ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Thursday, October 24, 2019

BIODATA ZURINAH HASSAN DAN MAKLUMAT LANJUT.


ZURINAH HASSAN dilahirkan di tengah bandar iaitu Alor Setar tetapi dibesarkan di dalam kampung terpencil bernama Tikam Batu, Kedah. Beliau yang dilahirkan pada 13 Jun 1949 dipelihara oleh ibu saudara dan neneknya kerana ayahnya meninggal dunia ketika beliau berumur enam bulan dan ibunya meneruskan kerjaya sebagai seorang jururawat.
Zurinah mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Tikam Batu, kemudian memasuki Sekolah Inggeris Sungai Layar melalui Special Malay Class. Di peringkat menengah Zurinah bersekolah di Sekolah Convent Sungai Petani dan kemudian berpindah ke Sekolah Sultanah Asma Alor Setar. Pada tahun 1971 beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974.
Sebagai anak gadis Melayu yang dibesarkan di kampung, Zurinah merasa kurang  beruntung kerana tidak berpeluang bergerak aktif di luar rumah.  Dia juga merasa cemburu kepada orang-orang yang tinggal di bandar yang mempunyai bekalan elektrik terutama untuk membaca . Lalu apa yang dapat dibuat ialah mengisi waktunya dengan mendengar radio. Dari radio beliau mendengar lagu-lagu yang pada masa itu biasanya mempunyai senikata yang indah penuh bermakna. Dari senikata lagu beliau belajar untuk berseni dengan kata-kata. Beliau mengenali pantun  dari lagu Melayu Asli seperti Siti Payung, Mas Merah, Gunung Banang, Seri Mersing, Bunga Tanjung dan sebagainya. Selain pantun, Zurinah mula menggemari syair yang didengar melalui rancangan Bangsawan Di Udara yang disiarkan dari Radio Malaya yang bersiaran dari Singapura.
Radio jugalah yang membuka ruang pertama untuk menghantar karya. Pada tahun 60han itu terdapat Rancangan radio yang bernama Taman Kanak-kanak . Rancangan ini mengajak murid-murid sekolah untuk menghantar karya yang berupa puisi dan cerita-cerita. Puisi-puisi karangannya mula mendapat tempat di rancangan tersebut. Selepas radio Zurinah menghantar sajak-sajak ke Ruangan Pelajar Berita Harian.  Mulai tahun 1967 karya Zurinah mula disiarkan di akhbar-akhbar mingguan dan majalah bulanan seperti Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Masyarakat, Mastika dan sebagainya.
Pada tahun 1971, Zurinah memulakan pengajian di Universiti Sains Malaysia (yang ketika itu dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang).   Tulisan2 beliau  menarik perhatian Naib Cnselor Tan Sri Hamzah Sendut lalu menyarankan sajak-sajak beliau diterbitkan oleh USM Press.  Hasil dari itu  terbitlah  kumpulan puisi beliau yang pertama, iaitu Sesayup Jalan. Penerbitan ini adalah satu sejarah di dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden kerana buku tersebut merupakan antologi sajak penyair wanita yang pertama di Malaysia. Walaupun sebelum ini nama-nama penyair Salmi Manja dan Anis Sabirin telah muncul terlebih dahulu mereka hanya berpeluang membukukan puisi dalam antologi bersama penyair-penyair lain.
   
Zurinah melanjutkan pengajian pasca ijazah tetapi gagal. Setelah impian untuk menjadi Pensyarah tidak kesampaian, Zurinah membuka lembaran baru sebagai Pegawai Kerajaan. Zurinah berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia sambil tetap tekun menghasilkan karya kreatif. Beliau menerbitkan kumpulan puisi, kumpulan cerpen dan novel.  Akhirnya beliau memilih untuk bersara bagi menumpukan masa di bidang penulisan dan keluarga.  Setelah bersara Zurinah menyambung semula kerja yang dianggap terbengkalai iaitu melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia dan peringkat kedoktoran di Universiti Malaya. Beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan dan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.
Walaupun lebih dikenali sebagai Penyair, Zurinah juga pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Utusan, Hadiah Buku Perpustakaan Negara untuk cerpen dan memoir.  Beliau menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award ) pada 2004 dan Hadiah Puisi Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara ASEAN) pada 2013. Selain menulis, Zurinah giat dalam aktiviti membaca syair dan pernah mempersembahkan syair di India, Jepun, Thailand, Indonesia dan Brunei.
Karyanya telah diterjemahkan ke beberapa bahasa, misalnya bukunya Menghadap ke Pelabuhan telah terbit dengan terjemahan Bahasa Inggeris, Bahasa Spanish, Bahasa Russia, Jepun dan Peranchis. 
Pada tahun 2015, Zurinah telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang ke 13 membawa gelaran Sasterawan Negara.  Dengan ini beliau merupakan penulis wanita yang pertama meraih gelaran tersebut.
Beliau dianugerahi Bintang Kebesaran Darjah Setia Diraja Kedah pada 2013 membawa gelaran Dato’.

APA KATA MEREKA TENTANG ZURINAH
Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, di dalam bukunya, An Anthology of Contemporary Malaysia Literature,DBP.1988 : 362, .  “the really vocal and individual woman poet is a rare person.  Her poems not only show that she is a different woman from other woman writers but also a person who finds in poetry the opportunity to speak out her innermost soul without the decorum of the past literary practices”
Mana Sikana meletakkan Zurinah Hassan sebagai di antara empat orang penyair yang terbaik di Malaysia di samping Muhammad Haji Salleh, Kemala dan Baha Zain.  Menurut Mana Sikana Muhammad Haji Salleh  adalah di antara penyair terbaik Malaysia. Ini diikuti dengan Kemala, Baha Zain dan Zurinah Hassan. Zurinah Hassan sebagai penyair terbaik, justeru di kalangan penyair wanita dialah yang paling terkemuka dan puisi-puisinya menjadi lambang kelembutan wanita Melayu”, Mana Sikana “Penyair-Penyair Terkemuka Malaysia: Analisis Puitika Tekstual, Perisa (Jurnal Puisi Melayu)  Bil. 3.1995:56)
Shafie Abu Bakar memberi pandangan bahawa Zurinah Hassan sesungguhnya mempunyai kedudukan yang kukuh di dalam perpuisian tanah air, bukan sahaja sebagai penyair wanita terbaik di dalam persajakan moden, tetapi salah seorang penyair terkemuka tanah air sebaris bersama Usman Awang, Kassim Ahmad, Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh dan Kemala. (Shafie Abu Bakar, Perjalanan Kualiti Persajakan Melayu dalam  Peradaban Melayu (1997:163-166)

Sasterawan Negara Usman Awang  menganggap Zurinah penyair wanita berbakat besar yang lahir selepas Anis Sabirin. ( Usman Awang, Ismail Ahmad Titian Zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka: 97). Akhbar The Star, melaporkan: “Literary Laureate Usman Awang says “Zurinah has made a significant contribution to Malay literary development. She brings meaning to the Malay language, breathes life into her words. Her use of language is captivating, poetic and harmonious “.(The Star, 30 Jun 1988).

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad berpendapat “Zurinah Hassan adalah penyair wanita yang besar bakatnya. Nada dan irama puisi-puisi Zurinah amat lembut dan manis terutama puisi puisi sepinya. Ini disebabkan pemilihan kata-katanya yang amat sesuai dengan gerakan sumber alam yang menjadi imej puisi-puisinya.  ( Shahnon Ahmad “Sastera sebagai Seismograf Kehidupan”, Dewan Bahasa dan Pustaka 1993: 226).

Arbak Othman menegaskan bahawa kekuatan karya puisi ZH diukur berdasarkan dua faktor, iaitu nilai estetik yang tinggi dan kualiti yang mengangkat puisi-puisinya sebagai genre puitik yang meningkatkan kesan pada aras kesedaran pembaca. Puisi-puisi yang  beliau cipta berhasil mengekalkan kesatuan fikiran dalam sifatnya yang indah.  Idea-idea yang diungkapkan kelihatan tersusun, menyentuh perasaan dan logik.  Kata-kata dalam diksi dibentuk dalam susunan yang berseni.  Unsur rasa dan emosi paling kuat memberikan sifat kepada puisi yang dicipta.  Puisi dibentuk dengan menggunakan gaya yang tersendiri dengan kata-kata yang sesuai dan relevan dengan mesej yang disampaikan. Kebanyakan puisi beliau berhasil membentuk mesej yang berkesan.  Kata-kata yang digunakan menyentuh perasaan dan akal budi.(“Idealisma Budaya dan Jatidiri Bangsa yang Tercalar” kertaskerja Seminar Bersama Tokoh Penulis Tanah Air, Zurinah Hassan, UKM. 23 Nov.2011)

Rahman Shaari menulis untuk blurb buku Puisi Melayu Tradisional: Pantun, Syair, Gurindam, Nazam, Seloka , Pekan Ilmu Publication 2012 “ Zurinah Hassan ialah penyair Malaysia yang telah mencapai kecemerlangan. Beliau juga merupakan sarjana Kesusasteraan yang berwibawa.”

Senarai Karya (Buku)
1.   Sesayup Jalan.  Minden:  Universiti Sains Malaysia Press, 1974. (kumpulan puisi)
2.   Di sini Tiada Perhentian.  Kuala Lumpur:  Penerbitan Pewarna, 1977. (kumpulan puisi)
3.   Keberangkatan.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985 (kumpulan puisi)
4.   Sasterawan Negara Usman Awang, Dewan Bahasa dan Pustaka 1986 (Kajian Sastera)
5.   Meneruskan Perjalanan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989 (kumpulan cerpen)
6.   Hatimu Aishah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991 (novel remaja)
7.   Nota Waktu, Kuala Lumpur, Citra Publishing,2000 (kumpulan puisi bersama Lim Swee Tin).
8.   Menjelang Pemilihan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004 (antologi cerpen)
9.   Salasilah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2005 (kumpulan puisi)
10.                Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Penerbit UKM 2003.
11.                Unsur  Alam  Dalam  Puisi  Melayu Moden.  Bangi: Penerbit Universiti            Kebangsaan Malaysia, 2010 (kajian sastera)
12.                Menghadap ke Pelabuhan/ Facing the Harbour, (kumpulan puisi  dengan terjemahan  Bahasa Inggeris), 2010. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia
13.                Puisi Melayu Tradisional- Pantun, Syair, Gurindam, Seloka , 2012, Kuala Lumpur. Penerbit Pekan Ilmu .
14.                Menghadap ke Pelabuhan/Frente el Puerto 2012 Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia (kumpulan puisi dengan terjemahan  Bahasa Sepanyol)
15.                Menghadap ke Pelabuhan/(terjemahan B.Russia), ITBM 2013 Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia (kumpulan puisi dengan terjemahan  Bahasa Russia)
16.                Cerita Dalam Cerita,ITBM 2014 (Kumpulan Puisi)
17.                Menghadap ke Pelabuhan, (dan terjemahan ke Bahasa Jepun),  2016 ITBM Kuala Lumpur.
18.                 Murka Lautan, Kuala Lumpur, 2016, ITBM (kumpulan cerpen)
19.                Mestika Pantun (buku panduan menulis pantun), 2018, Shah Alam, Kuali Hitam.
20.                A Journey Through Prose and Poetry, 2018 Kuala Lumpur, IIUM Press dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

.


No comments:

Post a Comment