Home » » SENI MELAGUKAN SYAIR: SEDIKIT PANDUAN

SENI MELAGUKAN SYAIR: SEDIKIT PANDUAN

MARI MENDENDANG SYAIR



PATAH LAGU/JEDA/PEMENGGALAN SEBUTAN.

Patah lagu ialah tempat seorang pembaca SYAIR memenggal barisnya, yang juga disebut jeda. Hal ini masuk dalam bahagian intonasi. Intonasi ini amat penting di dalam penyampaian mesej.


Sebagai sebuah karya sastera, aspek penyampaian makna, maksud atau mesej karya sangat penting.Melagukan syair adalah satu cara untuk menyampaikan sebuah karya kepada khalayak. Jika mesej ini tidak sampai,maka pembacaan itu dianggap gagal.


Cuba baca syair di bawah dengan lagu Selendang Delima.Lagu Selendang Delima lebih popular kalau dibandingkan dengan yang lain. Sebab utama ialah lagu ini mudah dikenali dan mudah diasingkan daripada lagu yang lain. Lagu narasi dan Dan DAN dan Setia tidak jauh berbeza dan jika tersilap pembawaannya akan mudah terjadi campur aduk di antara kaduanya.

Pesan patik pada Tuanku
Ini unjukkan pada Raden Inu
Kartabangsa menenentang belas dan pilu
Bagai dihiris dengan sembilu


Bila dibaca dengan lagu Selendang Delima, maka ia akan menjadi spt di bawah

Pe/san/ pa/tikkkkkk// pa/daaa/ tuan/kuuuuu// (8 sukukata).
I/niii/ un/juk/kannnnn// pa/da/ Raaaa/den /I/nuuuu (11 sukukata)
Kar/ta/bang/sa/ me/nen/tanggggg// be/lasss/ dan/ pi/luuu (13)
Ba/gai/ di/hiii/risss// de/ngannn/ sem/bi/luuu (10)


Biasanya jeda berlaku pada akhir perkataan yang kedua. Hal ini adalah mudah dilakukan untuk baris yang mempunyai lapan sukukata. Pe/san/ pa/tikkkkkk// pa/daaa/ tuan/kuuuuu// (8 sukukata).

Pada baris pertama tiada masalah. Perkataan dipenggal pada sukukata ke empat. Masalah timbul pada baris yang mempunyai lebih drpd 8 sukukata. Baris kedua mengandungi 11 sukukata. Pemenggalan dilakukan selepas kata kedua iaitu sukukata ke empat. Selepas itu tempo dipercepatkan untuk menghabiskan 6 sukukata lagi.


Masalah lebih besar ditemui pada baris ketiga: Kartabangsa menentang. Dua perkataan ini mengandungi 7 sukukata yang mesti dibaca sekali agar dapat menyampaikan maksud dan tidak janggal. Kartabangsa ialah nama orang dan tidak boleh dipenggal. Yang kedua ialah perbuatan yang dilakukan oleh Kartabangsa iaitu menentang. Ini juga perlu dihabiskan. Dengan itu pembaca syair harus pandai mengejar agar dapat menyebut 7 sukukata sebelum berjeda.

Hal ini menunjukkan seorang pembaca syair mesti meneliti teksnya terlebih dahulu sebelum menghadap penonton.

Bandingkan baris-baris ini:
1-Dengarlah tuan ayahnda berperi
2-Dengarlah tuan tuan suatu peri


Walaupun pembacaan syair biasanya dipenggal pada akhir perkataan kedua
.( Dengarlah tuan//ayahnda berperi)

Tetapi hal yang sama tidak boleh dilakukan pada contoh kedua di atas. Pemenggalan mesti dilakukan pada akhir perkataan yang ketiga. Dengarlah tuan tuan// suatu peri


Rangkap syair di atas adalah petikan drpd kisah pembunuhan Angerani. Ia membawa maklumat yang menyedihkan, menggambarkan suasana sedih pilu ketika Anggerani hendak dibunuh. Pembaca harus membangkitkan kesedihan dan kerinduan Angerani kepada suaminya Raden Menteri. Suasana sedih (melankolik) dibina dengan memanjangkan getaran dan alunan melodi supaya kedengaran mendayu-dayu.

Di dalam pertandingan, anda akan diberikan satu teks yang mungkin mengandungi lima atau enam rangkap dari sesebuah cerita. Seeloknya anda bacalah syair berkenaan sepenuhnya supaya dapat memahami dan menghayati cerita yang sebenar.



SELAMAT MENCUBA






Saya bersyair di Delhi, India. Hahaha ramai juga peminat.



0 comments:

Post a Comment