Home » » MENGUTIP CATATAN SILAM

MENGUTIP CATATAN SILAM

hari ini 10 Mei 2006. Sudah lama tidak menjengah ke blog sendiri apa lagi merakam perjalanan hari. Hari ini aku ingin menurunkan di sini serba sedikit tentang antologiku Salasilah yang terbit pada penghujung bulan Disember. Terima kasih dbp atas usaha ini.


MENGUTIP CATATAN SILAM
-Zurinah Hassan
(Percakapan di Rumah Pena-2 September 2005)

Selepas SEA Write Award 2004 saya telah diberi peluang bercakap / berceramah di sana sini . Tajuknya: diri sendiri. Yang terbesar ialah di USM- sehari suntuk mereka dengan murah hati telah mengadakan acara sambutan, dari siang hingga ke malam. Kemudian orang-orang Selangor pula meraikan di Temu Sastera Selangor di Bagan Lalang. Selepas itu di Hotel Qualiti di Shah Alam, (siap dengan sepasang songket –ala persalinan macam dalam hikayat lama). Saya bercakap dengan tajuk yang sama dan bahan yang sama. Sebahagian besar juga sudah terakam dalam Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Pen.UKM 2002
Maka hari ini biarkanlah saya bercakap tentang sesuatu yang belum pernah saya cakap iaitu tentang antologi sajak yang terbaru iaitu SALASILAH yang sedang dicetak oleh Dewan Bahasa. (perjanjian telah ditandatangani-mungkin dapat dilihat bulan depan)
Dengan penerbitan Salasilah, tertunailah niat dan hajat untuk menghasilkan sebuah antologi puisi dengan tema yang terarah , yang jika dapat dikatakan, merupakan sebuah rakaman perjalanan kita sebagai suatu bangsa yang telah melalui pelbagai peristiwa.
Antologi Salasilah ini mengandungi puisi-puisi yang merupakan catatan rasa dan pancaran minda seorang yang terharu dengan peristiwa-peristiwa itu. Saya, seperti juga para penulis yang lain, adalah pencinta buku-buku lama yang dibesarkan dengan dongeng-dongeng penglipur lara, yang terhibur oleh cerita-cerita jenaka, yang terpesona oleh ukiran bunga-bunga bahasa dalam pantun, seloka dan peribahasa. Lalu saya cuba mengutip mutiara makna dari keindahan bahasa pujangga yang amat kaya, baik yang diketahui siapa ataupun yang tidak diketahui namanya.
Demikianlah kisah-kisah lama mengisi ingatan, mengusik perasaan dan mencorakkan pemikiran. Ingatan terhadap kisah-kisah lalu telah membenihkan karya-karya yang baru. Begitulah yang terjadi kepada sasterawan-sasterawan kita seperti Usman Awang, Shahrom Hussein, Muhammad Haji Salleh dan puluhan nama lagi yang sedia dikenali. Dari mereka dan dari puluhan nama lagi telah terbina hasil-hasil karya dari kisah-kisah perjalanan bangsa. Dalam hal ini saya meminati baris yang ditulis oleh Mana Sikana, “menyusur masa lalu untuk menyisir makna baru”. Sejarah bukan sekadar kenangan tetapi menjadi iktibar dan teladan.
Sekian lama saya bercita-cita untuk menyusuri kisah-kisah perjalanan bangsa dan berpuisi mengenainya. Bila Dewan Bahasa dan Pustaka menghebahkan tawaran bantuan penulisan atau geran kreatif kepada penulis-penulis , saya pun memohon dengan mengemukakan cadangan ini. Alhamdulilllah permohonan itu diperkenan dan saya mengikat perjanjian untuk merealisasikannya dalam masa yang diperuntukkan iaitu satu tahun. Walaupun jumlah dana yang disediakan tidaklah lumayan namun saya amat bersyukur kerana tujuan saya yang utama ialah supaya keterikatan kepada perjanjian tersebut akan memaksa saya untuk mengerjakan dan menyelesaikannya.
Saya pun memulakan tugasan ini. Sesungguhnya bagi saya tugasan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Saya mengambil masa beberapa bulan untuk membaca semula terutama untuk mencari makna dan siratan-siratan baru untuk diolah dalam puisi. Teks utama ialah Sejarah Melayu , pelbagai cerita rakyat, cerita jenaka dan sebagainya. Hampir setengah tahun berlalu dan saya masih asyik membaca seperti menimba ditelaga yang dalam dan tidak kering-kering airnya. Maka tinggallah beberapa bulan sahaja ke dateline yang ditetapkan. Dalam perjanjian saya perlu mengemukakan seratus buah puisi. Untuk menghasilkan sebuah puisi biasanya memerlukan tiga empat hari, berfikir, menulis dan memperbaiki, dan saya tidak mungkin boleh menulis puisi setiap hari. Syukur.Alhamdulillah, dengan taufiq dan hidayahNya dapatlah akhirnya saya mencapai matlamat tersebut.
Saya bermula dengan kisah Raja Suran yang turun ke laut . Kata-kata yang tertangkap di benak ialah bahawa dia telah melihat dan tahu perihal seluruh dunia ‘bahawa segala isi darat sudah habis kulihat’. Lalu agak lucu bagaimana orang-orang Cina boleh menipunya mengatakan negeri Cina amat jauh dari situ. Mereka yang dating semasa muda sudah menjadi tua. Cerita Raja Suran menarik perhatian. Dia adalah wakil manusia yang angkuh yang tidak sedar betapa pengetahuan manusia amat terbatas di dalam alam Allah yang Maha Luas.
Dari keturunan Raja Suran dikatakan bermulanya salasilah Raja-raja Melayu. Kita semua tahu tentang putera raja tiga beradik yang turun di Bukit Siguntang Mahameru dan bagaimana Sang Sapurba diangkat menjadi raja berdaulat dengan segala ikrar dan waadat yang dibuat dengan Demang lebar Daun. Memang peristiwa itu penting kerana untuk menjadi bangsa yang kuat, kita perlu membentuk kerajaan dan meneguhkan kepimpinan. Cuma beberapa soalan timbul di sini. Alangkah baiknya jika di samping bersibuk-sibuk mencari raja dan menentukan kepimpinan bangsa, kita juga dapat memanfaatkan segala emas yang berkilau-kilauan di Bukit Siguntang. Bayangkan berapa nilainya emas yang seluas tanah huma. Dengan itu kita akan menjadi bangsa yang terkaya di dunia.
Jurai keturunan Raja Suran di gahkan sebagai membina kerajaan Melayu. Adakah ini benar? Dari Bukit Siguntang ke Palembang, dari Palembang ke Singapura, dari Singapura ke Melaka. Lihatlah di Palembang, Melaka dan Singapura. Di manakah kerajaan yang dibina? Raja telah hilang dan tidak pulang-pulang. Di mana gajah lalu di situ lalang layu, di mana enggang singgah di situ ranting patah.
Keturunan Sang Sapurba mendatangi Singapura dan berkerajaan di Melaka . Setelah Melaka dijahah, putera Sultan Melaka mendirikan kerajaan di Johor dan mencuba merampas Melaka. Keturunan Raja Melaka berakhir apabila Sultan Mahmud ditikam di atas julang kerana kekejaman yang tiada tara membunuh isteri Laksemana yang mengidam seulas nangka. Kerana angkara seulas nangka tamatlah keturunan Sang Sapurba. Kerajaan Melayu yang bermula dengan pohon melaka, berakhir dengan seulas nangka. Pisau pertanda mengoyak perut isteri Laksemana.Kekejaman raja menjadikan kita rakyat yang marah tak tentu punca. Namun satu lagi aspek cerita itu ialah perlukah Tok Penghulu yang membawa nangka tersebut memberitahu raja mengenai isteri Laksemana yang meminta seulas nangka. Dia boleh mereka cerita yang lain dan pembunuhan kejam tidak akan berlaku. Tetapi apakan daya yang berlaku telah berlaku kerana begitulah sifat ‘jujur’ segala hamba Melayu.
Episod pertikaman Tuah dan Jebat telah menyemarakkan sebegitu banyak karya-karya sastera baik puisi, drama dan novel . Episod ini menjadi debat yang tidak berkesudahan. Namun persoalan yang sering mengganggu saya ialah apa akan terjadi sekiranya Jebat tidak menderhaka. Kalau Jebat tidak menderhaka tentu Sultan dan Bendahara tidak merasa perlu memanggil Tuah pulang ke Melaka. Hang Tuah akan terus tinggal di hutan hingga mati dan dilupakan. Apakan jadi dengan segala jasa yang telah dicurahkan? Fikiran seperti ini mendasari “Bendahara, Tuah dan Jebat, aku Selalu Bertanya”yang terbit dalam antologi terdahulu (Pujangga Tidak Bernama).Kali ini saya kemukakan semula dengan lebih khusus dalam “Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka”.
Selain pertikaman Tuah dan Jebat, pertikaman Tuah dan Taming Sari juga turut mengganggu fikiran. Episod ini penting bagi saya bukanlah kerana ia telah membuktikan kehandalan Tuah tetapi kerana ia telah menunjukkan perangai orang ramai atau rakyat jelata yang digambarkan bersorak-sorak ketika Taming Sari menggelupur menghadapi maut. Ternyata mereka begitu terhibur melihat pertikaman dan sengketa malah telah menjadikan nyawa insan sebagai barang mainan. Sampai bilakan kita akan terus seronok dan terhibur melihat sengketa sesama bangsa.
Tidak lengkap jika saya tidak bersuara tentang wanita-wanita terutama wanita-wanita Sejarah Melayu. . Yang paling saya minati ialah Puteri Gunung Ledang kerana hanya dia seorang yang pandai mencipta helah untuk tidak tunduk kepada kemahuan seorang raja. Yang lain adalah mangsa percaturan lelaki. Kehidupan mereka bukan soal peribadi dan perkahwinan mereka bukan soal hati tetapi segslsnys adalah soal negeri atau percaturan lelaki. Bagi lelaki yang penting ialah kuasa bukannya rasa. Lihat Tun Kudu yang bertukar tangan atas rundingan Bendahara dan Sultan dan perempuan tidak boleh campur tangan. Tun Teja dan Hang Li Po hanya hadiah atau bungkusan untuk Sultan. Hang Li Po dalam usia yang mentah telah dibawa menyeberangi lautan luas untuk berkahwin dengan Sultan Melaka demi memberi kekuatan kepada negeri yang agak baru terbina. Melaka, seperti banyak kerajaan lain di dunia diperkuatkan oleh pengorbanan perempuan. Tetapi akhirnya runtuh juga oleh nafsu lelaki.
Selain kisah-kisah sejarah, cerita-cerita jenaka juga amat tajam menikam. Lihat pada Pak Kaduk yang kehilangan tanah. Bertahun sudah kita mentertawakan Pak Kaduk konon kerana kebodohannya dia telah bersetuju menukar ayamnya dengan ayam raja. Tetapi mengapa kita tidak marah pada raja yang sanggup menipu rakyat untuk merampas tanah yang sekangkang kera itu? Pak Kaduk yang miskin, yang terpaksa berbaju kertas kerana tidak berbaju, sanggup ditipu. Lagipun kalau raja meminta untuk bertukar ayam dengannya, adakah Pak Kaduk berani menolak? Kalau dia tidak mahu mungkin dia akan dipancung ketika itu juga kerana berani menentang kehendak raja.
Mengapa kita harus ketawa terbahak-bahak ketika Pak Pandir memandikan anak? Mengapa kita tidak menolong menyelamatkan anak Pak Pandir dari mati tercelur air panas? Ternyata kita seronok melihat kebodohan orang lain.
Empire Melayu Melaka telah hilang.Menara Petronas tinggi menjulang dan KLIA melaut lapang. Negara sudah merdeka. Keadaan boleh dikatakan aman damai dan kebanyakan rakyat boleh duduk selesa untuk menonton pelbagai pertandingan menyanyi melalui television. Akhbar-akhbar riuh dengan kisah-kisah rasuah dan politik wang. Anak-anak sekolah di pendalaman Sabah masih meniti tali menyeberang hutan untuk ke sekolah sedang anak-anak muda di Semenanjung saban malam berlumba motorsikal haram di atas segala jambatan dan jejambat yang luas merentangi sungai dan melintasi simpang siur lebuh raya. Ribuan menjadi penagih , menjadi pembuli malah membunuh kawan sesekolah dan menjadi sampah sarap di jalanan.Budayawan dan Cendekiawan Melayu berduka nestapa atau menjadi pelakon-pelakon tua di pentas Negara. Di sekeliling kita masih ramai Pak Kaduk yang menggadai tanah, Si Luncai yang lupa diri , Mat Jenin yang dimatikan angan-angannya, Pak Belalang yang mencari untung dengan nujum politiknya, dan Pak Pandir yang berpura-pura bodoh kerana menjadi pandai akan membahayakan diri sendiri.
Wira baru telah muncul dalam bentuk Mawi - menggondol hadiah besar sebagai Juara AF dan akan menjadi jutawan. Dia dibayar RM 10,000 satu sessi menyanyi.Album terjual 80,000 dalam masa dua hari.Sekarang sudah beratus ribu.Sekurang-kurangnya dia dapat RM 1 untuk satu album. Kabarnya dapat kereta mewah dari Johor. Sasterawan (yang menghasilkan sastera) masih tak boleh hidup atas tulisannya semata-mata. (Bukan saya marah-saya sendiri suka Mawi)
Walau apapun saya tetap bersyukur ke hadzrat Allah SWT. Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang yang telah memberikan rahmat, pertolongan , pertunjuk dan segala-galanya hingga Salasilah berada di percetakan. Terimalah ini sebagai satu usaha mengutip catatan silam agar tidak terpadam. Segala yang kita warisi, ukiran jiwa pujangga lama, yang halus dan indah jangan biarkan tertimbus di bawah rumah.

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)” (An-Nisa’:48)

. Wallahhualam, hanya Allah yang memiliki ilmu

1 comments:

  1. Tahniah atas penghasilan karya tersebut. Sudah agak lama tidak membaca tulisan berhemah dalam weblog. Saya copy dan paste ayat dari surah An-Nisa' tersebut ke blog saya http://www.waadat.blogspot.com

    Meski di ruang cyber namun kita masih di bumi Allah.

    ReplyDelete