Home » » MENGAPA MAHSURI BERDARAH PUTIH?

MENGAPA MAHSURI BERDARAH PUTIH?


SEBUAH SAJAK SAYA TENTANG FITNAH ialah "Darah Putih Mahsuri".  Si tukang cerita mengakhiri dengan Mahsuri berdarah putih sehingga kita bertengkar itu tak mungkin benar. Tetapi jika Mahsuri tidak berdarah putih adakah dia akan menjadi legenda Langkawi.?
Lalu saya merumuskan bahawa:
"Darah putih adalah taktik kejutan
supaya kau menjadi sebutan".

Inilah sajak saya DARAH PUTIH MAHSURI (Salasilah, dbp 2005:119).
(Apologia tukang cerita)
Maafkan aku Mahsuri
mengheretmu ke dalam kontroversi
lantaran pengakhiran yang kupilih
kau berdarah putih
hingga mereka terus bertengkar
itu tidak mungkin benar.
Tapi bagaimana
kalau kuceritakan seadanya
demi menjaga batas logika
kau sebenarnya tidak terlalu jelita
biasa dan sederhana
adakah mereka akan begitu bersimpati
apakah kau akan disayangi
dan dijadikan puteri
sanjungan Langkawi.
Darah putih adalah taktik kejutan
supaya kau menjadi sebutan
lalu mereka turut mengingati
racun fitnah hasad dengki
yang telah membunuhmu Mahsuri.
Fitnah dan kekejaman
adalah suatu kebiasaan
mungkin tak tersentuh di fikiran
untuk menonjolkannya
aku perlukan keganjilan
seperti darah putih daripada jasadmu
walaupun itu palsu.
Dan, aku memerlukan kepalsuan
untuk menonjolkan kebenaran.

0 comments:

Post a Comment