ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

KOMEN

Monday, April 28, 2008

DATANG PASANG PANTAI BERTUKAR


Sekarang ini orang rancak bercakap tentang hal-hal berbangkit berikutan PRU 12. Saya pun sangat berminat . Antara isu panas sehari dua ini ialah kisah pembubaran Balkis. Saya ini tidaklah begitu arif tentang perlambagaan Balkis dan hal-hal berkaitan undang-undang. Tapi yang saya hendak tahu ialah apakah niat, maksud atau tujuan Pengerusi dan ajk Balkis membubarkan persatuan itu?Apakah perlunya persatuan itu dibubar? Kalau semua orang jujur mahu berkhidmat kepada masyarakat, bukankah elok kerja-kerja amal itu diteruskan walaupun Pengerusi dan ajk terpaksa diganti.


Tahniah kepada yang menang, tidak kira dari parti manapun. Saya ucapkan selamat berkhidmat. Di sini ada sebuah puisi untuk tuan-tuan yang berhormat.

PERIBAHASA UNTUK Y.B.

Tuan Yang Berhormat

Tuah ayam nampak di kaki

tuah YB di peti undi

adat kerbau dipegang tali

adat YB dipegang janji

adat orang mencari ganti

lapuk ditukar kosong diisi.

Tujuh tahun gunung terbakar

baru sekarang nampak apinya

datang pasang pantai bertukar

pecah royong dapat sagunya

Tuan Yang Berhormat

Jernih di hulu jernih di hilir

baik di awal sampai ke akhir

jangan berjanji tetapi mungkir

bagai tebu tumbuh di bibir.

Kilat memancar guruh berbunyi

jangan pula hujan tak jadi

luas kebun berpagar duri

jangan pagar memakan padi

Cakap siang pandang-pandang

kerana lidah tidak bertulang

tanamlah padi jagalah bendang

jangan sampai suburnya lalang


Naik YB naik disanjung

jangan kaduk yang naik junjung

hina besi kerana karat

hina pemimpin menipu rakyat

2 comments:

  1. Wahai Bonda. Macam mana pula dengan YB yang tak pernah nampak batang hidup sepanjang 4-5 tahun berkhidmat, tapi tetiba bila musim mengundi baru tersengih-sengih tunjuk lubang hidung? Patutkah kita junjung? Patutkah kita sanjung? Patutkah kita sokong? (Inilah masalah yang dialami oleh bapa saya di Kelantan).

    ReplyDelete
  2. Maha Suci Tuhan yang mencipta perkataan
    Sungguh bahasa bonda mengkhayalkan

    Saya baru terjumpa blog ni! Izinkanlah saya pautkan ke blog saya.

    Izinkan juga saya siarkan puisi indah yang sarat maksud bonda ni.

    ReplyDelete