ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, July 27, 2020

Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan bahasa serta mengandungi perumpamaan dan misal perbandingan terutama yang dikaitkan dengan unsur-unsur alam. Al-Quran menggunakan perlambangan atau Amsal yang diertikan sebagai “menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dan mendekatkan sesuatu yang abstrak dengan sesuatu yang inderawi (konkrit)” (Ahsin W. Al-Hafidz, 2005:24). Bahkan, Allah SWT berfirman dengan jelas tentang penggunaan unsur alam sebagai metafora ini. Hal ini dapat dilihat melalui ayat yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan (metafora) apa sahaja (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih kecil daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka.” (Surah Al-Baqarah ayat: 26)

Terdapat ayat-ayat yang menjelaskan penggunaan perlambangan dan perbandingan di dalam Al-Quran. Antaranya:

1. “Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan maka dengarlah olehmu perumpamaan itu (Surah Al-Hajj, ayat 73-74).2. “Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan” (Surah ar-Ra’ad, ayat 17).

3. “Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya” (Surah al-Ankabut ayat 43 ).

4. “Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran” (Surah az-Zumar, ayat 27

Ayat-ayat di atas menyebut tentang penggunaan metafora dan perumpamaan dalam Al Quran. Metafora dan perumpamaan merujuk kepada misal perbandingan . bahasa kiasan, , atau  menyatakan sesuatu dengan menyebut sesuatu yang lain yang mempunyai aspek aspek persamaan. Kebanyakan missal perbandingan ialah dengan unsur alam.

 Hal ini dijelaskan melalui ayat Surah Al Baqarah ayat 164.yang bermaksud:

     Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; dengan demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit, lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang-binatang, demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah, terapung-apung di antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semua itu ada tanda-tanda keesaan Allah bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.      

                                                    

Di dalam ayat di atas

 Allah SWT menerangkan bahawa setiap kejadian alam adalah tanda kebesaran Allah yang mencipta segala-galanya. Manusia diminta menggunakan akal fikiran untuk memerhati kejadian di langit dan di bumi kerana segalanya adalah tanda-tanda yang mengandungi makna tentang keesaan Allah. Di antara unsur alam yang disebut di dalam ayat di atas ialah:

§     pelbagai jenis haiwan.

§     pertukaran malam dan siang (waktu)

§     kapal-kapal yang belayar di laut

§     tumbuh-tumbuhan

Dengan berpandukan ayat di atas, tulisan ini seterusnya akan ditumpukan kepada empat unsur alam tersebut, iaitu  pertukaran malam dan siang (waktu), laut dan perjalanan laut, tumbuh-tumbuhan, dan pelbagai jenis haiwan .

Dua unsur yang akan disebut di sini ialah Laut dan Lautan dan Pertukaran malam dan siang (Peredaran hari).

         LAUT DAN LAUTAN

Laut digunakan dalam dua cara terbesar:

         1.    Laut yang luas dan bertenaga menjadi simbol kekuasaan Allah. Keluasan laut             merepresentasi keluasan alam ciptaan Allah dan keluasan ilmu Allah.

2.    Laut dan perjalanan laut mengandungi makna perjalanan manusia di dalam kehidupan dan juga perjalanan menuju ke akhirat.

  Laut dan keluasannya digunakan sebagai simbol kebesaran Allah dan keluasan alam ciptaanNya. Laut dijadikan perbandingan untuk menyatakan tentang keluasan ilmu Allah atau kalam Allah. Hal ini dilihat daripada ayat yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan (Surah Al-Kahfi, ayat 109). 

·         Kehidupan adalah ibarat sebuah pelayaran dan hanya Allah dapat menyelamatkan manusia daripada bencana karam di tengah lautan seperti yang diperingatkan oleh Al-Quran, “Dan jika Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan mereka, kira-kiranya Kami lakukan demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka dan mereka juga tidak dapat diselamatkan ( Surah Yaa Siin,  ayat 43).

·         Kewujudan laut dapat diterjemahkan sebagai rahmat Tuhan khasnya kepada manusia. Laut sebagaimana ciptaan Allah yang lain adalah amat besar manfaatnya. Allah berFirman, “Dan Dialah yang memudahkan laut supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat  kapal-kapal belayar padanya, dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan supaya kamu bersyukur” (Surah An-Nahl, ayat 14).

·         Laut menyediakan laluan untuk manusia mengembara dan membina tamadun. Pada laras yang lebih tinggi laluan ini mengandungi makna tersirat, iaitu kehidupan dunia adalah laluan ke akhirat. Aspek ini ditegaskan oleh ayat yang bermaksud, kegunaan laut amat jelas daripada ayat, “Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dan juga supaya kamu bersyukur (Surah Al-Jaathiyah, ayat 12).

·         Laut di dalam Al-Quran telah mengemukakan kisah-kisah yang boleh dijadikan teladan dan iktibar seperti yang diseru oleh ajaran Islam. Di dalam kisah Nabi Nuh, Allah telah mewahyukan kepada Nuh untuk membina bahtera sebelum terjadinya banjir yang besar dan seluruh daratan telah menjadi laut. Bahtera yang menjadi penyelamat itu adalah simbol pertolongan Allah terhadap hambaNya yang beriman, sepertimana maksud ayat, “Dan sesungguhnya Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf” (Surah Al-Qamar, ayat 15).

 UNSUR WAKTU DAN PERJALANAN HARI.

Pertukaran malam dan siang adalah ketentuan Allah yang membuktikan kebijaksanaanNya. “Bahawa sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal (Surah Ali-Imran, ayat 190).

Peredaran waktu  adalah bukti kesempurnaan ciptaan Allah SWT dan rahmat yang dikurniakanNya. Hal ini diterangkan melalui ayat yang bermaksud, “Dan sebahagian daripada rahmat Allah itu ialah dijadikanNya bagimu malam dan siang, agar kamu dapat beriistirahat dan bekerja mencari rezeki kurniaNya, dan akhirnya agar kamu sekelian suka bersyukur” (Surah al-Qasas, ayat 73).

Perjalanan hari sepatutnya mengingatkan manusia kepada perjalanan usianya. Hal ini dinyatakan di dalam ayat; “Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya) atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu) (Surah Al-furqan, ayat 62).

Peredaran waktu dan kaitannya dengan alam terjelas di dalam ayat yang bermaksud; ”Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan silih berganti. Dan Ia pula yang mencipta matahari dan bulan serta bintang-bintang semuanya tunduk kepada perintahNya” (Surah Al-A’raf, ayat 54).

Antara lain, kejadian peredaran itu ialah supaya manusia dapat mengira masa (hari, bulan dan tahun) seperti yang dijelaskan oleh ayat: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya)” (Surah Yunus,  ayat 5).

Manusia diminta memerhati dan memikirkan kejadian peredaran malam dan siang yang melibatkan peredaran bumi, matahari dan seluruh cakerawala kerana perkara ini membuktikan kekuasaan Allah dalam mengatur,mentadbir dan memelihara alam di dalam undang-undang yang tersusun rapi.Hal ini diterangkan oleh ayat yang bermaksud, ”Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”  ( Surah Yunus, ayat 6 ).

Merenungi kejadian yang dicipta oleh Allah adalah dengan menggunakan matahati dan akal fikiran kerana  segala kejadian yang dicipta oleh Allah mempunyai makna dan memberi iktibar bagi orang yang mahu berfikir, seperti yang terkandung di dalam ayat yang bermaksud; “Allah menukarkan malam dan siang silih berganti, sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik matahatinya iaitu berfikir (Surah An-Nur, ayat 44).

                                                                                         


Sunday, July 12, 2020

PANTUN: ANTARA PEMBAYANG DAN MAKSUD. Seseorang menghantar watsapp bertanyakan mestikah dua baris pertama pantun mempunyai hubungan dengan dua baris kedua yakni bukan sekadar untuk mendapatkan rima. 
Jawapan saya: 2 baris pertama ialah pembayang. Fungsinya  memBAYANGkan  apa yang akan berlaku pada dua baris akhir. 
Pembayang yang baik tidak boleh lari dari MAKNA dan SUASANA dalam maksud. Jika dua baris maksud  membawa keadaan  cemas atau  suasana cemas, maka dua baris pembayang mesti ada suasana yang sama.
Namun begitu, ciri-ciri ini hanya ada dalam pantun yang baik sahaja. Bukan semua pantun dapat digolongkan sebagai baik atau  Sempurna. 
Antara pantun yang diminta saya ulas: 

Kusangka nanas di tengah padang 
Rupanya pandan yang berduri
Kusangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari.

Suasana dan makna dalam pembayang adalah sama dengan maksud iaitu harapan yang  kecewa.. Apa yang disangka tidak menjadi kenyataan. Yang diharap ialah nanas yang boleh dimakan, rupanya bukan, Ia hanya pokok pandan yang seperti nanas tapi tiada buahnya. Kusangka panas hingga ke petang. Yang diharapkan ialah keadaan yang baik dan selesa tetapi kecewa di pertengahan kerana pada tengahhari hujan telah turun. 

Budak-budak mendayung perahu
Sambil berdayung sambil bermain
macam mana bunga tak layu
Embun menitis di tempat lain

Pantun ini membawa maksud kekasih yang tidak setia, tidak serius tidak bersungguh-sungguh menyebabkan cinta tidak kekal yang dilambangkan sebagai bunga layu. Dua baris pembayang juga membawa gambaran keadaan tidak bersungguh-sungguh iaitu sambil berdayung sambil bermain. 
Sambil berdayung sambil bermain menunjukkan tiada konsentrasi kepada kepada tugas yang satu. Buat sambil lewa,  Ini sesuai dengan dua baris maksud yang mengisahkan kekasih yang tidak tertumpu atau setia kepada  satu sahaja.   Akhirnya membawa kecewa. 

Tuai pada antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak 
Esok jangan rindu-rinduan.

Pantun ini menasihati agar mengambil berat akan kekasih selagi ada masa dan peluang. Si kekasih memberi nasihat agar selalu mengintai , dalam ertikata selalu menjenguk, melihat keadaannya.  Pantun ini membawa pesanan supaya jangan sesekali mengambil ringan dan terlalu yakin bahawa hubungan akan terus berjalan dengan baik tanpa dipupuk dan dijaga. Pembayang “tuai padi antara masak” mengingatkan pesawah supaya bersedia menuai padi ketika padi “antara masak”, maknanya, ada yang sudah kekuningan dan ada yang kehijauan. Jika ditunggu semuanya masak, adalah dibimbangi padi akan layu sebelum sempat habis dituai. Kedua pembayang dan maksud memberi penekanan kepada penggunaan masa dan peluang.

Wednesday, July 08, 2020




Banyak puisi telah ditulis dan  banyak lagu telah dicipta hasil dari perjalanan seseorang dari satu tempat ke suatu tempat. Puisi puisi tersebut bertemakan  hidup dan perjalanan. Puisi tentang perjalanan dipenuhi imej lebuh raya,  kenderaan dan pemandangan yang dilihat di luar kenderaan.  Penyair berfikir tentang perjalanan hidup manusia lalu mencambahkan idea atau ilham untuk mencipta karya. Perjalanan adalah pergerakan fizikal yang mempengaruhi pergerakan mental dan kerohanian.
Sebilangan besar sajak saya memperlihatkan hubungan  secara langsung  dengan perjalanan, seperti “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang”,  “Hidup Dari Jendela keretapi”, “Senja di Pelabuhan”, “Di Perhentian Bas”, “Di sini Tiada Perhentian”, “Keberangkatan”, “Madah Pelaut”, “Semoga Selamat Pulang”, “Menunggu Pesawat”, “Batu Tiga Shah Alam”, “Bas Mini Wilayah”, ”Jalan Kelang Lama”, “Bas Stand Klang” dan beberapa lagi.
 Saya menulis “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” yang pertama kali disiarkan di Utusan Zaman, Disember 1970, kemudian dimuatkan dalam kumpulan  Sesayup Jalan. Sajak tersebut telah dilagukan oleh Kumpulan Harmoni dan sering berkumandang di radio pada awal tahun lapan puluhan:
Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
laut mengimbau sayu
ombak-ombak ini hatiku
berhasrat tiada tepi
pecah di pantai berbuih cuma.

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Hujan memberi lagu
angin menampar ke setiap ruang rasa
berhiba-hiba awan pilu.

Aku antara insan beribu
            air mataku antara laut lepas
            laguku hilang dalam angin menderu.

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
hatiku terjun ke air
mencari tempat bagiku
aku seorang pelarian.
                (Sesayup Jalan, hlm. 28).

            Penciptaan “Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang” berlaku ketika di dalam feri menyeberangi laut. Pada masa itu jambatan Pulau Pinang belum dibina. Dari feri itu kelihatan kapal-kapal besar sedang berlabuh dan bot-bot kecil melintas Unsur-unsur alam menerbitkan perasaan yang telah diungkap dalam sajak ini. Sebagai karya  awal, sajak ini lebih didominasi oleh perasaan kesayuan dalam mengenang beberapa hal yang menggelorakan kehidupan ketika itu. Ombak-ombak melambangkan keresahan. Langit kelabu dan hujan membawa rasa murung.  
            Perjalanan itu adalah perjalanan diri meninggalkan rumah atau zon selasa ke suatu tempat yang belum dikenali. Berjalan seorang diri menjadi pertanda terlantarnya diri ke alam kedewasaan. Saya mula menyedari bahawa setiap individu itu akan akhirnya keseorangan dalam menempuh kehidupan. Ini lebih terasa dalam dunia yang semakin sibuk dan manusia membawa hal masing-masing. Jika saya menangis pun air mata saya hanya akan menjadi setitis air di laut yang luas dan lepas itu.
          Memandang laut yang berombak saya semakin terkenang pada kehidupan zaman remaja yang tidak sunyi daripada geloranya. Perasaan mudah tergores dan, semangat mudah lemah. Saya berfikir bahawa menusia perlu “lari” daripada cengkaman perasaan. Bahkan, survival manusia terletak pada kecekapannya mengurus perasaan atau melarikan diri daripada cengkaman perasaan. jika boleh, larikan diri daripada ditawan oleh perasaan itu. Maka saya sifatkan diri  sebagai seorang pelarian dan mengatakan, “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang/ hatiku terjun ke air/ mencari tempat bagiku/ aku seorang pelarian”.
Perjalanan dan menunggu kenderaan juga memberi makna tertentu tentang perjalanan hidup. Suatu petang ketika menungu bas saya diganggu persoalan-persoalan tentang perjalanan dan destinasi. Maka saya menulis “Di Perhentian Bas”. Sajak ini membawa anggapan bahawa setiap manusia bagaikan sedang berada di sebuah perhentian bas, seseorang yang tidak dapat menentukan destinasi, tidak dapat bergerak.
            Di perhentian bas ini
asap-asap mobil laju
hinggap ke mataku

Di perhentian bas ini
bebayang yang panjang
telah terbaring
di atas debu

Dan aku terus menanti
mobil-mobil berlalu
tiada satu yang kuberhentikan
kerana aku belum pasti
ke mana akan pergi.

(“Di Sini Tiada Perhentian”, hlm. 7)
           
           
Perhentian bas mengingatkan kepada perjalanan hidup.. Semua kita ialah penunggu atau penumpang bas kerana kita tidak dibenarkan tinggal di satu tempat buat selama-lamanya. Ketika menulis sajak itu saya dipengaruhi oleh drama Samuel Beckett, Waiting for Godot . Saya turut menulis beberapa buah sajak yang bertemakan penantian seperti “Di Sini Tiada Perhentian” dan “Menunggu Pesawat”. Saya selalu bertanya tentang kehidupan. Adakah setiap orang menentukan destinasinya sendiri?. Yang pastinya, manusia dituntut untuk  membuat keputusan segera. Seseorang yang tidak membuat keputusan samalah seperti seorang yang menunggu di perhentian bas tetapi, tidak pasti ke mana arah yang hendak ditujunya. Individu seperti ini akan ketinggalan. Hidupnya akan diganggu ketakutan. Saya menggunakan imej asap dan debu yang hinggap ke mata, sebagai lambang kepada gangguan gangguan.
 Terdapat ayat “bebayang yang panjang/ telah terbaring/ di atas debu”. Di sini saya menggambarkan hari petang. Saya suka mengaitkan waktu petang dengan bayang yang panjang. Pada waktu petang kita melihat bayang sendiri terbaring di atas debu, Ini membawa rasa yang menakutkan. Hari sudah hampir malam. Malam membawa  kegelapan. Saya gunakan imej malam sebagai simbol satu keadaan  kegelapan, tidak pasti,  dan membimbangkan.


Tuesday, July 07, 2020


PERHUBUNGAN DAN PERBUALAN
Antara soalan yang sering ditanya oleh anak-anak sekolah yang membuat kajian  ialah bagaimana mendapat idea untuk menulis puisi.Idea datang dari pelbagai sumber.  Idea juga boleh datang dari perhubungan atau perbualan dengan orang-orang di sekeliling sama ada keluarga, jiran tetangga atau orang-orang yang ditemui di jalanan. Pada tahun 80han saya menghasilkan sajak “Untuk Hidup Bersama”, Catatan untuk Siti”, “Satu Percakapan Singkat Dengan Teman Seniman”, “Satu Cerita Cinta”, “Yang Pasti”, “Catatan Untuk Suami”.
Saya tertarik dengan sebuah sajak karya Leo A.W.S. yang terhasil daripada perhubungannya dengan kawan dan jiran. Sajak itu berjodol “Baju Melayu Yang Berwarna Kuning Kulit Langsat” yang sangat menyentuh hati. Di dalam sajak itu Penyair menceritakan kunjungannya ke rumah sahabat ayahnya, Pak Mat Pulut, seperti mana biasa yang dilakukan  setiap kali berhari raya di kampung kelahiran.
Keistimewaan sajak ini ialah elemen emosi yang terselit dengan begitu indah sekali. Pak Mat Pulut memakai baju Melayu berwarna kuning langsat.Mengikut Penyair, itulah baju raya yang dipakai oleh Pak Mat Pulut tahun demi tahun. Terdapat nada kesedihan dan kesayuan yang disulam dengan baik melalui imej baju yang sudah kelihatan semakin lusuh membawa erti  tidak ada keceriaan lagi di dalam hidupnya. Ada sesuatu yang menyedihkan dan ini terbukti apabila penyair menyebut tentang anak perempuannya yang tidak lagi balik ke rumah selepas berkahwin.
Siti Zaleha Hashim mengungkap erti kekeluargaan dan kasih sayang ibu dalam sajaknya ’Seorang Ibu Pesannya Berpanjangan”. Penyair menggambarkan suatu suasana penuh kesayuan ketika ibu menghantar anak di lapangan terbang. Anak itu sedang melangkah pergi ke luar negara untuk menuntut ilmu.
.
.Seorang Ibu Pesannya Berpanjangan
(Untukmu Firdaus Ramzan)
Ketika aku melihat kau pergi. Air mata yang kusimpan
mengalir laju di dalam hati, tiada siapa pun tahu
pesawat yang membawa kau menerbangkan
semangatku sama. Masa tidak dapat ditahan kau pun dewasa
menjadi anak muda dan aku mesti tabah
melepaskan kau melangkah jauh mencari kunci
membuka pintu ilmu untuk jalan hidupmu sendiri

Kutulis puisi ini untukmu anakku
kukirim doa dan kusimpan semua rindu
seorang ibu pesannya berpanjangan kerana
kasih sayangnya merentasi masa dan sempadan.

Puisi ini mengingatkan kepada “Pujangga Dunia Kecil” karya Siti Zaleha dalam  antologi Kristal di Laut Bulan di mana Penyair mengungkap tentang kasih sayang dan alam rumahtangga dengan indah sekali. Mesej atau pemikirannya ialah perlakuan ibu dan ayah sangat mempengaruhi dan akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh itu ibu dan ayah wajar menjaga kelakuan mereka. Kasih sayang ibu ayah akan meninggalkan kenangan manis kepada anak-anak, dan begitulah sebaliknya. Di dalam sajak ini Penyair menggunakan imej Bulan yang menjadi bertambah jingga/ mengintai di tepi jendela (ketika gembira) dan bulan menjadi kelabu (ketika berduka). Kata Penyair Kitalah pujangga/ sebuah dunia kecil bernama keluarga dalam ertikata keindahan sebuah rumahtangga dan kebahagiaan keluarga dicorakkan oleh anggota keluarga itu sendiri. Pada pendapat Penyair  perlakuan ayah dan ibu amat besar pengaruhnya terhadap pembentukan peribadi dan jiwa anak-anak.
Setelah masuk ke alam rumah tangga saya selalu berfikir dan mempersoalkan kedudukan  sebagai kekasih, sebagai isteri, dan  sebagai ibu.
Saya juga mencari makna  dari hubungan suami isteri. Pemikiran yang melintas tidak jauh berbeza dari pengertian yang dahulu bahawa manusia itu tetap individu yang terpisah, iaitu tetap memiliki kelainan.  Jadi kita yang telah dijodohkan tidak perlu terlalu bertanya tentang hal yang rumit iaitu yang menyangkut perasaan menusia.
Catatan untuk Siti
Melahirkanmu anakku
Adalah melahirkan kembali diriku
Suatu kejadian yang mengalahkan keajaiban
Duhai…semakin kalahlah aku dengan ketakjuban

Rasanya aku perlu meminta maaf
Mengheretmu kepada dunia
Dan tidak dapat menjanjikan apa-apa
Sekadar catatan dari kesilapan-kesilapanku
Yang mengajar
Bahawa harta seorang perempuan adalah namanya
Penyelamat seorang perempuan adalah imannya

Anakku
Dalam ciptaan yang Maha Besar
Kita adalah kecil
Tetapi jangan sekali-kali
Memperkecilkan diri sendiri

Saya didatangi rasa ketakjuban ketika pertama kali menjadi ibu. Banyak perkara baru yang membuka kesedaran.  Hanya seorang perempuan yang dapat merasakan bagaimana keajaiban yang berlaku di dalam rahimnya. Mengandung dan melahirkan anak adalah satu kejadian yang ajaib yang menyedarkan saya tentang kuasa Allah yang menjadikan segalanya. Saya berpesan kepada anak, bahawa di dalam ciptaan alam yang maha luas kita adalah kecil namun begitu jangan memperkecilkan diri dan peranan kita terutama sebagai khalifah Allah di dunia ini,  Oleh kerana anak saya perempuan maka saya mewariskan padanya apa yang dikutip sepanjang perjalanan sebagai seorang perempuan.  Seorang perempuan melalui banyak kepayahan dan amat bergantung kepada  pertolongan Allah.  
Yang Pasti.
Kau mungkin bukan lelaki terbaik
Tapi buat perempuan sepertiku
Mungkin tidak ada yang lebih baik
Darimu
Aku mungkin tidak mendapat segala-galanya
Tetapi dengan keadaan begini
Aku tidak meminta
Yang lebih lagi

Usahlah bertanya apakah aku bahagia
Aku pun tidak menyoal tentang perasaanmu
Kerana kadang-kadang bila terlalu mahu memasti
Orang jadi semakin ragu
Terlalu berbicara dan banyak menganalisa
Orang jadi semakin tidak tahu


Aku mungkin kurang pasti
Tentang apa yang telah kukatakan
Tapi yang pasti
Kita tidak perlu terlalu pasti

Hubungan suami-isteri telah melahirkan sajak “Yang Pasti”. Intipati dari sajak ini ialah tidak siapa dapat mengetahui dengan pasti tentang perasaan walaupun orang yang dekat dengan kita.
Hubungan diri dengan suami, seperti dengan sesiapa pun tetap  misterius dan berahsia, kerana kita tidak dapat membaca hati sesiapa pun. Oleh yang demikian biarkan sahaja setakat yang terdaya oleh perasaan. Di dalam sajak “Suatu Cerita Cinta” saya merumuskan bahawa kadang-kadang kita perlu melupakan cinta dan belajar untuk hidup bersama”.