OLEH
ZURINAH HASSAN
(Dewan
sastera Ogos 2010).
aku poskan cerpen lama untuk tujuan simpanan dan bacaan sesiapa yang belum membca atau terjumpa.
Tanah Hulu Negeri telah dilanda ribut
pemilihan yang kencang. Hampir sebulan lamanya ribut itu menggoncang setiap
ruang.
Hari ini daerah itu telah kembali
kepada suasananya yang asal tidak lagi diasak oleh segala jenis manusia yang
datang entah dari mana. Mereka yang datang
berduyun-duyun telah berangkat pulang ke tempat asal masing-masing. Yang menang
pulang dengan senyuman. Yang kalah pulang dengan rungutan. Maka tinggallah watak-watak di dalam cerita
berangkai ini
1.
Ina, gadis kecil
Gadis kecil sepuluh tahun yang dipanggil Ina, menyanyi-nyanyi dan
menari-nari riang. Ina merasa senang kerana ayah dan ibu sudah berada di rumah.
Dalam perkiraan Ina sudah begitu lama
dia tidak dapat bermesra dengan ibu dan ayah. Mereka keluar rumah awal pagi dan
tidak pulang hingga larut malam. Ibu
memujuk Ina supaya bersabar kerana ayah dan ibu mesti bekerja keras. Ayah dan
ibu sibuk mengatur perjumpaan dan ceramah. .
Ayah dan ibu bekejar ke sana ke mari merayu kepada orang-orang
yang dikenali dan orang-orang yang tidak dikenali agar datang ke padang
mendengar pidato. Pada malam pemimpin negara datang menyampaikan ucapan ayah
dan ibu tak senang duduk dilanda resah
gelisah takutkan padang tidak penuh sesak . Kalau tidak ramai yang datang, mereka akan dianggap tidak cekap dan tidak
pandai menjalankan tugas publisiti. Ayah dan ibu sangat mengharapkan puji-pujian dari pemimpin.
Suasana semakin lega sekarang. Di luar
tiada lagi orang-orang yang tidak dikenali berjalan-jalan ke sana kemari. Tiada
lagi orang berkumpul dan bercakap kuat bagai akan putus urat leher. Ina pun menyanyi
lagu kesukaannya;
yang laut balik ke laut
yang darat balik ke darat
Dia melambai-lambaikan selendang
panjang ibunya, menggayakan tarian Ulet Mayang yang dipelajarinya di sekolah.
Dia menyanyi dan menari di hadapan abang
sulungnya Asrul .
2-
Asrul yang ingin jadi sasterawan
Asrul, seorang pemuda kacak berusia
dua puluh empat tahun lulus dari sebuah university tempatan. Petang itu Asrul duduk di kerusi panjang memandang
ke arah adik bongsunya Ina yang sedang menari-nari. Suara Ina agak membingitkan
tapi Asrul tidak berani menyuruh adiknya diam. Gadis kecil itu adalah anak bongsu kesayangan semua orang di dalam
keluarga.Usianya jauh lebih muda dari abang-abangnya. Kadang-kadang Asrul
hilang sabar dengan perangai Ina yang masih kebudak-budakan itu. Suara dan aksi
Ina agak mengganggu jalan fikirannya.
Asrul yang menyimpan impian untuk menjadi penyair
besar itu menulis di dalam buku catatannya:
Wahai di manakah tempat bangsaku akan
berteduh
Bumbung lama seperti akan runtuh
Bumbung baru seperti tidak teguh.
Asrul terus berfikir . Dia berharap akan diilhami dengan baris-baris yang lebih baik
untuk menggambarkan keadaan bangsanya yang sedang keliru itu. Kekeliruan itu
jelas terlihat di dalam suasana kampungnya pada minggu minggu yang telah
berlalu. Pemilihan yang telah berlangsung menyaksikan
pertandingan di antara dua parti politik yang besar. Kedua-duanya menggunakan
warna biru. Maka penuh sesaklah kampungnya dengan poster dan sepanduk berwarna
biru bergantungan di sana sini, berbuai-buai ditiup angin. Biru di sana biru di
sini. Sehingga bolehlah disifatkan sebagai haru biru.
Pagi tadi dia sempat membaca cerpen
baru, seorang sasterawan tersohor yang diminatinya. Cerpen itu mengisahkan
tentang sekumpulan kambing yang baru saja kematian gembala. Kambing yang
beratus-ratus ekor itu sudah kehabisan rumput untuk diragut. Tiba-tiba hujan
turun dengan lebatnya. Kambing-kambing itu mengebek-ngebek dan memekik-mekik
mencari tempat perlindungan. Suara mereka kedengaran begitu sayu seolah-olah
memanggil gembala yang sudah tiada untuk membawa mereka ke tempat perlindungan.
Mereka ternampak dua buah bangsal.
Sebuah bangsal sudah lama didirikan dan sebuah bangsal lagi baru sahaja
bertapak. Mereka hendak ke bangsal yang lama tetapi terdengar suara melarang
“Hey, jangan ke situ. Di situ ada serigala yng ganas. Dia akan meratah kamu”.
Mereka hendak ke bangsal yang baru tetapi ada suara menegah “Jangan ke sana, di sana ada ular yang bisa.
Dia pandai membelit”.
Asrul dapat menangkap maksud cerpen
itu. Sang sastrawan sebenarnya tidak
bercakap tentang kambing. Kambing itu adalah dirinya, keluarganya dan
orang-orang yang seketurunan dengannya. Mereka sekarang dalam kecelaruan yang amat sangat. Mereka sudah
tidak tahu yang mana fitnah dan yang mana benar. Di kiri dan di kanan mereka
diasak dengan pelbagai cerita dan kata nista. Gambar-gambar yang tidak senonoh
disebar luas sehingga kepada anak-anak sekolah sebaya Ina. Sungguh pelek hal ini boleh berlaku di dalam
masyarakat dan negara yang telah mengharamkan segala bentuk fornogarfi
Sejak keluar universiti dua tahun yang lalu Asrul kerap membaca
karya-karya sastera dan cuba menulis puisi. Begitulah cara dia mengisi masa
sambil membantu ayahnya Umar menjaga ayam ternakan. Walaupun dia mendapat imbuhan
tetap RM sembilan ratus untuk memberi
makan ayam dan membuat kerja-kerja di reban, Asrul
masih menganggap dirinya seorang siswazah menganggur.
Setiap hari dia berharap akan dapat
meninggalkan reban ayam ayahnya. Dia menunggu dan mengharap akan tibanya surat
yang menjemputnya ke jawatan yang diidamkan. Betapa bahagianya kalau dapat
berkerja di pejabat yang berhawa
dingin, memakai kot dan tali leher.
Dia juga ingat kepada hutang PTPTNnya
yang masih belum berkurangan.Kabarnya jumlah hutang akan bertambah kerana
bayaran perkhidmatan akan dikenakan. Itu yang membebankan minda Asrul sekarang.
Dalam keadaan itu dia sering menulis puisi yang bernada sinis dan marah-marah .
Dalam keadaan begini dia mudah dihasut: Kau tak dapat kerja kerana duit negara sudah
habis akibat amalan rasuah dan pembaziran.
Tapi apa yang dapat dibuatnya selain
menolong ayah di reban. Sekurang-kurangnya dapat juga sedikit wang. Kata ayah Asrul tidak perlu mengharapkan kerja lain, lebih baik tumpukan saja kepada
bidang ternakan. Dia sepatutnya berusaha untuk menjadi petani dan penternak
moden. Kerajaan telah sediakan pelbagai bantuan untuk orang yang mahu berusaha
di dalam bidang ini. Bukankah ada kalimah yang terpampang di papan-papan tanda
: Pertanian adalah perniagaan.
Asrul tidak berani bertengkar dengan
ayahnya. Dia cuma bersungut di dalam hati: “kalau aku nak jadi penternak ayam
apa gunanya aku belajar sampai ke universiti. Orang yang tidak ada sijil SPM
pun boleh buat kerja-kerja begini. Apa gunanya aku jadi siswazah kalau hendak
buat kerja-kerja kotor seperti ini.”
Tugas Asrul bertambah dengan
kedatangan pilihanraya. Selepas memberi
makan ayam dan mencuci reban, Asrul disuruh mengetuai kerja-kerja menampal
poster dan sepanduk Parti Lama yang akan
bertanding melawan Parti Baru. Sebagai
anak yang patuh, Asrul menjalankan tugasnya. Namun sebenarnya
dia tidaklah taksub dengan mana-mana
parti pun. Dia sedih bila diberitahu banyak wang negara yang hilang akibat amalan rasuah dan pembaziran pemimpin-pemimpin Parti
Lama. Namun dia tidak yakin Parti Baru boleh melakukan apa-apa keajaiban untuk
mengembalikan wang negara yang hilang itu. Dia hanya memerhatikan apa yang sedang berlaku
dan berlalu di hadapan matanya. Biarlah semua itu berlalu . Dia akan mengundi pada
hari pemilihan, tetapi belum tentu simbol
mana yang hendak dipangkahnya.
Simbol kedua parti bertampalan dan
bergantungan penuh sarat dan berat di segenap pokok dan tiang di kampungnya. Kedua
parti berlawan-lawan untuk membanyakkan sepanduk-sepanduk mereka. Terjadi juga perkelahian untuk merebut pokok
kelapa untuk menampal poster. Inilah yang dinamakan perang poster. Asrul tahu ramai kawan-kawannya
yang seronok dengan keadaan ini. Mereka mengambil upah menampal poster dan
merosakkan poster parti lawan. Kadang-kadang mereka merosakkan poster parti
yang mereka tampal sendiri supaya boleh ditampal lagi dan diupah lagi.
Kadang-kadang terlintas juga di
pemikiran Asrul. “Ah apalah gunanya beriya-iya menggantung poster. Apalah
gunanya menonjolkan sesuatu simbol parti
kalau selepas menang pilihan raya,
seorang wakil rakyat boleh melompat ke parti lain. Tidakkah ini semua kerja
bodoh dan sia-sia” . Pada pendapat Asrul, sepatutnya dibuat undang-undang tidak
boleh berpindah parti selepas menang atau batalkan saja kerja-kerja menggantung
poster. Semua pemikiran itu tinggal di
dalam benaknya sambil dia terus melakukan sahaja apa kerja-kerja menggantung
poster seperti yang disuruh oleh ayahnya Umar.
3-
Umar, tauke ayam
Umar, ayah Asrul yang berusia empat
puluh lima tahun, dikenali di Hulu Negeri sebagai tauke ayam. Umar memang sangat
berterima kasih atas limpah bantuan dan pertolongan pihak berkuasa. Jikalau
tidak kerana bantuan-bantuan ini dia yakin reban ayam tertutupnya tidak akan
siap. Langkah pertama ialah memohon pertolongan di bawah skim tanah terbiar.
Umar menerima beberapa ribu RM
untuk menebang belukar dan
meratakan tanah. Sebelum itu dia sudah beberapa kali turun naik pejabat
wakil rakyat untuk memohon sokongan bagi
membuat pinjaman. Akhirnya pinjaman itu diluluskan walaupun jumlahnya kurang
daripada yang dipohon.
Reban tertutup telah didirikannya dengan modal yang besar. Umar bekerja keras dan cuba mengatasi pelbagai masalah yang mendatang. Kadang-kadang ayam sakit dan hasilnya
berkurangan. Mujur juga ada insentif
khas untuk pengeluaran makanan. Umar bergantung harap kepada insentif tersebut
untuk melegakan bebanannya. Malangnya sejak awal tahun lalu kerajaan telah
memberhentikan pemberian insentif pengeluaran makanan dengan alasan kekurangan
dana. Umar merasa sakit dan tersepit. Beberapa kali terlintas di fikirannya
untuk tidak mengundi Parti Lama.
Hati Umar berbunga kembali dan semakin
teguh bersama Parti Lama kerana baru-baru ini dia dapat bercakap-cakap sendiri
dengan menteri. Dia meluahkan segala masalahnya. Pada hari itu juga menteri
telah mengumumkan bahawa pemberian insentif pengeluaran makanan akan
diteruskan. Beliau juga meluluskan
bantuan serta merta sebanyak RM dua
puluh ribu untuk mempertingkat perusahaannya. Menteri juga bersetuju untuk
menurap jalan masuk ke reban yang selama ini becak.. Jalan itu sudah menjadi
beban masalah yang sangat berat baginya.
Lori membawa dedak pernah tersangkut beberapa kali. Sudah bertahun dia
merayu agar dibuat sesuatu tetapi jawaban yang didapatinya sama sahaja, iaitu
kerajaan tiada peruntukan. Bukan Umar seorang yang mengeluh. Di situ juga ada
Pak Sani yang menternak kambing dan Haji Osman yang menanam nenas. Tetapi bila menteri melawat dia terus meluluskan peruntukan untuk menurap
jalan.
Kerana bantuan ini Umar sanggup berhujjan
dan bertengkar di sana sini sehingga kerongkongnya perit dan batuk-batuk. Umar
tidak jemu-jemu mengingatkan anak-anaknya supaya jangan terpengaruh dengan
kempen-kempen parti lawan. Kata Umar kita mesti tahu mengenang budi dan
menghargai jasa . Pilihlah orang
yang telah menunjukkan jasa dan
menolong kita selama ini. Umar bertengkar dengan orang-orang yang sudah
termakan dengan hasutan parti lawan dan berkawan rapat dengan ketua-ketua parti
lawan, termasuklah adiknya sendiri, Salleh.
4-
Salleh, penjual cd ceramah
Salleh yang berusia empat puluh tahun
tinggal di kampung Hulu Negeri tanpa sebarang kerja yang tetap selain menolong
isterinya membuat direct selling satu produk kesihatan. Pendapatan mereka tidak
menentu dan inilah yang sering mencetuskan perbalahan dengan isterinya. Tetapi
sejak tiga tahun yang lalu mereka sudah jarang bertengkar kerana Salleh sudah
dapat membawa pulang wang yang mencukupi untuk makan minum dan menyengolahkan
anak-anak. Salleh mula aktif ke sana ke mari mengikut ketua-ketua Parti Muda yang
mengadakan ceramah di seluruh negara.
Salleh meninggalkan rumah berhari-hari
untuk mendengar ceramah pemimpin-pemimpin Parti Muda. Dia akan membawa bersama
alat perakam yang dibelinya secara berhutang dari kedai Ameng. Ceramah itu
dirakam dan diperbanyakkan. Cakra padat itu diedar kepada rangkaian penjual
pasar malam dan pasar siang.
Cakra
padat yang berisi pidato pemimpin-pemimpin Parti Baru selalunya laris. Ramai
yang sudah menjadi peminat dan leka menonton pemidato yang petah. Pelbagai
cerita dan tidak kurang juga kata nesta yang disampaikan dengan nada yang
memikat. Mereka memiliki gaya yang hebat. Mereka menguasai seni retorika Penonton tak habis-habis ketawa
kerana mereka juga pandai berjenaka mengalahkan Raja Lawak yang dicari oleh
sebuah stesen television. Inilah satu corak hiburan baru di dalam negara yang menguntungkannya. Memang hebat pidato
ketua-ketua Parti Baru., penuh jenaka. Pedas dengan nista, tajam dengan
tuduhan-tuduhan terhadap Parti Lama. Pidato-pidato seperti inilah yang memikat
ramai pendengar. Tentu laris bila dijual di seluruh negara.
Setiap kali Salleh mendapat rakaman
baru, dia akan memanggil kawan-kawannya ke rumah. Mereka berkumpul dan menonton
hingga jauh malam. Kadang-kadang isterinya Asma menegur, “Awak ni tak
habis-habis dengan cd ceramah Parti Baru. Sepatutnya awak dengar juga ceramah
Parti Lama. Barulah dapat maklumat yang seimbang. Mana boleh dengar sebelah
pihak saja”. Salleh cepat-cepat menjawab rungutan isterinya, “Hah, macam mana
nak dengar ceramah Parti Lama. Mana ada orang mereka yang pandai bercakap”.
Salleh tidak pedulikan omelan isterinya. Dia tahu Asmah mungkin telah mengundi
Parti Lama sebab baru-baru ini keluarganya telah menerima wang sebanyak sepuluh ribu RM. Wang itu diberikan
sebagai pendahuluan. Banyak lagi wang yang dijanjikan.
Asmah dan keluarganya bergembira
sekarang kerana masalah pampasan tanah
yang dihadapi sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu telah dapat
diselesaikan dalam masa beberapa hari sahaja.
Abangnya Umar menuduh dia menjadi
pengkhianat bangsa kerana sanggup menyebar bahan-bahan yang berunsur dusta. Dia
menyangkal tuduhan itu. Dia membuat kerja-kerja itu untuk mencari rezeki untuk
keluarga..Umar tetap berkata dia menyebarkan bahan-bahan yang boleh merosakkan
masa depan bangsa. Lama juga mereka bertengkar. Akhirnya Salleh dan Umar tidak berteguran lagi.
Keputusan pemilihan sudah pun diketahui.
Parti yang disokong oleh Umar sudah pun diistiharkan sebagai pemenang.
Pemimpin-pemimpin negara telah hadir di dalam dewan pada malam pengumuman. Radio dan Television
menyiarkannya secara langsung. , Mereka
bertepuk sorak riuh rendah bunyinya. Tentu
abangnya Umar bergembiara dengan keputusan itu. Tentu Umar telah berkata, “Hah
biar padan muka si Salleh yang menyokong
Parti Baru itu”.
Salleh sudah menerima kekalahan itu. Tetapi
dia tidak merasa satu kerugian yang besar.. Dia sudah merakam banyak ceramah
dengan alat perakamnya. Salleh menyusun
dengan teliti cakra padat tersebut. Inilah hasil usaha gigihnya selama dua
minggu. Kali ini dia benar-benar beruntung. Bukan mudah mendapatkan sebegitu
banyak ceramah hanya dalam tempoh dua
minggu dengan tidak payah meninggalkan Hulu Negeri. Dia tidak payah meninggalkan
rumah kerana semua pemidato-pemidato hebat Parti Baru turun membuat ucapan di kampungnya. Biasanya dia terpaksa
membuat perjalanan beratus-ratus kilometer ke utara atau ke selatan, ke timur
atau ke barat untuk mendapatkan ceramah-ceramah yang sebegini banyak.
Salleh
tidak pernah memberitahu sesiapa , parti
manakah yang diundinya di dalam pilihanraya. Tetapi dia berterima kasih kepada Parti Baru
kerana selama ini dia dapat mencari rezeki dengan kerancakan ceramah mereka. Sekurang-kurangnya
dia beroleh pendapatan dengan merakam dan mengedar cakra padat. Dia berterima
kasih juga kepada Ameng taukey kedai rakaman dan dan cetakan cd yang
bermurah hati memberi kemudahan dia berhutang alat perakam. Esok dia
akan ke kedai Ameng di Bandar sana. Ameng akan membuat suntingan dan membuat
segala yang perlu untuk menghasilkan cd
yang menarik. Ameng memang handal di dalam bidang ini.
Terima
kasih juga kepada Aseng yang memperkenalkan dia kepada Ameng.
5-
Aseng, seorang pekedai di Hulu Negeri
Aseng,
50 tahun, adalah tuan punya kedai yang terbesar di Hulu
Negeri. Dia merasa amat gembira kerana dalam masa sebulan kedainya dikunjungi
ramai pelanggan. Wang datang mencurah-curah bagaikan air hujan. Aseng meletakkan beberapa biji buah limau dan
menyalakan colok di hadapan gambar moyangnya .. Dia mengungkapkan kata-kata “Terima
kasih moyang kerana telah berusaha dengan pintar sehingga kami sekarang dapat
hidup senang di Hulu Negeri”.
Moyangnya bukan penduduk asal negeri
itu. Dia telah merantau jauh dari tempat kelahirannya yang selalu dilanda
bencana. Kisah kedatangan moyangnya ke Hulu Negeri selalu diperbualkan oleh orang-orang
lain yang mengaku keturunan asal tanah itu
sejak turun temurun dan beratus-ratus tahun. Mengikut cerita mereka,
moyang Aseng laki isteri telah berjalan
berhari-hari menyusur sungai hingga sampai ke situ. Mereka ditemui dalam keadaan letih dan kelaparan. Mereka
ditolongi oleh orang-orang kampung yang
memang terkenal dengan sifat pemurah dan berbudi bahasa. Moyang Aseng sihat semula dan menumpang duduk di kampung
itu dengan membuat pelbagai kerja untuk mencari makan. Orang kampung pun senang
hati melihat kerajinan mereka. . Dipendekkan cerita mereka tinggal di situ
hingga beranak cucu.
Aseng tahu Umar sudah bermasam muka dengan
Salleh. Selain Umar dan Salleh, ramai
lagi adik beradik, pupu poyang yang tidak lagi bertegur sapa kerana tidak menyokong
parti yang sama. Dia tahu kerana mereka pernah
bertengkar di kedainya.
Tetapi Aseng tidak pernah bermasam
muka dengan sesiapa. Siapa pun yang datang ke kedainya akan dilayan dengan
baik. Umar baru saja datang membeli berguni-guni dedak untuk ayam. Dia bermanis muka dengan Umar walaupun dia
tahu kalau tidak dilayan dengan baik pun Umar tetap akan membeli dedaknya
kerana dialah yang akan membeli ayam-ayam Umar.
Aseng sudah menelepon sahabatnya Ameng memberitahu yang Salleh akan datang
membawa master cd untuk dibuat suntingan dan salinan. Ameng akan mendapat banyak wang. Aseng tidak perlu bermasam muka
dengan Salleh. Salleh akan mendapat keuntungan dari cd yang dijualnya. Dia akan
terus bermanis muka dengan Asmah dan
ramai lagi orang kampung yang telah menerima wang pampasan. Dengan wang yang
banyak mereka akan kerap datang dan membeli belah di kedainya.
Sehari dua lagi seorang lagi sahabatnya,
Aleng, akan mengaut keuntungan yang berganda-ganda. Parti yang menang sudah
menabur janji untuk membesarkan sekolah dan membaiki banyak rumah. Bahkan ada rumah yang didirikan atau dibaiki
semasa tempoh berkempen. Sungguh cepat dan mudah seperti memasak mi segera
lakunya. Aleng begitu sibuk melayan kontraktor-kontraktor yang datang membeli
paku dan simen. Siapa pun yang menang
tidak menjadi masalah bagi mereka. Inilah nikmat hidup di Hulu Negeri yang
bahagia.
No comments:
Post a Comment