SAWAH PADI DAN LAUT
Banyak puisi yang memaparkan lanskap sawah dan padi lahir dari pena penyair-penyair Utara. Di samping itu terdapat karya-karya novel dan cerpen yang bertemakan kehidupan petani. Antara novel yang masyhur ialah Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.
Bagi penyair Utara, padi bukan sekadar bahan makanan dan sumber pendapatan . Lebih daripada itu padi dianalogikan sebagai kemakmuran, maruah dan harga diri. Padi didapati dengan kerja keras dari mula membajak sawah hingga dapat dijadikan beras. Justeru itu ia diumpamakan sebagai perjuangan hidup.
Rahman Shaari, penyair kelahiran Perlis, menulis sajak “Hamparan Kuning” . Di dalam puisi tersebut dinyatakan bagaimana sawah yang tehampar luas memberi sesuatu kesedaran kepadanya tentang budi, perjuangan dan ilmu. Kata hamparan membawa gambaran sesuatu yang terbentang luas dan dapat dilihat sejauh pandangan. Kuning ialah warna padi yang sedang masak dan juga emas yang melambangkan kemakmuran.
Namun begitu yang terhampar bukan sahaja sawah. Ia adalah analogi kepada kehidupan dan perjuangan yang terentang luas di hadapan. Padi masak menguning emas menjadi lambang kemakmuran dan kebijaksanaan seorang ayah kerana berjaya melengkapkan anaknya dengan ilmu dan keyakinan. Si anak merasa damai dan makmur dengan keikhlasan cinta ayah dan ibu yang mendewasakannya. Hamparan dan kesuburan tanah di kampung juga sejajar dengan kesuburan ilmu yang terhampar di dada penyair.
Hamparan Kuning
Sesekali pulang
Mahu kuresapkan keseluruhanmu
Ke dasar diri
Lalu hidup bersama aliran darahku
Sambungan dari keikhlasan cinta
Ayah ibu
Yang mendewasakan aku kemudian lepas
Kerana yakin pada ilmu
“Tanah di kampung ini,” kata ayah,
“akan nanti tidak sesubur
Apa yang bakal terhampar
Di dadamu.”
Di beranda rendah ini
Mataku bermandi di lautan padi,
Hamparan kuning,
Engkau telah mendarahkan budayaku
Teman ikrab yang pernah menjauh
Kembali mengetuk pintu kesedaranku.
Aku kini pulang padamu
Bersama kasih dulu tak bakal layu
Aku pulang dengan rasa lama
Dan akal baru.
(Rahman Shaari, Gurindam Alam: 121)
Laut dan Pantai
Bahagian barat negeri Kedah dan Perlis, Pulau Pinang, bersempadan dengan Selat Melaka yang merupakan kawasan perairan sepanjang 930km yang merentang di antara Semenanjung Malaysia dan Pulau Sumatera. Selat menjadi salah satu jalur pelayaran terpenting di dunia kerana kedudukan yang strategik seperti Terusan Suez dan Terusan Penama. Selat Melaka adalah laluan purba yang diguna oleh kapal-kapal pedagang yang berulang alik dari Barat ke Timur. Kapal-kapal ini singgah di negeri Kedah untuk berteduh menunggu musim bertukar bagi meneruskan semula pelayaran.
Laut dan pantai adalah unsur alam yang merangsang dan menggerakkan proses kreatif. Antara sajak yang lahir ialah ‘Sepanjang jalan ke Pulau Pinang’.
Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Laut mengimbau sayu
Ombak-ombak ini hatiku
Berhasrat tiada tepi
Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Hujan memberi lagu
Angin menampar ke tiap ruang rasa
Berhiba-hiba awan pilu.
Aku antara insan beribu
Air mataku antara laut lepa
Laguku hilang dalam angin menderu
Pecah di pantai terhempas.
dalam feri menyeberang ke Pulau Pinang untuk memulakan pengajian di Universiti Sains Malaysia, tersiar buat pertama kali di akhbar Utusan Zaman pada tahun 1970 dan kemudian dimuatkan dalam kumpulan puisi Sesayup Jalan terbitan USM press 1974. Sememangnya telah banyak puisi dicipta hasil dari perjalanan dari satu tempat ke satu tempat. Perjalanan adalah pergerakan fizikal yang mempengaruhi pergerakan mental dan kerohanian. Proses kreatif yang melahirkan “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” berlaku di dalam feri menyeberangi laut. Perjalanan itu adalah perjalanan diri meninggalkan rumah yang juga bererti meninggalkan zon selesa ke suatu tempat yang belum dikenali, memberi kesedaran terlantarnya diri ke dalam kedewasaan. Menyeberang laut menjadi penanda kepada perjalanan dari alam remaja menuju ke alam dewasa. Keadaan cuaca yang digambarkan dengan angin, hujan dan awan adalah unsur-unsur yang mengganggu perjalanan dan sekaligus mengganggu emosi. Apatah lagi pada ketika remaja itu, emosi mudah terganggu, sering merasa buntu dan hampir putus asa sehingga melihat semuanya sebagai sedang “pecah di pantai terhempas”.
Laut dilihat sebagai medan perjuangan untuk menuju ke sesuatu destinasi. Ia adalah lambang kedewasaan dan cabaran. Selagi hayat dikandung badan cabaran dan rintangan perlu ditempuhi. Seorang yang telah dewasa mesti menempuh perjalanan laut serta menghadapi gelombang dan badai. Dalam hubungan ini, pangkalan dianologikan sebagai satu tempat untuk memulakan perjalanan menuju kedewasaan.
Seorang ibu harus bersedia untuk melepaskan anak-anaknya yang telah dewasa untuk pergi memulakan kehidupan mereka sendiri. Menghantar dan merestui anak-anak untuk memulakan kehidupan baharu diumpamakan sebagai berdiri di pangkalan.
Berdiri di Pangkalan .
Aku telah berdiri di pangkalan
Melepaskan satu demi satu perahu
Ke sungai usia ke laut kehidupan
Di pangkalan itu aku berpesan
Berhati hati anakku
Pilihlah pelabuhan terbaik
Perahumu hanya satu
Layarmu jangan tercarik
Aku berdiri di pangkalan
Dan berpesan
Lautan adalah pengajaran.
(Zurinah Hassan, 2014, Cerita Dalam Cerita: 87, )
Rumusan:
Huraian ini menunjukkan bahawa proses kreatif dan penglahiran karya seorang penulis bermula dari interaksi dan interpretasi terhadap unsur alam yang membesarkan mereka. Mereka juga legenda didengarnya sejak kecil. Unsur alam, seperti laut, sawah padi, gunung ganang menjadi metafora, perlambangan dan analogi tentang kehidupan yang dilalui. Walaupun laut dan ombak digambarkan sebagai cabaran dalam ‘Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang’ dan ‘Berdiri di Pangkalan’ namun pemilihan kata-kata tidak menunjukkan sebarang pertentangan atau konflik dengan alam. Mereka menerima dan melihatnya sebagai pengajaran dan ujian yang mesti dihadapi sebagai tanda kedewasaan. Alam juga mengajar mereka tentang budi dan kerukunan hidup berkeluarga seperti dalam ‘Permatang Budi’ (Rahman Shaari). Alam yang luas membuat penyair insaf dan merasa dirinya kecil lalu lebih akur dengan kekuasaan Ilahi.
Legenda adalah kisah yang terkenal di dalam sejarah bangsa dan harus direnungi dan diambil iktibar. Penulis sering menganalisis dan pentafsir semula kisah-kisah legenda lalu menghasilkan pemikiran dan karya baharu dalam bentuk puisi atau prosa. Renungan dan pentafsiran ini adalah selaras dengan penciptaan sastera Melayu yang dicipta untuk memberi pengajaran dan membawa kebaikan kepada masyarakat.
Rujukan:
Muhammad Fadzil Yusoff, 2018, Kosmologi Zurinah Hassan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh, 1988. Unsur-unsur Teori dalam Kesusasteraan Melayu dan Nusantara, Bangi Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi,
Rahman Shaari, 1993, Memahami Gaya Bahasa, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Rejab F.I. 1986. Seribu Riak di Pantai Usia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka,
Thomas O, 1969, Metaphor and Related Subjects, New York, Random House.
H.B.Jassin.1968,Tifa Penyair dan Daerahnya, Singapura, Malayan Publishing House.
Zurinah Hassan, 1994, Pujangga Tidak Bernama, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Zurinah Hassan, 2005, Salasilah. Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Zurinah Hassan, 2010. Unsur Alam dalam Puisi Melayu Moden, Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia,
Zurinah Hassan, 2014, Cerita Dalam Cerita: Kuala Lumpur. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Zurinah Hassan,2020, Membina Bakat Kreatif, , Kangar, Penerbit Universiti Malaysia Perlis.
No comments:
Post a Comment