Home » » GEMERLAP PERMATA SILAM

GEMERLAP PERMATA SILAM



PANTUN: GEMERLAP PERMATA SILAM
PANTUN- GEMERLAP PERMATA SILAM –Siti Zaleha M.Hashim

-Zurinah Hassan.
(diskusi buku Majlis SEBUDI 18.5.2013)
Di antara sekian banyak puisi warisan, boleh dikatakan Pantun adalah bentuk yang paling popular  dan hidup subur pada masa ini.  Pantun tersebar luas melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan pelbagai acara kemasyarakatan. Sering juga diadakan pertandingan berbalas pantun baik di peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan, contohnya, Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama pihak swasta. Pantun bukan sahaja disiarkan dalam majalah ilmiah dan budaya  seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah jenaka dan komik seperti Ujang dan Din Lawak. Pengiklan juga menggunakan pantun untuk melariskan jualan, misalnya pantun di bawah:
Kek lapis dan kuih bahulu,
      Menjadi juadah di Hari raya;
Kalau puan-puan ingin tahu,
     Semua perkakasan ada di IKEA.
 (Utusan Malaysia 13 Oktober 2006 dalam iklan IKEA )

Pantun juga berkembang di internet. melalui beberapa laman web khas. Di samping itu pantun turut  disebar luas melalui sms misalnya sempena hari raya atau peristiwa-peristiwa tertentu. Pantun sms ini biasanya bernada jenaka dan bertujuan untuk menyampaikan komen-komen yang nakal. Dari sini kita melihat teknologi moden mengembalikan unsur-unsur sastera rakyat yang tersebar tanpa diketahui pengarang asalnya.
Melihat kepada keadaan ini, kita tidak bimbang tentang survival pantun. Ia bukan hanya hidup  tetapi berkembang mekar. Walau bagaimanapun  hal yang membimbangkan ialah tentang  penghayatan pantun. Masyarakat mengucapkan pantun tetapi kurang menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan falsafah yang  tinggi itu tidak dikenali oleh masyarakat.
Misalnya ramai yang mengucapkan:
Kajang tuan kajang berlipat
                Kajang saya mengkuang layu
Dagang tuan dagang bertempat
                dagang saya menumpang lalu

tanpa memahami apakah kajang atau bagaimana rupanya ‘kajang yang berlipat’ dan terlalu sibuk dengan urusan hidup yang lain untuk mengambil tahu. Dalam situasi inilah saya melihat buku Gemerlap Permata Silam (tulisan Penyair Siti Zaleha M.Hashim) ini sebagai sangat relevan dan dapat menyumbang ke arah usaha memberi penerangan dan pencerahan kepada suasana yang kelabu (kalau tidak pun gelap gelita) ini. Buku ini memberi pendedahan tentang pantun kepada masyarakat terbanyak.
Apatah lagi, Pantun dan nama Siti Zaleha M.Hashim terasa seperti ada kesejajaran. Bagi saya Siti Zaleha M.Hashim dan Pantun kedua-duanya membawa pengertian “lembut dan berseni”. Perwatakan atau keperibadian yang menepati ciri-ciri tradisi seorng wanita Melayu adalah seperti pantun yang harmoni rimanya. Siti Zaleha umpama Pantun.
Pantun- Gemerlap Permata Silam terbitan ITBM 2013, adalah buku yang memperkatakan tentang pantun. Isi buku ini tidaklah sarat akademik. Buku ini dapat dikategorikan sebagai bahan bacaan santai. Namun ini tidak sekali-kali bermaksud ia kurang bernilai.  Bacaan santai juga perlu diterbitkan untuk keperluan masyarakat, paling sesuai  bagi mengisi masa lapang.  Bukan semua orang memerlukan bacaan yang bertaraf akademik.  Justeru itulah dalam masyarakat pelbagai perniagaan  berjalan serentak seperti di dalam pembangunan negara kita  memerlukan hotel lima bintang dan juga hotel 3 bintang. Serta hotel bajet. .
 Isi buku ini diatur dalam tiga peringkat seperti mana yang difikirkan oleh penulisnya paling sesuai untuk mendekati pembaca. Ada tiga perkara penting:
-          Mengenal pantun sebagai cabang dari puisi warisan
-          Mengenal ciri-ciri pantun yang baik
-          Bimbingan mengarang pantun.

Mengenal Pantun Sebagai Cabang Dari Puisi Warisan
Sebelum memperkatakan pantun, penulis memberi sedikit penjelasan tentang puisi-puisi warisan yang lain iaitu syair, gurindam, seloka dan sebagainya. Dengan ini penulis dapat menunjukkan keragaman puisi dan kekayaan yang terdapat di dalam khazanah sastera Melayu yang dipusakai zaman berzaman.  Di samping membolehkan pembaca membuat perbezaan di antara puisi-puisi tersebut, ia  juga dapat menarik minat khalayak untuk mendalami pengetahuan tentang sub genre puisi tradisi yang lain yang disebut di bahagian ini.
Penulis kemudiannya memperkatakan jenis-jenis pantun. Masyarakat seharusnya dapat mengenal jenis-jenis pantun melalui bentuknya iaitu samada pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat atau lebih. Ini diikuti dengan penerangan tentang pelbagai jenis pantun yang dapat dikenali melalui tema dan persoalannya.  Penulis menelusuri pantun mengikut tema-temanya . Dari sini mendekatkan pembaca dengan Pantun Adat khasnya yang digunakan di dalam majlis peminangan, persandingan dan perkahwinan, Pantun Budi, Pantun Agama, Pantun Nasihat, Pantun Ilmu, Pantun Pahlawan dan Pantun Dagang, Pantun Peribahasa , Pantun Jenaka, Pantun teka teki dan pantun berniaga.
Bahagian awal buku ini lebih bertujuan untuk memperkenalkan atau memberikan pengetahuan asas kepada  Pantun. Seperkara yang ditekan dan penulis ialah kedudukan Pantun sebagai  warisan  silam yang bukan sahaja dikenali  oleh bangsa  Melayu, malah dikenali dan dikaji olehi oleh sarjana-sarjana antarabangsa. Pantun diakui sebagai pengucapan yang bernilai tinggi.
Penulis memberi perhatian kepada kepentingan kedudukan pantun sebagai  khazanah Sastera lama. Ia adalah media pengajaran dan berfungsi untuk membimbing anak-anak ke arah  nilai-nilai murni. Sebelum adanya penulisan, puisi tradisional terutama pantun telah tersebar luas khasnya melalui nyanyian dan permainan rakyat. Setelah menyegarkan kembali atau membina asas pengetahuan tentang pantun, Penulis mengajak pembaca mendalami keistimewaan pantun dari segi struktur dalamannya iaitu sukukata perlambangan dan hubungan pembayang dan maksud, fungsi dan isi dan jenis-jenis pantun, Penulis kemudian mengulas kata dasar dan sukukata yang mengindahkan pantun. Bahagian seterusnya atau bahagian akhir merupakan bimbingan kepada bakal pengarang pantun. Penulis sudah pasti menginginkan ramai yang akan tertarik hati dan cuba mengarang pantun. Dengan ini pusaka bangsa tidak akan malap.
Penulis juga memberi perhatian kepada aspek keindahan atau estetika Pantun. Estetika Pantun terletak pada hubungan Pembayang dan Maksud, peranan rima , aliterasi dan asonansi. Seterusnya ialah penggunaan bahasa dalam pantun yang meliputi penggunaan bahasa inversi, bombastic, hiperbola. Sebelum adanya tulisan, puisi tradisi telah berkembang melalui lisan samada dipertuturkan atau dinyanyikan di dalam lagu-lagu rakyat termasuk lagu kanak-kanak, Digunakan dalam ritual dan magis...dalam upacara, hiburan dan agama.

Walaupun pada keseluruhannya buku ini bersifat bacaan santai (bukan ilmiah), penulisnya, Siti Zaleha telah melakukan kajian dan rujukan tentang subjek yang ditulisnya. Penulis membuat rujukan kepada buku-buku yang telah dihasilkan oleh sarjana sarjana seperti Dr.Harun Mat Piah, Aripin Said, Iladam, dan lain-lain. Beliau turut memetik pandangan pemakalah dari kertaskerja yang dibentangkan di dalam Seminar seperti Seminar Pantun Antarabangsa 2002. Pengetahuan tentang pantun dianggap penting bagi menambah pengetahuan dan menjadi persediaan untuk mengarang pantun.

Penulis telah memilih pantun-pantun dan diulas dengan gaya yang dapat menyemarakkan kecintaan terhadap warisan Melayu ini.Pada keseluruhannya buku ini juga ditulis dalam gaya bahasa yang juga berima dan berirama sesuai dengan subjek yang diperkatakan. Setiap bab dimulakan dengan menurunkan pantun yang indah yang relevan. Hal ini dengan sendirinya dapat menarik pembaca untuk mengetahui lebih lanjut.
Bab empat memulakan pembicaraan tentang tema “Menelusuri Tema Pantun” Ianya dimulakan dengan memperlihatkan pantun sebagai media komunikasi. Yang paling menonjol ialah komunikasi di kalangan kanak-kanak dan di kalangan orang muda yang berkasih sayang. Pantun adalah media  komunikasi yang tidak berterus terang sesuai dengan nilai budaya masyarakat Melayu yang mengutamakan kesantunan dan perasaan penerima. Pembahagian tema dimulakan dengan Pantun Adat dan Istiadat khasnya yang digunakan di dalam majlis peminangan, pertunangan dan perkahwinan. Ini juga sesuai kerana di dalam majlis-majlis ini terserlah keindahan pantun.  Bahagian penting seterusnya ialah Pantun Budi kerana sesungguhnya budi itu menjadi keutamaan orang Melayu. Kehalusan adalah sifat yang amat diutamakan oleh orang Melayu. Kehalusan bukan sekadar menggambarkan perwatakan, sahsiah, keturunan dan pendidikan tetapi mendasari kemanusiaan Melayu, morality dan etika Melayu. Kemanusiaan Melayu memiliki ciri khas yang dinamakan budi. Budi melalui perlakuan budi pekerti, pemikiran akal budi, perasaan (hati budi) pertimbangan budi bicara dan bahasa serta pertuturan (budi bahasa). Dari huraian penulis, buku ini bukan sahaja dapat menambah pengetahuan pembaca tentang pantun malah tentang budaya dan pemikian masyarakat Melayu misalnya bagaimana orang Melayu menghargai budi.  Pemikiran tentang Budi juga berkait rapat rapat dengan sanjungan orang Melayu terhadap agama yang danuti. Bahkan seluruh pemikiran dan pandangan hidup orang Melayu dibentuk oleh Islam. Justeru itu penulis seterusnya memberi tumpuan terhadap pantun agama .Pantun adalah institusi pendidikan informal. Mengajar, mendidik dan menasihati ke arah kebaikan. Penulis memberi contoh:
Serindit terbang rendah
    Terbang mari menyongsong angin
Siapa tauhid kepada Allah
    Masuk syurga jannatulnaim.

Pantun agama dianggap sebagai alat ekspressi untuk penghidupan yang lebih tinggi Pada keseluruhannya pantun agama adalah sarat dengan pengajaran dan nasihat. Pantun berunsur agama menyentuh pelbagai aspek agama antaranya rukun Islam, terutama mengenai sembahyang, puasa, rukun haji dan zakat. Rukun iman, percaya kepada qada dan qadar, hari akhirat, nabi-nabi . Tanpa iman yang sempurna segala amalan akan ditolak. Sebahagian besar Pantun Agama ditujukan kepada kanak-kanak. Pantun-pantun ini dinyanyikln Peraturan hidup beragama seperti yang diajar kepada anak-anak sebagai media pengajaran tidak formal.  Dinyanyikan oleh kanak-kanak sebagai proses sosialisasi.
Contohnya lagu Anak Ayam.
Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal Sembilan
Bangun pagi sembahyang subuh
Mengingat rahmat daripada Tuhan

Anak ayam turun Sembilan
Satu mati tinggal lapan
Memohon rahmat pada Tuhan
Mencari rezeki jalan kehidupan

Anak ayam turun lima
Satu mati tinggal empat
Disuruh menuntut pada ulama
Supaya terang jalan makrifat.

Walau bagaimanapun adalah lebih berkesan jika Siti Zaleha  mengemukakan pantun-pantun sepertimana ia dinyanyikan oleh kanak-kanak iaitu memendekkan ayat dan tanpa imbuhan. Dalam nyanyian kanak-kanak:
Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Bangun pagi sembahyang subuh
Ingat rahmat dari  Tuhan

anak ayam turun lima
Satu mati tinggal empat
Tuntut ilmu pada ulama
Biar terang jalan makrifat.

Bahagian seterusnya ialah Pantun Nasihat dan Pantun Ilmu. Ini adalah bahagian yang penting. Kerana seluruh sastera Melayu itu adalah sastera yang menyeru ke arah kebaikan:
Ketika berucap di dalam Syarahan Perdana Universiti Malaya pada 4 Disember 1997, Hashim Awang menyebut bahawa Sastera Melayu sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan. Pengarang-pengarang Melayu telah memasukkan mesej yang baik dan positif di dalam karya-karya mereka. Katanya:
“Kesusasteraan Melayu telah mengambil sifat didaktik yang amat mengutamakan penggarapan persoalan-persoalan tentang kepentingan melakukan kerja-kerja baik dan makruf, di samping turut menyelitkan penyuaraan-penyuaraan tegas berbentuk larangan supaya meninggalkan perbuatan-perbuatan yang batil atau kejahatan, demi kebajikan dan kebaikan manusia, khususnya bagi umat Melayu dan Islam.”

Oleh itu diberi penekanan kepada kepentingan nasihat menasihati. Ini juga satu bentuk penyebaran dakwah dalam masyarakat Melayu.
Cahaya apa di Tanjung Tuan
Memancar-mancar bersilang silang
Kapal belayar mengikut haluan
Supaya tidak terlanggar karang

 Selepas Pantun Budi, penulis menumpukan perhatian kepada Ilmu. Ilmu adalah bahagian yang penting di dalam pantun Melayu. Ini memperlihatkan bagaimana oang-orang Melayu memuliakan ilmu. Terdapat pantun-pantun seperti:

Keris kecil menikam ular
Keris besar menikam singa
Dari kecil hendak belajar
Sudah besar teranya-tanya
Selain itu terdapat banyak pantun bertemakan ilmu seperti:
Burung kenek-kenek
Hinggap di atas batu
Pesan datuk nenek
Rajin-rajin baca buku.

Bahagian seterusnya ialah Pantun Pahlawan Pantun Dagang, Peribahasa dan Jenaka dan sebagainya.
KESIMPULAN:
Penerbitan buku ini adalah satu usaha yang baik bagi mendekatkan (atau mendekatkan kembali) Pantun kepada masyarakat terutama generasi muda.  Ia dipersembahkan dalam bentuk yang mudah difahami . Walau bagaimanapun penyusunan buku ini bukanlah sesuatu yang mudah dan kekeliruan mudah berlaku di sana sini. Misalnya Di bawah tajuk Pantun Nasihat dan Pantun Ilmu ini dibahagikan pula kepada:
 Pengajaran dan Nasihat
Jenaka dan Sindiran
Adat dan Etika
Budi dan budi bahasa
Pendidikan, agama dan akhlak
Ilmu dan kepentingannya
Peribahasa, kiasan dan ibarat, kasih sayang
Hal ini agak mengelirukan. Apakah perbezaan di antara Nasihat, Ilmu dan Pendidikan. Perlukah pantun nasihat dan ilmu mempunyai pembahagian misalnya kepada adat, kasih sayang atau budi sedangkan pantun adat, dan budi telah dibicarakan di bahagian lain yang khas. Mengapa pantun adat dimasukkan di bawah nasihat. Pada bab yang terdahulu iaitu Bab 6, penulis telah memperkatakan tentang Pantun Adat dan mengenal adat. Hal ini juga menunjukkan bahawa pantun itu tidak mudah disusun mengikut temanya.
Burung kenek-kenak
Terbang atas pagar
Pesan datuk nenek
Rajin-rajin belajar.

Selepas itu dikuti dengan pantun-pantun yang dikategorikan sebagai Jenaka dan sindiran.
Paya senggeram batu berjari
Buah jering dalam petak
Hairan sungguh hati kami
Lautan kering timbul katak

Buku ini dimulakan dengan pengenalan kepada struktur pantun. Ia diikuti dengan contoh-contoh pantun dalam pelbagai kelompok (Busi, Nasihat, Agama dan lain-lain). Penulis kembali mendalami aspek struktur pada Bab 12. di mana penulis membicarakan semula hal-hal yang bersangkutan dengan struktur, (Ciri-ciri pantun sejajar dan berpasangan, kata dasar pantun, pembayang maksud dan maksud, rima dalam pantun dan sebagainya)
Pada mulanya saya berpendapat adalah lebih tersusun jika  pembicaraan terhadap struktur diselesaikan di bahagian awal ini dan tidaklah diulangi lagi di bab 12 . Namun saya kemudian saya melihat kewajaran penyusunan Bab yang dibuat oleh Siti Zaleha, kerana dengan memberikan contoh-contoh pantun akan memudahkan pembaca apa yang dihuraikan dengan lebih mendalam pada bab-bab akhir.
Kesimpulannya, buku ini adalah satu usaha yang baik dari seorang yang dekat dan berpengalaman di dalam cabang puisi tradisional ini. Usaha seperti ini yang wajar dijalankan oleh individu-individu yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam apa juga bidang yang dapat memberi panduan kepada orang lain.


1 comments:

  1. it's good bro
    http://jual-mutiara.com/

    ReplyDelete