ini, buat format, lay out dan cetak. Akhirnya buku terbit. Walaupun akan terdapat kesalahan di sana sini) penulis terasa mendapat nyawa yang baru.
Itu keadaan secara general. Sebagai perempuan  saya menghadapi kepayahan yang tersendiri. Saya berhadapan dengan latar masa dan budaya yang berbeza yang mungkin tidak dikenali lagi pada hari ini. Saya mula mencintai buku dan penulisan   ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh di bandar. Masyarakat  hanya menghargai anak perempuan yang cekap membuat semua kerja rumah. Anak anak perempuan sentiasa akan dipanggil ke dapur dan hal ini mengganggu perjalanan idea. Orang2 tua tidak faham tentang dunia kepengarangan. Mereka mula hairan melihat saya gemar duduk bersendirian dan berjalan dari pokok ke pokok terutama pada hari petang hingga ke senja. Orang2 tua mula bimbang apakah saya dirasuk makhluk halus yang memanggil saya dari pokok ke pokok. Saya mulakan dengan menulis sajak dan menulis dengan tangan untuk dipos kepada akhbar di Kuala Lumpur. Saya belum menulis cerpen apatah lagi novel kerana ketiadaan mesin taip.
Bila sudah bekerja, berkahwin saya memiliki mesin taip dan kemudian komputer, saya terus menulis. Namun kekangan tetap ada. Barangkali tidak perlu dicurahkan di sini kerana semua orang tahu masalah yang dihadapi oleh pengarang wanita. Kita biasa mendengar pengarang lelaki berkata “bila saya menulis isteri dan anak anak tidak akan ganggu”. Apakah keistimewaan ini dapat dirasai oleh penulis wanita?. Dengan sebab itu saya kurang berkarya semasa anak-anak masih kecil. Kerana itulah ramai penulis wanita telah hilang setelah berumahtangga.
Usaha gigih telah membuahkan hasil dan saya telah diisytiharkan sebagai Sasterawan Negara.  Sudah tentu merasa bahagia dana mat bersyukur.  SN diberi sedikit imbuhan walaupun  jauh lebih rendah dari jumlah yang diperolehi oleh Maharaja Lawak dan hadiah hadiah lain yang tersedia untuk artis-artis hiburan.  Kabarnya dari tahun ke tahun ada permohonan dibuat oleh jawatankuasa ASN supaya kerajaan menaikkan jumlah wang tetapi jawapannya sentiasa ‘tak ada bajet” walaupun kerajaan sentiasa ada wang untuk menghulurkan jutaan rm sebagai hadiah kepada ahli sukan yang mendapat medal di olimpik.. Kalau diamati habuan untuk SN bukan bertambah, malah semakin berkurangan. Apa tidaknya, pada zaman Keris Mas, Usman Awang dengan hadiah rm 30ribu sudah boleh membeli rumah, sekurang-kurangnya rumah teres setingkat dan kalau ada tanah di kampung sudah dapat membina sebuah banglo. Hadiah itu naik menjadi rm 60 dan semua itu jauh dari mimpi.
Bukan soal wang yang hendak saya perkatakan di sini. Nikmat sebenar ialah apabila Dewan Bahasa dan Pustaka mencetak ulang  buku-buku yang pernah mereka terbitkan yang sekarang mereka labelkan Edisi Sasterawan Negara. Sudah berpuluh tahun saya memendam rasa kerana karya2 umpamanya sajak-sajak yang dikarang dengan susah payah terperuk dan terperam begitu sahaja, tidak ada di pasaran dan tidak pula diulangcetak.
Di negara saya, kemungkinan untuk buku puisi dicetak ulang amat tipis  kerana ia hanya akan membebankan penerbit.  Hal ini menyebabkan Pusat-pusat pengajian yang  menggunakan mana-mana buku saya untuk kuliah, terpaksa membuat salinan fotocopy. Mereka beritahu saya mereka sudah cari dan terpaksa buat fotocopy. saya tidak pernah marah  Kalau tidak dapat ganjaran kewangan, cukuplah karya-karya saya terus dibaca dan tidak mati begitu saja.
Sajak2 tidak diulangcetak dan tidak dapat disiar kembali melainkan dengan menulis surat dan melalui proses yang meletihkan. .Ini semua kerana ikatan Akta Hakcipta yang memperuntukkan  Hakcipta dipegang  oleh pengkarya dan penerbit berkuatkuasa dari tarikh karya itu diterbitkan sehingga  lima puluh tahun setelah pegkarya meninggal dunia. 
Klausa ini termaktub di dalam perjanjian World Intellectual Property Organization (WIPO) yang merupakan organisasi antara kerajaan. WIPO mengambil kira Konvensyen Berne untuk perlindungan karya Sastera dan Seni (Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic Works 1886) dan dikemaskini pada tahun 1970.
Akta ini menjadi amalan di beberapa buah negara. Malaysia adalah salah sebuah negera yang turut menandatangani persetujuan persetujuan untuk mengguna pakai dan mematuhinya tersebut. 
Di dalam bidang seni hiburan klausa ini ternyata telah menguntungkan pengkarya. Di Malaysia, misalnya karya-karya muzik, termasuk senikata lagu ciptaan Allahyarham Loloq masih menerima bayaran sekitar belasan ribu sebulan  Hal ini tentu sahaja besar manfaatnya kepada pewaris  Tetapi apakah kesan Akta tersebut kepada bidang penghasilan karya sastera?  Setakat ini belum terdengar ada penulis yang menikmati royalti sebegitu banyak yang dapat ditinggalkan untuk pewaris. Sebaliknya Akta tersebut dilihat telah mendatangkan lebih banyak  kesusahan dan kerumitan berbanding keuntungan.

PENUTUP
Saya telah melalui perjalanan yang panjang dan berliku. Setelah menjadi seorang muda yang ghairah dengan laut, saya kini umpama Seorang Tua di kaki gunung.  Masih banyak harapan yang belum terdaki . Namun begitu saya menadah tangan berdoa , Semoga Allah mengizinkan saya menulis lagi kerana gelaran dan Anugerah adalah satu amanah.



UCAPAN PENERIMAAN ASN – 26 APRIL 2016, 
HOTEL MARRIOT PUTRAJAYA
Bismillahhirrahmanirrahim
Yang Berhormat Dato’ Seri Mahzdir  bin Khalid,
Menteri Pendidikan Malaysia,
merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-13;

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh bin Yaapar,
Pengerusi Lembaga Pengelola,
Dewan Bahasa dan Pustaka;

Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Adzis bin Abas,
Ketua Pengarah,
Dewan Bahasa dan Pustaka; 

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri;

Datuk-Datuk, Datin-Datin;

Sasterawan-Sasterawan Negara;
Anggota panel Anugerah Sastera Negara Ke-13,

Dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.



Syair:
Assalamualaikum tuan bestar
Salam sejahtera seluruh negeri
Di pentas ini hamba berdiri
Teramat kecil rasanya diri

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang maha esa yang memakbulkan doa sekalian hamba-Nya. Dialah yang menentukan dan mengurniakan kelebihan mengikut ketetapan.

Saat ini, walau syair telah dirangkap dan seribu madah mungkin diungkap namun tirai rasa tak mungkin disingkap.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah mengwujudkan Anugerah tertinggi di bidang sastera ini. Terima kasih yang khas ingin saya sampaikan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kerana sebenarnya Tuanku sendiri ialah sumber yang menyubur dan memperkaya semangat saya dalam mengharungi dunia sastera. Izinkan saya menceritakan peristiwa puluhan tahun yang lalu yang selamanya dikenang dan kini kembali berkembang. Semasa saya masih di Tingkatan 5, Tuanku telah membuat lawatan ke sekolah saya iaitu Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah. Seorang guru yang mengetahui minat dan  kegiatan saya telah mencadangkan supaya saya mengumpul sajak-sajak saya yang kemudian disusun menjadi album dan dihias cantik oleh guru tersebut yang juga merupakan seorang pelukis negeri Kedah bernama  Cikgu Saidin Yahaya.

Dalam lawatan itu Tuanku telah ditunjukkan album tersebut. Saya  menunggu dengan debaran dan penuh harapan. Setelah itu, Cikgu Saidin memberitahu di hadapan sekumpulan guru dan pelajar yang Tuanku telah menatap album tersebut dan menatap sajak-sajak di dalamnya. Menurut Cikgu Saidin, Tuanku Sultan bertitah memuji sajak di dalamnya dengan kata-kata “Bagusnya budak sekolah ini boleh menulis sajak”. Titah itu sangat besar ertinya bagi patik. Ia telah meninggalkan kesan yang amat positif. . Sesungguhnya baginda telah menyemarakkan semangat saya untuk membaja dan menyiram benih-benih puisi yang baru belajar bertunas di bendang hati pada ketika itu.

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya saya dapat berada dalam majlis yang gilang-gemilang dan penuh bermakna ini. Setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi memungkinkan keberadaan dan kegemilangan ini. Rasa terhutang budi khasnya kepada mereka yang memilih saya bagi menerima  pengiktirafan ini dan terima kasih kepada semua penerbit yang pernah menerbitkan karya saya termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Penerbit Pekan Ilmu dan penerbit terawal, iaitu USM Press. Sesungguhnya banyak pihak telah membantu dan memainkan peranan masing-masing sehingga saya dapat berdiri di hadapan hadirin pada malam bersejarah ini.
Tuan-tuan yang dihormati,
Tahun enam puluhan
saya mencuri-curi ke kedai simpang
Membeli buku tulis dan pena sebatang
Untuk melakar bunga-bunga puisi
Yang baru belajar berkembang

Zaman tanpa komputer
mesin taip pun tak terpandang
di tengah bendang
tak terbayang oleh para ayah yang sibuk
membanting harapan
dan menuai kehampaan

Sehari-harian melakar tulisan membulatkan aksara
Agar terbaca oleh Tuan Pengarang
Orang tua-tua mula melepas rungutan
Mengapa saya, anak perempuan asyik menulis di meja
membaca buku,
tidak menjahit dan menyulam
Seperti gadis-gadis kebanggaan


Demikianlah gambaran sebahagian daripada liku-liku perjalanan yang ditempuhi oleh seorang anak perempuan yang mengatur langkah di jalan sastera. Ia disebut di majlis yang permai ini sesuai dengan kedudukan diri sebagai wanita pertama yang dianugerahi gelaran Sasterawan Negara, sesuatu yang ditunggu dan tidak kurang juga dipersoalkan sejak lama. Sesungguhnya mencari tapak berpijak sebagai pengarang wanita hampir 40 tahun yang lalu bukanlah mudah. Saya berhadapan dengan latar masa dan budaya yang berbeza yang mungkin tidak dikenali lagi pada hari ini. Saya mula mencintai buku dan penulisan sejak 40 tahun yang lalu, ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh di bandar.

Namun begitu, syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan pertolongan-Nya, mengurniakan hidayah dan sifat tabah sehingga dapatlah hambanya mengunyah yang payah. Selangkah demi selangkah dapatlah saya merentas jalan sukar mengharung semak belukar.
Tahun lapan puluhan karya sudah agak banyak tersiar
Nama dan gambar tercetak di akhbar
Saya sudah mampu memiliki sebuah mesin taip kecil
 menaip dengan cermat
Menaip semula setiap menukar aksara dan kalimat
Kebas bahu dan tangan terasa putus urat-urat
Sebelum sampai ke akhir muka surat.

Menjelang tahun 2000 alangkah bahagia
Komputer sudah tiba

Dan kini setelah menyeberang milenium
Menerawang di sesawang
Ribuan puisi lahir setiap hari
Keluaran tak terkawal bentuk tak kukenal
Sehingga terasa ada yang tidak ketahuan hala
Dengan ledakan penerbitan mandiri
Dan lambakan novel-novel popular


Demikian landskap hari ini jauh berbeza daripada tahun-tahun yang lalu ketika mula menjejakkan kaki di laman seni. Pada masa itu kami memandang kepada pengarang yang sedang giat berkarya seperti Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad, A. Samad Ismail, Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said, Salmi Manja, dan Adibah Amin. Nama-nama inilah yang kami genggam dalam ingatan sebagai idola dan sumber kekaguman.
Namun sekarang keadaan jauh berbeza. Tiba-tiba terasa semua orang boleh menjadi pengarang. Setiap saat akan terbit karya secara cetakan atau melalui dunia maya. Hal ini merupakan suatu kelebihan. Ada yang berbakat dan mudah untuk mengasah bakat mereka. Ada yang menyedari bakat dan kelebihan diri lalu beraksi dengan bangga.
Hinggakan:

Di simpang siur kota siber yang riuh
Saya merasa kecil dan jauh.
Tak kurang telinga ini mendengar suara-suara mencemuh
“Ah apalah gunanya mereka menulis dan menjaga nilai sastera
Konon bergelar sasterawan besar
menghasilkan tulisan menjana pemikiran
Memperkasa  minda bangsa memartabatkan bahasa
Sedang kami di sini tanpa sebarang anugerah menulis sesedap rasa.
Tidak perlu penerbit berjenama.
Sebahagian kami mencetak dan menjual sendiri
dan orang ramai berkerumun membeli .
Untung berganda  menerima habuan royalti
yang tidak mampu dikecap oleh yang bergelar sasterawan
walaupun dalam mimpi.

Dunia penerbitan menjadi riuh sekali. Penulis ada di mana-mana. Penerbit tumbuh dengan kepelbagaian idea dan gaya.
Lalu terdengarlah khabar tentang pasaran buku yang begitu subur dan segar. Alhamdulillah jika itu sudah rezeki pemberian Ilahi. Antara  penulis ini ada yang memperlihatkan bakat dan keikhlasan. Hal ini amatlah dialu-alukan. Semua ini merupakan satu keberuntungan, petunjuk bahawa tradisi pengucapan kreatif dan  sastera Melayu semakin meningkat dan berkembang maju.
Sesungguhnya kita memerlukan pewaris untuk menyuburkan  rimbun subur harapan pada masa kini dan masa depan. Janganlah mengesyaki  bahawa telah bersarang rasa  iri hati kepada golongan yang memperoleh rezeki.
Namun daripada rasa cinta akan bahasa dan bangsa, kami berharap jadikanlah kepopularan diri untuk membawa rakan sebaya ke jalan hidup berbudaya. Teruskanlah menghasilkan tulisan yang diikuti dan diminati untuk membina angkatan generasi yang mempunyai kekuatan diri. Semoga bertambah teguhlah kita sebagai bangsa berperibadi, beradat dan bertradisi.
Semua pihak akan berbahagia seandainya penulis semasa mengutamakan tertib bahasa dan santun susila, membina kekuatan perbukuan dengan nilai pemikiran, bukan semata-mata khayalan dan hiburan. Usahlah menambahkan calar bahasa dengan celaru nahu, pulanglah mengenal aksara perjuangan nenek moyang. Tataplah peta lama yang  terpahat di dinding rumah pusaka.
Kutiplah makna daripada catatan masa silam sebelum ia terpadam
Selamilah lautan madah pujangga mengutip kerdipan mutiara makna
Jangan dilupa pantun pusaka
Kenali permata bernama seloka
Tajam mengkritik  dalam jenaka
Fahami nasihat dan pedoman yang tersulam dalam gurindam
Hayatilah syair yang bertema dan berima
Nazam yang menyebar ajaran agama

Pasir putih di pinggir kali
    Tempat menyabung ayam berlaga
Bahasa tidak dijual beli
     Bukan benda buat berniaga.

Semoga lahir pengarang muda bestari berpaksikan kebijaksanaan tradisi. Jadilah benteng yang memperteguh kota diri di kala bahasa kita cuba dihakis dari kanan dan kiri. Semoga akan terlerai keserabutan yang menyukarkan usaha merancang, membentuk dan membina perkembangan kebudayaan yang diperlukan bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan kita sebagai sebuah negara yang aman. 
Negara menjadi gah dan maju bukan sahaja kerana pertumbuhan pendapatan, kemajuan prasarana fizikal, dan kecanggihan teknologi. Kemajuan  ditentukan oleh kemajuan jiwa dan rohani yang membentuk watak dan akhlak. Kemajuan terhapus di tangan manusia rakus dan politikus yang menikus. Pembangunan yang tidak seimbang tidak menjamin keselesaan apabila jenayah membiak dan mengancam keselamatan. Kebendaan memerangkap manusia dalam pencarian yang tidak bertemu kepuasan. Jika Shakespeare mengatakan bahawa dunia sebuah pentas sandiwara, maka dunia masa kini ialah sebuah pasar raya. Bumi dicakar luka, hutan-hutan diratah untuk dibina rumah yang kemudian hampir habis direbut oleh hartawan hartanah sebelum sempat dimiliki oleh anak negeri yang memerlukan bumbung untuk membina keluarga. Sang spekulator yang mencari untung berkarung menolak  anak-anak masa depan ke lorong-lorong dan kolong lalu jenayah meningkat kerana mereka terpaksa menjadi ular dan lipan untuk mencari makan.
Di sini izinkanlah saya menyampaikan setinggi setinggi penghargaan kepada suami saya Haji Mohamed Saaid Abdul Manap yang sanggup menggalas pelbagai tugas demi memberikan masa dan peluang untuk saya menulis. Saya juga mengenang jasa sasterawan sasterawan negara terdahulu yang telah memandu arah tuju termasuk Usman Awang, Abdullah Husin, A.Samad Said dan Shahnon Ahmad, dan semua pihak yang banyak berjasa dan tidak mungkin tersebut semuanya. Allah sahajalah yang membalas kebaikan dan budi yang dicurahkan.
Sebelum mengundurkan diri, izinkan hamba membaca sebaris dua puisi:
Ladang kita luas terhampar
Banyak dedalu sedang menjalar
Dengan bahasa teguhkan akar
Sebelum pohon mati terkapar

Terima kasih.
Wabillahi taufik wal hidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Gambar gambar ini dirakam bagi mengenang peristiwa yang menggemparkan negara iaitu kebakaran yang berlaku ke atas Bangunan KWSP yang terletak di Petaling Jaya berhadapan Pusat Perubatan Univesiti Malaya (Hospital Universiti. Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi hari Selasa 13. Februari 2013. Saya lalu di situ dalam perjalanan ke ITBM untuk mengikuti Wacana Komersialisasi Sastera.


13.2.2018. Saya sedang dalam perjalanan ke ITBM terlihat ramainya polis berkawal di sepanjang jalan.

Wednesday, February 14, 2018

ADAKAH SASTERA PERLU DIMATIKAN KALAU PENULIS MAHU HIDUP? . 
Bolehkah penulis hidup dengan sastera. Jawapan saya adalah Ya dan Tidak. Sebelum itu kita tentukan dahulu apa maksud sastera.. Senang cerita  saya ambil sastera sepertimana yang DBP masukkan dalam kategori Hadiah Sastera Perdana. 
Bukan semua penulisan dikira sebagai sastera. penulisan seperti skrip drama tv, novel2 popular, novel2 indie, skrip filem dokumentari, tulisan2 kewartawanan dikira bukan sastera. Yang lain2 ini mempunyai kategori hadiah mereka sendiri. 

Bolehkan penulis sastera hidup dengan hasil sasteranya. Jawapan pertama Ya , kerana seorang yang pandai menggunakan bahasa akan mendapat nilai tambah bila dia memohon jawatan editor di dbp, itbm, rtm, dan banyak tempat.  Sasterawan2 seperti Keris Mas, Usman Awang, Shahnon Ahmad tidak bergantung rezeki kepada sastera . Mereka berkhidma sebagai editor, Pensyarah dan sebagainya. 
Jawapan kedua TIDAK. Adalah mustahil seorang penulis puisi hidup dengan puisi. Orang lain saya tak tahu tapi kalau saya nak buat satu puisi mengambil masa berhari2, malah berminggu. Nak tulis satu cerpen, merangka, menulis, memurnikan ambil masa berbulan. Karya ini  dikirim ke majalah, katakan majalah yang paling tinggi bayarannya Dewan Sastera, Dewan Masyarakat. Tapi mereka tak boleh siar karya kita setiap bulan. Kalau siar pun dapat 200 atau 300. Apa yang hendak dimakan? Cerpen2 dan puisi ini kemudian diantologikan. Ambil masa bertahun untuk dinilai, dan melalui proses percetakan dan menunggu pula untuk mendapat royalti. Kalau dipilih untuk KOMSAS, banyak pula cerita bahagian royalti penulis disonglap oleh penerbit . 

Maka bagaimana nak hidup dengan sastera? Timbullah idea-idea untuk melariskan jualan dengan pengeluaran buku2 indie. Saya belum dapat kaji, tapi mengikut pendapat umum, buku2 ini  tidak menghiraukan aspek keindahan dan kesantunan bahasa. Jadi maknanya tak boleh hiduplah kalau mematuhi rukun rukun sastera itu. ADAKAH SASTERA PERLU DIMATIKAN KALAU PENULIS MAHU HIDUP? . 
Untuk mengkomersialkan sastera, penulis mesti mengkomersialkan dirinya. Dalam hal ini, saya ingat sangat kepada Allahyarham Wak Saring. Semasa itu anak saya Raihani mula menunjukkan minat untuk menulis. Lalu Wak Saring dengan selorohnya berkata “Hang nak menulis? Baik hang pi jadi artis dulu. Lepas tu baru orang akan beli buku hang. Kalau hang menulis saja, sampai ketua hang akan jadi macam mak hang”. 
Wak Saring memang berseloroh tetapi sinis dan maknanya dalam. Tapi berapa orang boleh komersialkan dirinya seperti Roslan Madun.  Dalam kes Roslan Madun yang menghidupkan beliau bukan sastera tetapi aktiviti seni hiburan yang lain. Setakat menjadi penulis sastera tidak akan boleh jual buku biographi seperti Fatah Amin atau Datuk Vida.