ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, September 22, 2025

 SERUMPUN SEKATA: PENGARUH ALAM NUSANTARA DALAM PROSES

KREATIF PENYAIR BRUNEI.


oleh

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan


ABSTRAK:

Penulisan Kreatif ialah proses penciptaan karya sastera. Ia bermula dari

pembenihan idea, yang disebut sebagai mendapat ilham, memikir dan

mematangkan idea tersebut, mengolah dalam bentuk tulisan dalam pelbagai genre,

dan seterusnya memperbaiki dan memurnikan sehingga lahir sebuah karya.

Pemikiran dan proses kreatif dibentuk oleh pengalaman hidup, pergaulan, alam

sekeliling dan pembacaan seorang penulis. Kertas ini memberi tumpuan kepada

pengaruh alam Nusantara dalam proses kreatif penyair-penyair Brunei terpilih.

Alam merupakan elemen penting dalam pembinaan karya sastera. Pada

keseluruhannya proses kreatif puisi Melayu berlaku melalui interaksi, interpretasi

dan integrasi penyair dengan alam. Interaksi bermaksud penyair berkomunikasi,

bercakap, dan bertindak balas dengan alam. Melalui proses interpretasi, penyair

mentafsir setiap objek alam sebagai membawa makna yang lebih besar, manakala

berintegrasi membawa maksud penyair menganggap alam adalah sama dan

menyatu dengan dirinya. Alam Nusantara memberikan sumber terpenting dalam

penulisan kreatif termasuk penyair Brunei Darussalam. Antara puisi yang

diperkatakan ialah karya Hashim A. Hamid, Firdaus H.N., Haji Jawawi Haji Ahmad

(HJR) dan Sutera Kalbu.


Alam sangat mempengaruhi proses kreatif seorang penyair. Sebahagian besar puisi

adalah reaksi kreatif seorang penyair setelah berinteraksi dengan alam dan mentafsir makna

daripada objek-objek alam. Daripada tafsiran itu penyair menemui makna kehidupan yang

dilalui olehnya dan manusia lain. Misalnya gunung yang tinggi adalah misalan kepada

harapan dan cita-cita yang sukar dicapai. Alam digunakan dalam dua cara. Pertama ialah

2

sebagai latar belakang kepada peristiwa yang digambarkan. Dan yang kedua ialah sebagai

sumber perlambangan, metafora, simili dan personifikasi yang merupakan peralatan atau

perantara untuk menyampaikan maksud puisi.

Setelah terbenih ilham, maka bermula proses menghasilkan karya melalui proses

berfikir dan mengarang dengan menggunakan bahasa. Sama seperti penghasilan-

penghasilan budaya yang lain, penciptaan kesusasteraan terbentuk dan terpengaruh oleh

faktor-faktor sikap, kepercayaan, cara hidup, dan pegangan agama pengarangnya. Ilham

atau pembenihan idea tidak datang dari satu sumber sahaja. Seringkali idea bercampur baur

antara beberapa perkara yang dihadapi.

1- Pemerhatian terhadap alam

2- Pemerhatian terhadap perlakuan manusia

3- Pembacaan

4- Perbualan dengan seseorang


Alam Nusantara telah menumbuhkan khazanah sastera tulisan dan sastera lisan yang

kekal menjadi warisan. Membaca karya-karya yang dihasilkan oleh penulis Brunei dan

penulis-penulis Nusantara keseluruhannya memperlihatkan pertemuan dan paduan

serumpun dan sekata. Ini adalah wajar kerana setiap mereka dibesarkan oleh debur laut

Nusantara dan hangat khatulistiwa, Sesungguhnya kita adalah Minda kita dibentuk oleh

pembacaan dan keindahan sastera lisan yang diwarisi bersama. Sastera tradisi sebagai

pancaran masyarakat lama yang lebih mementingkan nilai-nilai perkumpulan dan tidak nilai-

nilai individu. Oleh itu tidak jelas siapakah pengarang atau penyalin Hikayat Seri Rama,

Hikayat Pendawa Jaya, Hikayat Hang Tuah dan sebagainya. Kita sama-sama mengenali

cerita-cerita penglipur lara seperti Lebai Malang, Si Luncai, Pak Belalang. Kita turut terlibat

dalam debat bangsa, antara Hang Tuah dan Hang Jebat siapakah sebenarnya wira?. Kita

sama membahaskan adakah Abdullah Munsyi dapat diterima sebagai perintis sastera

Melayu moden . Kita sama-sama berbangga dengan ketinggian falsafah dan kehalusan

bahasa dalam Syair Burung Pingai, Syair Perahu karangan Hamzah Fansuri, sama


3

menyanjungi Syair Rakis karya penyair agung Pangeran Shahbandar Muhammad Salleh

sebagai warisan Nusantara yang tinggi nilainya. Kita sama menghayati gurindam dan syair

Raja Ali Haji. Kita menyanyikan lagu rakyat yang serupa, melafazkan pantun dan peribahasa

yang sama, mendodoikan anak dengan syair yang serumpun, misalnya Dondang Siti

Fatimah telah dirakam di Semenanjung dan ditemui juga di Sumatra. Legenda dan tokoh

tokohnya adalah milik bersama. Dengan demikian penyair seperti Abdul Ghani Hamid,

Singapura turut berpuisi tentang legenda Mahsuri dan kemegahan Gunung Jerai

dalam sajaknya Sebuah Ceritera Lama. Singapura Dilanggar Todak terpahat dalam

memori bersama sebagai kekejaman terhadap keintelektualan Melayu yang diberi

tafsiran yang relevan hingga ke hari ini. Inilah alam yang mempengaruhi kreativiti

sebagai penulis dan seniman

Puisi puisi Haji Jawawi dan Sutra Kalbu yang akan diperkatakan terbenih oleh

pengamatan terhadap alam sekitar manakala dalam karya Firdaus H.N.dan A. Hashim

Hamid memperlihatkan kesan-kesan yang ditinggalkan oleh alam kampung halaman dan

daerah kelahiran. Pada keseluruhannya membuktikan bahawa Penciptaan karya

kesusasteraan Melayu sebahagian besarnya adalah hasil daripada pentafsiran pengarang

terhadap alam semesta dengan berlandaskan akidah dan budaya Melayu selaras dengan

apa yang pernah dinyatakan oleh Hashim Awang (1993) “Sastera Melayu lahir dari

pemikiran bangsa yang sangat dipengaruhi oleh alam dan agama Islam. Kehidupan

masyarakat Melayu sangat bergantung kepada alam terutama pada peringkat primitifnya.

Oleh itu mereka harus mempelajari alam dan perlakuan alam. Mereka mesti mengenal,

misalnya keadaan tanah sama ada sesuai untuk didiami dan dijadikan tempat berkebun.

Dalam proses mencari rezeki mereka memburu atau menangkap ikan di laut dan di sungai,

lalu mereka mesti tahu perihal sungai dan laut. Untuk belayar dengan kapal dan perahu,

mereka harus mengenal arah angin dan melihat tanda-tanda tenang atau gelombang.

Mereka mempelajari tentang cakerawala, bulan, bintang, dan bumi, sebagai penunjuk jalan


4

dan panduan melakukan perjalanan. Mereka mendapati ada unsur-unsur yang membantu

seperti tanah yang subur, tanaman yang menjadi sumber makanan, hujan yang

menyuburkan tumbuhan, dan ada pula unsur-unsur yang merupakan ancaman seperti

banjir, gelombang di laut, arus yang deras di sungai, kemarau, dan sebagainya. Hal ini

mempengaruhi pemikiran dan perasaan mereka. Misalnya manusia membandingkan

kesusahan seperti banjir yang melanda sawahnya, kesenangan seperti hujan yang

menyuburkan tanamannya.

Pengaruh alam Nusantara sangat ketara dalam sajak Riak-riak Selat Melaka karya

Hashim Abdul Hamid.

Hari ini kau menyambut hari ulang tahun

Dalam rentak dan getar dunia yang biadap

Matanya permata

Hatinya pura-pura


Hari ini 8 ogos

Aku dan kau pernah berbiduk di sini

Bertanya pada bayu tentang bangsa merdeka

Bertanya kepada arus tentang bulat mufakatnya

Tapi apa jawabnya

Terserah


Esok pasti kudirikan sebuah mahligai

Bersama keringat anakku yang kononnya tidak bernama

Bersama terbuka tanganmu yang bernama laksamana

Dan inikah kemesraan

Apa di sinikah cinta abadi

Jika benar

Pautlah aku dan bawa aku berlari.


5

Selat Melaka adalah selat yang bersejarah dan bermakna dalam pembentukan bangsa

yang mendiami kawasan dan negara-negara yang disapa oleh ombaknya. Di sinilah dahulu

para pedagang berulang alik dari China ke India dan menjadikannya tempat persinggahan

sementara menunggu angin berubah arah. Ada yang terus bermaustautin. Mereka bukan

sahaja membawa barang untuk didagang tetapi objek objek budaya dan pemikiran dari

tanah asal mereka termasuk pelbagai bentuk puisi seperti syair, nazam, gurindam dan

seloka yang seterusnya mewarnai kehidupan rakyat tempatan. Rakyat Malaysia, Indonesia

dan Brunei meski terpisah dari segi politik, memiliki cerita dan nostalgia yang sama tentang

Selat Melaka. Di sinilah para leluhur berbiduknya dan membina kehidupan. Selat Melaka

dan Empayar Melaka menyimpan kenangan dan membawa penyatuan kepada semangat

bangsa yang sering dirujuk sebagai bangsa serumpun. Hal ini terlihat dalam pantun-pantun

yang dikongsi bersama:

Selat Melaka lautnya tenang

Tempat berlabuh perahu Bugis

Hati yang duka usah dikenang

Andai dikenang tentu menangis


Buah jering di atas para

Dibawa budak sambil berlari

Lagi tak kering Selat Melaka

Tidak saya mungkirkan janji.


Melaka dan Selat Melaka adalah dua nama bersejarah yang digunakan oleh para penyair

untuk membangkitkan semangat terutama semangat kepahlawanan zaman silam dan

perasaan serumpun. Umpamanya Usman Awang pernah menyebut:

Atas robohan kota Melaka

Kami dirikan jiwa merdeka.


6

Dalam sajak Riak riak Selat Melaka, Penyair bersuara kepada anak-anak muda tentang

hasrat dan keazaman untuk menjadi bangsa yang terkemuka. Penyair menyeru anak anak

yang disifatkannya sebagai “belum bernama” atau belum kukuh keyakinannya. Selat

Melaka disebut kepada anak-anak supaya mereka kembali meresapi sejarah silam. Seruan

untuk “membuka tanganmu yang bernama laksamana” merupakan seruan agar anak-anak

membuka tangan untuk menerima tanggungjawab dalam mendirikan bangsa. Sebutan

“laksamana” juga menyimpulkan ingatan kepada legenda kepahlawanan Melaka dan Selat

Melaka yang menjadi legenda bangsa serumpun. Andai di sini letaknya penyatuan dan cinta

yang abadi kepada bangsa, maka Penyair mahu terus berpaut pada nostalgia tersebut.

“Pautlah aku dan bawa aku berlari” .

Bila Penyair menyebut “Hari ini kau menyambut hari ulangtahun/Dalam rentak dan getar

dunia yang biadap” Yang penuh kepura-puraan dan hanya mengejar kebendaan dengan

mata Matanya permata” maka hal ini merujuk kepada kemurnian masa lalu berbanding

kejelekan masakini.


Selat Melaka membawa ingatan kepada nenek moyang yang sama-sama pernah

berbiduk di sini. Hal ini akan membawa perkongsian nostalgia dan rasa kebersamaan. Itulah

maksud baris “Kau dan aku pernah berbiduk di sini/Bertanya pada bayu tentang bangsa

merdeka/Bertanya kepada arus tentang bulat maufakatnya” Ungkapan “pernah berbiduk”

juga adalah peringatan bahawa mereka pernah senasib iaitu pernah menaiki satu biduk atau

mendayung biduk di laut yang sama di mana nasib mereka adalah terdedah kepada angin,

ombak dan gelombang yang sama. Mereka melawan badai yang sama dalam erti kata

menghadapi cabaran yang sama.

Proses kreatif Firdaus HN dipengaruhi oleh alam kampung halaman. Kampung

halaman merangkumi kehidupan berkeluarga dan bersanak saudara dan menyimpan seribu

nostalgia masa lalu. Sajak2 yang terbit dari rasa nostalgia ini diabadikan dalam kumpulan


7

puisi Perjalanan Dari Kampung Belais Sebelum Mentari Terbenam (2008, Dewan

Bahasa Dan Pustaka. Brunei.).

Antara sajak yang secara langsung diinspirasi oleh kampung halaman dan

kekeluargaan ialah Kampung Belais (2-4). Sajak ini menyingkap pengalaman dan

memaparkan kejadian atau peristiwa yang terjadi di dalam alam masa lalu yang dapat

dijadikan sebagai ibarat, bahan menungan, atau bahan berfikir. Nilai-nilai masalalu memberi

kekuatan untuk menghadapi masakini dan masadepan. Kedua sajak menggunakan

sumber sejarah, sumber tradisi lisan, lagenda, mitos, cerita rakyat dan kebudayaan

tempatan yang dapat memperkukuh moraliti bangsa, memperkuatkan identiti, memberi

penghujahan baru terhadap zaman silam. Hal ini menarik perhatian pengkaji dan sarjana,

misalnya Hashim Ismail yang telah menumpukan kajian terhadap proses pemikiran

pengarang dan bagaimana proses kreativiti pengarang mengolah semula sumber-sumber

sejarah, kebudayaan, tamadun Melayu, tamadun Islam, tradisi lisan, dan sumber-sumber

moraliti kolektif bangsa Melayu ke dalam bentuk yang lebih efektif untuk memberikan

landasan pemikiran tentang kelebihan bangsa mereka. Hasil kajian itu memberi landasan

kepada beliau untuk membina Teori Neo-nostalgia.


Kampung Belais mengandungi segala kenangan masakecil.. .

Kampung Belais

tanah tumpah darah ayah dan datuk ninikku

Di sini aku dibesarkan

Betapa indahnya memori

Sebati dalam rasa dan jiwa

Kampung melalui perubahan

Bermula dari tanah kuning

Dari batu kerikil ke aspal

Dari belukar dan rimba menjadi rata


8

Dari rumah kayu berganti batu


Perubahan sebegitu ditambah dengan proses globalisasi perkembangan moden boleh

menghapuskan nilai-nilai masalalu dan warisan masyarakat Penyair tetap ingat kepada

semangat dan amalan bergotong royong.

Semangat gotong royong dan kesepakatan yang indah

Musim memayau dan mengijang

Turunlah penduduk seluruh kampung

Memburu payau atau kijang yang sudah dalam peliunan


Sajak ini mengajak untuk kembali kepada masa silam. Dari aspek psikologi, apabila

sahaja seseorang mengalami penderitaan jiwa dan kesengsaraan batin, ia cenderung untuk

memikirkan tempat asalnya; nostalgia silam yang membentuk identiti budaya atau jati

dirinya. Nilai tradisi akan digubah oleh Penyair dan terhasillah puisi-puisi. Melalui

kreativitinya pengarang mengolah semula sumber-sumber sejarah, kebudayaan, tamadun

Melayu, tamadun Islam, tradisi lisan, dan sumber-sumber moraliti kolektif bangsa Melayu ke

dalam bentuk yang lebih efektif untuk memberikan landasan pemikiran tentang kelebihan

bangsa mereka

Terdapat beberapa puisi Hashim A. Hamid yang membawa saranan agar mementingkan

daerah Nusantara atau memberi keutamaan kepada isu-isu tempatan. Dalam situasi dunia

yang menyakitkan ini warga tempatan disarankan supaya memberi tumpuan kepada tanah

air sendiri dan isu-isu yang lebih dekat dengan kehidupan mereka. Mereka harus menjaga

apa yang sedang dimiliki agar esok mereka tidak kehilangan semuanya.

Tapi tanyalah tentang laut dan bendang kerana itu hidupmu

Tanyalah isi bumi kerana itu degup jantungnmu

Tanyalah tentang nasi yang kau suap

Tanyalah tentang ikan belanak masak kunyit

Tentang pucuk rebung campur bagu


9

Apakah esok dia ada lagi

Penyair mengingatkan tentang laut dan bendang kerana itu lebih akrab dengan kehidupan

mereka. Di sinilah kehidupan nelayan dan petani yang menjadi rakyat terbesar yang boleh

dianggap sebagai isi bumi sebuah negara. Menumpukan kepada “nasi yang kau suap”

adalah peringatan agar mengutamakan keperluan makanan atau kemakmoran rakyat.

Penyair menyebut secara spesifik “ikan belanak masak kunyit” dan “pucuk rebung campur

bagu” yang merupakan makanan tempatan dan makanan tradisi. Penyair bertanya apakah

esok makanan ini masih ada kerana satu daripada akibat landaan globalisasi ialah

penghapusan makanan tradisi. Rakyat disogok dengan makanan segera dan tidak lagi tahu

memakan makanan dari pucuk-pucuk seperti pucuk bagu yang dimasak dengan rebung dan

belanak yang dimasak dengan kunyit. Kedua makanan dan cara memasak melambangkan

kesederhanaan hidup. Bagu adalah sejenis tumbuhan yang hidup semulajadi yang satu

ketika dahulu tidak pun dijual di pasar. Belanak adalah ikan kecil yang masih murah di

pasaran. Penyair bertanya “Apakah esok ia ada lagi” membayangkan kebimbangan yang

keaslian itu akan hapus. Bagi ramai anak-anak muda, rebung campur bagu mengembalikan

nostalgia kepada masakan ibu. Kembali kepada masakan itu juga bererti mencari kekuatan

daripada bahan-bahan semula jadi seperti daun bagu yang banyak khasiat dan menjadi

salah satu sumber yang memberi kekuatan dan khasiat kepada generasi lama. Oleh itu

saranan untuk memakan rebung campur bagu adalah juga nostalgia dan seruan untuk

kembali mencari kekuatan fizikal dan mental dan ketahanan diri daripada nilai-nilai tradisi.


Pertembungan inilah yang menjadi tumpuan utama di dalam sajak “Kalau Orang Bertanya

(Memorinduku: 6-7)

Kalau orang bertanya siapa kamu

Katakan

Kamilah belia yang bernama

Kamilah belia yang berbangsa

Yang sanggup mati dua kali


10

Meski kami Cuma makan nasi

Meski kami Cuma makan tahai masak api.


Penyair menyebut supaya belia sentiasa ingat bahawa mereka “belia yang bernama.

belia yang berbangsa” Ini adalah penekanan kepada jatidiri. Mengenal jatidiri adalah

prasyarat untuk membina semangat waja untuk membela bangsa yang diungkapkan

sebagai “sanggup mati dua kali”. Dari awal sajak ini membawa kesedaran terhadap

identiti diri dan asal usul kehidupan mereka sebagai warga Brunei. Menjadi belia yang

bernama dan belia yang berbangsa bermaksud jelas tentang keturunan mereka dari nenek

moyang yang telah mencipta nama di Nusantara. Terdapat sebutan makanan iaitu makan

nasi dan tahai masak api seperti yang dilihat dari sajak sebelum ini belanak masak kunyit

dan rebung campur bagu ini juga makanan tradisi Brunei. Sekali lagi Penyair menggunakan

makanan tradisi yang dapat mengembalikan rindu dan nostalgia. Makanan adalah sesuatu

yang sangat menyentuh perasaan (touching). Ingatan kepada makanan boleh membuat

seseorang pulang ke kampung untuk menikmati masakan ibu. Kehidupan yang benar-benar

Melayu yang dilambangkan dari makanannya iaitu nasi dan tahai masak api. Cara memasak

dengan membakar atau salai di atas bara adalah cara yang sihat. Penyebutan makanan

tradisi bukan sahaja terdapat di dalam puisi A Hashim Hamid tetapi juga dalam sajak-sajak

Firdaus HN. Dalam sajak Balada Orang Kedayan, menyebut tentang nasi lemak yang

dibungkus dengan upih dan daun nyirik.yang dikatakan dapat menyimpan nasi lebih lama,

menambah aroma dan membuka selera.


semakin berkurangannya makanan tradisi ‘pucuk rebung campur bagu”. Cara mengatasinya

ialah pulang kepada nilai-nilai masalalu yang indah dan kembali kepada makanan tradisi

yang menguatkan tubuh dan minda. Di sini kelihatan Penyair kembali mencari nilai-nilai

moral masalalu untuk dijadikan benteng yang dapat meneruskan survival bangsa.

Jika proses kreatif dua orang penyair di atas dibenihkan oleh alam masalalu, maka sajak-

sajak seterusnya, karya Haji Jawawi dan Sutera Kalbu adalah hasil pengamatan alam

masakini.


SEBUAH LUKISAN PERBANDINGAN DIRI

Aku cuba merakamkan sebuah lukisan

Melalui puisi belum tersusun

Untuk meletakkan arah sebenarnya

Apakah bulan itu di awan

Sedang di air wajahnya membayang

Dan terlihatkah aku matahari

Yang bercahaya di balik awan

Hitam pekat teramat gelap


Lukisan yang dirakam itu

Seolah sedih kehilangan cahaya

Warnanya bertaburan di atas air

Menjadikan air bertukar warna

Hitam pekat melekat di dalamnya


Lukisan yang dirakam itu

Membayangkan kemarahan berjela-jela

Tiada lagi kesempurnaan

Sebagai manusia hidup berkeluarga

Sebagai inti dalam kehidupan


Perpaduan hidup sebenarnya

Adalah sebuah lukisan seindahnya

Sebagai sebuah hadiah

Kepada negara tercinta


12

(Kumpulan Ragam Puisi , Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, 2010: 171)


Sajak Sebuah Lukisan Perbandingan Diri ini memperlihatkan pengamatan penyair yang

sentiasa mencari makna dari fenomena alam. Darinya dapat dilihat proses interpretasi,

interaksi dan integrasi penyair dengan alam Penyair terpandangkan bulan di awan dan

bulan (bayangannya) di air lalu terjadilah proses berinteraksi dengan objek objek tersebut.

Penyair melukiskan mungkin dengan menggunakan warna atau menggunakan kata-kata.

Hal ini membawa situasi memadankan bulan di awan dan bulan di air. Setiap objek alam

mempunyai padanan dan perbandingan dengan objek lain dan dengan kehidupan manusia.

Penulis melihat matahari di balik awan. Cahaya matahari yang cerah dibandingkan pula

dengan keadaan hitam pekat dan gelap. Demikianlah kehidupan, di mana ada cahaya di

situ ada kegelapan, di mana ada kekuasaan di situ ada kelemahan. Penyair melihat Cahaya

seolah-olah lucut dan hilang dan luruh bertaburan di atas air. Dan air digambarkan menjadi

hitam. Air yang menjadi hitam pekat adalah kehidupan manusia yang tidak lagi jernih kerana

dipenuhi oleh pelbagai peristiwa Kehidupan telah dipadatkan dan ada kalanya dicemari

oleh pelbagai peristiwa dan ini mengakibatkan perasaan terganggu hingga terbit

kemarahan. Ketika itu hidup dikatakan telah hilang kesempurnaannya. Jelas bahawa yang

dimaksudkan oleh penyair atau yang menjadi tumpuan penyair ialah kehidupan berkeluarga

yang terjejas keharmoniannya akibat peristiwa2 yang berlaku. Penyair menyampaikan

falsafah/pemikirannya bahawa kehidupan yang terpelihara ialah sebuah lukisan yang

sempurna. Keharmonian hidup terutama hidup berumah tangga adalah asas kepada

keteguhan negara. Memelihara kerukunan keluarga bererti menyumbang kepada

ketahanan negara.

Perpaduan hidup sebenarnya

Adalah sebuah lukisan seindahnya

Sebagai sebuah hadiah

Kepada negara tercinta


13

Sajak “Sebuah Lukisan Perbandingan Diri” dapat dibandingkan dengan sajak “Warna dan

Lukisan” karya Sutra Kalbu. Di sini ada gambaran menarik tentang sehelai kanvas putih

berhadapan dengan sebalang pensil warna warni. Keadaan ini ditafsirkan sebagai diri yang

menunggu segala kemungkinan yang akan berlaku atau diperlakukan ke atasnya. Dalam

situasi ini juga ia adalah bahtera yang berhadapan sebuah lautan. Terdapat pentafsiran

penyair terhadap alam bahawa bahtera yang belayar bukanlah sekadar sebuah bahtera tapi

disifatkan sebagai “layar rindu mencari redha” iaitu diri yang mencari redha Ilahi.. Segalanya

menuntut kewaspadaan. Laut yang sentiasa bergelora dan ombak yang sentiasa meninggi,

angin yang sentiasa berubah-ubah . Pelayaran mencari redha ini menggunakan kemudi dari

matahati dan anjung dari pelita ilmu.


Seperti Haji Jawawi, Sutra Kalbu juga menggunakan imej pelukis yang memilih warna bagi

membina sebuah lukisan. Sajak ini adalah mengenai Kebebasan dan Pilihan. Yang memiliki

kebebasan itu ialah jari-jari pelukis. Kebebasan bererti berkuasa dan demikianlah jari

berkuasa untuk memilih warna yang merah sebagai pertanda berani atau menghitam untuk

menutup supaya segalanya kekal dalam kerahsian


kau bebas memilih warna

yang merah berani

yang hitam penuh rahsia

yang biru segenap cinta

yang kuning pesona

yang ungu pudar

yang putih suci

yang hijau kau tahu jawabnya.


Tugas memilih selalu berkait dengan keadaan serba salah dan keperluan untuk berhati-hati

agar tidak tersalah pilih. Paduan warna tidak semestinya akan sentiasa berharmoni di antara

satu sama lain. Jari-jari yang mencoret warna memikul tanggungjawab untuk membuat


14

keputusan yang diharapkan tidak akan tersalah. Namun kadang-kadang “tersasar kadang

tergetar”


Bait seterusnya menyatakan sebab dan akibat dari perlakuan dan pemilihan. Lukisan boleh

menjadi penawar atau sebaliknya. sebuah lukisan menjadi penawar/ sebuah luka atau

sejuta prasangka. Penyair yakin hanya dengan takwa dan iman, pelukis akan mendapat

pertunjuk dan membuat pilihan yang tepat seperti maksud barias.


Tapi hanya murni takwa

tapi hanya  murni iman

sebuah lukisan menjadi cahaya

buat sebuah kegelapan atau sejuta aniaya.


Demikianlah perjalanan hari antara malam dan siang dan peredaran hari dengan segala

kejadian..Jari-jari itu adalah manusia yang bertanggungjawab dan mesti menjawab atas

segala perbuatan dan amalannya di dunia ini.


Perlakuan melukis dan memilih warna itu berintegrasi dengan isu semasa yang sedang

menimpa umat Islam. Buatlah apa2 yang sepatutnya namun utamakan keselamatan dan

pertimbanan agar saudara2 Islam tetap terselamat. Dan sekelian saudara muslim itu

jangan kau hapus mereka/atau membiarkan mereka terhapus/dengan warna yang ada di

tanganmu/kecuali dengan perintah Allah.


Warna dan lukisan

Sehelai kanvas putih

sebalang pensil warna warni

siap berhadapan sebuah laut

bukan sekadar sebuah bahtera

tapi layar rindu mencari redha

kemudi dari matahati

anjung dari pelita ilmu.

Laut yang sentiasa bergelora

ombak yang sentiasa berlenggang

angin yang sentiasa berubah-ubah

jari-jari yang mencoret warna

kadang tersasar kadang tergetar

antara malam dan siang


15

kau bebas memilih warna

yang merah berani

yang hitam penuh rahsia

yang biru segenap cinta

yang kuning pesona

yang ungu pudar

yang putih suci

yang hijau kau tahu jawabnya.

Tapi hanya murni takwa

sebuah lukisan menjadi penawar

sebuah luka atau sejuta prasangka

tapi hanya  murni iman

sebuah lukisan menjadi cahaya

buat sebuah kegelapan atau sejuta aniaya.

Dan sekelian saudara muslim itu

jangan kau hapus mereka

atau membiarkan mereka terhapus

dengan warna yang ada di tanganmu

kecuali dengan perintah Allah.

Sutera Kalbu


Dalam Sebuah Lukisan Perbandingan Diri kreativiti Haji Jawawi dicetuskan oleh elemen

alam iaitu bulan dan bayangan bulan di air, cahaya matahari dan air yang menjadi hitam.

Unsur-unsur gangguan terhadap air ini berlaku lagi dalam Perairan (165) Pembenihan idea

dicetuskan oleh air tenang yang tiba-tiba berkocak. Air yang terusik dan berkocak

mengingatkan penyair kepada keharmonian hidup yang tergugat.

Perairan

Ketenangannya terusik

Kerana airnya berkocak

Lalu terjun ke dasarnya

Mencari sebarang punca

Untuk dihadapkan

Bukti pencerobohan

Ke atas haknya

Milik orang lain


Maka berkocaklah lagi air


16

Bersama ombak menggamit rindu

Berkejar-kejaran ke tepi pantai

Menghilangkah rindu di putih pasir

Sepeti bertanya khabar

Sanak saudara yang terpisah

Sejak zaman berzaman.


Pemerhatian terhadap alam, iaitu air yang berkocak membawa kepada pentafsiran. Kocakan

itu ditafsirkan sebagai kehidupan yang terusik dan tidak lagi tenang. Kocakan adalah

pertanda kepada sesuatu yang menggugat dan merisaukan.

Dalam sajak ini penyair menasihati agar berhati-hati dan tidak keterlaluan dalam sebarang

tindakan kerana sebarang salah langkah akan menambah kepada masalah dan keburukan

yang sedang dihadapi. Ia perlu ditangani dengan bijaksana. Penyair meminta semua pihak

berwaspada dan tidak mengambil tindakan melulu untuk terjun ke dasar mencari sebarang

punca atau cepat melakukan dakwaan. Tidak ada faedahnya untuk terjun ke dasarnya

mencari sebarang punca untuk dihadapkan sebagai bahan bukti pencerobohan.

Kocakan air yang dilihat dipermukaan sungai membawa ruang fikir kepenyairan ke tebaran

air yang lebih luas iaitu samudera Nusantara , Penyair menyampaikan ingatan bahawa

perairan ini perlu dipelihara kerana kita adalah keluarga besar warisan nenek moyang yang

membina kehidupan di kepulauan Melayu. Semua pihak sepatutnya menjaga keharmonian

dan hubungan sesama keluarga atau warga Nusantara yang sentiasa mengharapkan

keharmonian, apatah lagi kebanyakannya mempunyai pertalian darah .

Bersama ombak menggamit rindu

Berkejar-kejaran ke tepi pantai

Menghilangkah rindu di putih pasir

Sepeti bertanya khabar

Sanak saudara yang terpisah


17

Terdapat banyak contoh pengaruh alam terhadap kreativiti Sutra Kalbu. Di antaranya ialah

sajak di bawah:

Bulan di sampan

Apakah kau sudah bosan berkayuh

lautan luas tak pernah tenang

angin kabut seluas samudera

sedang di sampan sejuta bulan

sarat memuja harapan.

Apakah kau sudah bosan berkayuh

laut seakan tiada berhujung

suara mu hanya parau si burung malam

sedang pulau yang kau impikan

hanya sebongkah batu berlumut.

Apakah kau sudah bosan berkayuh

melepas pendayung hanyut jauh

menumpah seluruh bulan ke laut

membiar sampan  di bawa arus

tanpa hala tuju.

Apakah kau sudah bosan berkayuh

sedang bulan di sampan

masih merayu.


Cetusan idea berlaku dari suasana malam dengan perahu atau sampan yang berada di

perairan. Bulan (atau bayangannya) berada bersama perahu. Namun si pengayuh seolah-

olah tidak meneruskan kayuhannya. Puisi ini membawa persoalan harapan dan putus

harapan. Seseorang sedang mengharap (seperti bulan yang turun ke perahu) namun ada

nada keengganan di pihak pemilik perahu untuk meneruskan perjalanan.


Kesimpulan

Sajak-sajak dalam Memorinduku dan Perjalanan Dari Kampung Belais Sebelum Mentari

Terbenam adalah catatan yang terbentuk oleh alam dan pengalaman masalalu manakala

Sutra Kalbu dan Haji Jawawi HJR banyak menimba pengertian dari alam yang sedang

terbentang di hadapan. Alam masalalu mengembalikan kenangan dan nostalgia lalu

mengajak untuk kembali mencari kekuatan dari kebijaksanaan yang diwariskan oleh nenek

moyang termasuk makanan tradisi dan amalan-amalan yang memberi kekuatan fizikal dan


18

kerohanian untuk melawan asakan dan ancaman masakini. Alam sekitar dan objek objek

alam seperti lautan, perairan dan cakerawala mengandungi lapisan makna dan pengertian

yang menjadi pertunjuk dan pedoman dalam menghadapi hidup seseorang.


A Hashim Hamid, 2003, Memorinduku, Jabatan kesusasteraaan Melayu, Fakulti Sastera dan

Saina Kemasyarakatan university brunei Darussalam.

Firdaus H.N, 2008, Perjalanan Dari Kampung Belais Sebelum Mentari Terbenam, Dewan

Bahasa Dan Pustaka. Brunei.

Hashim Ismail. 2001. “Kemunculan Teori-Teori Sastera Tempatan: Pascamodenisme dan

Neo-Nostalgia”. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Kritikan Sastera Melayu Serantau,

24-26 September 2001, di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, anjuran Bahagian Teori dan

Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan Pengkritik Sastera Malaysia.


Jawawi Haji Ahmad (HJR), 2010 Kumpulan Ragam Puisi, Dewan Bahasa dan Pustaka

Brunei.

Jawawi Haji Ahmad (HJR), 1985, Perkembangan Puisi Mutakhir di Brunei Darussalam, dlm

Sekitar Kritikan Sastera Melayu , Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.


Zurinah Hassan, 2010, Unsur Alam

 SAYA dan Minggu Penulis Remaja.

Ucapan di Majlis Perhimpunan Alumni  MPR di Port Dickson, 21.9.2025.

 


Saya berterima kasih kerana diberi peluang untuk berucap pada hari ini. Tahniah kepada Dewan Bahasa yang sentiasa menjalankan program-program bahasa dan sastera selaras dengan tugas dan fungsinya.

 

Alhamdulillah Allah memberikan saya kemudahan dan kesihatan Saya tidak menolak jemputan ini kerana MPR atau Minggu Penulis Remaja sangat dekat dengan saya . Melalui MPR saya mengenal ramai penulis penulis remaja bahkan memperolehi ramai “anak angkat”. Sebagai penulis sudah tentu saya mengikuti program-program anjuran DBP termasuk program untuk remaja dan kanak-kanak. Pada tahun 1997 anak saya sendiri menjadi peserta MPR. Mempunyai anak yang berminat dan terlibat dalam penulisan ini memberi saya kelebihan, iaitu saya dapat mengenal penulis-penulis remaja - update dengan perkembangan terbaharu, kerana anak akan bercerita tentang kawan-kawannya dan karya-karya penulis remaja yang menarik. Dengan itu agak well informed tentang perkembangan penulis remaja. Pada masa itu MPR dan Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat menjadi ‘idaman’ .

 

Saya menjadi terlibat secara langsung dengan MPR bila mereka menubuhkan Kelab Alumni MPR  sekitar 1997. Saya mempunyai hubungan rapat dengan Kelab ini. Saya melihat di dalam jadual, petang ini akan diadakan pemilihan AJK  Kelab Alumni , Saya berharap  Kelab ini akan bergerak aktif semula. Ia membawa banyak kenangan dalam diri saya.

 

 28 tahun dahulu saya menyaksikan Kelab itu mula digerakkan dengan gigihnya oleh barisan AJK yang pertama iaitu Hizairi Othman (Ketua) Ade Irma Suryani (Setiausaha) dan ajk-ajknya termasuk Faizal Tehrani, Rahimidin Zahari, Shamsudin Othman. Ridzuan Harun. Rosie Haslinda Nasir, Salina Ibrahim, Hafizin. Anak saya, Raihani adalah Penolong SU dan memikul tugas Ketua selepas kejadian yang menimpa Hizairi.

 

Pada masa itu keadaan tidaklah seperti sekarang. 1997 adalah zaman sebelum telefon bimbit.  Jadi bagaimana mereka berhubung  antara satu sama lain? Jangan kata telefon bimbit, talian tetap pun tidak menentu sebab mereka ini datang dari seluruh Malaysia . Mungkin ada telefon di rumah masing-masing di Kedah atau Johor, sedangkan mereka tinggal di sini, di rumah sewa atau di asrama universiti. Jadi bagaimana, misalnya Ketua menyebarkan sesuatu info tentang mesyuarat dan sebagainya? Jawabnya mereka menggunakan pondok telefon dan mendial 03-550509 . Seorang perempuan akan mengambil mesej dan akan menyampaikan kepada A B C  D yang akan memanggil kelak.  Nombor itu adalah nombor telefon rumah saya dan perempuan yang bertindak sebagai operator itu adalah saya sendiri.

 

Pada masa itu internet bukan seperti sekarang. juga baru nak mula. Jenis yang kena dial di telefon. Kadang-kadang tak ada. Bila pakai internet telefon engage. Bukan semua rumah ada komputer . Bukan semua rumah ada talian internet.    

Dalam keadaan inilah saya terlibat dengan MPR khasnya Kelab Alumni.

 

Saya berada dalam situasi ini sebab Siti Raihani adalah Penolong SU. Setiausaha ialah Ade Irma  dan rumahnya di Kelantan. Jadi rumah Penolong SU lah yang mudah dijadikan markas.  Oleh kerana Penolong SU selalu tidak ada (berkuliah dsbnya) maka sayalah yang jadi Penolong kepada Penolong SU MPR.  

 

Satu cara berkesan ialah SU Ade Irma datang ke rumah,  tidur di rumah untuk menggunakaan telefon Mesti call setiap orang tidak membuat hebahan melalui watsap macam sekarang. menjalankan tugas kesetiausahawan dengan Raihani. Mereka juga perlu telefon untuk menerbitkan buletin MPR. Saya bantu apa yang boleh. Dia dan Raihani meminta nasihat dalam menulis minit mesyuarat , merancang sesuatu aktiviti. Lebih lebih lagi untuk menghubungi tokoh2 sastera yang dicadangkan oleh Kelab untuk diwawancara  untuk buletin.  Saya cuba membantu kerja-kerja promosi. Misalnya pernah bawa Dr.Shamsudin dan Raihani ke studio RTM. Oleh kerana Raihani belum memandu terpaksalah saya membawa dia ke mesyuarat dan sebagainya. Sayangnya beliau tidak dapat menyertai perhimpunan ini kerana  berada di Pulau Pinang , membentang kertas untuk Seminar Antarabangsa P.Ramlee. Saya juga menghubungi SU yang pertama tetapi beliau berada di kampungnya di Kelantan.

 Rumah menjadi markas atau pejabat pertama Alumni MPR.

Demikian untuk mengimbau kembali sebahagian sejarah MPR. Anak-anak penulis jangan menganggap saya nak menunjuk-nunjuk pula. Cuma bercerita apa yang sebenar berlaku.

 Anak-anak sekarang sangat bertuah dengan adanya program MPR ini.

 

Menulis adalah media berkomunikasi. Mengekspressi buah fikiran.  Bukan semata  menjadi penulis kreatif, menjadi penyair atau novelis, tetapi orang yang boleh menulis akan lebih ke hadapan. Menulis kertaskerja untuk minta projek bisness, menulis tesis untuk mendapatkan ijazah .

 Menjadi penulis berjaya memerlukan:

 Bakat,

kesungguhan dan kerajinan

Persekitaran yang memberangsangkan

Ilmu pengetahuan (belajar dari penulis berpengalaman. Saya juga belajar drpd yang lebih muda.

Minat kepada perkembangan persekitaran

Disiplin

Gaya hidup sihat.

 


Program seperti Minggu Penulis Remaja akan meletakkan peserta-peserta dalam situasi yang kondusif atau memberangsangkan.