ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Sunday, December 29, 2024

PERANAN PERPUSTAKAAN /PUSAT SUMBER SEKOLAH DALAM MEMBINA BANGSA BERKUALITI.

 (Sedutan ucapan dalam majlis pelancaran Dokumentari Khas Sasterawan Negara Zurinah Hassan terbitan Perpustakaan Negara Malaysia, 24.10.2024).  

Terima kasih Kementerian Perpaduan Negara, khasnya Perpustakaan Negara Malaysia yang telah  menerbitkan dokumentari ini.

 Tidaklah salah kalau saya katakan bahawa bagi seorang penulis, tempat yang paling dekat di hatinya ialah perpustakaan. Begitulah pengalaman peribadi saya sendiri, semasa masih bergelar murid sekolah,  saya sering masuk perpustakaan untuk mencari buku-buku sastera sama ada novel,  antologi cerpen dan puisi. Di situlah tempat saya membaca dan mengasah bakat dalam penulisan. Bila saya menyebut perpustakaan saya lebih merujuk kepada perpustakaan sekolah (school library), atau apa yang sekarang ini dikenali sebagai pusat sumber sekolah.

 Hasil dari jasa perpustakaan atau pusat sumber itu, dapatlah saya menjadi seperti  sekarang. Sekarang saya lebih mampu membeli buku, tetapi tetap mendapati diri masih berharap kepada perpustakaan untuk sebab sebab atau keperluan yang berlainan.  

 Untuk menjelaskan apakah “keperluan yang berlainan” itu,  saya ingin menarik perhatian kepada keadaan pasaran buku di negara kita.  

 

Kita selalu mendengar para pemimpin dan para ilmuan menyuarakan pendapat bahawa negara memerlukan bahan bacaan yang berkualiti demi  membangun bangsa yang berkualiti.  

Namun begitu kita masih menghadapi situasi di mana bahan bacaan yang berkualiti  ini masih sukar bersaing di pasaran. Penerbit-penerbit dan pengedar buku  terus menumpukan perhatian atau lebih terdorong untuk menerbit dan memasarkan  buku yang menguntungkan mereka.  

Setiap tahun kita melihat orang berduyun-duyun ke Pesta Buku khasnya PBAKL, bahkan ada yang berbaris panjang untuk membeli buku. Hal ini menunjukkan bahawa buku masih relevan pada era digital ini.

Andainya penganjur  PBAKL  menyimpan rekod senarai “best seller” mereka bolehlah kita lihat apakah buku-buku yang dikerumuni orang ramai. Yang pasti buku-buku karya Sasterawan Negara tidak pernah termasuk dalam senarai tersebut.  

Hakikatnya, buku-buku karya-karya sastera yang bermutu termasuk karya sasterawan negara  sukar bersaing di pasaran berbanding bahan-bahan bacaan yang dilabelkan sebagai “popular” dan “trendy” .   Masalah ini adalah masalah lama. Ia pernah disuarakan, termasuk oleh Sasterawan Negara Allah Yarham Usman Awang. Cuma buku-buku yang menjadi teks sekolah sahaja yang boleh dijual.

Hal ini perlu diberi perhatian kerana penerbit-penerbit dan pengedar buku akan terus menumpukan perhatian atau lebih terdorong untuk menerbit dan memasarkan  buku yang menguntungkan mereka.   

Dalam situasi inilah kami memerlukan perpustakaan dan pusat sumber  membantu mengatasi   masalah.   Jika ada peraturan yang menetapkan  setiap  buku Sasterawan Negara wajib dibeli oleh pusat sumber sekolah maka masalah ini dapat diatasi. Peraturan atau arahan sebegitu  belum wujud pada masa ini menyebabkan Penerbit-penerbit besar, misalnya DBP dan MAPIM  terpaksa mencetak dalam jumlah yang kecil bagi mengelak kerugian.

 

Saya mohon maaf kerana terpaksa melafazkan coretan rasa.  

Semoga kata-kata saya tidak menjadi sebuah dosa.




Monday, March 25, 2024

Buku  MEMBINA BAKAT KREATIF:  

 panduan menulis puisi 



 

 

Buku Membina Bakat Kreatif, diterbitkan oleh PENERBIT UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS. 2020 dan cetakan ke 3  2024, berisi panduan menulis puisi serta memperbaiki penulisan puisi .  Antara lain memperkatan:

 Idea puisi yang lazim  disebut sebagai Ilham didapati:

Melalui pemerhatian terhadap kehidupan semasa dengan pemikiran yang kritis

Ilham melalui pembacaan

Ilham melalui renungan terhadap alam. Misalnya laut yang terbentang luas  mengingatkan kepada keluasan ilmu Allah subhanahuwataala

Ilham  boleh tercetus daripada perhubungan dan perbualan dengan orang lain. Kadang2  kita bercakap  dengan seseorang, tiba-tiba ada perkara-perkara yang dicakapkan tidak kira oleh orang itu atau kita sendiri, mengingatkan kita kepada sesuatu atau menimbulkan sesuatu pemikiran baharu.

 

Ilham juga sering datang ketika penyair di dalam perjalanan dari satu tempat ke satu tempat.

 

Setelah mendapat ilham atau idea yang jelas, seorang penyair bolehlah mula menukangi puisinya.

 

Buku ini juga membicarakan cara atau yang disebut teknik menyuarakan atau menyampaikan pemikiran atau yang disebut sebagai Proses Kreatif menghasilkan sebuah puisi.

 

Secara ringkas cara-cara itu ialah bermonolog, berdialog dengan subjek puisi dan membina sesuatu cerita.