ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Thursday, August 07, 2014

PUISI WARISAN DALAM PEMBANGUNAN NEGARA



PANTUN ialah warisan bangsa yang sejak berabad menjadi media pendidikan informal . Antara jenis pantun yang terkenal ialah Pantun Nasihat yang mengandungi nasihat dan panduan terutama kepada generasi muda. Melalui pantun pantun ini dapat disalurkan permata berharga bagi membina jatidiri dan membentuk individu yang bernilai dan berguna untuk negara. 

Pantun nasihat banyak menggunakan unsur alam sebagai perlambangan dalam menyampaikan buah fikiran, nasihat dan pedoman.


ALAM DALAM PANTUN NASIHAT

PANTUN sering digunakan untuk menyampaikan nasihat dan  membentuk jatidiri . Seperti yang ditegaskan oleh Hashim Awang, Sastera Melayu sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan. Nasihat dan pengajaran ini disampaikan dengan menggunakan perlambangan terutama dari unsur alam .  Salah satu yang paling dominan ialah laut.
Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun. Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantun yang menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai, bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya.
            V.I.Braginsky telah mencatatkan bahawa laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan pantun. V.I.Braginsky (1994) mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. 
Simbol laut dan perjalanan laut  telah digunakan oleh pemikir Melayu untuk memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Antara pemikir Melayu-Islam yang terkenal dalam mempelopori kaedah pemikiran simbolik ini ialah Hamzah Fansuri, penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17.  Hamzah  menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat.  Ini terdapat di dalam syair ’Perahu’.
Nasihat Menempuh Alam Dewasa:
Rumah kecil tiang seribu
                        Rumah besar tiang sebatang
            Kecil – kecil ditimang ibu
                         Sudah besar ditimang gelombang
                        (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)
Pantun ini sering diselitkan di dalam lagu2 rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui pantun ini orang2 tua menyediakan minda anak-anak  untuk menempuh alam kedewasaan. Bila meningkat dewasa anak-anak akan dilepaskan untuk pergi mencari penghidupan sendiri. Tibalah waktunya untuk berdikari kerana di dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada ibubapa dan orang lain.
            Sejak kecil seseorang diingatkan bahawa kedewasaan  adalah umpama menyeberang lautan. Laut adalah cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”. Ungkapan “Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu ‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk  menempuh pelbagai cabaran hidup.
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza, iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya ialah  masa kecil dan masa sudah membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang seribu. Tiang adalah dokongan (support). Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan kaum keluarga. Dengan mengatakan ‘kecil-kecil ditimang ibu” mengingatkan bahawa adalah tanggungjawab ibu untuk menimang atau memberi  kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada si anak ketika dia masih kecil. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya..
Nasihat Untuk Melengkapkan Diri
 Perjalanan laut adalah simbol yang sangat lumrah di dalam pantun. Tiga rangkap pantun nasihat di bawah juga menggunakan unsur laut.
           
Kalau mengail di lubuk dangkal
       Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejengkal
      Jangan lautan hendak diduga
                    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 129)


Pantun ini menyentuh perihal pentingnya melengkapkan diri dalam menjalani kehidupan.  Seseorang haruslah menyediakan minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai cabaran. Terdapat peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan hendak diduga”.  Objek “kail panjang sejangkal” menandakan  suatu kekurangan. Di sini terkandung nasihat supaya mengukur keupayaan sendiri di dalam membuat sesuatu pekerjaan di samping  mencabar seseorang untuk menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan. Kata pantun “mengail dilubuk dangkal/ mendapat ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin cukup untuk dimakan sekeluarga. Tetapi jika berani ke tengah lautan,  di sana menunggu hasil tangkapan yang lebih lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah memerlukan alat yang lebih canggih tidak hanya kail yang panjang sejengkal.
Pohon beringin daunnya hijau
    Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
    Biduk ada pengayuh tidak.
                       (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 179)

Pantun ini menyatakan bahawa setiap orang mempunyai cita-cita dan impian. Hal ini dibayangkan pada baris “hati ingin melihat pulau”.  Namun begitu sebarang hasrat hanya dapat dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kelengkapan yang mencukupi. Kelengkapan ini termasuklah ilmu pengetahuan dan kemampuan fizikal dan mental. 
Biduk atau perahu yang dimiliki adalah simbol  ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau yang diumpamakan sebagai cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan pengayuh maka begitulah juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di dalam menempuh kehidupan.  Perahu yang selamat sampai ke destinasi adalah simbol sebuah kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu yang tenggelam di lautan membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan orang-orang yang terpilih untuk menerima rahmat Allah.

Jika dilurut padi masak
     Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
    Jangan berumah di tepi pantai.

Pantun di atas mengingatkan setiap orang untuk mengukur keupayaan. Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani mengambil risiko janganlah menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Seseorang yang tidak mempunyai cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai pengail yang mempunyai kail panjang sejengkal atau pun takut dilambung ombak Selain dari kelengkapan fizikal, setiap orang perlu mempunyai persediaan mental. Orang yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai tidak bersedia untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak untuk berada berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada jauh dari pantai

Hidup Mesti Berimbang
Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan yang luas  adalah simbol perjalanan manusia. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di tengah lautan. Kapal akan tenggelam di tengah lautan jika muatan yang dibawa terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal. Hal ini disampaikan melalui pantun:
Angin barat gelombang barat
      Barat ditiup si angin timur
Tidak dirintang muatan sarat
     Akibat laut tempat berkubur

Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran. Dua baris pembayang berbunyi (Angin barat gelombang barat/ Barat ditiup si angin timur) menggunakan unsur alam bagi menimbulkan suasana kekacauan. Terdapat kata-kata ‘angin’, ‘gelombang, dan ‘ditiup’ yang menggambarkan pergerakan yang tidak stabil. Terdapat juga dua perkara yang bertentangan iaitu ‘angin barat’ dan ‘angin timur’.  Angin barat sedang bergelombang dan angin timur sedang meniup. Ini adalah keadaan alam yang menjadi penanda satu keadaan yang tidak tenteram dan mencemaskan. 
Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang cukup tetapi tidak boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di dalam kapalnya. Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan seperti maksud pantun jika ‘tidak dirintang muatan sarat/alamat laut tempat berkubur’. Pantun ini juga memperkatakan perihal membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung nasihat supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan meninggalkan yang tidak penting.
Tumbuh-Tumbuhan Dalam Pantun
Selain laut, objek-objek alam seperti pohon atau tumbuh-tumbuhan juga sering digunakan di dalam pantun. Terdapat pantun-pantun yang menyebut bahagian-bahagian pokok misalnya batang, ranting, buah, dan bunga, serta jenis-jenis pokok, misalnya lalang, padi, langsat, keduduk, dijadikan simbol untuk menyampaikan makna pantun mengikut sifat dan fungsi bahagian-bahagian atau jenis-jenis pokok yang berkaitan.
Terdapat pantun yang memperkatakan tentang benih dan percambahan benih menjadi pokok yang baru. Kejadian ini mengandungi makna tersirat, iaitu permulaan sesuatu kejadian. Di dalam pantun ia sering ditafsirkan sebagai wujudnya  kasih sayang sesama insan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya.
Terbitlah fajar menjelang subuh
                 Murai berkicau terang cuaca
           Kalau tanaman sudi  tumbuh
               Masakan bumi tidak terima.

Pantun di atas terdapat di dalam senikata lagu Serampang Lapan, nyanyian Abdullah Chik dan Nona Asiah. Di sini  percambahan benih dijadikan petanda kepada tumbuhnya perasaan kasih sayang lalu membawa nada gembira iaitu cinta yang dinanti-nanti atau cinta yang berbalas.. Kegembiraan dibangkitkan oleh suasana yang terdapat di dalam dua baris pembayang iaitu  fajar yang terbit dan hari baru menjelang. Ini diikuti dengan murai berkicau yang membawa kesan audio atau bunyi yang riang. Cuaca terang menandakan satu harapan baru.   Matahari akan muncul dan keadaan akan menjadi cerah. Hal ini bersesuaian dengan maksud iaitu jika orang sudi menanam kasih sayang terhadap dirinya maka dia akan menyambutnya dengan penuh rasa bahagia. Pemantun menyifatkan dirinya sebagai tersangat bahagia bila tumbuhnya kasih sayang . 
Penggunaan simbol benih dan tumbuh-tumbuhan adalah penciptaan karya yang selaras dengan Al-Quran kerana terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tumbuh-tumbuhan sebagai amthal atau misal perbandingan bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah terhadap hambaNya, seperti yang terdapat di dalam ayat yang bermaksud, “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).
Pemikir-pemikir Islam juga menyifatkan hati yang tidak memiliki perasaan kasih sayang seperti tanah yang tidak ditumbuhi tanaman:
Jika hati lunak, mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani 2003: 387).

Menjaga Nama Baik
Benih yang baik menjadi simbol sesuatu yang berasal dari sumber yang baik khasnya bagi menyatakan bahawa  anak-anak yang lahir daripada keluarga yang baik-baik dan mendapat didikan yang baik akan lebih selamat walau di mana mereka berada. Hal ini menjadi maksud pantun di bawah:

Buat bangsal di Pulau Daik
     Menahan taut sambil mengilau
Kalau asal benih yang baik
     Jatuh ke laut menjadi pulau.

Sebatang pokok akan melalui perubahan. Dari kecil ia tumbuh membesar dan seterusnya menjadi tua sehingga tiba saatnya akan tumbang ke bumi. Daun-daun akan gugur bila ditiup angin. Daun-daun yang terdedah kepada tiupan angin dapat ditafsirkan  dari sudut Pendekatan Firasat bahawa manusia juga terdedah kepada segala kemungkinan. Setiap kejadian membawa perubahan dan menjadi penanda kepada kejadian yang lebih besar iaitu kehidupan manusia berbekalkan usia yang dikurniakan oleh Allah. Sebuah pantun yang menggunakan lambang daun atau pelepah yang gugur ialah:
Orang  Jawa menanam kapas
   Orang Eropah menanam anggur
      Jangan ketawa pelepah di atas
      Melihat pelepah bawah yang gugur
                           (Zainal Abidin Bakar,1984:181)

Pelepah kelapa yang  jatuh adalah kejadian yang memandu kita menyedari hakikat bahawa segala yang berada di alam fana adalah bersifat sementara. Pelepah kelapa yang mudah digugurkan itu adalah representasi manusia sebagai makhluk Allah yang lemah, manakala ribut adalah simbol kuasa Ilahi. Angin ribut yang datang dengan tiba-tiba dan tanpa amaran ini adalah kejadian alam yang memberi iktibar supaya manusia beringat bahawa mereka berada di bawah kuasa Allah SWT.
Oleh yang demikian setiap manusia mestilah berhati-hati dan tidak merasa sombong atau riak  dengan kekayaan dan kesenangan yang dikurniakan oleh Allah. Pangkat yang tinggi  diumpamakan sebagai pelepah yang berada di atas. Bila-bila masa sahaja akan berlaku kejatuhan seperti gugurnya pelepah di bawah . Kuasa yang dipegang dan nikmat yang dirasai tidaklah terjamin buat selama-lamanya.
Selain benih dan daun, terdapat juga perlambangan dari  dahan dan ranting. Dahan adalah lambang keteguhan manakala ranting lebih mudah patah dan gugur ke bumi. Dahan yang teguh menjadi tempat berteduh.  Justeru itu manusia mencari dahan untuk berteduh atau menjamin keselamatan diri.  Walau bagaimanapun ada kalanya adalah sukar untuk terus mendapatkan sesuatu yang dihajati, oleh itu  disarankan agar merancang dan melakukan pekerjaan dan sistematis.  Seandainya tidak berjaya mendapatkan sesuatu yang besar , cubalah mencapai yang lebih kecil dan lebih mudah. Hal ini diibaratkan jika tidak dapat menangkap dahan, cubalah menangkap ranting terlebih dahulu.
Anak rusa lari ke pekan
      Mati ditembak datuk penghulu
Tiada kuasa menangkap dahan
      Menangkap ranting cuba dahulu
(pantun senikata lagu Serampang Lapan)

Pantun ini jelas memperlihatkan hubungan sebab dan akibat. Dua baris pembayang maksud menceritakan perihal anak rusa yang lari ke pekan lalu mati ditembak oleh Datuk Penghulu. Anak rusa lari ke pekan ialah satu perlakuan yang luar biasa. Anak rusa yang secara tabii  berada di hutan telah keluar berlari ke pekan. Akibat dari perlakuan yang bertentangan itu telah berlaku tragedy iaitu anak rusa ditembak oleh Datuk Penghulu. Dua baris pembayang maksud itu adalah kejadian yang perlu diambil iktibar terutama di dalam mencapai kejayaan dalam sesuatu pekerjaan. Ia juga menasihati agar mengukur kemampuan diri. Jika ‘tidak kuasa menangkap dahan” cubalah dulu untuk menangkap ranting. Pantun ini memperlihatkan bagaimana setiap kejadian  menjadi penanda yang perlu diambil iktibar dan dijadikan pengajaran.
Terdapat banyak lagi pantun Melayu yang menggunakan  bunga sebagai perbandingan terhadap kehidupan dan perlakuan manusia. Sebagai contoh, pekerjaan yang tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, atau ilmu yang dangkal, tidak akan mendatangkah hasil yang memuaskan. Keadaan ini diumpamakan sebagai “bunga kembang tak jadi.” Pandangan  dan pemikiran ini terdapat dalam sebuah pantun:
Berburu ke padang datar
   Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
   Bagaikan bunga kembang tak jadi.

Pantun di atas menyentuh peri pentingnya menuntut ilmu. Hendaklah menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh. Ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang mengatakan bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan wanita. Pantun lain yang memperkatakan tentang ilmu ialah:


Kemumu di tengah pekan
      Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
       Bagai pohon tidak berbuah
      (Zainal Abidin Bakar, 1984:160)

Pantun ini memberi penekanan kepada kemuliaan ilmu dan kepentingan untuk berusaha bagi mendapatkan, mengamal dan menyebarkannya. Hal ini merupakan satu aspek dakwah kerana selaras dengan ajaran Islam yang  memuliakan ilmu. Ilmu merupakan asas untuk menentukan darjat seseorang. Islam mengakui adanya perbezaan di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat” (Surah Al-Mujadalah, ayat 58). Melalui Surah al-Alaq, Allah menegaskan bahawa Allah mengajar manusia dengan tinta (dakwat) dan pena. Islam menyatakan dengan jelas bahawa, “menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas umat Islam baik lelaki ataupun wanita” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Orang-orang yang menyebar ilmu adalah dimuliakan, malah diberi jaminan bahawa, “setelah mati anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan doa dari anak yang soleh, sedekah jariah yang pernah dikeluarkan, dan ilmu yang disebar dan dimanfaatkan” (Ehsanul Karim, 2006:139).

KESIMPULAN:

Kesusasteraan Melayu telah menjalankan peranan untuk mendidik masyarakat khasnya melalui Pantun Nasihat.  Pantun Nasihat menyalurkan pedoman untuk menjalani kehidupan agar selamat di dunia dan di akhirat. Pantun Nasihat mengandungi pemikiran dan falsafah yang  mencerminkan pandangan dan pegangan hidup orang Melayu. Segala nasihat disampaikan menerusi bahasa yang diperindah dengan penggunaan kias ibarat dan perlambangan yang diambil dari unsur-unsur alam. Semua ini membuktikan bahawa orang-orang Melayu adalah pemerhati alam yang tekun. Imej laut lebih banyak digunakan untuk pantun-pantun yang berisi falsafah dan pemikiran manakala objek alam yang berupa tumbuh-tumbuhan lebih banyak digunakan untuk menyatakan perihal kasih sayang di antara manusia dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya.
Rujukan:


Abdul Qadir al Jailani(terj. Qodirun Nur), 2004.(cetakan ketujuh), Al-Fath ar- Rabbani Kuala Lumpur: Thinkers Library
Hashim Awang, 2002. “Teori Pengkaedahan Melayu dan Prinsip Penerapannya”. Kertaskerja Bengkel Kajian Teori Sastera Melayu anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28- 29 Jun di Riviera Bay Resort, Melaka


Muhammad Haji Salleh Puitika Sastera Melayu, 2000, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sheikh Abdullah Basmeih, 1980. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran, Kuala Lumpur: Darulfikir

Zainal Abidin  Bakar, 1984, Kumpulan Pantun Melayu Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
.
Zurinah Hassan, Unsur Alam dalam Puisi Melayu , 2010 . Penerbit UKM.



No comments:

Post a Comment