ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Saturday, August 02, 2014

Zurinah Hassan: Penyair dan Kepenyairan yang Ku Kagumi



Sumbangan wanita dalam karya sastera tidak dapat dinafikan. Mereka mempunyai kekuatan, gaya serta identiti sendiri yang boleh dikesan melalui karya-karya yang dihasilkan dalam pelbagai genre.


Di antara penyair wanita Melayu, terdapat mereka yang telah mendapat pendidikan hingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah. Oleh yang demikian, aliran pemikiran yang dibawa dalam karya mereka mempunyai identiti yang tersendiri, sesuai dengan idealisme yang didukung oleh pengkaryanya. Selain introspeksi diri yang begitu mendominasi karya, persoalan kemanusiaan, alam ketuhanan, dan falsafah turut mengisi tempat.

Apabila memperkatakan tentang puisi dan penyair wanita, nama Zurinah Hassan memang tidak asing lagi sama ada dalam kalangan peminat, mahu pun dalam kalangan pengkaji-pengkaji puisi Melayu moden. Pada sekitar tahun 70-an, Zurinah Hassan beriringan dengan penyair-penyair wanita lain seperti Siti Zainon Ismail dan Zaihasra memonopoli dunia penulisan puisi.

Zurinah Hassan dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar pada 13 Jun 1949. Zurinah mendirikan rumahtangga pada tahun 1978 dengan Encik Mohamed Said bin Abdul Manap yang sekarang bertugas sebagai Pengurus Kanan Pos Malaysia Berhad dan dikurniakan lima orang anak: Siti Raihani, Ainul Huda, Muhammad Taufiq, Muhammad Faiz dan Aina Mastura.

Kehidupan di kampung dan dibesarkan dengan seorang nenek di sebuah rumah yang dikelilingi oleh pohon-pohon rimbun. Keadaan yang sunyi dan redup. Tidak mempunyai ramai kawan dan jarang keluar bermain-main seperti kanak-kanak lain. Banyak masa dihabiskan dengan duduk di rumah dan mendengar radio. Radio menjadi teman rapatnya. Beliau amat suka mendengar lagu-lagu dan cepat menghafal seni kata. Setelah pandai menulis, seni kata lagu ditulis dan dinyanyikan. Kegemaran mengutip senikata lagu telah melatih Zurinah menggemari susunan kata-kata yang indah.Sebahagian daripada seni kata lagu itu merupakan pantun-pantun lama yang mempunyai makna yang mendalam. Walapun tidak menjadi seorang penyanyi kerana larangan keluarga, namun keasyikan terhadap lagu dan seni kata telah menjadikannya seorang pemenung, perenung alam dan membentuk kegemaran lain iaitu menulis puisi. Dari sinilah minat Zurinah timbul dan menjadi akrab dengan unsur-unsur yang terdapat dalam lagu-lagu tersebut.

Pendidikan awal Zurinah Hassan secara formalnya di Sekolah Rendah Melayu Tikam Batu dan Sekolah Inggeris Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah. Beliau meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Convent Sungai Petani dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar Kedah. Seterusnya, melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974.

Semasa belajar di sekolah Melayu Tikam Batu, (Zurinah Hassan, 2003: 23-24) beliau menemui dua orang guru yang gemar bercerita. Sewaktu dalam darjah satu dan dua, Zurinah dan kawan-kawan selalu mendengar cerita dari Cikgu Mariam. Beliau rajin bercerita tentang puteri-puteri raja yang jelita. Begitu juga, dengan Cikgu Ghani yang sering memberi ulasan yang berbeza tentang kisah-kisah lama terutama episod-episod dari Sejarah Melayu. Ketika di sekolah Inggeris melalui Special Malay Class, semasa di tingkatan satu, Zurinah berkenalan dengan puisi Inggeris sebagai satu mata pelajaran wajib. Zurinah gemar menghafal puisi-puisi William Shakespeare, S.T Coleridge, H.W.Longfellow dan lain-lain serta menawarkan diri untuk membacanya di hadapan kelas dan tidak lupa oleh kerana minat yang sangat mendalam Zurinah menterjemahkan sajak-sajak Inggeris ke Bahasa Melayu. Ini melatihnya mencipta ungkapan-ungkapan puitis.

Semasa di tingkatan enam, guru Bahasa Inggerisnya membacakan puisi Khalil Gibran. Baris-baris yang dibacakan tertusuk ke hati dan sejak dari itu cintanya terhadap puisi tetap utuh sehingga melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (1970).

Mengikut Shafei Abu Bakar (1997), rangsangan yang diberikan oleh Zakry Abadi, ketika itu editor Utusan zaman telah memberi laluan dan semangat buat Zurinah untuk terus berkarya. Pada 15 Februari 1967, sajak Keputusan buat pertama kali telah diberi tempat di Utusan zaman.

Di Universiti Sains Malaysia, Zurinah menumpukan pengajiannya dalam pengkhususan kesusasteraan. Keilmuan pengetahuannya semakin meningkat, kepekaan terhadap alam sekitar juga bertambah. Zurinah bukan sekadar mendengar sahaja tentang teori ilmu, malah mempelajarinya, menghayatinya, dan memanfaatkannya.

Proses tersebut disatukan dalam dunia sebagai seorang mahasiswa dan sebagai seorang penyajak. Tidak hairanlah, Profesor Hamzah Sendut (Ahmad Kamal Abdullah,1990:468) ketika itu menjadi Canselor Universiti Sains Malaysia memberi galakkan dan kesediaan untuk menerbitkan kumpulan pertama puisi Zurinah Hassan, Sesayup Jalan pada tahun1974 terbitan Biro Penerbitan Universiti Sains Malaysia.

Pengajian Zurinah tidak terhenti setakat Ijazah Sarjana Muda sahaja. Beliau telah meneruskan pengajiannya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 2001, kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan memperolehinya pada tahun 2008.

Dunia pekerjaan merupakan suatu perkara yang menarik untuk diperkatakan tentang Zurinah Hassan. Zurinah bermula dengan menjadi sebagai tenaga pengajar di Universiti Sains Malaysia dan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya tetapi cita-citanya untuk menjadi tenaga akademik tidak tercapai. Selain daripada itu, beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan Malaysia (1982-1997). Perkhidmatan yang memakan masa selama 15 tahun, akhirnya beliau bersara pilihan demi meneruskan cita-cita dalam bidang penulisan dan menjadi penulis sepenuh masa.

Semasa bekerja beliau dengan susah payah cuba mengimbangi tugas-tugas rasmi dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada lima orang anak dan di samping itu cuba sehabis daya menulis. Keadaan ini sering memenatkan, bekerja sepanjang hari, menghadiri mesyuarat yang panjang, mengharungi sesak jalan raya dan pulang lewat petang untuk berebut pula dengan kerja-kerja rumah. Namun begitu, dorongan untuk menulis begitu kuat. Seperti mana katanya ( Zurinah Hassan, 2003: 15):



Saya mula berasa amat tertekan. Keinginan untuk menulis masih meruap-ruap. Namun masa amat terhad. Saya pulang kerja keletihan setelah seharian di pejabat dan menghadapi kesesakan lalulintas. Kerja dapur dan mengemas kain baju sedang menunggu. Kadang-kadang ada idea melintas. Saya gagahi untuk memegang pena atau membuka komputer. Baru sahaja hendak bermula, anak-anak pula datang minta pertolongan dengan kerja-kerja sekolah.


Akhirnya beliau membuat pilihan untuk bersara dan meneruskan penulisannya di samping menjaga anak-anak. Namun begitu, beliau telah dilantik menjadi Karyawan Tamu di Akademi Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1997/1998.

Apa yang nyata, pilihan untuk bersara awal adalah pilihan yang bijak dan tepat serta kena pada masanya. Beliau terus produktif dan kini merupakan salah seorang penyair wanita Malaysia yang semakin dikenali di persada antarabangsa.

Zurinah Hassan mula menulis semenjak masih kanak-kanak lagi. Beliau mula menulis puisi-puisi untuk ruangan kanak-kanak di radio. Di radio beliau menulis pantun kanak-kanak dan juga cerita-cerita pendek dalam ruangan Taman Kanak-kanak kelolaan Siti Hawa Zain. Awal tahun ’67 sajaknya mula tersiar di Warta Negara dan Utusan Zaman. Dalam Utusan Zaman inilah, Zakri Abadi mengelolakan ruangan sajak dan memberi bimbingan yang membina terhadap beliau. Bermula daripada situlah beliau menganggap menulis bukan lagi satu hobi tetapi sebagai satu tanggungjawab.Mengikut Zurinah (2003: 27) pengakuan Zakry tentang bakatnya amatlah memberangsangkan, sehingga sajaknya yang bertajuk “Perutusan” telah disiarkan di Utusan Zaman pada 14 Januari 1968 dan “Tujuh Gunung Tidak Berdaki” disiarkan di akhbar Warta Mingguan, yang diterbitkan di Pulau Pinang.

Semasa di Universiti Sains Malaysia beliau begitu obsessed dengan absurdisme, dengan menganggap hidup sebagai sesuatu yang tiada kawalan. Manusia sendirilah yang harus mengawal diri mereka. Hidup ini sebagai sesuatu yang penuh dengan teka-teki, penuh dengan peristiwa-peristiwa yang tidak dapat ditentukan oleh manusia sendiri (S.Jafaar, 1986: 19). Pada zaman awalnya (Ahmad Kamal Abdullah, 1990: 468), Zurinah Hassan mempunyai pengarang/sasterawan dalam dan luar negara yang diminatinya. Sasterawan tanah air yang diminatinya A. Samad Said kerana persoalan dan gaya bahasa beliau, Usman Awang dan Kemala kerana kemanisan bahasa mereka yang romantis, Latiff Mohidin kerana gaya bahasa abstrak dan artistik dan A. Ghafar Ibrahim kerana ketegasan pengucapannya manakala Somerset Mauhgm, penyair luar negara kerana nilai-nilai psikologi, falsafah dan seni yang terjalin dalam karya-karyanya. Penyair-penyair inilah yang menjadi dasar dalam kepenyairannya dan mencetuskan idea-idea segar untuk terus berkarya.

Kemuncak ketokohan Zurinah sebagai penyair terserlah dalam tahun 1970-an. Pada sekitar tahun ini (Mohd Thani et. al, 1988: 671) dua buah kumpulan sajaknya telah diterbitkan. Sesayup Jalanditerbitkan dengan kerjasama Biro Penerbitan Universiti sains Malaysia dalam tahun 1974. Di Sini Tiada Perhentian terbit dalam tahun 1977 oleh Penerbitan Pewarna.

Pada tahun 1971 sajaknya yang menang Bahawa Aku Pernah Hidup dan dalam tahun 1974 pula ialahSenja di Pelabuhan dan Apabila Kata-kata Menjadi Sebuah Dosa. Bagi tahun 1975, sebanyak lima buah sajak Zurinah telah terpilih iaitu Surat Hari Depan, Hidup dari Jendela Keretapi, Duhai Pentafsir,Bila Hujan Telah Reda dan Di Muka laut. Manakala dalam tahun 1976 sajak-sajaknya yang menang ialah Satu Kebetulan, Salam Perempuan dari Penjara, dan Kita Perlu Bersuara Setelah Diam yang Lama. Untuk Hadiah Karya Sastera 1982/1983, empat lagi sajak Zurinah telah terpilih iaitu Satu Cerita Cinta, Yang Pasti, Satu Percakapan Singkat dengan Teman Penyair dan Puisi Cinta yangLain. Cerpen-cerpen Zurinah yang menang ialah Dari Hati ke Hati (1975) dan Nenek (1982/1983).Sementara itu sebuah puisinya berjudul Semalu memenangi Hadiah sastera Malaysia 1984/1985. Kepenyairannya terus terserlah (Dewan Sastera, 2000: 8) apabila kumpulan puisinya Pujangga Tidak Bernama memenangi hadiah 1994/1995. Apabila Hadiah Sastera Perdana Malaysia diwujudkan pada tahun 1996/1997 sajaknya Kuda Hitam berjaya memenangi hadiah dan 1998/1999 cerpen pulaBendang Lahuma diangkat sebagai pemenang. Perkembangan kepenyairan Zurinah Hassan sememangnya bergantung kepada bakat dan kepekaannya kepada alam di sekitarnya. Dalam empat dekad ini arena kepenyairannya, memperlihatkan kematangan, kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi serta daya kreativiti dan keintelektualan semakin terserlah.

Kewujudan Zurinah dalam membentuk kepenyairannya adalah hasil daripada kesungguhan dan kelangsungan kesenimannya menghadapi dunia keseniannya. Di belakangnya berdiri dengan gagah tradisi kesusasteraan bangsanya yang diwarisi dengan kesedaran bahawa seniman lama itu telah memberikan makna terhadap kesusasteraan. Tradisi yang kaya ini adalah tradisi yang wajar dipelajari dan dihayati. Baginya karya itu adalah segar dan baru kerana tema dan persoalan yang diungkapkan secara berkesan dalam suasana yang baru. Ketauhidan masih menjadi pengangan yang kuat. Nilai kecintaan memang menjadi sesuatu unsur yang penting, tetapi cinta yang boleh melemahkan sikap, mengaburkan pendirian dan sikap dalam memperjuangkan kebenaran sama sekali akan ditolak.Zurinah Hassan tidak statik sebagai satu peribadi. Dia bergerak dan belajar meninggalkan kampung halamannya, bergaul dengan guru, teman seperjuangan untuk terus berjuang dalam mencapai cita-citanya. Untungnya dalam memanfatkan puisi, Zurinah dapat menautkan ilmu, bakat dan kepenyairannya.

Meneliti himpunan antologinya, sama ada dalam Bahasa Melayu mahu pun dalam Bahasa Inggeris, suatu titik tanda yang dapat dikesan ialah konsistenannya. Kesahajaan dan kesederhanaan bukan sahaja terserlah pada penstrukturan bentuk visual, malah dapat dikesan dan dirasakan melalui gaya bahasa dan gaya pengungkapan. Inilah jati dirinya. Kesan sedih, rasa simpati, rasa resah, kesan marah dan rasa keindahan yang menyentuh hati nurani seseorang peneliti dan khalayak pembaca terutama garapan pemikiran yang berkaitan dengan penderitaan dan keperitan hidup insan malang lantaran kemiskinan atau akibat sesuatu musibah alam seperti banjir dan kehidupan para setinggan.

Di samping itu, kesederhanaan dalam gaya pengucapan pemikirannya dengan pembentukan frasa-frasa dan kalimat-kalimat yang segar yang mengandungi makna yang berlapis menjadikan puisi-puisi Zurinah mengandungi nilai-nilai sastera yang cukup tinggi. Penerapan nilai-nilai tersebut menjadikan puisi-puisinya memukau dan penuh dengan makna yang tersendiri.

Jati diri kemelayuannya diolah sebaik mungkin menerusi puisi-puisinya. Lukisan wajah Melayu dengan warna kulit sawo matang, Kesultanan Melayu Melaka dengan pelbagai peristiwa, perlakuan budaya yang kaya dan penuh disiplin, tokoh-tokoh dan watak-watak dalam sejarah Melayu serta keresahan jiwa wanita yang terabai sebagai kekasih dan isteri. Semuanya ini menjadikan Zurinah sebagai seorang penyair yang bersungguh-sungguh, penuh kejujuran dan kecekalan dalam menghadapi dan mengatasi cabaran-cabaran yang menghantui daya kreativiti dan jiwa kenyairannya.

Puisi-puisi mutakhirnya adalah puisi-puisi yang memerhati menilai dan sama mendertai nasib Melayu. Beliau selalu merujuk kepada sejarah, kerana perspektif yang ditawarkannya, dan pandangan masa kini menjadi lebih berfokus dan tajam. Oleh yang demikian cerita-cerita dari Sulalat at-Salatin, watak dan situasi Hikayat Hang Tuah yang dihadapi Hang Jebat, Tun Teja dan Tun Fatimah digunakan sebaiknya. Dan kelihatan bahawa Zurinah lama merenung keadaan mereka, kerana makna yang dicari bukan sahaja makna sejarah, tetap¡ makna kontemporer dan yang muncul dan perspektif dua mata ini cukup bijaksana, matang dan ternyata diperas dengan susah payah dari pengalaman yang sedih serta pedih.

Dalam bidang penulisan selain daripada puisi dan cerpen beliau juga turut menulis novel. Kumpulan cerpen beliau ialah Meneruskan Perjalanan (1998). Cerpen Zurinah pernah memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera pada tahun 1975 dan 1982/1983. Manakala puisi–puisi beliau kerap memenangi hadiah tersebut pada tahun 1971, 1974, 1975, 1976, 1982/1983, 1984/1985, 1994/1995.Melalui antologi Keberangkatan, dia mendapat Hadiah Utama dalam Sayembara puisi Putra II (1984).

Karya-karya yang lain mendapat penghargaan ialah Hadiah Pertama Peraduan Cerpen Berunsurkan Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri dan penulis Rencana Terbaik anugerah Sri Angkasa ’84 anjuran Kementerian Penerangan Malaysia. Antologi perseorangan yang lain ialah Sesayup jalan(1974) dan Di Sini Tiada Perhentian (1977) (S.Jafaar,1986: 18).

Anugerah yang paling besar dalam hidupnya apabila dianugerahi Darjah Kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1991, seterusnya pada tahun 2000, beliau dianugerahi Kesatria Mangku Negara (KMN) dan pada 12 Oktober 2004, Zurinah telah dianugerahkan S.E.A Write 2004 oleh YTM Ratu Sirikit, Thailand, sebagai pengiktirafan kepenyairannya. Karyanya Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 yang berlangsung pada Disember 2004 bagi katogeri A, Buku dan Kumpulan Karya Perseorangan (Biografi), yang bernilai RM10,000. Seterusnya, karya itu juga telah dipilih memenangi Hadiah Saguhati Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia 2004.

Di antara karya-karya khususnya antologi puisi, esei, cerpen dan novel yang dihasilkan oleh Zurinah adalah seperti berikut:

Puisi

Sesayup Jalan, 1974

Kuala Lumpur (antologi bersama), 1975

Bila Kita Berbicara (antologi bersama),1976

Di Sini Tiada Perhentian, 1977

Puis-puisi Nusantara (antologi bersama),1981

Bintang Mengerdip (antologi bersama), 1984

100 Sajak Malaysia (antologi bersama),1984

Titian Laut (antologi bersama), 1984

Keberangkatan, 1985

Bunga Gerimis (antologi bersama),1986

Puisirama Merdeka (antologi bersama), 1986

Kuala Lumpur and Other Places, 1988

Pujangga Tidak Bernama, 1994

Nota Waktu (antologi bersama), 2003

Pesanan Dari Gunung Ledang, 2004

Salasilah, 2005




Esei



Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, 2003



Kajian

Sembilan Cabaran Wawasan 2020, Pen.Pewarna, Shah Alam

Sasterawan Negara Usman Awang, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986

Cerpen

Bunga Gunung (antologi bersama), 1982

Pertemuan (antologi bersama), 1982

Hawa (antologi bersama),1984

Meneruskan Perjalanan (antologi), 1989

Menjelang Pemilihan (antologi) , 2004

Novel

Hatimu Aishah, 1991

Tidak hairanlah kawan-kawan sasterawannya dan sarjana memberikan pandangan dan pendapat yang melihat Zurinah dalam kaca mata mereka baik dinilai dari segi puisi dan keperibadiannya.

Shanon Ahmad (1978:86-87) sebagai gurunya mengulas ulasannya terhadap antologi Sesayup Jalan:



Zurinah Hassan lebih berhasil bila membicarakan perihal diri dengan segala kompleksitinya, terutama aspek-aspek kewujudan wanita dengan segala kesepian frustration.



A.Samad Said (1989: 203-204) memperjelaskan tentang Zurinah:



…yang terpenting ialah ternyata Zurinah adalah seorang wanita sederhana mengharapkan atau menuntut essence of life dengan suara jelas yang terkadang-kadang berfalsafah. Suaranya sekitar keluarga, namun begitu, suara itu tidak pula boleh salah diterjemahkan hanya sebagai suara keluarga. Ada sebenarnya mendekati suara bangsa dengan keluarga sebagai landas…Zurinah melihat kemajuan dengan mata seorang wanita yang pernah susah, terlalu mencintai rumah dan keluarganya. Biasanya penyair membuat statement, tetapi Zurinah membuat sesuatu yang melebihi itu.


Tentang puisinya, Abdullah Tahir (Berita Harian,18 Februari 1975) pula dikatakan sebagai, puisi bernilai, membawa amanat, tidak membelakangi nilai sastera dan sukar bertemu dengan kata-kata yang superficial dan verbose…

Manakala Muhammad Hj. Salleh( 2004: 2):



Suaranya yang berterus terang, suara orang bercakap, berfikir secara nyaring, dan tidak dibendung oleh rasa silu bahawa ini cara yang patut atau tidak patut dikeluarkan oleh seorang wanita Melayu. Suaranya tidak sentimental dan tidak diucapkan sebagai isteri pengoda dan kekasih yang memberi berahi. Bahasanya pula ialah percakapan yang berlapik dan logik atau hujah.

Tidak lupa Dharmawijaya (1977: 58) turut memberi penjelasannya:



Dalam segala kelembutan dan kesederhanaan pengucapannya terasa kedalaman pemikiran yang menyegarkan kesedaran pembaca. Dan dengan sajak-sajak yang singkat, Zurinah telah membuktikan dirinya sebagai penyair lirik yang baik. Ketelitiannya menyusun kata-kata, menghindarkan suasana sajaknya untuk menjadi sentimental.

Ramli Isin (2004: 13):



Zurinah telah dirangsang dan diilhami oleh pelbagai fenomena dan dilema kehidupan manusia serta segala rupa bentuk flora dan fauna yang melingkarinya. Kesan daripada membaca puisi-puisi yang dicipta oleh Zurinah, walaupun tidak semuanya, saya mendapati fokus pemikirannya tidaklah terlepas daripada tiga aspek utama yang sentiasa melingkari kehidupan manusia individu mahu pun masyarakat.Iaitu pemikiran yang berhubungan sosio ekonomi, pemikiran yang berhubungan sosiopolitik dan pemikiran yang berhubungan dengan sosiobudaya.

Lim Swee Tin memberi penjelasan tentang Zurinah dalam antologi bersamanya Nota Waktu, (2004: 19):



Penggunaan alusi amat menarik dalam puisi-puisi Zurinah dalam antologi ini. Tema yang digarapkan menuntut penyair meminjam banyak alusi untuk dijadikan kiasan dan perbandingan, pengukuhan hujah, dan penambahelokkan karyanya.

Siti Zainon Ismail (2004: 25), sebagai rakan penyair wanita yang seangkatan dengannya:



Kisah dan watak wanita memang tidak dapat dipisahkan dalam puisi Zurinah. Sama ada dia “aku’ atau diberi nama dengan tokoh-tokoh klasik Melayu kerap menyatukan secara utuh di minda dan jiwa. Beberapa judul puisinya memang mudah dikesani, betapa penyair sebenarnya menyerapi keluh, resah, dan derita wanita yang digoda uji para lelaki. Penyair juga mengheret dilema wanita Melayu yang masih terikat dengan nilai konvensional, harus bersuara rendah, diam membisu dan menerima.

Zurinah Hasan (Muhamad Hj Salleh, 1986: 70) memperjelaskan hasil-hasil karya yang pernah digarapnya:



…sajak-sajak awal saya, yang ditulis dalam tahun 1967, 1968 dan 1969 mengandungi tema tentang masyarakat, terutamanya tema yang berhubung dengan petani dan nelayan. Pada masa itu saya benar-benar berminat untuk menjadi pengkritik sosial…Dalam tahun-tahun itu, jika saya melihat sawah padi saya akan terkenang akan petani yangmiskin…saya juga amat berminat dalam hal ehwal dunia, peperangan dan kebulurannya.

Berdasarkan pandangan sasterawan, sarjana dan beliau sendiri, pengkaji merumuskan bahawa Zurinah merupakan seorang yang berkaliber dan komitmen dalam membuahkan hasil-hasil karya yang cukup matang berdasarkan pengamatan, pengalaman, nalurinya sebagai seorang perempuan dan cinta kasih sayangnya terhadap keluarga dijalinkan dengan kesederhaan dan kelembutan yang dimilikinya diubah dengan cukup baik menerusi puisi-puisnya. Walaupun pada asasnya ramai yang berpendapat kemenangannya empat puisi pada tahun 1982 dan 1983 dalam Hadiah Sastera Malaysia sebagai satu kebetulan dan puisi-puisi tersebut dianggap klise dan basi. Namun begitu, manusia kreatif ini cuba menjadikan satu semangat untuk selalu memperbaharui diri dan berusaha meningkatkan kecapaian kesenian dan akademik dalam bidang yang diminatinya, puisi dan dengan ruang masa yang terluang kini, Zurinah mampu menunjukkan kemampuannya dalam menghasilkan karya-karya terutama puisi yang bermutu. Seharusnya, kita akan melihat dan tertunggu-tunggu pengiktirafan Malaysia, kepada satu-satunya sasterawan negara wanita yang memiliki pakej yang lengkap dan sempurna.



dipetik dari 

No comments:

Post a Comment