ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, November 07, 2025

 Baru-baru ini di PULARA, Lumut, Perak, saya telah diwawancara tentang sajak Wanita di Jendela.  Untuk yang berminat, saya telah membuat ulasan sajak tersebut, 



WANITA DI JENDELA

 

Wanita di jendela

Melihat lintasan peradaban

Di atas landasan zaman.

 

Siapakah yang tidak mengenalinya

Yang menghias lembar legenda

Madu dari bibirnya

Kenanga dari rambutnya

Telah jatuh ke dada pujangga.

 

Telah berkurun

 Mereka menyangkut harga hidup

Pada paras dan tubuhnya

Kecantikan bukan suatu dosa

Namun tanyalah pada Teja

Bagaimana ia dipertaruhkan

Untuk sebuah kurnia dan kebesaran

 Tanyalah pada Fatimah

Bagaiamana keindahan rupanya

 Menikam seluruh kehidupan.


Kita pun telah lama mengenal wanita itu

Perit rahimnya menendang kelahiran

Parah tubuhnya  mendakap keturunan

Pedih tangannya menyuap kehidupan

Sungai yang mengabdi membesarkan tanaman

Hingga tiba arus dewasa

Mengalirkan semuanya ke gelombang terbuka.

 

Wanita di jendela itu

 Telah lama diasuh

Untuk merendahkan bahasa

Dan mengurung rasa

Melindung diri di sisi seorang lelaki

 Atau membayar harga kebebasan

Dengan seribu prasangka.

 

Wanita itu telah membuka jendela

 Menentang angin cabaran

Hatinya telah ditabahkan oleh musim-musim

 Yang payah

 Lalu dia bersuara

“Usah kirim padauk kuntum-kuntum pujian

 Yag luntur di kaki senja

Aku Cuma minta difahami

Dan dihargai dari akal bicaraku

Dan budi bakti.”

 

ULASAN WANITA DI JENDELA

 Wanita Di jendela adalah sajak saya yang termuat dalam kumpulan puisi Pujangga Tidak Bernama, DBP, 1994. Saya mulakan sajak dengan meggambarkan seorang wanita berdiri memandang keluar jendela iaitu melihat kehidupan yang berlaku di sekelilingnya. Dia juga sedang melihat  sejarah dan yang dilalui oleh bangsanya terutama ketidakadilan yang dilakukan terhadap wanita. Masa telah bertukar, manusia telah membina pelbagai peradaban tetapi pandangan terhadap wanita tetap sama. Lazimnya masyarakat memandang wanita dari segi rupa dan parasnya, melupakan hal-hal yang lain, seolah-olah seorang wanita tidak boleh melakukan apa-apa yang berfaedah. 

Di dalam sejarah dan lagenda bangsa terdapat beberapa orang wanita atau tokoh wanita yang sangat dikenali. Dalam sajak ini saya menyebut Tun Teja dan Tun Fatimah. Ada wanita cantik yang diperlakukan atau dimanipulasi oleh lelaki yang bertujuan mencari kepentingan peribadi. Misalnya Tun Teja yang jelita telah ditipu oleh Hang Tuah. Hang Tuah menemui Tun Teja dan berpura-pura jatuh cinta dengannya sehingga Tun Teja sanggup mengikut Hang Tuah untuk lari ke Melaka. Rupa-rupanya Tun Teja hendak dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Tun Teja berduka dan Hang Tuah mendapat kurniaan daripada Sultan. 

Seorang lagi yang bernasib malang ialah Tun Fatimah anak Bendahara Melaka. Sultan Melaka tertarik kepada rupanya yang cantik , maka terjadilah satu peristiwa kekejaman dalam sejarah bangsa bila Sultan memerintahkan Bendahara dan seluruh keluarga dibunuh. Sultan kemudian memperisterikan  Tun Fatimah 

Rangkap seterusnya menyentuh tentang wanita sebagai isteri dan ibu. Wanita akan menjadi ibu, membesarkan keluarga dan seterusnya membina sebuah bangsa. Hal ini terpaksa dilalui dengan kesakitan dan pengorbanan, termasuk mengandung , melahirkan anak, dan menyediakan makanan untuknya dan membesarkan anak dengan segala cabaran. Setelah anak-anak besar dan dewasa mereka pergi menjalankan kehidupan sendiri. Hal ini samalah seperti sungai yang menyuburkan tanaman, namun segalanya akan meninggalkannya untuk pergi ke laut yang terbuka. 

Wanita itu mohon dirinya dinilai tidak semata-mata dari aspek fizikal. Dia mengharap masyarakat dapat menghargai  sumbangannya yang berupa buah fikiran dan bakti yang lain yang mungkin ada.  


ULASAN BEBERAPA FRASA/RANGKAP

1.  Madu dari bibirnya

Kenanga dari rambutnya

Telah jatuh ke dada pujangga.

Kecantikan wanita telah memberi ilham kepada penyair dan pujangga untuk menulis puisi dan begitu juga kepada pelukis untuk dijadikan lukisan yang masyhur.


2. Mereka menyangkut harga hidup

Pada paras dan tubuhnya

Telah berkurun masyarakat meletakkan ukuran dan nilai wanita hanya kepada aspek fizikal semata mata. wanita dihargai jika cantik

 

3. Hingga tiba arus dewasa

Mengalirkan semuanya ke gelombang terbuka.

Anak-anak akan dewasa, lalu meninggalkan ibu untuk menghadapi cabaran hidup masing-masing

 

4. Untuk merendahkan bahasa

Dan mengurung rasa

Wanita biasanya tidak bebas menyuarakan kehendaknya , mereka biasanya memendam rasa

 Bersopan santun juga bermakna untuk merendahkan suara. Anak perempuan mesti bersopan tidak boleh memalukan orang tua. mesti ikut saja apa yang disuruh dan dinasihati tanpa membantah

 

5. Atau membayar harga kebebasan

Dengan seribu prasangka.

Wanita yang hidup sendirian biasanya dianggap tidak selamat dari menjadi buah mulut masyarakat.


6.  “Usah kirim padaku kuntum-kuntum pujian

 Yag luntur di kaki senja

 Aku tidak memerlukan kata-kata pujian tentang kecantikan, kerana kata-kata sering tidak ikhlas dan kecantikanku juga tidak kekal lama "luntur di kaki senja". Pujian mereka dan juga perasaan mereka terhadapku  itu tidak kekal selamanya. Kecantikanku juga tidak kekal.


7. Aku cuma minta difahami

Dan dihargai dari akal bicaraku

Dan budi bakti.”

Tetapi yang aku harapkan ialah pertimbangan dan penghargaan terhadap hasil kerjaku serta bakti yang telah aku sumbangkan terhadap masyarakat. Lihatlah aspek lain diriku bukan hanya tertumpu kepada paras rupa.  



 

 

 

 

 




Media baharu dan normal baharu, dua ungkapan nampak seperti dua perkara yang berlainan. Media baharu pastinya berkaitan  dengan teknologi.  IT, komputer, internet, jaringan yang mendekat dan menghubung manusia atau warga dunia.

Normal baharu pula adalah akibat  dari pendemik yang melanda dunia. Dan kita dikenakan PKP. Kena ikut SOP.

Kedunya mempengaruhi semua aspek kehidupan manusia. Tetapi yang kita fokuskan hari ini hanyalah kepada lapangan penulisan dan kesusasteraan.

 Normal baharu mempertingkat penggunaan media baharu. Pendemik ini membuat kita lebih bergantung kepada internet. (Beli barang online dsbnya)

Kalau tiada pendemik, masih ada  yang tidak begitu pedulikan media baharu. Masih ada yang merasa boleh hidup tanpa talian internet.

 Media baharu adalah bersangkutan dengan perkembangan teknologi. Teknologi mempengaruhi kehidupan. Termasuk sastera dan seni yang lain. Kehidupan sentiasa berubah.

 Sastera telah wujud sebelum adanya teknologi. Sebelum manusia kenal aksara, tahu menulis dan membaca, sastera telah berkembang, iaitu dalam bentuk yang dikenali sebagai sastera lisan. Dalam konteks sastera Melayu, ribuan pantun dan peribahasa yang bernilai tinggi tumbuh subur di samping pelbagai cerita dalam bentuk  cerita jenaka, cerita asal usul atau cerita penglipur lara.

PANTUN DAH TERSEBAR LUAS WALAUPUN KITA BELUM ADA WATSAP UNTUK FORWARD. Itupun satu yang menghairankan.

 Kemudian datang TULISAN . Tradisi tulisan muncul apabila dunia Melayu mula menerima  AKSARA. DENGAN INI BOLEH MEMBACA DAN MENULIS.

Tapi, Tradisi tulisan hanya di istana.

 Lalu sastera terbahagi kepada SASTERA RAKYAT DAN SASTERA ISTANA

Atau LISAN dan TULISAN.

SASTERA ISTANA….tulisan

SASTERA RAKYAT…….lisan

 SETERUSNYA ketibaan teknologi mesin cetak pada kurun ke-19.

 Buku-buku boleh dicetak dengan banyak dan mudah dimiliki. Surat khabar berkembang. Tahap celik huruf juga semakin meningkat. Dengan ini sastera bertulis tidak lagi dimonopoli oleh golongan istana atau golongan atasan

PERINGKAT PERKEMBANGAN SASTERA..

1-    Sebelum tulisan dan aksara

2-    Datangnya tulisan dan aksara. Sastera terbahagi kepada bertulis dan tidak bertulis.

3-    Datangnya MESIN CETAK seiring dengan itu MESIN TAIP . sastera bertulis tidak lagi dimonopoli oleh golongan istana.

4-    Ketibaan computer= memudahkan proses menulis dan menerbitkan.

5-    Ketibaan internet, ledakan IR 4.0.

 Kemasukan mesin cetak dan perkembangan percetakan terutama di negeri-negeri Selat, khasnya Pulau Pinang dan Singapura telah membawa kepada perkembangan pesat dunia persuratkhabaran, Sastera berkembang melalui suratkhabar dapat di capai oleh rakyat terbanyak.

Seiring dengan mesin cetak ialah kedatangan mesin taip (baharu pada masa itu). Sebelum ada mesin taip tulis tangan.

Zaman itulah saya lahir. . tiada komputer, malah mesin taip pun sukar ditemui lebih-lebih lagi kerana saya membesar di sebuah kampung yang boleh dianggap masih kolot dan belum dimasuki bekalan elektrik serta air. Telefon pun tak ada.

Sebagai gadis kampung, pergerakan terhad. Saya suka membaca tetapi sukar mendapat buku. Tetapi mujurlah ada teknologi yang sudah masuk ke rumah iaitu RADIO.(kira media baharu masa itu).  Kegiatan yang dapat saya buat ialah mendengar radio. Dari radio saya mendengar lagu-lagu yang indah senikatanya dan ini mendekatkan saya kepada keindahan bahasa Saya mendengar pantun dalam lagu-lagu kanak-kanak dan lagu Melayu Asli.  Kira pengenalan kpd sastera.

 Ketibaan Komputer Membawa Perbezaan

Sekitar 2000 penggunaan Komputer memudahkan proses penulisan dan memendekkan proses pracetak.

Menulis menjadi sesuatu yang mudah, tidak seperti kami yang susah hendak menaip sebuah cerpen pun. SAKIT BAHU DAN URAT. Ramai orang boleh menulis.

Ini membawa kepada kemunculan novel2 popular, Kemudian apa yang disebut  novel-novel indie  yang mendapat sambutan hangat dan berjaya diulang cetak berpuluh-puluh kali. Kita lihat Pengarang-pengarang novel dapat membeli kereta dan kondominium secara tunai. Pendapatan lumayan dari hasil jualan seperti ini tidak pernah dinikmati oleh penulis-penulis seperti A. Samad Said, Arenawati, Keris Mas sebelum ini, kecuali mungkin Shahnon Ahmad kerana bukunya menjadi teks di sekolah-sekolah. 

Lapangan penulisan sastera seterusnya dilanda oleh ledakan dunia digital Industri Revolusi 4.0.. Kehidupan bertumpu di skrin telefon bimbit. Semakin kurang orang membaca buku. .jadila keadaan  PASARAN BUKU TERJEJAS.  Syarikat akhbar tutup. Kedai buku tak semeriah dulu.

Dalam keadaan ini TIMBULLAH PERSOALAN: 

1-Adakah media baharu dan dunia digital merupakan ANCAMAN kepada perkembangan sastera dan penulisan.

 2- Adakah penulisan dan sastera masih relevan.

 Kalau ditanya pendapat peribadi saya, Teknologi lebih banyak membawa kebaikan.

Kalau dikatakan perkembangan media baharu menjejaskan pasaran buku sastera. Jawapan saya, buku sastera terutama buku puisi sejak dari dahulu lagi memang bermasalah. Sejak awal saya masuk dunia sastera inilah yang menjadi rintihan.  Pasaran buku sastera terutama puisi yang menyedihkan. bila datang penyata jualan.   Penulis merasa hampa kerana apa yang dikarang dengan susah payah dan sepenuh jiwa raga tidak dibaca tak sampai kepada masyarakat. SEDIH SEBENARNYA Sebuah sajak yang dikarang dengan susah payah, tak ada orang baca.

MUATNAIK SAJAK DI FACEBOOK.

Keadaan yang menyedihkan ini diubati oleh Facebook. Saya mula menyiarkan kembali beberapa buah puisi dari antologi lama di Facebook. Saya merasa gembira bila puisi saya mendapat ratusan likes dan di’share’ oleh ramai. Walaupun tidak sampai puluhan ribu orang seperti superstar.  

31 Julai 2017, saya menghantar puisi “Pulang Tun Perak” yang dikongsi oleh 69 orang. Puisi ini terbit pertama kalinya dalam kumpulan puisi Salasilah (DBP, 2005).   Puisi saya “Sebuah Kapal Dari Jeddah” telah dikongsi oleh 31 orang pengguna Facebook.

Pada 2 Julai 2018 saya memuatnaik puisi “Malam Kebakaran”. Puisi ini dikongsi oleh 425 orang. Ekoran isu kenaikan tarif elektrik pada tahun 2020, saya menghantar puisi yang sama sekali lagi ke facebook pada 16 Jun 2020. Kali ini mendapat 380 perkongsian. Puisi ini turut dibaca oleh seorang YB  di Facebooknya secara live dan ditular melalui whatsapp. Sebelum itu, ‘’Malam Kebakaran’’  telah dilakonkan dalam Festival Seni 2019 di Universiti Malaya dan disiarkan di youtube. Apa yang mahu ditekankan di sini ialah perbezaan yang terjadi bila karya sastera disiarkan di media digital atau media baharu..

Sajak “Lebai Malang” ditularkan melalui FB dan whatsapp. Semasa menulis ‘’Lebai Malang’’, saya tidak menujukan kepada mana-mana parti politik secara spesifik. Tetapi puisi ini menjadi viral dalam hubungan perpecahan dalam Parti PAS yang melahirkan Parti Amanah. Mereka menggunakan puisi ini untuk kata-mengata siapakah sebenarnya Lebai Malang.

KOMSAS DAN RAKAMAN PUISI TRADISIONAL

Teknologi sangat besar peranannya dalam mengembang seni budaya. Pada tahun 2000 KOMSAS  dilaksanakan, Guru2 menghadapi masalah mengajar puisi tradisional seperti syair.

 Masalah ini diatasi dengan bantuan individu2 yang memuat naik dendangan puisi tradisional terutama di Youtube. Individu seperti Roslan Madon bukan saja rajin berjalan dan membuat peyelidikan dan mengutip irama Syair, beliau merakam syair dan puisi-puisi tradisional di youtube. Di sini dilihat bantuan  media baharu dalam penyebaran sastera tradisional. Kalau tidak ramai yang sudah lupa syair, seloka, nazam dan sebagainya.  

 PENDEMIK MELANDA. Media baharu bercampur pula dengan normal baharu. Kegiatan sastera di luar mula tertumpu di rumah.

 PKP tidak menamatkan aktiviti sastera bahkan kegiatan jadi lebih rancak dan meriah. Pelbagai pihak menganjurkan Sayembara, Diskusi dan acara Baca Puisi yang terlalu banyak untuk disebut semuanya di sini.

 LEBIH RAMAI LANGGAN Netflix - mengambil alih siaran dari stesyen televisyen konvensional. Pelbagai filem, animasi, dokumentari dan aneka permainan dapat dinikmati di telefon bimbit dengan bayaran yang murah dan sudah tentu tidak perlu bersusah payah untuk keluar dari rumah. Paling menyenangkan kerana filem-filem boleh ditonton pada bila-bila masa ikut kesesuaian masing-masing.

Setiap hari di facebook , media sosial yang lain kita boleh ikuti kegiatan yang antaranya sangat bermanfaat. Ada yang bermula sebelum PKP meneruskan. Roslan Madon dan kumpulannya yang sudah rancak di internet, you tube, terus menggandakan usaha. Ada usaha mengumpul pendendang2 syair seluruh nusantara untuk mendendangkan syair berkaitan covid.

 PERTANDINGAN DEKLAMASI DAN LAIN2Sekadar contoh ialah Cabaran Deklamasi oleh Perpustakaan Negara dan Pertandingan Pantun oleh MBSA. Universiti Malaysia Perlis menganjurkan deklamasi sempena sambutan kemerdekaan dan saya menjadi juri tanpa perlu ke sana.

 DBP dan ITBM juga aktif. Program Canai Bahasa dengan diskusi menarik boleh diikuti tanpa perlu bersusah payah hadir ke DBP.  MISAL PROGRAM CANAI BAHASA.  Contoh diskusi tentang loghat Kedah ditonton oleh hampir 50 ribu. Kalau ikut normal lama, sesuatu acara tidak akan diikuti oleh seramai itu. 

Organisasi besar seperti dbp ada peruntukan atau menyalurkan peruntukan yang ada bagi kegiatan senibudaya . Saya hubungi MBSA memberi maklumat. Secara ringkas 6 ribu satu program, untuk hadiah, bayaran juri,  grafik dan sebagainya.

 Sering juga diadakan acara baca sajak, pantun dan syair yang melibatkan peserta seluruh Nusantara malah seluruh dunia. Barangkali jika tiada kejadian pendemik ini tidak terfikir kita untuk mengadakan peluang sedemikian. UUM AKTIF DALAM DEKLAMASI  PANORAMA KEHIDUPAN.

 Penulis memanfaatkan masa PKP. Dari segi berkarya, ramai penulis yang mengambil peluang dari perintah duduk di rumah dan jadi lebih produktif.. Duduk di rumah bukanlah masalah bagi penulis kerana menulis itu sendiri perlukan pengasingan diri daripada orang ramai.

Ramai individu terlibat

 Contoh: Ummuhani Abu Hassan

Cerpen Bebenang Pandemik . Setakat ini dibaca dan dikongsi oleh 12400. Kalau buku susah dapat begitu ramai.

Ada beberapa keadaan yang penulis kena ambil kesempatan cepat.

 Saya juga diminta memberi kuliah tentang Bahasa Puisi oleh Persatuan Penyair. Persatuan PEMUISI yang diketuai oleh Datuk Radzuan Ibrahim juga sangat aktif. Dengan pelbagai acara baca puisi online. Rasa lebih berbaloi kerana pendengarnya tidak terhad, malah ianya abadi dalam you tube.

 Dengan pendemik, kegiatan online ini menjadi-jadi. Seperti yang katakana tadi, Masa dulu saya susah nak keluar ke forum2 sastera. Orang tua akan banyak bertanya dan cuba menghalang.  Sekarang click sahaja.

Ramai individu yang bergiat dalam seni penulisan sejak sebelum PKP, menulis pantun , syair, seloka dalam FB mereka.. Contoh:  Shamsudin Puteh dan  Ghazali Latih. Mungkin ramai lagi.  Sdra Yeo Hock Lim atau Harlum Yeo. ialah orang yang mengambil inisiatif mengadakan Deklamasi Panorama Kehidupan. Rakan strategic UUM.  Lebih menarik ialah ayah kepada Yeo Hock Lim iaitu YEO KIM KEE mencatat peristiwa harian dengan pantun lebih2 lagi pada musim PKP ini.

Yeo dilantik oleh USM menjadi jurulatih pelajar2 dari China dalam deklamasi puisi. Beliau melatih online Pelajar dari 6 buah university China .

 Banyak perkara dibuat online. Siaran TV buat sahaja interview dengan personality tanpa mereka perlu datang ke stesen TV. Kalau dulu rasa terbeban bila dipanggil untuk diinterview. 

 Biasanya, Kalau nak buat sesuatu event, macam2 nak buat, Nak cari orang, orang tub oleh datang, orang ni tak boleh datang.  nak cari crowd, nak cari tempat, booking makanan dan lain2,

 DBP menyiarkan sajak2 dan pantun di FB. Ada yang menjadi tular, misalnya .Shopie menggunakan pantun untuk mempromosi blender.


Monday, September 22, 2025

 SERUMPUN SEKATA: PENGARUH ALAM NUSANTARA DALAM PROSES

KREATIF PENYAIR BRUNEI.


oleh

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan


ABSTRAK:

Penulisan Kreatif ialah proses penciptaan karya sastera. Ia bermula dari

pembenihan idea, yang disebut sebagai mendapat ilham, memikir dan

mematangkan idea tersebut, mengolah dalam bentuk tulisan dalam pelbagai genre,

dan seterusnya memperbaiki dan memurnikan sehingga lahir sebuah karya.

Pemikiran dan proses kreatif dibentuk oleh pengalaman hidup, pergaulan, alam

sekeliling dan pembacaan seorang penulis. Kertas ini memberi tumpuan kepada

pengaruh alam Nusantara dalam proses kreatif penyair-penyair Brunei terpilih.

Alam merupakan elemen penting dalam pembinaan karya sastera. Pada

keseluruhannya proses kreatif puisi Melayu berlaku melalui interaksi, interpretasi

dan integrasi penyair dengan alam. Interaksi bermaksud penyair berkomunikasi,

bercakap, dan bertindak balas dengan alam. Melalui proses interpretasi, penyair

mentafsir setiap objek alam sebagai membawa makna yang lebih besar, manakala

berintegrasi membawa maksud penyair menganggap alam adalah sama dan

menyatu dengan dirinya. Alam Nusantara memberikan sumber terpenting dalam

penulisan kreatif termasuk penyair Brunei Darussalam. Antara puisi yang

diperkatakan ialah karya Hashim A. Hamid, Firdaus H.N., Haji Jawawi Haji Ahmad

(HJR) dan Sutera Kalbu.


Alam sangat mempengaruhi proses kreatif seorang penyair. Sebahagian besar puisi

adalah reaksi kreatif seorang penyair setelah berinteraksi dengan alam dan mentafsir makna

daripada objek-objek alam. Daripada tafsiran itu penyair menemui makna kehidupan yang

dilalui olehnya dan manusia lain. Misalnya gunung yang tinggi adalah misalan kepada

harapan dan cita-cita yang sukar dicapai. Alam digunakan dalam dua cara. Pertama ialah

2

sebagai latar belakang kepada peristiwa yang digambarkan. Dan yang kedua ialah sebagai

sumber perlambangan, metafora, simili dan personifikasi yang merupakan peralatan atau

perantara untuk menyampaikan maksud puisi.

Setelah terbenih ilham, maka bermula proses menghasilkan karya melalui proses

berfikir dan mengarang dengan menggunakan bahasa. Sama seperti penghasilan-

penghasilan budaya yang lain, penciptaan kesusasteraan terbentuk dan terpengaruh oleh

faktor-faktor sikap, kepercayaan, cara hidup, dan pegangan agama pengarangnya. Ilham

atau pembenihan idea tidak datang dari satu sumber sahaja. Seringkali idea bercampur baur

antara beberapa perkara yang dihadapi.

1- Pemerhatian terhadap alam

2- Pemerhatian terhadap perlakuan manusia

3- Pembacaan

4- Perbualan dengan seseorang


Alam Nusantara telah menumbuhkan khazanah sastera tulisan dan sastera lisan yang

kekal menjadi warisan. Membaca karya-karya yang dihasilkan oleh penulis Brunei dan

penulis-penulis Nusantara keseluruhannya memperlihatkan pertemuan dan paduan

serumpun dan sekata. Ini adalah wajar kerana setiap mereka dibesarkan oleh debur laut

Nusantara dan hangat khatulistiwa, Sesungguhnya kita adalah Minda kita dibentuk oleh

pembacaan dan keindahan sastera lisan yang diwarisi bersama. Sastera tradisi sebagai

pancaran masyarakat lama yang lebih mementingkan nilai-nilai perkumpulan dan tidak nilai-

nilai individu. Oleh itu tidak jelas siapakah pengarang atau penyalin Hikayat Seri Rama,

Hikayat Pendawa Jaya, Hikayat Hang Tuah dan sebagainya. Kita sama-sama mengenali

cerita-cerita penglipur lara seperti Lebai Malang, Si Luncai, Pak Belalang. Kita turut terlibat

dalam debat bangsa, antara Hang Tuah dan Hang Jebat siapakah sebenarnya wira?. Kita

sama membahaskan adakah Abdullah Munsyi dapat diterima sebagai perintis sastera

Melayu moden . Kita sama-sama berbangga dengan ketinggian falsafah dan kehalusan

bahasa dalam Syair Burung Pingai, Syair Perahu karangan Hamzah Fansuri, sama


3

menyanjungi Syair Rakis karya penyair agung Pangeran Shahbandar Muhammad Salleh

sebagai warisan Nusantara yang tinggi nilainya. Kita sama menghayati gurindam dan syair

Raja Ali Haji. Kita menyanyikan lagu rakyat yang serupa, melafazkan pantun dan peribahasa

yang sama, mendodoikan anak dengan syair yang serumpun, misalnya Dondang Siti

Fatimah telah dirakam di Semenanjung dan ditemui juga di Sumatra. Legenda dan tokoh

tokohnya adalah milik bersama. Dengan demikian penyair seperti Abdul Ghani Hamid,

Singapura turut berpuisi tentang legenda Mahsuri dan kemegahan Gunung Jerai

dalam sajaknya Sebuah Ceritera Lama. Singapura Dilanggar Todak terpahat dalam

memori bersama sebagai kekejaman terhadap keintelektualan Melayu yang diberi

tafsiran yang relevan hingga ke hari ini. Inilah alam yang mempengaruhi kreativiti

sebagai penulis dan seniman

Puisi puisi Haji Jawawi dan Sutra Kalbu yang akan diperkatakan terbenih oleh

pengamatan terhadap alam sekitar manakala dalam karya Firdaus H.N.dan A. Hashim

Hamid memperlihatkan kesan-kesan yang ditinggalkan oleh alam kampung halaman dan

daerah kelahiran. Pada keseluruhannya membuktikan bahawa Penciptaan karya

kesusasteraan Melayu sebahagian besarnya adalah hasil daripada pentafsiran pengarang

terhadap alam semesta dengan berlandaskan akidah dan budaya Melayu selaras dengan

apa yang pernah dinyatakan oleh Hashim Awang (1993) “Sastera Melayu lahir dari

pemikiran bangsa yang sangat dipengaruhi oleh alam dan agama Islam. Kehidupan

masyarakat Melayu sangat bergantung kepada alam terutama pada peringkat primitifnya.

Oleh itu mereka harus mempelajari alam dan perlakuan alam. Mereka mesti mengenal,

misalnya keadaan tanah sama ada sesuai untuk didiami dan dijadikan tempat berkebun.

Dalam proses mencari rezeki mereka memburu atau menangkap ikan di laut dan di sungai,

lalu mereka mesti tahu perihal sungai dan laut. Untuk belayar dengan kapal dan perahu,

mereka harus mengenal arah angin dan melihat tanda-tanda tenang atau gelombang.

Mereka mempelajari tentang cakerawala, bulan, bintang, dan bumi, sebagai penunjuk jalan


4

dan panduan melakukan perjalanan. Mereka mendapati ada unsur-unsur yang membantu

seperti tanah yang subur, tanaman yang menjadi sumber makanan, hujan yang

menyuburkan tumbuhan, dan ada pula unsur-unsur yang merupakan ancaman seperti

banjir, gelombang di laut, arus yang deras di sungai, kemarau, dan sebagainya. Hal ini

mempengaruhi pemikiran dan perasaan mereka. Misalnya manusia membandingkan

kesusahan seperti banjir yang melanda sawahnya, kesenangan seperti hujan yang

menyuburkan tanamannya.

Pengaruh alam Nusantara sangat ketara dalam sajak Riak-riak Selat Melaka karya

Hashim Abdul Hamid.

Hari ini kau menyambut hari ulang tahun

Dalam rentak dan getar dunia yang biadap

Matanya permata

Hatinya pura-pura


Hari ini 8 ogos

Aku dan kau pernah berbiduk di sini

Bertanya pada bayu tentang bangsa merdeka

Bertanya kepada arus tentang bulat mufakatnya

Tapi apa jawabnya

Terserah


Esok pasti kudirikan sebuah mahligai

Bersama keringat anakku yang kononnya tidak bernama

Bersama terbuka tanganmu yang bernama laksamana

Dan inikah kemesraan

Apa di sinikah cinta abadi

Jika benar

Pautlah aku dan bawa aku berlari.


5

Selat Melaka adalah selat yang bersejarah dan bermakna dalam pembentukan bangsa

yang mendiami kawasan dan negara-negara yang disapa oleh ombaknya. Di sinilah dahulu

para pedagang berulang alik dari China ke India dan menjadikannya tempat persinggahan

sementara menunggu angin berubah arah. Ada yang terus bermaustautin. Mereka bukan

sahaja membawa barang untuk didagang tetapi objek objek budaya dan pemikiran dari

tanah asal mereka termasuk pelbagai bentuk puisi seperti syair, nazam, gurindam dan

seloka yang seterusnya mewarnai kehidupan rakyat tempatan. Rakyat Malaysia, Indonesia

dan Brunei meski terpisah dari segi politik, memiliki cerita dan nostalgia yang sama tentang

Selat Melaka. Di sinilah para leluhur berbiduknya dan membina kehidupan. Selat Melaka

dan Empayar Melaka menyimpan kenangan dan membawa penyatuan kepada semangat

bangsa yang sering dirujuk sebagai bangsa serumpun. Hal ini terlihat dalam pantun-pantun

yang dikongsi bersama:

Selat Melaka lautnya tenang

Tempat berlabuh perahu Bugis

Hati yang duka usah dikenang

Andai dikenang tentu menangis


Buah jering di atas para

Dibawa budak sambil berlari

Lagi tak kering Selat Melaka

Tidak saya mungkirkan janji.


Melaka dan Selat Melaka adalah dua nama bersejarah yang digunakan oleh para penyair

untuk membangkitkan semangat terutama semangat kepahlawanan zaman silam dan

perasaan serumpun. Umpamanya Usman Awang pernah menyebut:

Atas robohan kota Melaka

Kami dirikan jiwa merdeka.


6

Dalam sajak Riak riak Selat Melaka, Penyair bersuara kepada anak-anak muda tentang

hasrat dan keazaman untuk menjadi bangsa yang terkemuka. Penyair menyeru anak anak

yang disifatkannya sebagai “belum bernama” atau belum kukuh keyakinannya. Selat

Melaka disebut kepada anak-anak supaya mereka kembali meresapi sejarah silam. Seruan

untuk “membuka tanganmu yang bernama laksamana” merupakan seruan agar anak-anak

membuka tangan untuk menerima tanggungjawab dalam mendirikan bangsa. Sebutan

“laksamana” juga menyimpulkan ingatan kepada legenda kepahlawanan Melaka dan Selat

Melaka yang menjadi legenda bangsa serumpun. Andai di sini letaknya penyatuan dan cinta

yang abadi kepada bangsa, maka Penyair mahu terus berpaut pada nostalgia tersebut.

“Pautlah aku dan bawa aku berlari” .

Bila Penyair menyebut “Hari ini kau menyambut hari ulangtahun/Dalam rentak dan getar

dunia yang biadap” Yang penuh kepura-puraan dan hanya mengejar kebendaan dengan

mata Matanya permata” maka hal ini merujuk kepada kemurnian masa lalu berbanding

kejelekan masakini.


Selat Melaka membawa ingatan kepada nenek moyang yang sama-sama pernah

berbiduk di sini. Hal ini akan membawa perkongsian nostalgia dan rasa kebersamaan. Itulah

maksud baris “Kau dan aku pernah berbiduk di sini/Bertanya pada bayu tentang bangsa

merdeka/Bertanya kepada arus tentang bulat maufakatnya” Ungkapan “pernah berbiduk”

juga adalah peringatan bahawa mereka pernah senasib iaitu pernah menaiki satu biduk atau

mendayung biduk di laut yang sama di mana nasib mereka adalah terdedah kepada angin,

ombak dan gelombang yang sama. Mereka melawan badai yang sama dalam erti kata

menghadapi cabaran yang sama.

Proses kreatif Firdaus HN dipengaruhi oleh alam kampung halaman. Kampung

halaman merangkumi kehidupan berkeluarga dan bersanak saudara dan menyimpan seribu

nostalgia masa lalu. Sajak2 yang terbit dari rasa nostalgia ini diabadikan dalam kumpulan


7

puisi Perjalanan Dari Kampung Belais Sebelum Mentari Terbenam (2008, Dewan

Bahasa Dan Pustaka. Brunei.).

Antara sajak yang secara langsung diinspirasi oleh kampung halaman dan

kekeluargaan ialah Kampung Belais (2-4). Sajak ini menyingkap pengalaman dan

memaparkan kejadian atau peristiwa yang terjadi di dalam alam masa lalu yang dapat

dijadikan sebagai ibarat, bahan menungan, atau bahan berfikir. Nilai-nilai masalalu memberi

kekuatan untuk menghadapi masakini dan masadepan. Kedua sajak menggunakan

sumber sejarah, sumber tradisi lisan, lagenda, mitos, cerita rakyat dan kebudayaan

tempatan yang dapat memperkukuh moraliti bangsa, memperkuatkan identiti, memberi

penghujahan baru terhadap zaman silam. Hal ini menarik perhatian pengkaji dan sarjana,

misalnya Hashim Ismail yang telah menumpukan kajian terhadap proses pemikiran

pengarang dan bagaimana proses kreativiti pengarang mengolah semula sumber-sumber

sejarah, kebudayaan, tamadun Melayu, tamadun Islam, tradisi lisan, dan sumber-sumber

moraliti kolektif bangsa Melayu ke dalam bentuk yang lebih efektif untuk memberikan

landasan pemikiran tentang kelebihan bangsa mereka. Hasil kajian itu memberi landasan

kepada beliau untuk membina Teori Neo-nostalgia.


Kampung Belais mengandungi segala kenangan masakecil.. .

Kampung Belais

tanah tumpah darah ayah dan datuk ninikku

Di sini aku dibesarkan

Betapa indahnya memori

Sebati dalam rasa dan jiwa

Kampung melalui perubahan

Bermula dari tanah kuning

Dari batu kerikil ke aspal

Dari belukar dan rimba menjadi rata


8

Dari rumah kayu berganti batu


Perubahan sebegitu ditambah dengan proses globalisasi perkembangan moden boleh

menghapuskan nilai-nilai masalalu dan warisan masyarakat Penyair tetap ingat kepada

semangat dan amalan bergotong royong.

Semangat gotong royong dan kesepakatan yang indah

Musim memayau dan mengijang

Turunlah penduduk seluruh kampung

Memburu payau atau kijang yang sudah dalam peliunan


Sajak ini mengajak untuk kembali kepada masa silam. Dari aspek psikologi, apabila

sahaja seseorang mengalami penderitaan jiwa dan kesengsaraan batin, ia cenderung untuk

memikirkan tempat asalnya; nostalgia silam yang membentuk identiti budaya atau jati

dirinya. Nilai tradisi akan digubah oleh Penyair dan terhasillah puisi-puisi. Melalui

kreativitinya pengarang mengolah semula sumber-sumber sejarah, kebudayaan, tamadun

Melayu, tamadun Islam, tradisi lisan, dan sumber-sumber moraliti kolektif bangsa Melayu ke

dalam bentuk yang lebih efektif untuk memberikan landasan pemikiran tentang kelebihan

bangsa mereka

Terdapat beberapa puisi Hashim A. Hamid yang membawa saranan agar mementingkan

daerah Nusantara atau memberi keutamaan kepada isu-isu tempatan. Dalam situasi dunia

yang menyakitkan ini warga tempatan disarankan supaya memberi tumpuan kepada tanah

air sendiri dan isu-isu yang lebih dekat dengan kehidupan mereka. Mereka harus menjaga

apa yang sedang dimiliki agar esok mereka tidak kehilangan semuanya.

Tapi tanyalah tentang laut dan bendang kerana itu hidupmu

Tanyalah isi bumi kerana itu degup jantungnmu

Tanyalah tentang nasi yang kau suap

Tanyalah tentang ikan belanak masak kunyit

Tentang pucuk rebung campur bagu


9

Apakah esok dia ada lagi

Penyair mengingatkan tentang laut dan bendang kerana itu lebih akrab dengan kehidupan

mereka. Di sinilah kehidupan nelayan dan petani yang menjadi rakyat terbesar yang boleh

dianggap sebagai isi bumi sebuah negara. Menumpukan kepada “nasi yang kau suap”

adalah peringatan agar mengutamakan keperluan makanan atau kemakmoran rakyat.

Penyair menyebut secara spesifik “ikan belanak masak kunyit” dan “pucuk rebung campur

bagu” yang merupakan makanan tempatan dan makanan tradisi. Penyair bertanya apakah

esok makanan ini masih ada kerana satu daripada akibat landaan globalisasi ialah

penghapusan makanan tradisi. Rakyat disogok dengan makanan segera dan tidak lagi tahu

memakan makanan dari pucuk-pucuk seperti pucuk bagu yang dimasak dengan rebung dan

belanak yang dimasak dengan kunyit. Kedua makanan dan cara memasak melambangkan

kesederhanaan hidup. Bagu adalah sejenis tumbuhan yang hidup semulajadi yang satu

ketika dahulu tidak pun dijual di pasar. Belanak adalah ikan kecil yang masih murah di

pasaran. Penyair bertanya “Apakah esok ia ada lagi” membayangkan kebimbangan yang

keaslian itu akan hapus. Bagi ramai anak-anak muda, rebung campur bagu mengembalikan

nostalgia kepada masakan ibu. Kembali kepada masakan itu juga bererti mencari kekuatan

daripada bahan-bahan semula jadi seperti daun bagu yang banyak khasiat dan menjadi

salah satu sumber yang memberi kekuatan dan khasiat kepada generasi lama. Oleh itu

saranan untuk memakan rebung campur bagu adalah juga nostalgia dan seruan untuk

kembali mencari kekuatan fizikal dan mental dan ketahanan diri daripada nilai-nilai tradisi.


Pertembungan inilah yang menjadi tumpuan utama di dalam sajak “Kalau Orang Bertanya

(Memorinduku: 6-7)

Kalau orang bertanya siapa kamu

Katakan

Kamilah belia yang bernama

Kamilah belia yang berbangsa

Yang sanggup mati dua kali


10

Meski kami Cuma makan nasi

Meski kami Cuma makan tahai masak api.


Penyair menyebut supaya belia sentiasa ingat bahawa mereka “belia yang bernama.

belia yang berbangsa” Ini adalah penekanan kepada jatidiri. Mengenal jatidiri adalah

prasyarat untuk membina semangat waja untuk membela bangsa yang diungkapkan

sebagai “sanggup mati dua kali”. Dari awal sajak ini membawa kesedaran terhadap

identiti diri dan asal usul kehidupan mereka sebagai warga Brunei. Menjadi belia yang

bernama dan belia yang berbangsa bermaksud jelas tentang keturunan mereka dari nenek

moyang yang telah mencipta nama di Nusantara. Terdapat sebutan makanan iaitu makan

nasi dan tahai masak api seperti yang dilihat dari sajak sebelum ini belanak masak kunyit

dan rebung campur bagu ini juga makanan tradisi Brunei. Sekali lagi Penyair menggunakan

makanan tradisi yang dapat mengembalikan rindu dan nostalgia. Makanan adalah sesuatu

yang sangat menyentuh perasaan (touching). Ingatan kepada makanan boleh membuat

seseorang pulang ke kampung untuk menikmati masakan ibu. Kehidupan yang benar-benar

Melayu yang dilambangkan dari makanannya iaitu nasi dan tahai masak api. Cara memasak

dengan membakar atau salai di atas bara adalah cara yang sihat. Penyebutan makanan

tradisi bukan sahaja terdapat di dalam puisi A Hashim Hamid tetapi juga dalam sajak-sajak

Firdaus HN. Dalam sajak Balada Orang Kedayan, menyebut tentang nasi lemak yang

dibungkus dengan upih dan daun nyirik.yang dikatakan dapat menyimpan nasi lebih lama,

menambah aroma dan membuka selera.


semakin berkurangannya makanan tradisi ‘pucuk rebung campur bagu”. Cara mengatasinya

ialah pulang kepada nilai-nilai masalalu yang indah dan kembali kepada makanan tradisi

yang menguatkan tubuh dan minda. Di sini kelihatan Penyair kembali mencari nilai-nilai

moral masalalu untuk dijadikan benteng yang dapat meneruskan survival bangsa.

Jika proses kreatif dua orang penyair di atas dibenihkan oleh alam masalalu, maka sajak-

sajak seterusnya, karya Haji Jawawi dan Sutera Kalbu adalah hasil pengamatan alam

masakini.


SEBUAH LUKISAN PERBANDINGAN DIRI

Aku cuba merakamkan sebuah lukisan

Melalui puisi belum tersusun

Untuk meletakkan arah sebenarnya

Apakah bulan itu di awan

Sedang di air wajahnya membayang

Dan terlihatkah aku matahari

Yang bercahaya di balik awan

Hitam pekat teramat gelap


Lukisan yang dirakam itu

Seolah sedih kehilangan cahaya

Warnanya bertaburan di atas air

Menjadikan air bertukar warna

Hitam pekat melekat di dalamnya


Lukisan yang dirakam itu

Membayangkan kemarahan berjela-jela

Tiada lagi kesempurnaan

Sebagai manusia hidup berkeluarga

Sebagai inti dalam kehidupan


Perpaduan hidup sebenarnya

Adalah sebuah lukisan seindahnya

Sebagai sebuah hadiah

Kepada negara tercinta


12

(Kumpulan Ragam Puisi , Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, 2010: 171)


Sajak Sebuah Lukisan Perbandingan Diri ini memperlihatkan pengamatan penyair yang

sentiasa mencari makna dari fenomena alam. Darinya dapat dilihat proses interpretasi,

interaksi dan integrasi penyair dengan alam Penyair terpandangkan bulan di awan dan

bulan (bayangannya) di air lalu terjadilah proses berinteraksi dengan objek objek tersebut.

Penyair melukiskan mungkin dengan menggunakan warna atau menggunakan kata-kata.

Hal ini membawa situasi memadankan bulan di awan dan bulan di air. Setiap objek alam

mempunyai padanan dan perbandingan dengan objek lain dan dengan kehidupan manusia.

Penulis melihat matahari di balik awan. Cahaya matahari yang cerah dibandingkan pula

dengan keadaan hitam pekat dan gelap. Demikianlah kehidupan, di mana ada cahaya di

situ ada kegelapan, di mana ada kekuasaan di situ ada kelemahan. Penyair melihat Cahaya

seolah-olah lucut dan hilang dan luruh bertaburan di atas air. Dan air digambarkan menjadi

hitam. Air yang menjadi hitam pekat adalah kehidupan manusia yang tidak lagi jernih kerana

dipenuhi oleh pelbagai peristiwa Kehidupan telah dipadatkan dan ada kalanya dicemari

oleh pelbagai peristiwa dan ini mengakibatkan perasaan terganggu hingga terbit

kemarahan. Ketika itu hidup dikatakan telah hilang kesempurnaannya. Jelas bahawa yang

dimaksudkan oleh penyair atau yang menjadi tumpuan penyair ialah kehidupan berkeluarga

yang terjejas keharmoniannya akibat peristiwa2 yang berlaku. Penyair menyampaikan

falsafah/pemikirannya bahawa kehidupan yang terpelihara ialah sebuah lukisan yang

sempurna. Keharmonian hidup terutama hidup berumah tangga adalah asas kepada

keteguhan negara. Memelihara kerukunan keluarga bererti menyumbang kepada

ketahanan negara.

Perpaduan hidup sebenarnya

Adalah sebuah lukisan seindahnya

Sebagai sebuah hadiah

Kepada negara tercinta


13

Sajak “Sebuah Lukisan Perbandingan Diri” dapat dibandingkan dengan sajak “Warna dan

Lukisan” karya Sutra Kalbu. Di sini ada gambaran menarik tentang sehelai kanvas putih

berhadapan dengan sebalang pensil warna warni. Keadaan ini ditafsirkan sebagai diri yang

menunggu segala kemungkinan yang akan berlaku atau diperlakukan ke atasnya. Dalam

situasi ini juga ia adalah bahtera yang berhadapan sebuah lautan. Terdapat pentafsiran

penyair terhadap alam bahawa bahtera yang belayar bukanlah sekadar sebuah bahtera tapi

disifatkan sebagai “layar rindu mencari redha” iaitu diri yang mencari redha Ilahi.. Segalanya

menuntut kewaspadaan. Laut yang sentiasa bergelora dan ombak yang sentiasa meninggi,

angin yang sentiasa berubah-ubah . Pelayaran mencari redha ini menggunakan kemudi dari

matahati dan anjung dari pelita ilmu.


Seperti Haji Jawawi, Sutra Kalbu juga menggunakan imej pelukis yang memilih warna bagi

membina sebuah lukisan. Sajak ini adalah mengenai Kebebasan dan Pilihan. Yang memiliki

kebebasan itu ialah jari-jari pelukis. Kebebasan bererti berkuasa dan demikianlah jari

berkuasa untuk memilih warna yang merah sebagai pertanda berani atau menghitam untuk

menutup supaya segalanya kekal dalam kerahsian


kau bebas memilih warna

yang merah berani

yang hitam penuh rahsia

yang biru segenap cinta

yang kuning pesona

yang ungu pudar

yang putih suci

yang hijau kau tahu jawabnya.


Tugas memilih selalu berkait dengan keadaan serba salah dan keperluan untuk berhati-hati

agar tidak tersalah pilih. Paduan warna tidak semestinya akan sentiasa berharmoni di antara

satu sama lain. Jari-jari yang mencoret warna memikul tanggungjawab untuk membuat


14

keputusan yang diharapkan tidak akan tersalah. Namun kadang-kadang “tersasar kadang

tergetar”


Bait seterusnya menyatakan sebab dan akibat dari perlakuan dan pemilihan. Lukisan boleh

menjadi penawar atau sebaliknya. sebuah lukisan menjadi penawar/ sebuah luka atau

sejuta prasangka. Penyair yakin hanya dengan takwa dan iman, pelukis akan mendapat

pertunjuk dan membuat pilihan yang tepat seperti maksud barias.


Tapi hanya murni takwa

tapi hanya  murni iman

sebuah lukisan menjadi cahaya

buat sebuah kegelapan atau sejuta aniaya.


Demikianlah perjalanan hari antara malam dan siang dan peredaran hari dengan segala

kejadian..Jari-jari itu adalah manusia yang bertanggungjawab dan mesti menjawab atas

segala perbuatan dan amalannya di dunia ini.


Perlakuan melukis dan memilih warna itu berintegrasi dengan isu semasa yang sedang

menimpa umat Islam. Buatlah apa2 yang sepatutnya namun utamakan keselamatan dan

pertimbanan agar saudara2 Islam tetap terselamat. Dan sekelian saudara muslim itu

jangan kau hapus mereka/atau membiarkan mereka terhapus/dengan warna yang ada di

tanganmu/kecuali dengan perintah Allah.


Warna dan lukisan

Sehelai kanvas putih

sebalang pensil warna warni

siap berhadapan sebuah laut

bukan sekadar sebuah bahtera

tapi layar rindu mencari redha

kemudi dari matahati

anjung dari pelita ilmu.

Laut yang sentiasa bergelora

ombak yang sentiasa berlenggang

angin yang sentiasa berubah-ubah

jari-jari yang mencoret warna

kadang tersasar kadang tergetar

antara malam dan siang


15

kau bebas memilih warna

yang merah berani

yang hitam penuh rahsia

yang biru segenap cinta

yang kuning pesona

yang ungu pudar

yang putih suci

yang hijau kau tahu jawabnya.

Tapi hanya murni takwa

sebuah lukisan menjadi penawar

sebuah luka atau sejuta prasangka

tapi hanya  murni iman

sebuah lukisan menjadi cahaya

buat sebuah kegelapan atau sejuta aniaya.

Dan sekelian saudara muslim itu

jangan kau hapus mereka

atau membiarkan mereka terhapus

dengan warna yang ada di tanganmu

kecuali dengan perintah Allah.

Sutera Kalbu


Dalam Sebuah Lukisan Perbandingan Diri kreativiti Haji Jawawi dicetuskan oleh elemen

alam iaitu bulan dan bayangan bulan di air, cahaya matahari dan air yang menjadi hitam.

Unsur-unsur gangguan terhadap air ini berlaku lagi dalam Perairan (165) Pembenihan idea

dicetuskan oleh air tenang yang tiba-tiba berkocak. Air yang terusik dan berkocak

mengingatkan penyair kepada keharmonian hidup yang tergugat.

Perairan

Ketenangannya terusik

Kerana airnya berkocak

Lalu terjun ke dasarnya

Mencari sebarang punca

Untuk dihadapkan

Bukti pencerobohan

Ke atas haknya

Milik orang lain


Maka berkocaklah lagi air


16

Bersama ombak menggamit rindu

Berkejar-kejaran ke tepi pantai

Menghilangkah rindu di putih pasir

Sepeti bertanya khabar

Sanak saudara yang terpisah

Sejak zaman berzaman.


Pemerhatian terhadap alam, iaitu air yang berkocak membawa kepada pentafsiran. Kocakan

itu ditafsirkan sebagai kehidupan yang terusik dan tidak lagi tenang. Kocakan adalah

pertanda kepada sesuatu yang menggugat dan merisaukan.

Dalam sajak ini penyair menasihati agar berhati-hati dan tidak keterlaluan dalam sebarang

tindakan kerana sebarang salah langkah akan menambah kepada masalah dan keburukan

yang sedang dihadapi. Ia perlu ditangani dengan bijaksana. Penyair meminta semua pihak

berwaspada dan tidak mengambil tindakan melulu untuk terjun ke dasar mencari sebarang

punca atau cepat melakukan dakwaan. Tidak ada faedahnya untuk terjun ke dasarnya

mencari sebarang punca untuk dihadapkan sebagai bahan bukti pencerobohan.

Kocakan air yang dilihat dipermukaan sungai membawa ruang fikir kepenyairan ke tebaran

air yang lebih luas iaitu samudera Nusantara , Penyair menyampaikan ingatan bahawa

perairan ini perlu dipelihara kerana kita adalah keluarga besar warisan nenek moyang yang

membina kehidupan di kepulauan Melayu. Semua pihak sepatutnya menjaga keharmonian

dan hubungan sesama keluarga atau warga Nusantara yang sentiasa mengharapkan

keharmonian, apatah lagi kebanyakannya mempunyai pertalian darah .

Bersama ombak menggamit rindu

Berkejar-kejaran ke tepi pantai

Menghilangkah rindu di putih pasir

Sepeti bertanya khabar

Sanak saudara yang terpisah


17

Terdapat banyak contoh pengaruh alam terhadap kreativiti Sutra Kalbu. Di antaranya ialah

sajak di bawah:

Bulan di sampan

Apakah kau sudah bosan berkayuh

lautan luas tak pernah tenang

angin kabut seluas samudera

sedang di sampan sejuta bulan

sarat memuja harapan.

Apakah kau sudah bosan berkayuh

laut seakan tiada berhujung

suara mu hanya parau si burung malam

sedang pulau yang kau impikan

hanya sebongkah batu berlumut.

Apakah kau sudah bosan berkayuh

melepas pendayung hanyut jauh

menumpah seluruh bulan ke laut

membiar sampan  di bawa arus

tanpa hala tuju.

Apakah kau sudah bosan berkayuh

sedang bulan di sampan

masih merayu.


Cetusan idea berlaku dari suasana malam dengan perahu atau sampan yang berada di

perairan. Bulan (atau bayangannya) berada bersama perahu. Namun si pengayuh seolah-

olah tidak meneruskan kayuhannya. Puisi ini membawa persoalan harapan dan putus

harapan. Seseorang sedang mengharap (seperti bulan yang turun ke perahu) namun ada

nada keengganan di pihak pemilik perahu untuk meneruskan perjalanan.


Kesimpulan

Sajak-sajak dalam Memorinduku dan Perjalanan Dari Kampung Belais Sebelum Mentari

Terbenam adalah catatan yang terbentuk oleh alam dan pengalaman masalalu manakala

Sutra Kalbu dan Haji Jawawi HJR banyak menimba pengertian dari alam yang sedang

terbentang di hadapan. Alam masalalu mengembalikan kenangan dan nostalgia lalu

mengajak untuk kembali mencari kekuatan dari kebijaksanaan yang diwariskan oleh nenek

moyang termasuk makanan tradisi dan amalan-amalan yang memberi kekuatan fizikal dan


18

kerohanian untuk melawan asakan dan ancaman masakini. Alam sekitar dan objek objek

alam seperti lautan, perairan dan cakerawala mengandungi lapisan makna dan pengertian

yang menjadi pertunjuk dan pedoman dalam menghadapi hidup seseorang.


A Hashim Hamid, 2003, Memorinduku, Jabatan kesusasteraaan Melayu, Fakulti Sastera dan

Saina Kemasyarakatan university brunei Darussalam.

Firdaus H.N, 2008, Perjalanan Dari Kampung Belais Sebelum Mentari Terbenam, Dewan

Bahasa Dan Pustaka. Brunei.

Hashim Ismail. 2001. “Kemunculan Teori-Teori Sastera Tempatan: Pascamodenisme dan

Neo-Nostalgia”. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Kritikan Sastera Melayu Serantau,

24-26 September 2001, di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, anjuran Bahagian Teori dan

Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan Pengkritik Sastera Malaysia.


Jawawi Haji Ahmad (HJR), 2010 Kumpulan Ragam Puisi, Dewan Bahasa dan Pustaka

Brunei.

Jawawi Haji Ahmad (HJR), 1985, Perkembangan Puisi Mutakhir di Brunei Darussalam, dlm

Sekitar Kritikan Sastera Melayu , Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.


Zurinah Hassan, 2010, Unsur Alam